[Muat Turun Artikel – Format PDF]
Allah s.w.t berfirman, bermaksud, “Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam, ia kekal di dalamnya, Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya”. (Surah An-Nisa’, Ayat 93)
“Dan orang-orang yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak berzina. Maka barangsiapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina. Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh”. (Surah Al-Furqan, Ayat 68-70)
“Oleh kerana itu kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya”. (Surah Al-Maidah, Ayat 32)
“Apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh”. (Surah At-Takwir, Ayat 8-9)
Nabi s.a.w bersabda, maksudnya:
“Jauhilah oleh kamu tujuh perkara yang membinasakan!” [1]
Lalu Baginda menyebut salah satunya ialah membunuh seorang manusia yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan-Nya.
Seseorang bertanya kepada Nabi s.a.w, “Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah ta’ala?”. Baginda menjawab, “Apabila kamu mengadakan sekutu bagi Allah, padahal Dia yang menciptakanmu”. Orang itu bertanya lagi, “Selepas itu?”. Baginda menjawab,“Kamu bunuh anakmu kerana takut akan makan bersamamu”. Orang itu bertanya lagi, “Selepas itu?”. Baginda menjawab, “Kamu berzina dengan isteri jiranmu”. Lalu Allah menurunkan wahyu membenarkan sabda Nabi tersebut:
“Dan orang-orang yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak berzina”. (Surah A-Furqan, Ayat 68)
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Apabila dua orang muslim bertemu dengan pedang terhunus, orang yang membunuh dan yang terbunuh masuk neraka”. Seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah, tentang yang membunuh boleh difahami, bagaimana pula dengan yang terbunuh?”. Baginda menjawab, “Kerana dia sebenarnya sangat ingin untuk membunuh temannya”. [2]
Abu Sulaiman memberi penjelasan, “Hadith ini berlaku jika dua orang itu saling berbunuhan kerana selain “ta’wil”. Ertinya jika keduanya berbunuhan kerana kebencian yang ada di antara keduanya, ‘ashabiyyah, mencari dunia, kekuasaan atau darjat duniawi. Sedangkan orang yang memerangi “ahlul-baghy” (kaum pemberontak terhadap amirul mukminin) sesuai dengan adab yang berlaku dalam kes itu, atau membela diri atau keluarganya, maka tidak termasuk ke dalam pengertian hadith ini. Sebab berperang kerana membela diri tanpa maksud membunuh itu adalah diperintahkan, kecuali jika orang itu sangat ingin membunuh orang yang membela diri, maka dia mesti melawannya dan membunuhnya. Barangsiapa membunuh pemberontak atau perompak sebenarnya ia tidak menginginkan untuk membunuhnya. Sebenarnya dia hanya membela diri. Oleh kerana itu jika pemberontak menghentikan tindakannya, tidak boleh diteruskan dan tidak boleh pula dikejar. Hadith ini tidak bermaksud membicarakan tentang orang-orang sebagaimana tersebut di atas. Adapun selain dari orang yang tersebut di atas adalah termasuk ke dalam konteks hadith di atas, wallahu a’lam”.
Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
“Janganlah kamu kembali kepada kekafiran sepeninggalanku nanti, iaitu kamu saling berbunuhan!”. [3]
Baginda s.a.w juga bersabda, maksudnya:
“Seseorang hamba akan tetap selamat agamanya selagi belum menumpahkan darah haram (membunuh sesama muslim)”. [4]
Nabi juga bersabda, maksudnya,
“Perkara yang pertama kali dihisab di antara manusia pada hari kiamat nanti adalah perkara berkaitan darah”. [5]
Dalam hadith yang lain Baginda s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya, pembunuhan atas seorang mukmin itu lebih besar daripada hancur luluhnya dunia di sisi Allah”. [6]
Rasulullah s.a.w bersabda, “Yang termasuk dosa besar itu adalah menyengutukan Allah, membunuh orang, dan sumpah yang membenamkan (sumpah palsu)”. [7]
Disebut, “Sumpah yang membenamkan” kerana sumpah ini membenamkan pelakunya ke dalam neraka. Baginda s.a.w bersabda:
“Tidak ada jiwa yang terbunuh secara zalim kecuali anak Adam yang pertama ikut menanggungnya. Sebab dialah yang pertama kali mengajarkan pembunuhan”. [8]
Baginda bersabda:
“Barangsiapa membunuh orang kafir yang mengikat perjanjian dengan negara Islam ia tidak akan mencium bau harum syurga. Dan sesungguhnya wanginya sudah dapat dihidu dari jarak empat puluh tahun perjalanan”. [9]
Jika membunuh orang kafir yang ada perjanjiannya pun sudah sedemikian halnya, bagaimana pula dengan membunuh seorang muslim?
Rasulullah s.a.w bersabda: “Ketahuilah bahawa barangsiapa membunuh seseorang yang terikat dengan “zimmah” (perlindungan) dari Allah dan Rasul-Nya bermakna dia telah membatalkan “zimmah” Allah, dan tidak akan mencium wangi syurga. Dan sesungguhnya harum wangi syurga itu dapat dicium dari jarak lima puluh tahun perjalanan”. [10]
Baginda s.a.w bersabda:
“Barangsiapa membantu pembunuhan atas seorang muslim walau dengan sepatah perkataan nescaya akan bertemu dengan Allah dalam keadaan di antara kedua matanya tertulis `orang yang putus asa dari rahmat Allah Ta’ala’ ”. [11]
“Setiap dosa itu mudah saja Allah mengampuninya kecuali seseorang yang mati dalam keadaan kafir atau seseorang yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja”. [12]
Kepada Allah kita memohon `afiyah (kesejahteraan batin)
____________________________________________________
NOTA KAKI
1. Isnadnya Sahih. Diriwayatkan oleh Abdurrazaq (19702), Ibnu Jarir (9209) dan al-Baihaqi dalam Asy-Syuab (Syu’ab al-Iman),(290). Semua perawinta terpercaya (tsiqah).
2. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (5/43,51), Al-Bukhari (31,6875), Muslim (2888), Abu Daud (4269), An-Nasa’ie (7/25) dan Ibnu Majah (3965) dari Abu Hurairah.
3. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/85.87), Al-Bukhari (6862, 6868, 7077), Muslim (66), Abu Daud (4686, Al-Nasa’i (7/126), dan Ibnu Majah (3943), dari Ibnu Umar. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (121) dan Muslim (65), dari Jarir.
4. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Bukhari (6862, 6863); dari Ibnu Umar.
5. Hadith Sahih: Diriwayatkan oleh Ahmad (1/442), Al-Bukhari 6864, 6533), Muslim 1678) Al-Tirmidzi 1397), dan Ibnu Majah (2615) dari Ibnu Umar.
6. Hadith Sahih: Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (1395) dan An-Nasai (7/82); dari Ibnu Amru. Juga diriwayatkan oleh An-Nasa’i (7/83) dari Buraidah dan Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Ghaayah Al-Maraam” (439).
7. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6870), At-Tirmidzi (3024), dan An-Nasa’i (7/89), dari Ibnu Amr.
8. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (3335) dan Muslim (1677) dari Ibnu Mas’ud)
9. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/186), Al-Bukhari (3166), An-Nisa’i (2/242) dan Ibnu Majah (2686) dari Ibnu Amru.
10. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (1403), Ibnu Majah 2687), dan Al-Hakim (2/127), dari Abu Hurairah dan ada kelemahan di dalamnya. Namun ada penguat dari riwayat An-Nasa’ie (2/242) dan Ahmad (4/237) dari Sahabat yang tidak disebutkan namanya dan isnadnya sahih, sebagaimana perkataan Syaikh Al-Abani dalam Ghaayah Al-Maraam (450) bahawa dengan dasar itulah dia mensahihkannya.
11. Hadith Dhaif, Diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2620), Al-Uqaili (457), dan Al-Baihaqi (8/22). Syaikh Al-Albani mendhaifkannya dalam “Adh-Dhaifah” (503)
12. Sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud (4270), Ibnu Hibban (5980), dan Al-Hakim (4/351) dan Abu Darda’. Ada penguat dari hadith (yang diriwayatkan) oleh Mu’awiyah yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dan dengannya Syaikh A-Albani mensahihkan hadith tersebut dalam “Ghaayah Al-Maraam” (441).
· Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit