USUL DIRAYAT KE – 49 – Hadith-hadith yang menyatakan Allah membenci bahasa tertentu dan mencela, menghina atau menjelikkan mana-mana bahasa dengan mengatakan ia bahasa ahli neraka atau bahasa syaitan dan sebagainya semuanya maudhu’. Demikian juga hadith-hadith yang melarang orang yang pandai berbahasa Arab daripada bercakap dengan bahasa selain Arab, dan menyatakan orang-orang yang bercakap dengan bahasa Arab seperti bahasa Farsi dan lain-lain tidak bermaruah dan akan menyebabkan ia menjadi jahat, munafiq dan sebagainya.
SELINGAN
1. [ 00:10:03 ] – Istilah “Dajjal” yang diberi kepada seorang perawi hadith palsu adalah lafaz yang paling teruk terhadap seorang perawi. Ianya menunjukkan seorang penipu besar yang tidak halal diriwayatkan hadith daripadanya kecuali untuk mendedahkan keburukannya.
2. [ 00:11:50 ] – Keperluan kepada pengajian hadith amat mendesak sekarang ini kerana fenomena penyebaran hadith palsu berlaku dengan berleluasa dalam masyarakat. Masyarakat yang jahil hadith akan mudah tertipu dengan penampilan luaran individu-individu yang menyeleweng.
[KENALI HADITH PALSU] – HADITH ALLAH MEMBENCI BAHASA TERTENTU DAN MENCELA, MENGHINA ATAU MENJELIKKAN MANA-MANA BAHASA DENGAN MENGATAKAN IA BAHASA AHLI NERAKA ATAU BAHASA SYAITAN DSB SEMUANYA MAUDHU’. JUGA HADITH MELARANG ORANG YANG PANDAI BERBAHASA ARAB DARIPADA BERCAKAP DENGAN BAHASA SELAIN ARAB
“Bahasa yang paling dibenci Allah ialah bahasa Farsi. Bahasa syaitan ialah bahasa Khuzi (bahasa orang-orang Khuzistan). Bahasa penghuni neraka ialah bahasa Bukhara, dan bahasa ahli syurga ialah bahasa Arab”
i. Perawi hadith ini Amar Bin Musa dituduh sebagai pendusta oleh Ibnu Ma’in.
ii. Imam al-Bukhari menulis satu bab bertajuk, “Orang yang bercakap bahasa Farsi dan bahasa-bahasa lain selain bahasa Arab” dengan tujuan untuk menyatakan keharusan bercakap dalam bahasa lain selain bahasa Arab.
iii. Nabi s.a.w. sendiri pernah menggunakan bahasa Farsi dalam percakapan Baginda.
iv. Zaid bin Tsabit pernah diarahkan Nabi untuk belajar bahasa ‘Ibrani dan Siryani untuk tujuan berdakwah kepada mereka yang menggunakan bahasa tersebut.
USUL DIRAYAT KE – 48 – Hadith-hadith yang mencela sesuatu pekerjaan atau usaha mencari rezeki dan profession tertentu semuanya palsu. Begitu juga dengan hadith-hadith yang menghina tukang-tukang atau orang-orang yang melakukan sesuatu pekerjaan sebagai professionnya seperti guru, tukang jahit, peniaga, petani dan lain-lain.
SELINGAN
1. [00:10:59 ] – Berhati-hati bila menerima atau kongsikan ilmu-ilmu berkaitan agama, contohnya, hadith-hadith yang tidak dipastikan kesahihannya. Ingatlah Nabi s.a.w. mengancam dengan neraka kepada orang yang berdusta atas nama Baginda. Niat yang baik sahaja tidak menjamin untuk mendapat pahala malah mungkin menuai dosa sekiranya apa yang dibuat atau dikongsikan salah di sisi agama. Oleh itu belajarlah dan tingkatkanlah ilmu pengetahuan.
2. [ 00:11:17 ] – Islam menganjurkan umatnya supaya bermesyuarat dalam perkara-perkara yang penting
[KENALI HADITH PALSU] – HADITH MENCELA SESUATU PEKERJAAN ATAU USAHA MENCARI REZEKI DAN PROFESSION TERTENTU SEPERTI GURU, TUKANG JAHIT, PENIAGA, PETANI DAN LAIN-LAIN SEMUANYA PALSU.
i. Seorang tokoh hadith, al-Jauzaqaani berkata hadith ini bathil (karut) dan di dalam sanadnya terdapat beberapa orang perawi yang tidak dikenali.
ii. Hadith palsu ini bercanggah dengan sabda Nabi s.a.w. Apabila ditanya apakah pekerjaan yang paling baik dan paling utama, Nabi s.a.w. menjawab, “Pekerjaan seseorang menggunakan tangannya dan segala bentuk jual beli (perniagaan yang halal)”.
iii. Hadith palsu ini juga bercanggah dengan hadith sahih yang diriwayatkan dari ‘Aisyah r.ha., “Sesungguhnya apa yang paling baik dimakan oleh seseorang ialah daripada hasil usahanya. Dan anak seseorang juga daripada hasil usahanya”.
“Jangan kamu bermesyuarat dengan tukang-tukang tenun, tukang-tukang bekam dan guru-guru, kerana Allah telah menarik akal mereka dan menghilangkan keberkatan pekerjaan mereka.”
i. Perawi hadith ini Muhammad bin Dhau’ adalah seorang pendusta besar. Seorang lagi perawinya, ‘Ubaidillah bin Zahar ialah perawi hadith maudhu’.
ii. Ada kemungkinan perawi-perawi ini bermusuhan dengan mereka yang menceburi bidang pekerjaan tersebut lalu mencipta hadith palsu untuk melepaskan geram mereka. Atau mungkin juga perawi hadith palsu ini memang sengaja mencipta hadith palsu untuk merosakkan Islam.
iii. Larangan dari bermesyuarat dengan mereka yang bekerja sebagai tukang bekam, tukang tenun kain atau guru-guru adalah tidak munasabah dan tidak mungkin keluar dari mulut Nabi s.a.w. yang mulia. Ianya bercanggah dengan apa yang diperintahkan Allah, iaitu supaya bermesyuarat.
iv. Budaya mengklasifikasikan pekerjaan berdasarkan status dan “pandangan masyarakat” adalah asing dalam Islam. Yang penting dalam Islam ialah sesuatu pekerjaan itu hendaklah halal.
i. As-Suyuti, as-Sakhaawi dan Ibnu al-Jauzi mengatakan hadith ini dhaif di segi sanadnya. Tetapi di segi dirayat, ianya jelas maudhu’.
ii. Hadith palsu ini bercanggah dengan hadith sahih yang berbunyi, “Tidak ada sama sekali makanan yang lebih baik dimakan oleh seseorang daripada makanan (yang diperolehi daripada) hasil usaha tangannya. Nabiyullah Daud a.s. memakan daripada hasil usaha tangannya”.
iii. Apa yang disebut “tukang” di zaman Nabi, di zaman ini boleh disamakan seperti kepakaran di dalam sesuatu bidang umpamanya kejuruteraan, perubatan dsb. Ianya amat diperlukan dan tidak munasabah ianya dikatakan sebagai manusia yang paling teruk.
iv. Betapa ramai tukang-tukang yang disebut di dalam hadith palsu tersebut adalah terdiri dari mereka yang baik-baik dan amanah.
USUL DIRAYAT KE – 47 – Setiap hadith yang menyebutkan kelebihan orang-orang yang berwajah cantik (baik laki-laki dan perempuan), pujian Nabi s.a.w. terhadap mereka, perintah Baginda supaya memandang mereka, meminta hajat dengan mereka atau mereka tidak akan disentuh api neraka, adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.
[KENALI HADITH PALSU] – HADITH YANG MENYEBUT KELEBIHAN ORANG BERWAJAH CANTIK, PUJIAN NABI TERHADAP MEREKA, PERINTAH BAGINDA SUPAYA MEMANDANG MEREKA ATAU MEREKA TIDAK DISENTUH API NERAKA ADALAH PALSU
“Orang yang dikurniakan Allah s.w.t. wajah yang cantik dan nama yang bagus, serta diletakkan pula pada tempat yang tidak mengaibkannya, bererti dia adalah salah seorang pilihan Allah di kalangan makhluk-Nya”. [Nota: Hadith ini terdapat di dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadith-hadith maudhu’ dan juga beberapa buah kitab hadith besar. Wujudnya dalam kitab-kitab karangan ulama’ muktabar adalah sekadar untuk menyatakan kewujudan hadith tersebut dan seringkali untuk dinilai dan dikomentar oleh pengarangnya]
i. Ibnu al-Jauzi mengatakan hadith ini tidak sahih.
ii. Menurut ajaran Islam terpilihnya seseorang di sisi Allah hanya berdasarkan perbuatan yang memang berada di dalam batas ikhtiarnya, bukan faktor-faktor di luar kawalannya seperti rupa paras yang cantik dsb.
ii. Salah satu kriteria hadith dhaif atau madhu’ ialah kabur maksudnya.
iii. Hadith ini seolah-olah menggalakan umat Islam melakukan maksiat dan tidak mungkin keluar dari mulut Rasulullah s.a.w.
iv. Terdapat beberapa hadith palsu yang senada dengan hadith ini, antaranya, “Melihat (memandang) wajah Ali adalah ibadat”, “Melihat perempuan yang cantik dan warna hijau menambahkan kecerahan mata”. Hadith-hadtih sebegini yang disalah guna oleh pengamal-pengamal ajaran sesat.
i. Walaupun di dalam hadith ini ramai Sahabat Nabi s.a.w. yang dikatakan meriwayatkannya, hakikat sebenarnya, Sahabat-sahabat ini tidak tahu menahu pun tentang hadith ini tetapi pereka hadith telah berbohong dengan mengaitkannya dengan Sahabat.
ii. Hadith ini bercanggah dengan kenyataan, di mana kebaikan tidak bergantung dengan rupa paras seseorang.
iii. Hadith ini tidak boleh dikaitkan dengan hadith sahih berikut kerana maksud dan konteknya berbeza, “Sesungguhnya Allah itu cantik. Dia suka kepada kecantikan”.
“Carilah orang-orang yang berwajah cantik dan berwarna hitam anak matanya, kerana sesungguhnya Allah malu hendak menyeksa (orang yang berwajah cantik) dengan neraka”.
i. Ibnu al-Jauzi mengatakan hadith ini adalah maudhu’.
ii. Hadith ini bercanggah dengan ajaran Islam yang mengaitkan pembalasan amalan seseorang di akhirat kelak dengan amalan dan usaha yang dilakukannya semasa di dunia. Manusia tidak dibebankan dengan sesuatu yang di luar kemampuan dan ikhtiarnya.
iii. Abu Lahab terkenal dengan wajah yang cantik, tetapi rupa parasnya tidak menghalang dia dari dihumbankan ke dalam neraka.
USUL DIRAYAT KE – 46 – Hadith-hadith yang menyatakan anak zina tidak akan masuk syurga, demikian juga anak cucunya, tidak ada satu pun yang sahih, bahkan semuanya maudhu’. Demikian juga hadith-hadith yang menyatakan anak zina diciptakan untuk neraka, semata-mata kerana ia anak zina, bukan kerana apa-apa dosa yang dilakukannya.
[Tiada hadith sahih yang menyatakan kehinaan atau kejelikan anak zina. Kalau ada pun hadith yang dianggap sahih, ianya perlu ditakwil, kerana maksud sebenarnya bukan begitu]
Tiada hadith sahih yang menyatakan kehinaan atau kejelikan anak zina. Kalau ada pun hadith yang dianggap sahih, ianya perlu ditakwil, kerana maksud sebenarnya bukan begitu.
1. Contoh hadith yang dikatakan sahih tapi perlu ditakwil ialah hadith, “Anak zina adalah yang paling teruk antara tiga orang (iaitu dia sendiri, ibu dan bapanya)”.
2. Hadith ini dihukum sahih sanadnya oleh ramai ulama’ hadith termasuk al-Albani. Walaupun begitu kesahihan matannya (kandungannya) adalah meragukan kerana bercanggah dengan keadilan Islam.
3. Sebenarnya hadith ini adalah potongan dari satu hadith yang lain iaitu, “Anak zina adalah yang paling teruk antara tiga orang (iaitu dia sendiri, ibu dan bapanya), jika dia melakukan apa yang dilakukan oleh kedua ibu dan bapanya”. Oleh itu hendaklah difahami maksud hadith pertama adalah berkait dengan faktor yang disebutkan dalam hadith kedua, iaitu “jika dia melakukan apa yang dilakukan oleh kedua ibu dan bapanya”.
4. Untuk mendapat maksud yang tepat dari sesuatu hadith, seseorang perlu meneliti hadith-hadith lain berkaitan perkara yang sama.
SELINGAN
1. [ 00:11:15 ] – HADITH YANG SAHIH HENDAKLAH SAHIH DI SEGI SANAD DAN JUGA MATANNYA.
Sesuatu hadith dianggap sahih bila ianya sahih di segi sanad dan matannya. Hadith yang sahih tidak boleh bercanggah dengan al-Quran dan hadith yang lebih sahih. Sekiranya hadith yang matannya dipertikaikan hendak diterima juga ia perlu ditakwil dengan munasabah dan disesuaikan dengan kenyataan al-Quran dan hadith yang lebih sahih.
2.[ 00:13:09 ] – Hendaklah Membaca Kitab-Kitab Lama Dengan Menggunakan Edisi Yang Telah Di’takhrij” (Dinyatakan Kedudukan Dan Status) Hadithnya Untuk Mengelakkan Dari Terkeliru
[KENALI HADITH PALSU] – HADITH ANAK ZINA DAN ANAK CUCUNYA TIDAK AKAN MASUK SYURGA, SEMUANYA MAUDHU’. DEMIKIAN JUGA HADITH ANAK ZINA DICIPTAKAN UNTUK NERAKA.
i. Hadith ini terdapat di dalam kitab Ibnu ‘Adi, al-Kamil Fi Dhu’afa’, sebuah kitab yang mengumpulkan perawi dhaif dan maudhu’.
ii. Ibnu al-Jauzi mengatakan hadith ini maudhu’, bukan sahaja kerana perawinya, tetapi juga kerana bercanggah dengan keadilan Islam yang termaktub di dalam al-Quran.
iii. Ayat al-Quran yang dimaksudkan oleh Ibnu al-Jauzi ialah ayat 164, Surah al-An’am yang bermaksud: “Seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)”, dan “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya”.
i. Perawi yang menjadi punca (“madaar” atau paksi) hadith ini Abu Isra’il, seorang yang tertolak dan tidak ditulis hadithnya.
ii. Hadith palsu ini menggambarkan ketidakadilan Allah dan agama Islam, di mana orang yang tidak bersalah dihukum sehingga beberapa keturunan manakala orang yang bersalah tidak langsung dikenakan hukuman.
i. Perawi hadith ini, Ali bin Zaid bin Ju’dan adalah seorang perawi yang langsung tidak bernilai. Hadith ini dihukumkan maudhu’ oleh ramai ulama’ hadith.
ii. Hadith palsu ini menyalahi firman Allah di dalam al-Quran dan menyalahi prinsip keadilan Islam.
USUL DIRAYAT KE – 45 – Hadith-hadith yang menyatakan kelebihan mana-mana tempat atau negeri atau pujian Nabi s.a.w. terhadapnya yang bersifat tetap dan berkekalan selain Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis adalah palsu. Demikian juga dengan hadith-hadith yang mencela sesuatu tempat atau negeri. [Nota: Kalaupun ada doa-doa Nabi s.a.w. untuk sesuatu tempat atau negeri selain Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis, seperti Syam, Yaman dan lain-lain maka ia hanya merujuk kepada zaman tertentu, bukan bersifat tetap dan berpanjangan buat selama-lamanya]
Didapati ada naskhah Sahih al-Bukhari yang disusupkan perkataan tambahan seperti “alaihissalam (a.s)” selepas nama-nama yang dianggap sebagai Imam dan tokoh oleh penganut Syiah seperti nama Ali, Fatimah dll.
2. [ 00:15:08 ] – Hadith-hadith palsu boleh didapati dalam kitab-kitab khas yang mengumpulkan hadith-hadith palsu, atau di dalam kitab yang mengumpulkan perawi dhaif yang ditolak hadithnya dan kitab-kitab hadith yang bertaraf rendah yang memasukkan berbagai hadith dari yang sahih hingga yang palsu.
[KENALI HADITH PALSU] – HADITH KELEBIHAN MANA-MANA TEMPAT ATAU NEGERI ATAU PUJIAN NABI TERHADAPNYA YANG BERSIFAT TETAP DAN BERKEKALAN SELAIN MEKAH, MADINAH DAN BAITUL MAQDIS ADALAH PALSU. DEMIKIAN JUGA HADITH YANG MENCELA SESUATU TEMPAT ATAU NEGERI.
“Empat pintu daripada pintu-pintu syurga terbuka di dunia ini. Pertamanya Iskandariah, (kedua) Asqalaan, dan (ketiga) Qazwiin, Dan (keempat) kelebihan Judah (Jeddah) daripada semua yang tersebut itu seperti kelebihan Baitillahil Haraam daripada sekelian rumah yang lain”. [Nota: Hadith ini terdapat di dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadith maudhu’ (palsu)]
i. Perawi hadith ini Abdul Malik bin Harun ialah pendusta besar dan pereka hadith.
ii. Hakikatnya, di mana pun kita berada, kita akan dapat memasuki syurga jika kita beriman dan beramal soleh; tidak terikat dengan empat tempat yang disebutkan dalam hadith palsu ini. iii. Hadith sahih yang memuji Yaman adalah bersifat sementara (semasa) dan hanya merujuk kepada golongan yang menerima Islam di zaman Nabi sahaja. Ini terbukti dengan kenyataan di mana setelah berlalu beberapa abad selepas zaman Nabi, kita dapati Yaman tidaklah terjamin sebagaimana yang digambarkan di dalam hadith tersebut.
“Apabila Wilayah Khurasan (mulai) ditakluk, dan agak lama tentera-tentera Islam ke sana, sehingga mereka berkumpul di Azerbaijan dan kawasan-kawasan pergunungannya. Ketika itu lemahlah semangat Umar r.a. lalu dia berkata, “Kenapalah sibuk sangat aku dengan Khurasan! Kenapalah sibuk sangat aku dengan Khurasan! Alangkah baiknya kalau di antaraku dan Khurasan ada gunung-gunung salji! Alangkah baiknya kalau di antaraku dan Khurasan ada beberapa gunung api! Alangkah baiknya kalau di antaraku dan Khurasan ada seribu tembok, setiap satu daripadanya seperti tembok Ya’juj dan Ma’juj!
Ketika itu berkatalah Ali bin Abi Thalib a.s., “Sabar wahai anak al-Khattab! Agaknya engkau tidak mendapat ilmu Muhammad, atau agaknya engkau belum mengetahui ilmu dari Muhammad s.a.w. bahawa Allah mempunyai sebuah bandar di Khurasan, namanya Marw. Ia diasaskan oleh saudaraku Dzul Qarnain, dan ‘Uzair telah bersembahyang di situ. Sungai-sungainya cantik (menarik pengembara) dan buminya pula subur. Di setiap pintu bandar itu ada malaikat yang menghunus pedangnya demi menjaga penduduknya daripada segala bencana hingga ke hari kiamat.
Allah (juga) mempunyai sebuah bandar di Khurasan. Namanya Thaalaqaan. Kekayaannya bukan berupa emas dan perak, tetapi berupa orang-orang mukmin yang bangkit bila orang-orang lain bangkit dan menolong bila orang-orang lain telah gentar.
Allah (juga) mempunyai bandar di Khurasan. Namanya Syasy. Orang yang berdiri dan tidur di bandar itu sepertii orang yang berlumuran dengan darahnya di jalan Allah.
Allah (juga) mempunyai bandar di Khurasan. Namanya Bukhara. Penduduk Bukhara aman daripada kejutan ketika huru-hara berlaku. Ketika orang-orang lain bersedih, mereka pula bergembira. Bertuahlah Bukhara! Allah menjenguk mereka setiap malam, lalu mengampunkan sesiapa yang dikehendaki-Nya. Taubat orang-orang yang bertaubat di kalangan mereka pula diterima Allah.
Allah (juga) mempunyai bandar di Khurasan. Namanya Samarqand. Ia dibangunkan oleh orang yang membangunkan Hiirah. Allah melindungi penduduknya dan mendengar hiruk pikuknya. Setiap malam berserulah yang berseru (dengan berkata), “Bertuahlah kamu kerana akan memperolehi syurga! Berbahagialah Samarqand! Orang-orang di sekitarnya akan aman daripada azab Allah pada hari kiamat nanti jika mereka taat.
Kemudian berkata Ali, “Wahai Ibnu al-Kawwa’, berapakah jarak di antara Busanj dan Hiraat?” Jawab Ibn al-Kawwa’, “Enam farsakh”. Kata Ali, “Tidak, bahkan sembilan farsakh, tidak lebih dan tidak kurang walaupun sebatu. Demikianlah kekasih dan kesayanganku Muhammad s.a.w. memberitahuku.”
Kemudian beliau (Ali) berkata lagi, “Sesungguhnya di Khurasan ada sebuah bandar dipanggil Thuus. Betapa hebatnya orang-orang mukmin di Thuus! Mereka tidak mempedulikan kerana Allah celaan orang yang mencela. Mereka melakukan ibadat kerana Allah, dan menghidupkan sunnah Nabi-Nya s.a.w.
Sesungguhnya di Khurasan (juga) Allah mempunyai sebuah bandar. Namanya Khuwarizm. Orang yang tidur di situ seperti orang-orang yang beribadat pada hari paling panjang di musim panas. Mereka adalah anak-anak Qafthuura.
Sesungguhnya di Khurasan (juga) Allah mempunyai sebuah bandar. Namanya Jurjan. Hasil taninya elok. Tanah tinggi dan tanah rendahnya menghijau. Sumber airnya pula banyak. Makan dan minum hamba-hamba Allah di situ cukup mewah. Mereka berada dalam kesenangan ketika orang-orang lain berada dalam kesempitan. Mereka menurut perintah Allah dan bersegera pula mentaatinya. Sungguh bertuah mereka! Sekali lagi, sungguh bertuah mereka, jika mereka beriman dan membenarkan!
Sesungguhnya di Khurasan (juga) Allah mempunyai sebuah bandar. Namanya Quumas. Alangkah istimewanya orang-orang di Quumas! Maka berkata Umar, “Hai Ali engkau memang penimbul fitnah!”.
Mendengar kata-kata (tuduhan) Umar itu, Ali pun berkata, “Jika dua biji batu tercampak dari udara pun orang akan berkata, “Ini perbuatan Ali bin Abi Thalib.”
Umar seterusnya berkata, “Alangkah baiknya kalau jarak di antaraku dan Khurasan sejauh jarak di antaraku dan Balqa’ “. [Hadith palsu ini terdapat di dalam kitab al-Maudhuat, Ibnu al-Jauzi]
i. Ibnu al-Jauzi mengatakan hadith ini palsu. Perawi hadith ini Nuh bin Abi Maryam langsung tidak bernilai dan hadithnya tidak boleh ditulis.
ii. Terdapat unsur-unsur Syiah di dalam hadith ini seperti diletakkan doa “alaihissalam (a.s.) selepas nama Ali bin Abi Talib. Saidina Umar (musuh ketat Syiah) pula digambarkan sebagai seorang pengecut dan lemah semangat berbanding Saidina Ali yang digambarkan sebagai seorang yang penyabar dan berpengetahuan luas dalam hadith-hadith Nabi.
iii. Untuk melebihkan dan memuliakan sesuatu tempat berbanding tempat lain, diperlukan nas yang sahih dan terang tentangnya.
“Sesungguhnya Mesir akan ditakluk sepeninggalanku. Maka rebutlah kamu kebaikannya, tetapi jangan jadikannya sebagai tempat tinggalmu. Sesungguhnya akan digiring kepadanya orang-orang yang paling pendek umurnya”
USUL DIRAYAT KE – 44 – Hadith-hadith yang menyatakan kelebihan orang yang bernama Muhammad atau Ahmad semata-mata kerana nama itu, dan celaan serta ancaman terhadap orang yang tidak melebihkan orang yang bernama Muhammad atau Ahmad adalah palsu. Demikian juga celaan dan ancaman terhadap orang yang tidak menamakan anak-anak mereka dengan nama tersebut; semuanya maudhu’, paling elokpun ia dhaif sangat. Tidak ada satupun daripadanya tsabit atau sahih.
Antara nama-nama yang baik adalah ‘Abdullah, ‘Abdur Rahman, ‘Abdur Rahim dan al-Harits. Hadith sahih menyebut, “Sesungguhnya nama yang paling baik ialah ‘Abdullah, ‘Abdur Rahman dan al-Harits”.
2. [ 00:12:16 ] – DIBOLEHKAN MENAMAKAN ANAK DENGAN MUHAMMAD ATAU AHMAD TETAPI TIDAK BOLEH PERCAYA ADANYA KELEBIHAN TERTENTU KERANA SEMATA-MATA NAMA SEPERTI YANG DISEBUT DALAM HADITH PALSU
Harus menamakan anak dengan nama-nama nabi termasuk nama nabi kita Muhammad kerana rasa kasih kita kepada mereka dan keinginan untuk mengikut jejak langkah mereka. Apa yang dipertikaikan ialah mempercayai nama-nama tersebut mempunyai kelebihan tertentu. Sebagai perbandingan, begitu juga halnya dengan amalan selawat ke atas Nabi s.a.w. Ulama’ tidak mempertikaikan kebaikan selawat itu sendiri tetapi menolak fadilat-fadilat yang direka atas amalan tersebut.
[KENALI HADITH PALSU] – HADITH KELEBIHAN ORANG YANG BERNAMA MUHAMMAD ATAU AHMAD DAN ANCAMAN TERHADAP ORANG YANG TIDAK MELEBIHKAN ORANG YANG BERNAMA MUHAMMAD ATAU AHMAD ADALAH PALSU.
i. Perawi-perawi yang ada di dalam sanad hadith palsu ini tidak dikenali, dan kalaupun dikenali, dia adalah pendusta besar, dajjal, pereka hadith dan Syiah yang melampau.
ii. Hadith ini terdapat di dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadith-hadith palsu.
iii. Hadith ini bercanggah dengan ajaran Nabi s.a.w. yang menyatakan neraka tidak dapat dihindari dengan nama-nama dan gelaran-gelaran tertentu tetapi ianya dapat dihindari dengan iman dan amal shaleh.
“Kepapaan tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada namaku di dalamnya”. [Hadith ini terdapat di dalam kitab-kitab yang menghimpunkan hadith-hadith palsu]
i. Perawi-perawi di dalam sanad hadith ini dituduh sebagai pereka hadith. Hadith ini bercanggah dengan kenyataan, di mana kaya atau miskin seseorang tidak bergantung kepada adanya namanya “Muhammad” di dalam rumah mereka. Hadith ini terdapat hanya di dalam kitab-kitab hadith yang mengumpulkan hadith maudhu’ dan ini juga membuktikan kepalsuannya.
ii. Apakah maksud sebenar “ada namaku (Nabi) di dalam rumah”? Adakah ianya bermaksud nama yang tergantung di dinding atau ada orang yang bernama Muhammad di dalam rumah? Apapun maksudnya, kenyataannya tiada kesan dengan adanya nama Muhammad di dalam rumah terhadap kaya atau miskinnya seseorang. Cuma ditakuti sekiranya ada yang percaya dengan hadith ini, orang akan menggantung nama Muhammad di rumah-rumah demi untuk mendapat berkat (sebagaimana orang menggantung logo capal). Perbuatan ini dikhuatiri menghampiri syirik.
iii. Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. tidak mengamalkan hadith ini, membuktikan kepalsuannya dan begitu juga ianya tidak diamalkan oleh masyarakat kita.
“Tidak berkumpul mana-mana kaum sama sekali untuk bermesyuarat, sedangkan ada di antara mereka seorang yang bernama Muhammad, tetapi mereka tidak memasukkannya dalam mesyuarat mereka, melainkan mesyuarat mereka tidak diberkati”. [Hadith ini terdapat di dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadith-hadith palsu]
i. Tokoh-tokoh hadith telah menghukumkan hadith ini sebagai dusta dan maudhu’ (palsu).
ii. Hadith ini tidak praktikal, kerana untuk mendapat keberkatan, seseorang perlu menghadiri mesyuarat semata-mata kerana namanya Muhammad, padahal dia bukan yang layak menghadiri mesyuarat tersebut.
iii. Hadith palsu ini memberi imej buruk tentang Islam kepada orang bukan Islam dan memeningkan kepala orang Islam sendiri!
i. Perawi-perawi hadith ini dalam beberapa saluran terdiri dari mereka yang dituduh sebagai pendusta besar dan pereka hadith.
ii. Ramai Sahabat termasuk Saidina Umar r.hu. tidak mengamalkan hadith ini.
iii. Hadith ini bercanggah dengan ajaran al-Quran yang menyatakan kejayaan seseorang di akhirat adalah iman dan amal solehnya, bukannya nama dan gelarannya.
USUL DIRAYAT KE – 43 – Riwayat-Riwayat Yang Menyebutkan Tentang Kelebihan Hidup Dalam Keadaan Miskin Dan Papa Kedana, Maudhu’ (Palsu) Semuanya. Tidak Ada Satu Pun Yang Sahih. Demikian Juga Riwayat-Riwayat Yang Memuji Kemiskinan Dan Kepapaan, Menyatakan Kemuliaan Orang-Orang Miskin Di Akhirat Dan Kehinaan Orang-Orang Yang Berharta Secara Mutlak (Nota: Iaitu Tanpa Mengira Betapa Keadaan Orang Kaya Itu, Sama Ada Bertaqwa Atau Tidak)
i. “Hidup miskin” yang tersebut di dalam hadith bukan bermaksud miskin harta benda tetapi merujuk kepada “hidup dalam keadaan merendah diri dan tidak sombong”.
ii. Contoh dari Sahabat-sahabat r.hum. menunjukkan mereka adalah kaya, sehinggakan Abu Zar, Sahabat yang dikatakan paling zahid pun memiliki harta.
iii. Harta dan kekayaan diperlukan untuk menunaikan tanggungjawab agama seperti mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan memberi sedekah.
iv. Celaan terhadap kekayaan bukan kerana kekayaan itu sendiri tetapi berkaitan dengan haramnya sumber, perbelanjaan dan kesan yang buruk kepada jiwa disebabkan kekayaan itu.
2. [ 00:13:03 ] – HADITH PALSU UMPAMA DUIT PALSU, IANYA AKAN MEMPORAK-PERANDAKAN DAN AMAT BAHAYA KEPADA MASYARAKAT SELINGAN SIAPA IBNU TAIMIYAH DI SISI ULAMA’ HADITH?
i. Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani (Pengarang kitab Fathul Bari) memanggil Ibnu Taimiyah dengan panggilan “Hafiz” dan “Sheikul Islam” menunjukkan pengiktirifan beliau terhadap ketinggian ilmunya.
ii. Ibnu Taimiyah berpendirian sebagaimana salaf dalam aqidah dan kerana itu dikecam oleh sebahagian masyarakat dengan tuduhan “mujassimah” dsb. iii. Beliau, seorang tokoh hadith, juga dibenci oleh penyebar-penyebar hadith palsu kerana kesungguhan beliau membenteras dan mendedahkan hadith-hadtih palsu
[KENALI HADITH PALSU] – RIWAYAT KELEBIHAN HIDUP DALAM KEADAAN MISKIN DAN PAPA KEDANA, PALSU SEMUANYA. JUGA RIWAYAT KEMULIAAN ORANG MISKIN DI AKHIRAT DAN KEHINAAN ORANG YANG BERHARTA.
i. Pakar-pakar hadith menghukumkan hadith ini sebagai karut dan maudhu’.
ii. Nabi s.a.w. tidak pernah berbangga dengan apa-apa, oleh itu adalah tidak masuk akal Nabi s.a.w. berbangga dengan kemiskinan.
iii. Hadith palsu ini bercanggah dengan hadith sahih di mana Nabi s.a.w. berdoa agar dilindungi dari kefakiran, kekurangan dan kehinaan.
iv. Kenyataannya, kehidupan Nabi tidak papa kedana tetapi sangat kaya dan keperluan hidupnya mencukupi.
v. Doa Nabi,”Hidupkanlah aku sebagai orang miskin”, tidak bermaksud miskin harta, tetapi hidup dalam keadaan merendah diri dan tidak sombong.
vi. Hadith-hadith palsu sebegini amat disukai oleh musuh Islam seperti penjajah kerana ia akan mengekalkan orang Islam dalam keadaan lemah dan terhina.
Salah seorang perawi hadith palsu ini ialah Sam’an bin Mahdi. Dia telah menulis sebuah kitab yang berisi hadith palsu dan dia dilabelkan sebagai “haiwan yang tidak dikenali” oleh ulama’ hadith, Imam az-Zahabi.
i. Perawi pertama hadith palsu ini ialah Wahab bin Munabih, menunjukkan ianya adalah kata-kata Wahab bin Munabih, bukannya sabda Nabi s.a.w.
ii. Ulama’-ulama’ hadith sepakat mengatakan ianya hadith palsu.
ii. Hadith palsu ini seolah-olah mengatakan Nabi secara tidak langsung menggalakkan umatnya menjadi peminta sedekah, walhal, banyak hadith-hadith yang mencela meminta sedekah.
USUL DIRAYAT KE – 42 – Hadith-hadith yang memuji dan menyatakan kelebihan kehidupan membujang dan mencela kehidupan berkeluarga dengan beranak pinak semuanya karut. Tidak ada satupun daripadanya sahih.
SELINGAN
1. [ 00:11:52 ] – KEMANISAN, KEHEBATAN DAN MANAFAAT MENGETAHUI HADITH SAHIH TERSERLAH SELEPAS MENGETAHUI HADITH PALSU
2. [ 00:13:24 ] – BAHAYA KITAB-KITAB YANG TIDAK MUKTABAR DAN TIDAK DITAPIS YANG DIAJAR DI SESETENGAH INSTITUSI PONDOK DI NEGARA KITA
Banyak kitab-kitab lama yang diajar di pusat pengajian pondok di negara kita tidak ditapis dan ditahkik menyebabkan tersebarnya hadith-hadith palsu. Guru-guru yang mengajar kitab-kitab ini pula tidak memberi komen, menilai semula atau mengkritik hadith-hadith yang diragui yang terdapat di dalam kitab-kitab tersebut menyebabkan pelajar bebas mengamalkan apa yang ada dalam kitab, tidak kira sama ada ianya sahih atau tidak.
[KENALI HADITH PALSU] – HADITH MEMUJI KEHIDUPAN MEMBUJANG DAN MENCELA KEHIDUPAN BERKELUARGA SEMUANYA KARUT
“Apabila Allah kasih kepada seseorang hamba-Nya, Dia akan memilihnya untuk diri-Nya dan tidak menyibukkannya dengan isteri dan anak”. [Hadith ini terdapat di dalam kitab ‘Al-Maudhuat’ karangan Ibnu Jauzi, kitab yang mengumpulkan hadith-hadith palsu]
i. Hadith ini terdapat di dalam kitab ‘maudhuat’ (kitab yang mengumpulkan hadith-hadith palsu). Di dalam sanadnya terdapat perawi pendusta besar, Ishaq Bin Wahab
ii. Kenyataannya, Nabi s.a.w. dan Sahabat-sahabat Baginda hidup berkeluarga dan beranak pinak, bercanggah dengan hadith ini.
iii. Al-Quran sendiri menggalakkan hidup berkeluarga dan beranak pinak sehinggakan menyarankan supaya berkahwin kerana dengan berkahwin akan dikurniakan harta.
i. Hadith ini terdapat di dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadith-hadith palsu seperti al-Maudhuat (Ibnu al-Jauzi). Bagi orang awam, adanya hadith ini di dalam kitab-kitab seperti ini sudah cukup untuk membuktikan kepalsuannya.
ii. Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang dikaitkan dengan hadith ini seperti Anas, Abu Dzar, Ibnu Abas mempunyai keluarga dan beranak pinak, menyanggahi apa yang disarankan dalam hadith ini.
iii. Daud bin ‘Affan, salah seorang perawi hadith ini telah mereka bertimbun hadith palsu yang dikaitkan dengan Anas.
iv. Hadith ini menggalakkan memelihara anjing padahal ada hadith yang melarang memelihara anjing tanpa tujuan dan ianya menyebabkan berkurangnya pahala seseorang setiap hari. Malaikat (rahmat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada anjing.
v. Memelihara anak sendiri dan anak yatim antara sebab seseorang dapat masuk syurga. Ada hadith Nabi s.a.w. yang menyatakan orang yang menanggung dua orang anak perempuan sehingga baligh akan dibangkitkan bersama dengan Nabi s.a.w.
i. Ibnu al-Jauzi mengatakan hadith ini adalah karut.
ii. Kenyataan yang berlaku dalam masyarakat tidak menyokong hadith ini, kerana didapati ramai orang yang berkeluarga berjaya dalam hidup dan tidak semua yang tidak berkeluarga berjaya.
iii. Dalam hadith sahih, Nabi s.a.w. bersabda yang bertentangan dengan hadith palsu ini, iaitu, sebaik-baik duit ialah yang dibelanjakan untuk keluarganya. Antara ciri-ciri orang yang berjaya ialah orang yang membelanjakan ahli keluarganya.
iv. Rasulullah s.a.w. mendoakan orang yang baru berkahwin kebahagiaan untuknya dan berdoa semoga dikurniakan zuriat yang baik. Ini menunjukkan Rasulullah suka umatnya berkeluarga dan Baginda mendoakan kebaikan kepada mereka.
USUL DIRAYAT KE – 41 – Mana-mana Riwayat Yang Menyatakan Pada Abad Sekian-sekian, Pada Tahun Sekian-sekian, Pada Bulan Sekian-sekian Atau Pada Hari Sekian-sekian Akan Berlaku Peristiwa-peristiwa Tertentu Dengan Tepat Dan Jelas, Semuanya Maudhu’ (Palsu). Demikian Juga Riwayat-riwayat Yang Menyatakan Dengan Jelas Dan Tepat Pada Tahun Sekian-sekian Hendaklah Dibuat Begini-begini Sebagai Panduan Bagi Orang-orang Yang Berada Padanya Tidak Ada Satupun Daripadanya Sahih.
SELINGAN
1. [ 00:09:41 ] – ANTARA FAKTOR MENGAPA ADANYA PEREKA-PEREKA HADITH
Pada zaman dahulu (di zaman periwayatan hadith), mereka yang mengetahui hadith amat dihormati oleh masyarakat. Maka wujudlah mereka yang berkepentingan dunia (demi kemasyhuran dan kebendaan) mencipta hadith-hadith palsu untuk menarik masyarakat kepada mereka.
2. [ 00:10:05 ] – MENGAPA HADITH PALSU MASIH DITERIMA WALAUPUN STATUSNYA PALSU?
Pepatah Arab ada mengatakan, “Setiap yang jatuh ada yang memungutnya”, menunjukkan sentiasa ada orang yang mengambil dan percaya kepada hadith-hadith palsu ini selagi ianya berlegar dalam masyarakat. [Oleh itu hendaklah kita pastikan ianya tidak disebarkan atau kalau sudah tersebar, hendaklah didedahkan kepalsuannya]
[KENALI HADITH PALSU] – RIWAYAT PADA ABAD SEKIAN-SEKIAN, TAHUN SEKIAN-SEKIAN, BULAN SEKIAN-SEKIAN ATAU HARI SEKIAN-SEKIAN AKAN BERLAKU PERISTIWA TERTENTU DENGAN TEPAT DAN JELAS SEMUANYA MAUDHU’
i. Imam Ahmad mengatakan hadith ini tidak sahih (maksudnya, maudhu’).
ii. Hadith ini terdapat di dalam kitab ‘maudhuat’ (kitab yang mengumpulkan hadith-hadith palsu).
iii. Benarkah Allah tidak memerlukan manusia selepas abad pertama? Adakah syariat Islam hanya untuk abad pertama? Kalau begitu, apa perlunya kita terikat dengan agama! Tetapi hakikatnya, berapa ramai ulama’ yang hebat dilahirkan selepas abad pertama dan ini secara langsung menyanggah hadith ini.
iv. Hadith ini bercanggah dengan hadith sahih berikut:
a) “Akan terus ada satu golongan daripada umatku yang teguh di atas kebenaran sehingga kiamat”.
b) “Umatku seperti hujan. Tidak diketahui yang terbaik itu di awalnyakah atau di akhir”
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Nanti akan ada satu suara di bulan Ramadhan”. Mereka (Sahabat) bertanya, “Di awalnyakah atau di tengahnya atau di akhirnya”. Jawab Nabi s.a.w., “Bahkan di tengah bulan Ramadhan. Apabila tengah Ramadhan itu kena pada malam Jumaat, satu suara datang dari langit, kerananya akan pengsan 70,000 manusia, akan jadi bisu 70,000 orang, akan jadi buta 70,000 orang dan akan jadi pekak 70,000 orang”. Mereka (Sahabat) bertanya, “Siapakah dari kalangan umatmu yang selamat?”. Jawab Baginda, “Orang yang tetap di rumahnya, melindungi dirinya dengan bersujud dan bertakbir dengan suara yang kuat”. [Nota: Di dalam riwayat lain ada tambahan seperti berikut: “Suara pertama ialah suara Jibril, suara yang kedua ialah suara syaitan dan ada suara yang ketiga dalam bulan Ramadhan…”]
i. Ibnu Jauzi mengatakan hadith ini tidak sahih; perawinya tidak bernilai sedikitpun.
ii. Umat Islam tidak perlu takut akan keadaan-keadaan atau fenomena pelik yang kononnya berlaku dalam masyarakat. Ia sebenarnya ingin mengalihkan perhatian kita.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila tiba tahun 150, maka sebaik-baik anak-anakmu ialah anak-anak perempuan. Apabila tiba tahun 160 pula, maka manusia yang terbaik pada masa itu ialah yang tiada tanggungan”. Kami bertanya, “Apakah maksud, ‘manusia yang tiada tanggungan’ itu?”. Jawab Nabi s.a.w., “Iaitu orang yang tidak mempunyai anak, tidak banyak pula perbelanjaannya (orang miskin)”.
i. Ibnu Jauzi berkata hadith ini tiada nilai langsung.
ii. Tujuan pereka hadith ini ialah untuk melemahkan umat Islam seperti menggalakkan umatnya hidup miskin dan hidup sendirian tanpa tanggungjawab. Walaupun ianya tidak diendahkan oleh masyarakat umum, hadith palsu ini mungkin mempengaruhi mereka yang jahil tentang hadith Nabi dan menganggapnya sahih.
USUL DIRAYAT KE – 40 – Hadith-hadith yang menyebutkan bulan-bulan atau hari-hari tertentu seperti hari Selasa atau Rabu dan lain-lain sebagai bulan-bulan atau hari-hari nahas atau hari bertuah boleh dikatakan semuanya palsu; yang paling baik pun ianya sangat dhaif.
CATATAN MENARIK
1. [ 00:00:43 ] Penetapan hari-hari nahas dan bertuah akan membantutkan akitiviti umat Islam; ianya adalah agenda musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat Islam]
2. [ 00:12:53 ] SELINGAN – Hukum menyebarkan hadith palsu adalah haram. Walaupun begitu, kita boleh menyebutnya dalam proses pembelajaran atau untuk memberitahu tentang kepalsuannya agar masyarakat terselamat.
3. [ 00:13:48 ] Hadith dan kepercayaan tentang hari nahas atau bertuah di kalangan masyarakat ahli sunnah kemungkinan besar disebarkan oleh golongan Syiah. Syiah mempunyai kalendar khas yang menetapkan tiap-tiap hari dalam setahun sebagai nahas atau bertuah.
4. [ 00:13:48 ] Di dalam masyarakat kita, ianya masih diamalkan di kalangan bomoh.
5. [ 00:13:48 ] Berkat usaha pejuang-pejuang sunnah, amalan dan kepercayaan hari nahas seperti mandi tolak bala di bulan Safar telah terhapus dalam masyarakat kita.
6. [ 00:16:22 ] Ada orang mengatakan memang ada tuah dan sial pada perkara-perkara tertentu kerana ianya disebut di dalam hadith sahih dan al-Quran. Sebenarnya apa yang disebut hari nahas dalam al-Quran ialah hari di mana kaum-kaum terdahulu ditimpakan azab kerana kederhakaan yang luar biasa. Ianya tidak berkait dengan kita umat Muhammad.
7. [ 00:17:27 ] Konsep sial dan nahas (pada sesuatu masa, benda atau perkara) tidak ada dalam Islam. Yang sebetulnya ialah keadaan yang tidak sesuai atau tidak secocok di mana ada jalan penyelesaiannya. Contohnya Islam membenarkan perkahwinan dibubarkan (bercerai) jika pasangan suami isteri tidak ada persefahaman sehingga tidak boleh hidup bersama.
8. [ 00:18:24 ] NOTA HUJUNG – Bisikan syaitan akan menimbulkan was-was dalam diri kita dengan perasaan takut-takut apa yang diancam sebagai nahas akan benar-benar terjadi. Kita hendaklah menolak bisikan-bisikan ini dengan melakukan sebaliknya dari apa yang dilarang dalam hadith-hadith palsu tersebut, contohnya, dengan sengaja memotong kuku pada hari Rabu untuk membantah teori kononnya bala akan menimpa bila memotong kuku pada hari Rabu!
[KENALI HADITH PALSU] – HADITH MENYEBUTKAN BULAN ATAU HARI TERTENTU SEPERTI HARI SELASA ATAU RABU DLL SEBAGAI BULAN ATAU HARI NAHAS ATAU BERTUAH SEMUANYA PALSU; YANG PALING BAIK PUN SANGAT DHAIF
Jabir meriwayatkan katanya, Jibril a.s. telah turun kepada Nabi s.a.w. lalu dia berkata, “Buatlah keputusan dengan sumpah bersama seorang saksi [Nota: bahagian ini boleh diterima], Hari Rabu adalah hari nahas berterus-terusan (sehingga hari kiamat)”. [Nota: Hadith ini terdapat di dalam kitab-kitab hadith utama karangan al-Tabarani, Abu Awanah dan al-Baihaqi. Walaupun begitu ianya juga ada di dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadith palsu (al-maudhuat) karangan Ibnu al-Jauzi dan az-Zahabi, menunjukkan ianya adalah hadith maudhu’ (palsu)]
a. Al-Tabarani mengemukakan hadith ini untuk mendedahkan kelemahannya. Oleh itu, elok kita merujuk kepada mereka yang pakar sebelum menggunakan sebarang hadith terutamanya dari kitab-kitab seumpama ini.
b. Perawi hadith ini, Ibrahim bin Abi Hayya bersendirian (tafarrud) dalam meriwayatkan hadith ini. Beliau adalah perawi sangat dhaif.
c. Hadith ini bercanggah dengan hadith sahih yang berbunyi, “Allah menjadikan cahaya pada hari Rabu”.
d. Hadith ini bercanggah dengan kenyataan sebenar kerana nahas tidak hanya berlaku pada hari Rabu malah berlaku pada hari-hari lain.
Abu Said al-Khudri meriwayatkan katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Hari Sabtu, hari helah dan tipu daya, hari Ahad hari menanam pokok dan mendirikan bangunan, hari Isnin hari berjalan dan mencari rezeki, hari Selasa hari besi dan perang, hari Rabu hari tidak mengambil dan tidak memberi, hari Khamis hari mencari segala hajat dan hari masuk menemui sultan dan hari Jumaat hari pertunangan dan pernikahan”.
[Nota: Ada riwayat dalam kitab utama Syiah yang hampir serupa dengan hadith ini. Oleh itu, boleh dikatakan hadith ini berpunca dari Syiah. Masuknya hadith-hadith palsu ini adalah kerana kurang dan lemahnya pengajian hadith dalam masyarakat]
“Sesiapa memberi berita gembira kepadaku tentang keluarnya (habisnya) bulan Safar aku memberikan berita gembira kepadanya tentang dia akan masuk syurga”.
[Nota: Suatu masa dahulu bulan Safar dikaitkan dengan bala, sehingga orang tidak mahu berkahwin di bulan ini dan ada upacara mandi tolak bala]
“Hari-hari itu semuanya diciptakan oleh Allah, sebahagiannya adalah hari-hari bertuah dan sebahagian yang lain pula adalah hari-hari nahas sebagaimana manusia semuanya adalah hamba-hamba Allah tetapi sebahagiannya untuk syurga dan sebahagian yang lain pula adalah untuk neraka. Tidak ada satupun bulan melainkan ada tujuh hari nahas padanya. Hari ketiga nahas padanya Qabil telah membunuh Habil, hari kelima nahas padanya dikeluarkan Adam dari syurga dan dicampakkan Yusuf ke dalam telaga. Hari ke 13 nahas padanya bala’ menimpa Ayyub (Nabi Ayyub), hari ke 16 nahas padanya kerajaan Sulaiman (Nabi Sulaiman) dirampas, hari ke 21 nahas padanya kaum Lut ditelan bumi, orang-orang Nasrani ditukar rupa menjadi babi, orang-orang Yahudi ditukar rupa menjadi kera dan Nabi Yahya bin Zakaria dibelah dengan gergaji. Hari ke 24 nahas padanya Fir’aun dilahirkan dan mendakwa dirinya sebagai tuhan dan padanya juga ia ditenggelamkan, pada hari itu juga ribut taufan belalang, kutu dan katak dilepaskan (sebagai bencana kepada bani Israil), hari ke 25, nahas padanya Namrud membelah perut 40 orang wanita mengandung. Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api dan unta Nabi Saleh disembelih. Pada hari itu Allah membinasakan kaum Saleh dengan azab yang amat dahsyat. Hari Rabu di akhir setiap bulan juga hari nahas dan berterusan. Pada hari itu Allah melepaskan angin kencang untuk membinasakan kaum Aad dan pada hari itu juga Allah menimpakan azab ke atas kaum Tsamud.”
Hadith ini terdapat di dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadith maudhu’ karangan as-Shaukani dan al-Fattani. Hafiz Ibnu Hajar mengatakan ianya dusta.