Pemarah

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Sifat pemarah  berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian, selalunya didorong oleh pengaruh syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya. 

MENUKAR KEMARAHAN KEPADA CINTA

Apa Yang Terjadi dengan Tubuh Kita Bila Kita Marah?

Hasil kajian terkini menyatakan, ketika kita marah, tekanan emosi  menyebabkan hormon kortisol dilepaskan di dalam tubuh. Pelepasan kortisol dalam jumlah yang kecil dapat menyebabkan ledakan energi yang cepat. Namun peningkatan energi dalam waktu yang panjang  akan  memberi kesan negatif bagi tubuh.

Antara beberapa kesan  negatif pada tubuh ialah  gula darah yang tidak seimbang, kepadatan tulang yang berkurang, melemahkan respon sistem kekebalan tubuh, menyebabkan tubuh mudah terdedah terhadap radang yang kronik sehingga melemahkan fungsi tiroid, melambatkan metabolisme tubuh, mengganggu kemampuan berfikir dan meningkatkan tekanan darah.

Kita perlu tahu apakah kesan “kemarahan” kepada tubuh dan jiwa kita. Kita tidak mampu untuk mencegah kesan buruk dari “kemarahan” terhadap tubuh badan kita. Kemarahan dapat meningkatkan denyut jantung kita sampai 180 kali seminit. Denyutan jantung yang pantas  ini dapat meningkatkan tekanan darah  dari 120/80 sehingga  220/130 malah mungkin lebih tinggi dari itu.

Bila marah, nafas kita menjadi lebih cepat kerana ingin mendapatkan lebih banyak oksigen untuk  tubuh kita. Tubuh dan otot-otot kita juga menjadi tegang. Ketika ini kita menjadi tertekan (stress) dan tubuh kita melepaskan zat kimia yang membekukan darah, yang menyebabkan bahaya darah beku di pembuluh darah otak atau jantung. Ini boleh mengakibatkan lumpuh (stroke) atau serangan jantung.

Kemarahan juga mengurangkan edaran oksigen dalam tubuh. Kekurangan oksigen dapat menyebabkan rasa pedih dada. Kemarahan yang tidak terkawal dapat menyebabkan saluran darah otak pecah yang menyebabkan “stroke”. Otot leher dan kepala yang tegang dapat menyebabkan sakit kepala, “migrane” malah penyakit susah tidur (“insomnia”). Kemarahan juga dapat menahan tenaga dan menghalang metabolisme tubuh. Kemarahan merangsang pelepasan asid di dalam perut menyebabkan meningkatnya kandungan  asid dan meyebabkan ulser perut. Kemarahan juga dapat merosakkan fungsi paru-paru.

Apa akan terjadi kepada otak kita bila kita marah ?

Kemarahan berpunca dari bahagian otak yang dikenali sebagai “Amigdala”. Amigdala atau otak reptilia (disebut dengan otak reptilia kerana ini merupakan bahagian otak yang terdapat pada ular, buaya dan lain-lain binatang reptilia). Sikap sabar dan diam dapat memulihkan “stress” (tekanan) atau kemarahan dengan lebih cepat kerana bahagian “cortex prefrontal“ akan bertindak menenangkan amigdala.

Hasil penelitian di Hotchkiss Institute Calgary, kemarahan dan stress yang berpanjangan juga menyebabkan perubahan fungsi otak ke peringkat selular. Kemarahan dan stress dapat menghalang pertumbuhan neuron baru di dalam otak yang mengakibatkan matinya saraf atau depresi. Juga dapat menyebabkan kemerosotan ingatan dan mengurangkan kemampuan untuk belajar perkara baru.

Belajar Menguruskan Rasa Marah dari Manusia Terhebat Sepanjang Zaman

وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Dan Balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, Maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim. (Surah asy-Syura, Ayat 40)

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa seseorang berkata kepada Nabi s.a.w.:  “Berilah aku wasiat?”. Baginda bersabda,”Janganlah kamu marah”. Lelaki itu mengulangi kata-katanya, Baginda tetap bersabda,”Janganlah kamu marah. (Hadith riwayat al-Bukhari)

Adalah suatu hal yang sukar untuk membalas sesuatu kejahatan dengan kejahatan yang sama. Ledakan emosi dan kemarahan menjerumuskan   manusia untuk membalas  kejahatan dengan kejahatan yang lebih zalim.

Oleh itu, Allah mendorong hambanya supaya memaafkan  kejahatan yang dilakukan ke atasnya. Allah telah menyediakan ganjaran terbaik di sisi-Nya, untuk mereka yang pemaaf. Sifat baik ini. bukan setakat menukar kemarahan kepada  kemaafan  bahkan berbuat baik kepada orang yang melakukan kejahatan.

Terlalu banyak bukti mengagumkan yang ada dalam diri Rasulullah Muhammad s.a.w. dalam mengurus emosi “kemarahan”. Peristiwa Futuh Makkah, Haditsul Ifki, Peristiwa  Thaif danaan berbagai peristiwa  lain yang menggambarkan tidak hanya kemarahan bertukar kepada  kemaafan, malah menimbulkan rasa cinta di dalam hatinya.

Panduan dari Rasulullah untuk mengurus rasa  marah

1.Membaca Ta’awudz

Al Imam Al-Bukhari dan Al -Muslim rahimahumullah meriwayatkan hadith dari Sulaiman bin Surod r.a.: Ada dua orang saling mencela di sisi Nabi s.a.w dan kami sedang duduk di samping Nabi s.a.w.

Salah satu dari keduanya mencela lawannya dengan penuh kemarahan sampai merah wajahnya. Maka Nabi s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya aku akan ajarkan suatu kalimat yang kalau diucapkan akan hilang apa yang ada padanya. iaitu sekiranya dia mengucapkan : Audzubillahi minasy syaithani rajiim. Maka mereka berkata kepada yang marah tadi: “Tidakkah kalian dengar apa yang disabdakan nabi?”. Dia menjawab: “Aku  ini bukan orang gila”.

2. Dengan duduk

Apabila dengan ta’awudz kemarahan belum hilang maka disyariatkan supaya duduk, tidak boleh berdiri. Al-Imam Ahmad dan Abu Daud rahimahumullah meriwayatkan hadith dari Abu Dzar r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda, Apabila salah seorang di antara kalian marah dalam keadaan berdiri duduklah, jika belum hilang maka berbaringlah.

Ini adalah kerana marah dalam keadaan berdiri lebih besar kemungkinannya melakukan kejahatan dan kerosakan daripada dalam keadaan duduk. Sedangkan berbaring lebih jauh lagi untuk melakukan keroskan berbanding dengan keadaan duduk dan berdiri.

3.Tidak bercakap

Diam, tidak bercakap ketika marah merupakan ubat yang mujarab untuk menghilangkan kemarahan, kerana banyak bercakap dalam keadaan marah menyebabkan tidak terkawal  sehingga terjebak  pada percakapan yang tercela dan membahayakan dirinya dan orang lain. Dalam hadith disebutkan, “Apabila di antara kamu marah maka diamlah”. Baginda mengucapkannya sebanyak  tiga kali. (Hadith riwayat Ahmad).

4. Berwudhu’

Sesungguhnya marah itu adalah dari syaitan. Dan syaitan itu dicipta dari api.  Api itu mampu dipadamkan  dengan air, demikian juga sifat marah dapat dipadamkan dengan berwudhu’.

Rasulullah s.a.w  bersabda,Sesungguhnya marah itu dari syaitan dan syaitan itu dicipta dari api, dan api itu dipadam dengan air maka apabila di antara kamu marah berwudhu’lah”. (Hadith riwayat Ahmad dan lain-lain dengan sanad hasan)

Penyelesaian yang luar biasa. Rasa marah bukan untuk dibesar-besarkan. Tidak untuk diikuti dengan perasaan. Tetapi hendaklah ditahan. Ditutup dengan rasa maaf. Dan, ditukar dengan rasa cinta.

Adaptasi dari – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/12064-merubah-kemarahan-menjadi-cinta

INGIN DAPAT RAHMAT ALLAH? JADILAH MANUSIA YANG BERSOPAN SANTUN

Keras hati, pemarah, berdendam dan hasad dengki merupakan sikap yang lahir kerana lemahnya akal dan tidak mampu  melawan dorongan nafsu yang selalu diapi-apikan oleh syaitan. Akibatnya iman beransur-ansur menjadi lemah. Jika ini terjadi secara terus-menerus, rahmat Allah mustahil akan menemani hidup kita.

Pada dasarnya setiap manusia boleh terjebak dalam rayuan syaitan. Oleh kerana itu, Allah mengajar kepada umat Islam supaya pandai mengendalikan nafsu. Mereka yang gagal mengendalikan nafsunya akan pasti  menjadi manusia yang dibenci, dijauhi, bahkan dimusuhi.

Untuk menjadi seorang yang  tidak pemarah terhadap cercaan, cemuhan dan gangguan orang lain adalah  suatu yang sukar.

Tetapi Allah dan Rasul-Nya tetap memerintahkan umat Islam untuk memilih yang berat itu (dengan tidak marah). Bahkan Allah memerintahkan kita untuk bersopan-santun (lemah lembut), bersegera dalam memaafkan, bahkan sampai pada tahap memohon ampunan, serta mengajak orang yang sering mengganggu emosi kita untuk bermusyawarah.

Ini adalah kerana marah tidak akan menghasilkan apa-apa.

Di peringkat  awal dakwah Islam, sejarah membuktikan bahawa akhlak yang mulia, atau sifat lemah lembut, adalah  faktor paling penting untuk menarik  seseorang memeluk Islam. Pada masa itu orang belum mampu berfikir sebagaimana manusia moden hari ini. Tetapi jangan salah anggap, di zaman moden pun akhlak yang mulia atau sifat lemah lembut juga merupakan senjata yang ampuh untuk menyelesaikan berbagai macam persoalan.

Tetapi, sayangnya, kini faktor tersebut tidak lagi diperhatikan apatah lagi diutamakan.

Akhlak tidak lagi diperhatikan, sikap lemah lembut dan sopan santun tidak lagi dianggap sebagai suatu yang istimewa. Dalam keadaan begini, tentu rahmat Allah jauh dari kehidupan kita.

Perselisihan, pertengkaran dan pergaduhan menjadi hiasan kehidupan manusia yang tidak lagi berakhlak dan tidak mengenal erti sopan santun.

Menarik apa yang Allah perintahkan kepada kita semua, bahawa jangankan kepada saudara seiman, kepada raja yang kafir pun kita diperintahkan untuk berbicara dengan lemah lembut dan penuh kesantunan. Lihatlah bagaimana Allah berpesan kepada Musa dan Harun a.s. ketika keduanya pergi untuk memberi peringatan kepada Fir’aun, seorang raja yang sangat kejam dan zalim.


فَقُولَا لَهُ قَوْلاً لَّيِّناً لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Taha, Ayat 44).

Jadi tidak hairanlah mengapa Nabi Muhammad s.a.w sentiasa  bersikap sopan-santun, lemah lembut dalam kehidupannya. Ini adalah kerana pada sifat lemah lembut, sopan-santun dan juga akhlak mulia terdapat sebuah kekuatan besar, iaitu mampu menyedarkan seseorang untuk menilai kebenaran dan kebatilan lalu mengikuti kebenaran dan meninggalkan kebatilan.

Di zaman Nabi hampir tidak ada orang yang memeluk  agama Islam kerana perdebatan. Tetapi mereka memeluk Islam kerana akhlak Rasulullah yang bersopan santun dan bersifat lemah lembut. Jadi marilah kita berusaha menjadi seorang yang bersopan-santun, lemah lembut dan berakhlak mulia.

Allah telah menegaskan dengan terang dan jelas bahawa kejayaan Nabi Muhammad dalam dakwah adalah kerana rahmat-Nya berupa sopan-santun. Jika kita ingin berjaya, mendapat rahmat Allah maka hendaklah memilih sopan-santun sebagai peribadi kita, bukan kebencian, kedengkian dan permusuhan.

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِي

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (Sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”. (Surah Ali Imran, Ayat 159).

Jika kita telah berusaha menjadi seorang yang berakhlak baik tetapi  belum ada perubahan pada manusia sekeliling kita, serahkanlah semuanya kepada Allah kerana kewajipan kita hanyalah untuk menjadi orang yang berakhlak mulia, bukan untuk mengubah orang lain. Kita tidak mempunyai kekuatan untuk mengubah hati orang lain. Dan percayalah, Allah pasti mempunyai kehendak  yang lebih baik dan lebih indah. Wallahu a’lam.

Adaptasi dari – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/13180-ingin-dapat-rahmat-jadilah-pribadi-santun

Advertisement

Cinta Dunia

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Cinta  dunia ialah orang yang mempunyai hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupan dan kesenangan dunia. Ianya akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati.

Firman Allah yang bermaksud: “Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak”. (Surah Al-Hadid, Ayat 20)

MENGAPA CINTA DUNIA DIANGGAP PUNCA UTAMA KESALAHAN?

“Cinta dunia” adalah bila seseorang mencintai kesenangan dunia baik berupa harta, wanita, atau takhta sehingga membutakan hatinya dan lalai terhadap akhirat. (Surah Al-A’la, Ayat 16-17, Surah Al-Qiyamah, Ayat 20-21).

Al-Baihaqi dalam kitab Syu’ab Al-Iman meriwayatkan hadith yang berbunyi, Hubbuddunya ra’su kulli khathi’ah” (Cinta dunia adalah punca semua kesalahan).  

Cinta dunia yang membutakan hati mendorong seseorang berani melakukan rasuah, merompak, berjudi dan melakukan apa saja maksiat.  

Rasulullah bersabda, “Tidaklah cinta dunia itu menguasai hati seseorang, kecuali dia akan diuji dengan tiga perkara, iaitu angan-angan yang  tidak  berhujung, kemiskinan yang tidak akan berkecukupan, dan kesibukan yang tidak lepas dari kelelahan”. (Hadith riwayat Ad-Dailami).

Allah s.w.t. juga menimpakan berbagai musibah kepada suatu kaum jika cinta dunia menguasai lubuk hati mereka.

Rasulullah bersabda, “Umatku akan selalu dalam kebaikan selama tidak timbul cinta dunia kepada para ulama’ fasik, qari yang bodoh, dan para penguasa. Bila hal itu telah muncul, aku bimbang Allah akan menyeksa mereka secara menyeluruh”. (Ma’rifat As Shahabah karangan Abi Nu’aim, juz 23 hal. 408).

Rasulullah bimbangkan masa depan umat ini bila umatnya menguasai dunia. Baginda bersumpah, “Demi Allah!  Bukan kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu. Akan tetapi aku khuatir akan dibentangkan dunia di hadapan kamu sebagaimana telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kamu. Lalu kamupun berlumba-lumba padanya sebagaimana mereka berlumba-lumba padanya. Kemudian dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana telah menghancurkan mereka”. (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Mengapa cinta dunia disebut sebagai punca semua bentuk dosa dan kesalahan serta merosakkan agama seseorang? Ini dapat ditinjau dari beberapa aspek.

Pertama, mencintai dunia yang berlebihan akan menimbulkan sikap mengagungkannya.

Padahal, dunia di sisi Allah adalah sangat hina. Mengagungkan apa yang dianggap hina oleh Allah termasuk dosa besar.

Kedua, Allah melaknat dunia dan membencinya, kecuali dunia yang digunakan untuk kepentingan agama-Nya.

Siapa mencintai yang dilaknat Allah, dia dibenci oleh Allah dan akan diuji oleh-Nya. Ad-Dailami meriwayatkan hadith yang menyatakan, dosa besar yang paling besar adalah cinta dunia.

Ketiga, kalau seseorang cinta dunia secara berlebihan, dunia jadi sasaran akhir hidupnya.

Orang itu akan menjadikan akhirat sebagai alat untuk mendapatkan dunia. Sepatutnya, dunia ini dijadikan wasilah sebagai pelaburan akhirat.

Keempat, mencintai dunia akan menghalang seseorang dari urusan akhirat.

Selain itu, cinta dunia akan menghalang mereka dari keimanan dan syariat. Cinta dunia juga akan menghalang mereka dari menunaikan kewajiban atau paling kurang, malas untuk berbuat kebajikan.

Kelima, mencintai dunia mendorong kita menjadikan dunia sebagai tujuan hidup.

Rasulullah bersabda, “Barang siapa menjadikan akhirat sebagai tujuannya, Allah memberikan kekayaan dalam hatinya, mengumpulkan semua usahanya, dan dia akan dihampiri dunia walaupun dia enggan. Dan barang siapa menjadikan dunia sebagai tujuannya, Allah menjadikan kefakiran di depan matanya dan mencerai-beraikan usahanya dan tidak diberikan dunia kepadanya, kecuali yang sudah ditakdirkannya”. (Hadith riwayat At-Tirmizi).

Keenam, pencinta dunia diseksa dengan berat dalam tiga peringkat hidup. Di dunia terseksa dengan berbagai kepayahan dalam mencarinya, di alam kubur merasa sengsara kerana harta dunia yang telah dicarinya tidak dibawa ke alam barzah.

Dan di alam akhirat, dia akan dihisab dengan berat. Seksa inilah yang ditegaskan dalam Surah at-Taubah ayat 55. 

Disaring dari – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/122781-mengapa-cinta-dunia-dianggap-pangkal-kesalahan

Hasad Dengki

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Sifat hasad dengki  dan iri hati ialah seseorang itu rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.

Hadith Nabi s.a.w yang bermaksud: “Hasad itu memakan (memusnahkan) kebaikan , sebagaimana api memakan (membakar) kayu”. 

HASAD DENGKI

Dalam kehidupan bermasyarakat, penyakit dengki dapat merosak sendi-sendi kehidupan masyarakat. Dengki atau hasad, kata Imam al-Ghazali, adalah membenci kenikmatan yang diberikan Allah kepada orang lain dan ingin agar orang tersebut kehilangan nikmat tersebut.

Dengki dapat menghinggapi orang yang hatinya kotor kerana orang dengki merasa lebih hebat, berasa mempunyai kedudukan, dan tidak mahu kalah. Dalam pepatah Arab dikatakan, “kullu dzi ni’matin mahsuudun” (setiap yang mendapat kenikmatan pasti ada pendengkinya).

Allah s.w.t. mengajar kepada kita untuk berlindung dari kejahatan orang-orang yang dengki, “Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai Subuh, dari kejahatan makhluk-Nya… dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki.'” (Surah al- Falaq, Ayat 1, 2, dan 5).

Nabi s.a.w bersabda, “Ada tiga perkara yang menjadi punca semua dosa. Jagalah dirimu dan waspadalah terhadap ketiga-tiganya. (Salah satunya) adalah jagalah dirimu dari dengki sebab dengki telah menyebabkan salah seorang anak Adam membunuh saudaranya”. (Hadith riwayat Ibnu Asakir). Dalam hadith yang lain, “Hindari dengki kerana dengki itu memakan (menghancurkan) kebaikan sebagaimana api memakan (membakar) kayu”. (Hadith riwayat Abu Daud).

Penyakit dengki  dapat menyerang sesiapa sahaja, tidak pandang bulu, dapat menyerang tokoh agama, para pemimpin, orang kaya, orang miskin, orang yang bergelar dan berkedudukan, rakyat biasa hingga ketua negara.

Ibnu Qayyim mengatakan, tonggak kekufuran itu ada empat, iaitu takabbur, dengki, marah dan syahwat. Takabbur menghalang pelakunya dari sifat taat. Dengki menyebabkan tidak mahu menerima dan memberi nasihat. Marah menjadi penyebab berlaku tidak adil. Akhirnya, syahwat menjadi penghalang tumpuan dalam beribadah.

Disebabkan bahayanya penyakit dengki, selain dapat menghancurkan amal kebaikan,  ianya  disamakan  dengan kejahatan tukang sihir dan maksiat yang biasa dilakukan pada malam hari. Oleh itu, kita diperintahkan untuk memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan para pendengki.

Ibnu Qayyim menyarankan kaedah rawatan untuk mengelakkan bahaya dengki dan orang yang mendengki. Iaitu, memohon perlindungan kepada Allah; bertaqwa kepada-Nya; bersabar menghadapi pendengki; bertawakal kepada Allah dengan menyerahkan segala persoalan, termasuk perbuatan pendengki; mengosongkan hati dan fikiran dari sifat dengki.

Kemudian, sentiasa menerima ketetapan Allah dengan ikhlas; bertaubat kepada-Nya dari segala dosa; memperbanyak sedekah dan berbuat baik sebanyak mungkin; memadamkan api dengki dengan berbuat baik kepada orang yang  mendengki; dan memurnikan tauhid dengan sentiasa meyakini bahawa yang dapat mendatangkan manfaat dan bahaya hanyalah Allah s.w.t.

Semoga Allah menjauhkan dan melindungi kita dari penyakit dengki dan para pendengki serta menjadikan kita untuk selalu bersyukur atas nikmat yang diberikan oleh-Nya. Amin.

Disaring dari – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/115844-pendengki-nikmat

Tamak Haloba

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Tamak ialah  kasih kepada harta dan keinginan mengumpulnya sebanyak mungkin tanpa niat untuk mendapat keredhaan Allah.

JADILAH MULIA TANPA BERSIFAT TAMAK!

Diriwayatkan oleh Imam al-Ghazali, suatu ketika kaum Bani Israil bertanya kepada Nabi Musa a.s: “Tanyakan kepada Tuhanmu apa yang akan  kami perolehi setelah  mengerjakan sesuatu amalan. Kerana kami telah amalkan apa yang Dia (Allah) inginkan”.

Nabi Musa a.s berkata: “Ya Tuhanku, Engkau benar-benar sudah mendengar apa yang mereka katakan padaku”. Allah s.w.t berfirman kepada Nabi Musa a.s.: “Hai Musa, katakanlah pada mereka, “Mereka hendaklah redha kepada-Ku. Aku pun akan redha terhadap mereka”. (Imam al-Ghazali, Mukasyafat al-Qulub).

Kisah tersebut bermaksud bahawa setelah kita melakukan amal soleh, janganlah mengharapkan balasan berupa harta duniawi. Sesudah beramal, serahkanlah kepada-Nya. Hanya satu yang perlu diharapkan, iaitu redha-Nya, tidak yang lain. Cukup dengan redha-Nya, amal kita pasti akan dibalas dengan adil kelak.

Menerima redha-Nya itu bermakna kita perlu qana’ah. Menurut Abu Abdilllah bin Khafifi, qana’ah adalah meninggalkan angan-angan terhadap sesuatu yang tidak ada dan menganggap cukup dengan sesuatu yang ada.

Qana’ah adalah pintu untuk menjadi hamba Allah yang cerdik, sedangkan tamak (rakus) dan pendengki adalah jendela kepada kerosakan.

Imam Abu Bakar al-Maraghi pernah bekata kepada murid-muridnya: ”Orang yang berakal sehat adalah orang yang mengatur urusan dunia dengan sikap qana’ah dan mengatur urusan agama dengan ilmu dan ijtihad”. (Abdul Karim al-Qursyairi, Risalah al-Qusyairiyah).

Menurut Imam at-Tirmizi, qana’ah itu adalah jiwa yang redha terhadap rezeki yang telah ditentukan, dan tidak berkeinginan terhadap sesuatu yang tidak ada hasil dan manfaatnya. Pada dasarnya berangan-angan terhadap sesuatu yang tiada hasilnya adalah angan-angan orang yang bodoh.

Orang yang berakal dan cerdas adalah orang memahami siapa dirinya  dan bagaimana dia sepatutnya. Orang yang qana’ah, adalah orang yang hidupnya bebas dari segala macam belenggu nafsu dan cita-cita. Hal ini adalah disebabkan mereka merasa yakin dan percaya sepenuhnya akan keadilan Allah s.w.t.

Disaring dari – https://hidayatullah.com/kajian/gaya-hidup-muslim/read/2011/03/17/3597/jadilah-lebih-mulia-tanpa-bersifat-tamak.html

Sum’ah

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Sum’ah ialah orang yang ingin kebaikan yang dilakukannya didengar dan dipuji manusia.

PERBEZAAN DI ANTARA RIYA’ DAN SUM’AH SERTA APAKAH BAHAYANYA

Amal ibadah hendaklah dilakukan dengan ikhlas. Akan tetapi, ada kalanya bila dilakukan secara terus menerus dan  banyak,  ianya mungkin bercampur riya dan sum’ah.

Apakah riya dan sum’ah? Apakah perbezaan di antara keduanya  dan apakah bahayanya?

“Riya’ “ asal katanya adalah رَأَى (ra’aa) yang maknanya melihat, maksudnya pelaku riya’ tersebut ingin memperlihatkan amalannya ketika dia melakukannya.

“Sum’ah” asal katanya adalanya سَمِعَ (sami’a) yang maknanya mendengar, maksudnya pelaku sum’ah tersebut bermaksud memperdengarkan amalannya setelah dia melakukannya.

Namun secara umumnya, ianya digunakan dalam keadaan yang  sama, begitu juga hukumnya adalah  sama, kedua-duanya termasuk “syirik asghar” (syirik kecl). Nabi s.a.w bersabda,

إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ الشِّرْكُ الأَصْغَرُ. قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاء

“Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan akan menimpa kamu adalah syirik asghar”. Para Sahabat bertanya, “Apa itu syirik asghar, wahai Rasulullah?”. Baginda bersabda, “(Syirik asghar adalah) riya’.” (Hadith riwayat  Ahmad)

Oleh itu, apakah bahaya riya’ dan sum’ah? Fitrah manusia ialah memiliki kecenderungan ingin dipuji dan takut dicela. Hal ini menyebabkan riya’ menjadi sangat samar dan tersembunyi. Kadang-kadang, seorang berasa telah beramal ikhlas kerana Allah, namun secara tidak sedar dia telah terjerumus ke dalam penyakit riya’.

Pernahkah kita mendengar tapak kaki seekor semut berjalan? Bunyi langkahnya begitu perlahan bahkan tidak dapat kita dengar. Beginilah  Rasulullah s.a.w menggambarkan kesamaran riya’. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Kesyirikan itu lebih samar dari langkah kaki semut”. Lalu Abu Bakar bertanya, “Wahai Rasulullah, bukankah kesyirikan itu ialah menyembah selain Allah atau berdoa kepada selain Allah?”. Maka Baginda bersabda. ”Apalah engkau ini. Kesyirikan pada kamu lebih samar dari semut berjalan”. (Hadith riwayat Abu Ya’la Al-Maushili dalam Musnad-nya, tahqiq Irsya Al Haq Al Atsari, disahihkan Al Albani dalam Shahih Al Targhib)

Rasulullah s.a.w. bimbangkan bahaya riya’ atas umat Islam melebihi kebimbangan  Baginda terhadap bahaya Dajjal. Disebutkan dalam sabda Baginda: “Mahukah kamu aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan menimpa kamu daripada Dajjal”. Kami berkata, “Tentu!”. Baginda bersabda “Syirik khafi (syirik yang tersembunyi). Iaitu seseorang mengerjakan solat, lalu ia cantikkan solatnya kerana  dia melihat ada seseorang yang memandangnya”.

Sum’ah pula tidak banyak berbeza dengan riya’. Contohnya seseorang bersedekah, kemudian orang tersebut menceritakan kepada jiran-jirannya. Atau dia membersihkan masjid, kemudian dia menceritakannya kepada orang lain. Atau seseorang yang berpuasa, kemudian dia menceritakannya dengan berlebih-lebihan  kepada orang lain. Secara tidak sedar orang ini ingin supaya orang lain mendengar apa yang telah dilakukannya. Pada mulanya niatnya ikhlas namun kemudiannya bercampur menjadi sum’ah.

Dari Jundub bin Abdillah r.a., diriwayatkan bahawa dia berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa melakukan sum’ah, maka Allah akan memperdengarkan aibnya. Dan barangsiapa yang berbuat riya’, maka Allah akan memperlihatkan aibnya”.

Bagaimanakah cara untuk mengubati penyakit riya’ dan sum’ah ini? Sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat kepada Allah atas kesalahan yang dilakukannya. Hati manusia cepat berubah. Mungkin ketika beribadah dia melakukannya dengan ikhlas; boleh  jadi beberapa saat kemudian ikhlas tersebut bertukar menjadi riya’. Di waktu pagi dia ikhlas, mungkin di petang hari sudah tidak ikhlas. Hari ini ikhlas, mungkin esok tidak. Hanya kepada Allah kita memohon agar hati kita diteguhkan dalam agama ini. َ

Agar terhindar dari sifat riya’ dan sum’ah, ada beberapa panduan yang dapat kita lakukan, antaranya ialah,

  1. Memohon dan selalu berlindung kepada Allah agar mengubati penyakit riya’ dan sum’ah ini
  2. Berusaha menghindarinya
  3. Sedar akan akibat buruk perbuatan riya’ dan sum’ah di dunia dan akhirat
  4. Usahakan selalu menyembunyikan dan merahsiakan ibadat
  5. Latihan dan mujahadah.

Wallahu A’lam.

Disaring dari – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/133454-beda-riya-dan-sum-ah-serta-bahayanya

Ujub

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Sifat ujub berkait rapat dengan takabbur dan riya’. Ujub bemaksud berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ianya berkait dengan kelebihan dari segi kecantikan,  kepandaian, kekayaan dan lain-lain.  

UJUB PENGHANCUR SEGALA AMAL KEBAIKAN

Oleh : Imron Mahmud

Banyak nasihat dari para ulama’ yang mengingatkan kita supaya berhati-hati dari sifat gila pujian. Para ulama’ terdahulu  sangat berhati-hati dan menjauhkan diri dari sifat “ujub (sifat berbangga diri).

Ubaidillah bin Abu Ja’far Al-Mishri, seorang ulama’ ahli hadith yang mentakhrij kitab-kitab hadith Kutubus Sittah dan seorang ahli hikmah, yang tutur katanya penuh dengan mutiara ilmu dan hikmah, pernah memberi nasihat kepada murid beliau;

إذا جلست في مجلس فتحدثت فأعجبت بذلك فأمسك وإذا كنت في مجلس وسكت فأعجبت بذلك يعني بالسكوت فتحدث ، يعني انظر إلى نفسك خالفها

“Jika engkau duduk di suatu majlis lalu engkau berbicara kemudian engkau berasa bangga dengan hal itu, maka tahanlah. Dan jika engkau berada di suatu majlis dan engkau diam lalu engkau berasa bangga dengan diammu itu, maka berbicaralah. Lihat dan perhatikan hawa nafsumu dan selisihilah!”. (dalam Tahdzibil Kamal fii Asmaa-i Ar-Rijaal”)

Seseorang yang kagum dengan diri sendiri (ujub) menunjukkan  lemah akalnya. Ketika seseorang kagum pada diri sendiri, gila sanjungan dan cintakan kemasyhuran, dia sedang membinasakan dirinya sendiri. Imam Ibnu Abdul Barr rahimahullah pernah berkata dalam kitabnya “Jami’ul Bayanil ‘Ilmi wa Fadhlih”i;

العجب يهدم المحاسن كلها

“Ujub itu menghancurkan segala kebaikan”.

Diriwayatkan ada beberapa orang  pengumpul dan perawi hadith yang rosak dan hilang hafalan hadith-hadith disebabkan ada sifat ujub di dalam diri mereka. Hal ini sudah tentu merupakan musibah besar bagi diri dan agama seseorang.

Pernah disebutkan kisah tentang seorang perawi hadith bernama Ahmad bin Kamil Al-Baghdadi. Imam Daruquthni mengatakan bahawa dia adalah seorang yang memiliki banyak catatan dan hafalan hadith malah dia lebih fasih menyampaikan hadith secara hafalan daripada melihat catatan. Namun semua itu hilang dan rosak disebabkan  sifat ujubnya.

Tentang Ahmad bin Kamil Al-Baghdadi ini, Imam Ad-Dzahabi menceritakan di dalam kitab beliau “Siyar A’lamin Nubala”,  “Ia adalah seorang yang memiliki keluasan ilmu, namun ilmu yang ia miliki hilang dengan sifat ujubnya”.

Imam Malik rahimahullah mengatakan,

إذا ذهب الرجل يمدح نفسه ذهب بهاءه

“Bila seseorang pergi dalam keadaan memuji diri sendiri maka lenyaplah harga dirinya”.

Semoga kita dihindarkan dari sifat ujub dan berbangga dengan diri sendiri kerana hal itu akan melenyapkan semua amal kebaikan kita.

Disaring dari – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/108757-ujub-penghancur-segala-amal-kebaikan

Sombong

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

1.  Definisi Sombong

Sombong dari sudut bahasa ‘Arab bermaksud التعظم iaitu merasa besar diri.

Menerusi hadith Nabi s.a.w sabda Baginda, maksudnya:

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”. Seorang lelaki bertanya: “(Adakah termasuk sombong) seseorang lelaki suka sekiranya pakaiannya berkeadaan cantik dan kasutnya juga berkeadaan cantik?”. Sabda Baginda: “Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia sukakan perkara-perkara yang indah. Sombong bermaksud menolak kebenaran dan memperlekehkan orang lain”. [Hadith diriwayatkan oleh Muslim]

Menerusi sabda Baginda tersebut, sombong atau dalam bahasa ‘Arabnya الكبر memberikan dua maksud:

Pertama: Menolak kebenaran.

Kedua: Memperkecilkan orang lain.

Continue reading