[Muat Turun Artikel – Format PDF]
Allah s.w.t berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah Al-Anfal, Ayat 27)
Al-Wahidi r.a. berkata: Ayat ini diturunkan berkaitan kes Abu Lubabah bin ‘Abdul Mundzir. Rasulullah mengutuskan Abu Lubabah kepada Bani Quraizhah. Bani Quraizhah terkepung sedangkan isteri dan anak-anak Abu Lubabah ada bersama mereka. Mereka berkata, “Wahai Abu Lubabah, apa pendapatmu jika kami melaksanakan keputusan Sa’ad bagi kami?”. Abu Lubabah memberikan isyarat dengan menunjuk ke arah leher yang bermaksud, “Jangan kamu lakukan jika kamu tidak mahu dibunuh”. Ini adalah satu bentuk pengkhianatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Abu Lubabah berkata, “Tidaklah kakiku berpindah dari tempat tadi melainkan aku sudah mengerti bahawa aku telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya”. [1]
Ketika mentafsirkan kata ‘al-amaanaat’ dalam ayat di atas, Ibnu ‘Abbas berkata, “Ia adalah amal-amal yang telah diamanahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya, iaitu al-faraid (segala yang wajib). Maka janganlah kamu melanggarnya”.
Al-Kalbi berkata, “Maksud mengkhianati Allah dan Rasul-Nya adalah melakukan maksiat kepada keduanya. Manakala mengkhianati amanah itu bermaksud setiap orang yang telah diberi amanah oleh Allah dengan kewajiban-kewajiban, boleh mengkhianati atau mentaatinya kerana tiada orang lain yang mengetahuinya melainkan Allah ta’ala”.
Firman-Nya. “…sedang kamu mengetahui…” maksudnya kamu mengetahui bahawa itu adalah amanah, tanpa keraguan sedikit pun.
Allah berfirman: “Dan bahawasanya Allah tidak meredhai tipu daya orang-orang yang berkhianat”. (Surah Yusuf, Ayat 52)
Maksudnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang telah mengkhianati amanah.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tanda munafik itu ada tiga; jika bercakap berbohong, jika berjanji memungkiri dan jika diberi amanah berkhianat”.
Baginda s.a.w juga bersabda :
“Tidak ada iman bagi orang yang tidak amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memelihara janji”. [2]
Sifat khianat itu sangat buruk dalam segala perkara. Ia mempunyai tingkat-tingkat; khianat dalam masalah wang ringgit tidak sama dengan khianat dalam masalah keluarga atau dosa-dosa besar.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tunaikanlah amanah kepada orang yang berhak, dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianatimu”. [3]
Dalam hadith yang lain disebutkan, orang mukmin itu dengan apa-apa sifat kecuali khianat dan dusta.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Allah berfirman, “Aku adalah yang ketiga dari dua orang yang bersekutu selagi yang satu tidak mengkhianati rakannya”. [4]
Baginda s.a.w juga bersabda, “Perkara pertama yang akan diangkat adalah amanah dan yang terakhir adalah solat, dan betapa banyak orang yang melaksanakan solat namun tiada kebaikan padanya”. [5]
Nabi s.a.w. bersabda:
“Jauhilah khianat, sesungguhnya ia adalah seburuk-buruk ‘bithanah’ ”. [6]
Baginda s.a.w juga bersabda:
“Begitulah penghuni neraka. Lalu Baginda menyebut salah seorang dari mereka adalah seorang lelaki yang tidaklah tampak ketamakan (peluang – penyunting) baginya walau sedikit melainkan ia mengkhianatinya.” [7]
Ibnu Mas’ud berkata: Pada hari kiamat nanti, orang yang pernah memikul amanah kemudian mengkhianatinya akan dihadapkan ke pengadilan akhirat. Dikatakan kepadanya, “Tunaikan amanahmu!”. Dia akan menjawab, “Diriku wahai Rabbku, dunia telah hancur”. Lalu dibuatlah gambaran amanah itu di dasar Jahannam seperti hari dia mengambilnya dahulu lalu dikatakan kepadanya, “Turunlah dan keluarkanlah ia!”. Maka orang itu pun turun dan memikulnya di bahunya. Dan baginya itu terasa lebih berat daripada gunung-gunung di dunia. Ketika orang itu merasa bahawa dia telah berhasil, beban yang dipikulnya itu jatuh lagi dan jatuh pulalah ia selama-lamanya”. Kemudian Ibnu Mas’ud berkata, “Solat itu merupakan amanah, wudhu’ juga amanah, mandi juga, timbangan juga, sukatan juga dan yang paling besar adalah barang-barang yang diamanahkan untuk dijaga”.
Ya Allah, jagalah kami dengan kelembutan-Mu dan berilah kami pengampunan-Mu.
NOTA KAKI
1. As-Suyuthi berkata dalam Ad-Durr (3/323) diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur, Ibnu Jarir, Ibnul Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Abu Syaikh dari Abdullah bin Qatadah lalu ia menyebutkannya. Dan diriwayatkan oleh Sunaid dan Ibnu Jarir dari Az-Zuhri dan dikeluarkan oleh Abd Hamid dari Al-Kalbi.
2. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Iman (7) dan di dalam Al-Mushannaf (11/11), Ahmad (3/135,154,210), (849,850), Ibnu Hibban (194), Al-Baihaqi (6/288) dan Al-Baghawi (38) dari Anas, dan dihasankan oleh Asy-Syaikh dalam Ash-Shahih (7179).
3. Diriwayatkan oleh Abu Daud, At-Tirmizi dan Al-Hakim dari Abu Hurairah, Ad-Daruquthni, Adh-Dhiya dari Anas, Ath-Thabrani dari Abu Umamah, Ad-Daruquthni dari Ubay bin Ka’ab dan disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Ash-Shahihah (424) dan juga dalam ash-Shahih (240).
4. Diriwayatkan oleh Al-Khathib dalam Tarikhnya (4/316) dari Jalur Muhammad bin Sulaiman Luwaian bahawa Abu Humam Al-Ahwazi telah menceritakan kepada kami dari Abu Hayyan At-Taimi dari bapanya dari Abu Hurairah secara marfu’. Luwain berkata: Tidak seorang pun yang meriwayatkannya dengan isnadnya kecuali hanya Abu Humam dan dia adalah tsabat (terpercaya). Kukatakan,”Isnadnya hasan”.
5. Diriwayatkan oleh Al-Kharathi dalam Makarimul Akhlaq (hal 28). Adh-Dhiya dalam Al-Mukhtarah (1/495), Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah(6/265) dan Akhbar Ashbahan (2/213) dari Anas – ini yang dinisbatkan oleh Asy-Syaikh dalam Ash-Shahihah (1739) dan di sana disahihkan oleh Asy-Syaikh.
6. Diriwayatkan oleh Abu Daud (1547), An-Nasa’i (8/263), Ibnu Majah (3354), Ibnu Hibban (1029) dan Al-Baghawi (1370) dari Abu Hurairah dengan lafaz, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada mu dari rasa lapar kerana rasa lapar itu adalah sejelek-jelek teman tidur”- Al-Hadith. Dihasankan oleh Asy-Syaikh dalam Al-Jami’ (1283).
7. Diriwayatkan oleh Muslim (2865) dari Iyadh bin Himar.
· Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini – https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit