Fatwa Bid’ahnya Mernyambut Nisfu Syaaban

[Muat Turun Artikel – PDF]

VIDEO IRINGAN – [Durasi – 6m 34s] –  NISFU SYAABAN – PERSOALAN TENTANG BID’AH – Maulana Muhd Asri Yusoff

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/TYgbTidSJqw

FATWA TENTANG SAMBUTAN MALAM NISFU SYAABAN

Bacaan Yaasin

Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam Nisfu Syaaban (pada 15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yaasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti berikut, selepas bacaan Yaasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.

Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan. Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w atau Sahabat-sahabat Nabi s.a.w atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran. Amalan mengkhususkan bacaan dan doa khas (seolah-olah ianya disarankan oleh Nabi s.a.w) pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bid’ah yang direka-reka, tertolak dan dikhuatiri mengundang dosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.

Kita boleh membaca surah Yaasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam Nisfu Syaaban dan dengan bilangan tetap tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t. untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yaasin di malam Nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid di malam nisfu Syaaban dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t. seperti yang dijanjikan dalam hadith-hadith palsu!

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama’ terkemuka di Timur Tengah, Sheikh Abd al-Aziz ibn Abdullah ibn Baz, untuk menjelaskan tentang amalan bid’ah di malam nisfu Syaaban:

‘Solat Sunat’ Nisfu Syaaban

Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [Surah al-Maa’idah, Ayat 3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?”. [Surah Asy-Syuura, Ayat 21]

Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah r.ha. bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak”.

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a., Nabi s.a.w bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya…Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat”. Terdapat banyak lagi ayat al-Qur’an dan hadith yang seumpamanya.

Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmat-Nya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa Rasul-Nya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah sama ada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.

Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh ibn Waddah, al-Tartushi, ibn-Shamah dan lain-lain.

Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadith dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadith-hadith diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena Nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama’. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama’ ini.

Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama’ salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama’, menyambut Nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadith-hadith tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama’ yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz ibn Rejab, di dalam kitabnya “Lataa’if al-Ma’aarif”, dan lain-lain. Hadith-hadith dha’if berkenaan ibadah hanya boleh diterima pakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang sahih. Tidak ada asas yang sahih bagi sambutan Nisfu Syaaban, oleh itu hadith-hadith dha’if tersebut tidak dapat diguna pakai.

Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam ibn Taimiyah rahimahullah. Para alim ulama’ rahimahumullah telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (al-Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafnya.

Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”. [Surah al-Nisa’, Ayat 59]

“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaan-Nya ialah Allah Tuhanku; kepada-Nyalah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)”. [Surah asy-Syuura, Ayat 10]

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. [Surah Ali ‘Imr.an, Ayat 31]

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. [Surah an-Nisa’, Ayat 65]

Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada al-Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua nas ini. Ini merupakan syarat iman dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”, maksudnya ialah Hari Akhirat. [Surah an-Nisa’, Ayat 59].

Al-Hafiz bin Rejab rahimallah menyebut di dalam kitabnya “Lataa’if al-Ma’aarif” tentang isu ini – setelah membincangkannya dengan panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan tabi’in di kalangan penduduk Syam, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama’ di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama’-ulama’ Maliki dan lain-lain. Kata mereka: “Semua ini adalah bid’ah”.

Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w. ataupun daripada para Sahabat Baginda …”

Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab rahimallah. Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat  r.hum mengenai malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban).

Dalam keadaan di mana tidak ada bukti syar’ie bahawa apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi umat Islam untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, sama ada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak”. Banyak lagi dalil yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan kita agar menjauhinya.

Imam Abu Bakr al-Tartushi rahimallah  menyebut dalam kitabnya “al-Hawadith wa’l-Bida’ “: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zaid bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama’ dan fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada malam Nisfu Syaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di malam Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita”.

Al-Shaukani rahimallah berkata dalam “al-Fawa’id al-Majmu’ah”: “Hadith yang berbunyi: “Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di malam Nisfu Syaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…”.  Hadith ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan kata-katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa “hadith” ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadith ini adalah majhul (tidak dikenali). “Hadith” ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemuanya adalah direka dan kesemua perawinya adalah majhul (tidak diketahui asal-usulnya). Di dalam kitab “al-Mukhtasar”, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadith palsu, dan hadith Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).

Di dalam kitab “al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadith ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: Dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.

Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadith palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama’ mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka”.

Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w”.

Imam an-Nawawi berkata di dalam kitabnya “al-Majmu’ : “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-Raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat malam Nisfu Syaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam “Qut al-Qulub” dan “Ihya’ ‘Ulum al-Din”, atau oleh hadith-hadith yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap”.

Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. Alim ulama’ telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang mencari kebenaran.

Daripada ayat-ayat Qur’an, hadith-hadith dan pendapat ulama’ yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama’. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat r.hum.

Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya): “Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu…”. [Surah al-Ma’idah,  Ayat 3] dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadith yang serupa.

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurairah r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan”.

Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula dari terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadith sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat nas yang sahih yang mengkhususkan malam tertentu.

Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah s.a.w. memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” dan, “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah ampunkan kesemua dosanya yang telah lalu”.

Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat r.hum pasti akan memperturunkan amalan-amalan tersebut kepada umat kemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka radhiallahu `anhum adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah dan semoga Allah merahmati kesemua Sahabat Rasulullah s.a.w.

Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama’ yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w mahupun para Sahabat r.ahum berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat tertentu adalah bid’ah yang tercela.

Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama’ yang benar adalah tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadith-hadith sahih. Baik sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang diada-adakan”.

Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan Utusan-Nya, Nabi kita Muhammad s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Ulasan dan terjemahan : https://darulkautsar.wordpress.com/

[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s