Dalam “Fiqh al-Manhaji” (3/75-81), para penulis menjelaskan kedudukan arak dalam Islam.
Haram meminum minuman yang memabukkan sama ada arak (خمر), iaitu yang dibuat daripada perahan anggur atau bukan arak, iaitu yang dibuat daripada benda lain.
Ini berdasarkan firman Allah s.w.t.:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (Surah al-Maidah, Ayat 90)
“Arahan” supaya menjauhi arak adalah lebih kuat daripada “tegahan” meminumnya. Hal ini kerana “tegahan” sahaja tidak termasuk tegahan lain yang berkaitan dengannya, seperti melayan seseorang minum, membeli atau menjualnya.
Sementara, “arahan” menjauhinya pula bermaksud, amaran supaya menjauhi segala perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan sebagainya.
Setiap Perkara yang Memabukkan Adalah Haram
Ayat al-Quran terdahulu mengharamkan arak yang dibuat daripada anggur sahaja, tetapi pengharaman tersebut termasuklah semua benda yang memabukkan.
Ini berdasarkan hadith daripada Nabi s.a.w:
كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ
Maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah haram”. [ Riwayat al-Bukhari (5263) dan Muslim (2001) ]
Hadith ini menjelaskan maksud arak, iaitu semua perkara yang memabukkan. Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.
Menurut ijma’ ulama’, pengharaman arak adalah kerana ia memabukkan. Oleh itu, pengharaman tersebut mestilah sama atas semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.
Ini berdasarkan hadith daripada Abu Malik bin al-Asy’ari r.a., dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِى الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya manusia di kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain”. [ Riwayat Abu Daud (3688) dan Ibn Majah (4020) ]
Pengertian Mabuk
Maksud “mabuk” ialah pemikiran terlalu kacau, yang menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawal dengan bijak dan sepatutnya. Maksud “memabukkan” pula ialah sesuatu yang diminum itu biasanya menyebabkan seseorang mabuk tanpa mengira kadarnya. Oleh itu, tidak harus sama sekali mengambil sesuatu yang pasti memabukkan peminumnya sama ada kadar yang diminum itu sampai had yang memabukkan ataupun tidak, dan sama ada peminum itu mabuk ataupun tidak.
Ini berdasarkan hadith daripada Jabir r.a.:
مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ
Maksudnya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram”. [Riwayat Abu Daud (368), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)]
Hadith seterusnya daripada Aisyah r.ha, katanya, sabda Rasulullah s.a.w:
كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ مَا أَسْكَرَ الْفَرَقُ مِنْهُ فَمِلْءُ الْكَفِّ مِنْهُ حَرَامٌ
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq (فرق) boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram”. [Riwayat al-Tirmizi (1867) dan Abu Daud (2687)]
Minuman yang Memabukkan Adalah Najis
Menurut Mazhab al-Syafie, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. (yang bermaksud):
“Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji)”. (Surah al-Maidah, Ayat 90).
Perkataan “rijsun” dengan makna kotor dan najis.
Hikmah Pengharaman Minuman Yang Memabukkan
Allah s.w.t. mengurniakan nikmat yang berbagai-bagai kepada manusia dan yang paling utama ialah nikmat akal yang membezakan manusia, bahkan memuliakannya berbanding dengan makhluk yang lain.
Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal.
Semua minuman yang memabukkan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.
Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya.
Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Maidah, Ayat 91)
Begitu juga hadith daripada Rasulullah s.a.w:
اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan”. [Riwayat al-Hakim (4/145)]
Begitu juga, hadith daripada Uthman r.a. secara mauquf:
اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan”. [Riwayat al-Nasa’i (8/315)]
Itulah sebahagian hikmah pengharaman arak dan semua jenis makanan atau minuman yang memabukkan.
Hukuman Peminum Arak
Selepas diterangkan maksud memabukkan dan diketahui hukum perkara yang memabukkan, begitu juga dalil dan hikmah, maka di sini diterangkan hukum berkaitan meminum perkara yang memabukkan. Peminum arak akan menghadapi dua hukuman yang berikut:
Pertama: Hukuman dari sudut perundangan dilaksanakan di dunia, iaitu hukuman hudud.
Kedua: Hukuman dari sudut agama yang dilaksanakan pada hari Kiamat.
Dari sudut agama, hukumnya berdosa. Perlaksanaannya terserah kepada Allah terhadap hamba-Nya yang sedikit pun tiada kaitan dengan undang-undang dunia. Walau bagaimanapun, ulama’ sepakat menyatakan bahawa meminum minuman yang memabukkan dengan sengaja adalah berdosa besar.
Pada hari Kiamat, balasannya amat dahsyat selagi tidak mendapat pengampunan dan kemaafan daripada Allah s.w.t.
Ini berdasarkan hadith daripada Jabir r.a., sabda Nabi s.a.w:
إِنَّ عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ عَهْدًا لِمَنْ يَشْرَبُ الْمُسْكِرَ أَنْ يَسْقِيَهُ مِنْ طِينَةِ الْخَبَالِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا طِينَةُ الْخَبَالِ؟ قَالَ: عَرَقُ أَهْلِ النَّارِ أَوْ عُصَارَةُ أَهْلِ النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan (طينة الخبال). Para Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?”. Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka”. [Riwayat Muslim (2002)]
Hukuman Had Bagi Peminum Arak
Hukuman peminum minuman yang memabukkan sama ada arak atau yang lainnya adalah dengan sebatan 40 kali dengan syarat-syarat yang akan dijelaskan. Pemerintah harus menjalankan hukuman tersebut hingga 80 kali sebatan sebagai tambahan dengan hukum ta’zir (تعزير). Ini berdasarkan hadith daripada Anas r.a.:
كَانَ يَضْرِبُ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ أَرْبَعِينَ
Maksudnya: “Nabi s.a.w menyebat peminum arak sebanyak 40 kali sebatan dengan pelepah tamar dan selipar”. [Riwayat Muslim (1706)]
Hadith yang lain, daripada Anas r.a:
أَنَّ نَبِىَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَلَدَ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ ثُمَّ جَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ. فَلَمَّا كَانَ عُمَرُ وَدَنَا النَّاسُ مِنَ الرِّيفِ وَالْقُرَى قَالَ: مَا تَرَوْنَ فِى جَلْدِ الْخَمْرِ؟ فَقَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ: أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا كَأَخَفِّ الْحُدُودِ. قَالَ: فَجَلَدَ عُمَرُ ثَمَانِين
Maksudnya: “Nabi s.a.w menyebat peminum arak dengan pelepah tamar dan selipar sebanyak 40 kali. Abu Bakar juga pernah menyebat 40 kali. Pada zaman Umar r.a., ramai orang dari pedalaman dan kampung datang ke Madinah, lalu Umar bertanya kepada para Sahabat, katanya: “Apakah pendapat kamu tentang hukuman sebat atas peminum arak?”. Jawab Abdul Rahman bin ‘Auf: “Aku fikir, kamu menjalankan hukum hudud yang paling ringan”. Abdul Rahman berkata: “Selepas itu, Umar r.a menghukum 80 kali sebatan”. Riwayat Muslim (4551).
Tindakan Saidina Umar tersebut menunjukkan bahawa sebatan yang melebihi 40 kali adalah ta’zir dan bukan hudud.
Ini berdasarkan hadith daripada Uthman r.a:
فَاجْلِدْهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ جَعْفَرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا. وَعَلِىٌّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَعُدُّ حَتَّى بَلَغَ أَرْبَعِينَ فَقَالَ أَمْسِكْ. ثُمَّ قَالَ جَلَدَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعِينَ وَجَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ وَعُمَرُ ثَمَانِينَ وَكُلٌّ سُنَّةٌ وَهَذَا أَحَبُّ إِلَى
Maksudnya: “Uthman r.a. memerintahkan al-Walid bin Uqbah bin Abu Muait disebat, lalu dilakukan oleh Abdullah bin Ja’far r.a., manakala Ali r.a. pula mengiranya. Apabila sampai 40 kali sebatan, Ali memberitahu Abdullah supaya berhenti, seraya berkata: “Nabi s.a.w menyebat 40 kali, begitu juga Abu Bakar, akan tetapi, Umar r.a menyebat 80 kali. Semuanya adalah sunnah. Namun, hukuman ini yang lebih aku suka”. [Riwayat Muslim (1707)].
Maksud Ali ialah hukuman 40 kali sebatan sudah memadai kerana kadar itulah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. Kadar ini lebih selamat dalam pelaksanaan hukum daripada menambahnya yang ditakuti berlaku zalim. Ulama’ fiqh menyatakan bahawa hukuman 40 kali sebatan daripada Rasulullah s.a.w ialah hukuman asas. Adapun tindakan Umar r.a. menyebat 80 kali, Ali menjelaskannya seperti berikut:
نَرَى أَنْ تَجْلِدَهُ ثَمَانِينَ فَإِنَّهُ إِذَا شَرِبَ سَكِرَ وَإِذَا سَكِرَ هَذَى وَإِذَا هَذَى افْتَرَى
Maksudnya: “Kami berpendapat, engkau menghukum 80 kali sebatan adalah kerana apabila seseorang minum arak dia mabuk, ketika mabuk dia merepek, seterusnya berbohong”. [Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (1541)]
Hukuman berbohong menuduh orang lain berzina ialah 80 kali sebatan. Justeru, hukuman minum arak yang melebihi 40 kali sebatan, sebagaimana yang dilaksanakan oleh Umar r.a adalah sebagai ta’zir. Menurut Mazhab al-Syafie, hukuman yang lebih baik adalah setakat 40 kali sebatan sahaja kerana itulah yang datang daripada Rasulullah s.a.w.
Ditegah melaksanakan hukuman sebat ketika peminum arak sedang mabuk. Hal ini adalah kerana hukuman yang dijalankan ketika itu tidak mencapai tujuan pencegahan. Oleh itu, pelaksanaannya hendaklah ditangguhkan sehingga dia pulih supaya terhasil pencegahan mengambil arak semula.
Saringan dari tulisan: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan)
Bacaan Tambahan – Dosa Besar – Meminum Minuman Keras – https://asasislam.home.blog/2019/05/30/minum-minuman-keras/