Mereka Yang Menggenggam Bara Api

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Oleh Syaikh Abu Usamah Salim bin Ied Al Hilaly

Dari Abu Umayyah Asy Sya’baniy berkata: Aku bertanya kepada Abu Tsa’labah: “Ya Aba Tsa’labah apa yang engkau katakan tentang ayat Allah (yang bermaksud) :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayat petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya). (Surah Al-Maidah, Ayat 105)

Berkata Abu Tsa’labah:

Demi Allah, aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang ayat itu, maka Baginda bersabda yang maksudnya:

“Beramar ma’ruf dan nahi mungkarlah kamu sehingga (sampai) kamu melihat kebakhilan sebagai perkara yang ditaati, hawa nafsu sebagai perkara yang diikuti; dan dunia (kemewahan) sebagai perkara yang diagungkan (setiap orang mengatakan dirinya di atas agama Islam dengan dasar hawa nafsunya). Dan Islam bertentangan dengan apa yang mereka sandarkan pada kamu (tetaplah diatas diri-diri) dan tinggalkanlah orang-orang awam kerana sesungguhnya pada hari itu adalah hari yang penuh dengan kesabaran (hari di mana seseorang yang sabar menjalankan al-haq dia akan mendapatkan pahala yang besar dan berlipat kali ganda). Seseorang yang bersabar pada hari itu seperti seseorang yang memegang sesuatu di atas bara api, seseorang yang beramal pada hari itu sama pahalanya dengan 50 orang yang beramal sepertinya.”

Seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w yang ertinya: “Ya Rasulullah, pahala 50 orang dari mereka?”. Rasulullah s.a.w berkata: “Pahala 50 orang dari kamu (para Sahabat Rasulullah s.a.w.)”.

(Hadith riwayat . Abu Daud: 4341, At Tirmizi: 3058, dan dihasankan olehnya; Ibnu Majah: 4014, An-Nasa’i dalam kitab Al Kubro: 9/137-Tuhfatul Asyrof, Ibnu Hibban: 1850-Mawarid, Abu Nuaim dalam Hilyatul Aulia: 2/30, Al-Hakim: 4/322- disahihkan dan disetujui oleh Az-Zahabi, Ath Thahawi dalam Misykalul Atsar: 2/64-65, Al-Baghawi dalam Syarhu Sunnah: 14/347-348 dan dalam Ma’alimul Tanzil: 2/72-73, Ibnu Jarir Ath Thabari dalam Jamiul Bayan: 7/63, Ibnu Wadloh Al-Qurtubi dalam Al bida’u wa nahyuanha: 71, 76-77; Ibnu Abi Dunya dalam Ash Shobr: 42/1) Hadith Tsabit dari Rasulullah dengan syawahidnya (jalan lainnya).

Dalam hadith Rasullullah s.a.w di atas menunjukkan:

– Kewajiban untuk terus beramal ma’ruf nahi munkar sampai datang masa yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w.

Masa yang disifatkan oleh Rasullulllah s.a.w tersebut menunjukkan bahawa tidak bermanfaat lagi amal ma’ruf nahi munkar kerana disebabkan kerosakan manusia pada waktu itu.

Kadang-kadang ada pertanyaan yang mengatakan: Bagaimana derajat pahala yang diberikan orang-orang yang bersabar dalam beramal di atas al-haq pada waktu itu berlipat kali ganda dibandingkan dengan amalan para Sahabat r.a.? Di mana, mereka adalah generasi pertama yang membangun Islam, menegakkan cahaya Islam, membuka negeri-negeri, meninggikan kekuasaan dan menancapkan Agama Allah.

Dan Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Sekiranya kamu menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud setiap hari, tidak akan dapat menyamai mereka (para Sahabat Rasullullah s.a.w) meskipun setengahnya”. (Hadith sahih, lihat takhrijnya dalam [Juz’u Muhammab bin Ashim An Syuyukhihi: 12]).

Maka jawabannya adalah sesungguhnya para Sahabat Rasulullah s.a.w adalah generasi yang telah masyhur amalannya, tiada satupun manusia setelah generasinya yang sebanding amalannya dengan mereka. Mereka telah menjalankan amal ma’ruf nahi munkar sebagai perkara yang besar untuk membuka dan mengukuhkan agama Allah iaitu Al-Islam.

Bilangan mereka di awal Islam sangat sedikit disebabkan kerana berkuasanya orang-orang kafir di atas al-haq. Demikian juga di akhir zaman akan kembali keadaannya seperti di awal kemunculan Islam. Di mana janji tersebut dipersaksikan di atas lisan yang selalu benar perkataannya iaitu Rasulullah s.a.w. yang telah menceritakan akan terjadinya kerosakan zaman, munculnya fitnah, berkuasanya kebatilan, berkuasanya dan tingginya manusia dalam mengganti dan merubah al-haq, terjatuhnya kaum muslimin kepada jalan yang ditempuh oleh golongan ahli kitab sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta.

Rasulullah s.a.w bersabda yang ertinya: “Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana datangnya.” (Hadith Mutawatir, lihat kitab: Tuba lil Ghuroba, Al Ghurbatu wal Ghuroba, Penerbit Darul Hijroh, Damam)

Maka pasti terjadi – Wallahu a’lam – keadaan yang telah dijanjikan oleh Ash Shoodiq (yang benar perkataannya) s.a.w iaitu Islam akan kembali seperti awalnya di mana lemahnya amar ma’ruf nahi munkar sehingga seseorang yang berdiri menjalankan al-haq dalam keadaan dilingkupi ketakutan dan dia telah menjual dirinya kepada Allah dalam doanya, sehingga Allah lipat gandakan pahalanya lebih besar dari pada keadaan para Sahabat r.hum. yang mereka adalah orang orang yang “mutamakin” (tetap dan kuat) dalam beramar ma’ruf nahi mungkar, dan pada waktu itu banyak sekali orang yang memberikan pertolongan kepada orang yang beramar ma’ruf nahi mungkar serta banyak sekali orang yang menyeru kepada Allah Ta’ala (yakni pada zaman Sahabat).

Dan ini sesuai dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w iaitu ketika beliau mengkhabarkan bahawa pahala mereka akan dilipatgandakan sama dengan 50 orang amalan yang dilakukan oleh para Sahabat r.hum. yang kemudian Nabi s.a.w mengatakan (ertinya): “Kerana sesungguhnya kamu (para Sahabat) di atas kebaikan dan dalam keadaaan kamu mendapat banyak pertolongan sedang mereka dan orang-orang yang beramal di atas al-haq (di akhir zaman) tidak mendapat pertolongan”.

Sehingga akhirnya sampailah pada zaman terputusnya amal kebaikan (tidak ada lagi orang-orang yang menjalankan amal kebaikan) kerana lemahnya keyakinan dan agama. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang ertinya: “Tidak akan tegak hari kiamat sampai tidak disebut (dikatakan) di bumi lafaz: “Allah Allah”. (Hadith riwayat Muslim dari Anas bin Malik r.a.)

Hadith ini mempunyai makna tidak ada seorang “muwahid” (orang yang mentauhidkan Allah) pun yang tinggal di bumi, yang berzikir mengucapkan lafadz  “laa ilaaha illallah” dan tidak seorang pun yang beramar ma’ruf nahi mungkar mengucapkan: “Aku takut kepada Allah”. Apabila demikian keadaannya, seseorang yang berakal pada waktu itu menginginkan (berangan-angan) untuk mati sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w (ertinya): “Tidak akan tegak hari kiamat sehinggga seseorang berjalan di kubur saudaranya (seseorang) kemudian berkata: “Sekiranya aku menempati tempatnya”. (Muttafaqun’alaih, dari hadith Abu Hurairah r.a.).

Mereka adalah orang-orang yang mendapatkan tarbiyah dan bukan hizbi (golongan yang berbangga dengan kelompoknya).

Mereka adalah orang-orang yang teguh di atas asas Al-Qur’an dan AsSunnah, berdiri menghiasi dirinya dengan dakwah kepada keduanya dengan berlandaskan manhaj (jalan) kenabian, tidak tergoyahkan dengan nama, alamat, dan bentuk. Kerana sesungguhnya kedudukan ini adalah bahagian dari syi’ar-syi’ar ubudiyah (peribadatan) yang digariskan di atas petunjuk Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya.

Berkata Al-Allamah Ibnu Qayyim Al-Jauziah ketika menyebutkan tanda orang-orang yang selalu menjalankan peribadatan (di atas dalil) dalam kitabnya Madarijus Salikin juz  III/174:

“Mereka tidak menyandarkan dirinya pada suatu nama yang dengan nama tersebut mereka masyhur di kalangan manusia; tidak membatasi dengan satu amal dari sekian banyak amal yang dengannya dikenal manusia (hanya setakat satu amalan) kerana hal ini menyebabkan mudharat dalam peribadatan; tidak dibatasi dengan nama tertentu yang menyebabkan perbezaan dan perpecahan; tidak terkait dengan formaliti, isyarat, kesempurnaan dan peraturan yang ditetapkan. Bahkan sebaliknya, apabila ditanya:

Siapa syaikhnya?

Dia akan menjawab: “Rasulullah s.a.w”. Apa jalan yang ditempuh?

Dia akan menjawab: “Al-ittiba’ (mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w). Apa pakaiannya?

Dia akan menjawab: “Pakaiannya adalah taqwa”. Apa mazhabnya?

Dia akan menjawab: “Berhukum di atas Assunnah”. Apa yang dituju dan dicari?

Dia akan menjawab: “Mereka menghendaki wajah Allah”. (Surah. Al-An’aam, Ayat 52).

Dimana tempat jaganya?

Dia akan menjawab: Firman Allah yang ertinya : “(Bertasbih) di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimulia kan dan disebut nama-Nya di dalamnya pada waktu pagi dan petang. (iaitu) laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingat Allah dan (dari) mendirikan solat, dan (dari) membayar zakat. Mereka takut pada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.”(Surah An-Nuur, Ayat 36-37)

Pada siapa nasabnya disandarkan?

Dia akan menjawab: “Bapanya adalah Islam, tidak ada bapa selainnya”. Apa makanan dan minumannya?

Dia akan menjawab: “Hidup di bawah pohon sampai bertemu Rabb-nya”. Dan sungguh dia telah ditanya oleh sebagian imam mengenai “sunnah”.

Maka beliau (Ibnu Qayyim) menjawab: “Sesungguhnya ahlussunnah tidak menyandarkan kepada nama, kecuali nama sunnah.”

Sebaliknya, golongan hizbi adalah golongan yang menetapkan dan terikat dengan peraturan rasmi dari amalan “kebajikan rasmi” dan istilah-istilah yang dihiasi sehingga terlihat “kebajikan rasmi” itu adalah satu-satunya amal yang sesuai dengan sunnah. Tetapi pada hakikatnya mereka adalah golongan yang jauh dari bimbingan sunnah Rasulullah s.a.w. Apabila disebutkan kepada mereka perkara yang berkaitan dengan “al wala’ fillah” (pemberian ketaatan kerana Allah), permusuhan yang disebabkan atas pemberian “al wala’ fillah”, amar ma’ruf nahi mungkar, mereka akan mengatakan dan menuduh bahawa yang demikian adalah perkara yang berlebihan dan akan mengakibatkan kerosakan dan  mudarat.

Apabila mereka melihat di antara sesamanya (anggotanya) terdapat orang-orang yang menegakkan (mengamalkan) hal-hal tersebut, mereka akan mengeluarkannya dan mencari pengganti yang sesuai dengan peraturan mereka.

Saya tidak mengetahui bila mereka memahami bahawa sesungguhnya lingkaran Islam itu paling luas, persaudaraan di atas dasar keimanan itu yang paling penting, dan jalan yang ditempuh oleh generasi salaf itu yang paling alim, paling hakim, dan paling selamat. Sesungguhnya seluruh golongan hizbi dalam keadaan berbangga dengan kelompok dan golongannya masing-masing. Sungguh mereka telah menyandarkan qudwahnya (suri tauladan) kepada selain Rasulullah s.aw, menyeru ke jalan yang lain dari jalan beliau, memberikan “al wala’ wal bara’ “ kerana sebab selain Baginda s.a.w. Mereka telah menulis perkataan yang tidak bersumber dari al-Qur’an dan as-sunnah dan menyandarkan diri kepadanya.

Apabila dibuka hijab yang menutupi mereka (golongan orang-orang hizbi) akan didapati bahawa mereka adalah golongan yang mentaati kebakhilan, mengikuti hawa nafsu dan mengagungkan dunia atau kemewahan; mereka menyatakan dirinya di atas agama Islam dengan dasar hawa nafsu. Dan Islam bertentangan dengan apa yang mereka sandarkan padanya; mereka merasa takjub dengan akal pemikirannya.

Oleh sebab itulah Islam yang hakiki sangat asing dan orang-orang yang mengamalkannya sangat asing sekali keadaannya di kalangan manusia.

Bagaimana tidak mungkin mereka sebagai orang-orang yang sangat asing di kalangan manusia?! Mereka adalah satu kelompok yang sangat sedikit pengikutnya diantara 72 golongan (sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w) yang masing-masing mempunyai pengikut, pemimpin, bendera dan wilayah yang mereka tidak berdiri dan berjalan kecuali menyimpang dari jalan yang telah dibimbing oleh Rasulullah s.a.w. Apabila satu kelompok tersebut mengamalkan salah satu hukum Islam yang hakiki, yang telah dibimbing oleh Rasulullah s.a.w maka hal tersebut menjadi sesuatu yang paling bertentangan dengan hawa nafsu, kenikmatan, syubhat dan syahwat dari 72 golongan tersebut. Kerana syubhat dan syahwat merupakan cita-cita akhir dari kehendak dan maksud mereka (72 golongan).

Satu kelompok tersebut adalah orang-orang yang paling asing di antara orang-orang yang menjadikan kebakhilan sebagai perkara yang ditaati, hawa nafsu sebagai perkara yang diikuti; dan dunia (kemewahan) sebagai perkara yang diagungkan.

Pahala yang sangat besar ini,sebagaimana disebutkan dalam hadith Rasulullah s.a.w di atas, diberikan kepada mereka kerana dia adalah sangat asing di kalangan manusia, dan berpegang teguhnya kepada sunnah Rasulullah s.a.w di antara kegelapan hawa nafsu dan pemikiran manusia.

Apabila seorang mukmin yang telah diberikan rezeki pemahaman dalam agamanya, kefakihan dalam sunnah Rasul-Nya, pemahaman dalam kitab-Nya, hendak berjalan dan mengamalkan bimbingan Allah dan Rasul-Nya, dalam keadaan dia melihat manusia dihiasi dengan hawa nafsu, bid’ah, kesesatan, dan penyimpangan dari “shirothol mustaqim” yang telah ditempuh oleh Rasulullah s.aw maka orang mukmin tersebut telah mempersiapkan dirinya menjadi tempat celaan, fitnah, caci maki dan hinaan dari orang-orang yang jahil dan ahli bid’ah. Demikan juga penekanan dan peringatan kepada manusia untuk menjauhinya. Sebagaimana keadaan salaf (pendahulu) mereka, iaitu Rasulullah s.a.w sebagai imamnya orang-orang yang beriman dan pengikut-pengikutnya dari perlakuan orang-orang kafir pada waktu itu.

Apabila orang-orang yang jahil dan ahli bid’ah diseru untuk kembali ke “shirothol mustaqim”, dengan segala penghinaan yang ada pada mereka, mereka tetap berbangga di atas kesesatannya.

Maka seseorang yang tetap di atas Islam yang hakiki (satu kelompok yang telah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w), dia berada dalam keadaan:

  • Asing dalam agamanya, kerana kerosakan agama kaum muslimin.
  • Asing di dalam berpegang teguh di atas sunnah, kerana berpegang teguhnya kaum muslimin dengan bid’ah-bid’ah.
  • Asing dalam aqidahnya (keyakinannya), kerana rosaknya aqidah kaum muslimin.
  • Asing dalam solatnya, kerana buruk dan rosaknya solat kaum muslimin.
  • Asing dalam manhajnya (jalannya), kerana kesesatan dan kerosakan jalan yang ditempuh oleh kaum muslimin.

-Asing dalam penyandarannya, kerana bertentangan dengan penyandaran kaum muslimin.

-Asing dalam muamalahnya (hubungannya) dengan kaum muslimin, kerana kaum muslimin bermuamalah di atas hawa nafsu mereka.

Kesimpulannya : Dia sebagai seorang yang asing dalam seluruh perkara dunia dan akhiratnya, dia tidak menemukan kaum muslimin yang membantu dan memberikan pertolongan kepadanya. Dia menjadi orang yang:

  • Alim diantara orang-orang yang jahil,
  • Pembawa sunnah diantara orang-orang ahlul bida’,
  • Da’i yang menyeru kepada Allah dan Rasul-Nya diantara da’i-da’i yang menyeru kepada hawa nafsu dan bid’ah-bid’ah,
  • Memerintahkan kepada perkara yang ma’ruf (baik) dan melarang dari perbuatan mungkar di kalangan kaum muslimin yang menganggap perkara yang ma’ruf adalah mungkar dan perkara yang mungkar adalah ma’ruf.

(Madarijus Salikin: Ibnu Qayyim Al-Jauziyah; Juz III/198-200)

Mereka adalah kelompok pembeda antara al-haq dan al-bathil yang berada di atas dasar al-Qur’an dan as-\Sunnah baik dari sisi akidah, manhaj mahupun amal.

Kejelasan seorang mu’min, baik da’i maupun mad’u (kaum muslimin yang diseru) berada di atas dasar al-haq merupakan perkara yang “dharuri” (asas), kerana kebathilan banyak dihiasi dan ditampilkan dalam bentuk atau pakaian iman. Khususnya golongan orang-orang hizbi dan peribadi-peribadi yang dahulunya mengetahui dan memahami tentang iman kemudian menyimpang dan menyelisihinya. Kerana mereka berkeyakinan bahawa, setelah penyimpangan tersebut, pemikirannya tetap di atas petunjuk (kebenaran). Apabila seorang da’i demikian keadaannya, maka dia akan menimbulkan kerosakan terhadap Islam yang hakiki.

Seorang muslim yang tetap dan kokoh dalam menjalani agamanya akan senantiasa adil dalam muamalahnya. Tidak bersifat lemah lembut kepada pendusta-pendusta dari golongan Yahudi, Nashara, dan yang lainnya, menempatkan lemah lembut dan lawannya sesuai dengan bimbingan Allah dan Rasul-Nya; paling baik muamalahnya kepada keluarga, isteri dan anak-anaknya; paling tinggi pemeliharaannya kepada sesuatu yang mudah, sulit dan perkara yang berkaitan dengan berita gembira. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman (yang ertinya):

“Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (agama Allah). Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu)”. (Surah Al-Qalam, Ayat 8-9)

“Sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya”. (Surah An Nisaa’, Ayat 27)

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 120)

Perhatikanlah sikap yang benar dalam melepaskan diri dari kesyirikan, dan orang-orang yang menjalankannya di dalam al-Qur’an (yang artinya):

”Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat .Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku “. (Surah Al-Kaafirun, Ayat 1-6)

Dan perhatikanlah perumpamaan yang ditunjukkan dengan sangat jelas oleh Rasulullah s.a.w kepada para Sahabatnya r.hum.: Kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w, maka Baginda membuat satu garis lurus di depannya demikian, dan berkata: “Ini adalan jalan Allah Azza wa Jalla”. Kemudian Baginda membuat garis-garis di sebelah kanan dan kiri garis lurus tersebut, dan berkata: “Ini adalah jalan-jalan syaithan”. Kemudian Baginda meletakkan tangannya pada garis lurus yang ada di tengah-tengah dan Baginda membaca ayat yang mulia ini (yang ertinya):

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”.(Surah Al-An’am, Ayat 153). (Hadith sahih dari jalan Sahabat Jabir bin Abdillah, Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin ‘Abbas r.a. Lihat takhrijnya dalam Kitab Kami: Al Junnahfi Takhrijis Sunnah, Hal 5-8).

Ketahuilah saudara-saudara seiman, sesungguhnya sifat tetap istiqamah dalam memelihara Islam dan terus menerus di atas manhaj Al-Haq adalah kenikmatan yang sangat besar. Dia adalah wali Allah dan hamba pilihan-Nya yang senantiasa mendapat kecintaan dari-Nya. Dengan sifat itulah hamba-hamba Allah akan teruji. Allah ta’ala berfirman, berbicara kepada hamba-Nya Muhammad s.a.w (yang mafhumnya):

“Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami.” (Surah Al-Isra’, Ayat 74-75)

Allah telah memerintahkan kepada malaikat untuk menetapkan ahlul iman (orang-orang yang beriman) dengan firman-Nya (yang mafhumnya): “(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman”. (Surah Al-Anfaal, Ayat 12)

Allah telah mensyariatkan prinsip-prinsip, yang barangsiapa yang berjalan di atasnya Dia akan memberikan terus menerus sifat keteguhan dan nikmat terus menerus untuk mencintai sifat keteguhan tersebut.

Prinsip-prinsip tersebut adalah:

  1. Menolong agama Allah

Allah ta‟ala berfirman (yang mafhumnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”. (Surah Muhammad, Ayat 7)

2. Dengan perkataan yang teguh dan benar.

Allah ta’ala berfirman (yang mafhumnya): “Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat”.(Surah Ibrahim, Ayat 27)

3. Infaq di jalan Allah.

Allah yang Maha Tinggi dan Terpuji berfirman (yang ertinya): “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 265)

4. Berdoa.

Allah ta’ala berfirman (yang mafhumnya):

“Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 250)

Dan firman Allah ta’ala yang mafhumnya: “Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar. Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Ali Imran, Ayat 146 -148)

5. Menjalankan perkara-perkara yang diperintahkan-Nya dan menjauhi perkara yang dilarang

Setiap hamba yang benar perkataannya dan baik (hasan) amalnya maka dia adalah hamba yang paling tetap keteguhan dan istiqamahnya. Allah ta’ala berfirman (yang mafhumnya):

“Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): “Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu”, nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka). Dan (setelah mereka berkeadaan demikian), tentulah Kami akan berikan kepada mereka – dari sisi Kami – pahala balasan yang amat besar; Dan tentulah Kami pimpin mereka ke jalan yang lurus. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat). Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui (akan balasan pahalanya). Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai”. (Surah an-Nisaa’, Ayat 66-71)

6. Tadabbur Al-Quranul Kariim

Ketahuilah wahai hamba muslim, sesungguhnya hukum ketetapan dan asal tentang sifat keteguhan dan istiqamah bersumber dari kitabullah dan sunnah Rasul-Nya s.a.w.

Allah ta’ala berfirman (yang maksudnya): “Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam”. (Surah an-Nahl, Ayat 102).

7. Menjadikan orang-orang yang soleh sebagai qudwah

Allah ta’ala berfirman (yang ertinya): “Mereka itu tidak akan dapat melemahkan kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka dengan azab di dunia, dan tidak ada pula bagi mereka, yang lain dari Allah, sesiapapun yang dapat menolong melepaskan mereka dari seksa-Nya. Azab untuk mereka akan digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan agama Allah), sehingga mereka tidak tahan mendengarnya, dan tidak pula suka melihat tanda-tanda kebenarannya”. (Surah Huud, Ayat 20).

Ini semua adalah sifat yang telah diwahyukan dan ditanamkan oleh Rabbul’alamin di atas kesempurnaan janji “ma’iyyah” dan pengawasan dari-Nya yang menunjukan bahawa “Thoifah Al-Manshuroh”, mereka tidak mampu diatur kedudukannya dan dicabut atau dirubah akar umbinya oleh musuh-musuh Allah meskipun dalam keadaan musuh-musuh Allah itu bersatu.

Ath Thoifah Al-Manshuroh mereka adalah orang-orang yang disebut dengan contoh oleh Allah dalam ayat Al-Quran (ertinya):

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)”. (Surah Ibrahim, Ayat 24-25).

“Thoifah Manshuroh” mereka adalah orang-orang yang mencintai Allah dan dicintai oleh-Nya. Oleh sebab itulah mereka dalam keadaan tetap jiwanya dalam memberantas Ahlul Bida’ dan Ahlul Ahwa’, menyumbat dengan azab yang pedih kepada thaghut-thaghut yang mengganti nikmat Allah dengan kekufuran dan menghalalkan masyarakatnya dengan neraka jahanam. Kerana sesungguhnya “Thoifah Al-Manshuroh” mereka menyandarkan dirinya di atas manhaj (jalan/prinsip) Allah yang kekal.

Mereka dalam keadaan tetap zahir di muka bumi meskipun orang-orang musyrik membenci dan tidak menghendakinya.

Allah berfirman (yang ertinya): “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”. (Surah ash-Shaff, Ayat 8).

(Disaring dari terjemahan Oleh Al Ustadz Abu ‘Isa Nurwahid Dari Kitab AlQabidhuna ‘ala Al Jamri- tajuk asal: Orang-orang yang menggengam Bara Api)

Rujukan : Buletin Al Atsray Edisi 12 Sumber: www.darussalaf.or.id

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s