Rukun Kelima: Haji

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

HAJI

1) Ta’rif Haji

Haji menurut bahasa Arab ialah qasad untuk menuju ke suatu tempat. Dikatakan: Fulan telah haji ke arah kami yakni dia telah datang menuju kepada kami dan mendatangi kami.

Haji menurut syara’ pula ialah qasad menuju ke Makkah untuk melakukan amalan “nusuk” (ibadat haji) dengan sifat-sifat yang tertentu, pada waktu yang telah ditentukan dengan menurut syarat-syarat yang tertentu.

2) Hukum Mengerjakan Haji

Para ulama’ telah bersepakat (ijma’) bahawa haji telah diwajibkan ke atas umat ini bagi yang mampu melakukannya sekali seumur hidup. Haji merupakan salah satu daripada lima rukun yang dibina asas Islam di atasnya. Firman Allah Ta‘ala:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ – (ال عمران 97)

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya dan siapa yang kufur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari sekalian makhluk”. (Surah Aali ‘Imran, Ayat 97).

Sabda Nabi s.a.w:

بني الإسلام على خمس, شهادة أن لا إله إلا الله, وأن محمدا رسول الله, وإقام الصلاة, وإيتاء الزكاة, وصوم رمضان, وحج بيت الله – متفق عليه

“Islam itu dibina di atas lima rukun: Mengucap syahadah ‘Laa ilaaha illallah, Muhammadur Rasulullah’, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah”. (Muttafaq ‘alaih: Al-Bukhari dan Muslim).

Sabda Nabi s.a.w sewaktu mengerjakan haji yang terakhir (al-wada’):

(يا أيها الناس, إن الله فرض عليكم حج البيت, فحجوا (رواه مسلم.

“Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memfardhukan ke atas kamu mengerjakan haji maka tunaikanlah ibadat haji”. (Hadith Riwayat Muslim).

3) Fadhilat Dan Hikmah Disyariatkan Haji

Fadhilat haji banyak disebut di dalam al-Quran dan al-Hadith, antaranya:

Firman Allah Ta‘ala:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (27) لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ (28) – (الحج: 27-28)

“Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan haji nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan dengan berkenderaan unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi kamu dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka dengan binatang-binatang ternakan”. (Surah Al-Hajj, Ayat 27 & 28).

Ibadat haji mengandungi manfaat yang besar bagi umat Islam seluruhnya, manfaat dunia dan akhirat. Di dalamnya mengandungi beberapa ibadat; tawaf mengelilingi Ka’bah, sa’ie di antara Safa dan Marwah, wuquf di Arafah, di Mina dan di Muzdalifah, melontar Jamrah, bermalam di Mina, sembelih “hadyu” (korban dan dam), cukur kepala dan banyak berzikir kepada Allah. Semuanya dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah, merendahkan diri kepada Allah dan kembali kepada Allah. Kerana inilah ibadah haji merupakan salah satu sebab besar yang boleh menghapuskan dosa dan memasuki syurga.

Daripada Abu Hurairah r.a.katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

(من حج هذا البيت, فلم يرفث, ولم يفسق, رجع من ذنوبه كيوم ولدته أمه (رواه البخاري ومسلم

“Sesiapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan “rafath” (jima’ dan perkara yang berhubung dengannya), tidak melakukan “fusuq” (perbuatan jahat dan keji) dia akan kembali daripada dosanya sebagaimana ia keluar daripada perut ibunya (tidak berdosa)”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Hurairah r.a. sabda Rasulullah s.a.w:

(العمرة إلى العمرة كفارة لما بينهما, والحج المبرور ليس له جزاء إلا الجنة (رواه البخاري ومسلم

“Satu umrah dengan umrah yang lain merupakan “kaffarah” (penghapus dosa) di antara keduanya dan haji yang “mabrur” (yang diterima oleh Allah) tidak ada balasan baginya kecuali syurga”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya:

سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم أي الأعمال أفضل؟ قال: “إيمان بالله ورسوله”. قيل: ثم ماذا ؟ قال: “جهاد في سبيل الله”. قيل: ثم ماذا؟ قال:”حج مبرور” (متفق عليه)

“Rasulullah s.a.w ditanya: “Manakah amalan yang paling afdhal?”. Jawabnya: “Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya”. Kemudian ditanya lagi: “Selepas daripada itu, manakah ibadat yang afdhal?”. Jawabnya: “Berjihad di jalan Allah”. Kemudian ditanya lagi: “Selepas daripada itu, manakah ibadat yang afdhal?”. Jawabnya: “Haji Mabrur”. (Muttafaq ‘alaih).

Dari Abdullah bin Mas‘ud r.a. katanya: Sabda Nabi s.a.w:

تابعو بين الحج والعمرة فإنهما ينقيان الفقر والذنوب, كما ينفي الكير خبث الحديد والذهب والفضة. وليس للحجة المبرورة ثواب إلا الجنة (رواه الترميذي وقال: حديث حسن صحيح

“Ikutilah (ulangilah) di antara haji dan umrah, kerana kedua-duanya menghapuskan kefakiran dan dosa sebagaimana api menghapuskan karat besi, emas dan perak dan tidak ada balasan pahala bagi haji yang mabrur melainkan syurga”. (Hadith Riwayat At-Tirmizi, katanya: Hadith hasan sahih).

Antara manfaat haji; pertemuan sebahagian umat Islam yang datang dari seluruh pelusuk dunia di bumi yang sangat dikasihi oleh Allah. Mereka berkenal-kenalan, tolong menolong di atas melakukan kebaikan dan taqwa, serta mereka berada dalam keadaan yang sama, dalam ucapan, zikir dan amalan. Semua ini menjadi tarbiyah kepada mereka untuk bersatu padu dan berhimpun di atas aqidah, ibadat, tujuan dan cara yang satu. Melalui perhimpunan ini mereka dapat berkenal-kenalan, mendekatkan diri dan bertanya khabar di antara satu sama lain, sebagai melaksanakan firman Allah Ta‘ala:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ – (الحجرات: 13)

“Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, lagi Amat Mendalam Pengetahuan-Nya”. (Surah Al-Hujurat, Ayat 13).

4) Syarat-Syarat Wajib Haji

a) Tidak ada khilaf di kalangan ulama’ bahawa haji diwajibkan setelah cukup lima syarat, iaitu: Islam, berakal, baligh, merdeka dan berkemampuan untuk melakukannya.

Bagi kaum wanita ditambah satu syarat lagi iaitu ada “mahram” (suami atau keluarga terdekat yang haram dinikahi dengannya) yang bermusafir bersama dengannya untuk mengerjakan haji, kerana sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

(لا يحل لأمرأة تؤمن بالله واليوم الأخر, تسافر مسيرة يوم إلا ومعها ذو محرم (متفق عليه

“Tidak halal bagi seorang perempuan yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat bermusafir dalam perjalanan yang jaraknya satu hari perjalanan kecuali bersama mahramnya”. (Muttafaq ‘alaih).

Para ulama’ feqah (fuqaha’) telah membahagikan syarat-syarat ini kepada tiga bahagian:

Pertama: Ada di antaranya yang menjadi syarat wajib haji dan syarat sah haji, iaitu: Islam dan berakal. Orang kafir dan orang gila tidak diwajibkan untuk mengerjakan haji, bahkan tidak sah daripada kedua-duanya, kerana mereka berdua bukan terdiri daripada ahli ibadat.

Kedua: Ada di antaranya yang menjadi syarat wajib dan diterima sebagai haji Islam (fardhu) iaitu: Baligh dan merdeka. Kedua-dua syarat ini bukan menjadi syarat sah haji. Kalau seorang kanak-kanak dan hamba melakukan haji, sah haji mereka tetapi tidak dikira sebagai haji Islam.

KetigaAda yang menjadi syarat wajib sahaja iaitu: Kemampuan. Sekiranya seseorang yang tidak mampu melakukannya dengan penuh kepayahan, bermusafir tanpa bekalan atau tidak berkenderaan, sah hajinya.

b) Hukum mengerjakan haji untuk orang lain.

Tidak ada khilaf di kalangan ulama’ bahawa mereka yang meninggal dunia sebelum mampu untuk menunaikan haji maka gugurlah fardhu haji daripadanya.

Mereka yang meninggal setelah berkemampuan untuk melakukannya adakah gugur tuntutan haji daripadanya atau tidak?

Menurut pendapat yang sahih – insya’ Allah – tuntutan haji tidak gugur daripada mayat tersebut. Keluarganya wajib menunaikan haji untuknya dengan harta peninggalannya, sama ada dia meninggalkan wasiat atau tidak. Tuntutan haji telah tetap ke atasnya sama seperti hutang. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Abbas r.a: Seorang perempuan telah bernazar untuk mengerjakan haji, kemudian perempuan tersebut meninggal dunia sebelum menunaikannya, lalu saudaranya datang bertanya Rasulullah s.a.w tentangnya. Sabda Nabi s.a.w:

(أرأيت لو كان على أختك دين أكنت قاضيه؟ قال: نعم. قال: فاقضوا الله, فهو أحق بالوفاء (رواه النسائي

“Apakah pendapat engkau kalaulah saudara perempuan engkau berhutang, apakah engkau akan menjelaskannya?”. Jawabnya: “Ya”. Sabdanya: “Tunaikanlah (nazarnya) kerana hutang Allah lebih berhak untuk ditunaikan”. (Hadith Riwayat An-Nasa’i).

c) Orang yang belum menunaikan haji untuk dirinya, bolehkah dia melakukan haji untuk orang lain?

Menurut pendapat yang sahih tidak boleh melakukan haji untuk orang lain sebelum menunaikan haji untuk dirinya. Berdasarkan hadith yang masyhur:

أن النبي صلى الله عليه وسلم سمع رجلا يقول: لبيك عن شبرمة. قال: ومن شبرمة؟. قال: أخ لي, أو قريب لي. فقال عليه الصلاة والسلام: حججت عن نفسك؟ قال: لا. قال: حج عن نفسك, ثم حج عن شبرمة (رواه أحمد وأبو داود وإبن ماجه والبيهقي وصححه

Nabi s.a.w telah mendengar seorang lelaki berkata: “Labbaika ‘an Syubrumah‟ [saya datang menyahut seruan-Mu (ya Allah) sebagai ganti daripada Syubrumah]. Nabi bertanya: “Siapakah Syubrumah itu?”. Jawabnya: “Saudara saya atau keluarga saya”. Nabi s.a.w bertanya lagi: “Sudahkah engkau menunaikan haji untuk dirimu?”. Jawabnya: “Belum”. Sabda Nabi s.a.w: “Tunaikan haji untuk dirimu dahulu kemudian kerjakan haji untuk Syubrumah”. (Hadith Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Baihaqi serta men”tashih”kannya).

Menurut pendapat yang sahih, boleh mengerjakan haji untuk orang yang uzur yang tidak mampu mengerjakan haji dengan sendiri, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Fadl bin ‘Abbas r.a.:

… أن امرأة من خثعم قالت: يا رسول الله! إن فريضة الله على عباده في الحج أدركت أبي شيخا كبيرا, لا يثبت على الراحلة, أفأحج عنه؟ قال: نعم)). وذلك في حجة الوداع (متفق عليه, واللفظ للبخاري

“…Seorang wanita daripada Bani Khath’am berkata: ‘Wahai Rasulullah, Allah telah memfardhukan ibadat haji ke atas hamba-hamba-Nya. Bapa saya sangat tua dan tidak boleh duduk di atas kenderaan, bolehkah saya mengerjakan haji untuknya?”. Jawab Nabi s.a.w: “Boleh”. Peristiwa tersebut berlaku sewaktu Nabi mengerjakan Hajjatul Wada’ (haji terakhir). (Muttafaq ‘alaih, lafaz hadith dari al-Bukhari).

d) Adakah wajib dikerjakan haji (bagi orang yang mampu) secara segera atau boleh ditangguhkan?

Menurut pendapat ulama’ yang “rajih” (paling kuat) – insya’ Allah – haji wajib ditunaikan dengan segera apabila telah cukup syarat-syaratnya, berdasarkan umum firman Allah Ta‘ala:

  وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا – (ال عمران: 97)

“Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya”. (Surah Aali ‘Imran, Ayat 97).

Firman Allah Ta‘ala:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 196).

Tersebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a., sabda Nabi s.a.w:

تعجلوا إلى الحج, -يعني الفريضة-, فإن أحدكم لا يدري ما يعرض له رواه أبو داود وأحمد والحاكم وصححه

 “Segeralah menunaikan haji -yakni yang fardhu- kerana seseorang kamu tidak mengetahui apa yang akan menimpanya”. (Hadith Riwayat Abu Daud, Ahmad dan al-Hakim serta mentashihnya).

5) Rukun-Rukun Haji.

Terdapat empat rukun dalam ibadat haji:

  • Ihram (niat mengerjakan haji).
  • Wuquf di Arafah.
  • Tawaf Ifadhah (ziarah).
  • Sa‘ie di antara Safa dan Marwah.

Rukun haji mesti dikerjakan. Tidak sah haji seseorang itu jika dia meninggalkannya.

a) Rukun pertama: Ihram.

Ta’rif Ihram: Ihram ialah niat memasuki ibadah nusuk (haji atau umrah).

Miqat untuk ihram haji ada dua jenis; miqat zamani dan miqat makani.

“Miqat Zamani” (masa untuk berniat haji): Ialah dalam bulan haji, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ – (البقرة: 197)

“Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 197).

Iaitu bulan Syawal, Zulqai’dah dan Zulhijjah.

“Miqat Makani” (tempat berihram haji): Ialah sempadan tempat berniat haji bagi orang yang ingin mengerjakannya. Tidak boleh melintasinya dengan tidak berihram.

“Miqat makani” ada lima tempat:

  1. Zulhulaifah. Sekarang dikenali dengan nama Abar ‘Ali, iaitu miqat bagi penduduk Madinah. Jauhnya daripada Makkah ialah 336 km atau 224 batu.
  2. Al-Juhfah. Iaitu sebuah kampung yang terletak berdekatan dengan laut merah, jaraknya 10km. Jauhnya daripada Makkah ialah 180km atau 120 batu. Miqat ini untuk penduduk Mesir, Syam (Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan) dan Maghribi (Morocco) juga penduduk yang berada selepas daripadanya, daripada penduduk Andalus dan Rom. Pada zaman ini para jemaah haji berniat di Rabigh, kerana ia berbetulan dengan al-Juhfah
  3. Yalamlam. Sekarang dikenali dengan nama As-Sa’diyyah, terletak di salah sebuah bukit Tihamah. Jauhnya dari Makkah ialah 72km atau 48 batu. Miqat ini untuk penduduk Yaman, Jawa (Nusantara), India dan China.
  4. Qarnul Manazil. Sekarang ini dikenali dengan nama As-Sail al-Kabir. Jauhnya daripada Makkah ialah 72km atau 48 batu. Miqat ini untuk penduduk Najd dan Taif.
  5. Zatu ‘Irqin. Sekarang dinamakan dengan Ad-Dharibah. Dinamakan demikian kerana terdapat sebuah bukit kecil di tempat tersebut. Jauhnya dari Makkah 72km atau 48 batu. Miqat ini untuk penduduk di sebelah Timur, Iraq dan Iran.

Inilah “miqat makani” yang menjadi sempadan bagi mereka yang mengerjakan haji atau umrah. Mereka tidak boleh melintasinya tanpa berniat ihram.

Rasulullah s.a.w telah menjelaskannya sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas r.a., katanya:

وقت رسول الله صلى الله عليه وسلم لأهل المدينة ذا الحليفة, ولأهل الشام الجحفة, ولأهل نجد قرن المنازل, ولأهل اليمن يلملم, هن لهن ولمن أتى عليهن من غير أهلهن, ممن أراد الحج أو العمرة. ومن كان دون ذلك فمن حيث أنشأ, حتى أهل مكة من مكة متفق عليه. ولمسلم من حديث جابر – رضي الله عنه – : مهل أهل العراق ذات عرق

“Rasulullah s.a.w telah menjadikan Zulhulaifah miqat bagi penduduk Madinah, Juhfah bagi penduduk Syam, Qarnul Manazil bagi penduduk Najd dan Yalamlam bagi penduduk Yaman. Miqat tersebut untuk penduduk di kawasan tersebut dan orang yang melaluinya bagi penduduk yang datang dari tempat lain yang ingin mengerjakan haji atau umrah. Bagi penduduk yang berada selepas miqat maka tempat berihram ialah di tempat mereka ingin berniat. Penduduk Makkah berniat di Makkah”. (Muttafaq ‘alaih).

Menurut riwayat Muslim daripada hadith Jabir  r.a.:

“Miqat penduduk Iraq ialah Zatu ‘Irqin”

Mereka yang tidak melalui salah satu daripada miqat tersebut, maka hendaklah dia berniat ihram apabila melalui kawasan yang bertentangan dengan kawasan yang hampir dengan miqat yang telah ditetapkan.

Demikian juga bagi orang yang menaiki kapal terbang, maka hendaklah dia berniat ihram apabila melintasi udara di atas miqat. Dia tidak boleh melewatkan ihram hingga sampai di lapangan terbang Jeddah, sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian jemaah haji. Hal ini kerana Jeddah bukan miqat, kecuali bagi penduduk yang tinggal di Jeddah atau mereka yang baru berazam untuk mengerjakan haji atau umrah sewaktu sampai di Jeddah. Sesiapa yang berihram di tempat lain selain daripada salah satu miqat yang ditetapkan maka dia telah meninggalkan satu perkara daripada wajib haji, iaitu berihram di miqat. Maka dia wajib membayar “fidyah” (dam).

Demikian juga mereka yang melintasi miqat dengan tidak berihram. Wajib ke atasnya kembali semula ke arah miqat tersebut. Jika dia tidak kembali semula dan berihram selepas daripadanya maka wajib ke atasnya fidyah, iaitu menyembelih seekor kambing atau satu bahagian daripada tujuh bahagian unta atau lembu, lalu dibahagi-bahagikan kepada orang miskin di Tanah Haram. Dia tidak boleh makan walaupun sedikit daripadanya.

Sifat (Cara-cara) Ihram

Disunatkan sebelum berihram agar bersiap sedia untuknya. Antaranya ialah mandi, membersihkan diri, mencukur misai dan bulu yang diharuskan mencukurnya dan memakai bauan di badan. Bagi orang lelaki hendaklah menukar pakaian yang berjahit dengan memakai dua helai kain yang berwarna putih dan bersih.

Menurut pendapat yang paling sahih tidak ada solat khas untuk berihram, sekiranya berkebetulan dengan waktu solat fardhu berihramlah selepas solat tersebut, kerana Nabi s.a.w berihram selepas solat. Kemudian pilihlah untuk berihram dengan salah satu daripada tiga jenis haji, sama ada tamattu’, qiran atau ifrad.

Haji Tamattu’: Iaitu berihram umrah dalam bulan haji dan menyempurnakan umrah tersebut, kemudian berihram haji pada tahun yang sama.

Haji Qiran: Iaitu berihram umrah dan haji secara serentak, atau berihram umrah kemudian berniat memasukkan haji ke atasnya sebelum memulakan tawaf. Berniat umrah dan haji di miqat, atau sebelum memulakan tawaf umrah, kemudian melakukan tawaf dan sa‘ie untuk kedua-duanya.

Haji Ifrad: Iaitu berihram haji sahaja di miqat dan kekal berada dalam ihramnya sehinggalah selesai menunaikan amalan haji.

Orang yang mengerjakan haji tamattu’ dan qiran dikenakan fidyah (dam) sekiranya mereka bukan dari kalangan penduduk Makkah .

Para ulama’ berbeza pendapat tentang “nusuk” (haji) yang manakah paling afdhal. Menurut sebahagian ulama’ yang sangat teliti kajiannya, haji yang afdhal ialah tamattu’.

Kemudian, setelah selesai berihram dengan salah satu daripada tiga jenis haji ini hendaklah bertalbiyah selepas berniat ihram dan ucapkanlah:

لبيك اللهم لبيك, لبيك لا شريك لك لبيك

إن الحمد والنعمة لك والملك, لا شريك لك

“Ku sambut seruan-Mu ya Ilahi, ku sambut seruan-Mu. Ku sambut seruan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, ku sambut seruan-Mu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kerajaan adalah milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu” .

Banyakkan bertalbiyah, bagi orang lelaki bertalbiyahlah dengan suara yang lantang.

Perkara-perkara yang dilarang dengan sebab ihram, sembilan perkara:

Larangan semasa ihram

Pertama: Mencabut bulu di badan, sama ada dengan bercukur atau sebagainya, kerana firman Allah Ta‘ala:

وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّى يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ – (البقرة: 196)

“Dan jangan kamu mencukur kepala kamu sebelum hadyu (binatang sembelihan) sampai di tempat penyembelihannya”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 196).

Kedua: Mengerat kuku, kerana perbuatan ini menjadikan seseorang berhiashukumnya seperti mencabut bulu, kecuali ada keuzuran maka harus mengeratnya seperti hukum bercukur di atas.

KetigaMenutup kepala, kerana Rasulullah s.a.w melarang orang berihram memakai serban. Juga sabda Nabi s.a.w mengenai seorang yang sedang berihram yang telah dilanggar oleh binatang tunggangannya:

(ولا تخمر رأسه فإنه يبعث يوم القيامة ملبيا (رواه البخاري ومسلم من حديث ابن عباس –رضي الله عنهما

“Jangan kamu tutup kepalanya, kerana dia akan dibangkitkan pada Hari Kiamat dalam keadaan bertalbiyah”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu ‘Abbas r.a.

Kata Ibnu Umar r.a:

(إحرام الرجل في رأسه, وإحرام المرأة في وجهها ( رواه البيهقي بإسناد جيد

“Ihram orang lelaki ialah di kepalanya dan ihram orang perempuan ialah di mukanya”. (Hadith Riwayat Al-Baihaqi, sanadnya baik).

Keempat: Memakai pakaian yang berjahit yang melingkungi badan dan memakai khuf (stokin tebal yang diperbuat daripada kulit). Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w ditanya: Apakah pakaian ihram orang lelaki? Sabdanya:

لا يلبس المحرم القميص, ولا العمامة, ولا البرانس, ولا السراويل, ولا ثوبا مسه ورس, ولا زعفران, ولا الخفين, إلا أن لا يجد نعلين فليقطعهما, حتى يكونا أسفل من الكعبين (رواه البخاري ومسلم

 “Orang (lelaki) yang berihram tidak boleh memakai baju, serban, jubah, seluar, pakaian yang terkena wars (wangian) dan za’faran, juga tidak boleh memakai khuf kecuali jika dia tidak mempunyai selipar, hendaklah dia memotongnya hingga berada di bawah buku lali”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Kelima: Memakai wangian. Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Safwan bin Ya’la bin Umayyah: Nabi s.a.w mengarahkan seorang lelaki agar membasuh (menghilangkan) wangian”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sabda Nabi s.a.w mengenai seorang yang sedang berihram yang telah dilanggar oleh binatang tunggangannya:

لا تحنطوه

رواه البخاري ومسلم من حديث ابن عباس

ولمسلم : ولا تمسوه بطيب

“Jangan kamu pakaikan wangian kepadanya…”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menurut riwayat Muslim: “Jangan kamu kenakan wangian kepadanya”.

Haram bagi orang yang berihram selepas berniat ihram memakai wangian di badannya atau mengenakan sedikit wangian, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. di atas.

Keenam: Membunuh binatang buruan di darat. Berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنْتُمْ حُرُمٌ – (المائدة: 95)

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram”. (Surah Al-Maidah, Ayat 95).

Haram menangkapnya walaupun dengan tidak membunuh atau melukakannya, berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ الْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًا – (المائدة: 96)

“Dan diharamkan ke atas kamu (menangkap) binatang buruan di darat selama kamu berada dalam ihram”. (Surah Al-Maidah, Ayat 96).

Ketujuh: Akad nikah. Orang yang berihram tidak boleh berkahwin dan tidak boleh mengahwinkan orang lain, sama ada sebagai wali atau wakil, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Usman r.a. daripada Nabi s.a.w:

(لا ينكح المحرم, ولا ينكح, ولا يخطب (رواه مسلم

“Orang berihram tidak boleh berkahwin, tidak boleh dikahwinkan dan tidak boleh meminang”. (Hadith Riwayat Muslim).

Kelapan: Melakukan jima’. Berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ – (البقرة: 197)

“Sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji, maka tidak boleh melakukan “rafath” (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi atau menyetubuhi isteri)”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 197).

Kata Ibnu ‘Abbas r.a.: maksud “rafath” ialah jima’, dalilnya firman Allah Ta‘ala:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ – (البقرة: 187)

“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa, rafath dengan isteri-isteri kamu”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 187). Yakni; melakukan jima’.

KesembilanBerseronok (bukan jima’) dengan isteri dengan perasaan ghairah, dengan melakukan kucupan atau menyentuhnya. Demikian juga memandangnya dengan syahwat, kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada persetubuhan yang diharamkan maka hukumnya haram.

Kaum wanita sama hukumnya dengan lelaki kecuali beberapa perkara:

Ihram wanita di mukanya. Haram baginya menutup muka dengan memakai penutup muka atau topeng atau lainnya. Haram bagi mereka memakai sarung tangan, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. daripada Nabi s.a.w: antaranya disebut:

(ولا تنتقب المرأة المحرمة, ولا تلبس القفازين – (رواه البخاري

“Wanita yang berihram tidak boleh menutup muka dan memakai sarung tangan”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari).

Kata Ibnu Umar r.a.:

(إحرام المرأة في وجهها (رواه البيهقي بإسناد جيد

“Ihram orang perempuan di mukanya”. (Hadith Riwayat Al-Baihaqi, sanadnya baik).

Juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aishah r.ha. katanya:

كان الركبان يمرون بنا, ونحن مع رسول الله صلى الله عليه وسلم محرمات, فإذا حاذوا بنا سدلت إحدانا جلبابها من رأسها على وجهها, فإذا جاونا كشفناه (رواه أبو داود وابن ماجه وأحمد وسنده حسن)

 “Para penunggang kenderaan lalu berdekatan dengan kami, sedang kami berihram bersama dengan Rasulullah s.a.w. Apabila mereka melintasi kami salah seorang daripada kami melabuhkan jilbab (tudung)nya dari atas kepala menutupi mukanya dan apabila mereka telah pergi jauh maka kami membukanya”. (Hadith Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad, sanadnya hasan).

Haram bagi kaum wanita melakukan perkara-perkara yang diharamkan ke atas lelaki, seperti mencabut bulu, mengerat kuku, membunuh binatang perburuan dan seumpamanya, kerana mereka juga termasuk di dalam sabda Nabi s.a.w secara umum. Kecuali memakai pakaian berjahit yang membalut badan, memakai khuf (kasut) dan menutup kepala.

b) Rukun kedua: Wuquf di Arafah.

Sabda Nabi s.a.w:

(الحج عرفة (رواه أحمد وأصحاب السنن

 “Haji itu ialah berwuquf di Arafah”. (Hadith Riwayat Ahmad dan Ashab as-Sunan).

c) Rukun ketiga: Tawaf Ifadhah.

Firman Allah Ta‘ala:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ – (الحج: 29)

“Dan hendaklah mereka melakukan tawaf di Baitullah al-‘atiq’. (Surah Al-Hajj, Ayat 29)

d) Rukun keempat: Sa‘ie.

Sabda Nabi s.a.w:

(اسعوا فإن الله كتب عليكم السعي (رواه الإمام أحمد والبيهقي

 “Lakukanlah sa‘ie, kerana Allah Ta‘ala telah mewajibkan ke atas kamu melakukan sa‘ie”. (Hadith Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).

6) Wajib Haji.

Amalan yang wajib dilakukan dalam haji ada tujuh perkara:

a) Berihram (berniat) di Miqat.

b) Wuquf di Arafah hingga terbenam matahari, bagi mereka yang berwuquf di siang hari.

c) Bermalam (“mabit”) di Muzdalifah.

d) Bermalam (“mabit”) di Mina pada malam-malam hari Tasyriq (11, 12 dan 13).

e) Melontar tiga Jamrah.

f) Bercukur atau bergunting.

g) Tawaf Wada’.

7) Sifat (Cara mengerjakan) Haji

Disunatkan bagi orang yang ingin mengerjakan haji mandi seperti mandi junub, memakai wangian di badannya, seperti di kepala dan janggut serta memakai dua helai kain yang berwarna putih.

Bagi orang perempuan, boleh memakai apa saja pakaian dengan syarat pakaian yang dipakai itu tidak menampakkan perhiasan dan bukan bertujuan untuk berhias.

Kemudian apabila sampai di miqat, tunaikan solat fardhu, sekiranya berkebetulan dengan waktunya, untuk berihram selepasnya. Jika sekiranya bukan waktu solat fardhu, solatlah dua rakaat dengan niat sunat wudhu’ bukan dengan niat sunat ihram, kerana tidak sabit daripada Nabi s.a.w ada solat sunat khas untuk ihram.

Apabila telah selesai daripada mengerjakan solat, niatlah untuk memasuki “nusuk” (haji atau umrah).

Jika ingin melakukan haji tamattu’ maka ucaplah: “Labbaikallahumma Umrah” (kami datang menyahut seruan-Mu ya Allah dengan mengerjakan umrah).

Kalau haji ifrad ucaplah: “Labbaikallahumma Hajjan” (kami datang menyahut seruan-Mu ya Allah dengan mengerjakan haji).

Kalau haji qiran, ucaplah: “Labbaikallahumma Hajjan wa Umrah” (kami datang menyahut seruan-Mu ya Allah dengan mengerjakan haji dan umrah).

Bagi orang lelaki hendaklah meninggikan suaranya. Manakala orang perempuan hendaklah mengucapnya dengan suara perlahan. Jemaah haji disunatkan banyak bertalbiyah sewaktu berada dalam ihram.

Apabila sampai di Makkah, mulakan amalan haji dengan melakukan tawaf. Dimulakan dari Hajar Aswad dan jadikan Ka’bah berada di sebelah kirinya. Pergilah ke Hajar Aswad dan mengucupnya atau menyentuhnya dengan tangan kanan jika boleh melakukannya dengan mudah tanpa menyakitkan orang lain, atau memadai dengan mengisyaratkan (melambaikan) kepadanya dan bertakbir, kemudian ucaplah:

اللهم إيمانا بك, وتصديقا بكتابك, ووفاء بعهدك, واتباعا لسنة نبيك صلى الله عليه وسلم

“Ya Allah, kami bertawaf kerana beriman kepada-Mu, membenarkan isi kandungan Kitab-Mu, menunaikan janji-Mu dan mengikuti sunnah Nabi-Mu s.a.w”.

Lakukan tawaf sebanyak tujuh pusingan. Apabila melalui Rukun Yamani sentuhlah padanya tanpa mengucupkannya.

Antara sunat-sunat ketika tawaf ialah “ramal”- iaitu berjalan cepat dengan langkahan yang pendek – (bagi orang lelaki), pada tiga pusingan yang awal, sewaktu melakukan tawaf qudum (selamat sampai). Ini berdasarkan hadith Ibnu Umar r.a:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا طاف الطواف الأول خب ثلاثا, ومشى أربعا

“Rasulullah (s.a.w) sewaktu melakukan tawaf yang pertama, Baginda berjalan cepat pada tiga pusingan pertama dan berjalan biasa pada empat pusingan yang seterusnya”. (Muttafaq ‘alaih).

Antara sunat tawaf juga ialah “idhtiba’ “- iaitu meletakkan kain ihram di bawah ketiak sebelah kanan dan meletakkan sebelahnya lagi di atas bahu kiri, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas r.a:

اضطبع رسول الله صلى الله عليه وسلم هو وأصحابه, ورملوا ثلاثة أشواط

“Rasulullah s.a.w serta para Sahabatnya telah beridhtiba’ dan ramal (berjalan cepat dengan langkahan yang pendek) pada tiga pusingan pertama”.

“Idhtiba’ “sunat dilakukan sewaktu mengerjakan tujuh pusingan tawaf sahaja. Tidak disunatkan sebelum tawaf dan juga selepasnya.

Berdoalah ketika bertawaf dengan doa (permintaan) yang dihajatinya, dengan penuh khusyu’ dan hati yang tenang.

Ucaplah di antara Rukun Yamani dan Hajar Aswad:

رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ – (البقرة: 201)

“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharakanlah kami dari seksaan api neraka”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 201).

Terikat dengan bacaan tertentu (seperti dalam buku yang ditulis) untuk setiap pusingan tidak ada dalil daripada sunnah Rasulullah s.a.w, bahkan ia merupakan suatu bid‘ah.

Tawaf ada tiga jenis: Ifadhah, Qudum dan Wada’

Yang pertama (“Ifadhah”) adalah rukun haji, yang kedua (“Qudum”) sunat dan yang ketiga (“Wada’ ‟) wajib haji menurut pendapat yang “rajih” (kuat).

Apabila selesai mengerjakan tawaf, tunaikanlah solat sunat tawaf dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim, walaupun jauh daripadanya. Bacalah pada rakaat pertama: Surah al-Fatihah dan (قل يا أيها الكافرون) “Qul ya ayyuhal kafirun…” (Surah al-Kafirun) dan rakaat kedua: Surah al-Fatihah dan: (قل هو الله أحد) “Qul huwallahu ahad…” (Surah al-Ikhlas). Sunat melakukannya secara ringkas sahaja sebagaimana yang disebut dalam hadith.

Kemudian lakukanlah sa’ie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh pusingan. Dimulai daripada Safa dan diakhiri dengan Marwah.

Apabila sampai di Safa, disunatkan membaca:

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا وَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ – (البقرة: 158)

“Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar Allah, maka sesiapa yang melakukan haji ke Baitullah atau berumrah tidak ada dosa baginya mengerjakan sa‘ie antara keduanya dan sesiapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 158). “Saya mulakan dengan permulaan yang disebut oleh Allah”.

Kemudian naiklah ke atas bukit Safa seraya menghadapkan muka ke arah kiblat, mengangkat kedua belah tangan, mengesakan Allah, bertakbir dan memuji-Nya, serta ucaplah:

الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, لا إله إلا الله وحده لا شريك له, له الملك, وله الحمد, يحي ويميت, وهو على كل شيء قدير, لا إله إلا الله وحده, أنجز وعده, ونصر عبده, وهزم الأحزاب وحده

 “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian, menghidupkan dan mematikan dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Allah telah menepati janji-Nya dan membela hamba-Nya dan mengalahkan tentera musuh dengan sendiri-Nya”.

Kemudian berdoalah dengan perkara yang dihajatinya daripada kebaikan dunia dan akhirat, serta mengulanginya sebanyak tiga kali.

Kemudian turun menuju ke arah Marwah. Sunat bagi orang lelaki berlari-lari anak di antara dua tanda hijau, sekiranya mudah dan tidak menyakiti orang lain.

Apabila sampai di Marwah naiklah ke atasnya, dengan menghadap muka ke arah kiblat dan mengangkat kedua belah tangan serta ucaplah seperti bacaan di Safa.

Sekiranya doa ini dibaca ketika sa‘ie, ada baiknya:

رب اغفر وارحم إنك أنت الأعز الأكرم

“Wahai Tuhan, ampunilah dan berikanlah rahmat. Sesungguhnya Engkau sangat Mulia lagi Maha Pemurah”. Kerana telah sabit bacaan ini daripada Ibnu Umar dan Ibnu Mas’ud r.hum.

Disunatkan berwudhu’ sewaktu melakukan sa’ie, tetapi jika seseorang itu melakukan sa’ie tanpa wudhu’ sah sa‘ienya. Demikian juga perempuan haidh sah sa‘ienya kerana wudhu’ tidak termasuk dalam syarat sah sa‘ie.

Setelah selesai daripada sa‘ie, guntinglah rambut sekiranya ia melakukan haji tamattu’, iaitu dengan menggunting seluruh rambut di kepalanya. Bagi orang perempuan digunting rambutnya sekadar seruas jari.

Jika seseorang itu melakukan haji qiran atau haji ifrad maka hendaklah dia kekal berada dalam ihram sehingga sampai waktu “tahallul” (buka ihram) pada Hari Raya Korban selepas melontar Jamrah Aqabah.

Pada hari kelapan Zulhijjah (hari Tarwiyah), orang yang bertamattu’ hendaklah kembali berihram haji pada pagi hari tersebut. Demikian juga bagi penduduk Makkah yang ingin mengerjakan haji. Lakukan ketika hendak berihram sama seperti mula-mula berihram, seperti mandi, bersihkan diri dan lainnya. Tidak disunatkan pergi ke Masjidil Haram untuk berihram, kerana tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. Baginda tidak mengarahkan Sahabatnya berbuat demikian, sepanjang pengetahuan kami.

Tersebut dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada hadith yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. bahawa Nabi s.a.w telah bersabda kepada Sahabatnya yang melakukan haji tamattu’:

(أقيموا حلالا, حتى إذا كان يوم الترؤية فأهلوا بالحج… (الحديث

“Tinggallah kamu dalam keadaan halal (bebas daripada larangan ihram) hingga apabila hari Tarwiyah maka berihramlah dengan haji…”, al-Hadith.

Menurut riwayat Muslim daripada Jabir r.a. juga, katanya:

أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم لما أهللنا أن نحرم إذا توجهنا إلى منى, فأهللنا من الأبطح

 “Rasulullah s.a.w menyuruh kami berihram sewaktu kami ingin ke Mina, maka kami berihram di Abtah”.

Orang yang mengerjakan haji tamattu’ hendaklah mengucapkan ketika berihram haji:

“Labbaika Hajjan”. ( لبيك حجا )

Disunatkan keluar ke Mina dan melakukan solat zuhur, asar, maghrib dan isya’ secara qasar dengan tidak jama’ di sana. Disunatkan bermalam di Mina pada malam Arafah, berdasarkan hadith Jabir yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Apabila naik matahari pada hari Arafah (9 Zulhijjah), berjalanlah menuju ke Arafah. Disunatkan berhenti di Namirah hingga “zawal” (matahari condong ke barat) kalau mampu melakukannya, kerana Rasulullah s.a.w melakukannya dan sekiranya susah tidak menjadi sebarang masalah, duduklah di mana-mana bahagian bumi Arafah dan tunaikan solat – setelah “zawal”- zuhur dan asar dua rakaat- dua rakaat dijama’kan keduanya, kemudian berwuquflah di Arafah.

Tempat yang afdhal ialah duduk di belakang bukit Rahmah menghadap ke arah kiblat sekiranya boleh dan kalau tidak, hadaplah ke arah kiblat walau pun membelakangi bukit.

Disunatkan menggunakan sepenuh masa untuk berzikir, berdoa, bertaubat, membaca al-Quran, dengan mengangkat kedua tangan, berdasarkan hadith Usamah r.a. katanya:

كنت رديف النبي صلى الله عليه وسلم بعرفات, فرفع يديه يدعو, فمالت به ناقته فسقط خطامها, فتناول خطامها بإحدى يديه, وهو رافع يده الأخرى (رواه النسائي

وفي صحيح مسلم: لم يزل وافقا يدعو حتى غابت الشمس وذهبت الصفرة

“Saya berada di belakang Nabi s.a.w di atas unta pada hari Arafah. Baginda mengangkat kedua tangannya berdoa, unta pun bergerak lalu jatuhlah tali kekangnya, Baginda pun mengambilnya dengan sebelah tangannya sedang yang sebelah lagi diangkatnya”. (Hadith Riwayat An-Nasa’i).

Menurut riwayat Muslim: “Baginda terus berdiri dan berdoa hingga terbenam matahari dan hilang cahaya kuning”.

Doa pada hari Arafah ialah sebaik-baik doa

Sabda Nabi s.a.w:

خير الدعاء دعاء يوم عرفة, وخير ما قلت أنا والنبيون من قبلي: لا إله إلا الله وحده لا شريك له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير (رواه مسلم.

“Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah:

لا إله إلا الله وحده لا شريك له, له الملك, وله الحمد, وهو على كل شيء قدير

 “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu”. (Hadith Riwayat Muslim).

Hendaklah menzahirkan rasa lemah, berhajat dan tunduk kepada Allah. Jangan sekali-kali melepaskan peluang keemasan yang besar ini, sabda Nabi s.a.w:

ما من يوم أكثر من أن يعتق الله فيه عبدا من النار من يوم عرفة, وإنه ليدنو ثم يباهي بهم الملائكة, فيقول: ما أراد هؤلاء (رواه مسلم

“Tidak ada suatu hari yang paling ramai Allah memerdekakan hambanya daripada api neraka selain dari hari Arafah, kerana pada hari itu Allah hampir kepada hamba-Nya dan berbangga dengan hamba-Nya kepada para malaikat. Allah berfirman: “Apakah yang dikehendaki oleh mereka itu? ”. (Hadith Riwayat Muslim).

Wuquf di Arafah adalah rukun haji. Wuquf hingga terbenam matahari adalah wajib haji. Wajib juga bagi setiap jemaah haji memastikan bahawa mereka betul-betul berada di bumi Arafah, kerana ramai di kalangan jemaah tidak mengambil berat tentang sempadan Arafah, lantas mereka berwuquf di luar kawasan Arafah dan mengakibatkan mereka yang melakukan sedemikian tidak mendapat haji.

Setelah terbenam matahari berangkatlah menuju ke Muzdalifah dengan keadaan tenang, kerana sabda Rasulullah s.a.w:

(أيها الناس, السكينة, السكينة! (رواه مسلم

“Wahai manusia: Bertenang! Bertenang!”. (Hadith Riwayat Muslim).

Setelah sampai di Muzdalifah, tunaikanlah solat maghrib dan isya’ secara “jama’ ta’khir”, maghrib tiga raka‘at dan isya’ dua raka’at. Sunat bagi jemaah haji tidak melakukan solat maghrib dan isya’ kecuali di Muzdalifah sebagai mengikuti perbuatan Rasulullah s.a.w, kecuali kalau dikhuatiri terlewat sampai hingga keluar waktu isya’ maka pada ketika itu solatlah di mana-mana tempat yang boleh.

Ber”mabit”lah (tidurlah) di Muzdalifah dengan tidak melakukan ibadat solat atau lainnya, kerana Nabi s.a.w tidak melakukannya, menurut riwayat Muslim daripada Jabir r.a.:

أن النبي صلى الله عليه وسلم أتى المزدلفة, فصلى بها المغرب والعشاء, بإذان واحد وإقامتين, ولم يسبح بينهما شيئا, ثم اضطجع حتى طلع الفجر (مسلم

“Nabi s.a.w tatkala sampai di Muzdalifah, Baginda menunaikan solat maghrib dan isya’ dengan satu azan dan dua kali iqamat. Baginda tidak melakukan solat sunat rawatib di antara dua solat, kemudian Baginda tidur hingga terbit fajar”.

Harus bagi orang yang uzur dan lemah berangkat dari Muzdalifah menuju ke Mina selepas setengah malam untuk melontar Jamrah Aqabah. Adapun orang yang sihat dan tidak bersama dengan golongan yang lemah hendaklah berada di Muzdalifah hingga terbit fajar.

Perbuatan kebanyakan orang sekarang berebut-rebut untuk melontar waktu malam bagi mengelakkan kesesakan bercanggah dengan petunjuk dan ajaran Rasulullah s.a.w.

Setelah selesai menunaikan solat fajar di Muzdalifah, berwuquflah di “al-Masy‘aril Haram” (Muzdalifah) dengan menghadap ke arah kiblat dan berdoa kepada Allah dengan doa yang banyak serta mengangkat kedua tangannya hingga betul-betul cerah.

Sah wuquf (berada) di mana-mana pun di bumi Muzdalifah, kerana sabda Nabi s.a.w:

(وقفت ها هنا, وجمع كلها موقف (رواه مسلم

“Saya berwuquf di sini dan Jam’ (Muzdalifah) semuanya tempat wuquf”. (Hadith Riwayat Muslim).

Kemudian berangkatlah menuju ke Mina sebelum naik matahari hari raya. Lontarlah Jamrah Aqabah – iaitu Jamrah besar yang paling hampir dengan Makkah –  dengan tujuh biji anak batu. Saiz setiap biji batu adalah besar sedikit daripada kacang tanah.

أنه انتهى إلى الجمرة الكبرى, فجعل البيت عن يساره, ومنى عن يمينه, ورمى بسبع, وقال: هكذا رمى الذي أنزل عليه سورة البقرة ( متفق عليه

Telah sepakat para ulama’ mengatakan harus melontar dari semua sudut, yang afdhalnya menjadikan Ka’bah berada di sebelah kirinya dan Mina di sebelah kanannya, berdasarkan hadith Ibnu Mas‘ud r.a.:

“Setelah sampai di Jamrah Aqabah, beliau menjadikan Ka’bah berada di sebelah kirinya dan Mina di sebelah kanannya serta melontar dengan tujuh biji batu dan berkata: “Demikianlah orang yang turun ke atasnya Surah al-Baqarah (Rasulullah s.a.w)  melontar”. (Muttafaq ‘alaih).

Tidak harus melontar dengan batu yang besar, kasut dan selipar.

Waktu untuk bertalbiyah tamat dengan melontar Jamrah Aqabah.

Menurut sunnah, jemaah haji hendaklah melontar dahulu, kemudian menyembelih “hadyu” (dam) sekiranya dia mengerjakan haji tamattu’ atau qiran, kemudian bercukur atau bergunting. Bercukur lebih afdhal bagi lelaki, kerana Nabi s.a.w mendoakan bagi orang yang bercukur dengan rahmat dan keampunan sebanyak tiga kali dan sekali sahaja bagi orang yang bergunting, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Kemudian pergilah ke Makkah untuk melakukan tawaf ifadhah.

Inilah sunnah Rasulullah s.a.w berdasarkan hadith Jabir bin Abdullah r.a., katanya:

أن النبي صلى الله عليه وسلم أتى الجمرة التى عند الشجرة, فرماها بسبع حصيات, يكبر مع كل حصاة منها, مثل حصى الخذف, رمى من بطن الوادي, ثم انصرف إلى المنحر فنحر, ثم ركب رسول الله صلى الله عليه وسلم, فأفاض إلى البيت فصلى بمكة الظهر

“Nabi s.a.w datang ke Jamrah yang berdekatan dengan pokok (Jamrah ‘Aqabah). Baginda melontarnya dengan tujuh biji batu. Baginda bertakbir setiap kali melontar. Ukuran biji batu lontaran besar sedikit daripada kacang tanah. Baginda melontarnya dari lembah (wadi) kemudian berpaling menuju ke tempat sembelihan dan menyembelih hadyu kemudian Baginda menaiki kenderaannya ke Makkah melakukan tawaf ifadhah dan menunaikan solat zuhur di Makkah”.

Sesiapa yang mendahulukan salah satu amalan daripada empat amalan tersebut (melontar, bercukur atau bergunting, sembelih hadyu dan tawaf) di atas yang lain, tidak menjadi kesalahan ke atasnya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Umar r.a. yang menceritakan perjalanan haji wada’:

وقف رسول الله صلى الله عليه وسلم والناس يسألونه, قال: “فما سئل رسول الله يومئذ عن شيء قدم أو اخر إلا قال: افعل ولا حرج

“Rasulullah s.a.w berdiri dan orang ramai bertanya kepadanya. Tidak ada satu soalan yang berhubung dengan amalan hari itu (Mina), didahulukan atau dikemudiankan melainkan Baginda menjawabnya: “Lakukanlah, ia tidak menjadi kesalahan”.

Apabila seseorang yang melakukan haji telah melakukan tawaf, sekiranya dia melakukan haji tamattu’, hendaklah dia melakukan sa‘ie selepas tawaf ifadhah. Ini kerana sa‘ie yang dilakukan sewaktu mula-mula sampai dahulu adalah untuk umrah, maka wajib ke atasnya melakukan sa‘ie untuk haji pula. Sekiranya dia melakukan haji ifrad atau qiran, jika dia telah melakukan sa’ie selepas tawaf qudum tidak perlu lagi baginya melakukan sa’ie kali kedua, berdasarkan hadith Jabir r.a.:

لم يطف النبي صلى الله عليه وسلم ولا أصحابه, بين الصفا والمروة,إلا طوافا وأحدا طوافه الأول – رواه مسلم

“Rasulullah s.a.w serta para Sahabat tidak melakukan sa’ie di antara Safa dan Marwah kali kedua selain dari sa’ie yang pertama dahulu”. (Hadith Riwayat Muslim).

Hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari melontar bagi mereka yang tidak melakukan “nafar awal”. Bagi orang yang melakukan “nafar awal” hendaklah melontar pada hari ke 11 dan 12, berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ لِمَنِ اتَّقَى ( البقرة: 203)

“Dan berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah dalam beberapa hari yang berbilang. Sesiapa yang ingin segera berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya dan sesiapa yang ingin menangguhkannya (sehingga hari 13) maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 203).

Jemaah haji hendaklah memulakan lontaran dengan melontar “Jamrah Ula”- iaitu Jamrah yang berdekatan dengan Masjid Khaif – dengan tujuh biji batu. Kemudian “Jamrah Wusta” dengan tujuh biji batu, kemudian diikuti dengan “Jamrah ‘Aqabah” dengan tujuh biji batu dengan bertakbir setiap kali melontar.

Menurut sunnah, selepas sahaja melontar Jamrah Ula hendaklah berpaling ke arah kiblat, jadikan Jamrah berada di sebelah kirinya dan berdoa dengan doa yang panjang. Demikian juga selepas melontar Jamrah Wusta, berpaling ke arah kiblat dan jadikan Jamrah berada di sebelah kanannya dan berdoa dengan doa yang panjang. Adapun selepas melontar Jamrah ‘Aqabah, tidak disunatkan berhenti dan berdoa selepasnya.

Waktu melontar (pada hari Tasyriq) bermula selepas “zawal” (masuk waktu zuhur), berdasarkan hadith Ibnu Umar r.a. katanya:

(كنا نتحين, فإذا زالت الشمس رمينا (رواه البخاري

“Kami menunggu (untuk melontar), apabila gelincir matahari (masuk waktu zuhur) kami terus melontar”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari).

Para ulama’ telah bersepakat (ijma’) mengatakan bahawa akhir waktu melontar pada hari Tasyriq ialah dengan terbenamnya matahari pada hari ke 13 Zulhijjah. Sekiranya matahari telah terbenam dan masih ada lagi orang yang belum melontar, maka tidak boleh baginya untuk melontar dan wajib ke atasnya menyembelih dam.

Jemaah haji mesti ber”mabit” (bermalam) di Mina pada malam hari tasyriq, 11 dan 12 Zulhijjah. Apabila terbenam matahari pada hari ke 12, jemaah haji yang belum lagi keluar dari Mina, wajib ke atas mereka bermabit pada malam tiga belas dan melontar keesokan harinya (hari 13 Zulhijjah).

Apabila selesai semua amalan haji, setiap jemaah yang ingin meninggalkan Makkah hendaklah melakukan tawaf wada’. Tawaf wada’ adalah merupakan salah satu daripada wajib haji menurut kebanyakan (jumhur) ulama’. Ianya dikecualikan daripada perempuan yang sedang haidh dan nifas, berdasarkan hadith Ibnu ‘Abbas r.a. katanya: Sabda Rasulullah s.a.w:

لا تنفرن أحد حتى يكون اخر عهده بالبيت . وفي رواية: إلا أنه خفف عن المرأة الحائض (رواه مالك وأصله في صحيح مسلم.

“Jangan seorang pun meninggalkan Makkah hingga dia menjadikan akhir amalan haji di Baitullah”.

Menurut riwayat yang lain: “Melainkan ianya diberi kelonggaran kepada perempuan yang haidh”. (Hadith Riwayat Malik, asalnya dalam Sahih Muslim).

Menurut kebanyakan ulama’, tawaf ifadhah telah memadai daripada melakukan tawaf wada’ bagi mereka yang mengakhirkan tawaf ifadhah sebelum musafir meninggalkan Makkah.

Disunatkan bagi mereka yang pulang ke negerinya selepas mengerjakan haji membaca doa seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibnu Umar r.a.: “Apabila Nabi s.a.w kembali dari berperang atau mengerjakan haji atau umrah, Baginda mengucapkan takbir setiap kali naik ke tempat tinggi, kemudian membaca:

لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير ايبون تائبون عابدون لربنا حامدون صدق الله وعده ونصرعبده وهزم الأحزاب وحده

“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. Kami kembali dengan bertaubat, menghambakan diri dan kepada Tuhan kami mengucapkan puji-pujian. Allah telah menepati janji-Nya dan membela hamba-Nya dan mengalahkan tentera musuh dengan sendiri-Nya”.

* * *

الحمد لله

[Abu Anas Madani, al-Madinah al-Munawwarah.

23 R.Awwal 1424H bersamaan 24 May 2003M].

Sumber: Buku “Rukun Islam” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman. Disaring oleh Kumpulan Web Darulkautsar

Bacaan Tambahan – Perbincangan Tentang Haji Dan Umrah Dari Hadith
Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s