Dahsyatnya Dosa Riba

[Muat Turun Artikel – PDF]

Dr Zaharuddin Abd Rahman

( http://www.zaharuddin.net/ )

Tidak dinafikan, sudah diketahui umum, syirik adalah dosa terbesar di dalam Islam. Ia disebutkan dengan jelas dari ayat,

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء

Ertinya : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan barangsiapa yang mensyirikkan-Nya, dan (Allah) akan boleh mengampunkan dosa-dosa yang lebih rendah dari syirik”.

Namun, setelah memikirkan berkali-kali baris-baris ayat di bawah, saya tidak boleh menunggu lagi kecuali mesti dengan segera menghebahkannya kepada sekalian umat berkenaan betapa dahsyatnya hukuman bagi kesalahan ini.

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لاَ يَقُومُونَ إِلاَّ كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُواْ إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَن جَاءهُ مَوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهَىَ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Ertinya: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. ( Surah Al-Baqarah, Ayat  275 )

Continue reading

Berjudi

[Muat Turun Artikel – PDF]

Allah s.w.t berfirman, “Hai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (meminum) khamr, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu di dalam khamr dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat; Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”. (Surah Al-Maidah, Ayat 90 & 91).

“Maisir” adalah judi dalam segala bentuk; baik ianya berupa dadu, telur, kerikil dan lain-lain. Ia termasuk memakan harta orang lain dengan cara batil (tidak benar), yang dilarang oleh Allah s.w.t. dalam firmannya:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 188)

Continue reading

MENYERTAI POLISI INSURAN KONVENSIONAL: HALAL ATAU HARAM? FATWA DAN ULASAN DARI JAKIM

[Muat Turun Artikel – PDF]

Oleh : Abdul Muhaimin Mahmood

Mencari sesuatu yang halal untuk dimakan atau digunakan dalam kehidupan seharian adalah merupakan suatu kewajipan yang difardhukan oleh Allah s.w.t ke atas setiap muslim, kerana mengambil yang halal itu dapat menambah cahaya iman dan membuat termakbulnya doa dan diterima amal ibadah, sebagaimana memakan yang haram boleh menghalang doa dan ibadah dari diterima oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda;

Maksudnya: Anas bin Malik meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w bersabda, “Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim”. Diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan sanad yang baik (hasan).

Merujuk kepada persoalan hukum insuran konvensional, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MJFK) telahpun memutuskan hukum berkaitan dengannya dalam beberapa siri persidangan yang membahaskan status insurans konvensional.

Secara umummya semua jenis insurans konvensional sama ada insurans nyawa, insurans am serta mempromosikannya  adalah haram. Berikut dilampirkan keputusan-keputusan muzakarah berhubung insurans konvensional:

Continue reading

Batas-Batas Aurat Dalam Islam

[Muat Turun Artikel – PDF]

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد

Aurat dari segi bahasa; ialah keaiban.

Manakala dari segi istilah syarak; ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup.

Jadi, aurat bermaksud bahagian-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi (orang yang boleh berkahwin dengannya) kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam. Continue reading

Bahaya Dan Akibat Buruk Zina

[Muat Turun Artikel – PDF]

VIDEO IRINGAN – [Durasi 41m 22s] – DOSA BESAR – BERZINA – Ust Shamsuddin Abd Rahman

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/vN54by1jEio ]

BAHAYA DAN AKIBAT BURUK ZINA

Zina merupakan kejahatan yang sangat besar yang memberi kesan amat buruk kepada penzina itu sendiri khususnya dan kepada seluruh umat amnya. Di zaman sekarang di mana banyaknya saluran dan media yang berusaha menyeret ke arah perbuatan keji ini, maka amat perlu untuk setiap orang mengetahui bahaya dan akibat buruk yang timbul dari dosa zina. Kita semua hendaklah lebih berhati-hati dan berwaspada agar tidak terjerumus, hatta, walaupun hanya mendekatinya. Antara akibat buruk dan bahaya tersebut adalah:

  • Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan yakni berkurangnya agama si penzina, hilangnya sikap wara’ (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.
  • Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu merupakan suatu hal yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.
  • Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.
  • Membuat hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.
  • Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan atau merasa demikian sehingga tidak pernah merasa cukup dengan apa yang diterimanya.
  • Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.
  • Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.
  • Pezina akan dipandang oleh manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.
  • Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh orang-orang yang memiliki ‘qalbun salim’ (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.
  • Kesempitan hati dan dada selalu meliputi para pezina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya. Ini adalah kerana, orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan yang sebaliknya dari apa yang dia inginkan, dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan dan kebahagiaan.
  • Penzina telah mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari yang jelita di syurga kelak.
  • Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan. Bahkan boleh membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.
  • Menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.
  • Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih membekas dan mendalam daripada asakan akidah kafir, misalnya, kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya, namun dosa zina akan benar-benar membekas dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku zina itu bertaubat dan membersihkan diri dia akan masih merasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya.
  • Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia mengugurkan kandungannya itu maka dia telah berzina dan juga telah membunuh jiwa yang tidak berdosa. Jika dia ialah seorang wanita yang telah bersuami dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir maka dia telah memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya. Amat mengerikan, naudzubillah min dzalik.
  • Perzinaan akan melahirkan generasi individu-individu yang tidak ada asal keturunan (nasab). Di mata masyarakat mereka tidak memiliki status sosial yang jelas.
  • Penzina laki-laki bererti telah menodai kesucian dan kehormatan wanita.
  • Zina dapat menyemai permusuhan dan menyalakan api dendam antara keluarga wanita dengan lelaki yang telah berzina dengannya.
  • Perzinaan sangat mempengaruhi jiwa kaum keluarganya di mana mereka akan merasa jatuh martabat di mata masyarakat, sehingga kadang-kadang menyebabkan mereka tidak berani untuk mengangkat muka di hadapan orang lain.
  • Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit-penyakit ganas seperti AIDS, siphilis dan gonorhea atau kencing bernanah.
  • Perzinaan menjadikan sebab hancurnya suatu masyarakat yakni mereka semua akan dimusnahkan oleh Allah akibat dosa zina yang tersebar dan yang dilakukan secara terang-terangan.
Continue reading

Pakaian Dari Perspektif Islam

[Muat Turun Artikel – PDF]

Seorang Muslim hendaklah mengambil berat tentang pakaiannya, hendaklah dia pastikan ianya cantik dan bersih, terutama bila berurusan dengan orang lain dan ketika mengerjakan sembahyang, sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran, bermaksud, “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)”. (Surah Al-A’raaf, Ayat 31)

Allah menggalakkan seseorang memakai pakaian yang cantik dan baik dan tampak cantik, kerana ianya sebahagian dari cara kita bersyukur ke atas nikmat yang dikurniakan Allah. “Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”. Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui”. (Surah Al-A’raaf, Ayat 32)

Continue reading

[VIDEO – 1m 18s] Perbezaan di antara “BID’AH” dan “KHILAFIAH”

Petikan dari video

PERBEZAAN BID’AH DAN KHILAFIAH

PENGENALAN

  • Adakah perkara “bid’ah” dan “khilafiah” itu sama?
  • Apakah yang dikatakan bid’ah?
  • Apakah yang dikatakan khilafiah?
  • Apa sikap kita bila berhadapan dengan perkara khilafiah?

KESIMPULAN

a) Bid’ah ialah perkara yang tidak ada dalil dan tiada sumbernya dalam agama (seperti hadis nabi atau amalan Sahabat-sahabat).

b) Khilafiah ialah perkara yang ada dalilnya tetapi ulama berbeza pendapat tentang maksud sebenar dalil tersebut.

– Contoh perkara khilafiah ialah: Continue reading

JANGAN ABAI TOMA’NINAH DALAM SOLAT

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Oleh: Zuarida Mohyin

Jika anda rukuk dan sujud, jangan sekali-kali terlupa toma’ninah. Jangan jadikan solat anda seperti ayam mematuk padi. Solat seperti itu tidak sah kerana tidak ada toma’ninah, sedangkan ia adalah rukun sembahyang sama ada dalam solat fardhu ataupun solat sunat.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Mushaddad Hasbullah menjelaskan solat tanpa toma’ninah adalah batal. Orang yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan khusyuk dalam solatnya ialah orang yang mencuri solat sebagaimana disebut dalam satu riwayat Ahmad dan Hakim bermaksud: “Itulah orang yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan bacaan dalam solat”.

Katanya lagi, hadith ini menjelaskan mengenai orang-orang yang menunaikan solat mereka tetapi dalam keadaan kelam-kabut dan hilang penghayatan dan khusyuk mereka. Mereka ini disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai pencuri.

Hal ini sekali lagi ditegaskan oleh Baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Seburuk-buruk orang yang mencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat mereka. Maka Sahabat pun bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana mereka mencuri daripada solat mereka? Maka Rasulullah menjawab: Mereka yang tidak sempurna rukuk dan sujud mereka”. (Riwayat Ahmad, Thabrani dan Ibn Khuzaimah)

Sementara itu, dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Nasa’i, Rasulullah s.a.w melarang solat yang dikerjakan seperti burung yang mematuk makanan, iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat. Dalam hadith yang lain pula Baginda bersabda bermaksud: “Allah s.w.t. tidak melihat solat seseorang yang dikerjakan tanpa sempat meluruskan tulang belakangnya antara rukuk dan sujud”. (Riwayat Thabrani)

Lantaran itu, Rasulullah s.a.w berpesan, yang bermaksud: “Apabila seseorang daripadamu hendak mendirikan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang laksana sembahyang orang yang memberi selamat tinggal, iaitu orang yang sama sekali tidak fikir ia akan dapat kembali bersembahyang lagi”. (Riwayat Al-Dailami daripada Ummu Salamah)

Mushaddad berkata, ramai di kalangan umat Islam sebenarnya berhadapan dengan masalah tidak khusyuk dalam solat, antara puncanya adalah kerana kesibukan dunia dan sentiasa memikirkan tentangnya walaupun dalam solat.

“Khusyuk amat penting dalam solat. Salah satu daripada rahmat Allah kepada kita ialah Allah meraikan kelemahan yang ada pada hambanya. Justeru, Allah tidak menjadikan khusyuk sebagai rukun atau syarat sah solat yang jika ditinggalkan maka batallah solat itu.

“Oleh itu khusyuk dalam solat menurut jumhur ulama’ adalah sunat hukumnya. Menurut Imam ibnu al-Qayyim dalam bukunya, “Madarij as-Salikin”, khusyuk bermaksud menghadirkan hati ketika solat dengan rasa tunduk dan hina kepada Allah, apabila hati seseorang itu khusyuk maka seluruh anggotanya akan turut sama khusyuk, kerana setiap anggota mengikuti hati dan khusyuk itu tempatnya di hati.

“Bagaimanapun, bagi orang yang tidak khusyuk dalam solatnya, tidaklah membuatkan solatnya batal. Solatnya tetap sah cuma ia mendapat pahala yang kurang, tidak sepenuhnya seperti orang yang khusyuk,” kata Mushaddad ketika dihubungi baru-baru ini.

Menjawab kelebihan yang diperolehi seseorang yang khusyuk dalam solat, Mushaddad menjelaskan, sesungguhnya ganjarannya amat besar seperti dapat menghapuskan dosa, memperoleh pahala, memakbulkan doa dan menjauhkan kemungkaran.

Oleh itu, beliau menyarankan kita sentiasa berusaha untuk memperolehi solat yang khusyuk kepada Allah s.w.t.

Firman Allah yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar”. (Surah al-Ankabut, Ayat 45)

Dalam satu hadith daripada Uthman bin Affan yang berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Tidaklah bagi seseorang muslim itu yang menunaikan solat fardu dan memperelokkan wudhu’nya, khusyuknya dan rukuknya melainkan baginya penghapusan dosa selagi mana dia tidak melakukan dosa besar, dan itu adalah untuk setiap masa”. (Riwayat Muslim)

Menjelaskan tentang toma’ninah pula, kata Mushaddad, ia merupakan salah satu rukun dalam solat. Jika ia tidak disempurnakan maka batallah solat seseorang itu.

Toma’ninah perlu dilakukan dalam empat rukun solat iaitu dalam rukuk, iktidal daripada rukuk, sujud dan duduk di antara dua sujud.

“Toma’ninah bermaksud tetap atau diam dalam setiap rukun yang disebutkan. Seseorang itu tidak dikira toma’ninah jika dia menunaikan solat seperti burung yang mematuk makanan seperti mana yang disebutkan dalam hadith sebentar tadi,” terangnya.

Berbicara tentang contoh terbaik mengenai khusyuk dalam solat, ujar Mushaddad, model yang terbaik ialah solat Rasulullah s.a.w.

Dalam satu hadith yang disebut oleh al-Kandahlawi dalam bukunya, “Hayat al-Sohabah”, bahawa seorang hamba Allah telah bertanya kepada Aisyah: “Terangkan kepadaku sesuatu yang luar biasa mengenai solat Rasulullah.” Aisyah menjawab: “Tiada sesuatu yang biasa mengenai diri Baginda. Tiap-tiap yang dilakukannya luar biasa. Pada suatu malam, Baginda baring bersama-samaku, kemudian Baginda berkata: “Sekarang, biarlah aku menyembah Allah, Pemberi rezekiku.” Kemudian Baginda pun bangun lalu mendirikan solat dengan segala perasaan ikhlas dan tawadhuk. Semasa menunaikan solat itu Baginda menangis. Demikian juga keadaannya apabila Baginda rukuk dan sujud. Setelah bangun, keadaan Baginda masih tidak berubah. Demikianlah halnya sehingga Bilal melaungkan azan menandakan waktu Subuh sudah menjelang tiba. Aku pun berkata kepada Baginda: “Ya Rasulullah, Tuan tidak berdosa kerana Allah telah mengampuni semua dosa Tuan, sama ada yang telah lalu mahupun yang akan datang. Tetapi Tuan masih juga memandang rendah terhadap diri Tuan sendiri”. Baginda s.a.w menjawab: “Apakah aku tidak bersyukur kepada Allah?”. Aku solat begini mengingatkan ayat-ayat yang telah diwahyukan-Nya kepada Aku pada hari ini (yang bermaksud): Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah Ali Imran, Ayat 190 &191)

Sumber: Utusan Malaysia

Panduan Saf Kanak-Kanak Berdasarkan Kepada Hadith-Hadith

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

 

VIDEO – [Durasi – 20m 17s] – Saf Kanak-kanak Dalam Solat – Maulana Fakhrurrazi

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube –  https://youtu.be/n3VD_BCe5DU 

PANDUAN SAF KANAK-KANAK BERDASARKAN KEPADA HADITH-HADITH

Oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

Adakah kedudukan saf kanak-kanak di belakang saf orang dewasa, atau mereka tidak perlu diletakkan di saf yang berasingan. Menjawab persoalan ini marilah kita merujuk kepada beberapa hadith Rasulullah s.a.w.

Hadith yang pertama, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (nombor 822)

: عن أنس بن مالك

أن جدته مليكة دعت رسول الله صلى الله عليه وسلم لطعام صنعته، فأكل منه، فقال (قوموا فلأصلي بكم). فقمت إلى حصير لنا قد اسود من طول ما لبس، فنضحته بماء، فقام رسول الله صلى الله عليه وسلم واليتيم معي، والعجوز من ورائنا، فصلى بنا ركعتين.

“Daripada Anas bin Malik katanya neneknya, Mulaikah telah menjemput Rasulullah s.a.w untuk makan makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah s.a.w. makan sebahagian darinya kemudian bersabda: “Bangunlah, saya akan mengimamkan sembahyang kamu. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan kemudian saya merenjiskannya dengan air. Rasulullah s.a.w berdiri, seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat”.

Hadith kedua juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (Sahih al-Bukhari, Nombor 823):

عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه قال:

أقبلت راكبا على حمار أتان، وأنا يومئذ قد ناهزت الاحتلام، ورسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي بمنى إلى غير جدار، فمررت بين يدي بعض الصف، فنزلت وأرسلت الأتان ترتع، ودخلت في الصف، فلم ينكر ذلك علي أحد

Daripada Ibn Abbas katanya: “Saya datang dengan menunggang keldai betina, pada ketika itu saya belum lagi baligh (hampir baligh). Rasulullah s.a.w sedang bersembahyang dengan tidak menghadap dinding. Lalu saya, melalui di hadapan beberapa saf dan saya turun dan membiarkan keldai itu memakan rumput. Saya masuk ke dalam saf dan seorangpun tidak membantah saya”.

Imam al-Bukhari memasukkan kedua-dua hadith ini di bawah tajuk:

باب: وضوء الصبيان، ومتى يجب عليهم الغسل والطهور، وحضورهم الجماعة والعيدين والجنائز، وصفوفهم

Bab: Wudhu’ kanak-kanak, bilakah mereka wajib mandi dan bersuci, kehadiran mereka untuk sembahyang berjemaah, sembahyang hari raya dan jenazah dan bagaimana saf-saf mereka.

Daripada riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh al-Bukhari dalam bab ini tidak didapati ada saf yang khusus untuk kanak-kanak. Ini bererti Imam al-Bukhari berpendapat kanak-kanak tidak perlu diasingkan daripada saf orang dewasa.

Rasulullah s.a.w membiarkan Anas berdiri bersama dengan kanak-kanak. Jika dengan alasan “kenajisan” kanak-kanak menjadikan sembahyang Anas tidak sah, tentu Baginda s.a.w akan menyusun saf dengan meletakkan Anas di kanannya kemudian anak yatim tersebut di belakangnya.

Begitu juga dalam hadith yang kedua, Sahabat-sahabat tidak menegah Ibn Abbas memasuki saf itu dengan alasan beliau masih kecil. Ini menunjukkan bahawa menjadi amalan masyarakat pada ketika itu kanak-kanak tidak diasingkan daripada saf orang dewasa.

Hadith yang pertama itu juga diriwayatkan al-Tirmizi (nombor 234) dan beliau memberikan ulasannya:

قَالَ أَبُو عِيسَى: حَدِيثُ أَنَسٍ صَحيحٌ، وَالعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهلِ العِلمِ، قَالُوا: إِذَا كَانَ مَعَ الإِمَامِ رَجُلٌ وَامْرَأَةٌ، قَامَ الرَّجُلُ عَن يَمينِ الإِمَامِ وَالمَرْأَةُ خَلْفَهُمَا، وَقَدْ احْتَجَّ بَعْضُ النَّاسِ بِهَذَا الحَدِيثِ في إِجَازَةِ الصَّلاَةِ إِذَا كَانَ الرَّجُلُ خَلْفَ الصَّفِّ وَحْدَهُ، وَقَالُوا: إِنَّ الصَّبيِّ لَمْ تَكُن لَهُ صَلاَةٌ، وَكَانَ أَنَسٌ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحْدَهُ، وَلَيْسَ الأَمرُ عَلَى مَا ذَهْبُوا إِلَيهِ لأَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَامَهُ مَعَ اليَتيمِ خَلْفَهُ، فَلَوْلاَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَعَلَ لِليَتِيمِ صَلاَة، لَمَا أَقَامَ اليَتِيمَ مَعَهُ وَلاَ أَقَامَهُ عَن يَمِينِهِ.

“Abu Isa (al-Tirmizi) berkata: Hadith Anas adalah sahih. Amalan mengikut hadith ini di sisi ahli ilmu iaitu apabila bersama imam itu ada seorang lelaki dan perempuan, maka lelaki itu hendaklah berdiri di sebelah kanan imam dan perempuan itu di belakang mereka berdua. Sesetengah orang mengharuskan sembahyang seorang lelaki berseorangan di belakang saf. Mereka berkata, sembahyang kanak-kanak itu tidak dikira dan Anas berseorangan di belakang Rasulullah s.a.w. Pendapat ini tidaklah tepat kerana kerana Rasulullah s.a.w menempatkan Anas bersama anak yatim di belakang Baginda. Andai kata Baginda tidak mengira sembahyang anak yatim itu tentu Baginda tidak menempatkannya bersamanya (Anas) dan tidak juga menempatkannya di kanannya (Anas)”.

Daripada komentar al-Tirmizi itu dapat difahami bahawa sembahyang kanak-kanak tetap dikira sah dan sewajarnya dia diletakkan bersama saf orang dewasa. Kalaulah sembahyangnya tidak dikira sah disebabkan tidak diketahui dia menjaga kebersihan diri dan pakaian tentu sekali al-Tirmizi menganggap sebaliknya.

Dalam mensyarahkan hadith ini, Abdul Rahman al-Mubarakpuri menyimpulkan bahawa kanak-kanak hendaklah diletakkan dalam satu saf bersama orang lain. (Tuhfah al-Ahwazi, jil. 1, hal. 494)

Walaubagaimanapun, dalam keadaan ramai makmum atau jemaah yang besar, kanak-kanak tidak dibenarkan berada secara langsung di belakang imam berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (no. 432):

: عن أبي مسعود. قال

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمسح منا كبنا في الصلاة ويقول “استووا ولا تختلفوا. فتختلف قلوبكم. ليلني منكم أولو الأحلام والنهى. ثم الذين يلونهم. ثم الذين يلونهم” قال أبو مسعود: فأنتم اليوم أشد اختلافا.

“Luruskanlah dan janganlah kamu saling bertelingkahan lalu dengan itu hati-hati kamu tidak bersatu, hendaklah orang-orang yang cerdik pandai mengiringiku, kemudian yang mengikuti mereka dan yang mengikuti mereka”.

Sudah tiba masanya masyarakat, terutama sekali pihak pengurusan masjid, berubah dan kembali kepada petunjuk hadith. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini, gangguan yang berlaku di masjid pada ketika sembahyang Jumaat. Kanak-kanak yang berada sesama mereka mengambil kesempatan untuk berbual-bual sehingga menyebabkan suasana khutbah Jumaat hingar-bingar.

Kesimpulannya, dengan meletakkan kanak-kanak di dalam saf iaitu bapa berada bersama-bersama dengan anaknya, maka anak berada di bawah jagaannya dan keadaan akan lebih terkawal. Selain itu, secara tidak langsung akan mendidik anak-anak cara-cara hidup bermasyarakat kerana dapat berinteraksi dengan semua lapisan.