[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO – [Durasi – 19m 50s] – [HADIS PALSU] – Hari Rabu hari paling sial! & Syiah ada kalender sial atau bertuah untuk setiap hari
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/87DztVCbWeo ]
USUL DIRAYAT KE – 40 – Hadith-hadith yang menyebutkan bulan-bulan atau hari-hari tertentu seperti hari Selasa atau Rabu dan lain-lain sebagai bulan-bulan atau hari-hari nahas atau hari bertuah boleh dikatakan semuanya palsu; yang paling baik pun ianya sangat dhaif.
CATATAN MENARIK
1. [ 00:00:43 ] Penetapan hari-hari nahas dan bertuah akan membantutkan akitiviti umat Islam; ianya adalah agenda musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat Islam]
2. [ 00:12:53 ] SELINGAN – Hukum menyebarkan hadith palsu adalah haram. Walaupun begitu, kita boleh menyebutnya dalam proses pembelajaran atau untuk memberitahu tentang kepalsuannya agar masyarakat terselamat.
3. [ 00:13:48 ] Hadith dan kepercayaan tentang hari nahas atau bertuah di kalangan masyarakat ahli sunnah kemungkinan besar disebarkan oleh golongan Syiah. Syiah mempunyai kalendar khas yang menetapkan tiap-tiap hari dalam setahun sebagai nahas atau bertuah.
4. [ 00:13:48 ] Di dalam masyarakat kita, ianya masih diamalkan di kalangan bomoh.
5. [ 00:13:48 ] Berkat usaha pejuang-pejuang sunnah, amalan dan kepercayaan hari nahas seperti mandi tolak bala di bulan Safar telah terhapus dalam masyarakat kita.
6. [ 00:16:22 ] Ada orang mengatakan memang ada tuah dan sial pada perkara-perkara tertentu kerana ianya disebut di dalam hadith sahih dan al-Quran. Sebenarnya apa yang disebut hari nahas dalam al-Quran ialah hari di mana kaum-kaum terdahulu ditimpakan azab kerana kederhakaan yang luar biasa. Ianya tidak berkait dengan kita umat Muhammad.
7. [ 00:17:27 ] Konsep sial dan nahas (pada sesuatu masa, benda atau perkara) tidak ada dalam Islam. Yang sebetulnya ialah keadaan yang tidak sesuai atau tidak secocok di mana ada jalan penyelesaiannya. Contohnya Islam membenarkan perkahwinan dibubarkan (bercerai) jika pasangan suami isteri tidak ada persefahaman sehingga tidak boleh hidup bersama.
8. [ 00:18:24 ] NOTA HUJUNG – Bisikan syaitan akan menimbulkan was-was dalam diri kita dengan perasaan takut-takut apa yang diancam sebagai nahas akan benar-benar terjadi. Kita hendaklah menolak bisikan-bisikan ini dengan melakukan sebaliknya dari apa yang dilarang dalam hadith-hadith palsu tersebut, contohnya, dengan sengaja memotong kuku pada hari Rabu untuk membantah teori kononnya bala akan menimpa bila memotong kuku pada hari Rabu!
[KENALI HADITH PALSU] – HADITH MENYEBUTKAN BULAN ATAU HARI TERTENTU SEPERTI HARI SELASA ATAU RABU DLL SEBAGAI BULAN ATAU HARI NAHAS ATAU BERTUAH SEMUANYA PALSU; YANG PALING BAIK PUN SANGAT DHAIF
1. [ 00:01:06 ] – HADITH PALSU PERTAMA
Jabir meriwayatkan katanya, Jibril a.s. telah turun kepada Nabi s.a.w. lalu dia berkata, “Buatlah keputusan dengan sumpah bersama seorang saksi [Nota: bahagian ini boleh diterima], Hari Rabu adalah hari nahas berterus-terusan (sehingga hari kiamat)”. [Nota: Hadith ini terdapat di dalam kitab-kitab hadith utama karangan al-Tabarani, Abu Awanah dan al-Baihaqi. Walaupun begitu ianya juga ada di dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadith palsu (al-maudhuat) karangan Ibnu al-Jauzi dan az-Zahabi, menunjukkan ianya adalah hadith maudhu’ (palsu)]
[ 00:02:10 ] – KOMENTAR HADITH PALSU PERTAMA
a. Al-Tabarani mengemukakan hadith ini untuk mendedahkan kelemahannya. Oleh itu, elok kita merujuk kepada mereka yang pakar sebelum menggunakan sebarang hadith terutamanya dari kitab-kitab seumpama ini.
b. Perawi hadith ini, Ibrahim bin Abi Hayya bersendirian (tafarrud) dalam meriwayatkan hadith ini. Beliau adalah perawi sangat dhaif.
c. Hadith ini bercanggah dengan hadith sahih yang berbunyi, “Allah menjadikan cahaya pada hari Rabu”.
d. Hadith ini bercanggah dengan kenyataan sebenar kerana nahas tidak hanya berlaku pada hari Rabu malah berlaku pada hari-hari lain.
2. [ 00:04:02 ] – HADITH PALSU KEDUA
Abu Said al-Khudri meriwayatkan katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Hari Sabtu, hari helah dan tipu daya, hari Ahad hari menanam pokok dan mendirikan bangunan, hari Isnin hari berjalan dan mencari rezeki, hari Selasa hari besi dan perang, hari Rabu hari tidak mengambil dan tidak memberi, hari Khamis hari mencari segala hajat dan hari masuk menemui sultan dan hari Jumaat hari pertunangan dan pernikahan”.
[ 00:05:02 ] – KOMENTAR HADITH PALSU KEDUA
Hadith ini sangat dhaif kerana,
a) “Ittirab” (tidak tetap) pada matannya,
b) bercanggah dengan riwayat yang sahih,
c) bercanggah dengan kenyataan,
d) tidak ada sandaran yang jelas dan sahih.
e) sanadnya dhaif.
[Nota: Ada riwayat dalam kitab utama Syiah yang hampir serupa dengan hadith ini. Oleh itu, boleh dikatakan hadith ini berpunca dari Syiah. Masuknya hadith-hadith palsu ini adalah kerana kurang dan lemahnya pengajian hadith dalam masyarakat]
3. [ 00:08:04 ] – HADITH PALSU KETIGA
“Sesiapa memberi berita gembira kepadaku tentang keluarnya (habisnya) bulan Safar aku memberikan berita gembira kepadanya tentang dia akan masuk syurga”.
[Nota: Suatu masa dahulu bulan Safar dikaitkan dengan bala, sehingga orang tidak mahu berkahwin di bulan ini dan ada upacara mandi tolak bala]
[ 00:08:50 ] – KOMENTAR HADITH PALSU KETIGA
1. Hadith ini dimasukkan di dalam kitab-kitab “al-maudhuat”, kitab-kitab yang mengumpulkan hadith-hadith palsu.
2. Ulama’ bersepakat mengatakan hadith ini maudhu’ (palsu).
3. Hadith ini bercanggah dengan hadith sahih yang mengatakan tiada kepercayaan bahawa bulan Safar membawa sial atau nahas.
4. [ 00:09:56 ] – HADITH PALSU KEEMPAT
“Hari-hari itu semuanya diciptakan oleh Allah, sebahagiannya adalah hari-hari bertuah dan sebahagian yang lain pula adalah hari-hari nahas sebagaimana manusia semuanya adalah hamba-hamba Allah tetapi sebahagiannya untuk syurga dan sebahagian yang lain pula adalah untuk neraka. Tidak ada satupun bulan melainkan ada tujuh hari nahas padanya. Hari ketiga nahas padanya Qabil telah membunuh Habil, hari kelima nahas padanya dikeluarkan Adam dari syurga dan dicampakkan Yusuf ke dalam telaga. Hari ke 13 nahas padanya bala’ menimpa Ayyub (Nabi Ayyub), hari ke 16 nahas padanya kerajaan Sulaiman (Nabi Sulaiman) dirampas, hari ke 21 nahas padanya kaum Lut ditelan bumi, orang-orang Nasrani ditukar rupa menjadi babi, orang-orang Yahudi ditukar rupa menjadi kera dan Nabi Yahya bin Zakaria dibelah dengan gergaji. Hari ke 24 nahas padanya Fir’aun dilahirkan dan mendakwa dirinya sebagai tuhan dan padanya juga ia ditenggelamkan, pada hari itu juga ribut taufan belalang, kutu dan katak dilepaskan (sebagai bencana kepada bani Israil), hari ke 25, nahas padanya Namrud membelah perut 40 orang wanita mengandung. Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api dan unta Nabi Saleh disembelih. Pada hari itu Allah membinasakan kaum Saleh dengan azab yang amat dahsyat. Hari Rabu di akhir setiap bulan juga hari nahas dan berterusan. Pada hari itu Allah melepaskan angin kencang untuk membinasakan kaum Aad dan pada hari itu juga Allah menimpakan azab ke atas kaum Tsamud.”
[ 00:12:10 ] – KOMENTAR HADITH PALSU KEEMPAT
Hadith ini terdapat di dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadith maudhu’ karangan as-Shaukani dan al-Fattani. Hafiz Ibnu Hajar mengatakan ianya dusta.
VIDEO PENUH ASAL – https://youtu.be/tR1UIn28Lwk