Kelima – Kesempurnaan Ilmu Allah S.W.T.

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 8m 25s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 5) Kesempurnaan Ilmu Allah s.w.t – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/KEzEvIEaBIk ]

KESEMPURNAAN ILMU ALLAH S.W.T.

Allah s.w.t. mengetahui benda yang tiada pada masa ketiadaannya itu sebagai tiada dan Dia mengetahui bagaimana keadaannya pada masa akan diadakannya.

Allah s.w.t. mengetahui benda yang wujud pada keadaan wujudnya dan Dia mengetahui keadaannya apabila ianya akan binasa.

Allah s.w.t. mengetahui orang yang berdiri pada keadaannya sebagai berdiri dan apabila ia duduk. Allah s.w.t. mengetahui ia duduk pada keadaan duduknya tanpa berlaku perubahan atau bertambah ilmu baru kepada-Nya. Tetapi perubahan dan perbezaan itu hanya terjadi pada makhluk.

Keenam – Fitrah Kejadian

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO –[Durasi 25m 50s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 6) Fitrah Kejadian – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/b-BwUFuXE0Q ]

FITRAH KEJADIAN

Allah s.w.t. menciptakan makhluk (manusia dan jin) dalam keadaan kosong dari kekufuran dan iman kemudian Dia menitahkan mereka dan memerintahkan mereka dan melarang mereka. Ada yang menjadi kufur dengan perbuatan, keingkaran dan penentangannya terhadap kebenaran dengan Allah membiarkannya. Ada yang beriman dengan perbuatan, pengakuan dan pembenarannya dengan taufiq [32] dan pertolongan Allah s.w.t.

Allah s.w.t. mengeluarkan zuriat Adam dari tulang sulbinya, dan menjadikan mereka orang yang berakal (memberikan kepada mereka akal). Kemudian Allah menitahkan kepada mereka dan menyuruh mereka beriman dan menegah mereka dari kufur.

Mereka mengakui ketuhanan Allah s.w.t. Maka itu bererti mereka beriman [33]. Mereka dilahirkan dengan fitrah itu [34].

Sesiapa yang kufur selepas itu bererti dia telah menukar dan mengubah (fitrahnya). Sebaliknya sesiapa yang beriman dan membenarkan bererti dia tetap dan teguh di atasnya.

NOTA KAKI

[32] Taufiq ialah keselarasan antara kehendak hamba dengan qada’ dan qadar Allah s.w.t. Ia merangkumi kebaikan dan kejahatan yang merupakan Sa’adah (kebahagiaan) dan Shaqawah (kecelakaan/kesengsaraan). Tetapi umumnya, taufiq dimaksudkan dengan apa yang selaras dengan Qada’ dan Qadar yang membawa kepada Sa’adah. Sebagaimana Ilhad, ungkapan tentang condong dan senget, dikhususkan pemakaiannya kepada condong kepada kebatilan. (al-Maghnisawi, Sharh al-Fiqh al-Akbar, hal 16)

[33] Firman Allah s.w.t., mafhumnya : “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?”. Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. (Surah al-A’raf, Ayat 172)

[34] Manusia diciptakan dengan fitrah iman yakni kecenderungan beriman dan tunduk beribadat kepada Allah s.w.t. “Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (Surah al-Rum, Ayat 30)

Ketujuh – Perbuatan Manusia Adalah Dengan Ikhtiarnya

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 12m 43s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 7) Perbuatan Manusia Adalah Dengan Ikhtiarnya – Us Muhd Hanief

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/aVuLjcCHKzw ]

PERBUATAN MANUSIA ADALAH DENGAN IKHTIARNYA

Allah s.w.t. tidak memaksa kekufuran ke atas sesiapapun dari kalangan makhluknya dan tidak menciptakan mereka dalam keadaan beriman dan kufur [35]. Tetapi Allah menciptakan mereka dalam keadaan kosong. Iman dan kufur itu perbuatan hamba [36].

Allah s.w.t mengetahui orang yang kufur dalam keadaan kufurnya sebagai kafir dan apabila dia beriman selepas itu. Allah mengetahui dia sebagai beriman dalam keadaan imannya dan Dia mengasihinya tanpa berubah ilmu dan sifat-Nya.

NOTA KAKI

[35] Allah s.w.t. tidak menciptakan ketaatan dan kemaksiatan dalam hati manusia dengan cara pemaksaan tetapi kedua-duanya itu diciptakan dalam hati seiring dengan ikhtiar dan usahanya.

[36] Dalil tentang manusia diberikan pilihan ialah: 

(a) mensabitkan adanya kehendak pada manusia, “Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang melingkari mereka laksana tembok”. (Surah al-Kahf, Ayat  29)

(b) Allah menitahkan kepada manusia perintah dan larangan. Sekiranya manusia tidak mempunyai pilihan dan kemampuan tentu itu ia dikira sabagai taklif di luar keupayaaan.

(c) Setiap yang melakukan kebaikan akan dipuji dan begitulah sebaliknya.

(d) Setiap orang merasai sendiri perbuatan yang dilakukannya itu mana dengan pilihan dan mana dengan paksaan. Dan syara’ membezakan hukum orang yang dipaksa dengan hukum orang yang ada pilihan. (lihat Shaykh Muhammad bin Salih, ‘Aqidah Ahl al-Sunnah, hal. 39-41)

Kelapan – Perbuatan Manusia Adalah Makhluk

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 8m 29s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 8) Perbuatan Manusia Ialah Makhluk – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/1sKtafN9m48 ]

PERBUATAN MANUSIA ADALAH MAKHLUK

Semua perbuatan hamba, sama ada pergerakan atau diam adalah usaha [37] mereka secara hakikat dan Allah s.w.t. yang menciptakannya [38].

Kesemua ketaatan adalah wajib dengan perintah Allah, dengan Kasih-Nya, keredhaan-Nya, Ilmu-Nya, Kehendak-Nya, Qada’ dan Qadar-Nya, Kesemua maksiat dengan Ilmu, Qada, Qadar-Nya dan Kehendak-Nya tetapi bukan dengan Kasih, Redha dan Perintah-Nya [39].

NOTA KAKI

[37] “Kasb” atau usaha merupakan gerakan dari dalaman atau jiwa manusia untuk melakukan sesuatu perkara. Terjadinya kufur itu kerana kecenderungan manusia untuk tunduk kepada hawa nafsunya.

Firman Allah s.w.t. mafhumnya: “Dia memperolehi apa yang dikerjakan dan menanggung apa yang diusahakannya”. (Surah al-Baqarah, Ayat 286)

[38] Dan Allah berfirman, mafhumnya: “Allah mencipta kamu dan apa yang kamu perbuatkan”. (Surah al-Saffat, Ayat 96)

“Maka apakah (Allah) yang menciptakan sama dengan yang tidak dapat menciptakan (sesuatu)? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”. (Surah al-Nahl, Ayat 17)

[39] Ini menunjukkan adanya perbezaan antara iradah, ilmu, redha dan amar. Firman Allah s.w.t: “Kalaulah kamu kufur ingkar akan nikmat-nikmat-Nya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu dan ia tidak redhakan hamba-hamba-Nya berkeadaan kufur; dan jika kamu bersyukur, Dia meredhainya untuk kamu”. (Surah al-Zumar, Ayat 7)

Kesembilan – Sifat Para Nabi

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 10m 32s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 9) Sifat Para Nabi – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/QzgB6ggBLoc ]

SIFAT PARA NABI

Kesemua para nabi suci dari dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar, kekufuran dan kekejian. Bagaimanapun, berlaku juga kepada mereka kegelinciran dan kesalahan [40].

 –

NOTA KAKI

[40] Yakni sesuatu yang tidak disengajakan berlaku kepada mereka seperti Nabi Adam memakan buah pohon larangan dan peristiwa Nabi Musa memukul orang qibti tiba-tiba ia meninggal dunia. Namun semuanya itu ada hikmah di sebaliknya.

Kesepuluh – Kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W.

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 3m 37s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 10) Kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/yY4E-b-v-tw ]

KEMULIAAN NABI MUHAMMAD S.A.W.

Nabi Muhammad s.a.w adalah kekasih, hamba, rasul, nabi dan pilihan Allah. Baginda tidak pernah menyembah berhala, dan tidak pernah syirik walaupun sekelip mata dan tidak sesekali melakukan dosa besar mahupun dosa kecil [41].

NOTA KAKI

[41] Menurut Syah Waliyullah, ‘Ismah atau kemaksuman atau terpelihara Rasul berlaku dengan tiga sudut. Pertama, Allah mencipta mereka dengan fitrah yang sejahtera, kesempurnaan akhlak dan suci dari kekotoran nafsu maka dengan itu tidak timbul keinginan melakukan maksiat dalam diri mereka, kedua, diwahyukan kepada mereka bahawa maksiat menyebabkan kepada keseksaan dan ketaatan itu akan diberikan pahala. Ketiga, Allah menghalang mereka dari melakukan maksiat dengan diciptakan unsur halus yang ghaib. (lihat Hujjatullah al-Balighah, jil. 1, hal. 164, Uwais al-Nadwi, al-‘Aqidah al-Sunniyyah, 71-72)

Kesebelas – Keutamaan Para Sahabat

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 8m 37s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 11) Keutamaan Para Sahabat r.hum. – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/3CdgZLKsV9M ]

KEUTAMAAN PARA SAHABAT

Manusia yang paling utama selepas para Nabi s.a.w ialah Abu Bakar, `Umar, Uthman dan kemudian `Ali al-Murtada r.a.

Mereka merupakan ahli ibadat dan teguh di atas kebenaran dan dengan kebenaran kita kasih kepada mereka semua. Kita tidak menyebut seorang pun Sahabat Rasulullah s.a.w. melainkan dengan kebaikan sahaja.

Kedua Belas – Tidak Boleh Mengkafirkan Orang Beriman

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 19m 5s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 12) Tidak Boleh Mengkafirkan Orang Beriman – Us Muhd Hanief

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/5a6jSx0qVLg ]

TIDAK BOLEH MENGKAFIRKAN ORANG BERIMAN

Kita tidak mengkafirkan seorang muslim dengan sebab mana-mana dosa yang dilakukannya walaupun ianya dosa besar [42] selama mana dia tidak menganggap ianya halal [43]. Dan kita tidak menghilangkan (membatalkan) daripadanya nama iman dan kita menamakannya sebagai mu’min pada hakikatnya. Harus, boleh jadi dia seorang mu’min yang fasiq tetapi tidak kafir.

NOTA KAKI

[42] Sesiapa yang masuk dalam Islam dan Iman dalam keadaan yakin dan Tasdiq maka dia tidak terkeluar darinya dengan semata-mata melakukan dosa. Tidak boleh dihukumkan kafir kecuali apabila ada sesuatu yang menyakinkan yang terbit daripadanya, iaitu apabila dia menolak Islam atau mengingkari sebahagian dari Islam. Bagaimanapun, orang beriman yang melakukan dosa tetap bersalah dan dikira fasiq dengan sebab mengerjakan dosa-dosa besar. Inilah pegangan Ahli Sunnah. Berbeza dengan Khawarij, mereka mengatakan orang yang melakukan dosa besar akan kekal dalam neraka kerana telah jatuh kafir. Mu’tazilah pula mengatakan dia dinafikan nama Iman darinya dan juga bukan kafir tetapi berada di antara dua kedudukan.

[43] Orang yang menghalalkan maksiat dihukum kafir meskipun dia tidak melakukannya kerana mengingkari perkara yang sabit dalam al-Qur’an dan Sunnah. Dia, sama ada tidak beriktiqad bahawa Allah mengharamkannya atau dia beriktiqad bahawa Allah mengharamkanya. (Ibn Taimiyyah, al-Sarim al-Maslul, hal. 372)

Ketiga Belas – Ciri-Ciri Ahli Sunnah

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 23m 40s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 13) Ciri-ciri Ahli Sunnah – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/5a6jSx0qVLg ]

CIRI-CIRI AHLI SUNNAH

Menyapu khuf adalah sunnah [44]. Sembahyang tarawih pada malam-malam Ramadhan adalah sunnah [45]. Harus sembahyang di belakang setiap (imam) mu’min yang baik dan fasiq [46].

Kita tidak mengatakan orang mukmin itu tidak terjejas dengan sebab dosa-dosanya [47] dan kita juga tidak mengatakan dia tidak akan masuk ke dalam neraka, dan kita juga tidak mengatakan dia akan kekal di dalamnya. Walaupun dia seorang yang fasiq tetapi dia masih beriman semasa meninggal dunia [48].

Kita tidak mengatakan bahawa amalan kebaikan kita (pasti) diterima dan kesalahan kita diampunkan seperti yang didakwa oleh Murji’ah. Tetapi kita mengatakan, sesiapa yang melakukan kebaikan dengan (cukup) semua syaratnya, kosong daripada ke’aiban yang merosakkan, dan perkara yang membatalkannya dan dia tidak menghapuskannya/membatalkkannya dengan kufur dan murtad sehingga dia meninggal dunia dalam keadaan beriman maka sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan mensia-siakan amalannya, bahkan diterimanya dan diberikan balasan [49].

Apa-apa kejahatan kecuali syirik [50] dan kufur [51] pelakunya itu tidak bertaubat sehingga meninggal dunia tetapi tetap dalam keadaan beriman,  maka sesungguhnya, dia berada dalam Kehendak Allah. Jika Allah kehendaki diazab-Nya dalam neraka dan jika Dia kehendaki diampunkan-Nya dan tidak diazab sama sekali.

NOTA KAKI

[44] Mulla ‘Ali al-Qari berkata: menyapukan khuf itu yakni sehari semalam untuk orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam untuk orang musafir adalah Sunnah yakni sabit berdasarkan al-Sunnah yang hampir mutawatir boleh dikatakan hukum ini diambil dari ayat al-Qur’an juga kerana firman Allah s.w.t. … dibacakan dengan me”nasab”kan (baris atas pada huruf lam) mengikut qiraat tujuh yang lebih zahir menunjukkan membasuh kaki. Manakala dibaca dengan men”jarr”kan (baris bawah pada huruf lam) lebih zahir menunjukkan menyapu kaki dan kedua-dua ini saling bercanggah dan mengikut hukumnya ia adalah mubham, tidak jelas. Lalu ia diterangkan oleh perlakuan Rasulullah s.a.w sendiri di mana Baginda menyapu kaki ketika memakai khuf dan membasuhnya ketika tidak memakai khuf. (Sharh al-Fiqh al-Akbar, hal. 75)

[45] Perkara ini dibahaskan dalam bab aqidah untuk membantah golongan Syiah yang mendakwa sembahyang tarawih itu bukan sunnah tetapi rekaan Sayyidina Umar. Sedangkan pada hakikatnya, beliau menghidupkan kembali sunnah kerana Rasulullah s.a.w pernah sembahyang selama tiga malam Ramadhan di masjid bersama Sahabat-sahabat. Kemudian Baginda meninggalkannya kerana bimbang difardhukan ke atas umatnya.

[46] Perkara ini diambil kira kerana untuk menjaga perpaduan umat Islam dan mengelak dari berlaku perbalahan sesama sendiri demi menjaga kemaslahatan yang lebih umum dan mengelak daripada kerosakan yang lebih besar.

[47] Murji’ah mengatakan iman tidak terjejas dengan sebab maksiat. Mereka berpegang dengan zahir hadith atau sebahagian hadith tentang kelebihan orang yang mengucapkan “La Ila HaiIlla Allah” akan masuk syurga. Ahli Sunnah mengatakan dosa dan maksiat yang dilakukan memberi kesan kepada iman dan di akhirat perlu dibersihkan terlebih dahulu di dalam api neraka. Ibn ‘Ubayd al-Qasim bin Sallam menulis kitab Al-Iman, khusus untuk menolak tafsiran Murji’ah yang menyeleweng.

[48] Berbeza dengan Mu’tazilah, kerana mereka secara putus mengatakan kekalnya orang fasiq dalam azab jahannam seperti orang kafir. (al-Maghnisawi, hal. 26)

[49] Seseorang itu hendaklah sentiasa berharap dan berdoa agar amalannya diterima oleh Allah s.w.t.

Firman-Nya, mafhumnya: “Wahai tuhan kami, terimalah dari kami. Sesungguhnya Engkau maha mendengar lagi maha mengetahui”. (Surah al-Baqarah, Ayat 127)

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam keadaan penuh kerendahan memohon dari Allah supaya amalan mereka diterima. Tidak ada pada mereka kemegahan dan kepastian bahawa Allah pasti menerimanya. Dalam pada itu, mereka tidak lupa untuk berdoa meminta keampunan. (lihat Surah al-Baqarah, Ayat 128)

[50] Syirik ialah menyamakan Allah s.w.t. dengan mana-mana makhluk-Nya. Ia juga bermaksud memberikan mana-mana sifat Allah yang khusus kepada benda-benda lain sama ada malaikat, jin, manusia dan sebagainya, seperti kuasa mentadbir alam dengan kehendaknya, memberikan sifat ilmu zati (ilmu tanpa usaha) kepada makhluk lain, meyakini kuasa lain yang dapat menyembuhkan penyakit, boleh melaknat, murka dan memberi rahmat.

Akibat buruk syirik antaranya ialah tidat mendapat doa keampunan nabi dan orang-orang mu’min (al-Taubah: 113), tidak diampunkan (al-Nisa: 48), diharamkan dari memasuki syurga (Surah al-Ma’idah, Ayat 72).

[51] Kufur ialah mengingkari perkara yang daruri yang sabit dalam agama yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. Ia terbahagi kepada Kufr Takzib dan Istihlal (mendustakan dan menghalalkan yang haram), Kufr Dalal Wa Ghayy (kufur kesesatan) Dan Kufr I’rad Wa Tawalli (kufur berpaling dan tidak mengendahkan).

Keempat Belas – Perkara Yang Merosakkan Amalan

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 3m 1s] – FIQH AKBAR [IMAM ABU HANIFAH] – 14) Perkara Yang Merosakkan Amalan – Us Muhd Hanief Awang Yahaya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/hefZfofuW0g ]

PERKARA YANG MEROSAKKAN AMALAN

Jika berlaku riya’ dalam mana-mana amalan maka ia akan membatalkan pahala [52]. Demikian juga apabila berlaku `ujub.

____________________________________________________

NOTA KAKI

[52] Riya’ adalah ibadat yang dilakukan kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan termasuk dalam bab ini juga supaya didengari oleh orang lain. Ibadat yang bercampur dengan riya’ ada tiga bentuk:

(a) Dari awal lagi tujuan beribadat kerana mahu memperlihatkan kepada manusia. Ini adalah syirik dan amalannya batil.

(b) Berlaku niat kerana orang lain di tengah-tengah ibadat. Jika amalan itu mempunyai kaitan dari awal hingga akhir seperti sembahyang, maka hendaklah dia menepis niat tersebut dan meneruskan sembahyang. Gangguan niat seperti ini tidak menyebabkan dia riya’. Sebaliknya, jika dia menuruti dan melayani niat tersebut maka rosaklah amalannya itu. Jika amalan itu tidak mempunyai kaitan awal dan akhir seperti seseorang yang berniat untuk bersedekah dengan RM100 kemudian dia bersedekah dengan ikhlas sebanyak RM50 tetapi setelah itu dia bersedekah dengan riya’ maka sedekah yang baki itu menjadi rosak.

(c) Niat kerana orang lain timbul setelah selesai ibadat, maka ia tidak memberi kesan. Namun jika dia mengungkit-ngungkit sedekahnya maka rosak juga amalannya itu.