[Muat Turun Artikel – Format PDF]
1. Definisi Sombong
Sombong dari sudut bahasa ‘Arab bermaksud التعظم iaitu merasa besar diri.
Menerusi hadith Nabi s.a.w sabda Baginda, maksudnya:
“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”. Seorang lelaki bertanya: “(Adakah termasuk sombong) seseorang lelaki suka sekiranya pakaiannya berkeadaan cantik dan kasutnya juga berkeadaan cantik?”. Sabda Baginda: “Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia sukakan perkara-perkara yang indah. Sombong bermaksud menolak kebenaran dan memperlekehkan orang lain”. [Hadith diriwayatkan oleh Muslim]
Menerusi sabda Baginda tersebut, sombong atau dalam bahasa ‘Arabnya الكبر memberikan dua maksud:
Pertama: Menolak kebenaran.
Kedua: Memperkecilkan orang lain.
2. Sebab-sebab Kesombongan
Orang yang dalam dirinya ada sekelumit perasaan sombong, merasa besar diri dan merasakan orang lain kecil dan hina. Antara sebab-sebab yang menimbulkan perasaan sombong dalam diri seseorang adalah:
Pertama: Tidak mahu tunduk dan patuh kepada orang lain. Perasaan besar diri menghalang seseorang untuk menundukkan diri dan hormat kepada orang lain kerana baginya orang lain adalah lekeh, hina dan tidak bernilai jika dibandingkan dengan dirinya. Hal ini lebih parah jika sampai ke tahap tidak mahu tunduk dan patuh kepada Allah juga kerana perasaan sombongnya. Ini apabila seseorang merasakan dirinya sudah mempunyai kecukupan. Firman Allah Ta’ala:
“Sesungguhnya manusia itu benar-benar derhaka, apabila dia melihat dirinya telah cukup”. [Surah al-‘Alaq, Ayat 6-7]
Kedua: Mengharapkan pujian daripada orang ramai. Orang yang sombong merasakan dirinya mempunyai kelebihan berbanding orang lain sehingga selayaknya dia diberikan pujian oleh orang ramai.
Ketiga: Orang lain terlalu merendah diri di hadapannya. Faktor penyebab menjadikan seseorang menjadi sombong adalah kerana orang sekeliling yang menunjukkan rendah diri di hadapan orang yang sombong hingga menyebabkannya merasa hebat di hadapan mereka.
3. Contoh Golongan Yang Sombong
Dalam al-Qur’an, Allah telah memberikan contoh terhadap golongan yang sombong. Antaranya:
Golongan pertama: Iblis. Kesombongan merupakan faktor yang mendorong iblis untuk kufur kepada Allah dan melanggar perintah-Nya. Firman Allah Ta’ala:
“Kemudian apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan roh ciptaan-Ku kepadanya, maka tunduklah kamu dengan bersujud kepadanya. Lalu para malaikat pun bersujud kesemuanya, kecuali iblis, ia menyombongkan diri dan ia termasuk golongan yang kafir”. [Surah Sad, Ayat 72-74]
Golongan kedua: Fir’aun dan kuncu-kuncunya. Kesombongan Fir’aun dan kuncu-kuncunya telah disebutkan oleh Allah Ta’ala dalam al-Qur’an, firman-Nya:
“Dan Fir’aun serta bala tenteranya telah berlagak sombong di bumi (Mesir) tanpa sebab yang benar dan mereka telah menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami”. [Surah al-Qashash, ayat 39].
Golongan ketiga: Bani Israil. Kesombongan dan lagak angkuh Bani Israil telah menjadi sebab mereka menolak dakwah yang dibawa oleh para Nabi mereka hingga mereka tergolong dalam golongan yang dimurkai oleh Allah. Allah berfirman berkenaan sikap sombong Bani Israil:
“Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?”. [Surah al-Baqarah, Ayat 87]
4. Kesan Negatif Sikap Sombong
Sikap sombong adalah penyakit yang mengotorkan hati manusia hingga ianya diterjemahkan dengan perbuatan dan kelakuan yang jelek dan buruk. Kesan negatif yang terhasil akibat hati yang sombong angkuh antaranya:
- Sering mencari kesalahan dan kelemahan orang lain: Bagi menjustifikasikan dirinya sebagai orang yang mempunyai kehebatan, maka orang yang sombong adakalanya mengambil jalan mencari-cari kelemahan dan kekurangan orang lain.
- Gemar mengumpat: Orang yang sombong dalam usahanya merendahkan kedudukan orang lain, maka cara yang diambil supaya tercapai cita-citanya adalah dengan mengumpat, menfitnah dan sebagainya agar orang lain melihat kelemahan orang yang fitnah.
- Tidak mahu menerima nasihat. Allah berfirman: “Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) Neraka Jahannam dan demi sesungguhnya, (Neraka Jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal”. [Surah al-Baqarah, Ayat 206]
- Tidak mahu mendalami ilmu. Al-Imam Mujahid berkata: “Ilmu tidak akan dipelajari oleh orang yang malu tidak bertempat dan orang yang sombong angkuh”.
Kesan negatif yang Allah akan timpakan kepada orang yang sombong dan angkuh antaranya:
- Rasulullah s.a.w telah menjanjikan azab di dunia bagi orang yang sombong. Daripada Salamah bin al-Akwa’ r.a, katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Seseorang itu terus menerus mengangkat dirinya hingga dia ditulis termasuk golongan Jabbarin (sombong lagi angkuh seperti Fir’aun, Haman, Qarun). Akibatnya, dia akan ditimpa sebagaimana yang telah menimpa mereka (Fir’aun, Haman, dan Qarun)”. [Hadith riwayat al-Tirmizi dan beliau menilainya sebagai hasan]
- Allah menghilangkan nikmat daripadanya. Diriwayatkan daripada Salamah bin al-Akwa’ bahawa seorang lelaki pernah makan menggunakan tangan kirinya di sisi Rasulullah s.a.w. Lalu Baginda pun menegur: “Makanlah dengan tangan kananmu”. Lelaki tersebut menjawab: “Aku tidak mampu (sedangkan dia mampu)”. Baginda pun mengucapkan: “Engkau tidak akan mampu”. Kesombongan yang telah menghalangnya makan dengan tangan kanan. Lalu lelaki tersebut pun tidak mampu mengangkat tangan (kanannya) ke mulutnya”. [Hadith diriwayatkan oleh Muslim].