[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO – [Durasi 18m 22s] – Fiqh Akbar – 23) Anak-anak Rasullullah s.a.w – Us Muhd Hanief Awang Yahaya
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/SUwz_AfhVsw ]
ANAK-ANAK RASULULLAH S.A.W
Qasim, Tahir dan Ibrahim adalah anak-anak lelaki Rasulullah s.a.w sementara Fatimah, Ruqayyah, Zainab dan Ummu Kulthum merupakan anak-anak perempuan Baginda s.a.w. [74]
Sekiranya seseorang itu mengalami kemusykilan dalam perkara halus dalam ilmu Tauhid maka pada ketika itu hendaklah dia beriktiqad dengan apa yang benar di sisi Allah [75] sehinggalah dia menemukan seorang yang berilmu lalu dia bertanya kepadanya. Tidak ada ruang baginya untuk melewatkan pertanyaan dan tidak diberikan kemaafan untuk tawaqquf (berdiam diri tidak mengambil satu sikap) dan dia menjadi kafir sekiranya dia bertawaqquf.
Hadith tentang Mi’raj itu benar dan sesiapa yang menolaknya adalah ahli bid’ah yang sesat. [76]
NOTA KAKI
74] Ini merupakan isyarat kepada bantahan terhadap golongan yang mendakwa bilangan anak-anak Rasulullah lebih daripada atau kurang daripada ini. Contohnya, golongan Syiah mendakwa, Fatimah satu-satunya anak Rasulullah s.a.w. manakala yang lain anak Khadijah dengan suaminya yang terdahulu atau anak saudaranya iaitu adik-beradik Khadijah bernama Halah. Syi’ah juga mendakwa isteri Sayyidina Uthman itu anak tiri bukan anak kandung. (Lihat Ja’far Khadir al-Najafi, Kashf al-Ghita’ ‘An Khafiyyat Mubhamat Syari’ah al-Gharra’, hal. 5, Ja’far Murtada, al-Sahih Min Sirah al-Nabiy, jil. 2, hal. 125-130)
[75] Sekiranya berlaku kesamaran dalam masalah aqidah maka hendaklah menyerahkannya kepada Allah dan tidak harus kita berkata-kata padanya tanpa sebarang pengetahuan. Hendaklah mengucap, “Hanya Allah yang lebih mengetahui”.
[76] Mi’raj ialah Allah membawa rasul-Nya naik ke langit tinggi ke tempat yang dikehendaki-Nya, setelah diperjalankan Baginda (Isra’) dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa. Peristiwa berlaku dalam satu malam, dalam keadaan Baginda jaga dengan roh dan jasad sekali.
One thought on “Kedua Puluh Tiga – Anak-Anak Rasulullah S.A.W”