[Muat Turun Artikel – Format PDF]
CIRI-CIRI ISLAM
Islam sebagai agama Allah mempunyai ciri-ciri unggul yang tidak terdapat pada agama ciptaan manusia. Ciri-ciri unggul ini dapat disebutkan seperti berikut:
1. Rabbani (Bersifat Ketuhanan)
Islam adalah agama yang datang dari Allah. Ia merupakan agama wahyu yang bersih daripada campur tangan manusia. Islam sebagai agama rabbani sudah tentu mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri yang sesuai dengan penciptanya Yang Maha Tinggi. Islam disebarkan oleh rasul pilihan Allah yang maksum, mempunyai kitab suci yang tidak perlu lagi ditokok tambah dan tidak akan berubah hingga ke akhir zaman. Ajaran Islam adalah menyeluruh dan sempurna dan sesuai untuk setiap tempat, masa dan keadaan.
Oleh itu, Islam adalah berbeza dengan agama lain yang dicipta atau diilhamkan oleh penciptanya yang bersifat lemah (manusiawi) seperti agama Budha, Hindu, Kristian dan lain-lain yang seumpamanya yang diistilahkan sebagai agama budaya.
2. Syamil dan Kamil (Menyeluruh Dan Sempurna)
Kemutlakan dan kesempurnaan sifat-sifat Allah adalah tidak terbatas. Islam bersifat “syamil” (menyeluruh) dan “kamil” (sempurna) bertitik tolak dari pengiktirafan bahawa segala sifat-sifat kesyumulan dan kesempurnaan itu bermula dari Allah.
Dalam konteks kesyumulan Islam, ianya menunjukkan Islam bukan hanya agama yang berbentuk teori semata-mata yang menyangkut kepada persoalan hati dan fikiran, bukan hanya berbentuk lisan yang memfokus kepada pertuturan sahaja, malah lebih dari itu kerana Islam adalah agama yang mencakup seluruh kejadian manusia dalam seluruh bidang kehidupannya.
Begitu juga dengan kesempurnaan Islam, ianya bertitik tolak dari kesempurnaan Penciptanya. Seluruh sistem yang ada dalam Islam adalah bersifat sempurna dan tidak ada cacat celanya.
Dalam konteks ini seluruh sistem Islam sama ada yang berbentuk teori mahupun praktikal adalah amat sesuai dengan keadaan, suasana dan rupa bentuk kehidupan manusia dan hubungkaitnya dengan alam seluruhnya tanpa mengira apa jua zamannya. Sistem hidup Islam tidak statis tetapi praktis, tidak membebas lepas tetapi membimbing dan terarah, tidak mengongkong tetapi sentiasa berwaspada dan hati-hati dalam seluruh perjalanannya.
3. Waqi’i atau Praktikal
Islam sebagai agama yang sempurna dan menyeluruh sudah tentu tidak akan terlaksana dengan hanya berlandaskan kepada teori semata-mata kerana kehidupan manusia amat luas ruang lingkupnya. Sebagai contoh, iman merupakan elemen yang terpenting dalam Islam, merupakan bidang teori yang utama bagi menentukan status seseorang di sisi Allah. Namun tujuan ini tidak dapat dicapai dengan hanya bergantung kepada pengakuan yang ada di dalam diri seseorang semata-mata, malah ia wajib dibuktikan kebenarannya dengan pengakuan lidah, dan untuk membuktikan tepat pengakuan lidah itu, ia perlu dibuktikan dengan amal perbuatan atau tindakan lahiriah yang jelas dan praktikal.
Secara realitinya Islam bukan hanya agama yang membicarakan persoalan hubungan manusia dengan pencipta, malah ia juga membicarakan hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam seluruhnya. Dalam konteks ini manusia diarah memainkan peranannya menurut garis panduan yang telah ditetapkan sesuai dengan kedudukannya. Dalam satu hadith untuk menerangkan binaan Islam Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Dibina Islam atas lima perkara, bersyahadah bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, haji ke Baitullahilharam dan puasa Ramadhan.” (Hadith riwayat Muslim)
4. Tinggi atau Agung
Keagungan dan ketinggian Islam adalah bertitik tolak dari keseluruhan sifat kesempurnaan Allah iaitu Ke-Esaan dan ke-Tunggalan-Nya. Islam agung kerana tidak ada agama yang setanding dengannya. Hanya ia satu-satunya agama yang diperakui di sisi Allah. Dalam hal ini Allah s.w.t. berfirman, bermaksud,
“Sesungguhnya agama yang (diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali Imran, Ayat 19)
Ketinggian Islam adalah bermula dari, bahawa Islam itu datang dari Zat Yang Maha Tinggi. Islam disifatkan sebagai satu-satunya agama yang mempunyai kedudukan yang tertinggi jika dibandingkan dengan agama-agama lain yang ada di dunia ini. Malah adalah tidak layak untuk membandingkan Islam dengan agama-agama budaya ciptaan manusia. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya.”
5. Alami atau sejagat
Islam bersifat universal, ia tidak diturunkan untuk sesuatu kaum atau diturunkan kepada sesuatu tempat tertentu sahaja, malah ia diturunkan untuk seluruh alam. Perutusan Rasulullah s.a.w. sebagai penyebar kepada agama suci ini adalah semata-mata untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.
Hal ini ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya, mafhumnya,
“Dan Kami tidak mengutuskan engkau, melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam”. (Surah Al-Anbiya’, Ayat 107)
Allah menegaskan bahawa penetapan kepada sesuatu tempat atau arah tertentu adalah tidak menjadi ukuran muktamad kepada penilaian buruk dan baik seseorang di sisi-Nya. Firman Allah s.w.t, bermaksud,:
“Bukanlah kebaikan itu kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat tetapi kebaikan itu ialah kamu beriman dengan Allah dan hari akhirat…” (Surah Al-Baqarah, Ayat 107)
Islam juga tidak diutuskan kepada kaum dan puak tertentu. Oleh itu Islam tidak menilai kemuliaan seseorang itu berdasarkan kepada keturunan, warna kulit dan wajah atau rupa bentuk. Allah memberikan penilaian muktamad berdasarkan ketaqwaan dan kepatuhan. Firman Allah s.w.t. dalam menegaskan hal ini, ertinya,
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” (Surah al-Hujurat, Ayat 13).
Islam sebagai agama alami dan sejagat ini adalah bersesuaian dengan kedudukannya sebagai agama akhir zaman dan Rasulullah sebagai rasul terakhir yang membawa perutusan dari Allah s.w.t.
(Disaring dari buku “Asas-asas Islam 1”, terbitan Pusat Pendidikan Islam, ITM, Shah Alam, 1996)
