Rukun Keenam: Beriman Dengan Qadar

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO -[Durasi 40m 25s]-RUKUN IMAN KEENAM – Percaya Kepada Takdir – Maulana Muhammad Asri Yusoff

VIDEO – [Durasi 1j 12m 41s]-Rukun Iman Keenam – BERIMAN DENGAN QADA’ & QADAR – Dr Abd Basit Abdul Rahman

[ Tonton video “RUKUN IMAN KEENAM – Percaya Kepada Takdir – Maulana Muhammad Asri Yusoff” melalui saluran YouTube – https://youtu.be/64lxVc_uQe4 ]

[ Tonton video “Rukun Iman Keenam – BERIMAN DENGAN QADA’ & QADAR – Dr Abd Basit Abdul Rahman” melalui saluran YouTube – https://youtu.be/VaBmAqcrwMo ]

BERIMAN DENGAN QADAR

A – PENGERTIAN QADAR DAN KEPENTINGAN BERIMAN DENGANNYA

Beriman dengan Qadar termasuk dalam beriman dengan “Rububiyyah” (kuasa mencipta dan mentadbir) Allah Taala. Ia merupakan salah satu daripada Rukun Iman dan tidak sempurna iman seseorang kecuali dengan beriman kepadanya.

Al-Qadr: Ialah ketentuan Allah Taala ke atas seluruh alam semesta mengikut ilmu-Nya yang azali dan kebijaksanaan-Nya. Ianya kembali kepada kekuasaan Allah Taala. Sesungguhnya Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu dan berkuasa melakukan perkara yang dikehendaki-Nya.

Firman Allah Taala: Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)”. (Surah Al-Qamar, Ayat 49).

Sabda Nabi s.a.w:

كل شيء بقدر حتى العجز والكيس، أو الكيس والعجز [ رواه مسلم ]

“Setiap sesuatu telah ditentukan termasuklah lemah dan rajin atau rajin dan lemah”. (Hadith Riwayat Muslim).

B – MARTABAT QADAR

Tidak sempurna beriman dengan Qadar kecuali dengan menyempurnakan empat martabat, iaitu:

1) Beriman dengan ilmu Allah yang azali yang meliputi setiap sesuatu.

Firman Allah Taala: “Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz). Sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah”. (Surah Al-Haj, Ayat 70).

2) Beriman dengan segala perkara yang telah ditulis di “Lauh Mahfuz” dan beriman bahawa Allah mengetahui semua perkara yang telah ditentukan itu.

Firman Allah Taala: “Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini”. (Surah Al-An’am, Ayat 38). Sabda Nabi s.a.w:

كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة [ رواه مسلم ]

“Allah telah menulis semua ketentuan yang akan berlaku kepada makhluk 50 ribu tahun sebelum dijadikan langit dan bumi”. (Hadith Riwayat Muslim).

3) Beriman dengan kehendak Allah yang pasti terjadi dan kuasa-Nya Yang Maha Sempurna.

Firman Allah Taala: “Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam”. (Surah At-Takwir, Ayat 29).

Sabda Nabi s.a.w kepada orang yang berkata kepadanya: “Ini semua dengan kehendak Allah dan kehendak Tuan (Nabi)”.

أجعلتني لله نداً ، بل ما شاء الله وحده [ رواه أحمد ]

“Apakah engkau mahu menjadikan aku sekutu bagi Allah? Tetapi katakanlah: Bahkan dengan kehendak yang diinginkan oleh Allah Yang Maha Esa”. (Hadith Riwayat Ahmad).

4) Beriman bahawa Allah adalah pencipta semua makhluk.

Firman Allah Taala: “Allah yang mencipta tiap-tiap sesuatu dan Dialah yang mentadbir serta menguasai segala-galanya”. (Surah Az-Zumar, Ayat 62).

Firman Allah Taala: “Padahal Allah yang mencipta kamu dan perbuatan yang kamu lakukan itu”. (Surah As-Saffat, Ayat 96).

Sabda Nabi s.a.w:

إن الله يصنع كل صانع وصنعته [ رواه البخاري ]

“Sesungguhnya Allah Taala mencipta setiap orang yang mencipta dan hasil ciptaannya”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari).

C – BAHAGIAN-BAHAGIAN TAKDIR (KETENTUAN)

1) Takdir umum untuk semua makhluk, iaitu suratan yang ditulis di “Lauh Mahfuz” sebelum dijadikan langit dan bumi 50 ribu tahun.

Firman Allah Taala: “(Kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta yang tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)”. (Surah Ad-Dukhan, ayat 4).

2) Takdir mengikut umur, iaitu takdir yang berlaku ke atas diri seorang hamba bermula daripada peniupan roh kepadanya sehingga sampai ajalnya.

3) Takdir tahunan, iaitu takdir yang akan berlaku setiap tahun, ia ditentukan pada malam Lailatul Qadar setiap tahun.

4) Takdir harian, iaitu takdir ke atas setiap perkara yang berlaku pada setiap hari, antaranya kemuliaan, kehinaan, pemberian, sekatan, menghidup, mematikan dan lain-lainnya.

Firman Allah Taala: “Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepada-Nya. setiap masa Dia di dalam urusan (mencipta dan mentadbir makhluk-makhluk-Nya)”. (Surah Ar-Rahman, Ayat 29).

D – AQIDAH SALAF DALAM MASALAH QADAR

Bahawa Allah Taala mencipta tiap-tiap sesuatu, mentadbir dan memilikinya. Allah telah menentukan perkara yang akan terjadi sebelum menjadikannya. Dia telah menentukan ajal, rezeki dan kerja yang mereka lakukan. Dia telah menulis kesudahan mereka sama ada menjadi bertuah atau celaka. Semuanya telah ditulis dalam catatan yang jelas dan nyata. Setiap perkara yang Allah kehendaki akan berlaku dan setiap perkara yang tidak dikehendaki tidak akan berlaku. Allah mengetahui perkara yang telah lepas, sedang berlaku, akan datang, waktu dan cara ia berlaku. Allah berkuasa ke atas setiap sesuatu, memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki dan menyesatkan orang-orang yang dikehendaki. Setiap hamba memiliki kehendak dan kuasa untuk melakukan semua perkara yang ditentukan oleh Allah ke atas mereka dengan keyakinan bahawa setiap hamba tidak boleh melakukan sesuatu kecuali dengan kehendak Allah.

Firman Allah Taala: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan)”. (Surah Al-Ankabut, Ayat 69).

Sesungguhnya Allah Taala mencipta hamba-hamba-Nya serta perbuatan mereka dan mereka sendiri pula yang melakukan semua perbuatan yang mereka lakukan. Maka tidak ada hujjah bagi seorang hamba ke atas Allah sekiranya dia mahu meninggalkan perkara yang wajib atau melakukan perkara yang haram (bahawa ini adalah ketentuan Allah), bahkan Allah Taala mempunyai hujjah yang kuat ke atas hamba-hamba-Nya.

Berhujjah dengan Qadar dibolehkan di atas musibah yang telah menimpa tetapi tidak boleh dijadikan hujjah di atas keaiban dan dosa, seperti sabda Nabi s.a.w ketika menceritakan perdebatan yang berlaku di antara Nabi Musa dan Adam a.s:

تحاج آدم وموسى، فقال موسى: أنت آدم الذي أخرجتك خطيئتك من الجنة؟ فقال له آدم: أنت موسى الذي اصطفاك الله برسالاته وبكلامه، ثم تلومني على أمر قد قُدّر عليّ قبل أن أخلق، فحج آدمُ موسى

[ رواه مسلم ]

“Telah berhujjah Nabi Musa dan Adam a.s. Kata Musa: Tuankah Adam yang kesalahan tuan lakukan telah mengeluarkan tuan daripada syurga? Jawab Adam: Tuankah Musa yang Allah pilih untuk menerima risalah-Nya dan berkata-kata dengan-Nya, kemudian tuan mencela saya di atas pekerjaan yang telah ditentukan (ditakdirkan) ke atas saya sebelum saya dijadikan! Maka Nabi Adam telah mematahkah hujjah Nabi Musa a.s.” (Hadith Riwayat Muslim).

E – PERBUATAN HAMBA

Perbuatan yang Allah Taala ciptakan di alam semesta ini terbahagi kepada dua bahagian:

1. Perkara yang Allah Taala tentukan daripada perbuatan-Nya kepada makhluk-Nya, maka tidak ada seorang pun boleh membuat pilihan atau mengikut kehendak sendiri. Semuanya berlaku mengikut kehendak Allah, seperti hidup, mati, sakit dan sihat.

Firman Allah Taala: “Padahal Allah yang mencipta kamu dan perbuatan yang kamu lakukan itu”. (Surah As-Saffat, Ayat 96).

Firman Allah Taala: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu. Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya”. (Surah Al-Mulk, Ayat 2).

2. Perbuatan yang dilakukan oleh makhluk yang mempunyai kehendak, maka ia terjadi dengan kehendak dan pilihan orang yang melakukannya kerana Allah telah meletakkan kehendak dan pilihan tersebut kepada mereka.

Firman Allah Taala: “Iaitu untuk sesiapa daripada kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul”. (Surah At-Takwir, Ayat 28).

Firman Allah Taala: “Maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. (Surah Al-Kahf, Ayat 29).

Mereka akan dipuji dengan sebab melakukan perkara yang terpuji dan akan dicerca dengan sebab melakukan perkara yang tercela. Allah tidak menyeksa mereka kecuali dengan perkara yang menjadi pilihan hamba untuk melakukannya.

Firman Allah Taala: “Dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Ku”. (Surah Qaf, Ayat 29).

Manusia mengetahui perbezaan di antara pilihan dan paksaan, sebagai contoh seseorang yang turun dari atas bumbung rumah melalui tangga adalah dengan pilihannya sendiri atau mungkin juga ia dicampak oleh orang lain dari atas bumbung ke bawah. Maka yang pertama adalah pilihan dan yang kedua adalah paksaan.

F – PENYATUAN MAKNA DI ANTARA CIPTAAN ALLAH DAN PERBUATAN HAMBA

Allah mencipta hamba dan perbuatannya serta menjadikan baginya kehendak dan kuasa. Oleh itu setiap hamba melakukan sendiri setiap perbuatannya kerana dia mempunyai kehendak dan kuasa. Apabila dia beriman maka itu adalah dengan kemahuan dan kehendaknya. Sekiranya dia kafir maka itu adalah dengan kemahuan dan kehendaknya yang sempurna. Sebagai contoh, apabila kita berkata: Buah ini dari pokok ini dan pokok ini berasal dari bumi ini, bermakna ia terjadi darinya dan daripada Allah. Ertinya Allah Taala jualah yang menjadikannya dari pokok atau tanah. Oleh itu tidak ada percanggahan di antara dua kejadian ini. Dengan ini, bertepatanlah syariat Allah dengan Qadar (ketentuan-Nya).

Firman Allah Taala: “Padahal Allah yang mencipta kamu dan perbuatan yang kamu lakukan itu”. (Surah As-Saffat, Ayat 96).

Firman Allah Taala: “Adapun orang yang memberikan apa-apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa. Dan dia membenarkan dengan yakin akan perkara yang baik. Maka Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya serta dia mendustakan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan”. (Surah Al-Lail, Ayat 5-10).

G – KEWAJIPAN HAMBA TERHADAP QADAR

Seorang hamba wajib melaksanakan dua perkara dalam beriman dengan Qadar:

1. Hendaklah memohon pertolongan daripada Allah untuk melaksanakan perkara yang diperintahkan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Hendaklah berdoa agar Allah mempermudahkan baginya untuk mendapat kesenangan dan menjauhkannya daripada kesusahan di samping bertawakkal kepada Allah dan meminta perlindungan daripada-Nya, maka jadilah ia sentiasa bergantung dengan Allah untuk mendapatkan perkara yang baik dan meninggalkan kejahatan. Sabda Nabi s.a.w:

احرص على ما ينفعك، واستعن بالله ولا تعجز، وإن أصابك شيء فلا تقل: لو أني فعلت كذا لكان كذا، ولكن قل: قدر الله وما شاء فعل، فإن لو تفتح عمل الشيطان

“Hendaklah kamu banyak melakukan perkara yang mendatangkan manfaat kepada kamu, mintalah pertolongan dengan Allah dan jangan mudah berasa lemah. Sekiranya bala menimpa kamu maka janganlah kamu berkata: “Kalaulah aku lakukan begini tentu ia akan jadi begini”, tetapi katakanlah: “Allah telah menentukannya dan setiap yang dikehendaki-Nya akan dilakukan-Nya”. Lantaran kerana perkataan “kalau” akan membuka peluang kepada syaitan”.

2. Hendaklah dia bersabar di atas perkara yang telah ditentukan ke atasnya dan tidak meratap atau menyesal, setelah dia mengetahui bahawa semua yang terjadi adalah dengan kehendak Allah maka dia redha dan berserah diri. Dia seharusnya mengetahui bahawa dia tidak mungkin terlepas daripada perkara yang ditetapkan untuk menimpanya dan perkara yang tidak ditetapkan ke atasnya tidak akan menimpanya.

Sabda Nabi s.a.w:

وأعلم أن ما أصابك لم يكن ليخطئك، وأن ما أخطأك لم يكن ليصيبك

“Ketahuilah bahawa semua perkara yang menimpa kamu tidak mungkin akan terlepas daripada menimpa kamu dan perkara yang tidak ditentukan kepada kamu tidak mungkin akan menimpa kamu”.

H – REDHA DENGAN QADHA’ DAN QADAR

Adalah menjadi satu kewajipan untuk meredhai semua ketentuan (qadar) kerana ia merupakan tanda kesempurnaan redha dengan “Rububiyyah” Allah. Setiap mukmin wajib meredhai Qada’ Allah kerana semua perbuatan Allah dan ketentuan-Nya adalah baik, adil dan mempunyai hikmah.

Sesiapa yang yakin bahawa semua perkara yang ditetapkan untuk menimpanya tidak mungkin terlepas daripadanya dan perkara yang tidak ditentukan ke atasnya tidak akan menimpanya, dia akan terlepas daripada perasaan keluh kesah dan huru-hara. Hidupnya tenang, tidak goyah atau ragu-ragu, tidak berasa dukacita di atas perkara yang hilang dan tidak menganggap masa depannya gelap. Maka dengan itu, dia akan menjadi orang yang paling bahagia, baik keadaannya dan tenang hatinya.

Sesiapa yang mengetahui bahawa ajal dan rezekinya sudah ditetapkan, dia tidak akan berasa takut kerana sifat penakut tidak dapat memanjangkan umurnya. Dia tidak bakhil kerana sifat bakhil tidak dapat menambahkan rezekinya. Dia sedar bahawa semuanya telah tertulis. Dia akan menjadi sabar menghadapi semua bencana yang menimpanya dan meminta ampun ke atas semua dosa dan kesalahan yang telah dilakukannya. Dia redha dengan ketentuan yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan itu dia telah mengumpulkan di antara ketaatan terhadap perintah dan sabar terhadap ujian dalam menerima bencana yang menimpa.

Firman Allah Taala: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima setiap perkara yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. (Surah At-Taghabun, Ayat 11).

Firman Allah Taala: “(Setelah engkau mengetahui perihal Nabi Musa dan umatnya) maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam), sesungguhnya janji Allah (untuk memberi kejayaan kepadamu) adalah benar dan pohonlah ampun bagi kesalahanmu”. (Surah Ghafir, Ayat 55).

I – HIDAYAT TERBAHAGI KEPADA DUA JENIS

1. Hidayat memimpin manusia kepada kebenaran.

Ia diberikan kepada semua makhluk dan hidayat inilah yang mampu diberi oleh rasul serta para pengikutnya.

Firman Allah Taala: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus”. (Surah Asy-Syura, Ayat 52).

2. Hidayat memberi taufik, meneguh dan menguatkan pegangan.

Ini adalah anugerah Allah dan limpah kurnia-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bertaqwa. Hidayat ini tidak ada yang berkuasa mengurniakannya selain daripada Allah.

Firman Allah Taala: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa untuk memberikan hidayat (petunjuk) kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat (petunjuk) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya)”. (Surah Al-Qasas, Ayat 56).

J – “IRADAH” – KEHENDAK MENURUT KITAB ALLAH TERBAHAGI KEPADA DUA JENIS

1. “Iradah Kauniyyah Qadariah”. Kehendak mengadakan semua makhluk dan alam semesta (universal).

Iaitu kemahuan yang umum merangkumi semua makhluk yang wujud, setiap perkara yang Allah kehendaki akan berlaku dan semua yang tidak dikehendaki-Nya tidak akan berlaku. Ia pasti terjadi tetapi tidak semestinya perkara yang berlaku itu disukai atau diredhai oleh Allah kecuali apabila bergantung dengan kehendak syara’ (“Iradah Ad-Diniyyah Asy-Syar’iyyah”).

Firman Allah Taala: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberikan hidayat (petunjuk) kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam”. (Surah Al-An’am, Ayat 125).

2. “Iradah Ad-Diniyyah Asy-Syar’iyyah”. Kehendak agama yang disyariatkan.

Iaitu mahabbah (kasih) kepada perkara yang dijadikan (menurut kehendak Allah) dan kasih kepada orang yang menerimanya serta meredhai mereka. Iradah (kehendak) ini tidak mungkin terjadi kecuali apabila bergantung dengan kehendak umum kejadian makhluk.

Firman Allah Taala: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 185).

“Iradah Kauniyyah” (iaitu kehendak menjadikan semua makhluk) lebih umum secara mutlak kerana semua kehendak syara’ yang terjadi adalah mengikut kehendak “menjadikan” (kauni) dan bukan semua kehendak “menjadikan” (“kauni”) terjadi mengikut kehendak syara’.

Contohnya seperti iman Saidina Abu Bakar r.a. yang ada padanya kedua-dua kehendak di atas. Manakala contoh berlakunya kehendak “menjadikan” (“kauni”) sahaja (tanpa kehendak syara’) ialah kafirnya Abu Jahal dan tidak berlakunya kehendak “menjadikan” walaupun apa yang dikehendaki mengikut syara’ ialah iman Abu Jahal.

Allah Taala walaupun telah menentukan terjadinya maksiat dan berlakunya menurut kehendak “menjadikan” (“kauni”) tetapi tidak meredhainya menurut kehendak agama. Dia tidak menyukainya dan tidak menyuruhnya bahkan memurkainya, membencinya, menegah daripada melakukannya dan menjanjikan seksaan kepada orang yang melakukannya. Semua itu adalah daripada ketentuan-Nya.

Adapun ketaatan dan keimanan, Allah Taala menyukainya dan menyuruh melakukannya serta menjanjikan orang yang melakukannya dengan pahala dan balasan yang baik. Setiap penderhakaan kepada Allah Taala tidak akan berlaku tanpa kehendak-Nya dan tidak akan berlaku sesuatu perkara kecuali mengikut kehendak-Nya.

Firman Allah Taala: “Dan Dia tidak meredhai hamba-hamba-Nya berkeadaan kufur”. (Surah Az-Zumar, Ayat 7).

Firman Allah Taala: “Allah tidak suka kepada bencana kerosakan”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 205).

K – SEBAB-SEBAB YANG BOLEH MENOLAK QADAR (KETENTUAN)

Allah Taala telah menjadikan kepada ketentuan ini beberapa sebab yang boleh menolak dan mengangkatnya. Seperti doa, sedekah, ubat-ubatan, berhati-hati dan bertindak secara bijaksana kerana semuanya daripada Qada’ dan Qadar Allah termasuklah lemah dan rajin.

L – MASALAH QADAR MERUPAKAN RAHSIA ALLAH TERHADAP MAKHLUKNYA

Pendapat yang mengatakan bahawa Qadar adalah rahsia Allah pada makhluk kejadian-Nya terhad kepada satu aspek yang tersembunyi daripada Qadar. Hakikat terjadinya sesuatu perkara tiada yang mengetahuinya melainkan Allah dan tidak dapat diketahui oleh manusia.

Contohnya seperti Allah Taala menyesatkan, memberi hidayat, mematikan, menghidupkan, menegah atau memberi kurniaan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

إذا ذكر القدر فأمسكوا [ رواه مسلم ]

“Apabila disebut tentang Qadar (ketentuan Allah) maka tahanlah diri kalian daripada bercakap (mengenainya)”. (Hadith Riwayat Muslim).

Manakala perbincangan masalah Qadar dari sudut lain, iaitu dari segi penjelasan hikmahnya yang sangat besar, martabatnya, darjatnya dan kesan-kesannya adalah diharuskan untuk menjelaskannya kepada manusia dan mengetahuinya kerana Qadar adalah salah satu daripada Rukun Iman yang mesti dipelajari dan diketahui tentangnya sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w ketika menjelaskan Rukun Iman kepada Jibrail a.s. Sabdanya:

هذا جبريل أتاكم يعلمكم دينكم [ رواه مسلم ].

“Inilah Jibrail yang datang untuk mengajar kepada kamu agama kamu”. (Hadith Riwayat Muslim).

M – HUKUM BERHUJJAH DENGAN QADAR

Allah Taala mengetahui semua yang akan berlaku. Ia adalah perkara ghaib yang tidak sesiapa mengetahuinya kecuali Allah. Semua manusia jahil mengenainya. Oleh itu Qadar tidak boleh dijadikan hujjah oleh sesiapa. Tidak harus bagi seseorang untuk meninggalkan amalan dengan alasan bergantung kepada ketentuan yang telah ditentukan.

Qadar tidak boleh dijadikan hujjah oleh sesiapa sama ada ke atas Allah atau kepada sesama makhluk. Sekiranya seseorang boleh menjadikan Qadar sebagai hujjah bagi perbuatan jahatnya, maka tidak ada orang zalim yang boleh dikenakan hukuman, tidak ada orang kafir yang boleh diperangi, tidak boleh dijalankan hukuman dan tidak boleh menahan seseorang daripada melakukan kezaliman. Ini adalah satu kesesatan yang jelas memudharatkan agama dan dunia.

Katakanlah kepada mereka yang berhujjah dengan Qadar: “Kamu tidak mengetahui dengan yakin sama ada kamu ini ahli syurga atau neraka. Kalau kamu mengetahuinya dengan yakin nescaya kami tidak akan menyuruh atau menegah kamu melakukan apa-apa saja, tetapi beramallah semoga Allah Taala memberi taufik kepada kamu agar menjadi ahli syurga”.

Kata sesetengah Sahabat sewaktu mendengar perbincangan tentang Qadar: “Kamu bukanlah orang yang lebih baik dalam berijtihad daripada saya”.

Sabda Nabi s.a.w ketika ditanya tentang Qadar:

اعملوا فكل ميسر لما خلق له، فمن كان من أهل السعادة فسييسر لعمل أهل السعادة، ومن كان من أهل الشقاوة فسييسر لعمل أهل الشقاوة

“Beramallah! Sesungguhnya setiap orang akan dipermudahkan baginya melakukan perkara yang dijadikan untuknya. Sekiranya dia ahli syurga, dimudahkan baginya melakukan amalan orang-orang yang bertuah dan sekiranya dia ahli neraka maka dipermudahkan baginya melakukan amalan orang-orang yang celaka”.

Kemudian Baginda membaca ayat: “Adapun orang yang memberikan apa-apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa. Dan dia membenarkan dengan yakin akan perkara yang baik. Maka Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya serta dia mendustakan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan”. (Surah Al-Lail, Ayat 5-10). (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

N – MENGAMBIL SEBAB (YANG MENYELAMATKAN)

Perkara yang menimpa seorang hamba ada dua keadaan, perkara yang ia mempunyai jalan untuk melepaskannya maka janganlah lemah daripada berusaha untuk mengelak darinya dan perkara yang tidak ada cara untuk melepaskannya maka janganlah keluh kesah menghadapinya.

Allah Taala mengetahui setiap bala bencana sebelum kejadiannya. Ilmu Allah tentangnya bukan bermakna Allah yang menimpakan bencana ke atasnya tetapi bencana itu terjadi menurut sebab-sebab yang menyebabkan terjadinya bencana. Sekiranya bencana terjadi dengan sebab kecuaian seseorang mengambil alat atau cara yang boleh menyelamatkannya daripada terkena bencana sedangkan agama menyuruhnya menggunakannya, maka kecelaan itu terletak ke atas dirinya sendiri kerana tidak menjaga dirinya dan tidak mencari usaha-usaha yang boleh menyelamatkannya. Sebaliknya apabila dia tidak mempunyai kemampuan untuk menolak bencana tersebut maka dia diberi keuzuran.

Mengambil sebab tidak menafikan Qadar dan tawakkal bahkan ia adalah sebahagian daripadanya. Namun apabila sesuatu ketentuan telah terjadi, maka wajiblah redha dan menyerah kepada ketentuan tersebut serta kembali kepada pesanan Rasulullah s.a.w, “Ketentuan Allah dan setiap yang ditentukan pasti akan terjadi”.

Adapun sebelum berlakunya sesuatu ketentuan, maka setiap “mukallaf” hendaklah mengambil langkah-langkah yang diizinkan dan menolak Qadar dengan Qadar. Semua nabi a.s. telah mengambil kira sebab-sebab dan cara-cara yang boleh menyelamatkan mereka daripada gangguan musuh mereka sedangkan mereka telah dibantu dengan wahyu dan dipelihara oleh Allah. Rasulullah s.a.w, penghulu orang-orang bertawakkal, telah mengambil kira sebab yang boleh menyelamatkannya sedangkan Baginda adalah orang yang paling berwakkal kepada Tuhannya.

Firman Allah Taala: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu”. (Surah Al-Anfal, Ayat 60).

Firman Allah Taala: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu, mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula, (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya)”. (Surah Al-Mulk, Ayat 15).

Sabda Nabi s.a.w:

المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف، وفي كل خير، احرص على ما ينفعك، واستعن بالله ولا تعجز، وإن أصابك شيء فلا تقل: لو أني فعلت كذا لكان كذا وكذا، ولكن قل: قدّر الله ما شاء فعل، فإن لو تفتح عمل الشيطان [ رواه مسلم ]

“Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah dan semua orang mukmin baik. Hendaklah kamu banyak melakukan perkara yang mendatangkan manfaat kepadamu. Mintalah pertolongan dengan Allah dan jangan mudah berasa lemah. Sekiranya bala menimpa kamu maka jangan kamu berkata: “Kalaulah aku lakukan begini tentu ia akan jadi begini”, tetapi katakanlah: “Allah telah menentukannya dan setiap yang dikehendaki-Nya akan dilakukan-Nya kerana perkataan “kalau” akan membuka peluang kepada syaitan”. (Hadith Riwayat Muslim).

O – HUKUM MENGINGKARI QADAR

Sesiapa yang mengingkari Qadar sesungguhnya dia telah mengingkari satu asas daripada asas syariat dan akan menjadi kafir.

Kata sebahagian ulama’ salaf rahimahumullah:

“Berdebatlah dengan golongan Qadariah (orang yang menafikan qadar) dengan ilmu. Sekiranya mereka mengingkarinya, maka mereka telah kafir. Jika mereka menerimanya, mereka akan berbantah”.

P – NATIJAH BERIMAN DENGAN QADAR

Beriman dengan Qada’ dan Qadar mempunyai natijah dan kesan yang baik yang mengembalikan kebaikan kepada ummah dan individu. Antaranya ialah:

1. Ia akan menghasilkan pelbagai jenis ibadat yang soleh dan sifat-sifat yang terpuji seperti ikhlas kepada Allah, bertawakkal kepada-Nya, takutkan seksaan-Nya, mengharap dan berbaik sangka dengan Allah, sabar dan kuat semangat, menentang perasaan putus asa, redha dengan ketentuan Allah, mengesakan Allah dengan bersyukur kepada-Nya, gembira dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, tawadhu’ kepada-Nya, meninggalkan sifat takbur dan bongkak, banyak memberi nafkah pada jalan Allah kerana yakin dengan Allah, berani, merasa cukup dengan segala yang ada serta mempunyai kemuliaan diri, mempunyai semangat yang tinggi, teguh, tekun melakukan kerja, sederhana ketika susah dan senang, membersihkan diri daripada sifat hasad, murni pemikiran daripada perkara khurafat dan karut dan mempunyai jiwa yang aman serta pemikiran yang tenang.

2. Orang yang beriman dengan Qadar, hidup di atas landasan yang betul. Nikmat tidak menjadikannya seorang yang sombong. Dia tidak berputus asa dengan musibah yang menimpa. Dia yakin bahawa musibah yang menimpanya adalah dengan ketentuan daripada Allah untuk mengujinya dan tidak mudah melenting bahkan bersabar dan mengharapkan pahala daripada Allah Taala.

3. Beriman dengan Qadar boleh menjaganya daripada anasir kesesatan dan kesudahan yang tidak baik “Su’ al-khatimah”, kerana dia sentiasa berusaha untuk terus beristiqamah dan memperbanyakkan amalan yang soleh serta menjauhi perbuatan maksiat dan perkara-perkara yang membinasakan.

4. Beriman dengan Qadar menjadikan seorang mukmin mampu menghadapi bencana dan kesusahan dengan hati yang teguh serta keyakinan yang penuh dan terus melakukan sebab-sebab yang boleh menyelamatkannya. Sabda Nabi s.a.w:

عجباً لأمر المؤمن إن أمره كله له خير، وليس ذلك إلا للمؤمن، إن أصابته سراء شكر فكان خيراً له، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيراً له [ رواه مسلم ]

“Sungguh pelik keadaan orang mukmin. Semua perkara adalah baik baginya. Tidak terjadi perkara yang demikian kecuali untuk orang mukmin. Sekiranya dia mendapat perkara yang baik, dia bersyukur, maka syukur itu lebih baik baginya. Sekiranya ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya”. (Hadith Riwayat Muslim).

* * *

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين

Ekstraks dari buku “Rukun Iman” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman dengan sedikit suntingan dan saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar

Bacaan lanjut:

– Perbincangan Tentang Taqdir dari Kitab Sahih Al-Bukhari

– Perbincangan Tentang Taqdir dari Kitab Sahih Muslim

Leave a comment