Allah memerintahkan dan menggalakkan orang Islam bekerja dan mencari rezeki. Ini adalah jelas sebagaimana berikut:
– Nabi s.a.w telah melarang umatnya dari meminta sedekah selagi mereka mampu bekerja untuk mencari rezeki. Baginda menyatakan bahawa sesiapa yang meminta-minta sedangkan dia mampu untuk mencari rezeki akan jatuh martabatnya di hadapan Allah, dan juga, “Seseorang yang berterusan meminta sedekah tanpa keperluan akan berdiri di depan Allah (di akhirat nanti) dengan tiada daging di mukanya” (Sahih al-Bukhari, hadith no. 1405, Sahih Muslim, hadith no. 1040)
– Baginda juga bersabda, “Sekiranya seseorang yang ditimpa kemiskinan mengadu kepada orang ramai, kemiskinannya tidak akan hilang, tetapi jika dia mengadu kepada Allah, Allah akan segera memberi kecukupan kepadanya”. (Sunan Ahmad, hadith no. 3869 dan Sunan Abi Daud, hadith no 1645)
Islam menyanjung tinggi semua jenis pekerjaan asalkan ianya halal dan tidak melibatkan penipuan, penganiayaan, penyelewengan dan seumpamanya.
Islam mengiktiraf semua bentuk pekerjaan dalam mana-mana bidang sama ada perdagangan, industri, perkhidmatan, pelaburan, selagi ianya halal dan tidak melibatkan perbuatan-perbuatan yang salah. Malah, telah disebutkan bahawa semua nabi yang diutuskan memelihara kambing (Sahih al-Bukhari, hadith no. 2143). Nabi s.a.w. memberitahu bahawa Nabi Zakaria pernah menjadi seorang tukang kayu.
Seseorang yang bekerja dengan niat untuk menyara dirinya dan keluarganya dan juga membantu orang-orang miskin akan diberi pahala yang besar di atas usahanya itu.
Secara Umumnya Semua Jenis Perniagaan Adalah Dibenarkan Dalam Islam
Semua jenis perniagaan, pada amnya, dibenarkan dalam Islam. Ini termasuk menjual, membeli, memajak dan semua urusniaga yang diperlukan dalam kehidupan seharian, kecuali urusniaga yang dilarang kerana kekejiannya ataupun yang dijalankan dengan cara yang salah.
Perkara-perkara Yang Dilarang Kerana Kekejiannya
Ada perkara-perkara yang telah diharamkan oleh Allah disebabkan sifat dan keadaannya yang keji dan kotor dari asal. Tidak boleh menjual, membeli, meminjamkan atau memajaknya, mengeluarkan atau pun mengedarkannya.
Contoh perkara-perkara yang diharamkan kerana sifatnya yang keji dan kotor:
- Daging anjing dan babi
- Bangkai
- Minuman beralkohol
- Dadah dan bahan-bahan yang boleh membahayakan kesihatan
- Perkara yang boleh menyebabkan rosaknya akhlak seperti majalah, alat-alat eletronik atau laman-laman web lucah
- Patung, berhala atau apa-apa barang yang digunakan untuk disembah selain dari Allah.
Perkara-Perkara Yang Diharamkan Kerana Cara Mendapatkannya Yang Salah
Ada perkara-perkara yang dalam keadaan biasa adalah halal tetapi menjadi haram disebabkan cara mendapatkannya salah, memudaratkan seseorang dan masyarakat. Antara urusniaga yang tidak halal ialah riba, penipuan, penganiayaan dan perjudian.
Kami akan menerangkannya di bawah ini:
A. RIBA
Riba ialah mendapat bayaran tambahan di atas barangan atau wang yang diberi pinjam, iaitu mendapat keuntungan dari hutang yang diberi. Ianya dilarang keras dalam Islam kerana memberi kesan buruk dan mewujudkan ketidakadilan dalam masyarakat.
Riba kerana hutang
Riba jenis ini wujud di dalam setiap urusan hutang yang menetapkan dan mengikat pemiutang membayar orang yang memberi hutang sejumlah wang melebihi jumlah yang dihutang.
Contoh: Khalid meminjam RM1,000.00 dari Jefri dan berjanji akan membayar semula dalam masa satu bulan. Tetapi Khalid gagal melunaskan hutang tersebut selepas satu bulan, maka Jefri mensyaratkan Khalid membayar hutang tersebut dalam tempoh yang dijanjikan tanpa tambahan atau membayar sebanyak RM1,100.00 selepas satu bulan. Sekiranya dia masih gagal melunaskan hutangnya selepas satu bulan tersebut, Jefri bersetuju untuk melanjutkan tempoh pembayarannya sebulan lagi dengan syarat Khalid membayar sebanyak RM1,200.00
Riba kerana pinjaman.
Riba jenis ini berlaku bila sesorang meminjam duit dari seseorang atau dari bank dengan perjanjian semasa kontrak ditandatangani, peminjam hendaklah membayar bunga pada kadar yang dipersetujui bersama, katakan 5%, dari jumlah yang dipinjam.
Contoh: Khalid bercadang untuk membeli sebuah rumah yang bernilai RM300,000.00 tetapi tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya, oleh itu dia membuat pinjaman dari sebuah bank dengan syarat dia membayar tambahan sebanyak 5% setahun dari baki nilai pinjamannya setiap tahun.
Riba dilarang keras dalam Islam dan ianya salah satu dari dosa besar. Tidak kira sama ada ianya pinjaman untuk pelaburan dalam perniagaan atau untuk membeli asset seperti rumah atau pinjaman untuk perbelanjaan peribadi.
Walaupun begitu, membeli barangan dengan bayaran ansuran dengan harga yang lebih tinggi berbanding bayaran tunai bukan termasuk dalam riba.
Contoh: Seseorang mempunyai pilihan untuk membeli peti sejuk dengan harga RM5,000.00 jika dibayar tunai, atau dengan harga RM6,000.00 jika dibayar secara ansuran sebanyak RM250.00 sebulan selama 24 bulan.
Hukum Riba Dalam Islam
Bukti-bukti dari al-Quran dan hadith Nabi s.a.w menunjukkan amalan riba dilarang keras dalam Islam dan ianya salah satu dosa besar. Tidak ada pernyataan perang dari Allah kepada pelaku maksiat kecuali kepada pengamal riba. Sebenarnya, riba dilarang bukan hanya dalam Islam tetapi juga dalam agama-agama lain yang diturunkan kitab sebelumnya. Walaupun begitu, hukum riba di dalam agama-agama tersebut telah dipinda apabila kitab-kitab mereka diubah. Allah menyatakan bahawa Dia telah menurunkan hukuman kepada ahli kitab kerana, “(disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya”. (Surah An-Nisa’, Ayat 161).
Hukuman Kepada Pengamal Riba
- Mereka yang terlibat dalam urusan riba hakikatnya berperang dengan Allah dan Nabi s.a.w, dan mereka adalah musuh kepada Allah dan Rasul s.a.w. Al-Quran telah menyatakan, “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak akan selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 279). Sesungguhnya, pernyataan perang dari Allah memberi kesan yang dahsyat kepada fizikal dan saikologi seseorang. Berbagai bentuk kemurungan dan kebimbangan yang menimpa manusia di zaman ini adalah tanda-tanda nyata dari penyataan perang dari Allah kepada mereka yang derhaka dan mengamalkan riba. Akibat dosa riba adalah lebih dahsyat sehingga tidak dapat dibayangkan di akhirat nanti.
- Mereka yang terlibat dengan urusan riba tidak akan mendapat kasihan belas Allah. Jaabir Bin Abdullah berkata: “Rasullullah s.a.w telah melaknat seseorang yang menerima riba, yang memberi, yang mencatitnya dan dua orang yang menjadi saksi”. Baginda berkata, “Mereka semua adalah orang-orang yang berdosa”. (Sahih Muslim, hadith no. 1598).
- Mereka akan dibangkitkan di hari akhirat nanti dalam keadaan yang mabuk, gementar dan terhoyong hayang seperti orang gila atau sawan sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran, “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu”. (Surah al-Baqarah, Ayat 275).
- Keuntungan yang diperolehi dari urusan yang melibatkan riba, walau sebanyak mana pun jumlahnya, tidak akan diberkati, dan sesiapa yang membelanjakan keuntungan tersebut tidak akan mengecapi kegembiraan atau ketenangan, sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran,, “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. ….(Surah al-Baqarah 2:276)
Kesan Buruk Riba Ke Atas Individu Dan Masyarakat
Islam telah melarang keras amalan riba kerana besarnya kerosakan kepada individu dan masyarakat. Di antara kesan buruk adalah:
1. Kerana riba akan mengumpulkan kekayaan di kalangan beberapa individu sahaja dan menghalang harta tersebut daripada dimanfaatkan oleh masyarakat umum; ianya menyebabkan agihan kekayaan yang tidak seimbang di mana kekayaan dibolot oleh kelompok minoriti elit manakala golongan majoriti adalah miskin dan tertindas; keadaan ini akan mencambahkan kebencian dan jenayah dalam masyarakat.
2. Ianya menggalakan pembaziran dan hidup mewah di luar batas.
Wang yang boleh diperolehi dengan mudah melalui pinjaman dari institusi kewangan yang mengenakan riba telah menggalakan ramai orang melakukan pembaziran. Dengan wang yang mudah diperolehi dari bank untuk memenuhi segala hajat, mereka akan membelanjakan dengan boros, membeli barang-barang mewah yang sebenarnya tidak diperlukan. Akhirnya mereka dibebankan dengan hutang yang banyak yang gagal dilangsaikan yang menyebabkan kemurungan, kerungsingan dan stress.
3. Ia menghalang minat pelabur untuk melabur dalam projek kebajikan yang bermanfaat
Teruja dengan jaminan keuntungan besar yang diperolehi dari sistem riba, pemilik modal kurang berminat untuk melabur dalam industri, pertanian dan kegiatan perdagangan untuk kepentingan masyarakat, walau bagaimana bermanfaat pun projek-projek tersebut kepada masyarakat, kerana projek-projek ini berisiko dan memerlukan kerja keras.
4. Ia menghalang keberkatan harta yang akan menyebabkan krisis ekonomi
Semua krisis kewangan yang dialami oleh institusi kewangan dan juga individu-individu, amnya, disebabkan oleh penglibatan yang berterusan dalam kegiatan riba yang tidak diberkati ini. Sebaliknya, kerja-kerja kebajikan dan sedekah akan diberkati dan menambahkan harta. Al-Quran menyatakan, “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya”. (Surah Al-Baqarah 2:276).
Bacaan lanjut – 1- Dosa Besar – Riba
2- Riba – Umat Kita Sudah Terbius Kronik – https://darulkautsarpemurniansyariat.wordpress.com/2019/07/14/nota-ringkas-4-riba-umat-kita-sudah-terbius-kronik-2/
===================================================================================
B. PENIPUAN KERANA KEJAHILAN ATAU KETIDAKPASTIAN (GHARAR)
Sesuatu kontrak atau perjanjian yang berdasarkan sesuatu yang tidak pasti atau tidak diketahui hakikat sebenarnya (gharar) ialah sesuatu perjanjian yang berisiko atau mempunyai unsur-unsur penipuan yang akan menyebabkan pertelingkahan dan perbalahan di antara pihak-pihak yang terlibat; ianya akan menyebabkan salah seorang akan menganiayai pihak yang satu lagi.
Islam telah melarang keras urusniaga sebegini demi untuk mencegah perbalahan, permusuhan dan sebarang bentuk penganiayaan. Ianya diharamkan, walaupun ianya diterima oleh masyarakat umum, di mana Nabi s.a.w telah mengharamkan jual-beli yang melibatkan penipuan kerana tidak tahu keadaan sebenar sesuatu barang atau perkara.
Contoh-contoh urus niaga yang meragukan kerana tidak tahu hakikat sebenar sesuatu barang atau perkara:
- Menjual buah-buahan sebelum ianya masak dan sesuai untuk dipetik. Nabi s.a.w telah mengharamkan tamar dari dijual sehingga jelas ianya boleh dimanfaatkan dan sesuai untuk dimakan kerana ianya mungkin boleh rosak atau tidak masak.
- Membeli sebuah kotak yang tidak diketahui sama ada isi kandungannya boleh dimanfaatkan atau tidak.
Keadaan di mana “gharar” (ketidak pastian atau keraguan) boleh memberi kesan kepada perjanjian kontrak.
Ketidak pastian atau keraguan (gharar) akan memberi kesan kepada kontrak dan menyebabkannya terbatal sekiranya ianya melibatkan komponen yang besar dari kontrak tersebut. Oleh itu, seseorang boleh membeli sebuah rumah walaupun dia tidak tahu secara terperinci apakah bahan yang akan digunakan dalam pembinaannya seperti jenis cat yang akan digunakan, kerana maklumat tentang perkara ini adalah sesuatu yang kecil dan tidak melibatkan perkara utama di dalam kontrak iaitu rumah.
===================================================================================
C. MENGAMBIL HARTA ORANG SECARA SALAH ATAU ANIAYA
Mengambil harta orang lain tanpa hak, tidak kira sekecil manapun, adalah di antara dosa yang serius dalam Islam.
Penganiayaan ialah salah satu perbuatan yang paling keji di mana Islam telah memberi amaran keras. Nabi s.a.w telah bersabda berkaitan perkara ini, “Berhati-hatilah dari menganiayai orang lain, kerana penganiayaan adalah kegelapan di hari kiamat nanti”. (Sahih al-Bukhari, hadith no 2315, Sahih Muslim, hadith no 2579)
Islam menganggap mengambil harta orang lain tanpa hak, tidak kira sekecil manapun harta terrsebut, adalah satu kesalahan yang serius dan dosa besar dan telah mengancam mereka yang melakukannya dengan balasan yang dahsyat di hari akhirat nanti. Nabi s.a.w. bersabda, “Sekiranya seseorang mengambil sekeping tanah tanpa hak, tanah itu sedalam tujuh lapisan akan dipakaikan ke tengkoknya di hari kebangkitan nanti”. (Sahih al-Bukhari, hadith no 2321; Sahih Muslim, hadith no 1610)
Contoh bentuk-bentuk penganiayaan di dalam urusan jual beli
- Paksaan: Urusan jual beli yang dilakukan dengan paksaan (walau dalam apa bentuk pun) akan membatalkan kontrak. Persetujuan kedua-dua pihak yang berurusan merupakan syarat kepada sahnya kontrak tersebut, sebagaimana dinyatakan oleh Nabi s.a.w, “Jualan hanya akan sah sekiranya kedua-dua pihak bersetuju”. (Sunan Ibnu Majah, Hadith no 2185).
- Khianat: Memperdaya atau menipu seseorang dengan tujuan mendapatkan hartanya ialah satu dosa besar, sebagaimana sabda Nabi s.a.w, “Sesiapa yang menipu bukanlah dari kami”. (Sahih Muslim, hadith no 101). Suatu hari, Nabi s.a.w berjalan di pasar, Baginda s.a.w melintasi selonggok makanan lalu memasukkan tangan Baginda ke dalam makanan tersebut. Baginda merasa air pada jarinya, lalu berpaling kepada penjual dan berkata, “Apa ini?”. “Ianya terkena hujan, wahai Rasulullah”, orang itu menjawab. “Kenapa tidak engkau letakkan makanan yang basah di atas supaya orang boleh melihatnya?”. Nabi s.a.w tidak berkenan dengan perbuatannya lalu berkata, “Sesiapa yang menipu bukan sebahagian dari kita”. (Sunan at-Tirmizi, hadith no 1315)
- Memanipulasi undang-undang: Seorang yang pintar tapi tidak jujur, bila menuntut haknya di mahkamah, bercakap dengan nada yang manis dan meyakinkan dengan tujuan untuk mengambil harta orang lain tanpa hak, tidak sedar bahawa walaupun hakim menerima kata-katanya, dia tidak dapat menukar kebatilan kepada kebenaran. Nabi bersabda kepada Sahabat-sahabat Baginda, “Aku hanyalah seorang manusia, dan orang ramai datang kepadaku untuk menyelesaikan persengkataan mereka. Mungkin seseorang dari kamu bercakap dengan fasih dan lebih menyakinkan dari lawannya, lalu aku anggap dia benar dan memutuskan kes di pihaknya berdasarkan apa yang aku dengar. Oleh itu jika aku tersalah memberi hak kepada seseorang (dalam keadaan dia tahu bahawa dia bersalah), maka dia yang bersalah hendaklah jangan mengambilnya, kerana aku sebenarnya memberinya secebis dari api neraka”. (Sahih al-Bukhari, hadith no 6748, Muslim, hadith no 1713).
- Rasuah – Perbuatan rasuah ialah memberi wang atau khidmat kepada seseorang untuk mempengaruhi sesuatu keputusan atau seseorang yang ada jawatan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan sesuatu faedah dengan cara yang tidak sah. Islam meletakkan rasuah sebagai suatu kesalahan yang serius, perbuatan yang keji dan dosa yang amat besar. Nabi s.a.w melaknat mereka yang memberi dan menerima rasuah. (Sunan A-Tirmizi, hadith no 1337). Bila rasuah melata, ianya akan merosakkan jatidiri sebuah masyarakat dan akan membantutkan kemajuan dan kemakmuran.
Bacaan lanjut – Dosa Besar – Rasuah
===================================================================================
D. BERJUDI
Penjudi akan terperangkap dengan ketagihan judi.
Perjudian adalah mempertaruhkan wang dengan mengharapkan kemenangan dalam permainan menjudi nasib. Dengan cara ini, seseorang bersetuju untuk menagggung risiko sama ada dia atau lawannnya akan mendapat keuntungan tertakluk kepada keputusan perkara yang dipertaruhkan. Ringkasnya, judi ialah pertaruhan yang di mana salah seorang mesti untung dan seorang lagi akan rugi, keuntungan seseorang penjudi akan menyebabkan kerugian kepada lawannya.
Hukum Berjudi Dalam Islam
Judi adalah dilarang keras, sebagaimana termaktub di dalam al-Quran dan hadith nabi, sebagaimana berikut:
- Allah menyatakan dosa judi adalah lebih besar dari manfaat yang diperolehi, sebagaiamana ayat al-Quran, mafhumnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”. (Surah al-Baqarah, Ayat 219)..
- Allah menganggap ianya sesuatu yang keji dan kotor kerana kesan buruk terhadap orang perseorangan dan juga kepada masyarakat dan memerintahkan orang beriman supaya menjauhinya kerana menimbulkan bibit permusuhan dan kebencian di kalangan mereka dan menghalang mereka dari mengingati Allah dan solat, sebagaimana firman Allah dalam al-Quran, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”. (Surah al-Maa’idah, 5:90-91)
Kesan Buruk Judi Ke Atas Orang Perseorangan Dan Masyarakat
Judi mempunyai beberapa kesan buruk ke atas seseorang atau sesuatu masyarakat, antaranya,
- Ianya mencambahkan permusuhan dan saling benci membenci di kalangan mereka, di mana jika mereka berjudi di kalangan kawan-kawan mereka sendiri, jika salah seorang dari mereka menang, kawan-kawannya yang kalah sudah pasti membencinya dan berdengki dengannya sehingga sanggup untuk mencederakannya. Al-Quran telah menyebut, “Syaitan ingin menimbulkan permusuhan dan kebencian di kalangan kamu dengan arak dan judi”. Di samping itu, ianya menghalang dari solat fardhu dan mengingati Allah, sebagaimana disebut dalam al-Quran bahwa syaitan tidak pernah berhenti dari usaha untuk memperlihatkan bahawa judi itu nampak baik di mata manusia, “(Syaitan) mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”. (Surah Al-Maa’idah, Ayat 91)
- Ianya membinasakan harta dan kekayaan dan menyebabkan penjudi kerugian wang dan menghadapi masalah peribadi dan undang-undang.
- Keseronokan berjudi dan angan-angan untuk menang akan menyebabkan seseorang ketagih untuk berjudi. Jika seseorang menang ketika berjudi, dia menjadi lebih tamak dan hanyut, bercita-cita untuk menang lagi. Jika dia kalah, dia tidak mudah berputus asa dan akan terus berjudi untuk menebus kembali kerugian sebelum ini. Tidak kira menang atau kalah, ianya menjadi penghalang untuk menyumbang kepada masyarakat malah dia akan menjadi beban dan merosakkan masyarakat.
Bacaan lanjut: Dosa Besar – Berjudi
Disaring dari – http://newmuslimguide.com/en/your-financial-transactions