Hukum Mengenai Ramalan Nasib Menggunakan Bintang-bintang (Horoscope)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Oleh : Abu Ameenah Bilaal Philips

Bukan sahaja amalan meramal nasib berdasarkan bintang (astrology) adalah haram, tetapi mengunjungi peramal bintang dan mendengar ramalannya, membeli buku berkenaan ramalan bintang atau membaca ramalan nasib (horoskop) adalah dilarang. Oleh kerana ramalan bintang adalah untuk meramal masa depan, mereka yang mengamalkan adalah dikira sebagai tukang tilik. Oleh itu mereka yang mendapatkan khidmat peramal bintang (tukang tilik) termasuk dalam hadith Nabi:

“Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan bertanya kepadanya tentang sesuatu perkara, tidak diterima solat yang dilakukannya selama 40 malam.” (Hadith riwayat Muslim Dari Hafsah)

Hukuman yang dinyatakan dalam hadith ini untuk orang yang mengunjungi peramal bintang (tukang tilik) hanya untuk bertanya kepadanya, walaupun dia tidak yakin dengan kebenaran ramalan tukang tilik tersebut. Sekiranya seseorang ragu tentang benar atau salahnya ramalan bintang, dia sebenarnya ragu sama ada seseorang di samping Allah tahu atau tidak perkara-perkara ghaib dan perkara-perkara yang berlaku di masa depan.

Ini adalah salah satu bentuk kesyirikan kerana Allah telah jelas menyatakan:

“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja” (Surah al-An’aam, Ayat 59)

“Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” (Surah an-Naml, Ayat 65)

Walaupun begitu, jika seseorang percaya dengan ramalan peramal bintang, sama ada diberitahu oleh seorang peramal bintang atau ditulis di dalam buku ramalan bintang, ianya termasuk dalam amalan kufur sebagaimana sabda Nabi:

“Barangsiapa yang mendatangi dukun atau tukang tilik, lalu ia membenarkannya, maka ia bererti telah kufur pada Al Qur’an yang telah diturunkan pada Muhammad”. (Hadith Riwayat Ahmad)

Sebagaimana hadith sebelum ini, hadith ini merujuk secara langsung kepada tukang tilik, tetapi ianya juga terpakai kepada peramal bintang (astrologist). Mereka sama-sama mendakwa tahu perkara-perkara yang akan berlaku di masa hadapan.

Dakwaan (mengetahui masa depan) peramal bintang bercanggah dengan aqidah sebagaimana juga dakwaan tukang tilik. Mereka mendakwa personaliti dan perangai manusia adalah ditentukan oleh bintang-bintang, tindakan-tindakan di masa hadapan dan apa yang akan berlaku dalam kehidupan mereka tercatat di bintang-bintang. Tukang tilik pula mendakwa bentuk lingkaran daun teh di dasar cawan atau garis-garis tangan mendedahkan perkara yang sama. Dalam kedua-dua hal, individu-individu ini mendakwa berupaya mentafsirkan bentuk fizikal sesuatu perkara dan mendakwa mengetahui ilmu ghaib.

Percaya terhadap astrologi dan ramalan bintang adalah bercanggah dengan roh dan semangat Islam. Ianya adalah dari jiwa yang kosong yang tidak merasai manisnya iman. Sesungguhnya jalan ini adalah cubaan untuk lari dari takdir. Mereka yang jahil ini yakin bahawa dengan mengetahui perkara yang akan berlaku esok, mereka boleh membuat persediaan pada hari ini. Dengan cara ini mereka cuba menghindari keburukan dan hanya mendapat kebaikan dalam hidup ini. Padahal Nabi telah diperintahkan oleh Allah untuk memberitahu:

“Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”. (Surah al-A’raaf, Ayat 188)

Muslim sebenar hendaklah menghindari perkara-perkara ini. Oleh itu, cincin dan seumpamanya yang mengandungi gambar zodiak (bintang-bintang) tidak boleh dipakai, walaupun mereka tidak mempercayai perkara tersebut. Perkara-perkara ini adalah sebahagian dan perkara-perkara batil yang mempromosikan kekufuran dan kita hendaklah menghindarinya sepenuhnya. Orang beriman tidak sepatutnya bertanya atau cuba mengagak zodiak seseorang. Dan seorang muslim yang percaya dengan ramalan bintang untuk menentukan tindakan-tidakannya hendaklah bertaubat dan memperbaharui Islamnya.

[Diterjemahkan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari artikel asal bertajuk “The Islamic Ruling On Horoscope” tulisan Abu Ameenah Bilaal Philips yang disiarkan di laman web  www.islamicawakening.com ]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s