Dosa Besar – Mencuri

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Allah s.w.t berfirman: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (Surah Al-Maidah, Ayat 38)

Ibnu Syihab mentafsirkan ayat di atas sebagaimana berikut: “Allah menjatuhkan hukuman potong tangan bagi sesiapa yang mencuri harta orang lain. Allah Maha Perkasa dalam menghukum si pencuri. Allah Maha Bijaksana dalam menetapkan kewajipan potong tangan itu”.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah beriman seorang penzina semasa dia berzina. Tidaklah beriman seorang pencuri semasa dia mencuri. Namun pintu taubat senantiasa terbuka”.

Abdullah bin Umar meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w memotong tangan seseorang yang mencuri perisai bernilai tiga dirham. [1]

Aisyah r.ha. berkata, “Adalah Rasulullah s.a.w memotong tangan pencuri yang bernilai seperempat dinar atau lebih”. [2]

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Pencuri tidak dipotong tangannya jika harga barang yang dicurinya lebih rendah dari harga perisai”. Lalu Aisyah ditanya, “Berapakah harga perisai?”. “Seperempat dinar”, jawabnya. [3]

Dalam riwayat yang lain Baginda s.a.w bersabda, “Potonglah (tangan pencuri) dalam kes curi bernilai seperempat dinar dan janganlah kamu potong dalam kes curi yang nilainya lebih rendah dari itu!”. [4]

Seperempat dinar pada masa itu sama dengan tiga dirham. Satu dinar bermakna dua belas dirham.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda:

“Allah melaknat seorang pencuri yang mencuri telur lalu dipotong tangannya dan mencuri seutas tali lalu dipotong tangannya”. [5]

Al-A’masy mengulas tentang hadith di atas dan berkata, “Para Sahabat mentafsirkan ‘sebutir telur’ dalam hadith tersebut dengan topi besi, dan seutas tali sebagai tali yang nilainya sama dengan tiga dirham”.

Aisyah r.ha. berkata, “Seorang wanita dari suku Makhzum pernah meminjam barang, namun dia tidak mengaku. Lalu Nabi s.a.w memerintahkan untuk memotong tangannya. Keluarga wanita itu berjumpa Usamah bin Zaid untuk meminta keringanan kepada Nabi. Lalu Usamah memberitahu hal itu kepada Nabi s.a.w. Mendengarnya, Nabi bersabda, “Wahai Usamah, aku tidak ingin melihatmu meminta keringanan berkenaan dengan hukum had yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t”. Setelah itu Nabi s.a.w berdiri berkhutbah,

“Sesungguhnya kebinasaan orang-orang sebelum kamu dahulu adalah kerana membiarkan orang mulia (bangsawan) yang mencuri tanpa dijatuhkan hukuman. Sedangkan jika golongan lemah mencuri, maka ia dijatuhkan hukuman potong tangan. Demi (Allah) yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri pasti aku potong tangannya!”.

Lalu tangan wanita dari suku Makhzum itu pun dipotong”. [6]

Abdurrahman bin Jarir berkata, “Kami bertanya kepada Fadalah bin Ubaid tentang menggantungkan tangan pencuri di lehernya, adakah itu termasuk sunnah. Beliau menjawab, “Seorang pencuri yang sudah dipotong tangannya dibawa mengadap Nabi s.a.w. kemudian Baginda memerintahkan supaya tangan orang itu digantungkan di lehernya”. [7]

Para ulama’ berkata, “Taubat seorang pencuri itu tidak berguna kecuali jika dia mengembalikan barang yang telah dicurinya. Jika dia sudah tidak mempunyai apa-apa lagi, maka dia wajib meminta halal apa yang dicurinya daripada pemiliknya”.

Wallahu a’lam.

NOTA KAKI

1. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (95,96,98), Muslim (1686), Abu Daud (4386), An-Nasa’i (8/77), Ibnu Majah (2584) dan Ahmad (2/54)

2. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6789,6790), Muslim (1684), Abu Daud (4384) dan An-Nasa’i (8/78).

3. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6792, 6793, 6794) dan Muslim (1685).

4. Riwayat Ahmad dalam Musnadnya (6/80)

5. Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6783,6799), Muslim (1687), An-Nasa’i (8/65), Ibnu Majah (2583), Ibnu Hibban (5748) dan Al-Baihaqi (8/253) dari Abu Hurairah.

6. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6788), Muslim (1688) dan An-Nasa’i (8/72-73).

7. Diriwayatkan oleh Abu Daud (4411), At-Tirmizi (1447), An-Nasa’i (8/92), Ibnu Majah (2587) dan didha’ifkan oleh Asy-Syaikh dalam Al-Irwa (2432) dan Dha’if Abi Daud (948).

· Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar  dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s