[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO [Durasi 32m] – Bahaya Mengungkit – Ust Shamsuddin Abd Rahman
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/8p5xDG638Dc ]
MENGUNGKIT-UNGKIT PEMBERIAN
Allah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan (kelakuan yang) menyakiti (perasaan si penerima)” (Surah Al-Baqarah, Ayat 264)
Al-Wahidi berkata, “Maksudnya adalah menyebut-nyebut apa yang sudah diberikan”.
Al-Kalbi berkata, “Menyebut-nyebut sedekahnya kepada Allah dan menyakiti perasaan orang yang menerimanya”.
Dalam sebuah hadith disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tiga golongan orang yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat kelak, serta tidak akan dipandang-Nya, dan tidak pula disucikan-Nya, iaitu; orang yang melabuhkan kainnya (kerana sombong), orang yang suka mengungkit-ungkit kebaikannya, dan orang yang menjual dagangannya dengan sumpah palsu”.
Juga disebutkan sebuah hadith:
“Tiga golongan yang tidak masuk syurga; orang yang derhaka kepada ibu bapanya dan orang yang terus menerus minum arak, dan orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya”.
Dalam hadith lain disebutkan;
“Tidak akan masuk syurga orang yang menipu, orang yang bakhil dan orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian”.
Suatu hari, Ibnu Sirin mendengar seorang berkata kepada sahabatnya, “Aku sudah berbuat baik kepadamu. Aku sudah melakukan ini…. dan itu …!”. Maka Ibnu Sirin menegurnya, “Diamlah! Tidak ada kebaikan dalam amal kebajikanmu jika ia disebut-sebut!”.
Sebahagian ulama’ berkata, “Barangsiapa mengungkit-ungkit kebaikannya, dia bukan termasuk orang yang bersyukur; dan barangsiapa merasa bangga dengan amalnya, pahalanya menjadi terhapus”.
Imam Syafi’i berkata,
“Janganlah engkau menerima kebaikan dari mereka
Yang akan mengungkit-ungkitnya di hadapanmu
Pilihlah bagi dirimu apa yang menjadi bahagiannya
Dan bersabarlah, kerana sabar itu adalah syurga
Ungkitan seseorang itu apabila melukai hati
Itu lebih sakit dari pada tusukan tombak”
[Petikan dan saringan dari kitab “Dosa-dosa Besar” karya Imam Az-Zahabi]