Amalan Perbomohan Atau Jampi Dalam Masyarakat

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Oleh : Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin 

Segelintir masyarakat Islam masih terkeliru dengan kaedah perubatan yang dibenarkan dalam Islam. Akibatnya, mereka terjebak dalam kancah perubatan yang menyimpang antaranya perbomohan yang menggunakan pelbagai kaedah yang tidak dibenarkan Islam. Malah, disebabkan ghairah mencari bomoh, ada yang menjadi mangsa seks bomoh.

Amalan Perbomohan Atau Jampi Yang Dibenarkan Dalam Islam Dan Syarat-syaratnya.

Jika perbomohan itu sesuatu yang dikaitkan dengan membaca jampi atau disebut sebagai ruqyah dalam bahasa Arab, maka pada asasnya kita perlu jelas bahawa amalan berjampi dengan syarat-syaratnya yang betul adalah dibenarkan dalam agama. Bahkan Rasulullah s.a.w melakukannya dan dianggap sebagai sunnah untuk beramal dengannya. Di dalam Sahih Muslim, dalam kitab al-Salam, ada bab yang disebut sebagai “Istihbab Ruqyah al-Maridh” (Bab digalakkan menjampi orang yang sakit). Al-Imam Muslim meriwayatkan hadith-hadith yang menunjukkan Rasulullah s.a.w berjampi dan menyuruh Sahabat berjampi, termasuk menyuruh isteri Baginda iaitu `Aishah r.ha. Dalam riwayat daripada Jabir bin `Abdullah, Baginda menyuruh berjampi dengan katanya, “Sesiapa yang dapat memanfaatkan saudaranya maka lakukanlah”. Kata al-Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: “Adapun jampi dengan dengan ayat al-Quran dan zikir-zikir yang diketahui, tidak dilarang bahkan sunnah”. Syarat-syarat jampi itu hendaklah, pertama: Aqidah orang yang mengamalkannya hendaklah betul dan bersih dari unsur syirik dan khurafat dengan yakin bahawa hanya Allah Penentu dan Penyembuh. Kedua: Bacaan jampi difahami maksudnya agar tidak terdapat padanya unsur-unsur salah yang pengamalnya tidak tahu. Ketiga: Inti kandungan jampi memenuhi tuntutan aqidah Islam iaitu tidak mengandungi unsur syirik dan sesat. Ini seperti apa yang disebut dalam hadith Muslim dan Abu Daud: Kata ‘Auf bin Malik al-‘Asyja‘i: Kami dahulu berjampi ketika jahiliyyah lalu kami bertanya: “Wahai Rasululullah! Apa pendapat engkau mengenai hal ini?”. Sabda Nabi s.a.w: “Bentangkan kepadaku jampi kamu. Tidak mengapa dengan jampi sekiranya tiada padanya kesyirikan”.

Namun, suka diingatkan bahawa kita juga mengharapkan umat Islam jangan hanya menumpukan persoalan jampi semata-mata, kerana perubatan moden dan pengetahuan perubatan moden juga disuruh oleh agama bahkan ianya adalah fardu kifayah. Bahkan penulis melihat pada zaman ini tuntutan perubatan moden lebih besar jauh berkali ganda dari kerja-kerja jampi yang tidaklah begitu utama jika dilihat kepada “syighah” (bentuk ungkapan) hadith. Maksudnya tuntutan mempelajari ilmu perubatan moden adalah lebih utama untuk ditumpukan. Pada zaman Baginda Nabi s.a.w. sendiri perubatan zahir ini diutamakan. Mereka yang tercedera di medan-medan perang, kebanyakannya diubati secara fizikal. Nabi s.a.w sendiri mendapatkan khidmat al-Harith bin Kaldah seorang pakar perubatan Arab, sekalipun dia bukan seorang muslim. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut dalam Al-Isabah bahawa ini menunjukkan keharusan menggunakan khidmat bukan muslim yang tidak memusuhi Islam. Apa yang penting ianya menunjukkan kepentingan perubatan secara lahiriah. Bukan hanya jampi sahaja yang dinamakan perubatan secara Islam, seperti yang sesetengah golongan agama salah fahamkan orang awam.

Amalan Yang Giat Berjalan Dalam Masyarakat Kita Sekarang

Mungkin ada yang berjampi atau mengamalkan perubatan secara batin ini yang mengikut peraturan. Namun malangnya amalan jampi – yang sebahagiannya dipelopori oleh mereka yang menyandarkan diri kepada agama Islam – telah melampaui batas. Mereka menjampi untuk perkara-perkara yang Baginda s.a.w sendiri tidak dapat lakukan. Ini seperti menjampi agar seseorang menjadi baik dan mendapat petunjuk. Misalnya menjampi agar anak yang nakal menjadi baik, suami yang tidak baik menjadi baik dan seumpamanya. Dengan meminum segelas air atau beberapa biji kismis diharapkan seseorang mendapat petunjuk. Penulis sebenarnya tidak percayakan pada jampi yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat petunjuk. Jika ini benar, mengapakah Rasulullah s.a.w sendiri tidak menjampi agar Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Talib untuk masuk Islam? Kalau ini benar tentu Nabi s.a.w menjampi telaga zam-zam pada malam hari dan siangnya apabila kaum Quraish meminumnya, akan terus mendengar nasihat Baginda. Ini adalah kekarutan yang disandar atas nama agama. Sama juga yang menjampi air atau kismis untuk anak menjadi baik dan soleh. Nabi sendiri, bapa saudaranya Abu Talib mati dalam keadaan tidak beriman, Baginda tidak mampu menjampinya untuk mendapat petunjuk. Firman Allah surah al-Qasas ayat 56: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)”.

Sekiranya jampi menjadi sebab punca seseorang mendapat petunjuk, mengapa tidak jemput sahaja orang-orang berkemampuan ini untuk menjampi empangan air minuman supaya masyarakat umum mendapat hidayah. Sebenarnya hidayah datang melalui sebab dakwah dan kehendak individu itu sendiri dengan izin Allah.

Demikian juga kononnya mandi bunga boleh menyebabkan seseorang mendapat jodoh. Jika yang dimaksudkan mereka ialah air bunga membantu proses kecantikan lalu kecantikan itu menawan hati orang lain untuk meminangnya, itu ada lojiknya. Namun mempercayai ia menyebabkan Allah membawa jodoh datang kepada seseorang adalah dusta kepada Allah. Mereka akan berkata, “Kita usaha, Allah yang akan berikan”. Kita ingin bertanya mereka: Bilakah Allah pernah berjanji perkara ini dengan kamu? Ada dalam al-Quran? Ada dalam hadith? Tidak ada sama sekali. Apakah pengamal perubatan ini menerima wahyu dari Allah sehingga boleh membuat dakwaan ini? Dosa besar dalam hal ini ialah berdusta menggunakan nama Allah. Firman Allah dalam Surah al-‘Araf, ayat 33 (maksudnya):

“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya”.

Dalam aqidah, ini juga sebenarnya dari jenis syirk “asghar” iaitu syirik kecil. Walaupun namanya kecil, namun ianya adalah syirik, dosanya amat besar yang boleh membawa kepada syirik besar. Namun jika dia percaya bunga itu sendiri menolak bala dan mendatangkan jodoh maka itu adalah syirik besar yang membatalkan iman.

Hukum Mereka Yang Mempercayai Ramalan-ramalan Bomoh

Pada asasnya, sesuatu ramalan itu jika ada tanda-tanda zahir yang dapat dijadikan sandaran, tidak mengapa. Ini seperti langit mendung, kita ramalkan kemungkinan hujan, pelajar malas kita ramalkan gagal dalam peperiksaan. Namun semua itu akhirnya bergantung kepada ketentuan Allah. Adapun meramalkan dengan pasti sesuatu yang ghaib dan tiada sebarang tanda zahir adalah salah dan membawa kepada syirik. Nabi s.a.w sendiri tidak tahu yang ghaib melainkan dengan kadar yang diwahyukan kepada Baginda. Arahan Allah kepada Baginda dalam Surah al-‘Araf ayat 188: (maksudnya)

“Katakanlah: Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.

Sesiapa yang mempercayai ramalan bomoh adalah berdosa dan kemungkaran yang boleh membawa kepada rosaknya aqidah. Sabda Nabi s.a.w dalam hadith yang sahih: “Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan tukang ramal lalu dia mempercayai apa yang dikatakannya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad”. (Riwayat al-Hakim dan al-Tabarani dengan sanad yang sahih).

Bomoh-bomoh itu sendiri tidak dapat meramalkan nasibnya. Kebanyakan ramalan mereka hanya membawa kepada permusuhan dan pecah belah. Inilah misi syaitan.

[Dipetik dari http://www.al-qayyim.net dengan sedikit suntingan]

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s