Mengapa Terjerit-jerit Berselawat Dan Zikir Di Celah-celah Sembahyang Tarawih?

[Muat Turun Artikel – PDF]

Oleh: Muhammad Hanieff Awang Yahaya

Pada asasnya seseorang itu digalakkan untuk berzikir di mana-mana waktu dan tempat selagi tidak ada nas yang melarangnya. Walaupun membaca al-Qur’an itu digalakkan namun ada juga waktu yang dilarang iaitu ketika dalam sembahyang ketika ruku’.

Menjadi kelaziman umat Islam di Malaysia membaca selawat dan beberapa zikir yang lain dengan suara yang ditinggikan dan cara yang khusus di celah-celah sembahyang Tarawih. Sebenarnya amalan seperti ini  tidak pernah diamalkan di negara-negara Arab dan negara-negara lain yang majoritinya umat Islam seperti Pakistan.

Continue reading
Advertisement

Jangan Susahkan Perkahwinan, Membazir Dalam Walimah & Guna Pondan Sebagai Juru Andam

[Muat Turun Artikel – PDF]

VIDEO – [Durasi – 7m 8s] – Jangan Susahkan Perkahwinan, Membazir Dan Guna Juru Andam – Dr Abd Basit Abd Rahman

https://drive.google.com/file/d/1ltYy_GDLdFgPlshTk_E3ZtOS26cJDlu7/

MP3 – Dengar “On-line” Atau Muat Turun

JANGAN SUSAHKAN PERKAHWINAN, MEMBAZIR DALAM WALIMAH & GUNA PONDAN SEBAGAI JURU ANDAM

a) Permudahkanlah perkahwinan. Jangan letakkan maskahwin yang terlalu tinggi dan membebankan.

b) Jangan membazir dan boros bila mengadakan majlis perkahwinan

c) Elakkan menjadikan kenduri perkahwinan untuk mendapat keuntungan kewangan.

d) Jangan libatkan jurusolek yang tidak pasti jantinanya (atau lain jantinanya).

Upacara “Haul” (Menyambut Hari Kematian) Tiada Asasnya Dalam Agama

[Muat Turun Artikel – PDF]

VIDEO – [Durasi – 1j 46m 40s] – PEMURNIAN SYARIAT- Upacara “Haul” Tiada Asasnya Dalam Agama – Maulana Asri Yusoff

UPACARA “HAUL” (MENYAMBUT HARI KEMATIAN) TIADA ASASNYA DALAM AGAMA

“Hadith-hadith” Yang Dianggap Sebagai Sandaran Dan Punca Bagi Amalan Dan Upacara “Haul” Tidak Ada Satu Pun Yang Sahih.

Upacara Haul atau perayaan pada hari kematian wali-wali, imam-imam atau pemerintah tertentu masih diamalkan dalam masyarakat kita. Ada kalanya diadakan di peringkat negeri dengan penglibatan institusi agama. Kita wajib menilai semula dan meninggalkan amalan dan upacara ini kerana ianya tidak ada asas dalam agama kita.

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:00:23 : Antara Hadith-hadith Yang Dijadikan Sebagai Sandaran Dan Punca Bagi Amalan Dan Upacara “Haul”, (Perayaan Mengingati Hari Kematian)

2- 00:14:55 : Apakah Maksud “Haul”?

3- 00:30:26 : Tujuan Mengadakan Majlis “Haul” (Kirim Pahala Dan Tawassul Kepada Si Mati)

4- 00:39:42 : Melepaskan Nazar Kepada Si Mati

5- 00:43:10 : Kupasan Ke Atas Hadith Pertama Yang Menjadi Sandaran Hukum Bagi Upacara “Haul” Dan Penilaian Sanad Hadith

6- 00:58:03 : Kupasan Hadith Kedua

7- 00:59:55 : Kupasan Hadith Ketiga

8- 01:01:58 : Penilaian Sambutan “Haul” Dari Segi Dirayah, Dan Apa Kaitannya Dengan Golongan Syiah

9- 01:10:45 : Sekiranya Perayaan “Haul” Ini Disyariatkan, Kenapa Nabi s.a.w Tidak Menyampaikannya Kepada Ummat?

10- 01:22:45 : Selain Dari Orang-orang Musyrik Dan Yahudi ,”Haul” Juga Merupakan Adab Kebiasaan Orang-orang Nasrani

SESI SOAL JAWAB

1- 01:31:50 : Bolehkah Memperingati Orang-orang Yang Tertentu Yang Sudah Meninggal Dengan Menyebut Kelebihan Mereka Kepada Orang Ramai?

2- 01:37:27 : Dari Mana Asalnya Cerita Bubur Asyura’?

3- 01:42:19 : Tentang Buat “Haul” Kepada Orang Yang Berjasa

MALUMAT LANJUT – VIDEO – Berwaspadalah Dengan Kehadiran Golongan Habib Ke Tanah Air

AJARAN BATINIYYAH: PENGARUHNYA DI ALAM MELAYU

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 2j 56m 24s] – AJARAN BATINIYYAH: PENGARUHNYA DI ALAM MELAYU – Ust Noor Derus

AJARAN BATINIYYAH: PENGARUHNYA DI ALAM MELAYU

Ust Noor Derus

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 00:00:10 : Muqaddimah Majlis

02- 00:01:20 : Ajaran Batiniyyah Dan Pengaruhnya Di Alam Melayu

03- 00:15:50 : Ciri-ciri Batiniyyah

04- 00:27:40 : Imam Ghazali Berkata: Golongan Batiniyah Suka Bermain-main Dengan Perkataan Dan Huruf

05- 00:28:55 : Strategi Batiniyyah

06- 00:41:35 : Kenapa Orang Ramai Menerima Ajaran Batiniyyah?

07- 00:47:15 : Saluran Kemasukan Batiniyyah Ke Tanah Melayu

08- 01:08:56 : Sufi Wujudi

09- 01:29:03 : Penyusupan Ajaran Batiniyyah Ke Alam Melayu

10- 01:45:42 : Antara Aliran Sesat Yang Terdapat Di Malaysia

11- 02:09:30 : Fatwa Imam Ghazali Tentang Batiniyyah

12- 02:19:00 : Cadangan Strategi Untuk Mengekang Ajaran Batiniyyah

13- 02:22:47 : Sesi Soal Jawab

Berhati-hati Dalam Masalah Tawassul Ketika Berdoa

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO IRINGAN – [Durasi – 52m 28s] – Tawassul Dalam Islam – Maulana Muhd Asri Yusoff

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1. 00:06 – Tawassul Dengan Amal Soleh

2. 00:43 – Sikap Kita Terhadap Amalan Tawassul

3. 2:27 – Masalah Betawassul Ketika Berdoa

4. 3:13 – Tatacara Bertawassul Ketika Berdoa Dengan Amal Soleh

5. 4:56 – Bertawassul Dengan Orang Tertentu Perlu Berhati-hati Dan Belapang Dada

6. 6:03 – Tawassul Bentuk Pertama: Makhluk Sebagai Perantara Dan Makhluk Itu Mempunyai Kuasa [Hukumnya Haram Dan Syirik]

7. 9:53 – Tawassul Bentuk Kedua: Berdoa Supaya Allah Menyerahkan Urusan Kepada Perantara [Hukumnya Haram]

8. 11:06 – Tawassul Bentuk Ketiga: Minta Perantara (Orang Alim) Berdoa Untuk Kita [Ijma’ Bahawa Ianya Harus]

9. 15:39 – Tawassul Bentuk Keempat: Bersumpah Demi Orang Yang Dijadikan Sebagai Perantara Dalam Bertawassul [Hukumnya Haram]

10. 17:13 – Tawassul Bentuk Kelima : Tawassul Dengan Berkat Hubungan Baik (Sayang) Kepada Nabi Atau Orang Soleh [Hukumnya Harus]

11. 43:10 – Tawassul Bentuk Keenam: Bertawassul Dengan Hak/Jah/Kedudukan Seseorang – [Khilaf – Berdasarkan Niat/Maksud]

12. 47:01 – Jika Dikhuatiri Terpesong (Inilah Realiti Masyarakat Sekarang) Elok Elakkan Dari Bertawassul

MASALAH TAWASSUL DALAM BERDOA

Ustaz Muhammad Hanief bin Awang Yahaya

PRAKATA: Dalil yang menjadi pegangan dalam masalah tawassul ialah ayat 35, Surah al-Ma`idah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan yang menghampirkan diri kamu kepada-Nya (dengan melakukan amalan soleh dan meninggalkan larangan-Nya) dan berjihadlah mudah-mudahan kamu akan berjaya”.

Pendekatan yang dipilih oleh Mufti Taqi Utsmani semasa membahaskan masalah tawassul dalam kitabnya, “Takmilah Fath al-Mulhim” adalah secara sederhana. Banyak kitab yang membahaskan perkara ini sehingga ada sesetengahnya menafikan sama sekali segala bentuk tawassul. Ada juga yang bermudah-mudah sehingga mengharuskan apa jua bentuk tawassul. Jalan terbaik ialah dengan membahas secara teliti segala bentuk tawassul tersebut dan kemudian barulah diputuskan tentang hukumnya.

Berikut adalah saringan dari tulisan Mufti Taqi Uthmani dalam Syarah Muslim karangannya, “Takmilah Fath al-Mulhim”, dengan sedikit tambahan ulasan berdasarkan kepada kuliah Maulana Muhd Asri Yusuff (rujuk video iringan di atas)  iaitu apa yang tersebut dalam catatan dalam kurungan:

“Hadith bab ini menunjukkan keharusan bertawassul dengan amalan soleh, [iaitu dengan menyatakan hanya kepada Allah s.w.t. (bukan kepada manusia) dan tidak timbul niat hendak menunjuk-nunjuk dengan amalan. Ada juga yang berpendapat tidak harus menyebutkan amalan yang dilakukannya kepada Allah s.w.t. kerana adalah belum pasti amalan tersebut diterima Allah s.w.t. Bagaimanapun, dalam hadith ini menunjukkan seseorang itu hendaklah menyebut secara tidak qatie’ (putus) iaitu dengan mengatakan, “Jika Engkau, ya Allah mengetahui amalan yang aku buat ikhlas kerana-Mu”].

Sementara berkenaan bertawassul dengan individu tertentu, banyak perdebatan dan polemik berlaku di kalangan ulama’, sehingga sampai ke peringkat sesetengah pihak menyesatkan pihak yang lain.

Jika diperhatikan dengan pandangan yang adil, tanpa ada taksub mazhab, sebenarnya khilaf yang berlaku di antara ulama’ dari kalangan ahli haq ini tidaklah besar. Ia sebenarnya perdebatan yang berpunca dari salah faham kerana tidak ditentukan terlebih dahulu maksud yang dikehendaki dengan perkataan “tawassul” tersebut.

Tawassul itu sebenarnya lafaz “mujmal” yakni perkataan yang ringkas dan tidak jelas yang perlu kepada penjelasan kerana ia mempunyai banyak makna. Oleh itu tidak sepatutnya kita terlalu gopoh dalam masalah ini. Kita perlu menentukan maksudnya dengan jelas terlebih dahulu.

Perkataan “tawassul” ada beberapa makna:

1) Orang yang bertawassul percaya bahawa pemberi yang sebenarnya ialah Allah s.w.t. tetapi Allah menyerahkan beberapa urusan kepada salah seorang dari hamba-Nya. Orang itu menyebut nama Allah dengan “tabarruk” dengannya [contohnya disebutkan wali tertentu] tetapi yang dimaksudkan ialah doa orang yang ditawassulkan dengannya, kerana pada iktikad orang yang bertawassul, dengan kelulusan dan kehendak wali itulah terjadi segala perkara [kerana kuasa yang diberikan Allah kepadanya]. Inilah adalah syirik dengan ijma’ ulama.

2) Berdoa kepada Allah dengan maksud supaya Allah menyerahkan segala urusan kepada orang yang ditawassulkan dengannya, lalu ditunaikan hajatnya. Hukum tawassul ini sama dengan yang pertama, iaitu syirik, kerana yang mengatur segala urusan hanyalah Allah dan tiada sekutu bagi-Nya.

3) Tawassul dengan makna seseorang memohon doa daripada orang yang menjadi perantaraan (yang ditawassulkan dengannya) kerana doanya itu lebih diharapkan makbul di sisi Allah kerana kesolehannya dan kelebihannya. Tawassul dengan cara ini adalah harus dengan ijma’ ulama dan tawassul ini hanya boleh dilakukan dengan orang yang masih hidup. Tidak sabit dalam mana-mana hadith dibolehkan bertawasul dengan kaedah ini kecuali dengan orang yang masih hidup sahaja. Sejarah membuktikan, tidak ada Sahabat yang pergi ke kubur orang lain untuk minta daripada orang tersebut.

Inilah maksud hadith Anas,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا

Daripada Anas bahawa ‘Umar al-Khattab, apabila mereka ditimpa kemarau, meminta ‘Abbas bin ‘Abdul Muttalib. Umar berkata: “Ya Allah kami dahulu selalu bertawassul kepada-Mu dengan Nabi-Mu lalu Engkau berikan hujan kepada kami. Sekarang ini kami bertawassul kepada-Mu dengan bapa saudara Nabi kami, Abbas, maka turunkanlah hujan untuk kami”. (Sahih al-Bukhari, No. 1010)

Maksud tawassul di sini ialah meminta supaya ‘Abbas r.a. berdoa, sementara yang lain mengaminkan doa. Ini menjadi dalil kepada ulama’ yang menegaskan tidak boleh meminta dengan orang yang meninggal dunia dan juga tidak boleh bertawassul dengan (zat atau diri) Rasulullah s.a.w. setelah wafat. Jika dibenarkan bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia tentulah Umar r.a. akan meminta dengan Nabi s.a.w yang telah wafat dan tidak perlu memanggil Abbas.

4) Tawassul dengan makna bersumpah atas Allah dengan zat orang yang ditawassulkan dengannya [orang yang dijadikan wasilah dengannya yakni meminta daripada Allah dengan bersumpah dengan demi nabi tertentu, wali tertentu atau orang soleh tertentu]. Ini juga tidak dibolehkan kerana, seperti yang ditegaskan oleh Ibn Taimiyyah, bersumpah dengan makhluk adalah tidak harus, masakan pula harus bersumpah atas Allah.

5) Berdoa kepada Allah dengan bertawassul dengan menghubungkan diri dengan orang soleh yang keadaannya yang dekat dengan Allah maka diharapkan doanya dimakbulkan. Inilah yang disebutkan oleh sebahagian ulama’ sebagai berdoa kepada Allah dengan berkat hamba yang soleh, dan ini merangkumi orang yang hidup atau meninggal dunia.

[Tawassul dengan cara ini bermaksud sayangnya dia kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan, orang soleh atau orang yang bertawassul itu mengatakan: “Dengan hubungan yang ada antara diriku dengan orang soleh ini”. Cara ini diharuskan dengan yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia]

Pada pandangan saya yang lemah ini (Mufti Taqi Uthmani), tawassul dengan makna ini sebenarnya merujuk kepada tawassul dengan amalan soleh yang harus berdasarkan ijma’. Ini kerana orang yang mengatakan, “Ya Allah, sesungguhnya saya bertawassul kepada Engkau dengan hamba-Mu si Fulan, (maksudnya bukan dengan tiga jenis tawassul yang pertama) sebenarnya dia menyatakan, sesungguhnya saya mengasihi si fulan, dan saya menyakini kesolehan dan kelebihannya, dan dia seorang yang dikasihi di sisi Engkau, maka saya memohon rahmat-Mu dengan sebab hubungan saya dengannya. Pada hakikatnya, ini merupakan permintaan diberikan rahmat Allah dengan sebab hubungannya dan kasihnya kepada orang yang soleh.

Sekiranya seseorang itu menyatakan dalam doanya: “Ya Allah, aku bertawassul dengan cinta saya kepada Nabi Muhammad s.a.w.”, malah yang zahirnya, ‘Allamah Ibn Taimiyyah tidak menegahnya kerana beliau mengatakan, harus bertawassul dengan amalan soleh, dan kasih kepada Rasulullah s.a.w. adalah amalan soleh yang paling utama dengan ijma’ ulama. Ibn Taymiyyah jelas menyatakan perkara ini. Beliau berkata: “Ya, sekiranya orang itu meminta dari Allah dengan keimanannya dan kecintaannya, ketaatannya dan ikutannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. maka sesungguhnya dia telah meminta dari Allah dengan sebab yang besar yang membawa kepada makbulnya doa. Malahan ini merupakan sebab dan wasilah yang paling besar”. (Qa’idah Jalilah Fi al-Tawassul Wa al-Wasilah, hal. 65)

Sekiranya seseorang itu menyebutkan dengan ringkas dan dia berkata, “Ya Allah, aku bertawassul kepada-Mu dengan Nabi Muhammad s.a.w” dan dia tidak bermaksud kecuali dengan makna yang telah kita terangkan, maka itu adalah antara makna tawassul yang paling jelas.

Tidak ada dalil al-Qur’an dan al-Sunnah serta kaedah-kaedah yang sabit yang menegah tawassul ini. Malah ia adalah yang paling patut untuk dihukumkan harus, berbanding dengan tawassul dengan amalan soleh yang lain kerana orang yang bertawassul dengan sembahyangnya, puasanya atau sedekahnya adakalanya berlaku  kekaguman terhadap amalannya sendiri. Tetapi orang yang bertawassul, sebagai contoh, dengan kasihnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. atau dengan kasihnya kepada Sahabat Baginda maka itu lebih kepada tawadhu’. Seolah-olah dia mengatakan saya tidak mempunyai apa-apa amalan soleh yang dapat mendekatkan diri kepada-Mu selain dari saya mencintai orang-orang dekat dengan-Mu. Dengan wasilah cinta ini, aku memohon pertolongan dari-Mu dan rahmat-Mu.

Ini bersesuaian dengan hadith yang diriwayatkan oleh Anas.

أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ السَّاعَةِ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَاذَا أَعْدَدْتَ لَهَا قَالَ لَا شَيْءَ إِلَّا أَنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بِشَيْءٍ فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ بِحُبِّي إِيَّاهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِمِثْلِ أَعْمَالِهِمْ

Katanya ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang hari Kiamat. Dia bertanya: “Bilakah berlaku Kiamat”. Baginda bertanya: “Apakah yang kamu sediakan untuknya?”. Dia berkata: “Tidak ada apa-apa selain dari saya cinta kepada Allah dan Rasul-Nya”. Baginda berkata: “Engkau bersama dengan orang yang kau cintai”. Anas berkata: “Kami tidak pernah gembira seperti mana kami gembira dengan kata-kata Baginda: “Engkau bersama dengan orang yang kau cintai”. Anas berkata: “Saya mencintai Nabi Muhammad s.a.w, Abu Bakar dan ‘Umar dan saya berharap akan bersama mereka dengan sebab cintaku kepada mereka, meskipun aku tidak beramal seperti amalan mereka”. (Hadith al-Bukhari: Manaqib ‘Umar, No: 3688, Muslim, al-Birr wa al-Silah Bab al-Mar` Ma’ Man Ahabb)

Tawassul dengan makna ini sabit berdasarkan Sunnah. Imam al-Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadith daripada Uthman bin Hunaif.

أَنَّ رَجُلًا ضَرِيرَ الْبَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَنِي قَالَ إِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ وَإِنْ شِئْتَ صَبَرْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ فَادْعُهْ قَالَ فَأَمَرَهُ أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لِيَ اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فِيَّ

Bahawa ada seorang buta datang kepada Rasulullah s.a.w. lantas berkata: “Doakanlah agar Allah memberi kesihatan kepada saya”. Baginda menjawab: “Jika kamu mahu saya boleh berdoa, tetapi jika kamu mahu bersabar maka itu lebih baik bagimu.” Dia berkata: “Berdoalah kepada Allah.” Uthman berkata: “Rasulullah s.a.w. menyuruhnya berwudhu` dengan seelok-eloknya dan berdoa dengan doa ini.

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan bertawajjuh kepada-Mu dengan nabi-Mu, Muhammad s.a.w, nabi rahmat. Sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanku pada hajatku ini, supaya diberikan kepadaku, Ya Allah, berikanlah syafaat kepadanya untukku”.

Al-Tirmidzi berkata: “Ini adalah hadith hasan sahih gharib. Kami tidak mengetahui melainkan melalui jalan ini, daripada hadith riwayat Abu Ja’far al-Khitmi”. (Kitab al-Da’awat: Bab: 119, No: 3578)

Al-Hakim meriwayatkan dalam al-Mustadrak (jil.1, hal. 519) dengan lafaznya,

ائت الميضاة فتوضأ ثم صل ركعتين ثم قل : اللهم إني أسألك و أتوجه إليك بنبيك محمد صلى الله عليه و سلم نبي الرحمة يا محمد إني أتوجه بك إلى ربك فيجلي لي عن بصري اللهم شفعه في و شفعني في نفسي قال عثمان فو الله ما تفرقنا و لا طال بنا الحديث حتى دخل الرجل و كأنه لم يكن به ضر قط

Dapatkan bekas wudhu` dan berwudhu`lah kemudian sembahyanglah dua rakaat dan ucapkanlah, “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan bertawajjuh kepada-Mu dengan Nabi-Mu, Muhammad s.a.w, nabi rahmat. Wahai Muhammad, aku menghadap denganmu kepada Tuhanku, diterangkan kepadaku pandanganku. Ya Allah, berikanlah syafaat kepadanya untukku, dan berikanlah syafaat kepadaku untuk diriku”. Uthman berkata: “Demi Allah, tidak lama setelah kami berpisah sehingga suatu hari orang itu datang, seolah-olah dia tidak pernah hilang penglihatan”.

Al-Hakim mengatakan hadith ini sahih dan diakui oleh al-Zahabi. Ibn Majah, al-Nasa’i dan Ibn Khuzaimah turut meriwayatkannya. Al-Shaukani, setelah menukilkan hadith ini dalam “Tuhfah al-Dzakirin” (hal. 162) menyatakan: Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tabarani, dan beliau mengatakan setelah menyebutkan sanad-sanadnya, hadith ini sahih, disahihkan oleh Ibn Khuzaimah. Para imam telah mensahihkan hadith ini. Al-Nasa’i bersendirian dalam menyebut sembahyang tetapi ada antara sanad al-Tabarani yang menyamai dengan sesetengah sanad yang disebutkan oleh al-Nasa’i. Dalam hadith ini menunjukkan harus bertawassul kepada Allah dengan Rasulullah s.a.w. dengan syarat beri’tiqad bahawa pelaku yang sebenar adalah Allah, Dialah yang memberi dan tidak memberi. Apa yang Dia kehendaki pasti terjadi dan apa yang Dia tidak kehendaki tidak akan terjadi.

Adapun jawapan Ibn Taimiyyah berhubung dengan hadith ini setelah mengakui kesahihannya, dalam kitabnya “al-Tawassul Wa al-Wasilah” (hal. 64): kata beliau: “Hadith orang yang buta, tidak menjadi hujah bagi mereka kerana ia jelas tentang orang itu bertawassul dengan doa dan syafaat Nabi Muhammad s.a.w”. Bagaimanapun, tafsiran ini tidak bersesuaian dengan konteks hadith kerana orang itu, telah pun meminta doa daripada Nabi s.a.w. kemudian Baginda menyuruhnya  berdoa sendiri untuk dirinya dengan bertawassul dengan Baginda. Jika maksud tawassul di sini dengan maksud meminta doa daripada Rasulullah s.a.w. tentu Baginda berdoa untuknya. Tetapi Baginda mengajarkannya cara berdoa untuk dirinya di masa akan datang dan mengajarkannya bertawassul dengan diri Baginda. Perkara tersebut tidak bermaksud melainkan bertawassul kepada Allah dengan kasihnya kepada Nabi s.a.w. Adapun kata-katanya, “Ya Allah berilah syafaat kepadaku untuknya”, maksudnya ialah dikabulkan doa Nabi Muhammad s.a.w. seolah-olah Baginda berjanji bahawa Baginda akan berdoa untuknya lalu menyuruhnya berdoa supaya diterima syafaat dan doanya.

Di antara hujah yang menunjukkan benarnya pendapat kita ialah sekiranya tawassul di sini dengan maksud minta Rasulullah s.a.w berdoa tentu tidak harus tawassul seperti ini setelah Rasulullah meninggal dunia, mengikut pendapat Ibn Taimiyyah. Namun dalam riwayat al-Tabarani bahawa ‘Uthman bin Hunaif telah menyuruh seseorang berdoa dengan lafaz ini setelah kewafatan Baginda.

عن عثمان بن حنيف : أن رجلا كان يختلف إلى عثمان بن عفان رضي الله عنه في حاجة له فكان عثمان لا يلتفت إليه ولا ينظر في حاجته فلقي ابن حنيف فشكى ذلك إليه فقال له عثمان بن حنيف : ائت الميضأة فتوضأ ثم ائت المسجد فصل فيه ركعتين ثم قل : اللهم إني أسألك وأتوجه إليك بنبينا محمد صلى الله عليه و سلم نبي الرحمة يا محمد إني أتوجه بك إلى ربي فتقضى لي حاجتي

Daripada ‘Uthman bin Hunaif bahawa ada seorang lelaki yang selalu pergi kepada Uthman bin ‘Affan kerana ada keperluannya. Maka suatu hari ‘Uthman tidak berpaling kepadanya dan tidak melihat kepada hajatnya. Lalu orang itu menemui ‘Uthman bin Hunaif lalu mengadu halnya. ‘Uthman bin Hunaif menyuruhnya, hendaklah kamu mengambil bekas wudhu’ dan berwudhu’ dan seterusnya pergi ke masjid dan bersembahyang dua rakaat dan hendaklah kamu berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan aku menghadap kepada Engkau dengan Nabi-Mu Muhammad s.a.w, nabi rahmat, wahai Muhammad, sesungguhnya aku bertawajjuh kepada Tuhanku dengan perantaraanmu, maka tunaikanlah hajat ku.”

Al-Haithami menyebutkan dalam “Majma’ al-Zawa’id” (2/279) bahawa al-Tabarani mengatakan hadith ini sahih.

Adapun berdoa dengan hak si fulan atau dengan kedudukan si fulan maka hukumnya yang asal ialah “tawaqquf”, bergantung kepada maksud yang dikehendakinya. Jika dia memaksudkan bahawa si fulan itu sendiri memiliki hak yang wajib atas Allah maka itu adalah terang-terang sesat. Sekiranya dia memaksudkan dengan itu bahawa Allah, dengan kelebihan janji baik-Nya untuk memberi pahala kepada orang-orang soleh, diberikan kepadanya hak maka itu adalah dibolehkan. Demikian juga jika dia memaksudkan bahawa si fulan itu mempunyai kedudukan yang diterima di sisi Allah kerana iman dan amal solehnya maka, tidak mengapa juga dengannya.

Bagaimanapun, berdoa dengan wasilah hak atau kedudukan ini mengandungi dua andaian.

Pertama, jika beri’tiqad bahawa setiap kali dia menyebut hak si fulan yang soleh atau kedudukannya dalam berdoa maka wajib atas Allah s.w.t. mengabulkan doanya maka ini juga haram hukumnya. Ini kerana, tidak ada yang dapat mewajibkan atas Allah sama sekali.

Kedua, bermaksud bahawa si fulan yang dia bertawassul dengannya itu mempunyai kedudukan yang diterima di sisi Allah dan saya mengasihinya dan saya meminta pertolongan dan meminta rahmat dari Allah dengan perantaraan cinta saya kepada si fulan maka maksud ini betul dan tidak dilarang seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Akan tetapi oleh kerana berdoa dengan hak si fulan dan kedudukannya itu mungkin mengandungi makna yang rosak bahkan makna yang tidak betul itu lebih jelas berbanding makna yang betul, maka para fuqaha` menghukumkan makruh.

Diriwayatkan daripada Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya bahawa mereka melarangnya. Al-Haskafi menyebutkan dalam “al-Durr al-Mukhtar”, “Dimakruhkan doa dengan kata-kata, dengan hak rasul-rasul, nabi-nabi dan wali-wali Engkau”. Ibn ‘Abidin menyatakan dalam “Radd al-Muhtar”, “Hanya semata-mata ada lafaz yang mewahamkan ada perkara yang tidak harus maka itu sudah cukup untuk menegahnya seperti yang telah diterangkan. Oleh sebab itu, para imam kita menegahnya secara mutlak”.

Adapun kata-kata seseorang dalam doanya, “Ya Allah, sesungguhnya saya bertawassul dengan nabi-Mu kepada-Mu”, maka ia tidak sama dengan yang ini kerana yang lebih jelas tentang maknanya ialah seperti yang telah kami tegaskan iaitu bertawassul dengan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w, maka hukumnya harus dengan makna ini tetapi haram dengan makna-makna yang batil.

Semua yang tersebut di atas adalah kajian yang teliti tentang perkara ini. Walaupun demikian, jika terdapat kerosakan pada aqidah masyarakat awam iaitu mereka memaksudkan tawassul dengan makna yang mengandungi unsur syirik atau dekat dengan syirik, maka lebih patut untuk dijauhi walaupun tawassul itu dengan makna yang betul terutama apabila tidak sabit tawassul seperti ini kecuali dalam beberapa peristiwa sahaja di zaman Sahabat sedangkan kebanyakan doa mereka tiada tawassul itu.

Tidak diragukan lagi bahawa mengikuti dan mengamalkan doa-doa yang ma’thur yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w itu lebih utama dan lebih diharapkan untuk dimakbulkan.

Sebelum mengakhiri perbahasan ini, elok sekali kita tutup dengan perbahasan ringkas dan padat oleh guru kepada guru-guru kami, Imam Asyraf Ali al-Tahanwi. Kata beliau dalam kitab “Imdad al-Fatawa”, jil. 4, hal. 372, “Sesungguhnya bertawassul dengan mereka yang doanya makbul di sisi Allah sama ada mereka itu hidup atau telah meninggal dunia adalah harus [tetapi bukan sunnah]. Telah sabit bahawa Sayyidina ‘Umar bertawassul dengan Sayyidina ‘Abbas ketika sembahyang memohon hujan dan telah sabit juga bertawassul dengan Rasulullah s.a.w. dalam kisah seorang buta setelah kewafatan Baginda. Maka itu tidak ada sebarang keraguan tentang keharusannya itu.

Namun, jika terdapat tanda-tanda melampau di kalangan masyarakat awam, mereka hendaklah ditegah dari bertawassul. Larangan terhadap perkara ini juga merupakan langkah betul. Tetapi beriktiqad bahawa wajib atas Allah memperkenankan doa yang dipanjatkan kepada-Nya dengan cara bertawassul atau kerana orang yang dekat dengan-Nya yang menjadi perantaraan tawassul itu diharapkan mereka memberi pertolongan, atau nama-nama mereka itu menjadi seperti nama Allah, maka kesemua itu merupakan bid’ah dan tambahan dalam syariat. Wa Allah A’lam”.

[Nota: Perlu disedari bahawa kesan dari tawassul itu akhirnya membawa kepada syirik iaitu “istighatsah”, yakni meminta pertolongan secara terus daripada orang yang telah meninggal dunia seperti minta pertolongan dari para nabi, wali, Khadir dan lain-lain. Yakni tidak meminta daripada Allah, malah tidak sebut lafaz tawassul sama sekali. Ini haram dengan sepakat ulama]

Wallahu’alam.

[E-book] – SYIAH RAFIDHAH – DI ANTARA KECUAIAN ‘ULAMA’ DAN KEBINGUNGAN UMMAH

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

[Muat Turun E-Book – Di Antara Kecuaian Ulama’ Dan Kebingungan Ummah]

Buku ini ditulis ekoran polemik Sunnah-Syiah di dalam akhbar-akhbar tempatan sejak akhir-akhir ini. Ia menimbulkan berbagai-bagai tanggapan sehingga ada di antara masyarakat yang kononnya memilih jalan tengah dalam soal ini dengan mengambil sikap bahawa isu Sunnah Syiah adalah suatu isu yang tidak sepakat pendapat para ulama’ mengenainya sejak dahulu sampai sekarang. Ada di antara ulama’ yang mengkafirkan Syiah dan ada pula di antara mereka yang menganggap Syiah sebagai salah satu mazhab di dalam Islam, tak ubah seperti kedudukan mazhab Maliki atau Hanafi.

Jika demikianlah keadaan ulama’ dari dahulu sampai sekarang, kenapakah kita sibuk berpolemik dan bertengkar tentangnya? Walaupun mereka (orang awam) berada di dalam kebingungan lantaran perbezaan pendapat ulama’ tentang isu ini, tetapi mereka pada hakikatnya telah memilih satu sikap. Lebih menyedihkan lagi, ada satu golongan dari masyarakat kita yang menganggap Syiah lebih baik dan lebih kukuh hujjahnya dari Ahli Sunnah, maka mereka terus mengamalkan ajaran-ajaran Syiah atau cuba mempengaruhi orang lain kepada fahaman Syiah padahal mereka sendiri pun masih belum lagi mengenali hakikat Syiah yang sebenarnya.

Buku kecil ini akan membentangkan titik-titik perbezaan di antara ulama’ yang berbeza-beza pendapat itu. Ia cuba membentangkan faktor-faktor yang menyebabkan para ulama’ tidak sependapat di dalam soal ini. Benarkah Syiah itu hanya satu mazhab dari mazhab-mazhab dalam Islam atau ianya bukan dari ajaran Islam?

Di antara tajuk perbincangan dan isi kandungan buku ini ialah:

Aliran-Aliran Syiah………………………………………………………………………………………………………….….…….….…..11
Syiah Imamiah Ithna ‘Asyariyyah…………………………….…………………….………………………………..…….…….13
Sikap ‘Ulama Islam Dahulu Terhadap Syiah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah ………….….……….14
Kitab-Kitab Terpenting Syiah Disembunyikan…………………………………..………….………………..…………18
Buku-Buku Kritik Terhadap Syiah Tulisan Ulama Dahulu ……………..………………………..…..…………19
Tarikh Terdedahnya Kitab-Kitab Syiah Kepada Umum……………………….…………..………….………….22
Buku Kritik Terhadap Syiah Oleh Para Ulama Sunnah India Sebelum Revolusi Iran………..23
Tokoh-Tokoh Ulama Islam Yang Menulis Khusus Untuk Mengkritik Dan Mendedahkan
Ajaran Syiah Selepas Revolusi Iran………………………………………….……………………..………….………….……25
Adakah Syi’ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah Rafidhah………………………………………….………………..29
Hubungan Antara Rafidhah Dengan Syiah ……………………………………………….………….……..…………….33
Persamaan Antara Syi’ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah Dengan Rafidhah…….…..…….……….33
Syiah Dan Al-Quran………………………………………………………………………………..…………………….…..…….………38
Syiah Dan Sahabat…………………………………………………………….…………………………………………………………….40
Syiah dan Raj’ah ……………………………………………………………………………………………………………………………….42
Syiah dan Imamah………………………………………………………………………..…………….…………………………………..43
Syi’ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah Adalah Rafidhah……………………………….……………………………45
Rafidhah Di Dalam Hadith-Hadths Rasulullah s.a.w ………………………………………….…………………..47
Sebab-Sebab Perbezaan Pendapat Di Kalangan ‘Ulama Mutaakhir Tentang Syiah…………50
Kebimbangan Tokoh-Tokoh Ahli Sunnah Tentang Usaha Pendekatan Syiah-Sunnah…….60
Kenapa Ulama Benua Kecil India Tidak Menyetujui Usaha-usaha Pendekatan Sunnah-Syiah Oleh Dar At-Taqrib……………………………………………………………………………………………………………….58
Di Antara Sebab-Sebab Sesetengah Ulama Terkeliru Dengan Syiah………..…………………..……60
Pertama ……………………………………………………………………….………………………………………..………..………………..60
Kedua ……………………………………………………………………………………………………………………………………….………..61
Ketiga ……………………………………………………………………………………………………………………………………….………..63
Keempat ……………………………………………………………………………………………..…………………………………………….66
Kelima…………………………………………………………………………………………………………………………………….…………..67
Menjadikan Sejarah Sebagai Nas………………………………………………….………………………………………………69
Rujukan Sejarah………………………………………………………………………………………………………………..….…………..74

Tarikh at-Tabari………………………………………………………….………………………………………………………..……………74
Thabaqat Ibn Sa‘ad……………………………………………………………………………………………….…………………………77
Fatwa Ulama Di Benua Kecil India Tentang Kekufuran Syiah………………………….…..…………………81
Sikap Ulama Tanahair Kita Terhadap Syiah ………………………………..…………….…………….………………..85

Untuk Baca ONLINE atau MUAT TURUN e-book sila KLIK

EBOOK – SYIAH RAFIDHAH – DI ANTARA KECUAIAN ULAMA’ DAN KEBINGUNGAN UMMAH

Perbezaan Di Antara Perkara “Bid’ah” Dan “Khilafiah”

Muat Turun Artikel – PDF]

VIDEO – [Durasi – 1m 13s] – Perbezaan Di Antara Bid’ah Dan Khilafiah – PERSOALAN TENTANG BID’AH – Maulana Muhd Asri Yusoff

PERBEZAAN DI ANTARA PERKARA “BID’AH” DAN “KHILAFIAH

PERSOALAN

– Adakah perkara “bid’ah” dan “khilafiah” itu sama?

– Apakah yang dikatakan bid’ah?

– Apakah yang dikatakan khilafiah?

– Apa sikap kita bila berhadapan dengan perkara khilafiah?

KETERANGAN

a) Bid’ah ialah perkara yang tidak ada dalil dan tiada sumbernya dalam agama (Dalil adalah seperti hadith nabi atau amalan Sahabat-sahabat).

b) Khilafiah ialah perkara yang ada dalilnya tetapi ulama’ berbeza pendapat tentang maksud sebenar dalil tersebut – Contoh perkara khilafiah ialah;

  • Adakah sunat baca qunut dalam solat subuh atau tidak sunat
  • Adakah batal wudhu’ atau tidak batal bila bersentuh lelaki dan perempuan

c) Kita hendaklah meraikan dan menghormati pendapat yang berbeza dalam hal khilafiah tetapi hendaklah bertegas dan mengekang perkara bid’ah.

NOTA TAMBAHAN

MENJAGA (KELUAR) DARI KHILAF ITU LEBIH BAIK

Ada khilaf di kalangan kita tentang binaan yang menyerupai salib sama ada harus atau haram.

Untuk keluar dari khilaf tersebut, elok kita elakkan dari binaan sebegitu.

Adalah elok kita ambil pendapat yang boleh mengeluarkan kita dari khilaf.

Contoh lain ialah menyapu air seluruh kepala berbanding sapu sedikit rambut bila wudhu’ kerana ada pendapat dalam mazhab yang mengatakan tidak sah wudhu’ kalau sapu rambut sedikit sahaja. Oleh itu untuk keluar dari khilaf, kita sapu air seluruh kepala.

Punca Berlakunya Bid’ah – Tidak Faham Apa Itu Bid’ah Hakikiah Dan Bid’ah Idhafiah & Menerima Konsep Bid’ah Hasanah

[Muat Turun Artikel – PDF]

VIDEO – [Durasi – 10m 39s] – BID’AH – Kesan Penerimaan Konsep “Bi’dah Hasanah” & Mempertahankan Status Quo – Maulana Asri Yusoff

PUNCA BERLAKUNYA BID’AH – TIDAK FAHAM APA ITU BID’AH HAKIKIAH DAN BID’AH IDHAFIAH & MENERIMA KONSEP BID’AH HASANAH

a) Perkara bid’ah adalah perkara yang tiada dalilnya dari syariat

b) Punca berlakunya bid’ah ialah menerima konsep “bid’ah hasanah” dan tidak faham konsep “bid’ah hakikiah” & “bid’ah idhafiah”

c) Dengan alasan adanya “bid’ah hasanah”, ibadat-ibadat baru akan terus-menerus direka dan tidak akan ada penghujungnya.

d) Sepatutnya kita berani membetulkan masyarakat setelah kebenaran terbukti dan bukannya dengan menurut dan mengiyakan amalan semasa masyarakat yang salah.

Maklumat Lanjut Tentang Bid’ah Hasanah – ARTIKEL – TIADA BID’AH HASANAH – DR YUSUF AL-QARDHAWI – https://darulkautsarpemurniansyariat.wordpress.com/2018/12/06/tiada-bidah-hasanah-dr-yusof-al-qaradhawi/