MERINDUI KEBAHAGIAAN HAKIKI

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Kita patut bertanya kepada diri kita, adakah kita ini di antara orang yang bahagia? Mungkin ada di antara kita pada ketika ini memiliki harta yang melimpah ruah, tetapi tidak merasa bahagia. Ada pula yang memiliki kemasyhuran dan kedudukan yang tinggi, namun tidak pernah merasa bahagia. Ada juga di antara kita yang amat terhormat di mata masyarakat dan menjadi tokoh terkemuka, tetapi itu pun tidak membuatkan kita bahagia. Ada juga yang cuba melancong ke luar negeri mengunjungi tempat-tempat yang indah tetapi nyata kebahagiaan itu tidak juga menggamitnya

Kalau begitu, ternyata ukuran bahagia itu tidak terletak pada banyaknya harta, bukannya pada jawatan dan kedudukan, bukan juga pada ketokohan seseorang dan juga bukan dengan peluang melancong ke merata tempat. Oleh itu, di manakah kebahagiaan itu, dan bagaimana pula kita dapat mengecapinya?

Sebenarnya, kebahagiaan adalah bila seseorang mampu melakukan sesuatu yang bermakna dan murni. Ia merupakan kekuatan batin yang memancarkan ketenangan dan kedamaian, merupakan kurniaan Allah s.w.t. yang membuat jiwa lapang dan bergembira.

Bahagia adalah kejernihan hati, kebersihan amal perbuatan dan keelokan rohani. Hal itu merupakan kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada siapa saja yang melakukan perbuatan terpuji.

Continue reading
Advertisement

JIWA YANG TENTERAM

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Jiwa yang sihat dan tenteram memiliki beberapa tanda, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah di dalam kitab “Ighatsatul Lahfan min Mashayid asy-Syaithan”. Di antara tanda-tanda tersebut adalah mampu memilih segala sesuatu yang bermanfaat dan memberikan ketenteraman kepada jiwanya. Dia tidak memilih perkara-perkara yang berbahaya atau yang menjadikan jiwanya sakit atau menderita. Tanda jiwa yang sakit adalah sebaliknya. Santapan jiwa yang paling bermanfaat adalah keimanan dan ubat yang paling mujarab adalah al-Quran. Selain itu, jiwa yang sihat memiliki sifat sebagaimana berikut:

1. Matlamatnya Akhirat

Jiwa yang sihat bergerak dari dunia menuju ke akhirat dan seakan-akan telah sampai di sana. Sehingga dia merasa seperti telah menjadi penghuni akhirat dan putera-puteri akhirat. Dia datang dan berada di dunia ini seakan-akan sebagai orang asing, yang mengambil sekadar keperluannya, untuk segera kembali ke negeri asalnya. Nabi s.a.w bersabda,

“Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau (musafir) yang melalui suatu jalan”. (Hadith riwayat al-Bukhari)

Bila jiwa seseorang itu sihat, dia akan mengembara menuju akhirat dan menghampirinya, sehingga seakan-akan dia telah menjadi penghuninya. Sedangkan bila jiwa tersebut sakit, maka dia akan terlena dengan dunia dan menganggapnya sebagai negerinya yang kekal, sehingga jadilah dia hamba kepadanya.

Continue reading

Pentingnya Mengingati Kematian

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Sesungguhnya kematian adalah benar, pasti terjadi, tidak dapat disangkal lagi. Allah s.w.t. berfirman, mafhumnya,

“Dan datanglah sakaratul maut yang sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari dari padanya”. (Surah Qaaf, Ayat 19)

Siapakah di antara kita yang meragui kematian dan sakaratul maut? Apakah ada orang yang meragui kubur dan azabnya? Siapakah yang mampu menunda kematiannya dari waktu yang telah ditentukan?

Mengapa manusia sombong padahal kelak dia akan dimakan ulat? Mengapa manusia melampaui batas padahal di dalam tanah kelak akan terbujur? Mengapa menunda-nunda, padahal anda mengetahui kematian akan datang secara tiba-tiba?

Continue reading

BAHAGIA TERLETAK PADA SIFAT REDHA

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Bahagia belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, atau duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya.

Pakar motivasi menyatakan: “Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda”. Manakala hadith Rasulullah s.a.w memberi petua lagi bernas, sabda Baginda: “Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga adalah kebaikan”. (Hadith riwayat Imam Muslim).

Semua baik, baik dan baik. Apa yang Allah pilih untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas’ud apabila ditanya: “Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?”. Beliau menjawab: “Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?”.

Orang banyak mengatakan: “Bahagia itu adalah kepuasan hati.” Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa sempurna. 

Continue reading

MASA ADALAH UMURMU!

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Antara tanda orang yang rugi adalah banyak bergaul tetapi tidak menambahkan ilmunya, banyak bersembang kosong, bergurau dan banyak bercakap.

Dari Ibnu ‘Abbas r.a., Rasulullah bersabda, bermaksud:

“Dua nikmat yang ramai manusia tertipu, nikmat sihat dan waktu lapang.” (Hadith riwayat al-Bukhari). (Sahih al-Bukhari no. 6412, Jami’ At-Tirmizi no. 2304, Sunan Ibnu Majah. no. 4170, Musnad Ahmad no. I/258-344), Sunan Ad-Darimi no.II/297, Mustadrak Al-Hakim no. IV/306)

Masa adalah ukuran zaman. Hari-hari yang kita lalui adalah umur kita. Apabila ia berlalu, maka hilanglah sebahagian dari hidup kita. Masa adalah anugerah terbesar dan paling berharga bagi manusia. Masa menjadi sebab berbagai pencapaian cemerlang bagi seseorang bila dia mampu memanfaatkannya dengan bijaksana.

Sementara masih muda manfaatkanlah masa itu sebaik-baiknya. Masa muda adalah bagai emas, ketika ini kita memiliki kekuatan semangat, fikiran masih bersih, sedikit urusan dan mempunyai keazaman yang kuat. Sebaliknya pada usia tua, tubuh kita semakin lemah, tanggungjawab semakin banyak dan berat dan selalu ditimpa penyakit.

Continue reading

BUKTI-BUKTI IKHLAS

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Saringan Dari Artikel Asal Dr. Yusuf al-Qardhawi (Fit-Thariq IlallahAn-Niyyah wal-Ikhlas)

Ikhlas itu mempunyai banyak bukti dan tanda-tandanya pada seseorang sama ada dalam kehidupan, dalam tindak-tanduknya, dalam pandangan terhadap dirinya dan juga orang lain. Di antaranya adalah:

Pertama: Takut Kemasyhuran

Takut kemasyhuran dan tersebarnya kemasyhuran dirinya, lebih-lebih lagi jika dia termasuk dari kalangan orang yang berpangkat. Dia perlu yakin bahawa amalnya diterima di sisi Allah hanya dengan cara tersembunyi, tidak secara terang-terangan dan didedahkan. Andaikata kemasyhuran seseorang memenuhi seluruh angkasa, tetapi ada niat tidak baik yang masuk ke dalam dirinya, maka tidak bermakna sedikitpun kemasyhuran itu di sisi Allah.

Oleh itu zuhud dalam masalah kedudukan, kemasyhuran, penampilan dan hal-hal yang serba gemerlap lebih besar daripada zuhud dalam masalah harta, syahwat perut dan kemaluan. Al-Imam Ibn Syihab az-Zuhri berkata: “Kami tidak melihat zuhud dalam hal tertentu yang lebih sedikit daripada zuhud dalam pangkat dan kedudukan. Engkau melihat seseorang berzuhud dalam masalah makanan, minuman dan harta. Namun jika kami membahagi-bahagikan kedudukan dan pangkat, tentu mereka akan berebut dan meminta lebih banyak lagi”.

Continue reading