[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO – [Durasi 23m 7s] – Muqaddimah Kitab Dosa-dosa Besar – Ust Shamsuddin Abd Rahman
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/yWE-XgU64xs ]
DEFINISI DOSA-DOSA BESAR (KABAIR)
Pengenalan
Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w, utusan yang paling mulia dan imam orang-orang yang bertaqwa, juga kepada seluruh keluarga dan para Sahabat Baginda semuanya.
Kitab ini membincangkan tentang berbagai jenis dosa-dosa besar di mana kita dilarang melakukannya.
Pengertian dosa-dosa besar (kabair) adalah semua larangan Allah dan Rasulullah s.a.w yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, serta atsar dari para ulama’ salaf.
Allah menjamin bahawa sesiapa yang menjauhi dosa-dosa besar dan perkara-perkara yang diharamkan akan diampuni semua dosa-dosa kecil yang dilakukan.
Allah berfirman: “Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)”. (Surah An-Nisa’, Ayat 31)
Berdasarkan nash di atas, Allah menjamin syurga bagi yang menjauhi dosa-dosa besar.
Allah juga berfirman: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memberi maaf”. (Surah As-Syura, Ayat 37)
“(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunan-Nya”. (Surah An-Najm, Ayat 32)
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Solat lima waktu, solat Jumaat dan puasa Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di antaranya jika dosa-dosa besar telah dijauhi”. [1]
Oleh itu sayugialah kita meneliti apakah yang termasuk dalam dosa-dosa besar tersebut supaya kita dapat menghindarinya. Para ulama’ -rahimahumullah- berbeza pendapat di dalam menentukannya. Ada yang mengatakan bahawa dosa-dosa besar itu tujuh, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.
“Jauhi tujuh perkara yang merosak!” Lalu Baginda menyebutkan, “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali kerana alasan yang dibenarkan, memakan harta anak yatim, memakan riba, meninggalkan medan perang dan menuduh wanita mukminah baik-baik berzina”. [2]
Ibnu Abas r.a berkata: “Dosa-dosa besar itu jumlahnya lebih dekat kepada tujuh puluh dari pada kepada tujuh”. [3]
Demi Allah, ucapan Ibnu Abbas di atas adalah benar. [4] Hadith sebelumnya tidaklah menghadkan bilangan dosa-dosa. Pendapat yang benar dan disokong dengan dalil menyebutkan bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan dosa yang diancam dikenakan hukuman ‘had’ di dunia seperti membunuh, berzina, mencuri atau perbuatan dosa yang pelakunya mendapat ancaman, kemurkaan serta laknat dari Nabi Muhammad s.a.w di akhirat, maka perbuatan itu termasuk dosa-dosa besar. Hendaklah dimaklumi bahawa satu jenis dosa besar mungkin lebih besar dosanya berbanding dengan satu dosa besar yang lain. Rasulullah s.a.w memasukkan syirik sebagai salah satu dosa besar, padahal pelakunya kekal di neraka dan tidak akan diampuni selama-lamanya.
Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya”. (Surah An-Nisa’, Ayat 48 dan 116)
NOTA KAKI
1. Sahih: Diriwayatkan oleh Ahmad (2/359,400) Muslim (233), At-Tirmidzi (214), Ibn Majah (1086), Ibnu Khuzaimah (314) dan Ibnu Hibban (1733); dari Abu Hurairah.
2. Sahih: Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (2766, 5764), Muslim (89), Abu Awanah (1/54), dan An-Nasa’ie (6/257; dari Abu Hurairah.
3. Isnadnya: Sahih: Diriwayatkan oleh Abdurrazzaq (19702), Ibnu Jarir (9209), dan Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab (Syu’ab Al-Iman) (290). Semua perawinya terpercaya (tsiqah).
4. Itu merupakan perkataan Az-Zahabi. Dia sendiri adalah seorang tokoh terkemuka pada abad ketujuh Hijriyah. Apa agaknya komentar Imam Az-Zahabi jika hidup di zaman kita sekarang ini jika itu ucapannya setelah berlalu tempoh masa di antara dirinya dan Ibnu Abbas?!.
Nota: a) Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit.
b) Kami tidak memuatkan semua dosa-dosa besar yang disenaraikan dalam buku asal. Untuk senarai penuh sila rujuk buku asal sebagaimana di atas.