[Muat Turun Artikel – Format PDF]
Taubat ialah keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa besar, melalui jalan ilmu, penyesalan dan niat untuk tidak mengulanginya (taubat Nasuha).
TAUBAT NASUHA
[Fatwa al-Qardhawi]
Ada seseorang datang dan bertanya kepada Syeikh Yusuf al-Qardhawi: “Jika seseorang telah melakukan maksiat — seperti berzina dan seumpamanya — kemudian menuduh wanita yang baik-baik berbuat zina dan memakan harta orang lain dengan batil. Kemudian dia bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha. Namun, dalam hal memakan harta orang lain, dia tidak dapat mengembalikannya kerana tidak memiliki harta. Apakah taubatnya diterima?”.
Syeikh Yusuf al-Qardhawi memberi penjelasan tentang hal tersebut kepada orang itu. Menurutnya, tiga macam maksiat yang ditanyakan tersebut, yang pertama adalah zina. Pelaku maksiat ini dapat bertaubat kepada Allah, merasa menyesal, memohon ampun kepada-Nya, dan bertekad bulat tidak akan mengulanginya lagi selama-lamanya.
Sebahagian ulama’ memperketat syarat taubat untuk maksiat zina dengan berkata, “Dia wajib menemui keluarga wanita yang dia berzina itu dan meminta maaf kepada mereka, ini adalah kerana ianya berkait dengan hak hamba (manusia). Dia mesti meminta maaf kepada mereka kerana mereka mempunyai hak”.
Maksudnya, lelaki yang telah berzina mesti berjumpa keluarga wanita yang dizinainya dengan berkata, “Saya telah berzina dengan isteri atau anak anda, oleh itu maafkanlah dan ampunilah saya”.
Namun kata al-Qardhawi, menurut pertimbangan akal, perkara ini mustahil berlaku kerana keluarga tersebut akan membunuhnya atau mengambil tindakan yang bermacam-macam terhadapnya.
Oleh sebab itu, para muhaqiq menetapkan bahawa bertaubat dari zina cukup dilakukan seseorang terhadap Tuhannya. “Apabila dia bertaubat, kembali ke jalan yang benar, menyesali perbuatannya dan beristighfar memohon ampun kepada Allah, maka diharapkan Allah akan mengampuni dan memaafkannya”, kata al-Qardhawi.
Adapun yang kedua, menuduh wanita yang baik-baik berzina, wanita yang memelihara diri dan beriman, maka termasuk dosa yang sangat besar dan termasuk tujuh perkara yang merosakkan dan membinasakan di dunia dan akhirat.
Allah s.w.t. berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita yang baik-baik, (berbuat zina), mereka kena laknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar, pada hari (ketika), lidah, tangan, dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan”. (Surah An-Nur, Ayat 23 & 24).
Allah menetapkan hukuman bagi orang menuduh berzina ini dengan hukuman yang dikenali dengan “had qadzaf” (hukuman kerana menuduh berzina) dengan dirotan sebanyak lapan puluh kali.
Ini merupakan hukuman fizikal, selain dari itu tidak diterima kesaksian si penuduh selepas dari itu. Ini adalah hukuman moral, yang mana maruahnya telah jatuh dan kepercayaan telah tercabut daripadanya sehingga kesaksiannya tidak diterima.
Di samping itu, ada pula hukuman keagamaan, yakni dituduh sebagai orang yang fasik, sebagaimana firman Allah, “… dan mereka itulah orang-orang yang fasik”. (Surah An-Nur, Ayat 4).
Allah s.w.t. berfirman, “Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah An-Nur, Ayat 5).
Bagaimana pula cara untuk bertaubat dari perbuatan menuduh perempuan yang baik-baik berzina? Dalam hal ini, para fuqaha dan imam-imam berbeza pendapat. Di sini ada hak Allah s.w.t. dan ada hak bagi wanita yang dituduh itu.
Jika orang itu melakukan tuduhan tersebut di depan sekelompok manusia, maka dia wajib mengumumkan pembohongannya di hadapan kelompok tersebut, sehingga Allah meredhainya. Atau dia berjumpa dengan wanita yang dituduh itu dan meminta maaf daripadanya.
Adapun perbuatannya yang menjatuhkan maruahnya dengan menyebarkan perkataan yang tidak benar itu ke merata tempat, yang menyebabkan nama baik wanita itu dan juga keluarga dan anak-anaknya tercemar dan si penuduh hanya berkata, “Saya bertaubat kepada Allah”, maka hal ini tidak memadai.
la wajib mengisytiharkan pembohongannya itu dan bahawa dia telah berdusta terhadap wanita itu ataupun dia meminta maaf dari wanita tersebut. Wanita tersebut boleh memaafkannya, tetapi jika tidak maka si penuduh wajib menyerahkan dirinya untuk dirotan sebanyak lapan puluh kali dan dia bertaubat kepada Allah sesudah itu, maka taubatnya akan diterima.
Manakala yang ketiga, berkenaan memakan harta orang lain dengan batil dan dengan cara-cara yang tidak dibenarkan syariat, maka harta itu wajib dikembalikan kepada pemiliknya, sehinggakan mati syahid fi sabilillah pun tidak dapat menghapuskan hak ini. Padahal, tidak ada sesuatu yang lebih agung daripada mati syahid di jalan Allah.
Ketika Nabi s.a.w ditanya oleh seseorang, “Wahai Rasulullah, jika aku gugur di jalan Allah apakah itu dapat menghapuskan dosa-dosaku?”. Baginda menjawab, “Ya”. Kemudian Baginda memanggil orang itu seraya bertanya, “Apa yang engkau katakan tadi”. Lalu orang itu berkata, “Saya berkata begini...”. Kemudian Baginda bersabda, “Kecuali hutang, Jibril yang memberitahuku tadi”. (Hadith riwayat Muslim).
Hutang dan semua yang bersangkutan wajib dikembalikan kepada pemiliknya. Maka memakan harta orang lain dengan jalan rasuah, merampas, menipu atau dengan apa cara sekalipun yang haram, kemudian mengatakan, “Saya bertaubat kepada Allah” , atau hanya dengan menunaikan haji, berjihad dan mati syahid, ianya belum mencukupi.
Ia wajib mengembalikan harta benda tersebut kepada pemiliknya, dan selain dari itu adalah tidak memadai. Jika dia tidak mampu mengembalikannya, maka hendaklah ia pergi kepada si pemilik harta itu dan meminta keredhaannya, mudah-mudahan mereka menghalalkannya.
Jika mereka tidak menghalalkannya, maka dia wajib berniat dalam hati bahawa sebaik sahaja dia memperolehi pendapatan, dia akan mengembalikannya kepada orang yang mempunyai hak itu.
Sekiranya dia meninggal dunia sebelum dapat melunasi hutang dan apa-apa yang berkaitan dengan harta tersebut, sedangkan dia berniat dengan sungguh-sungguh hendak mengembalikannya, maka Allah akan menyelesaikan masalah itu dengan pihak yang berkaitan denganya di hari kiamat nanti. Dan Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.
Disaring dari – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/11109-fatwa-qaradhawi-taubat-nashuha
SEMBILAN TANDA TAUBAT DITERIMA ALLAH S.W.T.
Manusia tidak luput dari dosa, dan kita diperintahkan untuk sentiasa bertaubat atas dosa tersebut. Tetapi kita seringkali lalai dan mengulangi melakukan dosa itu. Bagaimana untuk kita ketahui bahawa taubat yang kita lakukan diterima oleh Allah s.w.t?
Mengutip perkataan ahli hikmah Syeikh Syihabuddin Ahmad ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya “al-Munabbihat ala al-Isti dad lil Yaumil Mi’ad”, dia mengatakan bahawa tidak ada yang dapat memutuskan dengan pasti adakah taubat seseorang itu diterima atau tidak.
Walaupun begitu, ada beberapa tanda yang menunjukkan taubat seseorang diterima oleh Allah s.w.t. Berikut adalah tanda atau ciri-ciri tersebut:
1. Hati lebih tenang dan tenteram
2. Suka bersama-sama dengan orang-orang soleh
Tanda taubat seseorang diterima oleh Allah adalah ramainya teman-teman yang soleh dan solehah di sekelilingnya. Ini bermakna dia tidak lagi selesa untuk berkawan dengan teman–teman lamanya pada ketika dia melakukan banyak dosa dan maksiat dahulu.
Allah Ta’ala berfirman:
ٱلتَّٰٓئِبُونَ ٱلۡعَٰبِدُونَ ٱلۡحَٰمِدُونَ ٱلسَّٰٓئِحُونَ ٱلرَّٰكِعُونَ ٱلسَّٰجِدُونَ ٱلۡأٓمِرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱلنَّاهُونَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡحَٰفِظُونَ لِحُدُودِ ٱللَّهِۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِين ١١٢
“(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)”. (Surah at-Taubah, Ayat 112)
3. Menyibukkan diri dengan kewajiban dan ibadah terhadap Allah s.w.t.
4. Banyak bersyukur
Bersyukur adalah kunci utama dari kebahagiaan serta ketaqwaan seseorang. Oleh kerana itu semakin Allah menerima taubat yang dilakukan manusia maka akan semakin tinggi kesadaran diri akan kebesaran Allah dan akan semakin besar pula rasa syukur atas nikmat–nikmat yang Allah berikan kepadanya.
Allah Ta’ala berfirman:
۞أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَٰرِهِمۡ وَهُمۡ أُلُوفٌ حَذَرَ ٱلۡمَوۡتِ فَقَالَ لَهُمُ ٱللَّهُ مُوتُواْ ثُمَّ أَحۡيَٰهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلنَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَشۡكُرُونَ ٢٤٣
“Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka:” Matilah kamu ” kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 243)
5. Akhlaknya semakin baik
Seseorang yang bertaubat pastinya berusaha untuk memperbaiki akhlaknya dan Allah akan senantiasa membantu hati hamba-Nya yang bertaqwa sehingga akhlaknya terus-menerus menjadi lebih baik.
Allah berfirman :
إِنَّآ أَخۡلَصۡنَٰهُم بِخَالِصَةٖ ذِكۡرَى ٱلدَّارِ ٤٦
“Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa memperingati negeri akhirat”. (Surah Sad, Ayat 46)
6. Suka bersedekah
7. Menjaga penampilan / aurat
Allah Ta’ala akan sentiasa membimbing hati hamba-Nya yang benar–benar ikhlas bertaubat sehingga dia semakin beristiqamah dalam menjaga penampilan dan auratnya. Untuk istiqamah menjaga penampilan sebagai seorang muslim yang taat tidaklah mudah.
Allah berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ يُدۡنِينَ عَلَيۡهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّۚ ذَٰلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَن يُعۡرَفۡنَ فَلَا يُؤۡذَيۡنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ٥٩
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”. (Surah Al-Ahzab, Ayat 59)
8. Menjaga kelakuan dan kata-katanya
9. Sentiasa merasa berdosa dan terus berusaha memperbaiki diri.
Yang paling utama dari syarat taubat adalah menyedari dan menyesali dosa dan kesalahan yang telah dilakukannya.
Setelah seseorang memperbaiki diri dan bertaubat, dia tidak akan merasa cukup dengan ibadah yang telah ia lakukan, seolah-olah dosanya masih terus ada, mungkin ianya dosa yang telah lalu ataupun dosa yang baru dilakukannya. Oleh itu, dia akan terus berusaha untuk meningkatkan keimanan untuk menebus dosa-dosa yang melekat dalam dirinya. Wallahu A’lam.
Disaring dari artikel asal – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/131672-9-tanda-taubat-diterima-allah-ta-ala