Kelima Belas – Mukjizat Dan Karamah

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 8m 48s] –FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 15) Mu’jizat Dan Karamah – Us Mohd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/tuMXyb1F72w ]

MUKJIZAT DAN KARAMAH

Mukjizat itu terbukti berlaku kepada para nabi [53] dan karamah itu benar berlaku kepada para wali [54]. Adapun perkara luar biasa yang berlaku kepada musuh-musuh seperti Iblis, Firaun dan Dajjal seperti yang diriwayatkan dalam hadith, yang telah berlaku dan akan berlaku, itu kita tidak menamakannya sebagai mukjizat tetapi kita menamakannya sebagai perkara yang terjadi hanya untuk memenuhkan keinginan mereka kerana Allah hendak menunaikan keinginan musuh-musuh-Nya sebagai “istidraj” dan hukuman kepada mereka dan mereka terpedaya dengannya dan bertambah lagi kejahatan dan kekufuran mereka. Semuanya itu harus berlaku dan  tidak mustahil [55].

NOTA KAKI

[53] Mukjizat ialah perkara luar biasa yang berlaku kepada para nabi sebagai dalil kebenaran mereka dan cabaran kepada orang yang mengingkari kenabian mereka.

[54] Berlaku juga perkara luar biasa kepada orang yang bertaqwa dan dekat kepada Allah sebagai pertolongan Allah kepada mereka.

Firman-Nya, mafhumnya: “2. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), 3. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangkanya, dan (ingatlah), sesiapa berserah diri kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya”. (Surah al-Talaq, Ayat 2 & 3)

[55] Allah berfirman: Firman-Nya, mafhumnya: “182. Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami, kami akan menarik balik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya. 183. Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; Sesungguhnya rancangan balasan-Ku amatlah teguh”. (Surah al-A’raf, Ayat 182 &183)

“Dan janganlah sekali-kali orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (Mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami membiarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak)”. (Surah Ali Imran, Ayat 178)

Keenam Belas – Sifat Allah Adalah Azali Sebagaimana Zat-Nya

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 21m 28s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 16) Sifat Allah Adalah Azali Sebagaimana Zat-Nya – Us Muhd Hanief

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/YqBe-ssEu9U ]

SIFAT ALLAH ADALAH AZALI SEBAGAIMANA ZAT-NYA

Allah s.w.t. telahpun bersifat sebagai Pencipta sebelum Dia mencipta dan bersifat pemberi rezeki sebelum memberi rezeki lagi.

Allah s.w.t. dapat dilihat di Akhirat dan orang-orang beriman dapat melihat Allah s.w.t. sedang mereka berada dalam syurga, dengan mata kepala mereka, tanpa tashbih, tanpa kaifiyat dan tanpa ada jarak antara Dia dan makhluq-Nya. [56]

Iman itu adalah mengakui dan membenarkan. Iman penduduk langit dan bumi tidak bertambah dan tidak berkurang, dari sudut perkara yang diimani tetapi bertambah dan berkurang dari sudut keyakinan dan pengakuan. Orang-orang beriman sama pada (asal) iman dan (asas) tauhid tetapi berbeda-beda pada amalan.

Islam ialah penyerahan dan kepatuhan kepada perintah-perintah Allah s.w.t. Secara bahasanya, ada perbezaan antara Iman dan Islam tetapi tidak mungkin ada Iman tanpa Islam dan tidak mungkin ada Islam tanpa Imam. Kedua-duanya itu seperti belakang dan perut (isi dan kulit). Deen (agama) istilah yang menepati Iman, Islam dan syari’at kesemuanya. [57]

Kita mengenal Allah dengan sebenarnya seperti Allah s.w.t. mensifatkan sendiri tentang diri-Nya dalam Kitab-Nya dengan semua sifat-Nya.

Tiada siapa yang mampu beribadat kepada Allah s.w.t. dengan sebenarnya sebagaimana yang Dia layak diibadatkan tetapi hendaklah seseorang itu beribadat kepada-Nya dengan perintah-Nya seperti yang diperintahkan-Nya dengan Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya. [58]

Orang-orang mukmin sama sahaja (dari segi dituntut) mengenal Allah, yakin, tawakkal, kasih, redha, takut, harap dan beriman. Bagaimanapun, mereka berbeda-beda dalam perkara tersebut kecuali dalam perkara Iman.

NOTA KAKI

[56] Kata Imam al-Tahawi: Melihat Allah pada hari kiamat bagi ahli syurga adalah benar tanpa meliputi dan tanpa kaifiat seperti yang difirmankan dalam al-Qur’an, mafhumnya:

“22. Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang beriman) berseri-seri; 23. Melihat kepada Tuhannya”. (Surah al-Qiamah, Ayat 22 & 23)

Maksud Ru’yah adalah mengikut apa yang dikehendaki Allah dan mengikut ilmu-Nya.

Setiap hadith sahih daripada Rasulullah s.a.w. berhubung perkara ini adalah mengikut apa yang dikehendaki Baginda dan kita masuk dalam perkara ini dengan mentakwilkan menggunakan akal fikiran kita dan bukan dengan memikirkan dengan hawa nafsu kita.

Sesungguhnya tidak selamat agama melainkan dengan menyerahkan tafsiran tersebut kepada Allah dan Rasul-nya. Di samping mengembalikan pengetahuan tentang perkara yang menjadi kesamaran kepada yang mengetahuinya.

[57] Dalam hadith Jibril yang panjang, (Iman, Islam dan Ihsan) disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Itulah Jibril, beliau datang untuk mengajar kepada manusia agama mereka”.

[58] Ketidakmampuan manusia dalam perkara ini kerana betapa agungnya Allah dan betapa banyak nikmat dan ihsan-Nya kepada manusia. Namun demikian ibadat hendaklah tetap dikerjakan dengan semampunya dan Allah tidak membebankan manusia dengan sesuatu di luar kemampuan mereka. Allah berfirman, mafhumnya: “Bertaqwalah kepada Allah sedaya upaya kamu”. (Surah al-Taghabun, Ayat 16)

Rujuk juga Surah al-Nahl Ayat 18 dan 114.

Ketujuh Belas – Dosa Dan Pahala

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 5m 31s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 17) Dosa Dan Pahala – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/jvVN_DLT_Ok ]

DOSA DAN PAHALA

Allah s.w.t. melimpahkan kurniaan kepada hamba-hamba-Nya, adil dalam memberikan pahala. Boleh jadi, Dia memberikan berganda-ganda daripada apa yang patut diterima hamba [59], kerana limpah kemurahan-Nya [60].

Allah s.w.t. mungkin menghukumkan seksa kerana dosa sebagai keadilan-Nya dan mungkin Dia mengampunkannya, sebagai limpahan kurniaan-Nya [61].

NOTA KAKI

[59] Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan segala kebaikan dan kejahatan. Maka sesiapa yang bercita-cita dengan melakukan satu kebaikan dan belum dia melakukannya maka Allah menulis untuknya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia bercita-cita dengannya kemudian mengerjakannya maka Allah menulis di sisi-Nya sebanyak sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda hingga sampai beberapa kali ganda. Jika dia bercita-cita dengan satu kejahatan kemudian dia tidak melakukannya maka Allah tulis baginya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia bercita-cita dengannya kemudian melakukannya maka Allah tulis baginya satu kejahatan sahaja”. (al-Bukhari dan Muslim)

[60] Hendaklah diiktiqadkan bahawa pahala kerana amalan baik bukan kerana usaha kita tetapi itu adalah limpahan kurniaan Allah dan bukan sesuatu yang wajib ke atas-Nya kerana tidak ada yang mewajibkan ke atas Allah untuk memberi pahala kepada orang yang beramal seperti yang didakwa oleh Mu’tazilah. Pemberian pahala merupakan keadilan-Nya dan janji-Nya dan Dia tidak memungkiri janji. Sebanyak mana sekalipun amalan yang dilakukan oleh manusia ia tidak dapat membalas segala nikmat pemberian Allah kepadanya.

[61] Jika manusia diazab maka itu adalah keadilan bukan kezaliman kerana sifat zalim itu mustahil bagi Allah s.w.t.

Kelapan Belas – Syafaat Para Nabi-Nabi a.s.

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 15m 18s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 18) Syafaat Para Nabi a.s. – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/CuVoi8XM0WY ]

SYAFAAT PARA NABI-NABI A.S.

Syafaat para nabi a.s. itu benar. [62] Syafaat Rasulullah s.a.w untuk orang-orang yang beriman, dan untuk pendosa-pendosa besar yang layak diazab, itu adalah benar dan sabit ada. [63]

Amalan ditimbang dengan Neraca pada hari Kiamat itu benar. [64]

Kolam Rasulullah s.a.w. itu benar. [65]

Balasan di kalangan orang yang bermusuhan itu benar, melalui cara diberikan kebaikan. Jika tidak ada berbaki kebaikan maka kejahatan pula dicampakkan kepada mereka. [66]

NOTA KAKI

[62] Syafaat bermaksud doa setiap nabi untuk umatnya di Hari Akhirat. Ia merupakan permohonan kepada Allah untuk kebaikan manusia di akhirat. Nabi bertindak sebagai perantaraan antara ummat dengan Allah s.w.t. untuk manfaat dan pertolongan mereka.

Syarat mendapat syafaat ialah keizinan Allah dan orang yang dimintakan syafaat untuknya itu orang diredhai Allah.

Firman-Nya, mafhumnya: “Dan berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diredhai-Nya”. (Surah al-Najm, Ayat 26)

[63] Syafaat yang khusus kepada Rasulullah s.a.w. ialah Syafaat ‘Uzma ialah syafaat atau permohonan kepada Allah agar segera diadakan keputusan di antara semua makhluk, supaya mereka mendapat keringanan dan kerehatan dari kesengsaraan yang dideritai di Padang Masyar.

[64] Firman Allah s.w.t, mafhumnya: “Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya”. (Surah al-A’raf, Ayat 8)

[65] Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Aku mendahului kamu di kolam, sesiapa yang pergi kepadanya akan dapat minum airnya dan sesiapa yang meminumnya tidak akan dahaga selepasnya buat selama-lama. Akan datang kepadaku beberapa golongan yang mana aku kenal mereka dan mereka kenal aku tetapi mereka dihalang daripadaku”. Baginda berkata: “Mereka itu daripada golongan aku”. Lalu dijawab, “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apakah yang mereka ubah sesudah kamu”. Maka aku berkata: “Biarlah mereka itu jauh daripadaku, jauhlah bagi orang yang mengubah sesudahku”. (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadith ini juga terdapat isyarat tentang syarat untuk dapat minum telaga Rasulullah s.a.w.

[66] Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku adalah orang yang datang pada Hari Kiamat kelak dengan membawa (pahala) solat, puasa dan zakat. Dalam pada masa yang sama, dia datang dalam keadaan telah mencela dan menuduh seseorang (melakukan zina), juga memakan harta orang ini dan menumpahkan darah, serta memukul orang ini. Kemudian diambil yang ini daripada kebaikannya dan yang ini juga daripada kebaikannya. Dan jika kebaikannya sudah habis sedangkan dia belum habis membayar kewajibannya, maka akan diambil dosa-dosa mereka, lalu dicampakkan kepadanya, lalu dia pun dilemparkan ke dalam neraka”. (Muslim, 2581, al-Tirmizi, 2420)

Kesembilan Belas – Keabadian Syurga Dan Neraka

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 3m 3s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 19) Keabadian Syurga Dan Neraka – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/lqIIsqdniWI ]

 KEABADIAN SYURGA DAN NERAKA

Syurga dan neraka itu (telah pun) ada pada hari ini [67] dan ia tidak akan binasa buat selama-lamanya. Bidadari tidak mati buat selama-lamanya. Keseksaan dan pahala dari Allah s.w.t. tidak akan terhenti buat selama-lamanya.

NOTA KAKI

[67] Allah berfirman, mafhumnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang seluas langit dan bumi, yang telah disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Alii ‘Imran, Ayat 133)

“Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang telah disediakan bagi orang-orang kafir”. (Surah Alii ‘Imran, Ayat 131)

Kedua Puluh – Hidayat Dan Kesesatan

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 6m 4s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 20) Hidayat Dan Kesesatan – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/N5E2Z-tm3cc ]

HIDAYAT DAN KESESATAN

Allah s.w.t. memberi hidayat kepada sesiapa yang dikehendaki sebagai limpahan kurniaan-Nya. Allah s.w.t. menyesatkan/membiarkan sesiapa yang dikehendaki sesat, sebagai keadilan-Nya [68]. Orang yang disesatkan itu bererti orang itu dibiarkan tanpa diberikan bantuan. Tafsiran kepada tidak diberikan hidayat/dibiarkan ialah Allah tidak memberi taufiq/kemudahan untuk hamba melakukan apa yang diredhai, sebagai keadilan-Nya.

Demikian juga sebagai keadilan, hukuman terhadap orang yang dibiarkan dalam keadaan maksiat.

Tidak harus kepada kita mengatakan, syaitan merampas iman dari hamba mukmin secara kekerasan dan paksaan [69] tetapi kita mengatakan hamba itu meninggalkan iman dan pada waktu itulah syaitan merampas iman daripadanya.

NOTA KAKI

[68] Allah s.w.t. menjelaskan kebenaran kepada semua hamba-Nya dengan diutuskan Rasul dan ditanzilkan al-Qur’an. Mereka pula dibekalkan dengan akal untuk mereka berfikir tentang kebenaran dan keuntungan berpegang dengannya serta akibat buruk tidak menerimanya.

Firman-Nya, mafhumnya: “Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah? Sedangkan Rasulullah mengajak kamu untuk beriman kepada Tuhan kamu, dan Allah telah mengambil janji setia dari kamu (untuk beriman); jika kamu hendak beriman (maka telah jelas dalil-dalilnya)”. (Surah al-Hadid, Ayat 8)

[69] Kerana Allah s.w.t. berfirman, mafhumnya: “Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, tidaklah ada bagimu (iblis) sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari kalangan mereka yang sesat (dengan pilihannya sendiri)”. (Surah al-Hijr, Ayat 42)

Kedua Puluh Satu – Azab Kubur

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 21m 20s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 21) Azab Kubur- Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/rZqmOtdoQaA ]

AZAB KUBUR

Soalan Munkar dan Nakir dalam kubur adalah benar ada. [70]

Pengembalian ruh ke badan manusia dalam kubur adalah benar. Himpitan kubur dan azabnya adalah benar ada kepada semua orang kafir dan sebahagian orang-orang beriman yang melakukan maksiat [71].

Setiap sifat Allah yang maha tinggi nama-Nya yang disebutkan oleh para ulama’ dengan bahasa Farsi, maka itu harus dikatakan begitu kecuali روىء خد ا (kerana dalam bahasa Farsi bermaksud tangan makhluk) dan harus dikatakan Wajah Allah tanpa menyerupakan (dengan makhluk) dan tanpa kaifiat yang diketahui. Dekat dan jauh dari Allah bukan secara jauhnya dan dekatnya jarak tetapi dengan makna karamah (kemuliaan) dan kehinaan.

Orang yang taat dekat dengan Allah s.w.t. dan orang derhaka jauh dari-Nya tanpa kaifiyat yang diketahui. Jauh, dekat dan menghadap berlaku kepada orang yang bermunajat [72].

Demikian juga dekat hamba dengan Tuhannya dalam syurga dan berdiri di hadapannya tanpa kaifiyat yang diketahui.

NOTA KAKI

[70] Dalilnya Ayat al-Quran, mafhumnya:

“Allah meneguhkan orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat”. (Surah Ibrahim, Ayat 27)

Maksud di kehidupan akhirat menurut majoriti ahli tafsir ialah soalan dalam kubur.

Riwayat daripada Sayyidina Uthman bahawa Rasulullah s.a.w apabila selesai mengebumikan jenazah, Baginda berdiri dan bersabda, maksudnya:

“Mintalah keampunan untuk saudara kamu dan mintalah keteguhan untuknya kerana sekarang dia sedang disoal”. (Sunan Abi Daud: 3221)

[71] Dalilnya: Firman-Nya, mafhumnya:

“Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”. (Surah Ghafir, Ayat 46)

Dalam ayat disebutkan dua jenis azab, iaitu sebelum azab pada hari Akhirat telahpun ada azab sebelumnya. Selain itu, azab kubur juga sabit berdasarkan beberapa hadith lain seperti pertanyaan Aisyah tentang azab kubur, hadith Rasulullah s.a.w. memacakkan pelepah tamar, doa Baginda supaya dilindungi daripada azab kubur dan lain-lain.

[72] Allah s.w.t. tidak berada di suatu arah atau tempat sehingga ada jarak dekat atau jauh antara Dia dengan manusia. Allah telah menyebutkan bahawa Dia dekat dengan hambanya.

Firman-Nya, mafhumnya:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku”. (Surah al-Baqarah, Ayat 186)

“Sesungguhnya orang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa”. (Surah al-Hujurat, Ayat 13)

Kedua Puluh Dua – Kelebihan Ayat-Ayat Al-Quran

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 10m 11s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 22) Kelebihan Ayat-ayat Al-Quran – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/ff7kEHxgdHY ]

KELEBIHAN AYAT-AYAT AL-QURAN

Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w dan ia tertulis dalam mushaf-mushaf. Ayat-ayat al-Quran, sebagai makna Kalamullah sama dari sudut kelebihan dan keagungan namun setengahnya mempunyai kelebihan sebutan dan keutamaan kandungannya seperti Ayat al-Kursi kerana yang tersebut di dalamnya ialah keagungan Allah s.w.t., kebesaran-Nya dan sifat-sifat-Nya. Oleh itu, terhimpun dalamnya kelebihan sebutan dan keutamaan kandungan.

Sebahagiannya pula hanya mempunyai kelebihan sebutan dan apa yang tersebut iaitu orang kafir tidak mempunyai keutamaan. [73]

Demikian Nama-nama dan Sifat-Sifat Alah s.w.t. sama sahaja dari segi keagungan dan keutamaan, tiada perbezaan tingkatan padanya.

NOTA KAKI

[73] Ini merupakan jawapan kepada satu kemusykilan iaitu, setengah daripada ayat al- Qur’an mempunyai kelebihan atas ayat yang lain sedangkan semuanya merupakan kalam Allah s.w.t. bagaimana boleh berbeza sebahagian ayat dengan yang lain.

Kedua Puluh Tiga – Anak-Anak Rasulullah S.A.W

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 14m 8s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 23) Anak-anak Rasullullah s.a.w – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/dF95c2IWPlc ]

ANAK-ANAK RASULULLAH S.A.W

Qasim, Tahir dan Ibrahim adalah anak-anak lelaki Rasulullah s.a.w sementara Fatimah, Ruqayyah, Zainab dan Ummu Kulthum merupakan anak-anak perempuan Baginda s.a.w. [74]

Sekiranya seseorang itu mengalami kemusykilan dalam perkara halus dalam ilmu Tauhid maka pada ketika itu hendaklah dia beriktiqad dengan apa yang benar di sisi Allah [75] sehinggalah dia menemukan seorang yang berilmu lalu dia bertanya kepadanya. Tidak ada ruang baginya untuk melewatkan pertanyaan dan tidak diberikan kemaafan untuk tawaqquf (berdiam diri tidak mengambil satu sikap) dan dia menjadi kafir sekiranya dia bertawaqquf.

Hadith tentang Mi’raj itu benar dan sesiapa yang menolaknya adalah ahli bid’ah yang sesat. [76]

NOTA KAKI

74] Ini merupakan isyarat kepada bantahan terhadap golongan yang mendakwa bilangan anak-anak Rasulullah lebih daripada atau kurang daripada ini. Contohnya, golongan Syiah mendakwa, Fatimah satu-satunya anak Rasulullah s.a.w. manakala yang lain anak Khadijah dengan suaminya yang terdahulu atau anak saudaranya iaitu adik-beradik Khadijah bernama Halah. Syi’ah juga mendakwa isteri Sayyidina Uthman itu anak tiri bukan anak kandung. (Lihat Ja’far Khadir al-Najafi, Kashf al-Ghita’ ‘An Khafiyyat Mubhamat Syari’ah al-Gharra’, hal. 5, Ja’far Murtada, al-Sahih Min Sirah al-Nabiy, jil. 2, hal. 125-130)

[75] Sekiranya berlaku kesamaran dalam masalah aqidah maka hendaklah menyerahkannya kepada Allah dan tidak harus kita berkata-kata padanya tanpa sebarang pengetahuan. Hendaklah mengucap, “Hanya Allah yang lebih mengetahui”.

[76] Mi’raj ialah Allah membawa rasul-Nya naik ke langit tinggi ke tempat yang dikehendaki-Nya, setelah diperjalankan Baginda (Isra’) dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa. Peristiwa berlaku dalam satu malam, dalam keadaan Baginda jaga dengan roh dan jasad sekali.

Kedua Puluh Empat – Tanda-tanda Kiamat

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 4m 20s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 24) Tanda-tanda Kiamat – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube https://youtu.be/sMHmEys73_k ]

TANDA-TANDA KIAMAT

Kemunculan Dajjal, Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari di sebelah barat, turunnya Nabi Isa a.s. dari langit dan tanda-tanda Kiamat yang lain mengikut yang tersebut dalam hadith-hadith yang sahih maka itu adalah benar-benar ada. [77]

Allah jualah memimpin sesiapa yang dikehendaki ke Jalan yang Lurus. [78]

NOTA KAKI

[77] Tanda-tanda kiamat yang disebutkan oleh Imam Abu Hanifah ialah tanda-tanda yang besar dan hampirnya berlaku kiamat. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya kiamat tidak berlaku sehinggalah muncul sepuluh tanda, bumi menelan / gempa di timur, di barat dan di semenanjung Arab, keluar asap, Dajjal, binatang besar dari bumi, Ya’juj Ma’juj, terbit matahari dari tempat terbenamnya, keluar api dari hujung ‘Adan (Bandar di Yaman) yang mengusir manusia. (Sahih Muslim: 2901)

[78] Kepada Allah jualah kita berdoa memohon taufiq dan hidayah untuk berada di atas jalan yang lurus dengan istiqamah.