[Muat Turun Artikel – Format PDF]
Sum’ah ialah orang yang ingin kebaikan yang dilakukannya didengar dan dipuji manusia.
PERBEZAAN DI ANTARA RIYA’ DAN SUM’AH SERTA APAKAH BAHAYANYA
Amal ibadah hendaklah dilakukan dengan ikhlas. Akan tetapi, ada kalanya bila dilakukan secara terus menerus dan banyak, ianya mungkin bercampur riya dan sum’ah.
Apakah riya dan sum’ah? Apakah perbezaan di antara keduanya dan apakah bahayanya?
“Riya’ “ asal katanya adalah رَأَى (ra’aa) yang maknanya melihat, maksudnya pelaku riya’ tersebut ingin memperlihatkan amalannya ketika dia melakukannya.
“Sum’ah” asal katanya adalanya سَمِعَ (sami’a) yang maknanya mendengar, maksudnya pelaku sum’ah tersebut bermaksud memperdengarkan amalannya setelah dia melakukannya.
Namun secara umumnya, ianya digunakan dalam keadaan yang sama, begitu juga hukumnya adalah sama, kedua-duanya termasuk “syirik asghar” (syirik kecl). Nabi s.a.w bersabda,
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ الشِّرْكُ الأَصْغَرُ. قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاء
“Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan akan menimpa kamu adalah syirik asghar”. Para Sahabat bertanya, “Apa itu syirik asghar, wahai Rasulullah?”. Baginda bersabda, “(Syirik asghar adalah) riya’.” (Hadith riwayat Ahmad)
Oleh itu, apakah bahaya riya’ dan sum’ah? Fitrah manusia ialah memiliki kecenderungan ingin dipuji dan takut dicela. Hal ini menyebabkan riya’ menjadi sangat samar dan tersembunyi. Kadang-kadang, seorang berasa telah beramal ikhlas kerana Allah, namun secara tidak sedar dia telah terjerumus ke dalam penyakit riya’.
Pernahkah kita mendengar tapak kaki seekor semut berjalan? Bunyi langkahnya begitu perlahan bahkan tidak dapat kita dengar. Beginilah Rasulullah s.a.w menggambarkan kesamaran riya’. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Kesyirikan itu lebih samar dari langkah kaki semut”. Lalu Abu Bakar bertanya, “Wahai Rasulullah, bukankah kesyirikan itu ialah menyembah selain Allah atau berdoa kepada selain Allah?”. Maka Baginda bersabda. ”Apalah engkau ini. Kesyirikan pada kamu lebih samar dari semut berjalan”. (Hadith riwayat Abu Ya’la Al-Maushili dalam Musnad-nya, tahqiq Irsya Al Haq Al Atsari, disahihkan Al Albani dalam Shahih Al Targhib)
Rasulullah s.a.w. bimbangkan bahaya riya’ atas umat Islam melebihi kebimbangan Baginda terhadap bahaya Dajjal. Disebutkan dalam sabda Baginda: “Mahukah kamu aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan menimpa kamu daripada Dajjal”. Kami berkata, “Tentu!”. Baginda bersabda “Syirik khafi (syirik yang tersembunyi). Iaitu seseorang mengerjakan solat, lalu ia cantikkan solatnya kerana dia melihat ada seseorang yang memandangnya”.
Sum’ah pula tidak banyak berbeza dengan riya’. Contohnya seseorang bersedekah, kemudian orang tersebut menceritakan kepada jiran-jirannya. Atau dia membersihkan masjid, kemudian dia menceritakannya kepada orang lain. Atau seseorang yang berpuasa, kemudian dia menceritakannya dengan berlebih-lebihan kepada orang lain. Secara tidak sedar orang ini ingin supaya orang lain mendengar apa yang telah dilakukannya. Pada mulanya niatnya ikhlas namun kemudiannya bercampur menjadi sum’ah.
Dari Jundub bin Abdillah r.a., diriwayatkan bahawa dia berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa melakukan sum’ah, maka Allah akan memperdengarkan aibnya. Dan barangsiapa yang berbuat riya’, maka Allah akan memperlihatkan aibnya”.
Bagaimanakah cara untuk mengubati penyakit riya’ dan sum’ah ini? Sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat kepada Allah atas kesalahan yang dilakukannya. Hati manusia cepat berubah. Mungkin ketika beribadah dia melakukannya dengan ikhlas; boleh jadi beberapa saat kemudian ikhlas tersebut bertukar menjadi riya’. Di waktu pagi dia ikhlas, mungkin di petang hari sudah tidak ikhlas. Hari ini ikhlas, mungkin esok tidak. Hanya kepada Allah kita memohon agar hati kita diteguhkan dalam agama ini. َ
Agar terhindar dari sifat riya’ dan sum’ah, ada beberapa panduan yang dapat kita lakukan, antaranya ialah,
- Memohon dan selalu berlindung kepada Allah agar mengubati penyakit riya’ dan sum’ah ini
- Berusaha menghindarinya
- Sedar akan akibat buruk perbuatan riya’ dan sum’ah di dunia dan akhirat
- Usahakan selalu menyembunyikan dan merahsiakan ibadat
- Latihan dan mujahadah.
Wallahu A’lam.
Disaring dari – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/133454-beda-riya-dan-sum-ah-serta-bahayanya