Dosa Besar – Syirik (Mempersekutukan Allah)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 48m 28s] – Dosa Besar – Syirik Kepada Allah – Ust Shamsuddin Abd Rahman

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/lcIz9pqL07k ]

SYIRIK (MEMPERSEKUTUKAN ALLAH)

Dosa terbesar adalah syirik iaitu mempersekutukan Allah. Syirik ada dua; pertama, menjadikan sesuatu sebagai tandingan bagi Allah atau beribadah kepada selain-Nya, sama ada ianya berupa batu, pokok, matahari, bulan, nabi, guru, bintang, raja atau pun yang lain. Inilah syirik besar sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya”. (Surah An-Nisa’, Ayat 48 dan 116)

“Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. (Surah Luqman, Ayat 13).

“Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga dan tempatnya ialah neraka”. (Surah Al-Maidah, Ayat 72)

Dan masih banyak lagi ayat yang berhubungan dengan masalah ini.

Barangsiapa mempersekutukan Allah lalu mati dalam keadaan mensyirikkan Allah sesungguhnya dia adalah penghuni neraka. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Mahukah kamu aku beritahu apakah dosa yang paling besar”. Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Para Sahabat menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah s.a.w”. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Menyengutukan Allah dan derhaka kepada kedua orang tua”. Pada masa itu Baginda bersandar lalu duduk dan menyambung, “Juga, kesaksian palsu, kesaksian palsu”. Begitulah Rasulullah s.a.w mengulang-ulanginya sehingga kami mengatakan, “Andai Baginda menghentikannya”. [1]

Rasulullah s.a.w bersabda, “Jauhilah tujuh perkara yang memusnahkan”. [2]

Baginda menyebutkannya dan antaranya adalah syirik. Baginda juga bersabda:

“Barangsiapa menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia”. [3]

Kedua, melakukan sesuatu amal kebaikan dalam keadaan riya’. Allah berfirman, “Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam beribadat kepada Tuhannya”. (Surah Al-Kahfi, Ayat 110)

Maksud dari, “Janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam beribadah kepada Tuhannya” ialah tidak menyertakan riya’ bersama amalnya. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:

“Jauhilah syirik kecil!”. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah syirik kecil itu? Baginda menjawab, “Iaitu riya’. Pada Hari Pembalasan Allah berkata, “Pergilah kepada orang-orang yang kamu ingin mereka melihat amal-amal kamu. Lalu lihatlah! Adakah pahala yang disediakannya?”. [4]

Dalam hadith Qudsi Allah berfirman:

“Barangsiapa mengerjakan suatu amal dalam keadaan dia mempersekutukan-Ku dengan seseorang, maka amal yang dikerjakan itu adalah untuk sekutu-Ku. Dan Aku berlepas diri darinya”. [5]

Rasulullah bersabda :

“Barangsiapa berlaku riya‘, Allah akan memperlihatkan keburukannya. Dan barangsiapa berlaku sum’ah Allah akan memperdengarkan aibnya”. [6]

Abu Hurairah meriwayatkan dari Nabi bersabda :

“Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa selain lapar dan dahaga, dan betapa banyak orang yang bangun solat malam tetapi tidak mendapat apa-apa selain berjaga”. [7] Maksudnya, jika puasa dan solat dilakukan bukan untuk Allah maka tidak ada pahalanya.

Diriwayatkan bahawa Rasullah bersabda, “Perumpamaan orang yang beramal dengan riya’ (ingin dilihat) dan sum’ah (ingin didengar) seperti orang memenuhi begnya dengan batu kerikil lalu masuk ke pasar untuk membeli sesuatu. Ketika ia membuka beg di hadapan penjual ternyata begnya dipenuhi kerikil dan ia pun memukulkannya ke wajahnya. Begnya itu tiada manfaatnya selain dari kata-kata orang ramai bahawa dia telah memenuhkan begnya. Ia tidak mendapat apa-apa dari isi begnya. Begitu pula orang yang riya’ dan sum’ah dalam beramal. Ia tidak mendapat apa-apa selain pujian orang–orang kepadanya. Di Akhirat nanti tiada pahalanya. [8]

Allah berfirman, “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan”. (Surah Al-Furqan, Ayat 23)

Maksudnya amal-amal yang dikerjakan selain dari mengharapkan wajah Allah, Allah membatalkan pahalanya serta menjadikannya bagai debu yang berterbangan, iaitu debu yang dapat dilihat dari celah-celah di mana cahaya matahari masuk melaluinya.

Adi bin Hatim at-Tha’i meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Pada hari kiamat nanti, beberapa golongan dari manusia akan diperintahkan menuju syurga. Ketika mereka telah dekat kepadanya, mencium keharumannya, menyaksikan istana-istananya, serta apa saja yang dijanjikan oleh Allah bagi penghuninya, terdengarlah seruan, “Jauhkanlah mereka darinya. Sesungguhnya mereka tidak mendapatkan sesuatu pun dari segala yang ada di sana!”. Maka merekapun kembali dengan segala kerugian dan penyesalan. Belum pernah ada orang kembali dengan kerugian dan penyesalan yang melebihi mereka. Mereka berkata, “Oh! Tuhan kami, andainya engkau masukkan kami ke dalam neraka sebelum Engkau memperlihatkan kepada kami pahala yang Engkau janjikan bagi para wali-Mu nescaya neraka itu terasa lebih ringan bagi kami”. Allah ta’ala menjawab, “Begitulah yang Aku kehendaki untuk kamu! Dulu bila bersendirian kamu sengaja melakukan dosa-dosa besar di hadapan-Ku. Adapun jika bertemu dengan orang ramai kamu menampakkan diri sebagai orang-orang yang berbakti. Kamu memperlihatkan amal kepada mereka berbeza dengan kamu persembahkan kepada-Ku dari hati kamu. Kamu malu kepada orang ramai dan tidak kepada-Ku. Kamu memuliakan mereka dan tidak memuliakan-Ku. Kamu meninggalkan dosa-dosa besar kerana manusia dan bukan kerana Aku. Maka hari ini Aku timpakan kepada kamu siksaan-Ku yang terpedih serta Aku haramkan atas kamu limpahan pahala dari-Ku.” [9]

Seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang bagaimana untuk mendapat keselamatan. Baginda menjawab, “Hendaklah kamu tidak menipu Allah!”. Orang itu bertanya lagi, “Bagaimana Allah boleh ditipu?”. Rasulullah menjawab, “Iaitu kamu mengamalkan satu perintah Allah dan Rasul-Nya tetapi bukan kerana mengharapkan wajah Allah. Takutlah kamu akan riya’, kerana riya’ itu syirik kecil. Dan sesungguhnya pada hari kiamat nanti orang yang riya’ itu akan dipanggil di hadapan seluruh makhluk dengan empat nama; wahai mura’i (si pelaku riya‘), hai ghaadir (penipu), hai faajir (pendosa), dan hai khaasir (orang yang merugi), sungguh amalmu telah sia-sia dan batal pahalanya. Kamu sudah tidak memiliki pahala lagi di sisi Kami. Pergilah dan ambillah pahala yang disediakan oleh orang yang kamu beramal kerananya, hai penipu!”. [10]

Para ahli hikmah ditanya tentang orang yang ikhlas, mereka menjawab, “Iaitu orang yang menyembunyikan kebaikan-kebaikannya sebagaimana dia menyembunyikan keburukan-keburukannya”.

Ada pula yang bertanya tentang puncak ikhlas, menjawab, “Hendaklah kamu tidak menyukai pujian dari manusia”. Fudhail Bin Iyadh berkata, “Meninggalkan amal kerana manusia itu riya’, sedangkan mengerjakannya kerana mereka itu syirik. Ikhlas adalah apabila Allah menjagamu dari keduanya”.

Ya Allah, jagalah kami dari keduanya dan ampunilah kami.

__________________________________________________________

NOTA KAKI

1. Hadith sahih diriwayatkan oleh Al-Bukhari (2654,5976,6273) dan muslim (87)

2. Isnadnya Sahih. Diriwayatkan oleh Abdurrazaq (19702), Ibnu Jarir (9209) dan al-Baihaqi dalam Asy-Syuab (Syu’ab al-Iman),(290). Semua perawinta terpercaya (tsiqah).

3. Hadith Sahih diriwayatkan oleh Ahmad (1/282) dan Al-Bukhari (3017 6922) dari Ibnu Abbas.

4. Hadith Sahih – Diriwayatkan oleh Ahmad (5 428, 429) dan Al-Baghawi (4135): dari Mahmud bin Lubaid Dan Mahmaud Bin Lubaid meriwayatkannya dari Rafi Bin Khudaij dengan riwayat serupa diriwayatkan Ath Thabrani dalam Al-Kabir (Al-Mu’jam Al-Kabir, 4301) Al-Mundziri berkata Isnadnya (Ahmad) jayyid. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Ash-Shahihah” (851)

5. Hadith Sahih diriwayatkan oleh Ahmad (5301), Muslim (2985) dan Ibnu Majah (4202) dari Abu Hurairah

6. Hadith Sahih diriwayatkan oleh Ahmad (4313), Al-Bukhari (6499 7152), Muslim (2987), Ibnu Majah (4207) dan Ibnu Hibban (406) dari Jundab Dan Muslim (3986) meriwayatkan dari Ibnu Abbas. Sabda Baginda, “Man samma’a (Barangsiapa berlaku sum’ah) yakni barangsiapa yang melakukan amal dengan tidak ikhlas dengan tujuan supaya manusia melihat dan mendengarnya. Dan sabda Baginda, ‘’Allah memperlihatkannya, yakni menampakkan kepada mereka bahawa dia beramal seperti itu ditujukan untuk mereka bukan semata-mata untuk Allah s.w.t (wajah-Nya)”.

7. Hadith Sahih – Diriwayatkan oleh Ahmad (2373), Ibnu Khuzaimah (1997), Al-Qudhai (1426), Ibnu Hibban (3481) dan Ibnu Majah (1690) dari Abu Hurairah dan Ibnu Umar. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam Shahih Al-Jami’ (3490).

8. Hadith dhaif (lemah). Penulis menyebutkannya sebagai hadith dan menyebutkan riwayat tersebut dengan memakai shighah tamridh, iaitu lafazh yang dipakai, yang menunjukkaan dhaifnya riwayat tersebut. Akan tetapi sebenarnya perkataan tersebut bukanlah hadith tetapi hanya sekadar ucapan dari cendiakawan, sebagaimana yang dikatakan oleh ibnu Hajar Al-Haitsami dalam Az-Zawajir (1/69).

9. Hadith dhaif. Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Ausath (5478), dan Al-Mu’jam Al-Kabir (17/85, 86); juga diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah Al-Auliya (4/125), Al-Hafizh Al-Haitsami berkata dalam Majma Az-Zawa’id (10/220) bahawa di dalamnya (di antara perawinya – penyunting) ada Abu Junadah, dia lemah: juga diriwayatkan oleh ibnu Hibban (3/155,156) dalam Al-Majruhin dan dia mengulas, “Abu Junadah adalah seorang syaikh yang meriwayatkan dari Al-A’masy berbagai hadith yang bukan berasal dari Al-A’masy. Tidak diperbolehkan meriwayatkan hadith dari Abu Junadah, tidak juga menjadikannya sebagi hujjah, kecuali bila untuk keperluan menguatkan satu riwayat lain (untuk I’tibar)”. Sedangkan Ad-Daruquthni mengatakan, dia biasa memalsukan hadith. Dengan demikian hadith tersebut paling tidak derajatnya sangat lemah sekali. Wallahu A’lam.

10 Al-Hafizh Al-Iraqi dalam takhrijnya atas kitab Al-Ihya ( 3/275), berkata, “Ia diriwayatkan oleh ibnu Abi Ad-Dunya dari riwayat Jabalah Al-Yahshubi dari seorang Sahabat yang tidak disebutkan namanya dan isnadnya dha’if”.

* Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit

https://asasislamhome.files.wordpress.com/2019/05/2.-dosa-besar-syirik-mempersekutukan-allah.pdf

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s