[Muat Turun Artikel – Format PDF]
Allah berfirman, maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu. Dan barangsiapa berbuat demikian dengan melanggar hak dan aniaya, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”. (Surah An-Nisa’, Ayat 29–30)
Al-Wahidi mentafsirkan ungkapan, “Dan janganlah kamu membunuh dirimu…” bermaksud bahawa, “Janganlah sebahagian dari kamu membunuh sebahagian yang lain (saling membunuh), kerana kamu adalah pemeluk agama yang satu dan kamu bagaikan satu tubuh”.
Begitu juga pendapat Ibnu ‘Abbas dan sebahagian besar ulama’. Manakala yang lainnya berpendapat bahawa yang dimaksudkan oleh ayat ini adalah membunuh diri sendiri. Pendapat ini disokong oleh sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abu Manshur Muhammad bin Muhammad al-Manshuri dari `Amru bin al-‘Ash katanya, “Pada suatu malam yang dingin, di dalam peperangan Zatus Salasil, saya mimpi basah. Saya khuatir jika saya mandi, ianya boleh mendatangkan mudharat. Oleh sebab itu saya bertayammum sahaja, lalu menunaikan sembahyang Subuh bersama-sama para Sahabat yang lain. Kejadian itu saya ceritakan kepada Nabi s.a.w. Baginda berkata, “Wahai Amru, kamu sembahyang dengan para Sahabatmu sedangkan kamu dalam keadaan junub?”. Maka saya pun menerangkan kepada Baginda kenapa saya tidak mandi wajib. Saya berkata, “Saya mendengar firman Allah, “Dan janganlah kamu membunuh dirimu; Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu”. Maka Rasulullah pun tertawa dan tidak mengucapkan apa-apa”. [1]
Dalam hadith di atas `Amru bin al-Ash telah mentakwilkan ayat dengan “kebinasaan dirinya sendiri”, dan bukan diri orang lain. Dan Nabi s.a.w tidak membantahnya.
Tentang firman Allah, “…Dan barangsiapa berbuat demikian…”, Ibnu `Abbas berkata, “Yang dimaksudkan dengan berbuat demikian itu adalah semua larangan Allah yang telah dijelaskan sejak dari awal surat”. Sebahagian ulama’ berpendapat, “Itu kembali kepada memakan harta secara batil dan membunuh manusia yang diharamkan”.
Jundub bin `Abdullah berkata bahawa Nabi bersabda, maksudnya:
“Dahulu, dalam sebuah kaum sebelum kamu, ada seorang lelaki yang terluka. Dia tidak sabar lalu dia mengambil pisau dan dia potong tangannya sendiri. Sebelum darahnya kering, orang itu telah meninggal dunia. Lalu Allah ta’ala berfirman, “Hamba Ku telah mendahului Aku dengan nyawanya, maka Aku haramkan baginya syurga”. [2]
Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, “Barangsiapa membunuh dirinya dengn benda tajam, maka nanti di Jahannam benda itu akan ditusuk-tusukkannya ke perutnya dan dia kekal di dalamnya. Barangsiapa membunuh dirinya dengan racun, maka nanti di Jahannam dia akan memegang racun itu dengan tangannya lalu menhirupnya dan dia kekal di dalamnya. Barangsiapa membunuh dirinya dengan terjun dari puncak gunung, maka nanti dia akan terjun ke dalam neraka Jahannam dan dia kekal di dalamnya”. [3]
Tsabit bin Dahhak meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:
“Barangsiapa membunuh dirinya sendiri dengan sesuatu maka kelak dia akan diseksa dengan barang itu di neraka Jahannam. Melaknat seorang mukmin itu sama dengan membunuhnya. Dan barang siapa menuduh seorang mukmin sebagai seorang kafir sama seperti dia telah membunuhnya”. [4]
Sebuah hadith sahih juga menjelaskan ada seorang lelaki yang tidak sabar menahan rasa sakit dari luka-lukanya di medan perang. Lalu dia membunuh dirinya sendiri dengan pedangnya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Ia termasuk penghuni Neraka”. [5]
Semoga Allah memimpin kita ke jalan yang benar dan melindungi kita dari kejahatan diri kita serta keburukan amal kita. Sesungguhnya Dia Maha Memberi, maha Pemurah, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
NOTA KAKI
1. Hadith diriwayatkan oleh Ahmad (4/203 – 204), Abu Daud (334), Ad-Daruquthni dan Al-Hakim (1/177) dan disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Al-Irwa’ (154)
2. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (3463) dan Muslim (113)
3. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (5778) dan Muslim (109)
4. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6105) dan Muslim (110)
5. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6807) dan Muslim (112) dari Sahal bin Sa’ad.
Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit