[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO – [Durasi 25m 54s] – Fiqh Akbar – 21) Azab Kubur- Us Muhd Hanief Awang Yahaya
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/cYK8f-510Fk ]
AZAB KUBUR
Soalan Munkar dan Nakir dalam kubur adalah benar ada. [70]
Pengembalian ruh ke badan manusia dalam kubur adalah benar. Himpitan kubur dan azabnya adalah benar ada kepada semua orang kafir dan sebahagian orang-orang beriman yang melakukan maksiat [71].
Setiap sifat Allah yang maha tinggi nama-Nya yang disebutkan oleh para ulama’ dengan bahasa Farsi, maka itu harus dikatakan begitu kecuali روىء خد ا (kerana dalam bahasa Farsi bermaksud tangan makhluk) dan harus dikatakan Wajah Allah tanpa menyerupakan (dengan makhluk) dan tanpa kaifiat yang diketahui. Dekat dan jauh dari Allah bukan secara jauhnya dan dekatnya jarak tetapi dengan makna karamah (kemuliaan) dan kehinaan.
Orang yang taat dekat dengan Allah s.w.t. dan orang derhaka jauh dari-Nya tanpa kaifiyat yang diketahui. Jauh, dekat dan menghadap berlaku kepada orang yang bermunajat [72].
Demikian juga dekat hamba dengan Tuhannya dalam syurga dan berdiri di hadapannya tanpa kaifiyat yang diketahui.
NOTA KAKI
[70] Dalilnya Ayat al-Quran, mafhumnya:
“Allah meneguhkan orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat”. (Surah Ibrahim, Ayat 27)
Maksud di kehidupan akhirat menurut majoriti ahli tafsir ialah soalan dalam kubur.
Riwayat daripada Sayyidina Uthman bahawa Rasulullah s.a.w apabila selesai mengebumikan jenazah, Baginda berdiri dan bersabda, maksudnya:
“Mintalah keampunan untuk saudara kamu dan mintalah keteguhan untuknya kerana sekarang dia sedang disoal”. (Sunan Abi Daud: 3221)
[71] Dalilnya: Firman-Nya, mafhumnya:
“Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”. (Surah Ghafir, Ayat 46)
Dalam ayat disebutkan dua jenis azab, iaitu sebelum azab pada hari Akhirat telahpun ada azab sebelumnya. Selain itu, azab kubur juga sabit berdasarkan beberapa hadith lain seperti pertanyaan Aisyah tentang azab kubur, hadith Rasulullah s.a.w. memacakkan pelepah tamar, doa Baginda supaya dilindungi daripada azab kubur dan lain-lain.
[72] Allah s.w.t. tidak berada di suatu arah atau tempat sehingga ada jarak dekat atau jauh antara Dia dengan manusia. Allah telah menyebutkan bahawa Dia dekat dengan hambanya.
Firman-Nya, mafhumnya:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku”. (Surah al-Baqarah, Ayat 186)
“Sesungguhnya orang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa”. (Surah al-Hujurat, Ayat 13)