Rukun Ketiga: Zakat

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

 ZAKAT (الزكاة

1. Ta’rif Zakat

Menurut bahasa Arab: Zakat ialah “subur dan bertambah”, biasanya digunakan perkataan ini untuk pujian, pembersihan dan kebaikan. Harta yang dikeluarkan dinamakan sebagai “zakat” kerana dengan membayar zakat harta bertambah berkat dan tuannya mendapat keampunan.

Zakat menurut istilah syara’ ialah: Suatu kewajipan pada harta yang tertentu, untuk dibahagikan kepada golongan yang tertentu, pada masa yang tertentu.

2. Kedudukan Zakat Dalam Islam

Zakat ialah salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Zakat disebut bersama dengan solat dalam beberapa ayat di dalam al-Quran, antaranya: Firman Allah Ta‘ala:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآَتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ – (البقرة: 43)

“Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 43).

Firman Allah Ta‘ala:

وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ – (البينة: 5)

“Dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat”. (Surah Al-Bayyinah, Ayat 5).

Sabda Nabi s.a.w:

بني الإسلام على خمس … وذكر منها إيتاء الزكاة . متفق عليه من حديث ابن عمر رضي الله عنهم

“Islam dibina di atas lima rukun…”, salah satu daripadanya: “Mengeluarkan zakat”. (Muttafaq ‘alaih) daripada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a.

Allah s.w.t. mensyariatkan zakat untuk menyucikan diri manusia daripada sifat kedekut, bakhil dan tamak. Zakat juga disyariatkan untuk meringankan bebanan golongan fakir, miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan, membersihkan harta, menyuburkannya dan menjadikannya diberkati, memeliharanya daripada penyakit dan kerosakan, serta mendirikan keperluan umum yang membantu kepada kehidupan umat dan kebahagiaan mereka. Allah s.w.t. telah menyebut hikmat disyariatkan zakat dalam kitab-Nya, firman Allah Ta‘ala:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا – (التوبة: 103)

“Ambillah zakat sebahagian daripada harta mereka, (supaya dengan zakat itu) membersihkan dan menyucikan mereka”. (Surah At-Taubah, Ayat 103).

3. Hukum Mengeluarkan Zakat

Zakat adalah suatu fardhu yang diwajibkan ke atas setiap muslim yang memiliki harta yang cukup “nisab” (kadar yang dikenakan zakat) dengan syarat-syaratnya sehinggakan harta kepunyaan orang gila dan kanak-kanak juga dikenakan zakat. Adalah menjadi kewajipan ke atas wali (penjaga) mereka untuk mengeluarkannya.

Sesiapa yang mengingkari kewajipannya (seperti mengatakan tidak wajib mengeluarkan zakat – penyunting) dengan sengaja sedangkan dia mengetahui akan hukum tersebut maka dia telah menjadi kafir.

Sesiapa yang tidak mahu mengeluarkan zakat kerana bakhil atau memandang ringan terhadap hukumnya maka dia menjadi fasiq dan telah melakukan satu kesalahan yang besar serta mendapat dosa besar. Dia berada di bawah kehendak Allah (sama ada Allah menimpakan azab ke atasnya atau mengampunkannya) jika dia mati dalam keadaan tersebut, berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ – (النساء: 48)

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa selain daripada (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya”. (Surah An-Nisa’, Ayat 48).

Pihak pemerintah mesti mengambil zakat daripadanya serta mengenakan hukuman (“ta’zir”) ke atasnya kerana dia telah melakukan perbuatan yang haram.

Allah telah menjanjikan azab kepada golongan yang tidak mahu membayar zakat dengan firman-Nya:

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (34) يَوْمَ يُحْمَى عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَى بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْنِزُونَ (35)

“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksaan yang pedih. Pada hari dipanaskan (emas dan perak itu) dalam neraka jahanam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan belakang mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: “Inilah harta benda yang telah kamu simpan untuk dirimu sendiri maka rasakanlah sekarang (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu”. (Surah At-Taubah, Ayat 34-35).

Dari Abu Hurairah r.a., sabda Nabi s.a.w:

 ما من صاحب كنز لا يؤدي زكاته, إلا أحمي عليه في نار جهنم, فيجعل صفائح, فيكون بها جنباه وجبينه, حتى يحكم الله بين عباده في يوم كان مقداره خمسين ألف سنة, ثم يرى سبيله إما إلى الجنة, وإما إلى النار…  الحديث متفق عليه, وهذا لفظ مسلم

“Sesiapa yang mempunyai harta yang banyak tetapi tidak mengeluarkan zakat maka dia akan dipanaskan dengan hartanya di dalam neraka jahannam, dengan dijadikannya sebagai besi kemudian digosokkan di sebelah kiri dan kanan rusuknya serta dahinya, sehingga Allah menyelesaikan perbicaraan di antara hamba-Nya pada hari yang tempoh (sehari) seperti lima puluh ribu tahun, selepas itu ditentukan jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka…”, al-Hadith. (Muttafaq ‘alaih, lafaz hadith ini menurut riwayat Muslim).

4. Syarat-Syarat Diwajibkan Zakat

Syarat-syarat diwajibkan Zakat lima perkara:

a. Islam – Tidak diwajibkan ke atas orang kafir.

b. Merdeka – Tidak diwajibkan ke atas harta yang dimiliki oleh hamba, menurut kebanyakan ulama’. Demikian juga hamba “mukatab” (hamba yang ingin melepaskan dirinya daripada perhambaan dengan membayar harganya kepada tuannya), kerana dia masih dianggap sebagai hamba selagi belum habis membayarnya walaupun sedirham.

c. Mencukupi  “Nisab” (kadar yang dikenakan zakat) – Sekiranya harta kurang daripada nisab yang ditetapkan maka tidak dikenakan zakat.

d. Sempurna Milik – Tidak dikenakan zakat pada hutang daripada hamba yang ingin membebaskan dirinya, juga keuntungan daripada perniagaan “mudharabah” yang belum dibahagikan, tidak juga pada hutang dengan orang yang susah sehingga dia menjelaskannya, demikian juga tidak dikenakan zakat kepada harta yang diwakafkan untuk jalan kebaikan dan kebajikan seperti harta yang diwakafkan kepada para mujahidin, masjid, orang-orang miskin dan seumpamanya.

e. Sampai “Al-Haul” (cukup masa setahun) – Tidak dikenakan zakat ke atas harta sehingga sampai masanya (“al-haul”), kecuali harta yang diperolehi daripada hasil bumi seperti bijirin (gandum, beras) dan buah-buahan yang dikenakan zakat. Zakatnya wajib dikeluarkan apabila menuai atau memetiknya, berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

وَآَتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ – (الأنعام: 141)

“Dan tunaikanlah haknya pada hari memetik hasilnya (dengan dikeluarkan zakatnya)”. (Surah Al-An‘am, Ayat 141).

Bahan galian dan harta “rikaz” (qarun) hukumnya seperti hukum zakat tanaman, kerana harta ini dikira harta yang didapati daripada hasil bumi.

Anak-anak kepada binatang ternakan dan keuntungan perniagaan “haul”nya (masanya) menurut masa kiraan asalnya (ibunya atau modalnya), dicampurkan kedua-duanya dengan harta yang asal kemudian dikeluarkan zakat apabila telah cukup nisabnya.

Baligh atau akal yang waras tidak menjadi syarat wajib zakat. Oleh yang demikian, zakat diwajibkan ke atas harta kanak-kanak dan harta orang gila, menurut pendapat kebanyakan (“jumhur”) ulama’.

5. Jenis-jenis Harta Yang Dikenakan Zakat

Zakat diwajibkan ke atas lima jenis harta

a. Emas dan perak, juga wang kertas yang dikira sebagai ganti kepada emas dan perak.

Kadar zakat yang dikenakan ialah satu perempat puluh harta, bersamaan 2.5%. Tidak diwajibkan zakat padanya hingga sampai “haul” (masanya) dan cukup “nisab” (kadar yang diwajibkan).

Kadar nisab emas ialah 20 “misqal”. Satu “misqal” bersamaan dengan (4.25) gram. Oleh itu, jumlah nisab emas ialah 85 gram.

Kadar nisab perak ialah 200 dirham, satu dirham bersamaan dengan 2.975 gram. Oleh itu, jumlah nisab perak ialah 595 gram.

Wang kertas yang digunakan sekarang, kadar nisabnya ialah mengikut nilainya  – ketika sampai haul dan pada waktu mengeluarkan zakat- nilai 85 gram emas atau nilai 595 gram perak.

Oleh sebab itu “nisab” wang kertas berbeza setiap masa mengikut nilai harga pasaran berbanding dengan nilai emas dan perak. Apabila seseorang memiliki wang yang kadarnya boleh membeli salah satu kadar emas atau perak atau lebih, maka wajib ke atasnya mengeluarkan zakat, tidak dikira perbezaan nama mata wang; Riyal, Dinar, Dolar, Ringgit atau selainnya. Tidak dikira juga sama ada mata wang itu kertas, logam atau lain-lain.

Sebagaimana yang telah diketahui, nilai wang sentiasa berubah setiap masa. Seseorang yang ingin mengeluarkan zakat mesti melihat nilai harganya ketika tiba masa wajib membayar zakat iaitu sewaktu sampai “haul”.

Harta (emas, perak dan wang) yang melebihi nisab hendaklah dikeluarkan zakat mengikut kadar yang telah ditentukan. Dalilnya, hadith yang diriwayatkan oleh ‘Ali r.a.,  katanya: Sabda Nabi s.a.w:

إذا كانت لك مائتين درهم وحال عليها الحول ففيها خمسة دراهم, وليس عليك شيء حتى يكون لك عشرون دينارا وحال عليها الحول ففيها نصف دينارا, فما زاد فبحساب ذلك, وليس في مال زكاة حتى يحول عليه الحول . (رواه أبو داود وهو  حديث حسن

“Apabila engkau telah memiliki 200 dirham dan telah sampai haulnya maka zakatnya 5 dirham. Engkau tidak dikenakan zakat – emas- hingga engkau memiliki 20 dinar dan telah sampai haulnya maka zakatnya ialah ½ dinar, kalau lebih nilai emas yang dimilikinya, maka zakatnya mengikut kadar pertambahan nilai emas tersebut. Harta simpanan tidak dikenakan zakat hingga sampai haulnya”. (Hadith Riwayat Abu Daud, darjatnya ‘Hasan’).

Barang kemas yang disediakan untuk simpanan dan untuk disewa maka wajib ke atasnya zakat dengan tidak ada khilaf di kalangan ulama’.

Manakala barang kemas yang digunakan, menurut pendapat yang “rajih” (kuat) di kalangan ulama’ dikenakan juga zakat. [Walaupun begitu ada mazhab yang berpendapat barang kemas yang dipakai yang tidak melebihi “uruf” (kebiasaan) tidak dikenakan zakat – Penyunting]. Ini berdasarkan nas-nas yang umum yang menyebut hukum wajib zakat emas dan perak, juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, an-Nasa’i dan at-Tirmizi daripada ‘Amru bin Syu’aib daripada bapanya daripada datuknya, semoga Allah meredhai mereka semua.

أن امرأة أتت النبي صلى الله عليه وسلم ومعها ابنة لها, وفي يدي بنتها مسكتان غليظتان من ذهب. فقال لهل: أتعطين زكاة هذا؟ قالت: لا. قال: “أيسرك أن يسورك الله بهما يوم القيامة سواريان من نار؟” فخلعتهما وألقتهما إلى النبي صلى الله عليه وسلم, وقالت: هما لله ولرسوله

“Seorang perempuan datang bersama anak perempuannya bertemu Rasulullah s.a.w dan di tangan anaknya terdapat dua utas gelang emas. Rasulullah pun bertanya kepadanya: “Adakah kamu telah mengeluarkan zakat gelang ini?”. Jawab perempuan itu: “Tidak”. Sabda Baginda: “Adakah kamu suka jika Allah pakaikan kepada kamu dua utas gelang daripada api neraka pada Hari Kiamat dengan sebab dua utas gelang ini!”. Perempuan itu terus menanggalkannya serta memberikannya kepada Nabi s.a.w seraya berkata: “Keduanya untuk Allah dan Rasul-Nya”.

Juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan lainnya daripada ‘Aishah r.ha. katanya:

دخل على رسل الله صلى الله عليه وسلم فرأى في يدي فتخات من ورق. فقال: “ما هذا يا عائشة؟” فقلت: صنعتهن أتزين لك يا رسول الله. قال:”أتؤدين زكاتهم؟” قلت: لا, أو ما شاء الله. قال: “هو حسبك من النار”

“Rasulullah s.a.w masuk menemui saya. Tiba-tiba Rasulullah ternampak di tangan saya sebentuk cincin daripada perak. Rasulullah bertanya: “Apa ini wahai ‘Aishah?”. Saya menjawab: “Saya jadikannya sebagai perhiasan diri apabila saya bertemu dengan kamu wahai Rasulullah”. Rasulullah bertanya lagi: “Adakah awak tunaikan zakatnya?”. Saya menjawab:”Tidak”, atau “masya’ Allah”. Sabdanya: “Ianya akan menjadi bahagian awak daripada neraka”.

Adapun galian dan barang-barang perhiasan selain daripada emas – seperti permata dan mutiara – tidak ada seorang pun ulama’ yang berpendapat bahawa zakat diwajibkan ke atasnya, kecuali ianya untuk tujuan perniagaan, maka zakatnya ialah zakat perniagaan.

b. Zakat haiwan ternakan

Iaitu unta, lembu dan kambing. Wajib ke atasnya zakat jika haiwan itu “saimah” – iaitu ternakan yang kebanyakan waktunya dilepaskan di padang ragut lebih kerap daripada dikurung dalam tempoh setahun – kerana kebanyakan (masa) boleh diberi hukum keseluruhan, dalilnya: Sabda Nabi (s.a.w):

(في كل إبل سائمة صدقة  (رواه أحمد وأبو داود والنسائي

“Setiap unta yang dilepaskan (saimah) dikenakan sadaqah (zakat)”. (Hadith Riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasa’i).

Juga berdasarkan hadith:

(في صدقة الغنم في سائمتها (رواه البخاري

“Sadaqah (zakat) kambing dikenakan kepada yang dilepaskannya (as-saimah)”. (Hadith Riwayat al-Bukhari).

Syaratnya haiwan tersebut telah cukup nisabnya dan sampai haulnya.

Jadual Nisab Haiwan

Nisab Binatang

Dalilnya, hadith Anas r.a: Saidina Abu Bakar r.a. telah menulis untuknya kitab ini ketika menghantarnya ke Bahrain (al-Ahsa’ sekarang – penterjemah):

 بسم الله الرحمن الرحيم. هذه فريضة الصدقة التي فرض رسول الله صلى الله عليه وسلم على المسلمين, والتي أمر الله بها رسوله, فمن سئلها من المسلمين على وجهها فليعطها, ومن سئل فوقها فلا يعط

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ini adalah fardhu zakat yang telah diwajibkan oleh Rasulullah s.a.w ke atas orang Islam menurut apa yang telah diperintahkan oleh Allah ke atas Rasul-Nya. Sesiapa yang meminta zakat daripada kaum muslimin sebagaimana yang sepatutnya hendaklah diberikan kepadanya. Sesiapa yang meminta lebih daripada itu janganlah diberikan kepadanya”.

في أربع وعشرون من الإبل فما دونها من الغمم من كل خمس شاة, فإذا بلغت ستا وثلاثين إلى خمس وأربعين ففيها بنت لبون أنثى, فإذا بلغت ستا وأربعين إلى ستين ففيها حقة, طروقة الجمل, فإذا بلغت واحدة وستين إلى خمس وسبعين ففيها جذعة, فإذا بلغت – يعني ستا وسبعين – إلى تسعين ففيها بنتا لبون, فإذا يلغت إحدى وتسعين إلى عشرين ومائة ففيها حقتان طروقتا الجمل, فإذا زادت على عشرين ومائة ففي كل أربعين بنت لبون وفي كل خمسين حقة, ومن لم يكن معه إلا أربع من الإبل فليس فيها صدقة إلا أن يشاء ربها, فإذا بلغت خمسا من الإبل ففيها شاة

“Untuk 24 ekor unta atau ke bawah, zakatnya ialah kambing, setiap lima ekor seekor kambing. Apabila sampai 36 hingga 45 ekor, zakatnya ialah “Bintu Labun”, apabila sampai 46 hingga 60 ekor, zakatnya “Hiqqah” yang telah boleh didatangi bapa jantannya. Apabila sampai 61 hingga 75 ekor, zakatnya “Jaz‘ah”. Apabila sampai 76 hingga 90 ekor, zakatnya dua ekor “Bintu Labun”. Apabila sampai 91 hingga 120 ekor, zakatnya dua ekor “Hiqqah” yang telah boleh didatangi bapa jantannya. Apabila bilangannya lebih daripada 120 ekor, setiap 40 ekor zakatnya “Bintu Labun” dan setiap 50 ekor zakatnya “Hiqqah”. Sesiapa yang memiliki 4 ekor unta maka tidak dikenakan zakat kecuali dengan kehendak tuannya sendiri. Apabila bilangannya sampai 5 ekor, wajiblah zakatnya seekor kambing”.

وفي صدقة الغنم في سائمتها إذا كانت أربعين إلى عشرين زمائة شاة, فإذا زادت على عشرين ومائة لى مائتين شاتان, فإذا زادت على ثلاثمائة ففي كل مائة شاة, فإذا كانت سائمة الرجل ناقصة من أربعين شاة شاة واحدة فليس فيها صدقة إلا أن يشاء ربها (الحديث رواه البخاري

“Zakat kambing yang dilepaskan di padang ragut (as-saimah), apabila sampai 40 hingga 120 ekor, zakatnya seekor kambing. Apabila bilangannya lebih daripada 120 ekor hingga sampai 200 ekor, zakatnya dua ekor kambing. Apabila bilangannya melebihi 300 ekor, setiap 100 ekor zakatnya seekor kambing. Kalau seseorang memiliki kambing yang kurang daripada 40 ekor (kurang) seekor kambing, tidak dikenakan zakat kecuali dengan kehendaknya sendiri”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari).

Menurut hadith Mu’az bin Jabal r.a:

(أن النبي صلى الله عليه وسلم بعثه إلى اليمن فأمره أن يأخذ من كل ثلاثين بقرة تبيعا أو تبيعة, وفي كل أربعين مسنة (رواه أحمد وأصحاب السنن

“Nabi s.a.w mengutusnya ke Yaman serta memerintahkannya supaya mengambil zakat lembu setiap 30 ekor dikeluarkan zakatnya seekor “Tabi’’ atau “Tabi‘ah” dan setiap 40 ekor seekor “Musinnah”. (Hadith Riwayat Ahmad dan ashab as-Sunan).

Anak yang baru lahir dicampurkan bersama-sama bilangan yang sedia ada kalau sudah cukup nisabnya. Sebaliknya kalau binatang yang asal belum cukup nisab kecuali setelah dicampurkan dengan anak yang baru lahir itu maka haulnya dikira waktu cukup nisabnya itu.

Zakat bagi binatang peliharaan untuk tujuan perniagaan maka ia dikira sebagai zakat perniagaan. Jika digunakan untuk tujuan pekerjaan (pembajakan dan seumpamanya) atau untuk peliharaan (“al-qunyah”) maka tidak dikenakan zakat. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.:

(ليس على المسلم فى عبده ولا فرسه صدقة أخرجه (البخاري ومسلم

“Tidak dikenakan zakat ke atas seorang muslim yang memiliki hamba sahaya dan kuda”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

c. Zakat Tanaman dan Buah-buahan

Tanaman dan buah-buahan wajib dikenakan zakat apabila cukup nisabnya. Pendapat ini menurut Jumhur Ulama’. Nisabnya ialah lima “wasaq”. Berdasarkan hadith Nabi s.a.w:

(ليس فيما دون خمسة أوسق صدقة (متفق عليه

“Tanaman yang kurang daripada lima wasaq tidak diwajibkan zakat”. (Muttafaq ‘alaih).

Satu “wasaq” ialah 60 gantang.

Kadar nisabnya ialah 300 gantang.

Menurut timbangan sekarang, nisab gandum yang baik jenisnya ialah lebih kurang 652.8 kilogram.

Zakat tanaman dan tumbuhan tidak disyaratkan “haul”, berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

وَآَتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ – (الأنعام: 141)

“Dan tunaikanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik hasilnya”. (Surah Al-An‘am, Ayat 141).

Kadar yang diwajibkan ialah; satu persepuluh (1/10) bagi tanaman yang tumbuh di tempat yang ada air dan tidak memerlukan tenaga untuk menyiramnya. Satu perdua puluh (1/20) bagi tanaman yang disiram dengan menggunakan alat dan tenaga, berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w:

(فيما سقت السماء والأنهار والعيون, أو كان عثريا العشر, وفيما سقي بالسواني أو النضح نصف العشر أخرجه (البخاري

“Tanaman yang disiram dengan air hujan atau mata air atau tumbuh di tanah tadahan hujan, zakatnya 1/10 dan tanaman yang disirami dengan alat penyiram, zakatnya 1/20”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari).

d. Zakat Perniagaan

Zakat perniagaan ialah zakat yang dikenakan ke atas setiap benda yang diperniagakan. Zakat ini merupakan harta yang paling umum dan merangkumi semua jenis harta perniagaan. Zakat diwajibkan ke atasnya apabila cukup nisabnya, pengiraannya ialah apabila sampai harganya kepada nisab emas dan perak, iaitu 20 dinar yang menyamai 85g emas atau 200 dirham yang menyamai 595g perak. Harta perniagaan dinilai apabila telah sampai haul mengikut kadar yang paling baik bagi golongan miskin, sama ada mengikut kadar emas atau perak. Nilai zakat pada harta perniagaan tersebut tidak dikira nilainya sewaktu barang itu dibeli, tetapi hendaklah dikira harganya ketika hendak mengeluarkan zakat setelah sampai haulnya.

Kadar yang diwajibkan zakat bagi harta perniagaan ialah 2.5 % daripada keseluruhan nilainya. Keuntungan daripada perniagaan mesti dicampurkan bersama modal asal apabila telah cukup nisabnya, tidak perlu menanti haul yang baru. Kalau nisabnya hanya akan cukup setelah dicampurkan dengan keuntungan, maka haulnya bermula pada hari cukup nisabnya.

e. Zakat Galian (“al-Ma‘adin”) dan Harta Qarun (“Rikaz”)

i) Zakat Galian (al-Ma‘adin).

Galian ialah setiap benda yang dikeluarkan daripada perut bumi, bukan daripada jenis bumi, mempunyai nilai harga dan bukan pula daripada jenis tumbuh-tumbuhan.

Emas, perak, besi, tembaga, timah, minyak dan lain-lain. Wajib dikeluarkan zakat berdasarkan umum firman Allah Ta‘ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ – (البقرة: 267)

“Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 267).

Tidak syak lagi bahawa barang galian termasuk di dalam jenis benda yang Allah keluarkan daripada perut bumi.

Jumhur ulama’ berpendapat galian dikenakan zakat apabila cukup nisab. Kadar yang wajib dikeluarkan ialah 1/10 diqiaskan kepada kadar yang wajib bagi emas dan perak. Tidak disyaratkan cukup haul dan wajib dikeluarkan zakat ketika memilikinya.

ii) Harta Qarun (“Rikaz”)

“Rikaz” ialah benda yang didapati di dalam bumi daripada peninggalan jahiliyyah atau harta yang ditanam oleh orang-orang kafir pada zaman dahulu walaupun mereka bukan dari kalangan jahiliyyah, di dalam negara Islam atau negara kafir (“Dar Harb”) atau dalam negara yang membuat perjanjian damai dengan orang Islam (“Dar ‘Ahdi”).

Harta ini mempunyai alamat atau tanda ianya milik orang kafir di atasnya atau sebahagian daripadanya, seperti ada catatan nama mereka atau nama raja mereka, ada gambar mereka, gambar salib atau gambar berhala.

Sebaliknya jika barang yang dijumpai itu atau sebahagian daripadanya mempunyai tanda-tanda ianya kepunyaan orang Islam, seperti nama Nabi s.a.w, nama khalifah Islam atau tertulis ayat-ayat al-Quran maka harta ini dinamakan “luqathah” (harta orang yang tercicir). Demikian juga jika tidak didapati sebarang tanda seperti bekas (pinggan, mangkuk), barang perhiasan atau emas keping maka barang ini dikira “luqathah”. Ia tidak boleh dimiliki kecuali selepas dibuat pengumuman, kerana barang ini kepunyaan orang Islam dan tidak diketahui adakah hak miliknya telah terlepas daripadanya.

“Rikaz” diwajibkan zakat ke atasnya. Kadarnya ialah 1/5 berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Sabda Nabi s.a.w:

وفي الركاز الخمس

“Rikaz zakatnya ialah seperlima (1/5)”.

Menurut jumhur ulama’ zakat wajib dikeluarkan daripada “rikaz” yang sedikit atau pun yang banyak jumlahnya. Jumhur ulama’ juga berpendapat “masraf” (pembahagian)nya ialah menurut “masraf al-fai’ “(harta rampasan yang ditinggalkan oleh orang kafir tanpa peperangan) dan yang lebihnya 4/5 menjadi milik orang yang menjumpainya. Ini menurut semua ulama’ berdasarkan perbuatan Saidina Umar r.a yang telah menyerahkan harta “rikaz” kepada orang menjumpainya (setelah diambil 1/5 daripadanya).

6. Pembahagian (“Masarif”)

Golongan (asnaf) yang berhak menerima zakat ialah lapan golongan, mereka ialah:

a. Al-Fuqara’ – Golongan fakir. Iaitu orang yang tidak memiliki harta untuk menyara hidup mereka atau mempunyai sebahagian daripada keperluan hidup mereka. Golongan ini boleh diberikan kepada mereka zakat yang boleh menampung keperluan hidup mereka selama setahun.

b. Al-Masakin – Golongan miskin. Iaitu orang yang memiliki sebahagian daripada keperluan hidupnya atau kebanyakan keperluannya. Golongan ini lebih baik keadaannya daripada golongan fakir, maka diberikan kepada mereka harta zakat yang mencukupkan keperluan hidup mereka sepanjang tahun.

c. Al-‘Amilin – Pegawai pemungut zakat

“Al-’Amilin” ialah pegawai yang memungut zakat daripada golongan yang berhak menjaganya serta membahagikannya kepada golongan yang berhak menerimanya menurut arahan yang dikeluarkan oleh Imam (pemerintah). Mereka berhak menerimanya mengikut kerja yang dilakukan.

d.  Al-Muallafah Qulubuhum- Golongan yang dijinakkan hati mereka.

Mereka terdiri daripada dua golongan: orang kafir dan orang Islam.

i) Orang kafir diberikan zakat kepada mereka apabila diharapkan mereka akan memeluk Islam atau dengan pemberian ini mereka tidak lagi menyakiti orang Islam dan seumpamanya.

ii) Orang Islam diberikan zakat kepada mereka untuk menguatkan pegangan mereka kepada Islam atau mengharapkan orang-orang yang sepertinya akan memeluk Islam dan seumpamanya.

e. Ar-Riqab- Golongan hamba sahaya “mukatab” iaitu hamba yang ingin menebus diri mereka daripada ikatan perhambaan daripada tuan mereka tetapi mereka tidak mempunyai harta untuk membayarnya, maka diberikan zakat kepada mereka supaya dapat membebaskan diri daripada ikatan perhambaan.

f. Al-Gharimin – Golongan yang berhutang.

Golongan ini ada dua jenis; orang yang berhutang untuk keperluan dirinya dan orang yang berhutang untuk membantu orang lain.

i) Orang yang berhutang untuk keperluan dirinya, iaitu orang yang berhutang untuk keperluan dirinya tetapi tidak mampu untuk membayarnya, maka diberikan kepadanya zakat hingga dia dapat menjelaskan hutangnya.

ii) Orang yang berhutang untuk membantu orang lain, iaitu orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah orang lain, maka diberikan kepadanya zakat hingga dia dapat menjelaskan hutangnya walaupun dia seorang yang kaya.

g. Fi Sabilillah- Pada Jalan Allah. Apabila disebut secara umum maksudnya ialah: Jihad. Maka diberikan zakat kepada para mujahidin yang berjuang secara sukarela, tidak ada gaji tetap yang diambil daripada Baitulmal [Prof Dr Yusof al-Qardhawi meluaskan lagi skop “fisabillillah” mencakupi apa-apa kerja untuk menegakkan agama Allah – Penyunting]

h. Ibnu Assabil – Musafir yang terputus bekalan di dalam perjalanan. Tidak ada belanja untuk sampai ke negerinya, maka dia diberikan zakat sekadar belanja yang membolehkan dia sampai ke negerinya.

Allah telah menyebut golongan yang berhak menerima zakat ini dengan firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (60) – (التوبة: 60)

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang terputus bekalan dalam perjalanan), sebagai satu ketetapan dari Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (Surah At-Taubah, Ayat 60).

7. Zakat Fitrah

Hikmat disyariatkan Zakat Fitrah

Zakat fitrah disyariatkan untuk menyucikan orang-orang yang berpuasa daripada perkara sia-sia dan tidak baik yang dilakukan semasa berpuasa. Selain itu ia dapat memberi makanan kepada orang miskin dan melepaskan mereka daripada meminta-minta (makanan) pada hari raya, sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas  r.a., katanya:

فرض رسول الله صلى الله عليه وسلم زكاة الفطر, طهرة للصائم من اللغو والرفث, وطعمة للمساكين – رواه أبو داود و إبن ماجه

“Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan orang-orang yang berpuasa daripada perkara sia-sia dan tidak baik (yang dilakukan semasa berpuasa) juga untuk memberi makanan kepada orang miskin”. (Hadith Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Hukum Zakat Fitrah

Zakat Fitrah adalah fardhu yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam, lelaki dan perempuan, tua dan muda, orang merdeka serta hamba sahaya, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. Sabda Nabi  s.a.w:

فرض رسول الله صلى الله عليه وسلم زكاة الفطر من رمضان, صاعا من تمر, أو صاعا من شعير, على العبد والحر, والذكر والأنثى, والصغير والكبير, من المسلمين, وأمر بها أن تؤدى قبل الخروج الناس إلى الصلاة (متفق عليه

“Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan, segantang tamar atau segantang gandum ke atas golongan hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar dari kalangan orang Islam. Baginda mengarahkan agar menjelaskannya sebelum orang Islam keluar menunaikan solat sunat hari raya”. (Muttafaq ‘alaih).

Disunatkan membayar zakat fitrah bagi janin yang masih berada dalam kandungan.

Setiap orang wajib membayar fitrah bagi dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya; isteri atau ahli keluarganya yang hampir. Tidak diwajibkan membayarnya kecuali ke atas mereka yang mempunyai makanan (harta) yang lebih daripada keperluannya serta orang yang di bawah tanggungannya pada hari raya dan malamnya.

Kadar yang wajib dibayar

Kadar yang wajib dibayar ialah segantang makanan yang biasa dimakan di negerinya; sama ada gandum, tamar, zabib (kismis), ‘aqit (susu beku), beras atau jagung. [Zakat fitrah boleh juga dikeluarkan menggunakan wang yang nilainya sama dengan makanan asas tersebut – Penyunting]

Segantang sama dengan – lebih kurang – 2,176 gram.

Waktu mengeluarkan Zakat Fitrah

Terdapat dua waktu untuk menjelaskannya:

  • Waktu diharuskan membayarnya, ialah sehari atau dua hari sebelum menjelang hari raya (atau pendapat lain, bila masuknya bulan Ramadhan)
  • Waktu afdhal, ialah bermula dari terbit fajar hari raya hingga sebelum menunaikan solat sunat ‘Eidil Fitri, kerana Nabi s.a.w memerintahkan agar menjelaskannya sebelum orang Islam keluar solat. Tidak boleh melewatkannya hingga selesai solat. Jika dilewatkan ianya dikira sebagai satu sedekah biasa dan orang itu berdosa kerana melewatkannya.

Pembahagian Zakat Fitrah

Zakat fitrah dibahagikan kepada golongan fakir dan miskin, kerana mereka merupakan orang yang sangat berhajat kepadanya lebih daripada orang lain.

Sumber: Buku “Rukun Islam” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman. Disaring oleh Kumpulan Web Darulkautsar

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s