Ikhlas

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Ikhlas dan benar ialah mukmin yang sentiasa membersihkan amalannya. Setiap amalan ibadah atau pekerjaan agama hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas hati, ihsan kepada Allah dengan sebenar-benar ibadah seolah-olah Allah berada di hadapan kita.

LAPAN TANDA-TANDA ORANG YANG IKHLAS

Oleh Mochamad Bugi

Amalan yang kita lakukan akan diterima Allah jika memenuhi dua syarat. Pertama, amalan itu hendaklah ikhlas dan disertai dengan niat yang murni, iaitu hanya mengharap keredhaan Allah s.w.t. Kedua, amalan yang kita lakukan itu hendaklah sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w.

Syarat pertama adalah berkaitan masalah hati. Niat ikhlas bermaksud ketika melakukan sesuatu amalan, hati kita hendaklah benar-benar bersih. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya amal perbuatan itu tergantung pada niat”. (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim). Berdasarkan hadith ini, diterima atau tidaknya suatu amalan oleh Allah s.w.t.  adalah bergantung kepada niat kita.

Syarat  kedua pula, hendaklah sesuai dengan syariat Islam. Syarat ini adalah di segi luaran (lahiriah). Nabi s.a.w. berkata, “Man ‘amala ‘amalan laisa ‘alaihi amrunaa fahuwa raddun, [Barangsiapa yang mengerjakan suatu perbuatan yang tidak pernah kami diperintahkan, maka perbuatan itu ditolak]”. (Hadith riwayat Muslim).

Tentang dua syarat tersebut, Allah s.w.t. menerangkannya di dalam beberapa ayat dalam Al-Quran. Di antaranya dua ayat ini: “Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh..” (Surah Luqman, Ayat 22), dan, “Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan…”. (Surah An-Nisa, Ayat  125).

Yang dimaksudkan dengan “menyerahkan diri kepada Allah” di dalam dua ayat di atas adalah mengikhlaskan niat dan amal perbuatan hanya kerana Allah semata-mata. Sedangkan yang yang dimaksud dengan “mengerjakan kebaikan” di dalam ayat itu ialah mengerjakan kebaikan dengan bersungguh-sungguh dan sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w.

Fudhail bin Iyadh memberi ulasan tentang ayat 2 surat Al-Mulk, “Supaya Allah menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya”, sebagaimana berikut: Maksud “Yang lebih baik amalnya” adalah amalan yang  ikhlas dan sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w”

Seseorang bertanya kepadanya, “Apa yang dimaksudkan dengan amal yang ikhlas dan benar itu?”. Fudhail menjawab, “Sesungguhnya amalan yang ikhlas tetapi tidak benar, tidak diterima oleh Allah s.w.t. Sebaliknya, amalan yang benar tetapi tidak ikhlas juga tidak diterima oleh Allah s.w.t. Amalan perbuatan itu hanya diterima oleh Allah  jika dilakukan dengan ikhlas dan dilaksanakan dengan benar. Yang dimaksudkan “ikhlas” adalah amal perbuatan yang dikerjakan semata-mata kerana Allah, dan yang dimaksudkan dengan “benar” adalah amal perbuatan itu sesuai dengan tuntunan Rasulullah s.a.w.”

Kemudian Fudhail bin Iyadh membaca surat Al-Kahfi ayat 110, “Sesiapa yang…berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.

Jadi, niat yang ikhlas sahaja belum menjamin amalan kita diterima oleh Allah s.w.t., jika ianya dilakukan tidak sesuai dengan apa yang digariskan syariat. Begitu juga dengan perbuatan mulia, tidak diterima jika dilakukan dengan tujuan tidak kerana mencari keredhaan Allah s.w.t.

Lapan Tanda-tanda Keikhlasan

Ada lapan tanda-tanda keikhlasan untuk menilai apakah rasa ikhlas telah mengisi ruang hati kita. Lapan tanda itu adalah:

1. Keikhlasan hadir bila anda takut akan kemasyhuran

Imam Ibnu Syihab Az-Zuhri berkata, “Sedikit sekali kita melihat orang yang tidak menyukai kedudukan dan jawatan. Seseorang mampu menahan diri dari makanan, minuman dan harta, namun dia tidak sanggup menahan diri dari pengaruh kedudukan. Bahkan, ia tidak segan-segan merebutnya meskipun perlu berlawan dengan kawan atau lawan”. Oleh  itu tidak hairan jika para ulama’ salaf banyak menulis buku tentang larangan mencintai kemasyhuran, kedudukan dan riya’.

Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika anda mampu untuk tidak dikenal oleh orang lain, maka lakukanlah. Anda tidak rugi sekiranya anda tidak terkenal. Anda juga tidak rugi sekiranya anda tidak disanjung orang lain. Demikian juga, janganlah sedih jika anda menjadi orang yang tercela di mata manusia, tetapi menjadi manusia terpuji dan terhormat di sisi Allah”.

Meskipun demikian, kata-kata para ulama’ tersebut bukan bermaksud menyeru agar kita mengasingkan diri dari khalayak ramai (uzlah). Ucapan itu adalah peringatan agar dalam mengharungi kehidupan ini kita tidak terjebak dengan jerat hawa nafsu ingin mendapat pujian manusia. Apatah lagi, para nabi dan orang-orang soleh adalah orang-orang yang terkenal. Yang dilarang adalah menagih supaya nama kita terkenal, meminta kedudukan dan jawatan, dan bersikap rakus pada kedudukan. Jika tanpa keinginan dan tanpa meminta kita dikenal orang, itu tidak mengapa. Meskipun begitu, ianya boleh menjadi malapetaka bagi orang yang lemah dan tidak bersedia menghadapinya.

2. Ikhlas wujud ketika anda mengakui bahawa diri anda mempunyai banyak kekurangan

Orang yang ikhlas selalu merasa dirinya memiliki banyak kekurangan. Dia merasa belum melakukan yang terbaik dalam menunaikan segala kewajiban yang dibebankan Allah s.w.t. Oleh itu dia tidak merasa ujub dengan setiap kebaikan yang dikerjakannya. Sebaliknya, dia berasa cemas, takut apa-apa yang dilakukannya tidak diterima Allah s.w.t., oleh kerana  itu dia kerap menangis.

Aisyah r.ha. pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang maksud firman Allah: “Dan orang-orang yang mengeluarkan rezeki yang dikurniakan kepada mereka, sedang hati mereka takut bahawa mereka akan kembali kepada Tuhan mereka”, apakah mereka itu orang-orang yang mencuri, orang-orang yang berzina dan para peminum minuman keras, sedang mereka takut akan seksa dan murka Allah ‘Azza wa jalla?”. Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bukan, wahai Puteri Abu Bakar. Mereka itu adalah orang-orang yang rajin sembahyang, berpuasa dan sering bersedekah, tetapi mereka khuatir amalan mereka tidak diterima. Mereka bersegera dalam menjalankan kebaikan dan mereka orang-orang yang berlumba-lumba (dalam mengerjakan kebaikan)”. (Hadith riwayat Ahmad).

3. Keikhlasan hadir ketika anda lebih suka untuk menyembunyikan amal kebajikan yang anda lakukan

Orang yang tulus adalah orang yang tidak ingin amal perbuatannya diketahui orang lain. Ibarat sebatang pokok, mereka lebih senang menjadi akar yang ditutup tanah tetapi menghidupkan keseluruhan pokok. Ibarat rumah, mereka adalah asas yang ditutupi tanah namun menanggung beban  keseluruhan bangunan.

Suatu hari Umar bin al-Khattab pergi ke Masjid Nabawi. Ia mendapati Mu’adz sedang menangis berhampiran makam Rasulullah s.a.w. Umar menegurnya, “Mengapa engkau menangis?”. Mu’adz menjawab, “Aku telah mendengar hadith dari Rasulullah s.a.w. bahawa Bagida bersabda, “Riya’ walaupun hanya sedikit, ianya masih termasuk syirik. Dan barang siapa memusuhi kekasih-kekasih Allah maka dia telah mengisytiharkan perang terhadap Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang baik, taqwa, serta tidak dikenal. Sekalipun mereka tidak ada, mereka tidak hilang dan sekalipun mereka ada, mereka tidak dikenal. Hati mereka bagaikan pelita yang menerangi petunjuk. Mereka keluar dari segala tempat yang gelap gelita”. (Hadith riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi)

4. Ikhlas wujud ketika  anda tidak peduli jika anda dilantik sebagai pemimpin atau hanya sebagai seorang perajurit biasa

Rasulullah s.a.w. menggambarkan orang seperti ini dalam sabdanya, “Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kendali kudanya di jalan Allah sementara kepala dan tumitnya berdebu. Apabila ia bertugas menjaga benteng pertahanan, ia benar-benar menjaganya. Dan jika ia bertugas sebagai pemberi minuman, ia benar-benar melaksanakannya”.

Itulah yang terjadi pada  Khalid bin al-Walid ketika Khalifah Umar bin al-Khattab melucutkannya dari jawatan panglima perang. Khalid tidak kecewa apatah lagi sakit hati. Ini adalah kerana dia berjuang bukan untuk Umar, bukan juga untuk komandan barunya Abu Ubaidah. Khalid berjuang untuk mendapat redha Allah s.w.t.

5. Keikhlasan ada ketika anda mengutamakan keredhaan Allah daripada keredhaan manusia

Tidak sedikit manusia hidup di bawah bayang-bayang orang lain. Bila orang itu membawa kita pada keredhaan Allah, sesungguhnya kita sangat beruntung. Tapi selalu juga ada orang menggunakan kekuasaannya untuk memaksa kita  melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. Di sinilah keikhlasan kita teruji. Memilih di antara keredhaan Allah s.w.t. atau keredhaan manusia. Pilihan kita sepatutnya seperti pilihan Masyithah, tukang sikat anak Fir’aun. Dia  memilih keredhaan Allah daripada menyembah dan mentaati Fir’aun.

6. Ikhlas ada bila anda cinta dan marah kerana Allah

Antara tanda  ikhlas ialah  anda menyatakan cinta dan benci, memberi atau menolak, redha dan marah kepada seseorang atau sesuatu kerana kecintaan anda kepada Allah dan keinginan membela agama-Nya, bukan untuk kepentingan peribadi anda. Allah s.w.t. mencela orang yang berbuat sebaliknya. “Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah..”. (Surah At-Taubah, Ayat 58).

7. Keikhlasan hadir ketika  anda sabar terhadap panjangnya jalan dalam perjuangan

Keikhlasan anda akan diuji oleh waktu. Sepanjang hidup anda adalah ujian. Kesungguhan dan “kedegilan” anda untuk menegakkan kalimat-Nya di muka bumi meskipun anda  tahu jalannya sangat jauh, sementara hasilnya belum pasti dan kesulitan jelas di depan mata. Hanya orang-orang yang mengharap keredhaan Allah yang bisa teguh menempuh jalan yang panjang itu. Seperti Nabi Nuh a.s. yang berusaha tanpa penat selama 950 tahun berdakwah. Seperti Umar bin al-Khattab yang berkata, “Jika ada seribu mujahid berjuang, aku  adalah salah seorang  darinya. Jika ada seratus mujahid berjuang, aku adalah salah seorang darinya. Jika ada sepuluh orang mujahid berjuang, aku adalah salah seorang darinya. Jika ada hanya seorang mujahid yang berjuang, itulah aku!”.

8. Sifat ikhlas ada pada anda  jika  anda merasa gembira bila sahabat anda lebih dari anda

Yang paling sukar adalah menerima kenyataan bahawa orang lain memiliki keutamaan lebih dari kita. Apatah lagi jika orang itu lebih muda dari kita. Hasad. Itulah sifat yang menutup keikhlasan dalam hati kita. Hanya orang yang ada sifat ikhlas dalam dirinya yang suka berkongsi tanggungjawab yang dipikulnya dengan orang yang difikirnya layak. Tanpa rasa berat hati, ia mengalu-alukan orang yang lebih baik dari dirinya untuk menggantikan dirinya. Tidak ada rasa iri hati. Tidak ada rasa dendam. Jika dia seorang pemimpin, orang seperti ini dengan senang hati menyerahkan tugas kepada orang  yang dianggap mempunyai kemampuan dan layak.

Disaring dari artikel asal – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/133722-delapan-tanda-orang-ikhlas

IMAM AL-GHAZALI: PENGERTIAN, BATASAN DAN CARA IKHLAS BERAMAL

Ketika menyampaikan ceramah, para pendakwah dan ulama’ sering mengingatkan agar kita selalu ikhlas dalam melakukan sesuatu. Namun, ikhlas bukanlah perkara mudah untuk dicapai. Bagaimana agar kita dapat  ikhlas dalam beramal?

Dalam kitabnya yang berjudul “Minhaj al-Abidin”, Imam Al-Ghazali, telah menjelaskan tentang ikhlas dalam beramal. Dia berkata:

فأما اخلاص العمل فهو التقرب ال الله عز وجل و تعظيم امره و اجابة دعوته

“Ikhlas dalam beramal adalah dengan niat taqarrub kepada Allah s.w.t., dan niat mengagungkan perintah-perintah-Nya. Serta dengan niat melaksanakan seruan-Nya”.

Dalam memupuk niat tersebut, seseorang perlu ijtihad dan memiliki semangat dan keinginan yang tinggi. Imam Al Ghazali menjelaskan:

و الباعث عليه اعتقاد الصحيح

“Yang mendorong itu semua adalah ijtihad dan sungguh-sungguh”.

Ikhlas dalam beramal hendaklah dilakukan dengan sungguh-sungguh dan berusaha sepenuhnya sebagai ibadat. Maka dari itu, terlebih dahulu seseorang perlu mengatur niat, niat yang lurus dan kuat.

Seseorang hendaklah terus mengerjakan  sesuatu pekerjaan atau ibadat dengan ikhlas dari awal hingga akhir.

Selain menjelaskan tentang ikhlas dalam beribadah, Imam al-Ghazali juga menjelaskan tentang ikhlas dalam memohon pahala kepada Allah s.w.t.

Menurut Al-Ghazali, yang dimaksudkan ikhlas dalam memohon pahala adalah mencari kemanfaatan akhirat dengan amal baik. Ini adalah kerana, pahala sebenarnya diperolehi dengan amal baik yang disertai dengan niat baik serta keikhlasan.

Oleh itu, di dalam hati tidak boleh terdapat sifat riya’. Jika ada, maka amalannya akan gugur dan tidak mendapat pahala atau manfaat di sisi-Nya.

و أما الإخلاص في طلب الأجر فهو ارادة نفع الأخرة بعمل الخير

“Yang dimaksud ikhlas dalam memohon pahala adalah bermaksud mencari manfaat akhirat dengan amal baik.”

انه ارادة نفع الاخرة بخير لم يرد ردا يتعذر بحيث ترجى به تلك المنفعة

”Ikhlas mencari pahala iaitu mengharapkan manfaat akhirat dengan amal yang baik, yang tidak ditolak dengan penolakan yang benar-benar meragukan, orang ikhlas yang bagus amalnya berharap manfaat dari amal tersebut”.

Disaring dari artikel asal – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/133594-imam-ghazali-pengertian-batasan-dan-cara-ikhlas-beramal

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s