Pemarah

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Sifat pemarah  berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian, selalunya didorong oleh pengaruh syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya. 

MENUKAR KEMARAHAN KEPADA CINTA

Apa Yang Terjadi dengan Tubuh Kita Bila Kita Marah?

Hasil kajian terkini menyatakan, ketika kita marah, tekanan emosi  menyebabkan hormon kortisol dilepaskan di dalam tubuh. Pelepasan kortisol dalam jumlah yang kecil dapat menyebabkan ledakan energi yang cepat. Namun peningkatan energi dalam waktu yang panjang  akan  memberi kesan negatif bagi tubuh.

Antara beberapa kesan  negatif pada tubuh ialah  gula darah yang tidak seimbang, kepadatan tulang yang berkurang, melemahkan respon sistem kekebalan tubuh, menyebabkan tubuh mudah terdedah terhadap radang yang kronik sehingga melemahkan fungsi tiroid, melambatkan metabolisme tubuh, mengganggu kemampuan berfikir dan meningkatkan tekanan darah.

Kita perlu tahu apakah kesan “kemarahan” kepada tubuh dan jiwa kita. Kita tidak mampu untuk mencegah kesan buruk dari “kemarahan” terhadap tubuh badan kita. Kemarahan dapat meningkatkan denyut jantung kita sampai 180 kali seminit. Denyutan jantung yang pantas  ini dapat meningkatkan tekanan darah  dari 120/80 sehingga  220/130 malah mungkin lebih tinggi dari itu.

Bila marah, nafas kita menjadi lebih cepat kerana ingin mendapatkan lebih banyak oksigen untuk  tubuh kita. Tubuh dan otot-otot kita juga menjadi tegang. Ketika ini kita menjadi tertekan (stress) dan tubuh kita melepaskan zat kimia yang membekukan darah, yang menyebabkan bahaya darah beku di pembuluh darah otak atau jantung. Ini boleh mengakibatkan lumpuh (stroke) atau serangan jantung.

Kemarahan juga mengurangkan edaran oksigen dalam tubuh. Kekurangan oksigen dapat menyebabkan rasa pedih dada. Kemarahan yang tidak terkawal dapat menyebabkan saluran darah otak pecah yang menyebabkan “stroke”. Otot leher dan kepala yang tegang dapat menyebabkan sakit kepala, “migrane” malah penyakit susah tidur (“insomnia”). Kemarahan juga dapat menahan tenaga dan menghalang metabolisme tubuh. Kemarahan merangsang pelepasan asid di dalam perut menyebabkan meningkatnya kandungan  asid dan meyebabkan ulser perut. Kemarahan juga dapat merosakkan fungsi paru-paru.

Apa akan terjadi kepada otak kita bila kita marah ?

Kemarahan berpunca dari bahagian otak yang dikenali sebagai “Amigdala”. Amigdala atau otak reptilia (disebut dengan otak reptilia kerana ini merupakan bahagian otak yang terdapat pada ular, buaya dan lain-lain binatang reptilia). Sikap sabar dan diam dapat memulihkan “stress” (tekanan) atau kemarahan dengan lebih cepat kerana bahagian “cortex prefrontal“ akan bertindak menenangkan amigdala.

Hasil penelitian di Hotchkiss Institute Calgary, kemarahan dan stress yang berpanjangan juga menyebabkan perubahan fungsi otak ke peringkat selular. Kemarahan dan stress dapat menghalang pertumbuhan neuron baru di dalam otak yang mengakibatkan matinya saraf atau depresi. Juga dapat menyebabkan kemerosotan ingatan dan mengurangkan kemampuan untuk belajar perkara baru.

Belajar Menguruskan Rasa Marah dari Manusia Terhebat Sepanjang Zaman

وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Dan Balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, Maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim. (Surah asy-Syura, Ayat 40)

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa seseorang berkata kepada Nabi s.a.w.:  “Berilah aku wasiat?”. Baginda bersabda,”Janganlah kamu marah”. Lelaki itu mengulangi kata-katanya, Baginda tetap bersabda,”Janganlah kamu marah. (Hadith riwayat al-Bukhari)

Adalah suatu hal yang sukar untuk membalas sesuatu kejahatan dengan kejahatan yang sama. Ledakan emosi dan kemarahan menjerumuskan   manusia untuk membalas  kejahatan dengan kejahatan yang lebih zalim.

Oleh itu, Allah mendorong hambanya supaya memaafkan  kejahatan yang dilakukan ke atasnya. Allah telah menyediakan ganjaran terbaik di sisi-Nya, untuk mereka yang pemaaf. Sifat baik ini. bukan setakat menukar kemarahan kepada  kemaafan  bahkan berbuat baik kepada orang yang melakukan kejahatan.

Terlalu banyak bukti mengagumkan yang ada dalam diri Rasulullah Muhammad s.a.w. dalam mengurus emosi “kemarahan”. Peristiwa Futuh Makkah, Haditsul Ifki, Peristiwa  Thaif danaan berbagai peristiwa  lain yang menggambarkan tidak hanya kemarahan bertukar kepada  kemaafan, malah menimbulkan rasa cinta di dalam hatinya.

Panduan dari Rasulullah untuk mengurus rasa  marah

1.Membaca Ta’awudz

Al Imam Al-Bukhari dan Al -Muslim rahimahumullah meriwayatkan hadith dari Sulaiman bin Surod r.a.: Ada dua orang saling mencela di sisi Nabi s.a.w dan kami sedang duduk di samping Nabi s.a.w.

Salah satu dari keduanya mencela lawannya dengan penuh kemarahan sampai merah wajahnya. Maka Nabi s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya aku akan ajarkan suatu kalimat yang kalau diucapkan akan hilang apa yang ada padanya. iaitu sekiranya dia mengucapkan : Audzubillahi minasy syaithani rajiim. Maka mereka berkata kepada yang marah tadi: “Tidakkah kalian dengar apa yang disabdakan nabi?”. Dia menjawab: “Aku  ini bukan orang gila”.

2. Dengan duduk

Apabila dengan ta’awudz kemarahan belum hilang maka disyariatkan supaya duduk, tidak boleh berdiri. Al-Imam Ahmad dan Abu Daud rahimahumullah meriwayatkan hadith dari Abu Dzar r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda, Apabila salah seorang di antara kalian marah dalam keadaan berdiri duduklah, jika belum hilang maka berbaringlah.

Ini adalah kerana marah dalam keadaan berdiri lebih besar kemungkinannya melakukan kejahatan dan kerosakan daripada dalam keadaan duduk. Sedangkan berbaring lebih jauh lagi untuk melakukan keroskan berbanding dengan keadaan duduk dan berdiri.

3.Tidak bercakap

Diam, tidak bercakap ketika marah merupakan ubat yang mujarab untuk menghilangkan kemarahan, kerana banyak bercakap dalam keadaan marah menyebabkan tidak terkawal  sehingga terjebak  pada percakapan yang tercela dan membahayakan dirinya dan orang lain. Dalam hadith disebutkan, “Apabila di antara kamu marah maka diamlah”. Baginda mengucapkannya sebanyak  tiga kali. (Hadith riwayat Ahmad).

4. Berwudhu’

Sesungguhnya marah itu adalah dari syaitan. Dan syaitan itu dicipta dari api.  Api itu mampu dipadamkan  dengan air, demikian juga sifat marah dapat dipadamkan dengan berwudhu’.

Rasulullah s.a.w  bersabda,Sesungguhnya marah itu dari syaitan dan syaitan itu dicipta dari api, dan api itu dipadam dengan air maka apabila di antara kamu marah berwudhu’lah”. (Hadith riwayat Ahmad dan lain-lain dengan sanad hasan)

Penyelesaian yang luar biasa. Rasa marah bukan untuk dibesar-besarkan. Tidak untuk diikuti dengan perasaan. Tetapi hendaklah ditahan. Ditutup dengan rasa maaf. Dan, ditukar dengan rasa cinta.

Adaptasi dari – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/12064-merubah-kemarahan-menjadi-cinta

INGIN DAPAT RAHMAT ALLAH? JADILAH MANUSIA YANG BERSOPAN SANTUN

Keras hati, pemarah, berdendam dan hasad dengki merupakan sikap yang lahir kerana lemahnya akal dan tidak mampu  melawan dorongan nafsu yang selalu diapi-apikan oleh syaitan. Akibatnya iman beransur-ansur menjadi lemah. Jika ini terjadi secara terus-menerus, rahmat Allah mustahil akan menemani hidup kita.

Pada dasarnya setiap manusia boleh terjebak dalam rayuan syaitan. Oleh kerana itu, Allah mengajar kepada umat Islam supaya pandai mengendalikan nafsu. Mereka yang gagal mengendalikan nafsunya akan pasti  menjadi manusia yang dibenci, dijauhi, bahkan dimusuhi.

Untuk menjadi seorang yang  tidak pemarah terhadap cercaan, cemuhan dan gangguan orang lain adalah  suatu yang sukar.

Tetapi Allah dan Rasul-Nya tetap memerintahkan umat Islam untuk memilih yang berat itu (dengan tidak marah). Bahkan Allah memerintahkan kita untuk bersopan-santun (lemah lembut), bersegera dalam memaafkan, bahkan sampai pada tahap memohon ampunan, serta mengajak orang yang sering mengganggu emosi kita untuk bermusyawarah.

Ini adalah kerana marah tidak akan menghasilkan apa-apa.

Di peringkat  awal dakwah Islam, sejarah membuktikan bahawa akhlak yang mulia, atau sifat lemah lembut, adalah  faktor paling penting untuk menarik  seseorang memeluk Islam. Pada masa itu orang belum mampu berfikir sebagaimana manusia moden hari ini. Tetapi jangan salah anggap, di zaman moden pun akhlak yang mulia atau sifat lemah lembut juga merupakan senjata yang ampuh untuk menyelesaikan berbagai macam persoalan.

Tetapi, sayangnya, kini faktor tersebut tidak lagi diperhatikan apatah lagi diutamakan.

Akhlak tidak lagi diperhatikan, sikap lemah lembut dan sopan santun tidak lagi dianggap sebagai suatu yang istimewa. Dalam keadaan begini, tentu rahmat Allah jauh dari kehidupan kita.

Perselisihan, pertengkaran dan pergaduhan menjadi hiasan kehidupan manusia yang tidak lagi berakhlak dan tidak mengenal erti sopan santun.

Menarik apa yang Allah perintahkan kepada kita semua, bahawa jangankan kepada saudara seiman, kepada raja yang kafir pun kita diperintahkan untuk berbicara dengan lemah lembut dan penuh kesantunan. Lihatlah bagaimana Allah berpesan kepada Musa dan Harun a.s. ketika keduanya pergi untuk memberi peringatan kepada Fir’aun, seorang raja yang sangat kejam dan zalim.


فَقُولَا لَهُ قَوْلاً لَّيِّناً لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Taha, Ayat 44).

Jadi tidak hairanlah mengapa Nabi Muhammad s.a.w sentiasa  bersikap sopan-santun, lemah lembut dalam kehidupannya. Ini adalah kerana pada sifat lemah lembut, sopan-santun dan juga akhlak mulia terdapat sebuah kekuatan besar, iaitu mampu menyedarkan seseorang untuk menilai kebenaran dan kebatilan lalu mengikuti kebenaran dan meninggalkan kebatilan.

Di zaman Nabi hampir tidak ada orang yang memeluk  agama Islam kerana perdebatan. Tetapi mereka memeluk Islam kerana akhlak Rasulullah yang bersopan santun dan bersifat lemah lembut. Jadi marilah kita berusaha menjadi seorang yang bersopan-santun, lemah lembut dan berakhlak mulia.

Allah telah menegaskan dengan terang dan jelas bahawa kejayaan Nabi Muhammad dalam dakwah adalah kerana rahmat-Nya berupa sopan-santun. Jika kita ingin berjaya, mendapat rahmat Allah maka hendaklah memilih sopan-santun sebagai peribadi kita, bukan kebencian, kedengkian dan permusuhan.

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِي

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (Sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”. (Surah Ali Imran, Ayat 159).

Jika kita telah berusaha menjadi seorang yang berakhlak baik tetapi  belum ada perubahan pada manusia sekeliling kita, serahkanlah semuanya kepada Allah kerana kewajipan kita hanyalah untuk menjadi orang yang berakhlak mulia, bukan untuk mengubah orang lain. Kita tidak mempunyai kekuatan untuk mengubah hati orang lain. Dan percayalah, Allah pasti mempunyai kehendak  yang lebih baik dan lebih indah. Wallahu a’lam.

Adaptasi dari – https://www.fiqhislam.com/agenda/syariah-akidah-akhlak-ibadah/13180-ingin-dapat-rahmat-jadilah-pribadi-santun

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s