[Muat Turun Artikel – Format PDF]
[Muat Turun E-Book – RUKUN IMAN ]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/HIoczgFPXh0 ]
NOTA-NOTA RINGKAS TENTANG RUKUN IMAN
RUKUN IMAN
1) Beriman kepada Allah
2) Beriman kepada malaikat
3) Beriman kepada kitab-kitab
4) Beriman Kepada rasul-rasul
5) Beriman dengan hari akhirat
6) Beriman dengan takdir
A) BERIMAN KEPADA ALLAH adalah,
- Percaya Allah Itu Wujud (Ada)
- Percaya Allah Bersifat Sempurna
- Percaya Allah Tidak Ada Kekurangan
B) BERIMAN KEPADA MALAIKAT
- Kita hendaklah percaya malaikat itu wujud sebagaimana sifat-sifat yang disebut di dalam al-Quran dan hadith.
- Malaikat ialah makhluk Allah yang mulia; mereka bertasbih dan beribadat tidak berhenti-henti kepada Allah.
- Malaikat menurut segala perintah dan tidak derhaka kepada Allah.
- Hadith-hadith yang tidak sesuai dengan martabat Malaikat: a) Kisah malaikat Munkar dan Nakir enggan menyoal orang mati yang ditalkin adalah palsu kerana menunjukkan tidak patuh perintah Allah, b) Kisah malaikat Harut dan Marut yang dikatakan berzina dan diseksa oleh Allah juga palsu kerana tidak sesuai dengan sifat mereka yang patuh dan tidak mungkin sekali-kali melakukan maksiat.
- Malaikat boleh menjelma dalam rupa manusia sebagaimana disebut di dalam al-Quran dan hadith.
- Malaikat tidak dari jenis lelaki atau perempuan dan tidak mempunyai sifat, perasaan dan keinginan seperti manusia.
- Malaikat tidak makan dan minum.
- Malaikat mempunyai nyawa (hidup) dan akan mati, umur malaikat adalah panjang.
- Malaikat disebut dahulu sebelum Kitab-kitab dan rasul kerana peranannya yang membawa kitab kepada rasul-rasul, bukan kerana lebih mulia.
C) BERIMAN KEPADA KITAB
- Percaya adanya kitab-kitab suci yang diturunkan Allah kepada Rasul-rasul-Nya melalui malaikat. Ianya mengandungi kalam Allah.
- Semua kandungannya adalah benar dan tidak boleh diragui. Empat kitab, iaitu, Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran wajib diketahui. Selain dari empat kitab tersebut, kita wajib percaya bahawa suhuf-suhuf diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa a.s.
- Selain dari empat kitab tersebut kita perlu percaya secara umum bahawa ada lagi kitab-kitab suci yang diturunkan.
- Kitab Hindu ada banyak persamaan dengan ajaran Islam. Mungkin ianya asalnya kitab suci yang telah diselewengkan seperti Bible.
- Mungkin juga pengasas-pengasasnya adalah nabi-nabi yang diutus Allah.
- Tapi Guru Nanak (Pengasas Agama Sikh) adalah pasti bukan nabi kerana tiada lagi nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w.
- Wajib percaya bahawa semua kitab kecuali al-Quran telah dimansuhkan. Kecuali al-Quran, kitab-kitab tersebut hanya untuk zamannya sahaja.
- Wajib percaya al-Quran adalah terpelihara dari penyelewengan dan tokok tambah dan terpakai sehingga hari kiamat.
- Semua ayat dalam al-Quran adalah mutawatir, tiada yang dhaif, palsu atau terkeliru. Perlu juga diingat bahawa Al-Quran dan hadith adalah berbeza.
- Nabi amat menjaga al-Quran sehingga pada suatu ketika, Baginda membenarkan hanya al-Quran ditulis daripada Baginda s.a.w. Pada masa itu hadith pun tidak dibenarkan ditulis.
- Wajib percaya semua kandungan al-Quran sesuai untuk semua zaman. Rosak aqidah sekiranya kita kata al-Quran kolot dan tidak sesuai untuk zaman ini.
- Adalah perlu belajar untuk memahami maksud isi kandungan al-Quran dan seterusnya mengamalkannya.
- Jangan kata al-Quran tidak sesuai, kolot atau ketinggalan zaman dengan maksud menghina kerana menyebabkan seseorang terkeluar dari Islam.
- Kita hendaklah berpuas hati dan redha dengan al-Quran dan yakin ianya adalah yang terbaik untuk kita.
D) BERIMAN DENGAN RASUL-RASUL
- Rasul ialah manusia yang dipilih Allah untuk membimbing manusia ke jalan yang benar. Semua Rasul adalah benar.
- Wajib diketahui Rasul-rasul yang disebut dalam al-Quran. Yang lainnya cukup dipercayai secara umum.
- Wajib dipercayai, Pertama, Rasul-rasul telah menunaikan tanggungjawab mereka sebaik mungkin. Walaupun Nabi Yunus telah meninggalkan kaumnya buat seketika, Baginda diampunkan Allah dan telah menyambung semula tugasnya. Teladan dari kisah Nabi Yunus ialah betapa sukarnya untuk menjalankan kerja-kerja agama. Panduan untuk kita supaya tabah dalam menjalankan kerja-kerja agama.
- Nabi s.a.w larang melebihkan dirinya dari Nabi Yunus.
- Kedua, Rasul-rasul adalah ma’sum, terpelihara dari segala bentuk dosa, dengan sengaja atau tidak sengaja. Kesalahan-kesalahan (dosa-dosa) mungkin berlaku kepada Sahabat-sahabat, tetapi bukan kepada nabi. Ini adalah untuk mejadi pedoman kepada kita.
- Rasul-rasul tidak mungkin berpenyakit gila kerana ianya menjatuhkan maruah dan menggugat kedudukan seorang nabi.
- Ketiga, asas ajaran Rasul-rasul adalah tauhid dan tiada yang mengajarkan perkara syirik kepada umat mereka.
- Keempat, Nabi Muhammad s.a.w adalah penyudah sekelian Rasul dan penutup sekelian nabi a.s. Orang lain tidak boleh memiliki sifat-sifat nabi seperti ma’sum, menerima wahyu dsb. Oleh itu Syiah sesat kerana mendakwa Imam 12 mereka adalah ma’sum.
- Rasul-rasul mempunyai mukjizat sebagai bukti kebenaran mereka. Di antara mukjizat Nabi Muhammad ialah al-Quran yang kekal sehingga akhir zaman.
- Rasul-rasul adalah perantara antara Allah dan manusia. Mereka menunjukkan cara beribadat dan cara berterima kasih kepada Allah.
- Rasul-rasul adalah orang-orang yang suci, tidak mengamalkan ilmu yang pelik dan kotor. Berbeza dengan tukang tenun, ahli sihir atau bomoh-bomoh yang berbohong, memuja jin dan syaitan.
- Rasulullah dan pengikutnya bercakap benar, hidup bersih dan tidak suka kekotoran. Mulia hidupnya.
E) BERIMAN DENGAN HARI AKHIRAT
- Percaya kepada hari akhirat bermaksud percaya adanya kehidupan selepas mati termasuk syurga, neraka, dosa, pahala, mahsyar, azab kubur dan sebagainya.
- Yang dibangkitkan semula ialah tubuh kasar manusia. Tubuh inilah yang telah merasa susah senang semasa di dunia. Agama Hindu percaya kepada “reinkarnasi”, roh berpindah kepada tubuh yang lain. Yang akan diseksa ialah tubuh yang baru, bukan yang asal. Kosep “reinkarnasi” adalah amat bercanggah dengan konsep Islam di mana agama Islam adalah yang logik dan masuk akal.
- Adalah lebih mudah mengadakan semula dari sesuatu yang telah ada berbanding mengadakan dari yang tiada langsung.
- Nikmat Islam ialah nikmat paling besar (kerana ianya logik dan munasabah).
- Wajib yakin di akhirat nanti ada pengiraan amalan baik dan buruk, walau sekecil mana sekalipun (Surah al-Zalzalah, ayat 7 & 8). Oleh itu, tidak perlu susah hati kalau tidak mendapat balasan di dunia. Jiwa akan sentiasa resah sekiranya tidak yakin dengan balasan di akhirat.
- Manusia akan berani berbuat jahat jika tidak percaya kepada balasan di hari akhirat. Adanya syurga dan neraka amat penting untuk mengawal dan menunjukkan arah tuju kepada manusia.
- Penyelesaian sebenar segala masalah dan pertikaian ialah di akhirat; ini membuktikan Allah adalah Maha Adil.
F) BERIMAN DENGAN TAKDIR
- Percaya kepada takdir ialah percaya bahawa Allah telah menentukan segala yang baik dan buruk setiap makhluk sebelum ianya dicipta lagi.
- Sesetengah ulama’ berpendapat qada’ ialah ketentuan secara kasar dan takdir ialah ketentuan secara terperinci (perlaksanaan qada’).
- Istilah lain untuk takdir ialah “sunnatullah” atau ketetapan Allah untuk segala makluk yang dicipta-Nya.
- Ada juga ulama’ berpendapat takdir adalah berkenaan ilmu Allah s.w.t. yang sempurna seolah-olah menentukan segala-galanya.
- “Sunnatullah” menetapkan pisau yang memotong tembikai tetapi tidak sebaliknya. Ianya tidak bermaksud memaksa kita memotong tembikai.
- Pengetahuan tentang sesuatu perkara tidak bermaksud memaksa berlakunya perkara tersebut.
- Dua persoalan besar yang timbul di kalangan umat Islam, a) Jika kekufuran ditakdirkan untuk seseorang mengapa ia ditaklifkan (dibebankan) dengan iman dan amal? b) Sekiranya perkara baik dan buruk semuanya terjadi dengan kehendak Allah, maka segala kekejian yang berlaku adalah berpunca dari Allah.
- Lahir tiga golongan yang berbeza dalam sejarah Islam untuk merungkai dua persoalan di atas.
- Golongan pertama, Qadariah dan Syiah yang berpendapat manusia mencipta sendiri segala perbuatan dan tindak-tanduknya.
- Golongan Qadariah berkata, perbuatan manusia tidak dijadikan oleh Allah tetapi dicipta manusia sendiri, oleh itu wajarlah dia dapat pahala atau dosa.
- Dengan itu mereka mendakwa tidak mengaitkan keburukan kepada Allah.
- Ahli Sunnah Wal Jamaah membantah pendapat golongan Qadariah ini sebagaimana berikut: a) Ianya bercanggah dengan ayat al-Quran yang bermaksud, “Allah mencipta segala sesuatu dan Dialah yang mentadbir serta menguasai segala-galanya” b) Apakah mungkin kuasa Allah yang mutlak boleh ditandingi oleh manusia yang sifatnya “mumkim” (boleh jadi ada dan boleh jadi tiada)? c) Siapakah yang mencipta syaitan yang dilaknat itu sekiranya kita tidak boleh kaitkan penciptaan sesuatu yang buruk dengan Allah?
Hakikatnya, baik dan buruk Allah yang jadikan. Sekiranya yang buruk bukan Allah (tetapi kita) yang jadikan mengapa perkara buruk dan perkara yang kita tidak suka masih berlaku kepada kita?
- Golongan kedua ialah Jabariyah dan Jahmiah. Mereka berpendapat manusia langsung tidak mempunyai kuasa dan tiada ikhtiar dan pilihan.
- Mereka tidak bertanggungjawab terhadap dosa dan berpendapat tidak dimasukkan ke dalam neraka kerana perbuatan mereka adalah dari Allah. Sedangkan hakikatnya, mereka tidak dipaksa dan boleh melakukan sama ada maksiat atau ketaatan tanpa halangan.
- Pendapat ini boleh dibantah iaitu, sekiranya manusia tiada pilihan langsung, ini bermakna tiada beza perkara yang boleh dipilih (makan, minum dsb) dengan perkara yang tidak boleh dipilihnya (spt menjadi gila, lahir berbangsa Melayu dsb).
- Ada perbuatan yang dilakukan dengan pilihan sendiri, oleh itu ada sistem hukuman, upah dan denda sama ada untuk perkara dunia atau akhirat.
- Adakah golongan Jabariyah dan Jahmiah ini sanggup untuk tidak diberi upah atas apa-apa usaha dan kerja yang mereka lakukan di dunia ini dengan alasan semuanya perbuatan Allah?
- Golongan ketiga ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka adalah golongan yang benar kerana sesuai dengan al-Quran, as-Sunnah dan akal yang sejahtera.
- Manusia mempunyai kuasa, usaha dan ikhtiar yang cukup tetapi terhad. Ianya diberi Allah dalam kadar yang layak untuk dihukum atau diganjari.
- Manusia memilih dan menghendaki perbuatan yang dilakukannya tetapi perlu diyakini bahawa sifat “menghendaki” itu adalah ciptaan Allah.
- Allah mencipta malaikat yang tiada kehendak untuk makan, kahwin dsb. Begitu juga Allah boleh jadikan semua manusia beriman, tapi Allah tidak kehendaki begitu.
- Allah menjadikan kamu dan apa yang kamu buat (dengan diberi pilihan apa yang kamu hendak buat).
- Bila sakit, walaupun doktor yang bagi ubat, di segi akidah kita hendaklah percaya bahawa yang menyembuhkan ialah Allah, bukan ubat atau doktor.
- Yang mematikan dan menghidupkan kita ialah Allah walaupun pada zahirnya ianya disebabkan oleh kemalangan, racun dan sebagainya.
- Sifat “menghendaki dan memilih” yang ada pada manusia adalah di luar kehendaknya. Oleh itu tidak semua kita dapat apa yang kita kehendaki.
- Kita boleh kata seseorang itu boleh mendengar dan melihat tetapi yang memberi sifat mendengar dan melihat ialah Allah bukan kita.
- Tanpa kepercayaan kepada takdir kita akan sentiasa kecewa dan resah. Dengan yakin kepada takdir kita hidup dalam keadaan tenang dan redha.
=========================================
MUAT TURUN E-BOOK – Rukun Iman –
[Muat Turun E-Book – RUKUN IMAN]
LAYARI WEB – Rukun Iman –