Islam, Iman Dan Ihsan – [Syarahan Hadith “Jibril”]

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO -[Durasi – 1j 51m 10s]- Malaikat Jibril Datang Bertanyakan Rukun Islam Dan Rukun Iman Kepada Rasulullah – Maulana Muhd Asri Yusoff

ISLAM, IMAN DAN IHSAN [SESI PERTAMA]

KLIK TANDA MASA DI BAWAH UNTUK TONTON TERUS KE TAJUK PERBINCANGAN

1- 01:04 – Matan Hadith “Jibril” [Malaikat Jibril a.s Bertanya Nabi s.a.w Tentang Islam, Iman, Ihsan Dan Tanda-tanda Kiamat]

2- 04:53 – Terjemahan Hadith

3- 19:17 – Syarahan Hadith

4- 20:45 – Perkataan ‘Datang’ Boleh Ditukar Dengan Perkataan ‘Muncul’

5- 36:28 – Mengapa Hadith Ini Dikenali Sebagai Hadith Jibril?

6- 42:54 – Pengajaran Yang Terkandung Dalam Hadith Ini

7- 47:03 – Dua Keadaan Yang Pelik Dan Menghairankan

8- 51:19 – Pendapat Tentang “Meletakkan Kedua Tangannya Atas Dua Pahanya”

9- 1:19:44 – Kemusykilan Dan Jawapan Panggilan “Wahai Muhammad” Yang Digunakan Oleh Jibril

VIDEO – [Durasi – 1j 34m 26s] –Pengertian Dan Huraian Tentang Rukun Islam Dan Rukun Iman – Maulana Muhd Asri Yusoff

ISLAM, IMAN DAN IHSAN [SESI KEDUA]

KLIK TANDA MASA DI BAWAH UNTUK TONTON TERUS KE TAJUK PERBINCANGAN

1- 0:41 – (Sambungan) Syarah Hadith Jibril

2- 02:56 – Huraian Rukun Islam

3- 09:56 – Hikmah Di Sebalik Rukun Islam

4- 40:09 – Maksud Iman Dalam Bahasa Arab

5- 41:12 – Percaya Kepada Allah

6- 42:03 – Percaya Kepada Malaikat

7- 49:57 – Mengapa Disebut Malaikat Dahulu Sebelum Kitab Dan Rasul?

8- 50:40 – Percaya Kepada Kitab

9- 51:58 – Kitab Suci Yang Wajib Dipercayai

10- 1:07:55 – Percaya Kepada Rasul

11- 1:21:15 – Percaya Kepada Hari Kemudian

12- 1:28:18 – Hikmah Kewujudan Hari Kemudian

VIDEO -[Durasi – 1j 29m 24s]- Jibril Datang Bertanyakan Rukun Islam Dan Rukun Iman Kepada Rasulullah – Maulana Muhd Asri Yusoff

ISLAM, IMAN DAN IHSAN [SESI KETIGA]

KLIK TANDA MASA DI BAWAH UNTUK TONTON TERUS KE TAJUK PERBINCANGAN

1- 2:58 – Percaya Kepada Takdir

2- 4:43 – Persoalan Tentang Takdir

3- 9:38 – Ketetapan Allah Untuk Segala-gala Yang Dicipta-Nya

4- 19:36 – Tiga Golongan Yang Lahir Dalam Sejarah Islam Untuk Memecahkan (Menyelesaikan) Persoalan Ini

a) 19:57 – Golongan Pertama: Golongan Qadariah Dan Syiah

b) 49:33 – Golongan Kedua: Golongan Jabariyah Dan Jahmiyyah

c) 1:00:03 – Golongan Ketiga: Golongan Ahli Sunnah Wal Jama’ah

5- 1:15:59 – Percaya Kepada Takdir Baik Dan Buruk

6- 1:21:36 – [PERBINCANGAN TAMBAHAN] Sifat Penyembuh

VIDEO – [Durasi – 1j 13m 13s] – Pengertian Dan Huraian Tentang Ihsan – Maulana Muhd Asri Yusoff

ISLAM, IMAN DAN IHSAN [SESI KEEMPAT]

KLIK TANDA MASA DI BAWAH UNTUK TONTON TERUS KE TAJUK PERBINCANGAN

1- 0:27 – Terjemahan Dan Sambungan Huraian Hadith Jibril

2- 6:44 – Alasan Kenapa Jibril Tanya Nabi s.a.w Tentang Ihsan Selepas Iman Dan Islam

3- 7:34 – Makna “Ihsan”

4- 15:44 – Ihsan Dari Segi Istilah Dan Darjat-darjat Ihsan

5- 48:35 – Kesesuaian Kiamat Selepas Iman, Islam Dan Ihsan

6- 55:15 – Apakah Yang Dimaksudkan Dengan, “Bila Hamba Melahirkan Tuannya”?

VIDEO –[Durasi – 1j 41m 13s] – Rasulullah Menjelaskan Kepada Jibril Tentang Tanda-tanda Kiamat – Maulana Muhd Asri Yusoff

ISLAM, IMAN DAN IHSAN [SESI KELIMA]

KLIK TANDA MASA DI BAWAH UNTUK TONTON TERUS KE TAJUK PERBINCANGAN

1- 1:10 – (Sambungan) Syarah Hadith Jibril

2- 1:55 – Maksud Sabda Nabi s.a.w Tentang Tanda Kiamat, Masyarakat Akhir Zaman

3- 9:10 – Hamba Melahirkan Tuannya

4- 12:21 – Maksud, “Tiga Hari Selepas Itu”

5- 28:55 – Pengajaran Yang Terdapat Dalam Hadith Jibril

Menilai Keutamaan Dalam Hidup

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

PROF DR YUSUF AL-QARDHAWI

Kajian yang penulis (Dr Yusuf al-Qardhawi) sajikan di hadapan anda sekarang ini merupakan sebuah topik yang sangat penting, kerana ia adalah penyelesaian terhadap tiadanya keseimbangan –dari sudut agama– dalam memberikan penilaian terhadap perkara-perkara, pemikiran dan perbuatan; mendahulukan sebahagian perkara atas sebahagian yang lain; mana perkara yang perlu didahulukan, dan mana pula perkara yang perlu diakhirkan; perkara mana yang harus diletakkan dalam urutan pertama, dan perkara mana yang mesti ditempatkan pada urutan ke tujuh puluh pada anak tangga perintah Tuhan dan petunjuk Nabi s.a.w. Persoalan ini begitu penting memandangkan tiadanya keseimbangan dalam pertimbangan terhadap masalah-masalah yang perlu diutamakan oleh kaum Muslimin pada zaman kita sekarang ini.

Sebelum dari ini, penulis menyebut perkara ini dengan istilah “urutan pekerjaan”; namun sekarang ini dan sejak beberapa tempoh yang lalu penulis menemukan istilah yang lebih tepat, iaitu “keutamaan”(priority); kerana istilah ini mencakup, luas, dan lebih menggambarkan konteksnya.

Kajian ini sebenarnya dimaksudkan untuk menilai sejumlah keutamaan yang terkandung di dalam ajaran agama, berdasarkan dalil-dalil, agar dapat memainkan peranannya di dalam meluruskan pemikiran, membetulkan metodologinya, dan meletakkan landasan yang kuat bagi fiqh ini. Dengan itu mereka yang memperjuangkan Islam dan membuat perbandingan mengenainya, dapat memperoleh petunjuk darinya; kemudian boleh membedakan apa yang sepatutnya didahulukan oleh agama dan apa pula yang sepatutnya diakhirkan; apa yang dianggap berat dan apa pula yang dianggap ringan; dan apa yang dihormati oleh agama dan apa pula yang dikesampingkan olehnya. Dengan demikian, tidak akan ada lagi orang-orang yang melakukan tindakan di luar batas kewajaran, atau sebaliknya, dan juga kurang memenuhi syarat. Akhirnya, fiqh ini mampu mendekatkan pelbagai pandangan antara mereka yang memperjuangkan Islam dengan penuh keikhlasan.

Penulis tidak mengatakan bahawa tulisan ini merupakan kajian yang sempurna dan komprehensif. Ia hanyalah merupakan pembuka pintu dan jalan yang akan ditempuhi oleh mereka yang ingin memperdalam dan melakukan kajian mendasar dalam masalah ini. Dan untuk orang yang berijtihad, ada bahagian khas untuknya.

Buku ” Fiqh Prioritas” oleh Prof Dr Yusuf al-Qardhawi – Untuk Baca ONLINE atau MUAT TURUN e-book sila KLIK –  https://tinyurl.com/y5nruogs

Kesalahan-Kesalahan Dalam Memberi Nama

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO –  [Durasi 1j 26m 5s]-Berhati-hati Dalam Memberi Nama – Maulana Muhd Asri Yusoff

https://drive.google.com/file/d/1n5kK4frQx5P8k-TSYItkb5QP5HIZU2PY/preview?

MP3 – Dengar “On-line” Atau Muat Turun

KESALAHAN-KESALAHAN DALAM MEMBERI NAMA

(Sinopsis Dari kuliah hadith  Syarah Sahih Muslim – Kitab Adab)

Kejahilan masyarakat dan kelalaian ulama’ adalah di antara faktor mengapa berlakunya kesalahan (bertentangan dengan kehendak syariat) dalam memberi nama kepada anak-anak yang baru lahir. Adalah amat menyedihkan perkara ini tidak begitu dipedulikan oleh masyarakat seolah-olah kesalahan tersebut tidak serius walhal Nabi s.a.w amat menitikberatkan hal ini dengan mengubah nama Sahabat-sahabat yang tidak elok atau tidak sesuai. Antara kesalahan dalam memberi nama yang dikenalpasti di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia adalah:

1. Nama-nama yang memberi makna yang tidak elok. Nabi s.a.w pernah menukar nama Sahabatnya Zaham (yang bermaksud “menyibuk, mengganggu”) kepada Basyir (yang bermaksud “berita gembira”). Antara contoh nama yang tidak sesuai yang sering digunakan ialah:

· Hazan (Kesedihan), Hazin (Seorang lelaki yang sedih), Hazaniyyah (Hidup penuh dengan kesedihan)

· Zani (Lelaki penzina), Zaniah (Penzina perempuan)

· `Asiah (Perempuan penderhaka / Perempuan pembuat Maksiat)

· Wati (Persetubuhan)

· Azli (Celaanku), Azlan (Celaan)

2. Nama-nama Allah atau sifat Tuhan, contohnya:

· Azali

· Muhaimin

3. Nama-nama yang berkaitan dengan tempat, contohnya:

· Suyuti (Orang Asyut)

· Bukhari (Orang Bukhara)

· Ghazali (Orang Ghazal)

· Nawawi (Orang Nawa)

· Misri atau Masri (Orang Mesir)

· Baihaqi (Orang Baihaq)

· Tirmizi (Orang Tirmiz)

4. Nama-nama yang memberi makna terlalu elok sehingga tidak sesuai diletakkan pada empunya nama seperti Khairunnisa’ (sebaik-baik wanita) sedangkan dalam hadith ada menyebutkan: “Sebaik-baik wanita di alam ini adalah Asiah dan Maryam”. Nama ini seakan mencanggah hadith tersebut.

5. Nama-nama yang dilarang dalam hadith seperti Yasar, Robah, Aflah, Najah dan lain-lain kerana ada sempena baik pada suatu nama. Sebagai contoh Najah (Kejayaan). Apabila ada orang bertanya: “Najah ada tak di sini?”. Maka jika dijawab: “Najah tiada disini,” secara tidak langsung memberi maksud kejayaan tiada di sini.

6. Nama yang mengangkat diri sendiri kerana Nabi s.a.w sendiri ada menukarkan nama Barrah (yang bermaksud ‘yang sangat baik’) kepada Zainab.

7. Nama yang mengandungi unsur-unsur syirik seperti:

· Abdul Manaf (Hamba berhala Manaf)

· Ghulam `Ali (Hamba `Ali)

8. Nama yang sepatutnya untuk lelaki tetapi digunakan pada perempuan, seperti Nur (cahaya) dalam bahasa Arab adalah “muzakkar” (untuk lelaki).

9. Nama dengan makna yang tidak tepat dengan pemakainya seperti:

· Siti (Puan) – sedangkan gelaran ‘Puan’ hanya digunakan pada orang yang sudah berkahwin dan begitu juga dengan Anisah (Cik) pula hanya digunakan untuk wanita yang belum berkahwin sebagaimana yang digunakan di tanah Arab pada masa ini.

· Sayyid (Tuan) – digunakan oleh orang Arab pada sesiapa sahaja asalkan dia lelaki dan ini tidak bermakna dia adalah dari keturunan Nabi s.a.w.

10. Nama yang sebenarnya adalah nama sesuatu pekerjaan dalam bahasa Arab, contohnya:

· Masyitah (Tukang sikat rambut) digunakan pada mana-mana perempuan yang bekerja sebagai penyikat rambut

· Halwani (Lelaki penjual kueh) digunakan pada mana-mana lelaki yang menjual kueh-mueh tetapi digunakan untuk perempuan di Malaysia.

11. Nama yang tidak betul seperti nama asalnya, seperti:

· Zaleha – sepatutnya Zulaikha

12. Nama yang dihubungkan pada kisah yang tidak dipastikan kebenarannya, seperti:

· “Zulaikha” yang kononnya menjadi simbolik percintaan dan kasih sayang yang kekal berpanjangan bersama Nabi Yusuf yang terkenal dengan ketampanannya. Kononnya Zulaikha bertemu semula dengan Nabi Yusuf setelah beliau sudah tua dan buta matanya. Oleh kerana cintanya begitu mendalam pada Nabi Yusuf akhirnya Nabi Yusuf menerimanya sebagai isteri. Kemudian Zulaikha kembali menjadi muda dan dapat melihat seperti sediakala. Inilah kekarutan yang direka-reka dan kemudiannya turut memberi kesan kepada masyarakat Islam sehingga menamakan anak-anak dengan nama Zulaikha dan menjadikannya sebagai doa dalam kad-kad perkahwinan.

· Muti’ah – kononnya adalah wanita pertama yang masuk syurga sebelum Fatimah al-Zahra` lagi. Dikatakan bahawa beliau adalah seorang wanita yang paling solehah kerana sangat baik dalam melayani dan berkhidmat pada suaminya.

13. Nama yang memberi makna sifat, seperti:

· Muti’ah (yang taat)

14. Nama yang tidak memberi apa-apa makna, lebih buruk lagi jika apabila dipendekkan memberikan makna yang tidak elok seperti:

· Ezani – dipendekkan menjadi: Zani (lelaki penzina)

15. Nama yang terpengaruh dengan budaya barat, contohnya:

· Isaac – asalnya Ishak (Nama Nabi)

· Harry – asalnya Khairi (Kebaikanku)

16. Nama yang memberikan makna yang tidak jelas atau lucu dalam bahasa Arab, contohnya:

· Syamsul Bahri (matahari lautan)

· Badrul Hisyam (bulan yang pecah-pecah)

· Nik (kemaluan perempuan atau mentah, tidak matang)

· Rafidhi (Syiah pelampau)

· Atan (keldai betina)

· Haikal (rumah berhala, kerangka, lembaga)

· Jamalullail (keindahan malam)

17. Nama yang mempunyai ‘ni’ dihujungnya seperti ‘Halwani’ yang sering digunakan pada orang perempuan masyarakat Melayu yang sebenarnya bermaksud ‘lelaki penjual kueh’.

Nota: Nama-nama bukan dari bahasa Arab yang elok maknanya  harus digunakan, contohnya, seperti berikut:

· Fairuz

· Sirin (manis –bahasa Farsi)

· Rustam

· Sarfaraz (mulia)

· Sibawaih (wangian epal)

18. Nama-nama yang membawa maksud yang buruk atau langsung tidak memberikan apa-apa makna kerana salah sebutan atau ejaannya seperti:

· Sukri (kemabukanku) – sepatutnya Syukri (Kesyukuranku)

· Sya`ari (buluku) – sepatutnya Asy`ari

· Nordin (tiada makna) – sepatutnya Nuruddin (cahaya agama)

· Kadir (keruh) – sepatutnya `Abdul Qadir (Hamba kepada yang Maha Berkuasa)

· Jamaluddin (Unta agama) – sebetulnya Jamaaluddin جمال الدين (kecantikan agama) yakni sebutan yang panjang pada “maal”.

19. Gabungan yang salah atau tidak kena pada tempatnya seperti ‘Nurhafizah’ tidak memberi apa-apa maksud kerana gabungan ini salah dari segi kaedah bahasa Arab, dan contoh gabungan yang betul: Nurhayati (cahaya hidupku), Nur`aini (cahaya mataku).

20. Nama yang salah kerana tidak membezakan penggunaan “ya mutakallim dengan “ya nisbah”.

Ya mutakallim” adalah “ya” pada akhir kata nama yang memberi makna “sesuatu milikku” atau “daripadaku” seperti:

· Syukri (Kesyukuranku)

· Fathi (Kemenanganku)

Ya nisbah” pula ada “ya” pada akhir kata nama yang memberi makna nisbah atau hubungan pada tempat, pekerjaan dan sebagainya. Contohnya:

· Imam Jalaluddin as-Suyuti yang bermaksud: Imam Jalaluddin orang Asyut.

· Imam Muhammad bin Isma`il al-Bukhari yang bermaksud: Imam Muhammad bin Isma`il orang Bukhara.

· Muhammad Asri yang bermakna ‘Muhammad tawananku’, ini kerana sebenarnya ini adalah ya mutakallim dan bukan ya nisbah. Nama yang betul ialah Muhammad ‘Asri.

21. Tidak boleh menggunakan nama ‘Malikul Muluk’ atau ‘Malikul Malak’ kerana ada larangan dalam hadith dan terdapat penggunaannya dalam al-Quran, firman Allah s.w.t:

لِمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

(Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah Yang Menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya!” [Surah Ghafir , Ayat 6]

dan ayat:

هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ

“Dialah Allah, Yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi Segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari Segala Yang mereka sekutukan denganNya” [ Al-Hasyr: 23 ].

22. Tidak boleh menggunakan nama yang merupakan gelaran yang khusus kepada seseorang Nabi sebagai mukjizatnya, seperti:

· Ruhullah (Roh daripada Allah) – gelaran khusus yang diberikan kepada Nabi Isa a.s kerana Nabi Isa dilahirkan tanpa ayah dengan kuasa Allah.

· Khalilullah (Kekasih Allah) / Khalilurrahman (Kekasih kepada yang Maha Pengasih) – gelaran khusus yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Selain itu nama-nama ini juga membawa maksud yang sangat tinggi dan keterlaluan untuk dipakai pada orang yang biasa selain bercanggah dengan hadith dan terdapat larangan yang terang berkaitannya.

NOTA TAMBAHAN

1. Sekiranya sesuatu nama memberikan beberapa makna termasuk yang baik dan buruk maka harus menggunakannya kerana ini ada dilakukan oleh Nabi s.a.w. sendiri, contohnya:

· Zainab – makna baik : nama bagi sejenis pokok yang wangi

– makna buruk : pengecut

· Mu`awiyah – makna baik : pembela/pejuang

– makna buruk : yang menyalak

2. Harus menamakan dengan nama-nama bintang, burung atau bunga seperti Surayya, Aktar (tuah atau bintang dalam bahasa Farsi) dan lain-lain.

3. Seelok-eloknya sesuatu nama hendaklah dipastikan betul ejaan ruminya kerana nama juga adalah merupakan doa kepada pemiliknya, sekiranya salah sebutannya maka berlainan pula maksudnya, contohnya:

نعيمة bermaksud yang bahagia, yang lembut, yang mulia tetapi apabila dieja mengikut ejaan rumi maka ia menjadi Naimah نائمة bermaksud yang tidur.

Selain itu terdapat ilmu yang dinamakan “Ilmu Raksi” yang mempunyai kaedah untuk mentafsir sifat seseorang berdasarkan namanya, ilmu ini juga pernah disebutkan oleh Ibnu Khaldun dalam bab jenis-jenis ilmu.

4. Kita mungkin boleh mengelakkan kesalahan seperti ini dengan:

· Membenarkan ejaan mengikut bahasa yang berkenaan seperti jawi, Arab dan lain-lain dalam kad pengenalan atau surat beranak supaya dapat disebut dengan betul mengikut kehendak penama tersebut.

. Jabatan Pendaftaran membenarkan penama yang ingin menukar nama yang tidak sesuai kepada nama yang menepati syariat.

· Undang-undang diwujudkan bagi mewajibkan pendaftar nama mengikut kaedah yang betul supaya tidak tersalah dalam memberi nama.

5. Harus menggunakan nama gabungan dari ibu atau anak dan ayah sekiranya membawa makna yang elok, seperti nama seorang ulama`:

· Ihsan Ilahi Zahir – Ayahnya bernama Zahir (pembela, penyokong), bermakna “ihsan Tuhanku nyata”.

· Fadhal Ilahi Zahir – bermaksud “kurniaan Tuhanku nyata”.

Kesalahan-kesalahan Dalam Menutup Aurat

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

aurat2.jpg
aurat1

Pakaian Muslimah yang betul dan tepat dengan kehendak syariat Islam ialah:

1) Menutup semua bahagian tubuh melainkan muka dan tapak tangan

2) Pakaian tersebut tidak mempunyai ciri-ciri perhiasan yang boleh menarik perhatian

3) Mestilah kainnya tebal. Mestilah tidak tembus cahaya dan tidak boleh nampak anggota tubuh.

4) Mestilah longgar (tidak ketat), supaya tidak menampakkan bentuk tubuh

5) Tidak berwangi-wangian

6) Tidak menyerupai pakaian lelaki

7) Tidak menyerupai pakaian wanita kafir

8) Pakaian tersebut mestilah tidak melambangkan kemasyhuran atau kesombongan

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

الأصول الثلاثة

TIGA ASAS UTAMA

SHEIKH  MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB AT-TAMIMIرحمه الله تعالى

 (Alih Bahasa – Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman)

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Ketahuilah wahai saudara, semoga Allah merahmati kamu. Sesungguhnya wajib ke atas kita mengetahui empat masalah ini:

Pertama: Ilmu, iaitu ilmu mengenali Allah, Rasul-Nya dan agama Islam dengan dalil-dalilnya

Kedua: Beramal dengannya

Ketiga: Berdakwah mengajak manusia kepadanya

Keempat: Bersabar di atas kesusahan kerananya. Dalilnya, firman Allah Taala:

بسم الله الرحمن الرحيم

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran”. (Surah Al-‘Asr, Ayat 1-3).

Kata Imam as-Syafi’e rahimahullah: “Sekiranya Allah s.w.t tidak menurunkan hujjah ke atas hamba-Nya kecuali surah ini, nescaya ia sudah memadai bagi mereka”. Kata Imam al-Bukhari: “Bab: Ilmu sebelum perkataan dan amalan, dalilnya, firman Allah Taala :

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ (سورة محمد: الآية 19)

 Maka ketahuilah (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepada-Nya di atas kesalahan yang telah engkau lakukan”. (Surah Muhammad, Ayat 19).

Maka Allah meletakkan ilmu mendahului perkataan dan perbuatan.

Ketahuilah wahai saudara, semoga Allah merahmati kamu. Sesungguhnya wajib ke atas setiap muslim, lelaki dan perempuan memahami tiga perkara ini dan beramal dengannya.

Pertama: Allah telah mencipta dan memberi rezeki kepada kita semua serta tidak membiarkan kita tanpa petunjuk. Dia telah mengutuskan Rasul-Nya kepada kita. Sesiapa yang taat kepada-Nya, akan mendapat balasan syurga dan sesiapa yang ingkar akan mendapat balasan neraka.

Dalilnya, firman Allah Taala:

إِنَّا أَرْسَلْنَا إِلَيْكُمْ رَسُولًا شَاهِدًا عَلَيْكُمْ كَمَا أَرْسَلْنَا إِلَى فِرْعَوْنَ رَسُولًا (15) فَعَصَى فِرْعَوْنُ الرَّسُولَ فَأَخَذْنَاهُ أَخْذًا وَبِيلًا (16) – (سورة المزمل: الآيتان 15-16)

Sesungguhnya Kami telah utuskan kepada kamu (wahai umat Muhammad), seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu (tentang orang yang mematuhi atau menolak seruannya), sebagaimana Kami telah utuskan kepada Firaun seorang Rasul. Maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami menyeksanya dengan azab seksa yang seberat-beratnya”. (Surah Al-Muzzammil, Ayat 15-16).

Kedua: Allah s.w.t sekali-kali tidak membenarkan kita untuk menyekutui-Nya dengan sesuatu apapun dalam melakukan ibadat kepada-Nya, walaupun dengan malaikat yang hampir (dengan Allah) atau nabi yang diutus.

Dalilnya, firman Allah Taala:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا (18) – (سورة الجن: الآية 18)

Bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu adalah tempat untuk (beribadat kepada) Allah semata-mata, maka janganlah kamu menyeru dan menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah”. (Surah Al-Jin, Ayat 18)

Ketiga: Sesiapa yang mentaati Rasul dan mengakui akan keEsaan Allah s.w.t tidak harus baginya membela dan menyokong mereka yang menentang ajaran Allah dan Rasul-Nya, walaupun mereka merupakan kaum kerabat yang terdekat.

Dalilnya, firman Allah Taala:

لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آَبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ – (سورة المجادلة: الآية 22)

“Engkau tidak akan menemui suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itulah orang-orang yang berjaya”. (Surah Al-Mujadilah, Ayat 22)

Ketahuilah wahai saudara, semoga Allah memberi petunjuk-Nya kepada kamu untuk melakukan ketaatan kepadaNya.

Sesungguhnya agama (Islam) yang lurus (“Al-Hanifiyyah”) iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s. yang mengajar bahawa Allah s.w.t sahaja yang berhak disembah dengan penuh ikhlas dan ketaatan. Itulah yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. kepada semua manusia dan sesungguhnya Dia mencipta mereka untuk tujuan tersebut sebagaimana firmanNya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ – (سورة الذاريات: الآية 56)

Dan (ingatlah) bahawa Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepada-Ku”. (Surah Az-Zariyat, Ayat 56)

Maksud (يعبدون) “Menyembah/beribadat kepada-Ku” bererti mengesakan-Ku. Antara suruhan terbesar yang diperintahkan oleh Allah ialah tauhid, iaitu mengaku hanya Allah sahaja yang layak disembah dan larangan yang paling besar ialah syirik, iaitu menyembah sesuatu yang lain bersama Allah s.w.t.

Dalilnya, firman Allah Taala:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا – (سورة النساء: الآية: 36)

 “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun”. (Surah An-Nisa’, Ayat 36)

================================================================================

TIGA ASAS UTAMA

Apabila kamu ditanya: Apakah tiga asas utama yang wajib diketahui oleh setiap insan? Maka jawablah: Seorang hamba wajib mengenali tuhannya, agamanya dan nabinya Muhammad s.a.w.

ASAS PERTAMA: MENGENALI ALLAH S.W.T

Apabila kamu ditanya : Siapa tuhan kamu?

Maka jawablah: Tuhanku ialah Allah yang memeliharaku dan seluruh makhluk dengan nikmat-Nya. Dialah sahaja yang aku sembah dan tidak ada tuhan yang aku sembah selain daripada-Nya. Dalilnya, firman Allah Taala:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ – (سورة الفاتحة: الآية 2)

 “Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbir sekalian alam”. (Surah Al-Fatihah, Ayat 2)

Semua perkara selain daripada Allah adalah alam (makhluk) ciptaan-Nya dan aku adalah salah satu daripada makhluk-Nya.

Jika kamu ditanya lagi: Bagaimana kamu mengenali tuhan kamu?

Maka jawablah: Aku mengenalinya melalui tanda-tanda kekuasaan-Nya dan makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian siang dan malam, matahari dan bulan dan antara makhluk ciptaanNya ialah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta segala yang terkandung di dalam keduanya dan segala yang ada di antara keduanya. Dalilnya, firman Allah Taala:

وَمِنْ آَيَاتِهِ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (37) – (سورة فصلت: الآية 37)

Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula kamu sujud kepada bulan dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya kamu benar-benar beribadat hanya kepada Allah”. (Surah Fussilat, Ayat 37)

Dan firman-Nya lagi:

  إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ أَلَا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ (54) – (سورة الأعراف: الآية 54)

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang Menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari, lalu Dia bersemayam di atas Arasy, Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan cepat (silih berganti) dan (Dia pula Yang Menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbir sekalian alam”. (Surah Al-A’raf, Ayat 54).

“Ar-Rabb” antara ertinya ialah: ‘Yang disembah’ (Hanya Allah sahaja yang layak disembah).

Dalilnya, firman Allah Taala:

(21) يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمْ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

(22) ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ فِرَٰشًا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءً وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًا لَّكُمْ فَلَا تَجْعَلُوا۟ لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

(سورة البقرة: الآية 21-22)

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa. Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) seperti bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu, maka janganlah kamu mengadakan sekutu bagi Allah, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 21-22)

Kata Ibnu Kathir rahimahullah Taala: “Hanya Pencipta segala kejadian ini sahaja yang layak disembah”.

Antara jenis ibadat yang diperintah oleh Allah agar dilaksanakan adalah seperti: Islam, Iman dan Ihsan. Di antaranya lagi ialah doa,  takut (“khauf”),  harap (“rajaa’ “), tawakkal,  gemar (“raghbah”),  gerun (“rahbah”), khusyu’ , takut (“khasyiah”), kembali kepada-Nya (“inabah”),  minta pertolongan (“isti’anah”),  berlindung daripada kejahatan (“isti’azah”),  minta bantuan (“istighathah”),  korban (“az-Zabh”)dan nazar serta ibadat-ibadat lain yang telah diperintah oleh Allah. Semua ibadat ini khas untuk Allah yang Maha Tinggi.

Dalilnya, firman Allah Taala:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا – (سورة الجن: الآية 18)

Bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (beribadat kepada) Allah semata-mata, maka janganlah kamu menyeru dan menyembah sesiapapun bersama-sama Allah”. (Surah Al-Jin, Ayat 18).

Sesiapa yang menjadikan salah satu daripada ibadat tersebut kepada selain daripada Allah maka dia telah menjadi syirik dan kufur terhadap Allah.

Dalilnya, firman Allah Taala:

وَمَنْ يَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آَخَرَ لَا بُرْهَانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّمَا حِسَابُهُ عِنْدَ رَبِّهِ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ – (سورة المؤمنون: الآية 117)

Sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang dalil (keterangan) mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya”. (Surah Al-Mukminun, Ayat 117).

Dalil Doa

Tersebut dalam hadith : ( الدعاء مخ العبادة ) “Doa adalah asas segala ibadat”.

Dalilnya, firman Allah Taala:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ – (سورة غافر: الآية 60)

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong (takabbur) daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk ke dalam Neraka Jahannam dalam keadaan hina”. (Surah Ghafir [Al-Mukmin], Ayat 60).

Dalil Takut (Khauf)

Firman Allah Taala:

فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ – (سورة آل عمران: الآية 175)

 “Oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika kamu benar-benar orang yang beriman”. (Surah Ali ‘Imran, Ayat 175).

Dalil Harap (Rajaa’)

Firman Allah Taala:

فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا – (سورة الكهف: الآية 110)

 “Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Surah Al-Kahfi, Ayat 110).

Dalil Tawakkal

Firman Allah Taala:

وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُوا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ – (سورة المائدة: الآية 23)

 “Hanya kepada Allah hendaklah kamu berserah (bertawakkal), jika kamu benar-benar orang yang beriman”. (Surah Al-Maidah, ayat 23).

  وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ – (سورة الطلاق: الآية 3)

 “Sesiapa berserah diri (bertawakkal) kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya (menolong dan menyelamatkannya)”. (Surah At-Thalaq, Ayat 3).

Dalil Gemar (Raghbah), Gerun (Rahbah) dan Khusyu’

Firman Allah Taala:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ – (سورة الأنبياء: الآية 90)

 “Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan, gerun dan takut serta mereka pula sentiasa khusyu’ (taat) kepada Kami”. (Surah Al-Anbiya’, ayat 90).

Dalil Takut (Khasyiah)

Firman Allah Taala:

فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي – (سورة البقرة: الآية 150)

 “Maka janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kamu kepada-Ku”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 150).

Dalil Kembali kepada Allah (Al-Inabah)

Firman Allah Taala:

وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ – (سورة الزمر: الآية 54)

Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah dirilah kepada-Nya”. (Surah Az-Zumar, Ayat 54).

Dalil Memohon Pertolongan (Isti’anah)

Firman Allah Taala:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ – (سورة الفاتحة: الآية 5)

 “Hanya kepada Engkau sahajalah (Ya Allah) Yang Kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami memohon pertolongan”. (Al-Fatihah, Ayat 5).

Dalil daripada hadith:

إذا استعنت فاستعن بالله

“Apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah dengan Allah”.

Dalil Memohon Perlindungan (Isti’azah)

Firman Allah Taala:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2) – (سورة الناس: الآية 1-2)

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung dengan Tuhan (Pemelihara) sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia”. (Surah An-Nas, Ayat 1-2).

Dalil Meminta Bantuan (Istighathah)

Firman Allah Taala:

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ – (سورة الأنفال: الآية 9)

(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan daripada Tuhanmu, lalu Dia memperkenankan permohonan kamu”. (Surah Al-Anfal, Ayat 9).

Dalil Korban (Az-Zabh)

Firman Allah Taala:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (162) لَا شَرِيكَ لَهُ -(سورة الأنعام: الآية 162-163)

Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku (sembelihanku/korbanku), hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam, tiada sekutu bagi-Nya”. (Surah Al-An’am, Ayat 162-163).

Dalil daripada hadith:

لعن الله من ذبح لغير الله

“Allah melaknat sesiapa yang menyembelih (korban) untuk selain daripada-Nya”.

Dalil Nazar

Firman Allah Taala:

يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا – (سورة الإنسان: الآية 7)

“Mereka menyempurnakan nazar mereka (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepada mereka), serta mereka takutkan hari (Akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini”. (Surah Al-Insan, Ayat 7).

ASAS KEDUA: MENGENALI ISLAM BERDASARKAN DALIL-DALIL

Islam: iaitu menyerah diri kepada Allah s.w.t dengan tauhid (mengesakan-Nya), patuh serta taat setia terhadap segala suruhan-Nya dan melepaskan diri daripada segala bentuk syirik dan orang-orang musyrik.

Agama Islam merangkumi tiga martabat (peringkat):

  1. Islam
  2. Iman
  3. Ihsan

Setiap martabat mempunyai rukun-rukunnya.

Martabat Pertama: Islam

Islam mempunyai lima rukun:

  1. Mengucap dua kalimah Syahadah iaitu mengakui tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah
  2. Menunaikan solat lima waktu
  3. Menunaikan zakat
  4. Berpuasa dalam bulan Ramadhan
  5. Menunaikan haji ke Baitullah

Dalil Syahadah

Firman Allah Taala:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ – (سورة آل عمران: الآية 18)

“Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbir (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (Surah Ali ‘Imran, Ayat 18).

Maksudnya: Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa. Makna “La Ilaha” menafikan segala jenis tuhan lain yang disembah selain daripada Allah. “Illallah” Menetapkan bahawa ibadah (perhambaan) itu hanya untuk Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya di dalam ibadat dan juga kekuasaan.

Tafsir syahadah ini telah dijelaskan melalui firman Allah Taala :

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِ إِنَّنِي بَرَاءٌ مِمَّا تَعْبُدُونَ (26) إِلَّا الَّذِي فَطَرَنِي فَإِنَّهُ سَيَهْدِينِ (27) وَجَعَلَهَا كَلِمَةً بَاقِيَةً فِي عَقِبِهِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (28) – (سورة الزخرف: الآية 26-28)

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim a.s berkata kepada bapanya dan kaumnya: Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu sembah, tetapi (aku menyembah) Tuhan yang menciptakan diriku, kerana sesungguhnya Dia tetap memberi hidayah petunjuk kepadaku. Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya, supaya mereka kembali (kepada tauhid itu, jika ada yang menyeleweng kepada syirik)”. (Surah Az-Zukhruf, Ayat 26-28).

Dan firman Allah Taala:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ – (سورة آل عمران: الآية 64)

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak menyengutukanNya dengan sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”. (Surah Ali ‘Imran, Ayat 64).

Dalil Syahadah Muhammmad Rasulullah

Firman Allah Taala:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ (128) – (سورة التوبة: الآية 128)

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang beriman”. (Surah At-Taubah, Ayat 128).

Maksud mengaku bahawa “Muhammad Rasulullah” ialah dengan mematuhi segala ajarannya, beriman dengan segala yang dibawanya, meninggalkan segala larangannya dan menyembah Allah seperti yang diajarnya.

Dalil Solat, Zakat dan Tafsiran Tauhid

Firman Allah Taala:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ – (سورة البينة: الآية 5)

Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, dalam keadaan teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar”. (Surah Al-Bayyinah, Ayat 5).

Dalil Puasa

Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ – (سورة البقرة: الآية 183)

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 183).

Dalil Haji

Firman Allah Taala:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ – (سورة آل عمران: الآية 97)

“Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan mereka yang kufur (mengingkari kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk”. (Surah Ali ‘Imran, Ayat 97).

Martabat Kedua – Iman

Iman itu mengandungi lebih daripada tujuh puluh bahagian; setinggi-tingginya ialah mengucap “La Ilaha illallah” dan yang serendah-rendahnya ialah membuang sebarang gangguan yang berada di atas jalan dan malu itu sebahagian daripada Iman.

Rukun Iman enam perkara :

  • Beriman dengan Allah
  • Beriman dengan MalaikatNya
  • Beriman dengan Kitab-kitabNya
  • Beriman dengan Rasul-rasulNya
  • Beriman dengan Hari Kiamat
  • Beriman dengan Qadar (ketentuan) baik dan buruk

Dalil enam rukun ini

Firman Allah Taala:

لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آَمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ – (سورة البقرة: الآية 177)

Bukanlah perkara kebajikan itu hanya dengan kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah keimanan kepada Allah, hari akhirat, para malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 177).

Dalil Qadar (ketentuan)

Firman Allah Taala:

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ – (سورة القمر: الآية 49)

Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)”. (Surah Al-Qamar, Ayat 49).

Martabat ketiga: Ihsan

Ihsan hanya mempunyai satu rukun, iaitu kamu menyembah Allah (dengan keimanan) seolah-olah kamu melihat-Nya dan jika kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu.

Dalilnya, firman Allah Taala:

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ – (سورة النحل: الآية 128)

“Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang melakukan kebaikan”. (Surah An-Nahl, Ayat 128).

Firman Allah Taala lagi:

وَتَوَكَّلْ عَلَى الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ (217) الَّذِي يَرَاكَ حِينَ تَقُومُ (218) وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِينَ (219) إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (220) – سورة الشعراء:

“Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani, Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan sembahyang), dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud. Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah Asy-Syu’ara’, Ayat 217-220).

Firman Allah Taala lagi:

وَمَا تَكُونُ فِي شَأْنٍ وَمَا تَتْلُو مِنْهُ مِنْ قُرْآَنٍ وَلَا تَعْمَلُونَ مِنْ عَمَلٍ إِلَّا كُنَّا عَلَيْكُمْ شُهُودًا إِذْ تُفِيضُونَ فِيهِ وَمَا يَعْزُبُ عَنْ رَبِّكَ مِنْ مِثْقَالِ ذَرَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَلَا أَصْغَرَ مِنْ ذَلِكَ وَلَا أَكْبَرَ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ – (سورة يونس: الآية 61)

“Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) ketika menjalankan sesuatu urusan dan tidaklah engkau membaca dalam sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) ketika mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya”. (Surah Yunus, Ayat 61).

Dalil daripada Sunnah (hadith)

Hadith Jibrail a.s yang masyhur dari ‘Umar bin Al-Khattab (r.a) katanya: Ketika kami sedang duduk berdekatan dengan Nabi s.a.w tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya kesan kepenatan bermusafir sedangkan tiada seorang pun daripada kalangan kami yang mengenalinya, lalu orang itu duduk berdekatan dengan Nabi s.a.w dengan menyandarkan kedua lututnya kepada kedua lutut Nabi s.a.w serta meletakkan kedua tangannya di atas dua pahanya seraya berkata:

“Wahai Muhammad, beritahu kepada saya tentang Islam?”

Sabda Nabi s.a.w:

أن تشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله، وتقيم الصلاة وتؤتي الزكاة وتصوم رمضان وتحج البيت إن استطعت إليه سبيلا

“Engkau menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dalam bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah apabila berkemampuan”.

Kata lelaki tersebut: Benar!

(Kata ‘Umar): Kami merasa hairan, beliau bertanya kemudian beliau membenarkan jawapan yang diberikan.

Kemudian lelaki itu bertanya lagi: “Beritahu kepada saya tentang Iman?”

Sabda Nabi s.a.w:

أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر وبالقدر خير وشره

“Hendaklah engkau beriman dengan Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan Hari Akhirat serta Qadar (untung) baik dan yang tidak baik”.

Katanya lagi: “Beritahu kepada saya tentang Ihsan?”

Sabda Nabi s.a.w:

أن تعبد الله كأنك تراه، فإن لم تكن تراه فإنه يراك

“Engkau menyembah Allah (dengan keimanan) seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Katanya lagi: “Beritahu kepada saya tentang Hari Kiamat?”

Sabda Nabi s.a.w:

ما المسؤول عنها بأعلم من السائل

“Bukanlah orang yang ditanya tentang perkara itu lebih tahu daripada orang yang bertanya”.

Katanya lagi: “Beritahu kepada saya tanda-tanda Kiamat?”

Sabda Nabi s.a.w:

أن تلد الأمة ربتها، وأن ترى الحفاة العراة العالة رعاء الشاء يتطاولون في البنيان .

“Apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau lihat orang yang tidak beralas kaki, tidak berpakaian (sempurna), hidup melarat mengembala kambing, berlumba-lumba membina bangunan yang tinggi”.

Kata ‘Umar: Selepas itu lelaki tersebut terus pergi, kami semua berdiam diri seketika.

Rasulullah s.a.w bertanya: “Wahai ‘Umar! Adakah kamu tahu siapa yang bertanya tadi?”

Kami menjawab: “Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui”.

Sabdanya: “Inilah Jibrail, dia datang untuk mengajar kamu urusan agama kamu”.

ASAS KETIGA: MENGENALI NABI MUHAMMAD S.A.W.

Baginda ialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim, Hasyim dari keturunan Quraisy, Quraisy dari bangsa Arab, Arab dari zuriat Nabi Ismail bin Ibrahim Al-Khalil (sebaik-baik selawat dan salam ke atasnya serta ke atas Nabi kita). Baginda hidup selama 63 tahun, 40 tahun sebelum diutuskan dan 23 tahun sebagai nabi dan rasul. Baginda dilantik menjadi nabi dengan surah Iqra’ dan diutuskan sebagai Rasul dengan surah Al- Muddatthir. Dilahirkan di Makkah dan kemudian berhijrah ke Madinah. Allah mengutuskannya untuk menyampaikan peringatan agar menjauhi syirik dan menyeru kepada tauhid (keesaan Allah).

Dalilnya, firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ (1) قُمْ فَأَنْذِرْ (2) وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ (3) وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ (4) وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ (5) وَلَا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ (6) وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ (7) – (سورة المدثر: الآية 1-7)

“Wahai orang yang berselimut, bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan agungkan Tuhanmu, bersihkan pakaianmu, tinggalkan semua kejahatan (berhala) dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan untuk (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)”. (Surah Al-Muddatthir, Ayat 1-7).

Makna: “Bangunlah serta berilah peringatan”: iaitu memberi amaran agar menjauhi syirik dan menyeru ke arah tauhid.

“Agungkan Tuhanmu”: besarkanNya dengan tauhid (pengakuan tentang keesaan Allah).

“Bersihkan pakaianmu”: sucikanlah amalan kamu daripada syirik.

“Tinggalkan semua kejahatan”: kejahatan itu ialah berhala, menjauhi diri daripada berhala-berhala: dengan meninggalkannya serta meninggalkan penyembahnya dan berlepas diri daripada mereka.

Baginda melaksanakan perintah ini dengan menyeru manusia kepada tauhid selama 10 tahun, kemudian diangkat ke langit (Mikraj) dan telah difardukan solat lima waktu ke atasnya. Solat telah ditunaikan di Makkah selama tiga tahun.

Baginda kemudiannya diarahkan berhijrah ke Madinah.

Hijrah bererti: Berpindah meninggalkan negara syirik ke negara Islam. Hijrah ini wajib ke atas umat Islam sehingga hari Kiamat.

Dalilnya, firman Allah Taala :

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُولَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا (97) إِلَّا الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا (98) فَأُولَئِكَ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَعْفُوَ عَنْهُمْ وَكَانَ اللَّهُ عَفُوًّا غَفُورًا (99) – (سورة النساء: الآية 97-99)

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Dalam keadaan bagaimana kamu ini?”. Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?”. Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah Neraka Jahannam dan Neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun”. (Surah An-Nisa’, Ayat 97-99).

Firman Allah Taala lagi:

يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّ أَرْضِي وَاسِعَةٌ فَإِيَّايَ فَاعْبُدُونِ – (سورة العنكبوت: الآية 56)

“Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Sesungguhnya bumi-Ku adalah luas (untuk kamu bebas beribadat); oleh itu, (di mana sahaja kamu dapat berbuat demikian) maka hendaklah kamu ikhlaskan ibadat kamu kepada-Ku”. (Surah Al Ankabut, Ayat 56).

Kata Al-Baghawi rahimahullah: “Ayat ini diturunkan kepada kaum muslimin yang tinggal di Makkah dan tidak berhijrah ke Madinah, namun Allah tetap memanggil mereka sebagai hamba-Nya yang beriman”.

Dalil daripada Sunnah yang menunjukkan kewajiban hijrah, sabda Rasulullah s.a.w :

لا تنقطع الهجرة حتى تنقطع التوبة، ولا تنقطع التوبة حتى تطلع الشمس من مغربها

“Tidak akan terputus hijrah hingga tertutupnya pintu taubat dan pintu taubat tidak akan ditutup sehingga matahari terbit dari sebelah barat”.

Apabila Rasulullah s.a.w telah menetap di Madinah, Baginda telah diperintahkan untuk melaksanakan syariat-syariat Islam yang lain seperti zakat, puasa, haji, azan, jihad, amar ma’ruf dan nahi mungkar dan lain-lain lagi daripada syariat Islam. Baginda mengambil masa selama sepuluh tahun untuk memperjuangkannya. Setelah itu, Baginda telah diwafatkan oleh Allah, namun agama Islam tetap kekal. Inilah agamanya: tidak ada suatu kebaikan kecuali telah ditunjukkan kepada umatnya dan tidak ada sebarang kejahatan kecuali telah diberi amaran kepada umatnya agar menjauhinya. Kebaikan yang telah ditunjukkan oleh Baginda ialah tauhid (mengesakan Allah) dan segala yang diredhai dan disukai olehNya. Keburukan yang diberi peringatan oleh Baginda ialah syirik dan semua perkara yang dibenci dan yang dilarang oleh Allah.

Allah mengutus Muhammad s.a.w kepada seluruh umat manusia dan mewajibkan ke atas semua manusia dan jin agar patuh dan taat kepada ajarannya.

Dalilnya, firman Allah Taala:

قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا – (سورة الأعراف: الآية 158 )

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semua”. (Surah Al-A’raf, Ayat 158).

Melalui Baginda (Muhammad Rasulullah s.a.w) Allah menyempurnakan agama Islam.

Dalilnya, firman Allah Taala:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا – (سورة المائدة: الآية 3)

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu”. (Surah Al-Maidah, Ayat 3).

Dalil tentang Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, firman Allah Taala:

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ (30) ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِنْدَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ (31) – (سورة الزمر: الآية 30-31)

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati dan mereka juga akan mati. Kemudian sesungguhnya kamu pada Hari Kiamat nanti berbantah-bantahan di hadapan Tuhan”. (Surah Az-Zumar, ayat 30-31).

Dalil bahawa manusia akan dibangkitkan selepas kematian mereka, firman Allah Taala:

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى – (سورة طه: الآية 55)

“Dari bumilah Kami ciptakan kamu dan ke dalamnyalah Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi”. (Surah Taha, Ayat 55).

Dan firman Allah Taala lagi:

وَاللَّهُ أَنْبَتَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ نَبَاتًا (17) ثُمَّ يُعِيدُكُمْ فِيهَا وَيُخْرِجُكُمْ إِخْرَاجًا (18) – (سورة نوح: الآية 17-18)

“Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh sempurna, kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati) dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sungguh benar”. (Surah Nuh, Ayat 17-18).

Selepas dibangkitkan, mereka akan dihisab dan diberi balasan mengikut amalan masing-masing.

Dalilnya, firman Allah Taala:

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى – (سورة النجم: الآية 31)

“Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut amalan yang mereka lakukan dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya”. (Surah An-Najm, Ayat 31).

Sesiapa yang menafikan hari kebangkitan adalah kafir.

Dalilnya, firman Allah Taala:

زَعَمَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ لَنْ يُبْعَثُوا قُلْ بَلَى وَرَبِّي لَتُبْعَثُنَّ ثُمَّ لَتُنَبَّؤُنَّ بِمَا عَمِلْتُمْ وَذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ – (سورة التغابن: الآية 7)

“(Di antara sebab-sebab kufur) orang-orang yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan bahawa mereka tidak sekali-kali akan dibangkitkan (sesudah mati). Katakanlah: Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang telah kamu kerjakan dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”. (Surah At-Taghabun, Ayat 7).

Allah telah menghantar semua rasul untuk membawa khabar gembira dan peringatan.

Dalilnya, firman Allah Taala:

رُسُلًا مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا – (سورة النساء: الآية 165)

“Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah Dia mengutuskan Rasul-rasul itu”. (Surah An-Nisa’, Ayat 165).

Rasul yang pertama ialah Nuh a.s dan yang terakhir ialah Muhammad s.a.w, penutup segala nabi-nabi.

Dalil bahawa Nuh adalah rasul yang pertama, firman Allah Taala:

إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَى نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِنْ بَعْدِهِ – (سورة النساء: الآية 163)

“Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya”. (Surah An-Nisa’, Ayat 163).

Allah telah mengutuskan rasul kepada setiap umat, bermula dari Nuh a.s sehingga Muhammad s.a.w. Mereka menyeru setiap umat supaya menyembah Allah s.w.t sahaja dan menegah daripada menyembah taghut.

Dalilnya, firman Allah Taala:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ – (سورة النحل: الآية 36)

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada setiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya supaya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut”. (Surah An-Nahli, Ayat 36).

Allah s.w.t telah mewajibkan ke atas semua hambaNya agar menolak (menjauhi) taghut dan beriman kepada-Nya.

Ibnul Qayyim rahimahullah telah berkata: “Erti taghut: ialah apabila seorang hamba melampaui batas sama ada dari segi yang disembah atau yang diikut atau yang dipatuhi”.

Jenis-jenis taghut itu banyak, tetapi yang utamanya ialah lima:

  1. Iblis –laknat Allah ke atasnya
  2. Sesiapa sahaja yang disembah dan dia redha dengannya
  3. Sesiapa yang mengajak manusia untuk menyembahnya
  4. Sesiapa yang mengaku bahawa dia mengetahui tentang perkara ghaib
  5. Mereka yang memerintah dan menghukum tanpa berpandukan panduan yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Dalilnya, firman Allah Taala:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ – (سورة البقرة: الآية 256)

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Baqarah, ayat 256).

Inilah hakikat: “La ilaha illallah” (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah).

Tersebut dalam hadith:

رأس الأمر الإسلام، وعموده الصلاة، وذروة سنامه الجهاد في سبيل الله

“Pokok agama ialah Islam, tiangnya ialah solat dan perkara yang tertinggi dalam agama ialah Jihad di jalan Allah”.

Wallahu a’lam.

Islam, Iman Dan Ihsan

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 40m 12s] – Islam, Iman Dan Ihsan – Sesi 1 – Ust Shamsuddin Abd Rahman

KLIK TANDA MASA DI BAWAH UNTUK TONTON TERUS KE TAJUK PERBINCANGAN

1 – 03:32 – Rukun Islam

2 – 19:18 – 1 : Mengucap dua kalimah syahadah

3 – 20:40 – 2 : Menunaikan sembahyang lima waktu.  3 : Menunaikan zakat

4 – 31:13 – 4 : Puasa di bulan Ramadhan   5 : Menunaikan haji bagi yang mampu

VIDEO – [Durasi – 44m 14s] – Islam, Iman Dan Ihsan – Sesi 2 – Ust Shamsuddin Abd Rahman

KLIK TANDA MASA DI BAWAH UNTUK TONTON TERUS KE TAJUK PERBINCANGAN

1 – 01:29 – Rukun Iman

2 – 02:26 – 1 : Beriman kepada Allah

3 – 10:28 – 2 : Beriman kepada malaikat

4 – 19:02 – 3 : Beriman kepada kitab-kitab

5 – 33:33 – 4 : Beriman kepada nabi-nabi

VIDEO – [Durasi – 40m 45s] – Islam, Iman Dan Ihsan – Sesi 3 – Ust Shamsuddin Abd Rahman

KLIK TANDA MASA DI BAWAH UNTUK TONTON TERUS KE TAJUK PERBINCANGAN

1 – 01:04 – 5 : Percaya kepada hari kemudian

2 – 04:47 – 6 : Percaya kepada takdir

ISLAM, IMAN DAN IHSAN

(Adaptasi dari karya asal Ust Ahmad Nasim Abd Raof)*

1- HADITH “JIBRIL”

Daripada Sayyidina Umar bin Al-Khattab r.a katanya: “Ketika kami berada bersama Rasulullah s.a.w pada suatu hari tiba-tiba muncul seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya kesan perjalanan dan tidak ada seorangpun dari kalangan kami yang mengenalinya. Kemudian dia duduk di hadapan Nabi s.a.w lalu menyandarkan lututnya kepada lutut Nabi s.a.w. dan meletakkan dua tapak tangannya di atas dua pahanya seraya berkata: “Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam”. Nabi s.a.w menjawab: “Islam itu adalah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan engkau mengerjakan haji di Baitillah jika engkau mampu pergi kepadanya”. Orang itu berkata: “Benar”. Maka kami hairan terhadapnya, dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang iman”. Nabi s.a.w menjawab: “Iaitu engkau beriman dengan Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kemudian dan engkau beriman dengan ketentuan baik dan buruk (dari Allah)”. Dia berkata: “Benar engkau”. Dia bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang ihsan”. Nabi s.a.w menjawab: “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”. Dia berkata lagi: “Ceritakan kepadaku tentang kiamat”. Nabi s.a.w menjawab: “Tidaklah orang yang ditanya tentangnya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya”. Dia berkata lagi: “Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya”. Nabi s.a.w menjawab: “Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya dan bila mana engkau melihat orang-orang yang dahulunya berkaki ayam, tidak berpakaian, miskin dan pengembala-pengembala kambing akhirnya berlumba-lumba meninggikan bangunan”. Sayyidina Umar r.a berkata: “Kemudian orang itu pergi lalu aku tinggal beberapa lama. Kemudian Nabi s.a.w berkata kcpadaku: “Wahai Umar! Tahukah kamu siapakah orang yang bertanya itu?”. Aku menjawab: “Allah dan Rasu-lNya lebih mengetahui”. Nabi s.a.w berkata: “Sesungguhnya dia adalah Jibril, dia datang mengajarkan kamu agama kamu”. (Sahih Muslim – Bab Menerangkan Islam, Iman Dan Ihsan)

2- MUQADDIMAH

Persoalan pertama yang dikemukakan dalam hadith di atas ialah berkenaan Islam. Nabi s.a.w menjelaskan Islam dengan lima rukun iaitu melafazkan dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji di Baitullah. Jawapan Baginda sebagai isyarat bahawa Islam adalah amalan yang bersifat zahir iaitu ketaatan dan ketundukan kepada Allah yang bersifat zahir atau syi’ar agama. Namun begitu, menyebutkan hanya lima amalan bukan menunjukkan bahawa Islam berkisar hanya pada amalan ini sahaja. Sebaliknya ia sebagai isyarat bahawa amalan yang terdapat di dalam Islam terbahagi kepada beberapa bentuk amalan. Antaranya amalan yang bersifat kata-kata sahaja (“qauli mandhah”) seperti mengucap dua kalimah syahadah, amalan bersifat tubuh badan (“badani mandhah”) semata-mata seperti sembahyang, amalan yang bersifat “fi’li” (buat) seperti sembahyang, yang bersifat “tarki” (meninggalkan) seperti puasa, amalan yang bersifat “mali mandhah” (harta sahaja) seperti zakat, amalan yang bersifat “mali” dan “badani” (harta dan tubuh) seperti haji.

Berdasarkan kepada jawapan Nabi s.a.w di atas, sesetengah ulama’ menta’rifkan Islam dari segi istilah ialah mengucap dua kalimah syahadah dan beramal dengan rukun-rukun Islam yang lain secara zahir (menggunakan anggota zahir). Ulama’ yang lain menta’rifkan Islam dengan makna tunduk kepada Allah dengan melakukan amalan-amalan zahir seperti mentauhidkan Allah, tunduk dan menyerah diri kepada-Nya dengan penuh ketaatan dan memelihara diri daripada syirik serta memusuhi orang-orang yang menyengutukan-Nya dengan sesuatu yang lain. Antara ayat al-Quran yang menepati ta’rif ini ialah, yang bermaksud:

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)”. (Surah al-An’am, Ayat 162 & 163)

Di dalam ayat ini Allah ta’ala dengan jelas memerintahkan Nabi s.a.w supaya melakukan ikrar bahawa dia adalah seorang muslim dengan menepati segala ciri-ciri yang telah disebutkan. Sementara itu Islam dari segi bahasa pula bermaksud tunduk, patuh dan menyerah diri.

Soalan kedua adalah berkaitan dengan iman, lalu Nabi s.a.w menjawab: “Iaitu engkau beriman dengan Allah” dan seterusnya. Jawapan Baginda ini adalah berkenaan perkara-perkara yang berkaitan dengan iman, bukannya hakikat iman. Ini kerana hakikat iman ialah membenarkan.

Rasulullah s.a.w telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang Rasul dengan Rasul-rasul-Nya yang lain”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (Kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.” (Surah al-Baqarah, Ayat 285)

“Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad s.a.w), dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”. (Surah al-Nisa’, Ayat 136)

Mengkufuri salah satu dari rukun ini membawa kepada mengkufurinya semua sekali kerana setiap satunya mempunyai kaitan dengan yang lain. Namun begitu dua ayat di atas tidak menyebutkan berkenaan qada’ dan qadar. Walaupun tidak terdapat qada’ dan qadar di dalam al-Quran secara jelas namun Allah ta’ala menyebutkannya secara isyarat seperti ayat:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”. (Surah al-Taubah, Ayat 51)

Dan:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah.” (Surah an-Nisa’, Ayat 78)

Dan ayat:

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Surah al-Hadid, Ayat 22)

3. RUKUN IMAN PERTAMA – BERIMAN KEPADA ALLAH

Perkara pertama berkaitan dengan keimanan ialah beriman kepada Allah. Yang dimaksudkan dengan beriman kepada Allah ialah membenarkan kewujudan dan mentauhidkan Allah taala, segala sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya dan perbuatan-Nya sebagaimana yang disifatkan dan dinamakan sendiri oleh Allah taala dan Rasul-Nya kepada setiap umat. Khusus untuk umat kemudian beriman sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi s.a.w. Beriman kepada segala yang tersebut itu adalah termasuk di dalam kepercayaan kepada perkara ghaib yang merupakan salah satu ciri penting dalam Islam. Antara dalil yang menunjukkan kewujudan Allah dan Dia sebagai pencipta ialah, ayat al-Quran yang bermaksud:

“Dia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu dan Dia biakkan padanya berbagai jenis binatang; dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat. Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepada-Ku apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripada-Nya (yang kamu sembah itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata”. (Surah Luqman, Ayat 10 & 11)

Dan firmanNya, mafhumnya:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati”. (Surah al-Mukminun, Ayat 12-15)

Di tempat yang lain Allah ta’ala menguatkan kedudukan-Nya sebagai pencipta dengan menimbulkan persoalan kepada golongan yang ingin mengingkari-Nya sebagai pencipta dengan firman-Nya:

“Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada, wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat). (Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)? Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya? Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang di antara kamu) dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan; (Bahkan Kami berkuasa) menggantikan kamu dengan orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu) dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya. Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak). Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam? Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya? Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal, (Sambil berkata): Sesungguhnya kami menanggung kerugian. Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil). Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan) atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur. Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)? Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya atau Kami yang menumbuhkannya? (Surah al-Waqi’ah, Ayat 57-72)

Di samping itu Allah ta’ala mengisyaratkan bahawa pengetahuan tentang kewujudan pencipta yang maha agung boleh juga diperolehi melalui akal. Antaranya dengan merenung segala ciptaan-Nya seperti ayat yang bermaksud:

“Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin. Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)”. (Surah az-Zaariyat, Ayat 20 & 21)

Berdasarkan kepada ayat di atas, pendalilan tentang kewujudan tuhan berdasarkan akal terbahagi kepada dua. Pertama, dalil dengan merenung kepada diri kita sendiri yang dinamakan dalil “anfusi” dan kedua, dengan merenung kepada penciptaan alam yang terbentang luas. Ini berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran seperti:

“Tidakkah mereka melihat dan memikirkan bagaimana Allah mencipta makhluk-makhluk pada mulanya, kemudian Dia akan mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya)? Sesungguhnya yang demikian itu amatlah mudah bagi Allah. Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baru. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-‘Ankabut: 19, 20)

Ayat pertama pendalilan berdasarkan kepada kejadian diri dan kedua kejadian alam. (Tafsir Ruh al-Ma’ani, Tafsir Ayat 19 Dan 20, Surah al-‘Ankabut)

Antara ayat yang lain mengisyaratkan kepada perkara yang sama ialah:

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas, kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (Surah al-Fusshilat, Ayat 53)

Ayat-ayat di atas menunjukkan terdapat Pencipta yang Esa yang mempunyai sifat-sifat yang sempurna untuk mentadbir segala makhluknya. Ia adalah sebagai renungan kepada manusia supaya mereka meyakini perkara tersebut dan seterusnya akan mendekatkan keimanan mereka kepada Allah ta’ala. Namun begitu dalam menggunakan pendekatan selain dari al-Quran dan sunnah, ianya tidak boleh bercanggah dengan kedua-duanya sama sekali. Kerana itu tidak boleh membelakangkan kedua-duanya dalam apa jua pendekatan yang digunakan dalam usaha dakwah manusia kepada Islam.

Allah ta’ala memberikan peringatan, di dalam beriman kepada sifat-sifat zat dan fi’il-Nya supaya tidak melebihi had sehingga menyamakannya dengan makluk dengan firman-Nya, bermaksud:

“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah as-Syura, Ayat 11)

4. RUKUN IMAN KEDUA – BERIMAN KEPADA MALAIKAT

Rukun iman kedua beriman kepada malaikat dengan maksud beriman dengan kewujudan malaikat walaupun tidak dapat dilihat dan disaksikan. Kepercayaan tersebut sama ada secara “ijmali” (umum) dan “tafsili” (terperinci). Ia termasuk di dalam beriman kepada perkara ghaib iaitu berdasarkan nukilan daripada al-Quran dan hadith. Mengingkarinya membawa seseorang kepada kekufuran kerana ia termasuk di dalam mengingkari Allah, Rasul dan ijmak ummah. Kepercayaan secara terperinci ialah seperti percaya kepada nama, sifat dan tugas-tugas mereka sebagaimana yang di dalam al-Quran dan hadith.

Mendahulukan malaikat di dalam hadith ini daripada rasul dan kitab bukan bermakna mempercayai bahawa malaikat lebih mulia daripada manusia secara mutlak. Tetapi mungkin kerana berdasarkan tertib kejadian di samping malaikat merupakan penyampai kitab-kitab kepada para rasul. Antara ciri-ciri malaikat yang disebutkan oleh al-Quran dan hadith ialah dijadikan daripada cahaya:

Daripada `Aaisyah r.ha. katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Malaikat dijadikan daripada cahaya”. (Sahih Muslim, Bab – Hadith Pelbagai)

Ini antara sebab mereka tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tidak mengganggu ruang kehidupan manusia kerana ianya diciptakan daripada cahaya. Adakalanya mereka menjelma dalam rupa manusia seperti Jibril datang menemui Maryam a.s dan Rasulullah s.a.w seperti yang diceritakan di dalam hadith bab ini.

Mereka adalah hamba Allah yang mulia, tidak mengingkari-Nya dan sentiasa patuh terhadap perintah-Nya sebagaimana yang disebutkan oleh al-Quran, bermaksud:

“Bahkan (mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hamba-Nya yang dimuliakan. Mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya. (Surah al-Anbiya’, Ayat 26 & 27)

Dan firman Allah ta’ala:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, Ayat 6)

FirmanNya lagi, bermaksud:

“Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua dan malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepada-Nya dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti”. (Surah al-Anbiya’, Ayat 19 & 20)

Makhluk yang bertindak sebagai petugas-petugas yang sentiasa menjalankan tugas di bawah perintah Allah ta’ala dengan baik:

“Dan demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya; Lalu masing-masing berlumba-lumba, dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya; Serta menyempurnakan tadbir urusan yang diperintahkan kepadanya”. (Surat an- Nazi’at, Ayat 3 – 5)

Bilangan mereka yang sebenar adalah tidak diketahui.

“Dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dialah sahaja”. (Surah al-Muddaththir, Ayat 31)

Bilangan mereka begitu ramai. Antara riwayat yang menunjukkan bilangan mereka begitu ramai ialah apa yang diberitakan oleh Jibril a.s sebagaimana yang diceritakan oleh Nabi s.a.w ketika Baginda dimi’rajkan:

“Kemudian dikemukakan kepadaku Bait al-Ma’mur lalu aku pun bertanya: “Wahai Jibril! Apakah ini?”. Jibril menjawab: “Inilah al-Bait al-Ma’mur. Setiap hari tujuh puluh ribu malaikat masuk (bertawaf mengelilinginya). Bila mereka keluar daripadanya mereka tidak akan kembali kepadanya lagi”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Ini adalah petikan daripada hadith berkaitan isra’ dan mi’raj Nabi s.a.w)

Kewujudan mereka sebelum kejadian manusia:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah (manusia) di bumi”. (Surah al-Baqarah, Ayat 30)

Malaikat boleh menjelma dalam pelbagai rupa seperti rupa manusia dan manusia boleh melihat dan mendengar percakapannya. Kebenaran ini disebutkan di dalam al-Quran:

“Maka Ia (Jibril) menjelma di hadapannya (Maryam) dalam bentuk manusia yang sempurna”. (Surah Maryam, Ayat 17)

Al-Quran dan hadith-hadith juga menyebutkan tentang tugas-tugas malaikat seperti, pertama, penjaga manusia:

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah”. (Surah al-Ra’d, Ayat 17)

Kedua, mereka sebagai pencatit amalan:

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)”. (Surah Qaf, Ayat 18)

Ketiga, diwakilkan kepada rahim perempuan:

Daripada Anas bin Malik r.a. daripada Nabi s.a.w sabdanya: “Sesungguhnya Allah `azzawajalla mewakilkan malaikat menjaga rahim lalu ia berkata (menyampaikan kepada Allah): “Wahai tuhanku! Telah menjadi nuthfah, tuhanku! Telah menjadi `alaqah, wahai tuhanku! Telah menjadi mudhghoh”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keempat sebagai penanggung arasy dan memohon keampunan kepada orang-orang beriman:

“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu dan peliharalah mereka dari azab Neraka”. (Surah Ghafir, Ayat 7)

Disebutkan nama-nama mereka di dalam al-Quran dan hadith seperti Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail. Mereka juga mempunyai pelbagai ciri yang lain seperti tidak mempunyai jantina, tidak memerlukan kepada sesuatu untuk menyuburkan fizikalnya dan bersayap. Di samping itu terdapat beberapa kepercayaan yang salah berkenaan malaikat. Antaranya musyrikin Makkah mempercayai bahawa malaikat adalah anak-anak perempuan Allah:

“Dan mereka pula menyifatkan malaikat yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu) dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya)”. (Surah az-Zukhruf, Ayat 19)

Dan di dalam ayat yang lain:

“Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki). Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati”. (Surah an-Nahl, Ayat 57, 58)

Orang menyembah malaikat akan mendapat celaan di hari akhirat kelak:

“Dan (ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Dia bertanya kepada malaikat: Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu dahulu? Malaikat menjawab: Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada hubungan dari pihak kami dengan rnereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi). (Surah Saba’, Ayat 40 & 41)

Terdapat beberapa faedah dan kebaikan di dalam kepercayaan kepada malaikat. Antaranya supaya merasa bersyukur kepada Allah ta’ala yang mengambil berat tentang keperluan dan kepentingan manusia dengan menyusun malaikat untuk menguruskan tugasan penting untuk manusia. Di samping itu ia sebagai pengajaran kepada manusia di mana Allah ta’ala biarpun mempunyai kuasa untuk menguruskan semuanya secara sendiri, Dia tetap menugaskan makhluk yang lain untuk menguruskannya. Jika begitu sistem yang dibuat oleh Yang Maha Berkuasa, maka kita manusia yang serba lemah lebih-lebih lagi perlu kepada pembantu di dalam setiap urusan. Faedah yang lain ialah supaya merasai keagungan Allah ta’ala yang mempelbagaikan ciptaannya seperti menciptakan malaikat yang begitu hebat.

5. RUKUN IMAN KETIGA – BERIMAN KEPADA KITAB-KITAB

Rukun keimanan yang ketiga ialah beriman kepada kitab-kitab. Kewajipan beriman kepada kitab-kitab merangkumi secara “ijmali” (umum) dan “tafsili” (terperinci). Antara ayat al-Quran yang menunjukkan kewajipan beriman secara “ijmali” ialah:

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan”. (Surah al-Hadid, Ayat 25)

Kedua ialah ayat yang berbunyi:

“Katakanlah (hai orang-orang mukmin): “Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yakub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhannya”. (Surah al-Baqarah, Ayat 136 )

Dari sudut yang lain beriman kepada kitab terbahagi kepada dua. Pertama, beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada Nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w sebagai kitab suci yang diturunkan oleh Allah ta’ala kepada mereka tetapi hukumnya telah dibatalkan dengan syari’at Nabi terakhir. Antara ayat al-Quran yang menyebutkan tentang kitab-kitab tersebut ialah:

“Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil”. (Surah Aali Imran, Ayat 3)

Dan ayat:

“Dan kami berikan kepada Nabi Daud kitab Zabur”. (Surah al-Isra’, Ayat 55 )

Dan firman-Nya:

“Atau belumkah dia diberitahu akan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab Nabi Musa; Dan juga (dalam Kitab-kitab) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)”. (Surah an-Najm, Ayat 36 & 37)

Jenis keimanan kepada kitab yang kedua ialah percaya yang wajib dijadikan sebagai pegangan hanyalah al-Quran sahaja sebagai kitab terakhir yang membatalkan hukum kitab-kitab sebelumnya. Antara hadith yang mengisyaratkan kepadanya ialah:

“Daripada Jabir daripada Nabi s.a.w ketika Umar datang kepadanya lalu berkata: “Sesungguhnya kami mendengar kisah-kisah daripada Yahudi yang mengkagumkan kami. Apa pendapatmu jika kami mencatit sebahagiannya?”. Rasulullah s.a.w berkata: “Apakah engkau kebingungan (tiada panduan) sebagaimana Yahudi dan Nasara kebingungan? Sesungguhnya aku telah membawakan kepada kamu (agama) dalam keadaan terang benderang lagi suci. Kalaulah Musa hidup tidak ada ruang untuknya kecuali mengikutiku”.

6. RUKUN IMAN KEEMPAT – PERCAYA KEPADA RASUL-RASUL

Rukun iman keempat ialah kepercayaan kepada rasul-rasul. Beriman kepada rasul adalah sebagaimana kepada kitab-kitab iaitu secara “ijmali” dan “tafsili”. Antara ayat yang menunjukkan keimanan kepada rasul secara “ijmali” ialah:

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah megutus beberapa rasul sebelummu; di antara mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya kepadamu, dan ada pula di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah; (maka janganlah diingkari apa yang dibawa oleh Rasul) kerana apabila datang perintah Allah (menimpakan Azab) diputuskan hukum dengan adil; pada saat itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah”. (Surah Ghafir, Ayat 78)

Dan ayat:

“Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu”. (Surah an-Nisa’, Ayat 164)

Beriman kepada rasul-rasul bermakna percaya bahawa pengutusan rasul merupakan rahmat daripada Allah ta’aIa kepada umat manusia kerana tugas rasul ialah menerangkan jalan kebenaran yang membawa mereka kepada Tuhan yang haq. Rasul-rasul datang dengan membawa khabar gembira buat mereka yang beriman dan taat dan memberi ancaman kepada orang yang kufur kepada Allah ta’ala dan melakukan maksiat. Rasul-rasul juga merupakan hujah yang menolak alasan orang-orang kafir yang mendakwa bahawa mereka tidak didatangi oleh seorang rasul pun. Al-Quran menegaskan:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasul-Nya”. (Surah al-Nahl, Ayat 36)

Dan di dalam ayat yang lain berbunyi:

“Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (Surah an-Nisa’, Ayat 165)

Beriman dengan para rasul bermaksud membenarkan mereka dalam perkara yang disampaikan mereka dari pihak Allah ta’ala dan mereka sesungguhnya telah menerangkan apa yang diwajibkan kepada mereka untuk menyampaikannya. Mereka merupakan rasul pilihan Allah ta’ala:

“Allah memilih utusan-utusan-Nya dari malaikat dan dari manusia; Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah al-Hajj, Ayat 75)

Termasuk beriman kepada rasul ialah percaya bahawa di kalangan mereka terdapat rasul yang mengatasi rasul yang lain dari segi kelebihan.

“Dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya yang lain dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud”. (Surah al-Isra’, Ayat 55)

Percaya bahawa rasul-rasul adalah dari kalangan manusia dan hamba Allah termasuk dalam ciri keimanan ini sebagaimana firman Allah ta’ala:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti karnu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Surah al-Kahfi, Ayat 110)

Dan firmannya:

“(Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya dia adalah seorang hamba yang bersyukur”. (Surah al-Isra’, Ayat 3)

Firman-Nya di tempat yang lain:

“Maha berkat Tuhan yang menurunkan al-Furqaan kepada hamba-Nya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam”. (Surah Furqan, Ayat 41)

Hadith juga mengisyaratkan perkara yang sama:

Daripada Rafi’ bin Khadij katanya: “Nabi s.a.w. datang ke Madinah dan mereka mengahwinkan pohon tamar lalu Baginda bertanya: “Apakah yang kamu lakukan?”. Mereka menjawab: “Kami sering melakukannya”. Nabi s.a.w berkata: “Boleh jadi kalau kamu tidak melakukannya adalah lebih baik”. Maka mereka meninggalkannya lalu menjadi kuranglah (hasil tanaman). Perawi (Rafi’) berkata: “Maka mereka menyebutkan perkara tersebut kepada Nabi s.a.w maka Baginda bersabda: “Aku hanyalah seorang manusia, bila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu urusan agama kamu, berpeganglah dengannya dan bila aku menyuruh kamu dengan sesuatu berdasarkan pendapatku maka aku hanyalah seorang manusia”. (Sahih Muslim)

Antara ciri-ciri keimanan kepada rasul-rasul lagi ialah percaya bahawa mereka tidak mempunyai sebarang “khususiyyat uluhiyyah”. Mereka adalah manusia yang dipilih oleh Allah ta’ala untuk menyampaikan wahyu tanpa mempunyai mana-mana sifat ketuhanan. Nabi s.a.w diperintahkan supaya rnenjelaskan perkara tersebut sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Quran:

“Katakanlah: Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”. (Surah al-A’raf, Ayat 188)

Rasul-rasul diberikan mukjizat di dalam menyampaikan risalah dan terdapat perbezaan kedudukan di kalangan mereka:

“Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengan dia) dan sebahagiannya Allah meninggikannya beberapa derajat. Dan Kami berikan kepada Isa putra Maryam beberapa mukjizat serta Kami perkuat dia dengan Ruhul Qudus. Dan kalau Allah menghendaki, niscaya tidaklah berbunuh-bunuhan orang-orang (yang datang) sesudah rasul-rasul itu, sesudah datang kepada mereka beberapa macam keterangan, akan tetapi mereka berselisih, maka ada di antara mereka yang beriman dan ada (pula) di antara mereka yang kafir. Seandainya Allah menghendaki, tidaklah mereka berbunuh-bunuhan. Akan tetapi Allah berbuat apa yang dikehendaki-Nya”.

Namun begitu tidak boleh membeza-bezakan antara rasul dengan cara menerima mereka dan menolak sebahagian yang lain.

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasul-Nya dan (orang-orang yang) berkata: Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu: Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang menghina”. (Surah an-Nisa’, Ayat 150 &151)

Termasuk beriman kepada rasul ialah beriman bahawa Nabi s.a.w penyudah kepada sekalian rasul sebagaimana firman Allah ta’ala:

“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Ahzab, Ayat 40)

7. RUKUN IMAN KE LIMA – BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT

Rukun iman yang kelima ialah beriman kepada hari akhirat. Rukun ini juga merupakan rukun yang sangat penting di sisi Islam kerana ia merupakan salah satu ciri penting keimanan kepada perkara ghaib. Beriman kepadanya hanyalah semata-mata berdasarkan kepada “sam’iyyat” (apa yang didengar dari Nabi s.a.w) yang juga merupakan salah satu ciri beriman kepada Rasulullah s.a.w. Allah ta’ala menyebutkan di dalam al-Quran sebagai salah satu sifat orang bertaqwa.

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya)”. (Surah al-Baqarah, Ayat 2-4)

Maksud rukun ini ialah beriman bahawa kehidupan bukan hanya di dunia ini sebaliknya terdapat kehidupan yang lain yang berkekalan selepasnya. Segala khabar yang diberitakan oleh Allah ta’ala dan Rasulullah s.a.w selepas kematian sehingga ahli syurga memasuki syurga dan ahli neraka memasuki neraka hendaklah diimani dan diyakini. Hari kiamat merupakan akhir kepada dunia dan permulaan kepada kehidupan yang kekal abadi. Hari yang Allah ta’ala menghimpunkan keseluruhan manusia untuk menghadapi perhitungan dan pembalasan terhadap segala amalan di dunia.

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia. Sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah”. (Surah an-Nisa’, Ayat 87)

Hari yang Allah ta’ala sediakan balasan baik kepada orang bertaqwa.

“Negeri Akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Surah al-Qasas, Ayat 83)

Beriman kepada hari akhirat akan mengingatkan manusia tentang hakikat kehidupan serta mendidik mereka supaya sentiasa mempunyai matlamat di dalam kehidupan. Ia juga sebagai peringatan bahawa setiap individu mempunyai satu destinasi yang akan ditujuinya dan memikul tanggungjawab yang sangat penting. Di samping itu ia boleh menyedarkan manusia bahawa mereka bukan diciptakan begitu sahaja tanpa sebarang perkiraan. Bukan sekadar makan, minum, berkeluarga dan berseronok. Sebaliknya segala rencah kehidupan seperti kemiskinan, kekayaan, kesenangan dan kesusahan adalah sebagai ujian untuk menentukan kedudukan hidup manusia selepas kematian.

Allah ta’ala berfirman:

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?”. (Surah al-Mu’minun, Ayat 115)

Dan firman-Nya, bermaksud:

“Maha berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan Yang Menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. (Surah al-Mulk, Ayat 1 & 2)

Firman-Nya lagi, bermaksud:

“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku. Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang – yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya – supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan”. (Surah Taha, Ayat 14 & 15)

Rukun ini juga akan mendidik manusia supaya melaksanakan segala tugas dengan penuh amanah dan tidak khianat terhadap segala amanah yang dipikul. Kerana itu al-Quran dan hadith banyak menghubungkan beriman kepada Allah dengan beriman kepada hari akhirat. Begitu juga disebutkan amal soleh bersama dengan hari akhirat adalah sebagai isyarat bahawa natijah beriman dengan hari Akhirat ialah seseorang tekun dan bersungguh-sungguh untuk membuat persiapan untuk kembali ke akhirat. Allah ta’ala berfirman,

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Surah al-Khafi, Ayat 110)

Hadith-hadith juga sering mengaitkan amal soleh dengan hari akhirat supaya orang yang percaya kepada kehidupan selepas kematian akan sentiasa memelihara amalannya. Antaranya,

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengucapkan kebaikan atau diam sahaja”. (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Beriman kepada hari akhirat merangkumi beriman dengan segala peristiwa yang berkaitan dengannya sama ada sebelumnya seperti kepercayaan kepada tanda-tanda kiamat, kematian, ujian di dalam kubur, keni’matan dan azab kubur, tiupan sangkakala dan keluar dari kubur dan peristiwa-peristiwa selepas berlaku kiamat. Antaranya ialah, ia merupakan hari yang sangat mengerikan.

“Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan”. (Surah al-Haj, Ayat 1 & 2)

Hari perhimpunan selepas dibangkitkan:

“Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) “Ummulqura” dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) satu golongan masuk ke dalam Syurga dan satu golongan lagi masuk Neraka”. (Surah as-Syura, Ayat 7)

Timbangan amalan:

“Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya”. (Surah al-A’raf, Ayat 8)

“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung) dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Surah al-Kahfi, Ayat 49)

Pemberian buku catitan amalan:

“Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun. (Surah al-Kahfi, Ayat 49)

Beriman kepada syurga, neraka dan sebagainya. Termasuk dalam rukun ini ialah beriman bahawa waktu kedatangan hari Kiamat tidak diketahui oleh seorang makhlukpun sama ada nabi mahupun malaikat. Pengetahuan tentang bilakah berakhirnya dunia adalah dalam ilmu Allah sejak azali. Allah ta’ala berfirman, maksudnya,

“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat”. (Surah Luqman, Ayat 34)

Begitu juga beriman kepada nama-nama kiamat termasuk dalam rukun ini. Antara namanya ialah, al-Sa’ah (masa yang ditetapkan), Yawm al-Qiyamah (Hari Kebangkitan), Yawm al-Wa’id (Hari Yang Dijanjikan), Yawm al-Din (Hari Pembalasan), Yawm al-Hasrah (Hari Penyesalan), Yawm al-Tanad (Hari Manusia Saling Memanggil), Yawm al-Jam’ (Hari Dihimpunkan), Yawm al-Fas (Hari Diputuskan), Yawm Hisab (Hari Perhitungan), Yawm al-Khulud (Hari Abadi), Yawm al-Khuruj (Hari Dikeluarkan), Yawm al-Taghabun (Hari Pengungkapan Segala Kesalahan), Yawm al-Talaq, Yawm al-Azifah (Hari Yang Semakin Dekat), al-Waqi’ah, al-Haqqah, al-Qari’ah, al-Tammah al-Kubra, dan al-Ghashiah. Beriman kepada hari akhirat dan pembalasan selepas mati adalah ciri khusus agama yang berasal dari langit seperti Yahudi dan Nasrani walaupun telah berlaku penyelewengan kepada agama tersebut. Namun begitu kepercayaan mereka adalah berbeza dengan pegangan umat Islam. Kepada orang yang ragu terhadap kebangkitan dan dihimpunkan semula tulang temulang selepas kematian, Allah ta’ala mengingatkan:

“Wahai umat manusia, sekiranya karnu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahui-Nya dahulu, dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai”. (Surah al-Hajj, Ayat 5)

Beberapa faedah dan pengajaran yang baik boleh diambil daripada beriman dengan hari akhirat seperti:

1- Melahirkan pengharapan dan takut kepada Allah. Beriman dengan hari akhirat boleh membantu menjauhkan manusia daripada sifat putus asa terhadap rahmat Allah dan meningkatkan pergantungan kepada Allah ta’ala.

2- Mendidik manusia supaya berakhlak mulia kerana keyakinan bahawa selepas kematian ada hari pembalasan.

3- Menambahkan keyakinan terhadap keadilan dan rahmat tuhan di mana Allah membalas berdasarkan kedua-duanya sesuai dengan amalan mereka.

8. RUKUN IMAN KEENAM – BERIMAN KEPADA QADA’ DAN QADAR

Rukun terakhir ialah beriman kepada ketentuan baik dan buruk daripada Allah taala (qada’ dan qadar) . Maksud beriman dengan qadha dan qadar ialah beri’tiqad bahawa setiap apa yang berlaku di alam ini yang terdiri daripada kebaikan, kejahatan, mudharat, manfa’at sehinggalah perbuatan manusia sama ada iman, kufur, taat, maksiat, hidayah atau sesat semuanya dengan qada’ dan qadar Allah ta’ala, iradah-Nya, ciptaan-Nya dan kekuasaan-Nya. Namun begitu Allah ta’ala hanya mengasihi dan redha kepada iman, taat dan kebaikan akan tetapi Dia tidak redha kepada kekufuran, ma’siat dan kejahatan. Makna qadar ialah “ta’alluq” ilmu dan kehendak Allah ta’ala dengan sekalian makhluk sejak azali sebelum kewujudan mereka lagi. Tidak ada yang berlaku melainkan dengan ilmu dan “iradah” Allah.

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya:

Daripada Abdullah bin Amr bin al-‘Ash r.a. katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah telah menetapkan ketentuan segala makhluk sebelum ia menjadikan langit-langit dan bumi lima puluh ribu tahun. Baginda bersabda lagi: “Dan arasynya di atas air” (Sahih Muslim – Bab Adam Dan Musa Berhujah)

Allah ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut taqdir (yang telah ditentukan) (Surah al-Qamar, Ayat 49)

“Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan berlakunya”. (Surah al-Ahzab, Ayat 38)

“Dan Dia-lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna”. (Surah al-Furqan, Ayat 2)

“Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu”. (Surah al-Hijr, Ayat 21)

Beriman dengan takdir adalah merupakan salah satu rukun iman di sisi Ahl as-Sunnah Wa al-Jamaah. Ia juga boleh dikatakan ciri yang membezakan antara Ahl as-Sunnah, dengan firqah-firqah yang lain. Ini kerana hanya Ahl as-Sunnah sahaja yang menerima sepenuhnya ketetapan dari Allah di samping mempunyai pilihan di dalam melakukan sesuatu perbuatan mengikut sebagaimana yang dijelaskan al-Quran dan as-Sunnah. Berbeza dengan firqah-firqah yang lain kerana ada di antara mereka tidak memasukkan kepercayaan kepada takdir di dalam rukun iman mereka bahkan mengenepikannya seperti golongan Syi’ah. Di antara mereka ada yang hanya menerima ketentuan yang baik sahaja datangnya dari Allah sementara yang buruk datang dari manusia dan tiada kena mengena dengan Allah ta’ala. Ada pula yang berpendapat manusia langsung tidak mempunyai ikhtiar dan ketentuan Allah merupakan paksaan yang tidak dapat dielak lagi.

9. IHSAN

Selepas bertanya tentang iman dan lslam, Jibril a.s. mengemukakan soalan tentang ihsan. Ini sebagai isyarat bahawa iman dan Islam berkait rapat dengan ihsan dan kesempurnaan kedua-duanya adalah bergantung kepada ihsan. Nabi s.a.w menjawab dengan mengatakan, “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”. Berdasarkan kepada jawapan yang diberikan oleh Nabi s.a.w itu maka ulama’ mengemukakan beberapa ta’rif, kesimpulan dan pembahagian dari segi agama, amalan dan kehidupan manusia. Antara ta’rif ihsan ialah “muraqabah” (bukan sekadar hampir tetapi sentiasa bersama) iaitu seseorang merasakan Allah sentiasa bersama dengannya, sentiasa memerhatikannya baik pada ketika sunyi atau terbuka. Seterusnya ia menghasilkan ketaqwaan kepada Allah, mengharapkan ganjaran-Nya, takut kepada azab-Nya dan sebagainya. Hasilnya seseorang itu akan menjaga segala kewajipan sehingga perkara-perkara yang sunat dan menjauhi segala perkara yang dilarang dan diharamkan sehingga perkara-perkara yang menimbulkan syubhat. Muhsin ialah orang yang sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan amal kebajikan serta berlumba-lumba untuk memperolehi kelebihannya.

Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani mengemukakan ta’rif ihsan bersama dengan pembahagian yang dibuat olehnya dengan katanya: “Ihsan adalah masdar kepada “ahsana Ahsantu kaza” bermaksud saya meneguhkannya. “Ahsantu ila fulan” bermaksud saya menyampaikan manfaat kepadanya. Maksud yang pertama yang dikehendaki oleh hadith ini kerana yang dimaksudkan ialah meneguhkan ibadat. Namun begitu makna kedua boleh dipakai di sini iaitu dengan maksud orang yang beramal dengan ikhlas untuk menyampaikan manfaat kepada dirinya.

Ia bersesuaian dengan makna “ihsan al-ibadat” iaitu mengelokkan ibadat bermaksud ikhlas padanya, khusyu’ dan mengosongkan jiwa pada ketika melaksanakannya. Nabi s.a.w mengisyaratkan di dalam jawapan ini kepada dua keadaan. Yang paling tinggi ialah keyakinan serta kesaksian hati terhadap kebenaran dan Allah ta’ala dengan hatinya benar-benar menguasainya sehingga seolah-olah dia melihat Allah dengan dua matanya. Inilah yang dimaksudkan daripada “seolah-seolah engkau melihat-Nya”. Keadaan yang kedua ialah dia menghadirkan di dalam hatinya bahawasanya Allah ta’ ala sentiasa melihat segala yang dilakukan olehnya iaitu daripada sabda Baginda, “Sesungguhnya dia melihat engkau”. Mengenali Allah dengan sebenar-benarnya dan takut serta taqwa kepada Allahlah yang melahirkan kedua-dua keadaan ini”. (Fath al-Bari, jil. 1 hal. 120)

Syah Waliyyu Allah ad-Dehlawi membahagikan ilmu kepada dua bahagian berdasarkan kepada makna ihsan di dalam hadith ini. Pertama ilmu syariat iaitu ilmu yang membahaskan bentuk-bentuk taklif kepada mukallaf dari segi kemestian melakukannya sama ada wajib, sunat atau harus. Yang kedua ialah ilmu yang mengambil berat terhadap taklif-taklif syara’ dari segi maksud atau hikmah melakukan sesuatu amalan itu dan dari segi ia memainkan peranan ke arah membersihkan jiwa. (Hujjah Allah Al-Balighah, jil. 1 hal. 160)

Setengah golongan tasawuf membahagikan ihsan di dalam hadith ini kepada peringkat beribadat, berfikir dan merenung untuk mengenali Allah kepada beberapa peringkat. Ada peringkat yang harus di sisi syara’ dan ada yang tidak harus. Peringkat yang harus seperti berfikir dan menghayati tentang segala perbuatan Allah, sifat-sifat-Nya, peristiwa yang berlaku kepada umat-umat dahulu, kehidupan selepas kematian dan sebagainya. Dengan penghayatan ini seseorang itu seolah-olah dapat merasai dan meresap ke dalam hatinya segala sifat-sifat Allah seperti memberi rezeki, mengampunkan, membalas, rnengazab dan sebagainya sehingga menghasilkan ketaqwaan dan pergantungan yang tinggi kepada Allah dan segala tindak tanduknya tidak bercanggah dengan kehendak syari’at.

Namun begitu ada dari kalangan mereka yang pergi lebih jauh sehingga sampai kepada peringkat yang tidak diharuskan oleh agama. Antaranya sampai peringkat menghayati zat Allah sehingga merasai zat Allah sentiasa bersama dan bersatu bersamanya. Inilah salah satu maksud “maqam syuhud”, fana’ dan “mukasyafah” di sisi mereka. Mereka menyalahgunakan istilah ihsan yang disebutkan di dalam hadith ini dengan alasan peringkat pengabdian mereka telah sampai ke tahap boleh melihat Allah ta’ala. Pada ketika itu syari’at agama ini tidak lagi dihiraukan dengan alasan bahawa mereka telah sampai kepada maqam hakikat dan ma’rifat.

Ulama’ yang lain mengatakan ihsan yang disebutkan di dalam hadith ini selepas membicarakan berkenaan Islam dan iman sebagai mengisyaratkan bahawa kedua-dua rukun itu mestilah disusuli dengan ihsan. Dan ia terbahagi kepada dua maksud. Pertama, Islam sebagai gambaran amalan manusia dari segi zahir dan iman sebagai gambaran amalan dari segi batin iaitu akidah mestilah disusuli dengan ihsan iaitu ikhlas. Seseorang yang tidak ikhlas dalam rukun Islam adalah seorang munafik. Begitu juga; seorang yang hanya mempunyai kepercayaan sahaja di dalam hati tetapi tidak menyatakan pada zahir tidak akan dianggap sebagai seorang Islam di dunia dan tidak akan dilayan sebagai seorang muslim.

Yang kedua, ihsan mempunyai hubungan yang rapat dengan iman dan Islam bermaksud kesempurnaan agama dicapai oleh seseorang bila dia dapat menghayati kedua-dua rukun agama itu sehingga seolah-olah dapat melihat Allah ta’ala. Inilah peringkat pengabdian kepada Allah yang paling tinggi sebagaimana peringkat pertama ihsan yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. Begitu juga ia merupakan peringkat “muraqabah” dan fana’ yang sampai kepada peringkat kemuncak di dalam menghayati rukun-rukun agama tersebut. Contoh ini boleh didapati pada generasi Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. Antaranya di dalam menghayati kesaksian mereka bahawa hanya Allah sahaja yang layak disembah dan keimanan kepada Allah dengan segala sifat-Nya, keyakinan mereka begitu tinggi sehingga dari segi pergantungan, langsung tiada pergantungan kepada makhluk. Ini boleh didapati dari mereka sehingga mereka sanggup memberikan segala harta benda kepada agama, tidak mahu meminta pertolongan kepada orang lain sehingga perkara-perkara yang kecil seperti mengambil tali kekang yang jatuh dari kuda mereka.

Dari segi keyakinan kepada sifat-sifat Allah dan kepada pembalasan selepas mati membuatkan mereka tidak senang duduk bila melakukan sesuatu dosa. Sebagai contoh apa yang ditunjukkan oleh Ma’iz al-Aslami r.a. dan seorang perempuan Ghamidi yang menyerahkan diri kepada Rasulullah s.a.w supaya dilaksanakan hukuman had ke atas mereka kerana melakukan zina. Keinginan mereka yang begitu tinggi supaya dilaksanakan hukuman itu adalah disebabkan mereka benar-benar dapat merasai kemurkaan Allah terhadap diri mereka. Begitu juga mereka meyakini sifat Allah yang akan membalas segala yang mereka lakukan seolah-olah mereka dapat melihat dengan mata sendiri.

Di dalam menghayati syahadah kepada rasul yang merupakan salah satu bahagian rukun pertama Islam dan kepercayaan kepada rasul daripada rukun iman, mereka telah mengorbankan segala-galanya untuk mempertahankan Rasulullah s.a.w. Begitu juga mereka benar-benar menghayati sunnah sehingga sanggup bermusuhan dengan keluarga sendiri bila keluarga mereka membelakangkan atau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan sunnah rasul.

Hadith ini juga menunjukkan bahawa Allah sentiasa mengawasi hambanya. Ini merupakan salah satu makna ihsan yang terdapat dalarn hadith tersebut. Begitu juga ia menepati firman Allah ta’ala: “Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya” (Surah al-Baqarah, Ayat 235), “Kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu”. (Surah an-Nisa’, Ayat 1) dan “Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan dan tidaklah engkau membaca dalam sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit dan yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata”. (Surah Yunus, Ayat 62).

Kesimpulannya setiap amalan sama ada amalan zahir mahupun batin semuanya mestilah disusuli dengan keikhlasan kepada Allah ta’ala dan mestilah memelihara adab-adab pengabdian diri kepada-Nya.

10. PERSOALAN TENTANG KIAMATBILAKAH KIAMAT AKAN BERLAKU DAN TANDA-TANDA KIAMAT

Soalan seterusnya yang dikemukakan kepada Nabi s.a.w ialah berkenaan dengan kiamat. Jawapan Baginda bahawa Baginda tidak mengetahuinya menunjukkan bahawa baginda memahami soalan yang ditanya oleh Jibril a.s itu berkenaan dengan waktu berlakunya. Begitu juga jawapan bahawa Baginda tidak mengetahuinya sebagai isyarat bahawa nabi-nabi tidak mengetahui perkara ghaib kecuali yang diceritakan oleh Allah ta’ala kepada mereka. Pengetahuan tentang masa berlaku kiamat adalah di antara rahsia-rahsia Allah ta’ala sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud,

“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seseorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya”. (Surah al-Ahzab, Ayat 34)

Tanda-tanda kiamat yang disebutkan oleh Nabi s.a.w di dalam hadith ini merupakan tanda kecil kiamat. Antara yang disebutkan ialah apabila “hamba perempuan melahirkan tuannya”. Ulama’ memberikan beberapa maksud daripada kata-kata tersebut. Antaranya, Imam an-Nawawi menyebutkan bahawa kebanyakan ulama’ berkata: “Hadith ini menceritakan bahawa perhambaan akan berleluasa dan hamba-hamba perempuan melahirkan anak hasil perhubungan dengan tuannya. Maka anak yang dilahirkan olehnya menjadi merdeka kerana mengikut ayah bukan ibunya. Dengan sendirinya si anak menjadi tuan kepada ibunya. Kemudian jika si tuan meninggal dunia si ibu akan menjadi harta pesaka tuannya. Boleh jadi dirinya akan menjadi sebahagian harta pesaka anaknya yang diwarisi dari tuannya. Setengah ulama’ mengatakan maksud hadith ini ialah hamba-hamba perempuan melahirkan raja-raja. Maka si ibu termasuk dalam kalangan rakyat kepada anak yang dilahirkan olehnya. Ulama’ yang lain pula mengatakan bahawa keadaan manusia menjadi rosak lalu berlaku penjualan “umm al-walad” dengan berleluasa di akhir zaman sehingga sampai ke peringkat si anak membeli ibunya sendiri dalam keadaan ia tidak menyedarinya”. (Syarah Imam an-Nawawi ‘ala Muslim, jil. 1 hal. 158)

Hafidz Ibnu Hajar mengatakan bahawa ini adalah isyarat bahawa keadaan dunia akan terbalik sebelum berlaku kiamat yang merupakan pembalikan sebenar di mana pendidik menjadi orang yang dididik dan orang yang rendah atau hina menjadi tinggi atau mulia. Maksud beliau ialah ketika hampir kiamat anak-anak tidak lagi menghormati ibu bapa tetapi sebaliknya ibu bapa yang terpaksa mengikut segala kemahuan anak-anak sehingga memperlakukan ibu bapa seperti hamba. Begitu juga orang-orang yang mulia seperti ahli-ahli agama dipandang sepi bahkan diletakkan di tempat yang rendah tetapi orang-orang yang hina seperti ahli-ahli maksiat dan orang-orang yang fasik dipandang mulia dan diletakkan di tempat yang tinggi. Menghina ahli-ahli agama adalah termasuk dengan cara meletakkan nilai mereka dengan harga yang murah seperti mengumpankan mereka dengan mata benda dunia.

Ulama’ yang lain mengatakan bahawa Nabi s.a.w memberikan isyarat bahawa di akhir zaman ramai perempuan bekerja. Disebabkan kesibukan kerja ada dari kalangan mereka mengambil ibu untuk tinggal bersama dengan menjadikan ibu seperti hamba. Ia lebih menepati lafaz yang digunakan dalam hal ini iaitu “rabbataha” bermakna tuan perempuan. Tanda kiamat yang kedua ialah orang-orang yang asalnya berkaki ayam, tidak berpakaian, miskin dan pengembala-pengembala kambing tetapi akhirnya berlumba-lumba meninggikan bangunan. Maksudnya ialah seorang yang asalnya dari keluarga miskin, orang badwi atau pedalaman tetapi akhirnya menguasai bandar-bandar besar menjadi hartawan atau jutawan atau pemimpin. Mereka berlumba-berlumba dan berbangga-bangga dalam meninggikan binaan. Perkhabaran tentang tanda-tanda kiamat yang merupakan peristiwa akhir zaman ini juga merupakan salah satu mukjizat Nabi s.a.w. selepas kewafatan Baginda.

* Adaptasi dari buku “Syarah Misykaat Al-Masaabiih 1 – Kitab Berkenaan Keimanan” nukilan Ust Abu Naaeilah. Buku ini diterbitkan oleh Darul Furqon Solution dan untuk tempahan boleh hubungi 019 951 5418.