[Muat Turun Artikel – Format PDF]
By: Asma Bint Shameen (www.Onislam.net)
(Terjemahan dan saringan oleh http://www.darulkautsar.wordpress.com)
Ramadhan pastinya bulan yang kita cintai, tetapi sayangnya kita menyambutnya hanya untuk bergembira dan bersantai dengan melupakan bahawa bulan puasa ini adalah merupakan bulan untuk berkorban kepada Allah. Di bawah ialah beberapa panduan untuk memastikan kita berada di atas landasan yang betul di Ramadhan ini.
Menganggap Ramadhan Sebagai Adat
Bagi kebanyakan orang, Ramadhan telah hilang nilai kerohaniannya dan ianya lebih merupakan adat berbanding ibadat. Kita berpuasa dari pagi hingga malam kerana orang di sekeliling kita berpuasa. Kita lupa inilah peluang untuk kita membersihkan hati dan jiwa dari kejahatan dan kemungkaran…kita lupa untuk menadah doa, lupa untuk bertafakur meminta keampunan Allah dan menyelamatkan kita dari api neraka. Memang kita tidak makan dan minum tapi itu bukanlah segala-galanya.
Kita lupa semua ini walaupun Nabi s.a.w telah bersabda:
“Jibril telah berkata kepadaku, “Celakalah sesiapa yang Ramadhan datang kepadanya tetapi dosanya tidak diampunkan”, dan daku berkata “Amiin”. Kemudian dia berkata, “Celakalah orang yang hidup sehingga ibubapanya tua, salah seorang atau kedua-duanya, tetapi dia tidak memperolehi syurga (kerana tidak menjaga mereka)”, dan saya berkata, “Amiin”. Dan dia berkata: “Celakalah, sesiapa yang bila namamu disebut tetapi tidak berselawat kepada mu”, dan aku berkata, “Amiin”. (Hadith riwayat at-Tirmizi, Ahmad dan lain-lain. Dihukumkan sahih oleh al-Albani)
Terlalu Menumpukan Perhatian Kepada Makanan dan Minuman
Kepada sebahagian orang, sebulan bulan Ramadhan hanya berkisar sekitar makanan. Mereka menghabiskan masa sepanjang hari merancang, membeli-belah, memasak dan memikirkan tentang makanan daripada memberi tumpuan kepada solat, membaca al-Quran dan lain-lain ibadat. Mereka hanya berfikir tentang MAKANAN. Sehingga bulan “berpuasa” menjadi bulan “berpesta makanan”. Semasa berbuka puasa, meja dipenuhi berbagai jenis makanan, minuman dan pemanis mulut. Mereka lupa tujuan sebenar berpuasa, malah sebaliknya menambahkan sifat tamak dan memenuhi hawa nafsu yang sepatutnya dikawal dengan puasa. Kita dapati pembaziran yang berleluasa dan bermewah-mewahan yang melampaui batas.
“…dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”. [Surah al-Araaf, Ayat 31]
Menghabiskan Masa Sepanjang Hari Memasak
Sebahagian kaum ibu (sama ada dengan kerelaan sendiri atau atas dorongan atau desakan suami) memasak sepanjang hari dan malam sehinggakan di akhir hari terlalu penat untuk sembahyang Isya’ apatah lagi sembahyang tarawih atau tahajjud atau membaca al-Quran. Bulan ini bulan keampunan dan rahmat. Jadi, padamkan api dapur dan nyalakan iman!
Makan Terlalu Banyak
Sebahagian manusia mengisi perut sepenuh-sepenuhnya semasa bersahur, seolah-olah akan meletup kerana mereka fikir inilah cara untuk mengelak dari berasa lapar di siang hari dan sebahagian manusia berbuka puasa seolah tiada lagi hari esok; cuba menggantikan semula makanan yang ditinggalkan semasa berpuasa. Ini sebenarnya menyalahi sunnah. Bersederhana adalah kunci kepada semua perkara.
Memakan terlalu kenyang menghalang seseorang dari melakukan amal kebaikan dan ibadat, menyebabkan rasa malas dan hati menjadi tumpul. Seseorang bertanya kepada Imam Ahmad: “Adakah seseorang itu dapat berhati lembut dan tawadhu’ bila perutnya sentiasa penuh?”. Imam Ahmad menjawab: “Saya fikir tidak”.
Tidur Sepanjang Hari
Sebahagian manusia, menghabiskan sepanjang (atau sebahagian besar) hari untuk tidur. Adakah ini yang dituntut dari kita di dalam bulan yang mulia ini? Mereka tidak mendapat manfaat dari tujuan puasa dan menjadi hamba kepada hawa nafsu; bersenang-senang dan bermewah-mewah. Mereka tidak sanggup berjaga (dari tidur) untuk merasakan bagaimana lapar atau untuk menahan diri dari keperitan lapar. Seseorang yang berpuasa dan tidur sebahagian besar di siang hari adalah seorang yang cuai dan mengelat!
Membazirkan Masa
Setiap saat di bulan Ramadhan adalah amat bernilai, sehingga Allah menamakannya “Ayyamum Ma’duudaat” (Beberapa hari yang tertentu). Tanpa kita sedar, bulan rahmat dan keampunan telah pergi meninggalkan kita. Kita sepatutnya cuba sedaya upaya untuk memanfaatkan setiap saat untuk beribadat supaya kita mendapat sebanyak mungkin rahmat. Sayangnya, ramai dari kira menghabiskan masa bermain ‘video game’, menonton tv, menonton wayang atau mendengar muzik.
Berpuasa Tapi Tidak Meninggalkan Maksiat
Sebahagian dari kita berpuasa tetapi tidak meninggalkan bercakap bohong, meyumpah seranah, bergaduh, mengumpat dan seumpamanya. Dan sebahagian kita berpuasa tetapi tidak meninggalkan dari perbuatan menipu, mencuri, berniaga perkara haram, membeli loteri, menjual arak, berzina dan seribu satu macam maksiat tanpa menyedari bahawa tujuan berpuasa adalah bukannya tidak makan dan minum tetapi tujuan sebenarnya ialah untuk menambahkan taqwa kepada Allah.
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. [Surah al-Baqarah, Ayat 183]
Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan yang sia-sia dan bertindak ke atasnya, Allah tidak berhajat kepadanya untuk meninggalkan makan dan minum”. (Hadith riwayat al-Bukhari)
Menghisap Rokok
Menghisap rokok diharamkan dalam Islam sama ada dalam bulan Ramadhan atau bulan-bulan lain, kerana ianya salah satu dari “al-Khabaa’ith” (perkara haram dan keji). Ini termasuk juga semua perkara yang seumpamanya seperti menghisap cerut, paip, sisha dsb.
Ianya membahayakan, bukan hanya kepada perokok itu sahaja, tetapi juga orang-orang di sekeliling mereka. Ianya juga membazirkan harta. Dan yang lebih penting ianya membatalkan puasa.
Tidak Bersahur
Nabi s.a.w bersabda: “Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan” (Hadith Riwayat al-Bukhari Dan Muslim). Dan Nabi s.a.w bersabda: “Perkara yang membezakan di antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah sahur”. (Riwayat Muslim)
Berhenti Makan Sahur Bila Masuk Waktu “Imsak”
Sebahagian orang berhenti makan sahur 10-15 minit sebelum masuk waktu subuh, atau apa yang dinamakan “Imsak”. Sheikh Ibn ‘Uthaimin berkata: “Ini adalah satu bentuk bid’ah. Yang tidak ada asasnya dalam sunnah. Malah yang sunnahnya adalah sebaliknya. Allah membenarkan kita makan sehingga masuk waktu subuh, “…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar”. [Surah al-Baqarah, Ayat 187]
Nabi s.a.w. bersabda: “Makan dan minumlah sehingga kamu mendengar azan oleh Ibnu Umm Maktoom kerana dia tidak melaungkan azan sehingga masuk waktu subuh”.
Waktu “Imsak” yang diamalkan oleh sebahagian dari kita adalah perkara tambahan yang tidak diperintahkan oleh Allah, ianya batil. Ianya adalah bid’ah dan Nabi s.a.w telah bersabda:
“Sesiapa yang melampaui batas akan binasa, Sesiapa yang melampaui batas akan binasa, Sesiapa yang melampaui batas akan binasa”. (Hadith Riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah sekali-kali azan Bilal itu mencegah salah seorang di antara kalian untuk makan sahur, kerana Bilal mengumandangkan azan atau memanggil pada malam hari adalah untuk mengingatkan orang yang sedang salat qiyam (akan dekatnya waktu fajar) dan untuk membangunkan orang yang masih tidur”.
Tidak Berpuasa Bila Terlepas Sahur
Sesetengah orang amat takut untuk berpuasa sekiranya terlepas bersahur. Ini adalah sikap pengecut dan terlalu sukakan kesenangan. Apa masalahnya jika anda terlepas beberapa suap makanan? Bukannya akan mati pun! Ingatlah, ketaatan kepada Allah akan menyelesaikan segalanya.
Berniat Puasa Dengan Menyebut Secara Kuat Atau Membaca Doa Tertentu Bila Memulakan Puasa
Niat letaknya dalam hati. Kita hendaklah menetapkan dalam hati bahawa kita akan berpuasa esok hari. Hanya itu yang perlu dilakukan. Syariat tidak mengajarkan supaya menyebut dengan kuat. “Saya berniat untuk puasa”, “Saya akan berpuasa esok” atau apa-apa ucapan lain yang direka-reka. Juga, tidak ada doa khas yang perlu dibaca semasa memulakan puasa. Apa-apa doa untuk memulakan puasa yang mungkin ditulis di akhbar atau taqwim Ramadhan adalah bid’ah.
Melambat-lambatkan Berbuka Puasa
Sesetengah orang menunggu sehingga azan habis dilaungkan atau beberapa minit selepas itu, kononnya kerana berhati-hati. Sunnah menyatakan hendaklah segera berbuka puasa, bermakna berbuka puasa bila azan bermula, sebaik sahaja matahari jatuh. A’ishah berkata: “Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w”. (Hadith Riwayat Muslim)
Nabi s.a.w bersabda: “Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagi mereka bersegera berbuka puasa”. (Hadith Riwayat al-Bukhari Dan Muslim)
Berusaha sebaik mungkin, pastikan jam dan taqwim anda tepat, dan bertawakkallah kepada Allah dan berbuka puasalah tepat pada waktunya.
Makan berterusan Sehingga Habis Waktu Maghrib
Sesetengah orang mengisi penuh makanan di dalam pinggan bila berbuka puasa dan terus makan, mencuci mulut, minum teh dsb sehingga terlepas waktu maghrib. Ini sudah pasti tidak betul. Sunnah Nabi s.a.w ialah setelah berbuka puasa dengan beberapa biji tamar, Baginda s.a.w. bersegera mengerjakan sembahyang. Setelah selesai bersembahyang, anda boleh makan semula setakat yang anda mahu.
Melepaskan Peluang Keemasan Supaya Doa Dikabulkan
Doa seorang yang berpuasa ketika berbuka puasa dijamin akan dimakbulkan. Nabi s.a.w bersabda: “Tiga jenis doa tidak akan ditolak: Doa seorang ayah, doa orang berpuasa dan doa seorang musafir”. (Hadith riwayat Al-Baihaqi dan disahihkan oleh al-Albani)
Saat di mana sepatutnya seseorang duduk dan berdoa di masa yang amat berharga ini, sesetengah orang mensia-siakan peluang keemasan ini dengan sibuk menggoreng jemput-jemput, bersembang, menyusun makanan, mengisi pinggan dan gelas dsb. Fikirkan, adakah makanan yang lebih penting atau peluang dosa anda diampunkan atau doa anda dimakbulkan?”.
Berpuasa Tetapi Tidak Sembahyang
Puasa orang yang tidak bersembahyang TIDAK AKAN DITERIMA. Ini adalah kerana perbuatan meninggalkan sembahyang adalah perbuatan kufur sebagaimana Nabi s.a.w bersabda: “Perbezaan di antara kufur dan syirik seseorang lelaki adalah sembahyang”. (Hadith riwayat Muslim)
Tiada amal kebaikannya akan diterima, malah semuanya akan dihapuskan, “Sesiapa yang tidak sembahyang Asar, amal kebaikannya akan dihapuskan” (Hadith riwayat al-Bukhari)
Berpuasa Tetapi Tidak Memakai Tudung (Atau Tidak Menutup Aurat)
Tidak memakai tudung adalah dosa besar dan ianya adalah wajib untuk wanita-wanita muslim (Lihat Surah an-Nur & Surah al-Ahzaab). Oleh itu berpuasa tetapi tidak memakai tudung (atau tidak menutup aurat) mengurangkan banyak pahala puasa walaupun tidak membatalkan puasa.
Tidak Berpuasa Kerana Menduduki Peperiksaan Atau Bekerja
Menduduki peperiksaan atau melakukan kerja adalah BUKAN salah satu alasan yang dibenarkan syariat untuk meninggalkan puasa. Anda boleh belajar atau membuat ulangkaji di waktu malam sekiranya terlalu membebankan di waktu siang hari. Perlu diingat bahawa taat dan patuh kepada Allah adalah lebih penting daripada markah yang tinggi. Di samping itu, sekiranya anda menunaikan tanggungjawab anda dengan berpuasa, walaupun anda sedang belajar, Allah akan mempermudahkan dan membantu urusan anda.
“…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)…” (Surah at-Talaaq, Ayat 2 &3)
Berpuasa Dengan Tujuan Untuk Diet
Jangan berpuasa dengan tujuan untuk diet. Ini adalah di antara kesilapan terbesar yang dilakukan oleh sebahagian dari kita (terutamanya kaum wanita). Puasa ialah suatu ibadat dan hendaklah hanya kerana Allah sahaja. Oleh itu, menunaikannya dengan tujuan sebagai diet adalah salah satu syirik kecil.
Bergaduh Tentang Bilangan Rakaat Sembahyang Tarawih
Tidak jelas berapakah bilangan rakaat sembahyang tarawih yang tetap. Kita boleh lakukan lapan atau dua puluh rakaat. Sheikh Ibn Uthaimin berkata: “Seseorang tidak patut disalahkan kerana bersembahyang tarawih sebelas atau dua puluh tiga rakaat, kerana persoalannya lebih besar dari itu, alhamdulillah”.
Sembahyang Sunat Ramadhan Hanya Pada Malam Ke-27
Sesetengah orang bersembahyang sunat Ramadhan hanya pada malam ke 27, untuk mencari Lailatul-Qadar, mengabaikan malam-malam lain yang ganjil, walaupun Nabi s.a.w. telah bersabda: “Carilah Lailatul Qadar di antara malam-malam yang ganjil di sepuluh malam terakhir Ramadhan”.
Mensia-siakan Saat-saat Akhir Ramadhan Untuk Membuat Persediaan Sambutan Hari Raya
Sesetengah orang mensia-siakan keseluruhan sepuluh hari terakhir Ramadhan untuk membuat persiapan menyambut hari raya, membeli-belah, mengunjungi pasaraya, mengabaikan ibadat dan malam lailatul qadar. Ketahuilah, Nabi s.a.w beribadat begitu bersungguh-sungguh di sepuluh hari terakhir Ramadhan (Riwayat Ahmad & Muslim). Belilah dan sediakan apa-apa keperluan hari raya sebelum Ramadhan tiba untuk membolehkan anda menggunakan sebanyak mungkin masa untuk beribadat di bulan Ramadhan.
‘Aishah r.ha. berkata: “Bila sepuluh malam terakhir tiba, Rasullullah s.a.w mengetatkan tali pinggangnya (iaitu bersungguh-sungguh beribadat atau menahan diri dari berseronok-seronok dengan isteri-isterinya), berjaga malam dan mengejutkan keluarganya (dari tidur)” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pesta Berbuka Puasa
Walaupun menjemput satu sama lain untuk berbuka puasa adalah sesuatu yang baik dan digalakkan, sesetengah orang agak keterlaluan dengan “pesta-pesta buka puasa mewah” yang penuh dengan kemaksiatan dan pergaulan bebas lelaki perempuan, wanita-wanita yang tidak menutup aurat, menunjuk-nunjuk dan berlebih-lebihan, tidak menghiraukan sembahyang fardhu dan sembahyang tarawih sambil berpesta muzik dengan tarian dan joget.
Kita Semua Cinta kepada Islam Tetapi Kita Cipta Cara-cara Sendiri Dalam Mengamalkan Islam. Adakah Kita Hidup Dengan Cara Islam Sebenarnya?