[Muat Turun Artikel – Format PDF]
E-BOOK – Syarah Dan Huraian Makna Bacaan Dalam Solat
Mempelajari makna bacaan-bacaan rukun qauli dan zikir dalam solat adalah wajib kerana seorang muslim itu hendaklah memahami apa yang diucapkan oleh lisannya ketika dia berdiri di hadapan Tuhan-Nya. Jika dia
tidak memahami apa yang diucapkan oleh dirinya ketika sedang solat maka dia termasuk daripada kalangan mereka yang lalai.
Di antara yang dimaksudkan dengan lalai dalam solat ialah mendirikannya tanpa memahami maksud dan bacaan di dalamnya sehingga tidaklah seseorang itu berdiri menunaikan solat melainkan sekadar membaca apa yang dihafal seperti burung kakak tua namun tidak memahami dan mengerti isinya apatah lagi merasa insaf dan sedar akan maksud dan perintah di dalam ucapannya.
Perintah memahami maksud dan bacaan dalam solat merupakan sesuatu yang sudah jelas dan terang daripada Al-Quran dan As-sunnah.
Kita boleh melihat di dalam Surah An-Nisa berkenaan larangan solat di dalam keadaan mabuk berkenaan perintah Allah supaya menangguhkan solat seseorang sehingga dia menyedari apa yang diucapkannya di dalam bacaan solat tersebut. Hal ini menjadi bukti yang paling jelas bahawa kewajipan solat itu haruslah didirikan dengan memahami makna bacaan dan mengerti tentang apa yang diucapkannya agar solatnya itu dapat diterima oleh Allah sw.t.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
َ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu dapat mengerti apa yang kamu ucapkan…” (Surah An-Nisa’, Ayat 43)
Kalimah “sehingga kamu mengerti atau mengetahui apa yang kamu ucapkan” ialah isyarat jelas bahawa perintah memahami maksud bacaan dalam solat ialah suatu kewajipan yang perlu diusahakan oleh setiap muslim yang mengaku beriman supaya dapat mendirikan solat dalam keadaan memahami makna bacaan.
Maka tidak ada alasan bagi orang yang beriman dan muslim yang telah menjadi Islam sejak puluhan tahun untuk tidak berusaha memahami dan mempelajari bahasa arab dan makna-makna di dalam solat serta tafsir Al-Quran sedangkan dalam waktu yang sama mereka mampu mempelajari pelbagai jenis bahasa asing dan membaca serta menulis dan bahkan bertutur di dalam bahasa tersebut.
Muat turun E-book – “Syarah Dan Huraian Makna Bacaan Dalam Solat: