[Muat Turun Artikel – Format PDF]
Oleh : Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
Segelintir masyarakat Islam masih terkeliru dengan kaedah perubatan yang dibenarkan dalam Islam. Akibatnya, mereka terjebak dalam kancah perubatan yang menyimpang antaranya perbomohan yang menggunakan pelbagai kaedah yang tidak dibenarkan Islam. Malah, disebabkan ghairah mencari bomoh, ada yang menjadi mangsa seks bomoh.
Amalan Perbomohan Atau Jampi Yang Dibenarkan Dalam Islam Dan Syarat-syaratnya.
Jika perbomohan itu sesuatu yang dikaitkan dengan membaca jampi atau disebut sebagai ruqyah dalam bahasa Arab, maka pada asasnya kita perlu jelas bahawa amalan berjampi dengan syarat-syaratnya yang betul adalah dibenarkan dalam agama. Bahkan Rasulullah s.a.w melakukannya dan dianggap sebagai sunnah untuk beramal dengannya. Di dalam Sahih Muslim, dalam kitab al-Salam, ada bab yang disebut sebagai “Istihbab Ruqyah al-Maridh” (Bab digalakkan menjampi orang yang sakit). Al-Imam Muslim meriwayatkan hadith-hadith yang menunjukkan Rasulullah s.a.w berjampi dan menyuruh Sahabat berjampi, termasuk menyuruh isteri Baginda iaitu `Aishah r.ha. Dalam riwayat daripada Jabir bin `Abdullah, Baginda menyuruh berjampi dengan katanya, “Sesiapa yang dapat memanfaatkan saudaranya maka lakukanlah”. Kata al-Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: “Adapun jampi dengan dengan ayat al-Quran dan zikir-zikir yang diketahui, tidak dilarang bahkan sunnah”. Syarat-syarat jampi itu hendaklah, pertama: Aqidah orang yang mengamalkannya hendaklah betul dan bersih dari unsur syirik dan khurafat dengan yakin bahawa hanya Allah Penentu dan Penyembuh. Kedua: Bacaan jampi difahami maksudnya agar tidak terdapat padanya unsur-unsur salah yang pengamalnya tidak tahu. Ketiga: Inti kandungan jampi memenuhi tuntutan aqidah Islam iaitu tidak mengandungi unsur syirik dan sesat. Ini seperti apa yang disebut dalam hadith Muslim dan Abu Daud: Kata ‘Auf bin Malik al-‘Asyja‘i: Kami dahulu berjampi ketika jahiliyyah lalu kami bertanya: “Wahai Rasululullah! Apa pendapat engkau mengenai hal ini?”. Sabda Nabi s.a.w: “Bentangkan kepadaku jampi kamu. Tidak mengapa dengan jampi sekiranya tiada padanya kesyirikan”. Continue reading →