Dahsyatnya Dosa Riba

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Dr Zaharuddin Abd Rahman

( http://www.zaharuddin.net/ )

Tidak dinafikan, sudah diketahui umum, syirik adalah dosa terbesar di dalam Islam. Ia disebutkan dengan jelas dari ayat

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء

Ertinya : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan barangsiapa yang mensyirikkan-Nya, dan (Allah) akan boleh mengampunkan dosa-dosa yang lebih rendah dari syirik”.

Namun, setelah memikirkan berkali-kali baris-baris ayat di bawah, saya tidak boleh menunggu lagi kecuali mesti dengan segera menghebahkannya kepada sekalian umat berkenaan betapa dahsyatnya hukuman bagi kesalahan ini.

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لاَ يَقُومُونَ إِلاَّ كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُواْ إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَن جَاءهُ مَوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهَىَ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Ertinya: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. ( Surah Al-Baqarah, Ayat  275 )

Itulah kengerian hukuman Allah s.w.t. terhadap satu dosa selain syirik. Itulah pengamal riba setelah pengharamannya. Cuba kita sama-sama perhatikan penutup  ayat di atas

وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Ertinya : “Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya”.

Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan lafaz ini menyebut :-

ومن عاد أي إلى الربا ففعله بعد بلوغه نهى الله عنه فقد استوجب العقوبة

Ertinya: Lafaz “barangsiapa mengulangi” ertinya kembali terlibat dengan riba hingga terjebak dalamnya walalupun setelah datangnya hukum larangan Allah darinya, hasilnya wajiblah bagi mereka hukuman keras”. (Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 1/328)

Berdasarkan dalil-dalil hadith, para ulama’ membuat kesimpulan bahawa setiap umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, walaupun sebanyak mana dosa yang dilakukan di atas dunia, mereka akan dihumbankan ke dalam neraka, terkurung di dalamnya untuk satu tempoh yang layak bagi dosa mereka, kemudian mereka akan dikeluarkan darinya dengan syafaat Nabi Muhammad s.a.w dalam keadaan mati, kemudian ditempatkan di dalam sungai kehidupan, lalu hiduplah kembali. Semua ini dicatatkan dalam hadith. (Syarah Sahih Muslim, An-Nawawi, 3/36)

RIBA DAN HUKUMANNYA

Riba adalah ‘ziyadah’ atau ‘increment’ atau ‘excess’ pada  perkara tertentu lebih menjurus kepada suatu bentuk lebih yang tidak halal (illegal excess) yang berlaku pada sesuatu jenis kontrak:-

1)      Bayaran Pinjaman Yang Bertambah

Contoh: Beri RM1,000, minta bayar balik sebanyak RM1,100, maka RM100 adalah riba sama ada peminjam rasa tertindas atau tidak rasa tertindas.

Contoh paling popular zaman ini adalah pinjaman wang dengan bank konvensional untuk membeli rumah, pinjaman peribadi, pinjaman modal atau juga pinjaman kereta iaitu pinjaman sebanyak RM100,000, 10 % bayar deposit dan 90% lagi dari ‘loan’ bank konvensional. Bank kovensional beri pinjam RM100,000 yang perlu dibayar dalam jangkamasa 5 tahun dengan pertambahan interest iaitu 4%. Maka 4% itu adalah RIBA. Ada yang menggunakan hujah inflasi bagi menerima interest 4% dengan mengatakan harga RM1 pada tahun 2000 adalah berlainan dengan harga RM1 dalam tahun 2012. HUJAH INFLASI TIDAK DITERIMA DI DALAM ISLAM untuk menghalalkan perbezaan atas nama “interest”.

2)      Penalti Tambahan Akibat Lewat Bayar

Contoh: Perlu bayar RM2,000 dalam masa 5 bulan, si penghutang tidak dapat membayar dalam jangkamasa tersebut,  lalu si pemberi hutang beri tangguh dengan dikenakan syarat dari  RM2,000 menjadi RM2,050 kerana kelewatan membayar. Tambahan RM50 itu adalah riba.

3)      Riba dalam pertukaran barang dengan barang

Ini dinamakan sebagai barangan ribawi, terdapat 6 jenis barang yang disebut oleh Baginda Nabi s.a.w iaitu emas, perak, gandum, barli, kurma dan garam. Ulama’ bersetuju bahawa emas dan perak mewakili matawang yang punyai nilai yang diiktiraf, manakala empat lagi item adalah barang makanan ruji yang tahan disimpan.

Contoh: Tukar emas lama iaitu 2g dengan emas baru 3g. Jika ada pertambahan atau pengurangan maka ianya adalah riba

riba jadual

Imam An-Nawawi berkata : “Telah ijma’ seluruh ulama’ Islam tentang pengharaman riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan dikatakan juga riba diharamkan oleh semua agama; antara yang berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi”. (Rujuk Al-Majmu’, 9/391 )

Adalah menjadi fenomena yang amat malang bagi umat Islam, apabila mereka amat leka dan tidak ambil endah tentang besarnya dosa riba. Justeru di sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadith yang menerangkan perihal besarnya dosa riba.

3Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.

Firman Allah s.w.t:

Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 278 & 279)

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

Zahir ayat ini juga membayangkan peperangan itu juga berlaku sejak di dunia lagi. Amat malanglah bagi seseorang dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal ini.

Ibnu Abbas r.a. diriwayatkan berkata :

Ertinya : “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat: Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah s.w.t.”.  (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366).

Berkatalah Abu Hanifah rahimallah pula: “Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan”. (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73).

Imam Malik Bin Anas rahimallah pula berkata:

Ertinya: “Telahku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi s.a.w dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari riba, kerana Allah s.w.t. di dalamnya mengistiharkan atau mengizinkan perang (kepada pemakan riba)”.

4. Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Allah s.w.t berfirman:

Ertinya: “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 276)

Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di akhirat:-

  • Di Dunia: Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang dan habisnya harta dari pemilik dalam bentuk yang tidak berfaedah, sehinggalah ia akan berasa miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), antaranya juga harta tadi akan menjadi sebab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan hina di sisi Allah s.w.t, hilangnya sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan dan tamak haloba. Ia juga bakal ditimpa ujian berat yang banyak, sepert dirompak, dicuri, dikhianati dan doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul (Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf  al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma’rifat, Beirut, 1982 , 1/224) . Sabda Nabi s.a.w dari Ibn  Mas’ud r.a :-

Ertinya: “Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa”. (Hadith riwayat Ahmad, no. 3754, 1/395; Al-Hakim mengatakannya sahih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan, Fath al-Bari, 4/399).

  • Di Akhirat: Ibn Abbas r.a berkata :

Ertinya : “Tidak diterima dari pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya”. (Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)

5. Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri

Nabi s.a.w bersabda :

Ertinya : “Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya”. (Hadith riwayat Ibnu Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sahih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

6. Lebih Berat dari 36 Kali Zina.

Nabi s.a.w bersabda :

Ertinya : “Satu dirham riba  yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali”. (Musnad Ahmad, 2/225; Ad-Dar Qutni, halaman 295; Albani mengatakannya sahih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, halaman 103)

7. Salah Satu Dari Tujuh Dosa Terbesar

Ia berdasarkan hadith Nabi s.a.w:

Ertinya: “Jauhilah tujuh dosa besar, syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil)”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

REDHA DALAM RIBA YANG MURAH BOLEH TAK?

“Mengapa redha dalam hal riba tidak terpakai?”, berkerut dahi pelajar saya ketika bertanya di luar kelas di sebuah IPTA.

Saya membalas :

“Kerana riba adalah satu bentuk dosa yang tergolong dalam HAK ALLAH semata-mata, justeru manusia wajib menurutinya tanpa boleh memindanya dengan redha dan rela hati mereka”.

“Sama seperti zina! Adakah zina menjadi halal apabila kedua-dua pasangan redha dan rela. Tidak sama sekali, demikian juga halnya membuka aurat, ia hak Allah dan ujian yang Allah berikan kepada manusia, bagi menilai siapa yang taat dan siapa yang derhaka”, jawab saya.

SEDARKAH?

Berhati-hatilah dan amat wajib bagi semua muslim yang meyakini ada maut untuk menjauhi riba. Kita amat bimbang, ketidakpedulian itu adalah merupakan satu keingkaran terhadap hukum haramnya. Seterusnya boleh mejatuhkan seseorang dalam kekafiran tanpa sedar hingga melayakkan seseorang itu kekal di neraka. Nabi juga tidak mempunyai peruntukan untuk memberi bantuan (syafaat) kepada golongan sebegitu. Moga kita semua dipelihara oleh Allah s.w.t.

Inilah yang diulas oleh Imam Fakhruddin Ar-Razi apabila beliau menghuraikan maksud, “Orang yang kembali” dalam ayat di atas sebagai :-

فالمعنى ومن عاد إلى استحلال الربا حتى يصير كافراً

Ertinya : Maksud ayat, “Barangsiapa yang kembali” di atas adalah bermakna mereka kembali menghalalkan riba sehingga mereka itu jadi kafir. ( Tafsir Al-Kabir, 7/82)

Akhirnya, alasan sibuk, malas, belum sampai seru, nanti, mahal sikit, leceh proses, belum ada masa dan pelbagai lagi alasan orang di zaman ini yang enggan berubah dari pinjaman rumah riba, kereta riba, kad kredit riba, akaun simpanan riba, insuran riba, skim riba, pelaburan riba, TIDAK WAJAR SAMA SEKALI wujud dalam hati individu yang bernama MUKMIN MUSLIM.

Sumber – http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/1042-dahsyatnya-dosa-riba.html

Bacaan Lanjut – https://darulkautsarpemurniansyariat.wordpress.com/2019/07/14/nota-ringkas-4-riba-umat-kita-sudah-terbius-kronik-2/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s