MENYERTAI POLISI INSURAN KONVENSIONAL: HALAL ATAU HARAM? FATWA DAN ULASAN DARI JAKIM

[Muat Turun Artikel – PDF]

Oleh : Abdul Muhaimin Mahmood

Mencari sesuatu yang halal untuk dimakan atau digunakan dalam kehidupan seharian adalah merupakan suatu kewajipan yang difardhukan oleh Allah s.w.t ke atas setiap muslim, kerana mengambil yang halal itu dapat menambah cahaya iman dan membuat termakbulnya doa dan diterima amal ibadah, sebagaimana memakan yang haram boleh menghalang doa dan ibadah dari diterima oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda;

Maksudnya: Anas bin Malik meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w bersabda, “Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim”. Diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan sanad yang baik (hasan).

Merujuk kepada persoalan hukum insuran konvensional, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MJFK) telahpun memutuskan hukum berkaitan dengannya dalam beberapa siri persidangan yang membahaskan status insurans konvensional.

Secara umummya semua jenis insurans konvensional sama ada insurans nyawa, insurans am serta mempromosikannya  adalah haram. Berikut dilampirkan keputusan-keputusan muzakarah berhubung insurans konvensional:

Hukum insurans nyawa.

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979 telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai satu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:

  • Mengandungi gharar (ketidak-tentuan).
  • Mengandungi unsur judi.
  • Mengandungi muamalah riba

Hukum insurans am

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 telah membincangkan Kajian Hukum Insuran Am. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum ke atas Insurans Am adalah tidak diharuskan oleh Islam.

Hukum mempromosikan produk insurans konvensional.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 89 yang bersidang pada 14-16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk insurans konvensional Menurut Perspektif syariah.

Muzakarah berpandangan bahawa sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memertabatkan sistem muamalat Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang mempromosikan produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba.

Walau bagaimanapun, pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.

Selain dari status hukum insurans nyawa, insurans am dan hukum mempromosikan produk tersebut, muzakarah turut membincangkan tentang status pampasan polisi insurans konvensional selepas kematian pembeli polisi, pada muzakarah kali ke-94 yang bersidang pada 20-22 April 2011.

Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.
  3. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh pihak waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah golongan fakir dan miskin.
  4. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara 3 di atas.

Berdasarkan keputusan-keputusan yang disebutkan di atas, jelas menerangkan tentang status hukum bagi insurans konvensional. Justeru, umat Islam sewajarnya meninggalkan produk-produk konvensional yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t.

Sebagai alternatif kepada produk-produk konvensional tersebut, umat Islam hendaklah mengambil produk-produk takaful yang patuh syariah yang menawarkan pelbagai jenis perlindungan secara Islam.

Dewasa ini tiada lagi alasan darurat yang mendesak umat Islam untuk tidak mengambil dan menggunakan produk-produk perlindungan berasaskan takaful yang patuh syariah. Bahkan menjadi kewajipan pada mereka untuk mendokong produk-produk berasaskan takaful, sebagai menggantikan produk-produk konvensional yang diharamkan dalam Islam.

Sekarang ini pengguna boleh memilih syarikat-syarikat pengendali takaful patuh syariah, yang telah diberikan lesen oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s