Definisi Dosa-Dosa Besar (Kabair)

VIDEO – Muqaddimah Kitab Dosa-dosa Besar – Ust Shamsuddin Abd Rahman

NOTA – KAMI TIDAK MEMUATKAN SEMUA DOSA-DOSA BESAR YANG DISENARAIKAN DALAM BUKU ASAL. UNTUK SENARAI PENUH, SILA RUJUK BUKU ASAL DI – https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit

Pengenalan

Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w, utusan yang paling mulia dan imam orang-orang yang bertakwa, juga kepada seluruh keluarga dan para Sahabat Baginda semuanya.

Kitab ini membincangkan tentang berbagai jenis dosa-dosa besar di mana kita dilarang melakukannya.

Pengertian dosa-dosa besar (kabair) adalah semua larangan Allah dan Rasulullah s.a.w yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, serta atsar dari para ulama’ salaf.

Allah menjamin bahawa sesiapa yang menjauhi dosa-dosa besar dan perkara-perkara yang diharamkan akan diampuni semua dosa-dosa kecil yang dilakukan. Allah berfirman:

“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)”. (An-Nisa’: 31)

Berdasarkan nash di atas, Allah menjamin syurga bagi yang menjauhi dosa-dosa besar.

Allah juga berfirman:

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memberi maaf”. (As-Syura: 37)

“(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya”. (An-Najm: 32)

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Solat lima waktu, solat Jumaat dan puasa Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di antaranya jika dosa-dosa besar telah dijauhi” 1

Oleh itu sayugialah kita meneliti apakah yang termasuk dalam dosa-dosa besar tersebut supaya kita dapat menghindarinya. Para ulama’ –rahimahumullah- berbeza pendapat di dalam menentukannya. Ada yang mengatakan bahawa dosa-dosa besar itu tujuh, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.

“Jauhi tujuh perkara yang merosak!” Lalu beliau menyebutkan, “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali kerana alasan yang dibenarkan, memakan harta anak yatim, memakan riba, meninggalkan medan perang dan menuduh wanita mukminah baik-baik berzina”2

Ibnu Abas r.a berkata: “Dosa-dosa besar itu jumlahnya lebih dekat kepada tujuh puluh dari pada kepada tujuh” 3

Demi Allah, ucapan Ibnu Abbas di atas adalah benar.Hadith sebelumnya tidaklah menghadkan bilangan dosa-dosa. Pendapat yang benar dan disokong dengan dalil menyebutkan bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan dosa yang diancam dikenakan hukuman ‘had’ di dunia seperti membunuh, berzina, mencuri atau perbuatan dosa yang pelakunya mendapat ancaman, kemurkaan serta laknat dari Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat, maka perbuatan itu termasuk dosa-dosa besar. Hendaklah dimaklumi bahawa satu jenis dosa besar mungkin lebih besar dosanya berbanding dengan satu dosa besar yang lain. Rasulullah s.a.w memasukkan syirik sebagai salah satu dosa besar, padahal pelakunya kekal di neraka dan tidak akan diampuni selama-lamanya.

Allah berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya” (An-Nisa’: 48 dan 116)


Nota Kaki:

1. Sahih: Diriwayatkan oleh Ahmad (2/359,400) Muslim (233), At-Tirmidzi (214), Ibn Majah (1086), Ibnu Khuzaimah (314) dan Ibnu Hibban (1733); dari Abu Hurairah.
2. Sahih: Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (2766, 5764), Muslim (89), Abu Awanah (1/54), dan An-Nasa’ie (6/257; dari Abu Hurairah.
3. Isnadnya: Sahih: Diriwayatkan oleh Abdurrazzaq (19702), Ibnu Jarir (9209), dan Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab (Syu’ab Al-Iman) (290). Semua perawinya terpercaya (tsiqah).
4. Itu merupakan perkataan Az-Zahabi. Dia sendiri adalah seorang tokoh terkemuka pada abad ketujuh Hijriyah. Apa agaknya komentar Imam Az-Zahabi jika hidup di zaman kita sekarang ini jika itu ucapannya setelah berlalu tempoh masa di antara dirinya dan Ibnu Abbas?!.
Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit

Dosa Besar – Syirik (Mempersekutukan Allah)

VIDEO – Dosa Besar – Syirik Kepada Allah – Ust Shamsuddin Abd Rahman

Dosa terbesar adalah syirik iaitu mempersekutukan Allah. Syirik ada dua; pertama, menjadikan sesuatu sebagai tandingan bagi Allah atau beribadah kepada selainNya, sama ada ianya berupa batu, pokok, matahari, bulan, nabi, guru, bintang, raja atau pun yang lain. Inilah syirik besar sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya”. (An-Nisa’: 48 dan 116)

“Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. (Luqman: 13).

“Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga dan tempatnya ialah neraka”. (Al-Maidah: 72)

Dan masih banyak lagi ayat yang berhubungan dengan masalah ini.

Barangsiapa mempersekutukan Allah lalu mati dalam keadaan mensyirikkan Allah sesungguhnya dia adalah penghuni neraka. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Mahukah kamu aku beritahu apakah dosa yang paling besar”. Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Para Sahabat menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah s.a.w”. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Menyekutukan Allah dan derhaka kepada kedua orang tua”. Pada masa itu Baginda bersandar lalu duduk dan menyambung, “Juga, kesaksian palsu, kesaksian palsu”. Begitulah Rasulullah s.a.w mengulang-ulanginya sehingga kami mengatakan, “Andai beliau menghentikannya”. [1]

Rasulullah s.a.w bersabda, “Jauhilah tujuh perkara yang memusnahkan”. [2]

Baginda menyebutkannya dan antaranya adalah syirik. Baginda juga bersabda:

“Barangsiapa menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia”. [3]

Kedua, melakukan sesuatu amal kebaikan dalam keadaan riya’. Allah berfirman, “Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam beribadat kepada Tuhan-nya”. (Al-Kahfi: 110)

Maksud dari, “Janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam beribadah kepada Tuhannya’ ialah tidak menyertakan riya’ bersama amalnya. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:

“Jauhilah syirik kecil!”. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah syirik kecil itu? Baginda menjawab, “Iaitu riya’. Pada Hari Pembalasan Allah berkata, “Pergilah kepada orang-orang yang kamu ingin mereka melihat amal-amal kamu. Lalu lihatlah! Adakah pahala yang disediakannya?”. [4]

Dalam hadith Qudsi Allah berfirman:

“Barangsiapa mengerjakan suatu amal dalam keadaan dia mempersekutukanKu dengan seseorang, maka amal yang dikerjakan itu adalah untuk sekutuKu. Dan Aku berlepas diri darinya.” [5]

Rasulullah bersabda :

“Barangsiapa berlaku riya‘, Allah akan memperlihatkan keburukannya. Dan barangsiapa berlaku sum’ah Allah akan memperdengarkan aibnya”. [6]

Abu Hurairah meriwayatkan dari Nabi bersabda :

“Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa selain lapar dan dahaga, dan betapa banyak orang yang bangun solat malam tetapi tidak mendapat apa-apa selain berjaga”. [7] Maksudnya, jika puasa dan solat dilakukan bukan untuk Allah maka tidak ada pahalanya.

Diriwayatkan pula Rasullah bersabda, “Perumpamaan orang yang beramal dengan riya’ (ingin dilihat) dan sum’ah (ingin didengar) seperti orang memenuhi begnya dengan batu kerikil lalu masuk ke pasar untuk membeli sesuatu. Ketika ia membuka beg di hadapan penjual ternyata begnya dipenuhi kerikil dan ia pun memukulkannya ke wajahnya. Begnya itu tiada manfaatnya selain dari kata-kata orang ramai bahawa dia telah memenuhkan begnya. Ia tidak mendapat apa-apa dari isi begnya. Begitu pula orang yang riya’ dan sum’ah dalam beramal. Ia tidak mendapatkan apa-apa selain pujian orang–orang kepadanya. Di Akhirat nanti tiada pahalanya. [8]

Allah berfirman, “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan”. (Al-Furqan:23)

Maksudnya amal-amal yang dikerjakan selain dari mengharapkan wajah Allah, Allah membatalkan pahalanya serta menjadikannya bagai debu yang berterbangan, iaitu debu yang dapat dilihat dari celah-celah di mana cahaya matahari masuk melaluinya.

Adi bin Hatim at-Tha’i meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Pada hari kiamat nanti, beberapa golongan dari manusia akan diperintahkan menuju syurga. Ketika mereka telah dekat kepadanya, mencium keharumannya, menyaksikan istana-istananya, serta apa saja yang dijanjikan oleh Allah bagi penghuninya, terdengarlah seruan, “Jauhkanlah mereka darinya. Sesungguhnya mereka tidak mendapatkan sesuatu pun dari segala yang ada di sana!”. Maka merekapun kembali dengan segala kerugian dan penyesalan. Belum pernah ada orang kembali dengan kerugian dan penyesalan yang melebihi mereka. Mereka berkata, “Oh! Tuhan kami, andainya engkau masukkan kami ke dalam neraka sebelum Engkau memperlihatkan kepada kami pahala yang Engkau janjikan bagi para waliMu nescaya neraka itu terasa lebih ringan bagi kami”. Allah ta’ala menjawab, “Begitulah yang Aku kehendaki untuk kamu! Dulu bila bersendirian kamu sengaja melakukan dosa-dosa besar di hadapanKu. Adapun jika bertemu dengan orang ramai kamu menampakkan diri sebagai orang-orang yang berbakti. Kamu memperlihatkan amal kepada mereka berbeza dengan kamu persembahkan kepadaKu dari hati kamu. Kamu malu kepada orang ramai dan tidak kepadaKu. Kamu memuliakan mereka dan tidak memuliakanKu. Kamu meninggalkan dosa-dosa besar kerana manusia dan bukan kerana Aku. Maka hari ini Aku timpakan kepada kamu siksaanKu yang terpedih serta Aku haramkan atas kamu limpahan pahala dariKu.” [9]

Seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang bagaimana untuk mendapat keselamatan. Baginda menjawab, “Hendaklah kamu tidak menipu Allah!”. Orang itu bertanya lagi, “Bagaimana Allah boleh ditipu?” Rasulullah menjawab, “Iaitu kamu mengamalkan satu perintah Allah dan Rasulnya tetapi bukan kerana mengharapkan wajah Allah. Takutlah kamu akan riya’, kerana riya’ itu syirik kecil. Dan sesungguhnya pada hari kiamat nanti orang yang riya’ itu akan dipanggil di hadapan seluruh makhluk dengan empat nama; wahai mura’i (si pelaku riya‘), hai ghaadir (penipu), hai faajir (pendosa), dan hai khaasir (orang yang merugi), sungguh amalmu telah sia-sia dan batal pahalanya. Kamu sudah tidak memiliki pahala lagi di sisi Kami. Pergilah dan ambillah pahala yang disediakan oleh orang yang kamu beramal kerananya, hai penipu!” [10]

Para ahli hikmah ditanya tentang orang yang ikhlas, mereka menjawab, “Iaitu orang yang menyembunyikan kebaikan-kebaikannya sebagaimana dia menyembunyikan keburukan-keburukannya”.

Ada pula yang bertanya tentang puncak ikhlas, menjawab, “Hendaklah kamu tidak menyukai pujian dari manusia”. Fudhail Bin Iyadh berkata, “Meninggalkan amal kerana manusia itu riya,’ sedangkan mengerjakannya kerana mereka itu syirik. Ikhlas adalah apabila Allah menjagamu dari keduanya”.

Ya Allah, jagalah kami dari keduanya dan ampunilah kami.

__________________________________________________________

Nota kaki:
1. Hadith sahih diriwayatkan oleh Al-Bukhari (2654,5976,6273) dan muslim (87)
2. ISNADNYA: SAHIH: DIRIWAYATKAN OLEH ABDURRAZZAQ (19702), IBNU JARIR (9209), DAN AL-BAIHAQI DALAM ASY-SYU’AB (SYU’AB AL-IMAN) (290). SEMUA PERAWINYA TERPERCAYA (TSIQAH).
3. Hadith Sahih diriwayatkan oleh Ahmad (1/282) dan Al-Bukhari (3017 6922) dari Ibnu Abbas
4. Hadith Sahih – Diriwayatkan oleh Ahmad (5 428, 429) dan Al-Baghawi (4135): dari Mahmud bin Lubaid Dan Mahmaud Bin Lubaid meriwayatkannya dari Rafi Bin Khudaij dengan riwayat serupa diriwayatkan Ath Thabrani dalam Al-Kabir (Al-Mu’jam Al-Kabir, 4301) Al-Mundziri berkata Isnadnya (Ahmad) jayyid. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Ash-Shahihah” (851)
5. Hadith Sahih diriwayatkan oleh Ahmad (5301), Muslim (2985) dan Ibnu Majah (4202) dari Abu Hurairah
6. Hadith Sahih diriwayatkan oleh Ahmad (4313), Al-Bukhari (6499 7152), Muslim (2987), Ibnu Majah (4207) dan Ibnu Hibbah (406) dari Jundab Dan Muslim (3986) meriwayatkan dari Ibnu Abbas. Sabda Baginda, “Man samma’a (Barangsiapa berlaku sum’ah) yakni barangsiapa yang melakukan amal dengan tidak ikhlas dengan tujuan supaya manusia melihat dan mendengarnya. Dan sabda Baginda, ‘’Allah memperlihatkannya, yakni menampakkan kepada mereka bahawa dia beramal seperti itu ditujukan untuk mereka bukan semata-mata untuk Allah s.w.t (wajah-Nya)”.
7. Hadith Sahih – Diriwayatkan oleh Ahmad (2373), Ibnu Khuzaimah (1997), Al-Qudhai (1426), Ibnu Hibban (3481) dan Ibnu Majah (1690) dari Abu Hurairah dan Ibnu Umar. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam Shahih Al-Jami (3490).
8. Hadith dhaif (lemah). Penulis menyebutkannya sebagai hadith dan menyebutkan riwayat tersebut dengan memakai shighah tamridh, yaitu lafazh yang dipakai, yang menunjukkaan dhaifnya riwayat tersebut. Akan tetapi sebenarnya perkataan tersebut bukanlah hadith tetapi hanya sekadar ucapan dari ahli bijakpandai, sebagaimana yang dikatakan oleh ibnu Hajar Al-Haitsami dalam Az-Zawajir (1/69).
9. Hadith dhaif. Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Ausath (5478), dan Al-Mu’jam Al-Kabir (17/85, 86); juga diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah Al-Auliya (4/125), Al-Hafizh Al-Haitsami berkata dalam Majma Az-Zawa’id (10/220) bahawa di dalamnya (di antara perawinya – penyunting) ada Abu Junadah, dia lemah: juga diriwayatkan oleh ibnu Hibban (3/155,156) dalam Al-Majruhin dan dia mengulas, “Abu Junadah adalah seorang syaikh yang meriwayatkan dari Al-A’masy berbagai hadith yang bukan berasal dari Al-A’masy. Tidak diperbolehkan meriwayatkan hadith dari Abu Junadah, tidak juga menjadikannya sebagi hujjah, kecuali bila untuk keperluan menguatkan satu riwayat lain (untuk I’tibar)”. Sedangkan Ad-Daruquthni mengatakan, dia biasa memalsukan hadith. Dengan demikian hadith tersebut paling tidak derajatnya sangat lemah sekali. Wallahu A’lam.
10 Al-Hafizh Al-Iraqi dalam takhrijnya atas kitab Al-Ihya ( 3/275), berkata, “Ia diriwayatkan oleh ibnu Abi Ad-Dunya dari riwayat Jabalah Al-Yahshubi dari seorang Sahabat yang tidak disebutkan namanya dan isnadnya dha’if”.
* Nota: Saringan oleh http://www.darulkautsar.net dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit

Dosa Besar – Membunuh Manusia Tanpa Hak

Allah s.w.t berfirman, bermaksud,

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam, ia kekal di dalamnya, Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya”. (An-Nisa’: 93)

“Dan orang-orang yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak berzina. Maka barangsiapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina. Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh”. (Al-Furqan: 68-70)

“Oleh kerana itu kami tetapkan (suatu hukum) bagi bani Israel, bahawa barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya”. (Al-Maidah: 32)

“Apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh”. (At-Takwir: 8-9)

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya:

“Jauhilah oleh kamu tujuh perkara yang membinasakan!” 1

Lalu baginda menyebut salah satunya ialah membunuh seorang manusia yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkanNya.

Seseorang bertanya kepada Nabi s.a.w, “Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah ta’ala?”. Baginda menjawab, “Apabila kamu mengadakan sekutu bagi Allah, padahal Dia yang menciptakanmu”. Orang itu bertanya lagi, “Selepas itu?” Baginda menjawab,“Kamu bunuh anakmu kerana takut akan makan bersamamu”. Orang itu bertanya lagi, “Selepas itu?”. Baginda menjawab, “Kamu berzina dengan isteri jiranmu”. Lalu Allah menurunkan wahyu membenarkan sabda Nabi tersebut:

“Dan orang-orang yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak berzina”. (A-Furqan: 68)

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Apabila dua orang muslim bertemu dengan pedang terhunus, orang yang membunuh dan yang terbunuh masuk neraka”. Seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah, tentang yang membunuh boleh difahami, bagaimana pula dengan yang terbunuh?”. Baginda menjawab, “Kerana dia sebenarnya sangat ingin untuk membunuh temannya” 2

Abu Sulaiman memberi penjelasan, “Hadith ini berlaku jika dua orang itu saling berbunuhan kerana selain “ta’wil”. Ertinya jika keduanya berbunuhan kerana kebencian yang ada di antara keduanya, ‘ashabiyyah, mencari dunia, kekuasaan atau darjat duniawi. Sedangkan orang yang memerangi “ahlul-baghy” (kaum pemberontak terhadap amirul mukminin) sesuai dengan adab yang berlaku dalam kes itu, atau membela diri atau keluarganya, maka tidak termasuk ke dalam pengertian hadith ini. Sebab berperang kerana membela diri tanpa maksud membunuh itu adalah diperintahkan, kecuali jika orang itu sangat ingin membunuh orang yang membela diri, maka dia mesti melawannya dan membunuhnya. Barangsiapa membunuh pemberontak atau perompak sebenarnya ia tidak menginginkan untuk membunuhnya. Sebenarnya dia hanya membela diri. Oleh kerana itu jika pemberontak menghentikan tindakannya, tidak boleh diteruskan dan tidak boleh pula dikejar. Hadith ini tidak bermaksud membicarakan tentang orang-orang sebagaimana tersebut di atas. Adapun selain dari orang yang tersebut di atas adalah termasuk ke dalam konteks hadith di atas, wallahu a’lam”.

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:

“Janganlah kamu kembali kepada kekafiran sepeninggalanku nanti, iaitu kamu saling berbunuhan! 3

Baginda s.a.w juga bersabda, maksudnya:

“Seseorang hamba akan tetap selamat agamanya selagi belum menumpahkan darah haram (membunuh sesama muslim). 4

Nabi juga bersabda, maksudnya,

“Perkara yang pertama kali dihisab di antara manusia pada hari kiamat nanti adalah perkara berkaitan darah. 5

Dalam hadith yang lain Baginda s.a.w bersabda:

Sesungguhnya, pembunuhan atas seorang mukmin itu lebih besar daripada hancur luluhnya dunia di sisi Allah”. 6

Rasulullah s.a.w bersabda, “Yang termasuk dosa besar itu adalah menyekutukan Allah, membunuh orang, dan sumpah yang membenamkan (sumpah palsu). 7

Disebut, “Sumpah yang membenamkan” kerana sumpah ini membenamkan pelakunya ke neraka. Baginda s.a.w bersabda:

“Tidak ada jiwa yang terbunuh secara zalim kecuali anak Adam yang pertama ikut menanggungnya. Sebab dialah yang pertama kali mengajarkan pembunuhan” 8

Baginda bersabda:

“Barangsiapa membunuh orang kafir yang mengikat perjanjian dengan negara Islam ia tidak akan mencium bau harum syurga. Dan sesungguhnya wanginya sudah dapat dihidu dari jarak empat puluh tahun perjalanan” 9

Jika membunuh orang kafir yang ada perjanjiannya pun sudah sedemikian halnya, bagaimana pula dengan membunuh seorang muslim?

Rasulullah s.a.w bersabda: “Ketahuilah bahawa barangsiapa membunuh seseorang yang terikat dengan “zimmah” (perlindungan) dari Allah dan RasulNya bermakna dia telah membatalkan “zimmah” Allah, dan tidak akan mencium wangi syurga. Dan sesungguhnya harum wangi syurga itu dapat dicium dari jarak lima puluh tahun perjalanan.” 10

Baginda s.a.w bersabda:

“Barangsiapa membantu pembunuhan atas seorang muslim walau dengan sepatah perkataan nescaya akan bertemu dengan Allah dalam keadaan di antara kedua matanya tertulis `orang yang putus asa dari rahmat Allah Ta’ala’ ” 11

“Setiap dosa itu mudah saja Allah mengampuninya kecuali seseorang yang mati dalam keadaan kafir atau seseorang yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja” 12

Kepada Allah kita memohon `afiyah (kesejahteraan batin)

____________________________________________________

Nota Kaki:
1. ISNADNYA: SAHIH: DIRIWAYATKAN OLEH ABDURRAZZAQ (19702), IBNU JARIR (9209), DAN AL-BAIHAQI DALAM ASY-SYU’AB (SYU’AB AL-IMAN) (290). SEMUA PERAWINYA TERPERCAYA (TSIQAH).
2.Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (5/43,51), Al-Bukhari (31,6875), Muslim (2888), Abu Daud (4269), An-Nasa’ie (7/25) dan Ibnu Majah (3965) dari Abu Hurairah.
3 Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/85.87), Al-Bukhari (6862, 6868, 7077), Muslim (66), Abu Daud (4686, Al-Nasa’i (7/126), dan Ibnu Majah (3943), dari Ibnu Umar. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (121) dan Muslim (65), dari Jarir.
4 Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Bukhari (6862, 6863); dari Ibnu Umar.
5 Hadith Sahih: Diriwayatkan oleh Ahmad (1/442), Al-Bukhari 6864, 6533), Muslim 1678) Al-Tirmidzi 1397), dan Ibnu Majah (2615) dari Ibnu Umar.
6 Hadith Sahih: Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (1395) dan An-Nasai (7/82); dari Ibnu Amru. Juga diriwayatkan oleh An-Nasa’i (7/83) dari Buraidah dan Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Ghaayah Al-Maraam” (439).
7 Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6870), At-Tirmidzi (3024), dan An-Nasa’i (7/89), dari Ibnu Amr.
8. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (3335) dan Muslim (1677) dari Ibnu Mas’ud)
9 Diriwayatkan oleh Ahmad (2/186), Al-Bukhari (3166), An-Nisa’i (2/242) dan Ibnu Majah (2686) dari Ibnu Amru.
10. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (1403), Ibnu Majah 2687), dan Al-Hakim (2/127), dari Abu Hurairah dan ada kelemahan di dalamnya. Namun ada penguat dari riwayat An-Nasa’ie (2/242) dan Ahmad (4/237) dari Sahabat yang tidak disebutkan namanya dan isnadnya sahih, sebagaimana perkataan Syaikh Al-Abani dalam Ghaayah Al-Maraam (450) bahawa dengan dasar itulah dia mensahihkannya.
11 Hadith Dhaif, Diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2620), Al-Uqaili (457), dan Al-Baihaqi (8/22). Syaikh Al-Albani mendhaifkannya dalam “Adh-Dhaifah” (503)
12 Sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud (4270), Ibnu Hibban (5980), dan Al-Hakim (4/351) dan Abu Darda’. Ada penguat dari hadith (yang diriwayatkan) oleh Mu’awiyah yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dan dengannya Syaikh A-Albani mensahihkan hadith tersebut dalam “Ghaayah Al-Maraam” (441).
· Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar  dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit

Dosa Besar – Sihir

Tukang sihir itu adalah kafir.

Allah berfirman, mafhumnya:

“Akan tetapi syaitan-syaitan itulah yang kafir, Mereka mengajarkan sihir kepada manusia.” ( Al-Baqarah :102)

Syaitan mengajar sihir kepada manusia dengan cita-cita supaya manusia menjadi musyrik (kafir).

Berkenaan dengan Harut dan Marut Allah berfirman, “Dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat”. (Al-Baqarah: 102)

Anda dapat saksikan betapa ramai orang yang tersesat, memasuki wilayah sihir dan menyangka bahawa hukum sihir itu haram saja. Mereka tidak menyangka bahawa hukum sebenarnya adalah kufur. Ada yang mengikat seseorang (memakai guna-guna), dari isterinya dan yang sejenisnya dengan kalimat-kalimat tak bermakna yang kebanyakannya syirik dan sesat.

Hukuman bagi tukang sihir adalah dibunuh kerana sihir itu adalah kufur atau mendekati kufur kepada Allah. Nabi s.a.w bersabda, “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan!”, lalu baginda s.a.w menyebut diantaranya adalah sihir.1 Maka seorang hamba hendaklah bertaqwa kepada Allah dan tidak memasuki wilayah yang menyebabkan kerugian di dunia dan akhirat ini. Hukuman bagi tukang sihir, dikatakan dari Nabi, adalah dipancung dengan pedangtetapi yang tepatnya, ianya adalah kenyataan dari Sahabat bernama Jundub.

Bajalah Bin Abdah berkata, “Telah sampai kepada kami surat dari Umar setahun sebelum kewafatannya yang isinya berbunyi, “Hendaklah kamu membunuh semua tukang sihir; laki-laki dan perempuan!” 3

Wahb Bin Munabbih berkata, “Antara buku-buku yang saya baca ada yang menyebut bahawa Allah berfirman, “Tidak ada ilah yang berhak disembah kecuali Aku. Bukanlah termasuk waliku orang yang menyihir dan minta disihirkan. Juga orang yang mengamalkan dukun dan yang minta pertolongan darinya. Juga orang yang “bertathayyur” (meramal nasib dengan burung) dan yang meminta diramalkan. 4

Ali bin Abi Thalib meriwayatkan Rasulullah bersabda,

“Tiga orang tidak masuk syurga: peminum arak tegar, orang yang memutuskan tali silaturrahim, dan pembenar sihir.” 5

Secara marfu’ Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan.

“Sesungguhnya Ruqa, Tamaim, dan Tiwalah itu termasuk syirik.”6

“Tamaim/tamimah” adalah sesuatu yang dikalungkan oleh orang-orang jahil pada leher mereka, leher anak-anak mereka, dan binatang peliharaan mereka. Mereka menyangka benda itu dapat menangkal ‘ain. Ini termasuk amalan jahiliyah. Sesiapa yang menyakininya adalah syirik.

“Tiwalah” adalah salah satu jenis sihir, iaitu dengan mengamalkan guna-guna agar perempuan mencintai suaminya. Hal ini dikategorikan sebagai sihir kerana orang-orang yang jahil akan menyangka bahawa guna-guna itu dapat memberikan pengaruh dan menyangkal taqdir Allah.

Khaththabiy berkata, ”Apabila ruqyah dilakukan dengan al-Quran atau dengan asmaul husna, hukumnya mubah. Sebab Nabi pernah meruqyah Hasan dan Husain. Baginda bersabda,

“Kamu berdua aku mintakan perlindungan dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari setiap syatan, hamah, dan ‘ain lamah.”7

Hanya kepada Allahlah kita memohon pertolongan, dan kepadanya sahajalah kita berserah diri.

__________________________________________________________________________

Nota Kaki:
1. ISNADNYA: SAHIH: DIRIWAYATKAN OLEH ABDURRAZZAQ (19702), IBNU JARIR (9209), DAN AL-BAIHAQI DALAM ASY-SYU’AB (SYU’AB AL-IMAN) (290). SEMUA PERAWINYA TERPERCAYA (TSIQAH).
2 Hadith dhaif diriwayatkan oleh At-Tirmizi (485), Ad-Daruquthni(3/114). Al-Hakim(4/460), Ath-Thabrani (Al-Kabir.1665,1666), Ibnu Ady (1/285), dan Al-Baihaqi (8/136), Syaikh Al-Albani mendhaifkannya dalam Adh-Dha’ifah (14446), namun Syaikh memandang riwayat tersebut sahih bila dikatakan sebagai hadith mauquf. Terdapat uraian yang cukup cantik dari Syaikh dalam kitab tersebut. Silakan anda merujuknya.
3. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Abu Daud (3043), dan Ahmad (1/190)
4. Diriwayatkan oleh Abdurrazaq (20350) dengan redaksi yang serupa dari Ka’ab secara mauquf. Dan diriwaytakan oleh Ath-Thabrani dalam Al-Ausath (4262) dan Al-Bazzar: dari Ibnu Abbas berkata Al-Haitsami (5/117) bahawa di dalamnya ada Zami’ah bin Shalih, dia lemah. Dan diriwayatkan oleh Al-Bazar dari Imaran dengan tambahan,”Man aqada uqdatan… “Berkata Al-Haitsami (5/117) bahawa para perawinya adalah perawi Ash-Shahih, kecuali Ishaq bin Ar-Rabi’, dia terpedaya, Syaikh Al-Albani menyebutkan dalam Shahih Al-jami (5435) dari Imran dengan lafaz, “laisa minna man Tathayyara wa la tuthuyyira lahu,” …lihat Ash-Shahihah (2195)
5. Diriwayatkan oleh Ahmad (4/399), Ibnu Hibban (5346), dan Al-Hakim (4/146) dengan mensahihkannya. Dan penilaian ini disepakati oleh Az-Zahabi Namun penilaian atas hadith ini tidak seperti perkataan keduanya, bahkan isnadnya dha’if. Periwayatan hadith ini bukan dari Ali tetapi dari Abu Musa, Hadith ini mempunyai penguat dari hadith Abi Sa’id dengan redaksi serupa, yang diriwayatkan oleh Ahmad (3/14,18), di dalamnya ada kelemahan, mudah-mudahan riwayat ini menguatkan hadith sebelumnya. Wallahu a’lam.
6. Hadith sahih diriwayatkan oleh Ahmad (1/331), Abu Daud (3883), Ibnu Majah (3530), Ibnu Hibban (6090), Al-Hakim (4/309) dan Al-Baihaqi (9/350); dari Ibnu Mas’ud, Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam Ash-Shahihah (331) dan Shahih Al-Jami (1632)
7. Hadith sahih Ddiriwaytakan oleh Al-Bukhari (3371), Abu Daud (4737), At-Tirmizi (2060), An-Nasa’ie dalam Amal Al-Yaumi (10017) dan Ibnu Majah (3525) dari Ibnu Abbas.
· Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar  dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit

 Post Views: 87

Dosa Besar – Meninggalkan Solat

Allah berfirman, bermaksud:

“Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang mensia-siakan sembahyang dan menurut hawa nafsunya, maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh”. (Maryam: 59-10)

Ibnu Abbas berkata, “Makna mensia-siakan sembahyang bukanlah meninggalkannya sama sekali. tetapi mengakhirkannya dari waktu yang seharusnya”. 1

Imam para tabi’in, Said bin Musayyab berkata, “Maksudnya adalah orang itu tidak mengerjakan sembahnyang zohor sehingga datang waktu Asar. Tidak mengerjakan sembahyang Asar sehingga datang Maghrib. Tidak sembahyang Maghrib sampai datang Isya’. Tidak sembahyang Isya’ sampai fajar menjelang. Tidak sembahyang Subuh sampai matahari terbit. Barangsiapa mati dalam keadaan terus-menerus melakukan hal ini dan tidak bertaubat, Allah menjanjikan baginya `Ghayy’, iaitu lembah di neraka Jahannam yang sangat dalam dasarnya dan amat dahsyat siksaannya.”

Di tempat yang lain Allah berfirman, bermaksud:

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang sembahyang, (iaitu) orang-orang yang lalai dari menyempurnakan sembahyangnya.” ( Al-Ma’un: 4-5)

Orang-orang yang lupa akan sembahyangnya ialah orang-orang yang lalai dan meremehkan sembahyang.

Sa’ad bin Abi Waqqash berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang orang-orang yang lupa akan sembahyangnya. Baginda menjawab, iaitu melewatkannya sehingga akhir waktunya”. 2

Mereka disebut orang-orang yang sembahyang. Namun ketika mereka meremehkan dan mengakhirkannya dari waktu yang seharusnya, mereka diancam dengan `wail’, azab yang berat. Ada juga yang mengatakan bahawa `wail’ adalah sebuah lembah di neraka jahannam, jika gunung-gunung yang ada di dunia ini dimasukkan ke sana niscaya akan hancur luluhlah semuanya kerana sangat panas. Itulah tempat bagi orang-orang yang meremehkan sembahyang dan mengakhirkannya dari waktunya. Kecuali orang-orang yang bertaubat kepada Allah ta’ala dan menyesal atas kelalaiannya.

Dalam ayat yang lain Allah berfirman, bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi”. (Al-Munafiqun: 9)

Para mufassir menjelaskan, “Maksud `mengingat Allah’ dalam ayat ini adalah sembahyang lima waktu. Maka barangsiapa disibukkan oleh harta perniagaannya, kehidupan dunianya, sawah ladangnya, dan anak-anaknya dari mengerjakan sembahyang dalam waktunya, maka ia termasuk orang-orang yang rugi.” Nabi s.a.w telah bersabda, bermaksud:

“Amal yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari seorang hamba adalah sembahyangnya. Jika sembahyangnya baik maka dia telah berjaya dan beruntung, sebaliknya jika rosak, sesungguhnya dia telah gagal dan rugi”.  3

Berkenaan dengan penghuni neraka, Allah berfirman, maksudnya, “Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)? Mereka menjawab: “Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan sembahyang, dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin, dan kami membicarakan yang batil bersama dengan orang-orang yang membicarakannya, dan adalah kami mendustakan hari pembalasan, hingga datang kepada kami kematian”. Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafa’at pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu”. (Al-Muddatsir: 42-48)

Nabi s.a.w bersabda, bermaksud,

“Sesungguhnya ikatan (pembeza) antara kita dengan mereka adalah sembahyang. Barangsiapa meninggalkannya, maka telah kafirlah ia”  4

Baginda s.a.w juga bersabda:

“Batas antara seorang hamba dengan kekafiran adalah meninggalkan sembahyang.” 5

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

“Barangsiapa tidak mengerjakan sembahyang ‘Asar, terhapuslah amalannya”. 6

Juga, “Barangsiapa meninggalkan sembahyang dengan sengaja, sesungguhnya telah terlepaslah jaminan dari Allah”.7

Juga, Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sampai mereka mengucapkan ‘Laa ilaaha illallah’ (Tiada yang berhak disembah selain Allah) dan mengerjakan sembahyang serta membayar zakat. Jika mereka telah menunaikannya maka darah dan hartanya aku lindungi kecuali dengan haknya. Adapun hisabnya maka itu kepada Allah”. 8

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa menjaganya maka ia akan memiliki cahaya, bukti dan keselamatan pada hari kiamat nanti. Sedangkan yang tidak menjaganya maka tidak akan memiliki cahaya, bukti dan keselamatan pada hari itu. Pada hari itu ia akan dikumpulkan bersama Fir’aun, Qarun, Haman, dan Ubay bin Khalaf”. 9

Umar bin Khattab r.a berkata, “Sesungguhnya tidak ada tempat dalam Islam bagi yang mensia-siakan sembahyang”. 10

Sebahagian ulama’ berkata, “Bahawa orang yang meninggalkan sembahyang dikumpulkan dengan empat orang itu kerana dia telah menyibukkan diri dengan harta, kekuasaan, pangkat dan kedudukan dan perniagaannya dari sembahyang. Jika dia disibukkan dengan kekuasaannya dia akan dikumpulkan dengan Fir’aun. Jika dia disibukkan dengan pangkat dan kedudukannya dia akan dikumpulkan dengan Haman. Dan jika dia disibukkan dengan perniagaannya akan dikumpulkan bersama Ubay Bin Khalaf, seorang yang kafir di Mekah pada masa itu.”

Mu’az Bin Jabal meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa meninggalkan sembahyang fardhu dengan sengaja, telah lepas darinya jaminan dari Allah ”11

Umar bin Khattab r.a meriwayatkan, seseorang bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah ta’ala?”. Beliau menjawab, “Sembahyang pada waktunya. Barangsiapa meninggalkannya sungguh ia tidak lagi memiliki agama lagi, dan sembahyang itu tiang agama” 12

Semasa Umar r.a terluka akibat tikaman, seseorang berkata, “Anda tetap ingin mengerjakan sembahyang, wahai Amirul Mukminin?”. “Ya, dan sungguh tidak ada tempat dalam Islam bagi yang mensia-siakan sembahyang”, jawabnya. Lalu beliau pun mengerjakan sembahyang walaupun dari lukanya mengalir 13 darah yang cukup banyak. 14

Abdullah bin Syaqiq, seorang tabi’in, berkata, “Tidak ada satu amalan pun yang kalau ditinggalkan dianggap kufur oleh para sahabat kecuali sembahyang.” 15

Ali bin Abi Thalib pernah ditanya tentang seorang wanita yang tidak sembahyang, lalu dia menjawab, “Barangsiapa yang tidak bersembahyang maka kafirlah dia”. 16

Ibnu Ma’sud berkata, “Barangsiapa yang tidak sembahyang maka dia tidak mempunyai agama”. 17

Ibnu ‘Abbas berkata, “Barangsiapa meninggalkan sembahyang dengan sengaja sekali sahaja nescaya akan mengadap Allah dalam keadaan Allah murka kepadanya”. 18

Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa berjumpa dengan Allah dalam keadaan mensia-siakan sembahyang, Dia tidak akan mempedulikan suatu kebaikan pun darinya”. 19

Ibnu Hazm berkata, “Tidak ada dosa yang lebih besar sesudah syirik selain melewatkan sembahyang sehingga keluar dari waktunya dan membunuh seorang mukmin bukan dengan haknya”.

Ibrahim an-Nakha’ie berkata, “Barangsiapa meninggalkan sembahyang maka telah kafir”. Perkataan serupa juga diucapkan oleh Ayyub as-Sikhtiyani.

‘Aun bin Abdullah berkata, “Apabila seorang hamba dimasukkan ke dalam kuburnya, soalan pertama yang akan ditanya ialah tentang sembahyang. Jika sembahyangnya baik barulah amalan-amalan yang lain dilihat. Sebaliknya jika sembahyangnya tidak baik, tidak ada satu amalan pun yang dilihat (dianggap tidak baik semuanya).”

Baginda s.a.w bersabda, “Apabila seorang hamba mengerjakan sembahyang di awal waktu, sembahyang itu bercahaya naik ke langit sehingga sampai ke ‘arsy, lalu memohonkan keampunan bagi orang yang telah mengerjakannya, begitu seterusnya sampai hari kiamat. Sembahyang itu berkata, “Semoga Allah menjagamu sebagaimana kamu telah menjagaku. Dan apabila seorang hamba mengerjakan sembahyang bukan pada waktunya, sembahyang itu gelap akan naik ke langit. Sesampainya di sana ia akan dilipat seperti dilipatnya kain usang lalu dipukulkan wajah orang telah megerjakannya. Sembahyang itu berkata, “Semoga Allah mensia-siakanmu sebagaimana kamu telah mensia-siakanku.”20

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Ada tiga orang yang sembahyangnya tidak diterima oleh Allah: Seseorang yang memimpin suatu kaum sedangkan kaum itu membencinya, seseorang yang mengerjakan sembahyang ketika telah habis waktunya, dan seseorang yang memperhambakan orang yang merdeka”.21

Marilah kita memohon taufiq dan i’anah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Pemurah dan Maha Pengasih di antara mereka yang mengasihi.

Tentang Mengajarkan Sembahyang Kepada Anak-Anak

Rasulullah bersabda:

“Perintahkanlah kepada anak-anakmu untuk sembahyang jika mereka telah mencapai umur tujuh tahun. Dan jika telah berumur sepuluh tahun pukullah dia jika meninggalkannya”. 22

Dalam riwayat yang lain:

“Perintahkanlah anak-anak kamu untuk bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun. Pukullah mereka jika meninggalkannya ketika mereka berumur sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka” 23

Imam Abu Sulaiman al-Khaththabiy berkata, “Hadis ini menunjukkan betapa beratnya hukuman bagi orang yang meninggalkan sembahyang jika telah mencapai akil baligh”.

Sebahagian sahabat Imam Syafi’i berhujjah dengan hadith ini dalam mensabitkan dengan kewajiban membunuh orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja setelah baligh. Mereka berkata, “Jika dia boleh dipukul sedangkan dia belum baligh, maka ini menunjukkan bahawa setelah baligh nanti dia mesti dikenakan hukuman yang lebih berat dari itu. Tidak ada hukuman yang lebih berat setelah pukulan selain dibunuh”.

Hukum Meninggalkan Sembahyang

Para Ulama’ berbeza pendapat berkenaan dengan hukum orang yang meninggalkan sembahyang. Imam Malik, Syafi’i dan Ahmad berpendapat hukum orang yang meninggalkan sembahyang adalah dipancung dengan pedang. Seterusnya mereka berbeza pendapat tentang adakah dia kafir jika dia meninggalkannya tanpa uzur sehingga habis waktunya. Ibrahim an-Nakha’ie, Ayyub as-Sikhtiyani, Abdullah bin Mubarak, Ahmad Bin Hanbal, dan Ishaq bin Rahuyah menyatakan bahawa dia kafir. Mereka berhujjah dengan sabda Nabi, “Ikatan (pembeza) antara kita dengan mereka adalah sembahyang. Barangsiapa meninggalkannya, maka telah kafirlah ia”. 24 Juga sabda Baginda, “Sempadan di antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan sembahyang” 25

Tentang Ancaman Bagi Orang Yang Mengabaikan Toma’ninah

Allah berfirman, bermaksud:

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang sembahyang, (iaitu) orang-orang yang lalai dari menyempurnakan sembahyangnya.” (Al-Ma’un: 4-5)

Diriwayatkan, tafsir dari ayat di atas adalah orang yang mengerjakan sembahyang secara cepat kilat, tanpa menyempurnakan ruku’ dan sujudnya.

Abu Hurairah meriwayatkan, ada seseorang masuk ke dalam masjid semasa Rasulullah s.a.w sedang duduk di sana. Orang itu mengerjakan sembahyang lalu menghampiri Nabi dan mengucapkan salam kepada Baginda. Nabi s.a.w. menjawab salam lalu berkata, “Sembahyang semula. Sesungguhnya kamu belum mengerjakannya”. Maka orang itu pun kembali menunaikan sembahyang seperti yang telah dikerjakannya. Kemudian dia kembali dan mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w. Baginda s.a.w menjawabnya lalu berkata, “Sembahyang semula. Sesungguhnya kamu belum mengerjakannya”. Orang itu pun kembali mengerjakannya seperti tadi. Kemudian dia kembali dan mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w. Baginda menjawabnya dan berkata “Sembahyang semula. Sesungguhnya kamu belum mengerjakannya”. Orang itu pun kembali mengerjakannya seperti tadi. Kemudian dia kembali dan mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w. Beliau menjawabnya dan berkata, “Demi (Allah) yang mengutusmu dengan kebenaran wahai Rasulullah, aku tidak dapat mengerjakan sembahyang yang lebih baik dari yang sudah aku kerjakan tadi, oleh itu ajarilah aku”.

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda:

“Jika kamu berdiri untuk mengerjakan sembahyang, bertakbirlah. Lalu bacalah beberapa ayat al-Quran sebolehmu. Lalu rukuklah dengan tertib. Lalu angkatlah sampai kamu benar-benar berdiri tegak (I’tidal). Lalu sujudlah dengan tertib. Lalu duduklah dengan tertib. Lalu sujudlah dengan tertib. Demikian ini kerjakanlah dalam setiap (rakaat) sembahyangmu”. 26

Al-Badri r.a meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tidak akan diberi pahala sembahyang seseorang yang tulang belakangnya tidak diluruskan ketika rukuk”. (Hadith riwayat Imam Ahmad).

Hadith di atas diriwayatkan pula oleh Abu Daud dan at-Tirmizi. At-Tirmizi berkata, “Hadis hasan sahih”. Dalam riwayat yang lain, “Sehingga dia meluruskan punggungnya ketika ruku’ dan sujud”. 27

Inilah nas dari Nabi s.a.w. Barangsiapa yang tidak meluruskan punggungnya setelah rukuk dan sujud seperti sebelumnya, maka sembahyangnya batal (untuk sembahyang fardhu). Adapun toma’ninah adalah ketika setiap tulang mengambil tempat masing-masing.

Diriwayatkan pula bahawa Baginda bersabda:

“Manusia yang paling buruk perbuatan mencurinya adalah orang yang mencuri dalam sembahyangnya”. Seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang itu mencuri dalam sembahyangnya?”. “Iaitu tidak menyempurnakan ruku’ dan sujudnya”, jawab Nabi. 28

Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Allah tidak akan melihat kepada seseorang yang tidak menegakkan tulang belakangnya di antara ruku’ dan sujudnya”. 29

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Inilah sembahyang seorang munafik. Duduk menunggu matahari sampai ketika ia berada di antara dua tanduk syaitan (hampir tenggelam); orang itu pun berdiri lalu sembahyang secepat kilat sebanyak empat rakaat. Dia tidak berzikir kepada Allah kecuali sedikit”. 30

Abu Musa meriwayatkan suatu hari Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang bersama para Sahabat lalu Baginda duduk. Seseorang datang, berdiri mengerjakan sembahyang. Dia ruku’ dan sujud seperti mematuk (kerana cepat). Maka Rasulullah s.a.w bersabda, “Lihatlah itu! Sekiranya dia mati, sesungguhnya dia mati bukan di atas millah Muhammad s.a.w. Dia mematuk sembahyangnya seperti seekor gagak meminum darah”. 31

Umar bin Khattab r.a meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda, “Setiap orang yang sembahyang pasti di sebelah kanan dan kirinya ada malaikat. Jika dia mengerjakannya dengan sempurna, kedua malaikat itu akan membawa sembahyangnya ke hadirat Allah s.a.w. Sebaliknya jika tidak sempurna keduanya akan memukulkan sembahyangnya ke wajahnya”. 32

Ubadah bin Shamit berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa berwudhu’ dengan sebaik-baiknya, kemudian berdiri mengerjakan sembahyang, menyempurnakan ruku’nya, serta bacaannya, niscaya sembahyangnya berkata, “Semoga Allah menjagamu sebagaimana kamu telah menjagaku”. Lalu sembahyang itu – ianya bersinar dan bercahaya – akan diangkat ke langit. Pintu-pintu langit pun dibukakan sehingga ia akan sampai ke hadiratNya. Ia akan memohon syafaat bagi orang yang telah mengerjakannya. Tetapi jika orang itu tidak menyempurnakan ruku’, sujud dan bacaannya, niscaya sembahyangnya akan berkata, “Semoga Allah mensia-siakanmu sebagaimana kamu telah mensia-siakanku. Kemudian sembahyang itu – ia diliputi kegelapan – diangkat ke langit. Tetapi pintu-pintu langit tertutup. Maka ia pun dilipat seperti dilipatnya kain usang, lalu dipukulkan ke wajah orang yang telah mengerjakannya” . 33

“Muthaffif” adalah orang yang mengurangi takaran, timbangan, atau ukuran atau solat. Mereka diancam oleh Allah dengan “Wail”, satu lembah di Jahannam yang kerana panasnya sehingga neraka Jahannam pun minta perlindungan kepada Allah. Semoga Allah melindungi kita darinya.

Dari Ibnu Abbas r.a bahawasanya Nabi s.a.w bersabda, “Apabila salah seorang di antara kamu bersujud, hendaklah meletakkan wajahnya, hidungnya dan tangannya di atas tanah. Kerana Allah Ta’ala memerintahkan supaya bersujud dengan tujuh anggota badan: kening, hidung, dua tapak tangan, dua lutut, dan dua hujung tapak kaki dan supaya tidak menahan rambut atau pakaian. Barangsiapa sembahyang dengan tidak memberikan kepada setiap bahagian tubuh tersebut haknya maka bahagian tubuh itu akan melaknatnya sampai dia selesai dari sembahyangnya”. 34

Suatu ketika Huzaifah bin Yaman melihat seseorang mengerjakan sembahyang, namun tidak menyempurnakan ruku’ dan sujudnya, Huzaifah pun menegurya. “Kamu belum sembahyang. Andaikan kamu mati sedangkan sembahyangmu seperti itu, sungguh kamu mati di atas selain fitrah Muhammad s.a.w”. 35

Dalam riwayat Abu Daud, Huzaifah bertanya, “Sejak bila kamu mengerjakan sembahyang seperti yang kulihat tadi? “Sejak empat puluh tahun yang lalu”, jawab orang itu, lalu Hudzaifah berkata, “Selama empat puluh tahun ini kamu tidak sembahyang sama sekali, Dan jika kamu mati, kamu mati di atas selain fitrah Muhammad s.a.w”. 36

Hasan al-Bashri berkata, “Wahai anak Adam apalagi yang kamu banggakan dari agamamu jika sembahyangmu sudah kamu remehkan? Padahal, tentang sembahyang itulah pertanyaan pertama yang diajukan kepadamu pada hari kiamat nanti. Nabi bersabda, “Amal yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari seorang hamba adalah sembahyangnya. Jika sembahyangnya baik maka telah berjaya dan beruntunglah dia, sebaliknya jika ianya kurang sempurna, sungguh telah gagal dan rugilah ia”. Dan bilamana amalan fardhu itu kurang sempurna, Allah berfirman, “Lihatlah, apakah hambaku memiliki amalan sunat untuk melengkapinya?”. Demikan sampai habis seluruh amalnya”. 37

Maka, seorang hamba itu mestinya membanyakkan amalan sunat untuk menyempurnakan amalan yang wajib. Dari Allah taufiq itu datang.

Tentang Hukum Meninggalkan Sembahyang Jamaah Bagi Yang Tidak Berhalangan

Allah berfirman, bermaksud:

“(Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat), dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya. Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat sejahtera”. (Al-Qalam: 42-43)

Ini kejadian pada hari kiamat. Mereka diliputi penyesalan. Dulu di dunia mereka telah diseru untuk bersujud.

Ibrahim At-Taimi berkata, “Maksud dari ayat di atas adalah diseru kepada sembahyang fardhu dengan azan dan iqamah”.

Sa’id bin Musayyab berkata, “Mereka mendengar panggilan, “Mari mengerjakan sembahyang! Mari menuju kemenangan! Namun mereka tidak menjawab panggilan itu, padahal mereka dalam keadaan sihat sejahtera”.

Ka’ab al-Ahbar berkata, “Demi Allah, ayat ini tidak turun kecuali berkenaan dengan orang-orang yang meninggalkan sembahyang berjamaah. Nah, ancaman apakah yang lebih dahsyat bagi orang yang meninggalkan sembahyang jamaah padahal dia mampu mengerjakannya selain ayat ini?”.

Adapun dari hadith, al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya aku hampir-hampir memerintahkan untuk sembahyang, diiqamati, lalu aku perintahkan seseorang untuk mengimami orang ramai. Sedangkan aku dan beberapa orang lagi pergi sambil membawa selonggok kayu untuk membakar rumah orang-orang yang tidak menghadiri sembahyang jamaah”. 38  Sudah tentu mereka tidak diancam untuk dibakar rumahnya sedangkan di dalamnya ada anak-anak dan harta benda kecuali kerana mereka meninggalkan perkara yang wajib.

Dalam Kitab Sahih Muslim disebutkan, seorang yang buta menemui Nabi berkata, “Wahai Rasulullah, aku tidak ada orang yang menuntunku ke masjid”. Lalu dia meminta keringanan untuk mengerjakan sembahyang di rumahnya. Rasulullah pun mengizinkan. Tetapi ketika orang itu mula berundur, Baginda s.a.w memanggilnya, “Apakah kamu mendengar seruan untuk sembahyang (azan)?”. Laki-laki itu menjawab, “Ya”, “Jika demikian jawablah seruan itu!”, sabda Rasulullah. 39 Hadith ini diriwayatkan juga oleh Abu Daud dari ‘Amru bin Ummi Maktum, bahawa dia menemui Nabi lalu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Madinah ini banyak binatang berbisa dan binatang buas. Aku tidak dapat melihat dan rumahku jauh. Aku ada seorang penuntun jalan tapi aku tidak sesuai dengannya. Apakah ada keringanan bagiku untuk mengerjakan sembahyang di rumah?”. “Apakah kamu mendengar azan?”, tanya Rasulullah. “Ya”, jawab orang itu. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Jika demikian jawablah seruan itu. Aku tidak mendapatkan keringanan bagimu”. 40

Seorang lelaki buta telah mengadukan kesulitan-kesulitan yang dia hadapi ketika berjalan menuju masjid. Bahkan ia tidak ada orang yang menuntunnya. Meskipun begitu, Nabi tetap tidak memberi keringanan baginya untuk mengerjakan sembahyang di rumah. Nah, bagaimana dengan orang-orang yang sempurna penglihatannya? Kerana itulah ketika Ibnu Abbas ditanya tentang seseorang yang selalu berpuasa di siang hari, selalu bangun untuk sembahyang malam, tetapi tidak mengerjakan sembahyang jamaah, beliau menjawab, “Jika dia mati dalam keadaan seperti itu, ia akan masuk neraka”. 41

Abu Hurairah berkata, “Penuhnya telinga anak Adam oleh timah yang meleleh lebih baik dari pada mendengar azan tapi tidak mendatanginya”. 42

Ibnu Abbas meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa mendengar muazin padahal tidak ada keuzuran untuk mendatanginya…”. Seseorang menyampuk, “Apakah keuzuran itu wahai Rasulullah?”. Baginda bersabda, “Iaitu takut atau sakit. Sembahyang yang dia kerjakan itu tidak akan diterima”. 43 Maksudnya sembahyang yang dikerjakan di rumah.

Hakim meriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiga orang yang dilaknat oleh Allah; orang yang memimpin satu kaum sedangkan kaum itu membencinya, wanita yang tidur sedangkan suaminya marah kepadanya dan laki-laki yang mendengar seruan, “Mari menuju sembahyang, mari menuju kemenangan!”, namun tidak mendatanginya”. 44

Ali bin Abi Thalib berkata, “Tidak ada sembahyang bagi jiran masjid kecuali di masjid”. Seseorang bertanya, “Siapakah jiran masjid itu?”. “Jiran masjid ialah orang-orang yang mendengar azan”. 45

Imam al–Bukhari meriwayatkan dalam “Sahih”nya dari Abdullah bin Mas’ud, dia berkata, “Barangsiapa suka untuk berjumpa dengan Allah di hari kiamat sebagai seorang muslim hendaklah dia menjaga sembahyang lima waktu setiap kali terdengar panggilan untuk mengerjakannya. Sesungguhnya Allah mensyariatkan sunnah petunjuk (sunnatul huda) bagi Nabi kamu. Dan sembahyang berjemaah itu termasuk salah satu darinya. Andai kata anda mengerjakan sembahyang di rumah bererti anda telah meninggalkan sunnah nabi anda. Jika anda meninggalkan sunnahnya nescaya anda tersesat. Anda semua telah melihat, tidak seorangpun di antara kita meninggalkan sembahyang berjemaah kecuali dia adalah seorang munafik yang jelas kemunafikannya atau seorang yang sakit. Sesungguhnya, ada seorang yang dipapah oleh dua orang, diberdirikan di saf atau dihantar sampai ke masjid untuk dapat mengerjakan solat berjemaah”. 46

Rabi’ bin Khaitsam adalah seorang lelaki yang telah lumpuh. Walaupun begitu dia masih keluar untuk mengerjakan sembahyang berjemaah dengan dipapah oleh dua orang. Seseorang berkata, “Wahai Abu Muhammad, anda termasuk yang mendapatkan rukhshah (keringanan) untuk mengerjakan sembahyang di rumah. Anda uzur”. “Benar apa yang kamu katakan”, jawab Rabi. “Tetapi aku mendengar muazzin menyeru, ‘Mari menuju solat. Mari menuju kemenangan’. Barangsiapa mampu menjawab seruan itu hendaklah memenuhinya, walau terpaksa merangkak”. 47

Hatim al-Asham berkata. “Sekali saja aku tidak mengerjakan solat berjemaah. Abu Ishaq al-Bukhari menziarahiku, berta’ziah. Hanya dia seorang yang menziarahiku. Padahal sekiranya salah seorang anakku meninggal, pastilah lebih dari sepuluh ribu orang berta’ziah ke rumahku. Begitulah, bagi kebanyakan orang musibah dalam agama adalah lebih ringan dari pada musibah dunia”.

Sebahagian salaf berkata, “Tidaklah seseorang itu kehilangan kesempatan untuk bersembahyang berjemaah melainkan kerana dosa yang telah dilakukannya.”

Ibnu Umar menceritakan, “Suatu hari Umar pergi ke kebun kurma. Bila dia pulang didapati orang ramai sudah mengerjakan solat Asar (berjemaah). Umar pun berkata, “Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji’un. Aku ketinggalan solat berjemaah. Saksikanlah bahawa kebun kurmaku aku jadikan sedekah bagi orang-orang miskin, semoga menjadi kaffarah atas apa yang dilakukan Umar”.

Tentang Penekanan Untuk Mengerjakan Sembahyang ‘Isyak dan Subuh Secara Berjemaah Lebih Berbanding Sembahyang Fardhu Yang Lain.

Rasullullah bersabda, bermaksud,

“Sesungguhnya sembahyang yang paling berat oleh orang-orang munafik ialah solat ‘Isyak dan solat Fajar (Subuh). Seandainya mereka tahu pahala yang ada pada keduanya nescaya mereka akan mendatangi keduanya walau dengan merangkak”. 48

Ibnu Umar berkata, “Jika ada seseorang di antara kami yang meninggalkan solat ‘Isyak dan Subuh berjemaah, kami berburuk sangka kepadanya bahawa dia telah menjadi seorang munafik”. 49

Hikayat

Ubaidullah bin Umar al-Qawaririy bercerita: Aku belum pernah ketinggalan solat ‘Isya’ secara berjemaah walaupun sekali. Suatu malam aku kedatangan tamu. Kerananya aku menyibukkan diri dan ketinggalan sembahyang ‘Isyak berjemaah. Aku pun mencuba untuk mencari, mungkin masih ada jemaah ‘Isya’ di seluruh masjid kota Bashrah. Namun aku dapati semua orang sudah selesai mengerjakannya dan pintu masjid pun telah dikunci. Aku pulang dan merungut. “Terdapat suatu hadith yang menyebutkan bahawa sembahyang berjemaah itu lebih utama 27 darjat berbanding sembahyang sendirian. Maka aku pun mengerjakan sembahyang ‘Isya’ 27 kali. Aku tidur dan bermimpi, seakan-akan aku bersama suatu kaum yang semuanya menunggang kuda perang. Aku juga menunggang kuda. Kami berlumba. Aku menunggang kuda sekencang-kencangnya, tetapi tetap tidak boleh mengejar mereka. Aku memerhatikan salah seorang dari mereka. Dia berkata, “Jangan kamu paksa kudamu, sekali-kali kamu tidak akan dapat mengalahkan kami”, “Mengapa begitu?”, tanyaku. Orang itu menjawab, “Kerana kami menunaikan sembahyang ‘Isya’ berjemaah sedangkan kamu mengerjakannya sendirian”. Lalu aku terbangun dan berasa sedih dan sesal yang tiada taranya.

Marilah kita memohon ma’unah (pertolongan) dan taufiq kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Maha Mulia.

Nota Kaki:
1. Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Jarir (16/75) dan As-Suyuti dalam “Ad-Durr Al-Mantsur” (4/498) menambahkan penisbatan perkataan ini kepada Abd Bin Humaid
2 Hadith dhaif. Diriwayatkan oleh Al-Uqaili (3/377), Ibnu Abi Hatim dalam “Al-I’lal” (1/187) dan Al-Baihaqi (2/214) dari jalur ikrimah bin Ibrahim. Dia lemah. Semua Ulama’ bersepakat bahawa ianya mauquf dan ini yang lebih benar.
3 Hadith sahih: Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam “Asy-Syu’ab” (3016) dari Abu Hurairah, dan ia lemah, Dan diriwayatkan oleh Ath-Thayalisy, Adh-Dhiya dan beberapa orang lagi. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Ash-Shahihah” (1358), dengan berbagai jalur periwayatan dan hadith-hadith penguatnya dengan lafaz, “Maka apabila solatnya baik, baik seluruh amalnya dan apabila rosak solatnya, rosak seluruh amalnya.[Lihat dalam Sahih “Al-Jami’ “ (2573)]
4. Hadith hasan (baik). Diriwayatkan oleh Ahmad (5/348), At-Tirmidzi (2621), An-Nasa’ie (1/231), Ibnu Majah (1079), Ibnu Hibban (1/352), Al-Hakim (1,6-7) Al-Baihaqi dal Asy-Syuaib (2538) dan As-Sunan (3/366), dari Buraidah Dan Syaikh Al-Albani menyatakan hasan dalam “Shahih Al-Jami’ ” (4022).
5. Diriwayatkan oleh Ahmad (3/370), Muslim (82), At-Tirmizi (2618), Ibnu Hibban (1451), Al-Baihaqi dalam As-Sunan (3/366) dan Asy-Syuaib (2536) dari Jabir.
6. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (5/349), Al-Bukhari (553), An-Nasai’ie (1/236), Ibnu Majah (694), Ibnu Hibban (1461), Al-Baihaqi dalam “Asy-Syuab” (2588) dari Buraidah. Dan diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dengan lafaz, “Seakan-akan keluarganya telah hilang terampas”
7. Hadith hasan. Diriwayatkan oleh Ahmad (5/238), Ath-Thabrani dalam “Al-Kabir” (20/117/233,234) dan ada beberapa hadith penguatnya yang menyebabkan Syaikh Al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam “Sahih at-Targhiib” (568).
8. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (25) dan Muslim (22) dari Ibnu Umar.
9. Isnadnya sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/169), Abd bin Humaid (353), Ad-Darimi (697,698) Ibnu Hibban (1467), At-Thahawi dalam “Musykil” (“Musykil Al-Atsar”- ed) (4/229), Ath-Thabrani dalam “al-Ausath” (1788), dan Al-Baihaqi. Dalam “Asy-Syu’ab” (2565) dan isnadnya sahih.
10. Diriwayatkan oleh Ahmad dalam “Masail”, dengan periwayatan anaknya Abdullah (55), Ibnu Saad (3/350), Muhammad bin Nashr dalam “Ash-Shalan” (925), Ibnu Abi Syaibah dalam “Al-Iimam” (103), dan Ad-Daruqthni (2/52), Syaikh Al-Albani berkata, “Isnadnya sahih menurut syarat keduanya (Al-Bukhari dan Muslim)”
11. Telah disebutkan takhrijnya
12. Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalm Asy-Syuaib (2550), Al-Baihaqi mendhaifkannya. Juga Syaikh Al-Albani dalam “Dhaif Al-Jami’ “ (170)
13. “Yats’abu” iaitu mengalirnya darah
14. Telah disebutkan takhrijnya
15. Diriwayatkan oleh Ibnu Abu-Syaibah dalam “Al-Iiman” (137), At-Tirmidzi (2622), Muhammad bin Nashr dalam “Ta’zhim Qadr Ash-Shalah” (948). Syaikh Al-Abani mensahihkannya dalam “Shahih At-Targhriib” (564).
16. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi-Syaibah secara marfu’ (periwayatan sampai kepada Rasulullah) dengan lafaz “faqad kafara” (sungguh dia telah kafir). Lihat dalam Shahih At-Targhib’ (230).
17. Diriwayatkan oleh Muhammad bin Nashr dalam “Ta’zhim Qadr Ash-Shalah”, Ibnu Abu Syaibah dalam Al-Iman (2/184) Ath-Thabrani dalam “Al-Kabir” (3/19/1). Syaikh Al-Albani berkata, “Isnadnya hasan”.
18. Diriwayatkan oleh Muhammad bin Nashr secara mauquf (periwayatan sampai pada Sahabat saja) dengan lafaz. “faqad kafara” (sungguh dia telah kafir)”.
19. Al-Iraqi menisbatkannya pada Ath-Thabrani dalam “Al-Ausath” dari Anas , namun aku belum mendapatkan lafaz ini di sana.
20. Diriwayatkan oleh Al-Bazzar (350) Al-Baihaqi dalam “Asy-Syu’ab” (2871), Al-Khatib dalam “Tarikh”. Hadith ini dhai’f. Lihat “Dha’if Al-Jami’ “ (119)
21. Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah (970). Hadith ini dhaif dengan teks lengkapnya. Lihat “Dhaif Al-Jami’ ”.
22. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (1/137/1), Abu Daud (494), Al-Tirmizi (407), Ad-Darimi (1431), Ath-Thahawi dalam “Al-Musykil” (3/231), Ibnu Al-Jarud (147), Ad-Daruquthni (1/230/1), Al-Hakim (1/201). Hadith ini hasan menurut Syaikh Al-Albani dalam “Ihya ‘Al-Ghafi” (1/267).
23. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (1/137/2), Abu Daud (495, 496), Ad-Daruquthni (1/230/2), Al-Hakim (1/197), Al-Baihaqi (7/64), Ahmad (2/187) dari Ibnu Amru. Hadith ini hasan menurut Syaikh Al-Albani dalam “Al-Irwa” (247).
24. Telah disebutkan takhrij-nya
25. Telah disebutkan takhrij-nya
26 Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (757, 6252), Muslim (397), Abu Daud (856), At-Tirmizi (303), An-Nasa’ie (2/124), Ibnu Majah (1060) dan Ahmad (3/437) dari Abu Hurairah.
27. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (4/119), Abu Daud (855), Ath-Thayalisi (h.85), An-Nasa’i (2/183), Ibnu Majah (870), Ad-Darimi (304), Ibnu Khuzaimah (592), Al-Baihaqi (2/117), dalam “Asy- Syu’ab” (2861), dan disebutkan dalam “Shahih Al-Jami’ ” (7224, 7225).
28. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban (1888), Al-Hakim (1/229), Al-Baihaqi dalam “Asy-Syu’ab” (2847) dan “As-Sunan” (2/386) dari Abu Hurairah. Dan ada penyokong dari hadith Abu Qatadah yang diriwayatkan oleh Ad-Daraimi (305), Ahmad (5/310), Al-Hakim (1/299) dan Al-Baihaqi (2/385). Juga, dari Abdullah bin Mughaffal, yang diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam ketiga kitab “Mu’jam”nya. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Shahih Al-Jami’ ” (966-986).
29. Hadith diriwayatkan oleh Ahmad (2/525) dan sanadnya shahih.
30. Hadith diriwayatkan oleh Malik (1/220), (Muslim (622), Abu Daud (413), At-Tirmidzi (160) An-Nasa’i (1/254) Ad-Daruqutni (1/254), Al-Baihaqi (1/443) dan Ahmad (3/102, 103) dari Anas.
31 Hadith asan. Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah (6556) dan Al-Baihaqi (2/89), Syaikh Al-Albani menghasankannya dalam ta’liq beliau atas Ibnu Khuzaimah dan dalam “Shahih At-Targhib” (529).
32 Hadith dhaif. Diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni dalam Al-Ifrad. Syaikh Al-Albani mendhaifkannya dalam “Dhaif Al-Jami’ ” (5226)
33. Hadith dhaif. Diriwayatkan oleh Ath-Thayalisi (h.80), Al-Bazzar (1/177, no. 350), Al-Baihaqi dalam “Asy-Syu’ab” (2871), Syaikh Al-Albani mendhaifkan dalam “Dhaif Al-Jami’ ” (400).
34. Saya belum mendapatkannya sejauh pencarian yang saya lakukan hanya saja Asy-Syaukani dalam An-Nail (Nail Al-Authar) (2/259) menisbatkannya pada Ismail bin Abdullah yang dikenal dengan nama Samawaih dalam Fawaidnya dari jalur Ikrimah dan Ibnu Abbas.
35. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (791,808), Abdurrazzaq (3732, 3733), An-Nasa’i (3/58), Ibnu Hibban (1894), Al-Baihaqi (2/118) dalam “Asy-Syu’ab” (2860), Ahmad (5/384) dan Al-Baghawi (616)
36 Riwayat hadith ini bukan dalam Abu Daud melainkan ada pada Ibnu Hibban (1894), Al-Baihaqi dalam “Asy-Syu’ab” (2860) dan As-Sunan (2/117)
37. Hadis diriwayatkan oeh Ahmad (2/290), Abu Daud (865), At-Tirmizi (413), An-Nasa’ie (1/232), Ibnu Majah (1425) dan Ath-Thahawi dalam “Al-Musykil” (3/228); dari Abu Hurairah. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Shahih Al-Jami’ ” (2568)
38. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Malik (1/129-130), Al-Bukhari (644, 2420), Muslim (651), Abu Daud (549), At-Tirmidzi (217) dan An-Nasa’ie (2/107) dari Abu Hurairah.
39. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Muslim (653), Abu Awanah (2/6), An-Nasa’i (2/109), dan Al-Baihaqi (3/57),
40. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (1/345,346), Abu Daud (553), An-Nasa’i (2/110), Ibnu Khuzimah (1478), dan Al-Hakim (1/246) dengan mensahihkannya. Penilaian ini disepakati oleh Az-Zahabi. Syaikh Al-Albani juga mensahihkannya.
41. Isnadnya dha’if. Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (218), dari Hannad, telah menceritakan kepada kami Al-Muharibi dari Laits dari Mujahid dari Ibnu Abbas, Ahmad Syakir berkata, “Isnad ini sahih meskipun secara zahirnya adalah mauquf dari Ibnu Abbas, tapi ditinjau dari status hukumnya adalah marfu’ (marfu’ hukman), kerana (perkataan) seperti ini tidak mungkin dia ketahui dengan ra’yi (fikirannya). Saya katakan “Isnadnya dha’if, kerana Laits bin Abi Sulaim, dia adalah lemah.”
42. Isnadnya dha’if. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (1/380/4), dari Jalur Waki’, Dari Abdurrahman majhul (tidak diketahui peribadinya). Wallahua’lam.
43. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud (551), Ibnu Majah (793), Ad-Daruquthni (1/420). Ibnu Hibban (2064), Al-Hakim (1/245), Ath-Thabrani (12265), dan Al-Baihaqi (3/57), Syaikh Al-Albani mensahihkannya tanpa lafazh, “Wa am al-Udzru?” (Apa yang dimaksudkan uzur itu?)
44 Tidak sahih. Diriwayatkan oleh At-Tirmizi (358), dari Muhammad bin Al-Qasim Al-Asadi, dari Al-Fadhl bin Dalham. Dari Al-Hasan, dari Anas, bukan Ibnu Abbas. At-Tirmidzi berkata, “Tidak Sahih kerana hadits ini diriwayatkan dari Al-Hasan, dari Nabi s.a.w secara mursal. Sedang Muhammad bin Al-Qasim didha’ifkan oleh Ahmad, dan menyatakan bahawa dia bukan seorang yang hafizh
45. Isnadnya sahih di riwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (1/380/8).
46. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Muslim (654) dan An-Nasa’ie tidak sebagaimana yang dikatakan penulis bahawa hadith ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari
47. Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad (6/189-190) dan Abu Nu’aim (2/113)
48. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (1/332), Ahmad (2/424), Al-Bukhari dan Muslim (651), Abu Daud (548), Ibnu Majah (791) dan Ibnu Hibban (2098) dan Abu Hurairah
49 Isnadnya sahih. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (1/332), Al-Hakim (1/211), Ibnu Khuzimah (1485), Ibnu Hibban (2099), dan Al-Baihaqi (3/59)

Dosa Besar – Tidak Membayar Zakat

VIDEO – Dosa Besar – Tidak Mengeluarkan Zakat – Ust Shamsuddin Abd Rahman

Allah berfirman:

“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat”. (Ali Imran: 180)

“Dan kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya, (iaitu) orang-orang yang tidak menunaikan zakat”. (Fushshilat: 6-7).

“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (At-Taubah: 34-35).

Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak ada pemilik emas dan perak yang tidak mengeluarkan zakatnya kecuali pada hari kiamat nanti akan dibentangkan baginya kepingan-kepingan dari api, lalu ditelentangkan di atasnya, di neraka Jahannam. Maka dia akan dipanggang dengan kepingan itu pada dahi dan punggungnya. Setiap kali sejuk, kepingan itu akan dipanaskan lagi untuknya. Satu hari di sana sama dengan lima puluh ribu tahun. Begitulah sehingga Allah mengadili manusia seluruhnya dan dia pun tahu ke mana jalan yang akan ditempuhnya; ke syurga atau ke neraka. “Seseorang bertanya. “Wahai Rasulullah s.a.w bagaimana tentang unta?” Beliau menjawab. “Dan tidak pula pemilik unta yang tidak mengeluarkan zakatnya kecuali pada hari kiamat nanti akan dihamparkan tanah yang sangat lapang, dipenuhi oleh unta-untanya yang benar-benar sihat dan gemuk, tanpa ada satu anak unta pun yang tertinggal. Semua unta itu memijaknya dengan tapak kakinya dan menggigitnya dengan mulutnya. Setiap kali unta terakhir melakukannya didatangkan lagi unta pertama. Itu dalam satu hari yang sama dengan lima puluh ribu tahun. Begitulah sampai Allah mengadili manusia seluruhnya dan dia pun tahu ke mana jalan yang akan ditempuhnya; ke syurga atau ke neraka”. Seseorang lagi bertanya, Wahai Rasulullah, lalu bagaimana dengan lembu dan kambing?”. Baginda menjawab, “Begitu juga dengan pemilik keduanya jika tidak membayar zakatnya. Akan dihamparkan tanah yang sangat lapang, dipenuhi oleh lembu-lembu dan kambing-kambing yang benar-benar sihat dan gemuk, tidak ada tanduk yang bengkok, patah atau yang tidak bertanduk. Semuanya akan menanduknya dan memijak-mijaknya dengan kaki-kakinya. Itu dalam satu hari yang sama dengan lima puluh ribu tahun. Begitulah sehingga Allah menghisab semua manusia dan dia pun tahu ke mana jalan yang akan ditempuhnya; ke syurga atau ke neraka”. 1

Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiga orang yang pertama kali masuk neraka adalah pemerintah yang zalim, hartawan yang tidak membayar hak Allah pada hartanya dan orang miskin yang sombong.” 2

Abdullah bin Abbas r.a berkata, “Barangsiapa memiliki harta yang cukup untuk menunaikan ibadah haji tetapi ia tidak menunaikannya atau memiliki harta sehingga cukup nisab tetapi dia tidak membayar zakat, niscaya akan meminta “raj’ah” (dikembalikan) di kala mati.” Seseorang membantah, “Bertakwalah kepada Allah, wahai Ibnu Abbas. Hanya orang-orang kafir saja yang meminta raj’ah!”. Ibnu Abbas pun menjawab, “Akan aku bacakan satu ayat (yang maksudnya), “Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu”, lalu dia berkata. “Ya Rabbku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh (Al-Munafiqun: 10). Maksud bersedekah adalah membayar zakat, dan maksud menjadi salah seorang soleh adalah menunaikan haji”. Seseorang bertanya, “Berapa nisab harta?”“Jika telah mencapai 200 dirham, wajib dikeluarkan zakatnya”, jawab Ibnu Abbas. “Apakah yang mewajibkan haji?”, tanya seorang lagi. Beliau menjawab “Cukup bekal dan ada kenderaan.”  3

Perhiasan yang biasa atau dikhaskan untuk dipakai tidak wajib dikeluarkan zakatnya. Berbeza dengan perhiasan yang sengaja dihimpun atau disimpan, wajib dikeluarkan zakatnya. 4

Harta perniagaan wajib dikeluarkan zakatnya. Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa dikurniakan harta oleh Allah tetapi tidak mahu membayar zakatnya, niscaya pada hari kiamat nanti hartanya akan dijadikan sebagai ular ganas yang memiliki dua taring bisa. Ular itu melilitnya pada hari kiamat dan mematuk-matuknya pada kedua-dua belah mulutnya sambil berkata, “Akulah hartamu, akulah perbendaharaanmu!”. Lalu Baginda membaca ayat yang bermaksud:

“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya pada hari kiamat”. (Ali Imran: 180) 5

Berkenaan dengan firman Allah. “Pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka” , (At- Taubah: 35) Ibnu Mas’ud berkata, “Keadaannya bukan seperti dinar ditumpuk-tumpuk dan bukan seperti dirham yang ditumpuk-tumpuk, tetapi setiap dinar dan dirham tersebut dihamparkan yang mana kulitnya telah diregangkan sedemikian rupa sehingga setiap dinar dan dirham mengambil tempatnya.”  6

Jika ada yang bertanya mengapa hanya dahi, rusuk dan punggung yang terkena seksaan ini, maka jawapannya ialah, apabila seorang hartawan yang bakhil melihat orang fakir pastilah masam mukanya, ia luaskan dahinya, lalu berpaling (menarik rusuknya ke tepi). Dan jika orang fakir tadi menghampirinya nescaya dia akan membelakanginya (menampakkan punggungnya). Nah, dia nanti akan diseksa pada ketiga bahagian tubuhnya itu, balasan seksa yang setimpal dengan apa yang telah dia lakukan.

Rasullah s.a.w bersabda, “Lima dengan lima”. Mereka bertanya. “Wahai Rasulullah, apakah lima dengan lima itu?”. Baginda menjawab, “Bila suatu kaum itu melanggar perjanjian, Allah akan menjadikan musuh mereka menguasai mereka. Bila manusia itu mengambil hukum selain dari hukum Allah akan tersebar kefakiran pada mereka. Bila perbuatan keji dilakukan secara terang-terangan kematian akan berleluasa. Bila mereka mengurangi takaran dan timbangan kebuluran dan kemarau akan menimpa mereka. Bila mereka enggan membayar zakat hujan akan ditegah turun pada mereka.”. 7

Nasihat Bagi Mereka Yang Terpedaya Dengan Kehidupan Dunia

Katakanlah kepada manusia yang disibukkan oleh dunianya, sesungguhnya apa saja yang mereka kumpulkan itu tidak mendatangkan manfaat sama sekali. Iaitu ketika ancaman bagi mereka menjelang. Pada hari dipanaskan apa yang mereka kumpulkan itu di dalam neraka jahannam lalu diselar pada dahi, rusuk dan punggung mereka. Bagaimana mungkin lenyap dari hati dan fikiran mereka, firman Allah, “Pada hari dipanaskan emas perak itu di dalam neraka jahannam lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka”. (At-Taubah: 35)

Harta itu dibawa ke tempat hukuman dilaksanakan. Lalu diletakkan di tempat pemanggang (api neraka) dan dibakar dengan tujuan untuk menambah seksaan. Kemudian dibuatlah kepingan-kepingan (dari api neraka) supaya kulit dibakar lebih merata. Setelah itu didatangkan orang yang semasa di dunia tidak mengikut petunjuk, berjalan ke tempat itu tidak bersama kaum yang bersinar cahaya mereka. Kemudian dipanaskan emas dan perak itu di dalam neraka Jahannam, lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka.

Dulu semasa di dunia, jika seorang miskin datang menemui mereka, apa yang diperolehinya adalah hati yang pedih. Jika si miskin itu meminta sesuatu dari mereka, mereka segera berpaling dengan kemarahan. Oh, rupanya mereka lupa pada hikmah Allah mencipta si kaya dan si miskin. Betapa berat kesedihan yang akan mereka hadapi. “Pada hari dipanaskan emas perak itu di dalam neraka jahannam lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka”.

Selepas kematiannya, waris-warisnyalah yang akan menikmati harta yang ditinggalkannya tanpa perlu bersusah payah. Orang yang mengumpulkannya dahulu akan ditanya, “Dari mana dan harta apa yang kamu perolehi?”. Yang diperolehinya hanya kesusahan manakala manis dan madunya dinikmati pewarisnya. Bagaimana mereka boleh tamak?

Di mana akal mereka?, “Pada hari dipanaskan emas perak itu di dalam neraka jahannam lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka”.

Alangkah ngerinya jika anda menyaksikan mereka di lapisan-lapisan neraka, menggeliat-geliat di atas bara dirham dan dinar, tangan kanan dan tangan kiri mereka dibelenggu kerana kebakhilan mereka dahulu. Kalaulah anda melihat mereka di dalam neraka Jahannam, diberi minum dari timah panas, lalu mereka berteriak-teriak, pada hari dipanaskan emas perak itu di dalam neraka jahannam lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka”.

Betapa semasa di dunia mereka diberi nasihat dan peringatan, namun tidak meninggalkan bekas. Berapa banyak mereka diancam dengan seksaan Allah, namun tidak ada di antara mereka yang merasa takut. Dengan harta mereka, mereka seolah-olah telah menjadi Syuja’ Aqra’ (ular besar), sehingga apalah erti tongkat dan bukit Thur mukjizat Musa. Sekali lagi pada hari dipanaskan emas perak itu di dalam neraka jahannam lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka”.

Barangsiapa melihat (kebenaran), maka (manfaatnya) itu adalah untuk dirinya sendiri. Dan barangsiapa buta (dari melihat kebenaran), maka itu pun untuk dirinya sendiri”. (Al-An’am: 104)

Dan Rabb-mu sekali-kali tidaklah menganiaya hamba (Nya)“. (Fushshilat: 46)

Marilah kita memohon ampunan dan ‘afiyah (kesejahteraan batin) kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Memberi lagi Maha Pemurah.

___________________________________________

Nota Kaki:
1. Hadith diriwayatkan oleh Abdurrazzaq (6858), Ahmad (2/262-286), Muslim (987), Abu Dawud (1658, 1659) dan An-Nasa’ie (6/12-13) dari Abu Hurairah.
2. Hadith diriwayatkan oleh Ahmad (2/479), Al-Baihaqi (3063) dalam Asy-Syu’ab dan diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (1642) dengan lafaz, “Awwalu tsalatsatin yadkhuluna al-jannah’ alhadis. Dan ianya adalah hadith dhaif.
3. Hadith diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (3316) dan isnadnya dhaif. At-Tirmidzi mendhaifkannya dan menyatakan kesahihannya secara mauquf.
4. Ar-Rajih (yang lebih kuat – mnegikut pendapat penulis) bahawa perhiasan wajib dikeluarkan zakatnya baik dipakai atau pun tidak. Wallahua’alam.
5. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (1403,4565,4659) dan An-Nasa’ie (5/39) dari Abu Hurairah.
6. Asy-Syuyuthi berkata dalam Ad-Durr (Ad-Durru Al-Mantsuru (3/419) diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim, Ath-Thabrani. Abu Asy-Syaikh Al-Mundziri berkata, “Diriwayatkan oleh At-Thabrani, dan isnadnya sahih”. Saya katakan, “Diriwayatkan juga oleh Ath-Thabari (10/124), dan semua perawinya tsiqah (terpercaya).
7. Diriwayatkan oleh Ibnu Majah (4019), Al-Baihaqi (3042) dalam Asy-Syuab, Al-Hakim (4/540) dan Abu Nu’aim (8/333). Asy-Syaikh Al-Albani menghasankannya dalam Ash-Shahihah (106) dari Ibnu Umar .Al-Baihaqi mengeluarkan hadith semisal itu dalam Asy-Syu’ab (3040), juga al-Hakim 2/126) dan Al-Baihaqi dalam Ss-Sunan (9/231) dari Buraidah.
· Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar  dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit

Dosa Besar – Tidak Berpuasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Uzur

VIDEO – Meninggalkan Puasa Ramadhan Tanpa Alasan (Rukhsah) – Ust Shamsuddin Abd Rahman

Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain”. (Al-Baqarah: 183 – 184).

Rasulullah s.a.w bersabda: Continue reading

Dosa Besar – Tidak Menunaikan Haji Sedangkan Dia Mampu

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. (Ali-Imran: 97)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa mempunyai bekal dan kenderaan yang dapat menghantarkannya haji ke Baitullah tetapi tidak melakukannya, semoga dia tidak mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani”. Ingatlah, Allah telah berfirman, “Menunaikan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup melakukan perjalanan ke Baitullah” . 1

Umar bin Khattab berkata, “Sesungguhnya, aku pernah berniat untuk menghantar beberapa orang ke seluruh negeri untuk mencari sesiapa yang sihat dan memiliki bekal tetapi tidak menunaikan haji supaya dikenakan jizyah dan menganggap mereka sebagai bukan orang Islam”.

Abdullah bin Abbas berkata, “Barangsiapa memiliki harta yang cukup untuk menunaikan ibadah haji tetapi dia tidak menunaikannya atau memiliki harta sehingga cukup nishab tetapi ia tidak membayar zakatnya, niscaya akan meminta raj’ah (dikembalikan) semasa mati”. Ada seseorang berkata:

“Bertakwalah kepada Allah, wahai Ibnu Abbas. Hanya orang-orang kafir sahaja yang meminta raj’ah”. Ibnu Abbas menjawab, “Aku akan bacakan satu ayat, Allah berfirman, “Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu”,  lalu dia berkata:

“Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “ (Al-Munafiqun: 10)

Maksud bersedekah adalah membayar zakat, dan maksud menjadi salah seorang soleh ialah menunaikan haji. Seseorang bertanya, “Berapa nisab harta?”. “Jika wang perak telah mencapai 200 dirham atau wang emas yang sama nilai dengannya, wajib dikeluarkan zakat”, jawab Ibnu Abbas. “Apakah yang mewajibkan haji?”, tanya seorang lagi. Beliau menjawab, “Bekalan dan kenderaan”. 2

Sa’id bin Jubair bercerita, “Aku tidak menyembahyangkan seorang jiranku yang meninggal dunia kerana tidak menunaikan haji walaupun dia kaya”.

———————————————————————————————————-

Nota Kaki:
1. Ibnu Jarir dalam tafsirnya (4/16-17), Al-Uqaili (4/346), Ibnu Adi (7/2280) dan Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab (3692). Syaikh Al-Albani mendhaifkannya dalam “Dhaif Al-Jami’ “
2. Telah disebutkan takhrijnya.
-· Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar  dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit

Dosa Besar – Derhaka Kepada Ibu Bapa

VIDEO – Dosa Besar – Derhaka Kepada Ibu Bapa – Ust Shamsuddin Abd Rahman

Allah berfirman:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ahh”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”. (Al-Isra’: 23) Continue reading