KETETAPAN IMSAK SEBELUM SUBUH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang,

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabatnya.

VIDEO – Pemurniaan Syariat – Imsak – Maulana Muhd Asri Yusoff

.

Entah bermula dari bila, umat Islam di negara kita telah mengenali “imsak” sebagai 10 minit  sebelum masuknya waktu subuh.  Ketetapan imsak seperti ini tidak pula diketahui di negara-negara Islam yang lain sama ada di Timur Tengah atau lain-lain tempat. Tidak ada sesiapapun di antara kita yang cuba bertanya tentang asal usul amalan imsak ini, apatah lagi untuk mempersoalkannya. Inilah satu sikap tidak baik yang ada pada masyarakat kita iaitu menurut saja apa yang diamalkan secara umum turun temurun  tanpa usul periksa.

Yang menghairankan ialah institusi-institusi agama di negara kita juga turut mengesahkannya, justeru ia disebarkan melalui media massa, risalah-risalah, poster-poster, iklan-iklan dan sebagainya dengan begitu meluas sekali. Semuanya menyatakan, “Waktu berbuka puasa dan imsak (atau imsakiah)”.

Imsak dalam istilah (makna sebenar) bermaksud, menahan diri daripada makan, minum, jimak dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa. Inilah juga imsak yang difahami oleh masyarakat umum daripada waktu imsak yang disiarkan itu (iaitu dilarang melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh)

Bagi mereka yang terus makan walaupun selepas waktu imsak ini, akan ada  pihak yang memandang  serong dan mungkin menganggap puasanya tidak sah.

Oleh itu, pihak kami berasa bertanggungjawab membincangkan isu ini secara ilmiah berpandukan kepada petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah dan juga merujuk  kitab-kitab ulama’ yang muktabar dengan harapan umat Islam amnya dan institusi-institusi agama di negara ini khasnya akan menilai semula ketetapan imsak sebagaimana yang diamalkan selama ini.

Pertama, di dalam  Al-Quran dengan jelas Allah    berfirman:

وَكُلُواْ وَاشْرَبُواْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْر

“Makan dan minumlah kamu sehingga nyata benang putih (fajar sadiq – permulaan waktu subuh) daripada benang hitam (penghujung waktu malam) iaitu fajar”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 187)

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa tidak wujud sebarang “imsak” sebelum masuknya waktu Subuh malah Allah menganjurkan supaya kita terus makan dan minum “hingga” atau “sampai” masuk waktu Subuh. Perintah di sini mengikut ulama’ usul bukan memberi makna wajib, walaubagaimanapun, paling kurang ia memberi makna harus.

Kedua, hadith sahih jelas menunjukkan tiada imsak sebagaimana yang masyarakat  kita amalkan di mana Nabi s.a.w. bersabda,

“Janganlah menahan kamu dari makan dan minum oleh azannya Bilal, tetapi terus makan dan minumlah kamu sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azannya”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Para ulama’ sepakat mengatakan bahawa Bilal melaungkan azan sebelum masuknya waktu Subuh dengan tujuan membangkitkan orang yang tidur supaya bangun bersahur dan Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan apabila masuknya waktu Subuh.

Di sini tidak disebutkan tentang imsak atau menahan diri daripada makan minum dan sebagainya sebelum masuknya waktu Subuh malah ia menganjurkan supaya makan sampai akhir waktu  bersahur iaitu masuknya waktu Subuh.

Ketiga, dalam hadith sahih yang lain Nabi s.a.w bersabda yang mafhumnya,

“Umat ini akan sentiasa baik selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur”. (Riwayat Imam Ahmad).

Hadith ini juga menerangkan kedua-dua ayat Al-Quran dan hadith yang tersebut di atas yang bermaksud: Makan dan minum  sehingga masuk waktu Subuh. Selagi umat ini melakukan demikian mereka berada dalam kebaikan, sebaliknya bila mereka meninggalkan amalan-amalan seperti ini mereka tidak lagi berada dalam kebaikan.

Keempat, kita telah meneliti sekurang-kurangnya 30 buah kitab muktabar dalam Mazhab Syafie antaranya Al-Umm, Majmuk, Syarah Muhazzab, Al-Iqna’ Al-Mahalli, Hasyiah Al-Bajuri, As-Syarqawi , Bahrul-Mazi, Kasyful Litham dan lain-lain lagi selain daripada kitab-kitab muktabar dalam mazhab-mazhab yang lain tetapi tidak  kita temui adanya ketetapan imsak sebelum masuknya waktu Subuh sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia.

Hairan! Kalau begitu dari manakah puncanya ketetapan imsak ini, dan siapakah yang memperkenalkannya? Mungkin orang yang menyokong ketetapan imsak ini berhujjah dengan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit bermaksud,

“Kami bersahur bersama Nabi s.a.w. kemudian kami bangun pergi sembahyang, perawi bertanya: “Berapakah jarak di antara bersahur kamu dengan sembahyang? Zaid menjawab: lebih kurang lima puluh ayat”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini bermakna (kata mereka) bersahur itu sudah selesai sebelum masuk waktu Subuh selama lebih kurang 50 ayat (jika dianggarkan tempohnya lebih kurang 10 minit.). “Inilah punca imsak”, kata mereka.

Tetapi pemahaman yang seperti ini tidak benar kerana;

1. Tidak ada seorangpun perawi hadith yang menghuraikan makna hadith tersebut seperti itu.

2. Hadith ini mungkin bermaksud: Tempoh di antara selesai bersahur dengan sembahyang subuh itu adalah lebih kurang 50 ayat. Ini bermakna setelah selesai bersahur azan dilaungkan selepas itu sesiapa yang hendak mengambil wudhu’ bolehlah mengambil wudhu’ kemudian barulah sembahyang Subuh. Tempoh di antara azan, wudhu’, sembahyang sunat subuh dan sembahyang subuh itu sendiri adalah lebih kurang 50 ayat.

PERBINCANGAN LANJUT – VIDEO DAN  NOTA – https://youtu.be/LGs0QRkVNHs

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s