[Muat Turun Artikel – Format PDF]
Allah berfirman: “Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau disalib (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar”. (Surah Al-Maidah, Ayat 33).
Al-Wahidi berkata, “Makna memerangi Allah dan Rasul-Nya (dalam ayat di atas) adalah derhaka terhadap keduanya dan tidak mentaati keduanya. Orang yang menderhakai anda, disebut memerangi anda. Maksud “Melakukan bencana kerosakan di muka bumi” adalah melakukan pembunuhan, mencuri dan merampas harta benda. Sesiapa yang mengangkat senjata melawan orang-orang beriman maka dia juga memerangi Allah dan Rasul-Nya”. Ini merupakan pendapat Imam Malik, al-Auza’i dan Imam Syafi’i.
Berikut adalah beberapa tafsiran untuk petikan ayat yang bermaksud, “Ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau disalib (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum)” :
Al-Walibi meriwayatkan kata-kata Abdullah bin Abbas, “Kata `aw’ (atau) pada ayat ini menunjukkan `takhyir’ (pilihan), maksudnya `ibahah’ (dibolehkan). Ertinya jika imam menghendakinya dibunuh maka dia dibunuh, jika imam menghendakinya disalib maka dia disalib, dan jika imam menghendakinya dibuang negeri maka dia dibuang negeri”. Ini juga merupakan pendapat al-Hasan al-Bashri, Said bin Musayyab dan Mujahid.
Manakala Athiyyah meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas berkata, “Kata `aw’ di sini bukan untuk ‘ibahah’ tetapi untuk menunjukkan turutan hukuman sesuai dengan jenis kejahatan yang dilakukan. Barang siapa membunuh dan merampas harta benda maka dia dibunuh atau disalib. Barang siapa merampas harta tanpa membunuh maka dia dipotong (tangan dan kaki secara bersilang). Barang siapa mengancam para pejalan kaki tanpa membunuh maka ia diasingkan atau dibuang”. Ini juga merupakan pendapat Imam as-Syafi’i.
Imam as-Syafi’i juga berkata, “Setiap pelaku kejahatan dihukum sesuai dengan kejahatan yang dilakukannya. Barang siapa yang dihukum bunuh dan salib maka dia dibunuh terlebih dahulu sebelum disalib untuk menghindari penyeksaan terhadapnya. Dia disalib selama tiga hari, kemudian diturunkan. Barang siapa yang dihukum bunuh maka dia dibunuh lalu diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan. Barang siapa dihukum potong tanpa dibunuh maka tangan kanannya dipotong dan kemudiannya diubat sehingga darahnya tidak mengalir lagi. Jika dia mengulanginya dan mencuri lagi maka tangan kirinya dipotong. Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, “Jika seseorang mencuri maka potonglah tangannya; dan jika dia mencuri lagi maka potonglah kakinya: dan jika dia mencuri kembali maka potonglah tangannya; kemudian jika dia mencuri lagi, maka potonglah kakinya.” [1]
Demikian juga yang dilakukan oleh Abu Bakar dan Umar di mana tidak ada seorang Sahabat pun yang membantah mereka berdua. [2]
Tentang kaki kiri yang mesti dipotong merupakan kesepakatan mereka yang memahami pemotongan kaki setelah pemotongan tangan dari firman Allah, yang ertinya: “…bersilang…”
Dalam menjelaskan firman Allah yang bermaksud: “…atau dibuang negeri…”, Abdullah bin Abbas berkata, “Maksudnya imam mengisytiharkan bahawa dibolehkan menumpahkan darahnya dengan mengatakan, “Barang siapa bertemu dengannya hendaklah dia membunuhnya!”. Ini adalah berkenaan dengan mereka yang belum ditangkap, namun jika dia sudah ditangkap, maka hukumannya adalah dengan dimasukkan ke dalam penjara. Apabila dia sudah ditahan dan dihalang dari bergerak bebas di negerinya maka dia sudah terbuang”.
Jika perbuatan mengancam para pejalan kaki saja sudah termasuk dosa besar, bagaimana pula jika ditambah dengan merampas harta, menetak atau membunuh? Tentu saja pelakunya telah melakukan beberapa dosa besar sekaligus, ditambah lagi kemungkinan besar mereka meninggalkan sembahyang dan membelanjakan hasil rampasan mereka untuk bermabuk-mabuk, zina dan sebagainya.
Semoga Allah memelihara kita semua dari segala bencana dan ujian. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
NOTA KAKI
1. Diriwayatkan oleh Abu Daud (4410), An-Nasa’i (8/90) dan Al-Baihaqi (8/272) dari Jabir. Juga hadith dari Abu Hurairah, Al-Harits bin Huwaithib dan lain-lain. Disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Al-Irwa’ (2434).
2. Atsar “Bahawa Abu Bakr dan Umar” diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (11/612) dan Al-Baihaqi (8/273). Al-Albani berkata dalam Al-Irwa’ (2439) bahawa ianya sahih.
· Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit