Seorang Muslim hendaklah mengambil berat tentang pakaiannya, hendaklah dia pastikan ianya cantik dan bersih, terutama bila berurusan dengan orang lain dan ketika mengerjakan sembahyang, sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran, bermaksud, “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)”. (Surah Al-A’raaf, Ayat 31)
Allah menggalakkan seseorang memakai pakaian yang cantik dan baik dan tampak cantik, kerana ianya sebahagian dari cara kita bersyukur ke atas nikmat yang dikurniakan Allah. “Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”. Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui”. (Surah Al-A’raaf, Ayat 32)
Pakaian mempunyai manfaat yang tidak terbatas banyaknya.
Pakaian mempunyai beberapa fungsi
- Ia menutup bahagian-bahagian badan yang wajib ditutup dari pandangan orang ramai; ianya tatasusila kesopanan yang menjadi naluri manusia. “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu”. (Surah Al-Araaf, Ayat 26).
- Pakaian melindungi tubuh kita dari kepanasan, sejuk dan dari terdedah kepada bahaya. Kepanasan dan sejuk adalah fenomena alam yang boleh membahayakan seseorang. Allah telah menerangkan manfaat pakaian kepada hanba-hamba-Nya sebagaimana berikut, “Dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepada-Nya dan mematuhi perintah-Nya”. (Surah An-Nahl, Ayat 81).
Hukum Berkaitan Pakaian
Islam telah menetapkan hukum yang sesuai dengan naluri dan fitrah manusia, yang sesuai dan tidak berbelit-belit.
Amnya, syariah telah menetapkan bahawa semua bentuk pakaian dan perhiasan adalah dibenarkan. Sebenarnya, Islam tidak menetapkan pakaian yang khusus untuk dipakai. Semua pakaian adalah dibenarkan selagi ianya menepati tujuannya dan tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh syariat.
Nabi s.a.w memakai pakaian yang biasa dipakai pada zamannya dan tidak memerintahkan umatnya memakai pakaian yang khusus. Pakaian, sebagaimana juga perkara-perkara keduniaan yang lain, dibenarkan selagi tidak ada larangan khusus berkenaannya, berlainan dengan perkara-perkara ibadat seperti solat dan puasa, yang menetapkan ianya dilarang dilakukan kecuali ada perintah dan dibenarkan dari Allah. Nabi s.a.w bersabda, “Makan, minum, berpakaian dan bersedekahlah, tetapi jangan berlebihan dan jangan sombong”. (Sunan An-Nasa’i, hadith no. 2559)
Islam menetapkan had-had kesopanan tetapi ia tidak menetapkan pakaian yang khusus untuk orang-orang Islam. Seseorang boleh memakai pakaian yang biasa dipakai dalam masyarakatnya kecuali pakaian yang jelas dilarang dalam Islam seperti sutera dan emas untuk lelaki.
– Bacaan lanjut – Dosa Besar – Memakai Kain Sutera Dan Emas Bagi Kaum Lelaki
[ Disaring dari – http://newmuslimguide.com/en/your-dress-code/108 ]