[Muat Turun Artikel – Format PDF]
Tawakal ialah meletakkan pergantungan hanya pada Allah setelah berazam dan diikuti dengan usaha.
TAWAKKAL DAN MERAIH JANJI ALLAH
“Esok hendak makan apa?”, “Hendak kahwin, kat mana nak cari duit?”, “Nak makan apa, kalau ada anak nanti?”, “Kalau anak ramai, kena beli rumah, kena beli kereta, kat mana nak cari duit?”. ” Apa akan jadi dengan pengajian mereka bila dewasa nanti?”.
Memikirkan berbagai perkara yang belum terjadi seperti di atas akan menimbulkan keresahan dalam fikiran dan jiwa manusia. Jika terus dibiarkan, hal ini akan membuka peluang bagi iblis untuk mengikis dan melemahkan iman.
Ketahuilah bahawa semua keperluan itu adalah urusan Allah. Dia yang telah menciptakan semua makhluk, Dia pula yang akan menyediakan bagi semua makhluk itu rezeki-Nya.
وَمَا مِنْ دَاۤبَّةٍ فِى الْاَرْضِ اِلَّا عَلَى اللّٰهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۗ كُلٌّ فِيْ كِتٰبٍ مُّبِيْنٍ
“Dan tidak satupun makhluk bergerak (bernyawa) di bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua (tertulis) dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).” (Surah Hud, Ayat 6)
Jadi jangan bimbang, yang perlu adalah kembali kepada Allah, percaya kepada-Nya dengan amanah yang benar, pasti Dia akan menyelesaikan apa jua urusan kita.
Dari Umar bin Al Khattab r.a. , Nabi s.a.w bersabda,
لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
”Seandainya kamu betul-betul bertawakkal pada Allah, Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapat rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” (Hadith riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi)
وَّيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُ ؕ وَمَنۡ يَّتَوَكَّلۡ عَلَى اللّٰهِ فَهُوَ حَسۡبُهٗ ؕ اِنَّ اللّٰهَ بَالِغُ اَمۡرِهٖ ؕ قَدۡ جَعَلَ اللّٰهُ لِكُلِّ شَىۡءٍ قَدۡرًا
“.. dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu”. (Surah Ath-Thalaq, Ayat 3).
Itulah keyakinan, asas yang kukuh, untuk menjadi prinsip hidup, yang dengannya kedamaian akan diperolehi. Dengan ketenangan fikiran, kehidupan berjalan berdasarkan ajaran Allah dan teladan Rasul-Nya, hingga garis penamat! Sehingga hari pertemuan kembali dengan Allah s.w.t.
Itulah sebenarnya erti kebahagiaan, tidak hanya di dunia ini, tetapi juga di akhirat yang merupakan cita-cita setiap manusia.
يَٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ
ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
فَٱدْخُلِى فِى عِبَٰدِى
وَٱدْخُلِى جَنَّتِى
“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku!”. (Surah al-Fajr, Ayat 27 hingga 30).
وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – : أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – ، قَالَ : (( يَقُوْلُ اللهُ تَعَالَى : أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي ، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي ، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ، ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي ، وَإِنْ ذَكَرنِي فِي مَلَأٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ )) مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Allah Ta’ala berfirman: Aku adalah sebagaimana sangkaan hamba-Ku. Aku bersamanya ketika ia mengingati-Ku. Jika ia mengingati-Ku ketika bersendirian, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Jika ia mengingati-Ku di suatu kumpulan, Aku akan mengingatinya di kumpulan yang lebih baik daripada pada itu (kumpulan malaikat)”. (Hadith riwayat al- Bukhari, no. 6970 dan Muslim, no. 2675)
Bimbang dan Cemas
Di antara serangan iblis terhadap manusia adalah dengan menanamkan rasa takut dan kebimbangan yang keterlaluan. Hal ini menyebabkan manusia terkena penyakit “wahn” iaitu cinta dunia dan takut mati.
Iblis akan menanamkan rasa cinta kepada dunia, memberikan lebih banyak waktu untuk dunia, untuk mencintai harta benda secara berlebihan dan mengejarnya sehingga melupakan Allah. Setelah itu manusia meninggalkan tugas dan lari dari tanggungjawabnya.
Rasulullah s.a.w bersabda:
عَنْ سَبْرَةَ بْنِ أَبِى فَاكِهٍ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ: إِنَّ الشَّيْطَانَ قَعَدَ لاِبْنِ آدَمَ بِأَطْرُقِهِ, فَقَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الإِسْلاَمِ, فَقَالَ: “تُسْلِمُ وَتَذَرُ دِينَكَ وَدِينَ آبَائِكَ وَآبَاءِ أَبِيكَ؟” فَعَصَاهُ فَأَسْلَمَ. ثُمَّ قَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الْهِجْرَةِ, فَقَالَ: “تُهَاجِرُ وَتَدَعُ أَرْضَكَ وَسَمَاءَكَ؟ وَإِنَّمَا مَثَلُ الْمُهَاجِرِ كَمَثَلِ الْفَرَسِ فِى الطِّوَلِ.” فَعَصَاهُ فَهَاجَرَ ثُمَّ قَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الْجِهَادِ, فَقَالَ: “تُجَاهِدُ فَهُوَ جَهْدُ النَّفْسِ وَالْمَالِ فَتُقَاتِلُ فَتُقْتَلُ فَتُنْكَحُ الْمَرْأَةُ وَيُقْسَمُ الْمَالُ.” فَعَصَاهُ فَجَاهَدَ.. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-: فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ -عَزَّ وَجَلَّ- أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ …
Diriwayatkan dari Sabrah bin Abi Fâkih berkata, Rasulullah s.a.w. berkata, “Sesungguhnya syaitan duduk untuk menghalang-halangi seorang anak Adam dari berbagai jalan. Syaitan duduk menghalangi jalan untuk masuk Islam. Syaitan berkata, “(Apakah) kamu masuk ke dalam Islam dan kamu tinggalkan agamamu, agama bapa-bapamu dan agama nenek moyangmu?”. Anak Adam tersebut tidak mentaatinya, kemudian dia masuk Islam. Kemudian syaitan pun menghalangi jalan untuk berhijrah dan dia berkata, “(Apakah) kamu akan berhijrah dan kamu meninggalkan bumi dan langitmu? Sesungguhnya perumpamaan orang yang berhijrah adalah seperti kuda yang diikat dengan tali”. Kemudian anak Adam tersebut tidak mentaatinya dan terus berhijrah. Kemudian syaitan duduk untuk menghalangi jalan untuk berjihad. Syaitan berkata, “(Apakah) kamu akan berjihad? Jihad itu adalah perjuangan dengan jiwa dan harta. Engkau berperang, dan nanti kamu terbunuh, isterimu akan dinikahi (oleh orang lain) dan hartamu akan dibahagi-bahagikan”. Kemudian anak Adam tersebut tidak mentaatinya, kemudian terus berjihad”. Kemudian Rasûlullâh s.a.w. berkata, “Barang siapa yang melakukan hal tersebut, maka Allâh berkewajiban untuk memasukkannya ke dalam Surga”. (Hadith riwayat an-Nasa’i).
Oleh itu hendaklah memiliki keinginan yang kuat untuk selamat di akhirat. Jangan tertipu dengan godaan syatan, dan lawanlah keinginan hawa nafsu dengan amalan berikut:
-Perbanyak zikrullah
– Isi hidupmu dengan pengabdian kepada Allah sampai maut memisahkan kita.
– Insaflah bahawa Allah telah memberikan rezeki bagi seluruh makhluk-Nya.
– Sesungguhnya dunia adalah persinggahan sementara.
– Dunia akan fana
– Kita diciptakan oleh Allah untuk menjadi hamba-Nya.
– Serahkan semua masalah hidup kepada Allah, semuanya akan diselesaikan
– Rezeki, kematian, ketentuan baik atau buruk bagi kita masing-masing telah ditentukan oleh Allah. Tentu ada hikmahnya, terimalah dengan redha.
Fikirkan apa yang mesti kita buat untuk meraih janji Allah. Yakni, kebahagiaan di akhirat. Jangan kita sibuk memikirkan apa yang sudah Allah sediakan untuk kehidupan kita di dunia!
Disaring dari – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/132614-tawakal-dan-meraih-janji-allah