[Muat Turun Artikel – Format PDF]
PUASA BULAN RAMADHAN
1) Ta’rif Puasa (“As-Siyam”)
Menurut bahasa Arab: Menahan daripada melakukan semua perkara.
Menurut Istilah Syara’: Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar (subuh) hingga terbenam matahari.
2) Hukum Puasa
Berpuasa di bulan Ramadhan adalah salah satu daripada Rukun Islam dan merupakan salah satu daripada binaannya yang besar. Dalilnya, firman Allah Ta‘ala:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ – (البقرة: 183)
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 183).
Juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. katanya: Nabi s.a.w bersabda:
بني الإسلام على خمس : شهادة أن لا إله إلا الله, وأن محمدا رسول الله, وإقام الصلاة, وإيتاء الزكاة, وصوم رمضان, وحج بيت الله
(متفق عليه)
“Islam itu dibina di atas lima rukun: Mengucap syahadah “Laa ilaaha illallah, Muhammadar Rasulullah‟, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah”. (Muttafaq ‘alaih: Al-Bukhari dan Muslim).
Puasa Ramadhan difardhukan ke atas umat Islam pada tahun kedua Hijrah.
3) Kelebihan (Fadhilat) Serta Hikmat Disyariatkan Puasa
Bulan Ramadhan merupakan suatu musim yang sangat berharga untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Sekiranya diberi kesempatan (hidup) di dalamnya maka ia merupakan suatu nikmat yang besar serta limpahan kurniaan daripada Allah Yang Maha Mulia. Allah menganugerahkannya kepada hamba-Nya yang dikehendaki untuk memperbanyakkan amal kebajikan, menaikkan darjat, menghapuskan kesalahan dan mengukuhkan hubungan dengan penciptanya Jalla wa ‘Ala (Yang Maha Tinggi). Semoga dituliskan baginya pahala yang besar, ganjaran yang banyak dan dapat mencapai keredhaan Allah serta hatinya dipenuhi dengan rasa takut kepada Allah.
Antara fadhilat Puasa ialah:
a) Firman Allah Ta‘ala:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُبِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ – (البقرة: 185)
“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari kalangan kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan musafir (lalu ia berbuka) maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 185).
b) Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., sabda Nabi s.a.w:
(من صام رمضان إيمانا واحتسابا, غفر له ما تقدم من ذنبه (متفق عليه
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala nescaya diampunkan baginya kesalahannya yang telah lalu”. (Muttafaq ‘alaih).
c) Daripada Abu Hurairah r.a., sabda Nabi s.a.w:
يضاعف الحسنة عشر أمثالها إلى شبع مائة ضعف, قال الله عز وجل: إلا الصوم, فإنه لي وأنا أجززي به, يدع شهوته وطعامه من أجلي, للصائم فرحتان, فرحة عند فطره, وفرحة عند لقاء ربه, ولخلوف فيه أطيب عند الله من ريح المسك (رواه البخاري ومسلم واللفظ له
“…Pahala amal kebajikan digandakan sepuluh kali ganda hingga (sampai) kepada tujuh ratus kali ganda. Firman Allah ‘Azza wa Jalla (dalam Hadith Qudsi): “Kecuali puasa; kerana puasa itu untuk-Ku dan Aku akan membalasnya, lantaran seseorang itu meninggalkan syahwatnya dan makannya kerana-Ku”. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, lafaz hadith daripada Muslim).
d) Doa orang berpuasa “mustajab” (diperkenankan), sabda Nabi s.a.w:
(للصائم عند فطره دعوة لا ترد (رواه ابن ماجه
“Doa orang yang berpuasa ketika berbuka puasa tidak akan ditolak”. (Hadith Riwayat Ibnu Majah)
Oleh yang demikian, setiap muslim hendaklah mengambil kesempatan ketika berbuka puasa memohon kepada Tuhannya dengan berdoa. Semoga waktu itu berbetulan dengan “nafhah” (limpahan) rahmat Tuhan Jalla wa ‘Ala maka dia akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
e) Allah s.w.t. telah menyediakan pintu syurga yang khusus untuk orang yang berpuasa. Pintu tersebut tidak boleh dimasuki kecuali orang yang berpuasa, sebagai suatu penghargaan untuk mereka, juga untuk membezakan orang yang berpuasa dengan golongan yang lain.
Daripada Sahl bin Sa‘ad r.a. katanya: Sabda Nabi s.a.w:
(إن في الجنة بابا يقال له “الريان:, فإذا كان يوم القيامة قيل: أين الصائمون, فإذا دخلوا أغلق عليهم فلم يدخل منه أحد (متفق عليه
“Dalam syurga ada sebuah pintu yang bernama “ar-Rayyan”. Pada Hari Kiamat akan diseru: “Di manakah orang yang berpuasa!”, setelah mereka memasukinya pintu itu pun ditutup, tidak ada lagi orang yang dapat masuk melaluinya”. (Muttafaq ‘Alaih).
f) Sesungguhnya puasa akan memberi syafaat kepada orang yang melaksanakannya pada Hari Kiamat. Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As r.hum. katanya: Sabda Nabi s.a.w:
الصيام والقران سشفعان للعبد يوم القيامة, يقول الصيام: أي رب منعته من الطعام والشهوة فشفعني فيه. ويقول القران: منعته النوم بالليل فشفعني فيه, قال: قيشفعان (رواه أحمد
“Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada seseorang hamba pada Hari Kiamat. Kata puasa: Wahai Tuhan: Aku telah menahannya daripada makan dan syahwat maka jadikanlah aku sebagai syafaat (penolong)nya. Kata al-Quran: Aku telah menahannya daripada tidur di waktu malam maka jadikanlah aku sebagai syafaat (penolong)nya. Sabda Nabi s.a.w: “Maka kedua-duanya memberi syafaat”. (Hadith Riwayat Ahmad).
g) Puasa melatih seseorang muslim itu menjadi sabar, berusaha menanggung kesusahan dan kepayahan dengan meninggalkan kesukaannya dan syahwatnya, serta mengekang keinginan nafsunya. Semuanya itu merupakan suatu kesusahan yang besar.
4) Syarat-Syarat Wajib Puasa
Para ulama’ telah berijma’ (bersepakat) bahawa puasa diwajibkan ke atas setiap orang muslim yang baligh, berakal, sihat dan bermukim (tidak musafir). Demikian juga ia diwajibkan ke atas setiap wanita apabila suci daripada haidh dan nifas.
5) Adab-Adab Puasa.
a) Menjauhi daripada mengumpat, mengadu (menghasut) dan seumpamanya daripada perbuatan yang diharamkan oleh Allah. Setiap muslim mesti menjaga lidahnya daripada menyebut perkataan yang haram serta memeliharanya daripada bercakap mengenai hal orang lain. Sabda Nabi s.a.w:
من لم يدع قول الزور, والعمل به, فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه (رواه البخاري
“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta bahkan terus melakukannya maka Allah tidak berhajat kepadanya untuk dia meninggalkan makanannya dan minumannya”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari).
b) Jangan meninggalkan makan sahur, kerana sahur boleh membantu orang yang berpuasa untuk menyempurnakan ibadat puasanya, agar dia dapat melalui siang harinya dalam keadaan rehat dan dapat menjalankan kerja-kerjanya dengan baik. Rasulullah s.a.w telah menggalakkan umatnya bersahur dengan sabdanya:
( السحور أكلة بركة, فلا تدعوه, ولو أن يخرج أحدكم جرعة من ماء فإن الله عز وجل وملائكته يصلون على المتسحرين ( رواه أحمد
“Sahur adalah makanan yang diberkati. Jangan kamu tinggalkannya walaupun dengan meminum seteguk air, kerana Allah s.w.t. dan para malaikat-Nya mendoakan (memberi rahmat) kepada orang yang bersahur”. (Hadith Riwayat Ahmad).
c) Segera berbuka puasa apabila telah pasti terbenam matahari (maghrib). Sabda Nabi s.a.w:
( لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر ( متفق عليه
“Manusia sentiasa berada dalam keadaan baik sekiranya mereka segera berbuka puasa”. (Muttafaq ‘alaih).
d) Seboleh-bolehnya berbuka dengan “ruthab” (tamar separuh masak) atau tamar kering, kerana berbuka dengannya adalah sunnah. Kata Anas r.a:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفطر قبل أن يصلي على رطبات, فإن لم تكن رطبات فتمرات, فإن لم تكن حسا حسوات من ماء ( رواه أبو داود
“Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum menunaikan solat dengan ruthab, jika tiada ruthab Baginda berbuka dengan tamar, jika tiada tamar dengan beberapa teguk air”. (Hadith Riwayat Abu Daud).
e) Memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, memuji dan memuja Allah, bersedekah, membuat kebajikan, melakukan amalan sunat dan lainnya daripada amalan yang soleh.
Kata Abdullah bin ‘Abbas r.a.:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس بالخير, وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل, وكان جبريل يلقاه في كل ليلة من رمضان, فيدارسه القران, فلرسول الله صلى الله عليه وسلم حين يلقاه جبريل أجود بالخير من الريح المرسلة ( رواه البخاري ومسلم.
“Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sangat pemurah dan suka melakukan kebaikan. Kemurahannya semakin bertambah di bulan Ramadhan ketika bertemu dengan Jibrail. Jibrail datang bertemu dengannya setiap malam di bulan Ramadhan untuk mengulang al-Quran. Keadaan Rasulullah s.a.w ketika bertemu Jibrail adalah sangat pemurah dalam melakukan kebajikan, lebih cepat daripada angin yang bertiup kencang”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
6) Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa
a) Makan dan minum dengan sengaja pada siang hari. Demikian juga dengan melakukan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa seperti; memasukkan air ubat yang mengenyangkan atau menelan ubat melalui mulut, kerana hukumnya seperti hukum memakan makanan dan minuman. Adapun perbuatan mengeluarkan darah yang sedikit, seperti mengambil darah untuk dikaji maka ia tidak menjejaskan puasa.
b) Melakukan jima’ (persetubuhan) pada siang hari dalam bulan Ramadhan. Jima’ membatalkan puasa. Sesiapa yang melakukannya wajib bertaubat kepada Allah kerana telah mencabuli kehormatan bulan Ramadhan. Wajib ke atas kedua-duanya mengqadha puasa hari yang dilakukan jima’ padanya dan membayar kifarat (kepada lelaki); iaitu dengan memerdekakan seorang hamba. Jika tidak ada hamba wajib ke atasnya berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak mampu, wajib ke atasnya memberi makan enam puluh orang miskin. Setiap orang diberikan setengah gantang gandum atau sebagainya daripada makanan (asasi) yang dimakan di negeri itu. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:
بينما نحن جلوس عند النبي صلى الله عليه وسلم إذ جاء رجل, فقال: يا رسول الله هلكت. قال: “ما لك؟” قال: وقعت على امرأتي وأنا صائم. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “هل تجد رقبة تعتقها؟” قال: لا. قال:”فهل تستطيع أن تصوم شهرين متتابعين؟” قال: لا. قال: ” فهل تجد إطعام ستين مسكينا؟” قال: لا. قال:فمكث النبي صلى الله عليه وسلم فبينما نحن على ذلك أتي النبي صلى الله عليه وسلم بعرق فيه تمر – والعرق: المكتل-, قال: “أين السائل؟” فقال: أنا. قال: “خذ هذا فتصدق به”. فقال الرجل: على أفقر مني يا رسول الله؟ فو الله ما بين لابتيها – يريد الحرتين – أهل بيت أفقر من أهل البيتي. فضحك النبي صلى الله عليه وسلم حتى بدت أنيابه, ثم قال: “أطعمه أهلك (رواه البخاري ومسلم
“Sedang kami duduk bersama Rasulullah s.a.w tiba-tiba datang seorang lelaki memberitahu kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah: Binasalah saya!”. Sabda Nabi: “Kenapa dengan kamu ini?”. Jawabnya: “Saya telah melakukan jima’ dengan isteri saya sedangkan saya berpuasa”. Sabda Nabi: “Apakah kamu memiliki seorang hamba?”. Jawabnya: “Tidak”. Sabda Nabi lagi: “Apakah kamu mampu melakukan puasa dua bulan berturut-turut?”. Jawabnya: “Tidak”. Sabda Nabi lagi: “Apakah kamu mempunyai makanan untuk enam puluh orang miskin?”. Jawabnya: “Tidak”. Rasulullah diam seketika, tiba-tiba datang seorang membawa tamar satu ‘araq (sebuah bakul yang dibuat daripada daun kurma, anggaran muatannya sebanyak lima belas gantang), Nabi (s.a.w) pun bertanya: “Di mana orang yang bertanya tadi?”. Jawab lelaki itu: “Saya”. Sabda Nabi (s.a.w): “Ambillah tamar ini dan sedekahkannya”. Jawab lelaki itu: “Apakah kepada orang yang lebih fakir daripada saya wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada penduduk di antara dua tanah hitam (Madinah) ini lebih fakir daripada keluarga kami”. Rasulullah s.a.w tersenyum hingga nampak gigi taringnya, kemudian Nabi s.a.w bersabda: “Berilah makan kepada keluargamu”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
c) Keluar mani dengan sebab bercumbu, bersentuhan atau mengeluarkan dengan tangan atau mengulang-ulang pandangan kepada perkara yang memberahikan. Apabila seorang yang sedang berpuasa mengeluarkan mani dengan sebab-sebab yang tersebut terbatallah puasanya dan wajib ke atasnya menggantikannya (qadha). Dia mesti meneruskan puasanya pada hari tersebut dan tidak dikenakan kifarat, wajib bertaubat, menyesali perbuatan tersebut dan beristighfar serta menjauhkan perkara-perkara yang boleh membangkitkan syahwatnya.
Kalau seseorang yang sedang berpuasa tidur kemudian bermimpi hingga keluar mani maka perkara tersebut tidak menjejaskan puasanya. Dia tidak dikenakan fidyah tetapi wajib ke atasnya mandi hadath.
d) Muntah dengan sengaja, iaitu dengan mengeluarkan makanan daripada perut melalui mulut. Tetapi jika termuntah dengan sendiri dan bukan dengan sengaja atau kehendak sendiri maka tidak menjejaskan puasanya, sabda Nabi s.a.w:
من زرعه القيء فليس عليه قضاء, ومن استيقاء عمدا فليقض – رواه أبو داود والترمذي
“Sesiapa yang termuntah tidak dikenakan qadha, dan sesiapa yang muntah dengan sengaja wajib ke atasnya qadha”. (Hadith Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
e) Keluar darah haidh atau nifas, sama ada keluar pada awal pagi atau petang ataupun sebelum terbenam matahari, maka puasanya terbatal.
Bagi orang yang berpuasa lebih baik tidak berbekam, agar puasanya terjaga daripada perkara yang membatalkannya, tidak menderma darah kecuali dalam keadaan terdesak untuk membantu orang sakit yang memerlukannya dan seumpamanya.
Adapun keluar darah dari hidung, atau melalui kahak, atau luka atau mencabut gigi dan seumpamanya tidak menjejaskan puasa.
7) Beberapa Hukum Umum Mengenai Puasa
a. Wajib berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan melihat anak bulan, kerana firman Allah Ta‘ala:
فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ – (البقرة: 185)
“Sesiapa antara kamu yang melihat anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 185).
b. Memadai sabit melihat anak bulan dengan pengakuan seorang muslim yang adil (tidak melakukan dosa besar), berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a katanya:
تراءى الناس الهلال, فأخبرت رسول الله صلى الله عليه وسلم أتى رأيته, فصام وأمر _الناس بصيامه ( رواه أبو داود والدارمي وغيرهم
“Orang ramai melihat anak bulan, maka saya pun menyampaikan berita kepada Rasulullah s.a.w bahawa saya telah melihatnya. Baginda pun berpuasa dan mengarahkan agar semua berpuasa”. (Hadith Riwayat Abu Daud dan ad-Darimi).
c. Keputusan menentukan permulaan puasa bagi setiap negara ialah di bawah kuasa pemerintah negara tersebut. Apabila ketua negara menentukan puasa atau tidak maka rakyat wajib mentaatinya. Jika berada dalam negara yang diperintah oleh bukan orang Islam, maka orang Islam mestilah mengikut keputusan yang dibuat oleh Pusat Islam atau seumpamanya demi untuk menjaga kesatuan umat Islam.
d. Sesiapa yang berada dalam bulan Ramadhan dari kalangan orang mukallaf maka wajiblah ke atasnya berpuasa, sama ada waktu siang panjang atau pendek.
e. Perkiraan bagi permulaan puasa Ramadhan bagi setiap negara ialah dengan melihat anak bulan daripada tempat naiknya (“matla’ “) mengikut pendapat ulama’ yang rajih (kuat), kerana para ulama’ telah sepakat mengatakan tempat naik (“matla’ “) anak bulan berbeza bagi setiap negeri. Hal yang tersebut termasuk dalam perkara yang diketahui umum, berdasarkan sabda Nabi s.a.w:
( صوموا لرؤيته, وافطروا لرؤيته, فإن غم عليكم فأكملوا شعبان ثلاثين يوما (أخرجه البخاري ومسلم.
“Berpuasalah dengan sebab melihat anak bulan dan berbukalah dengan melihatnya. Sekiranya cuaca mendung (kamu tidak dapat melihatnya) maka sempurnakan bilangan Sya’ban tiga puluh hari”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
f. Wajib ke atas orang yang berpuasa, berniat puasa pada waktu malam, berdasarkan sabda Nabi s.a.w:
صوموا لرؤيته, وافطروا لرؤيته, فإن غم عليكم فأكملوا شعبان ثلاثين يوما
أخرجه البخاري و مسلم
“Setiap amalan mesti dengan niat. Sesungguhnya bagi setiap orang itu mengikut apa yang diniatkan”. (Muttafaq ‘alaih).
Sabda Nabi s.a.w:
من لم يجمع الصيام قبل الفجر فلا صيام له (أجرجه أحمد وأبو داود والترمذي والنسائي من حديث حفصة رضي الله عنها
“Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar maka tidak sah puasanya”. (Hadith Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasa’i daripada hadith Hafsah r.ha.).
g. Tidak halal bagi seorang muslim meninggalkan puasa atau berbuka sepanjang siang hari bulan Ramadhan kecuali ada keuzuran seperti sakit, musafir atau perempuan haidh, nifas, hamil atau menyusukan anak, firman Allah Ta‘ala:
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ – (البقرة: 184)
“Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajib ia berpuasa sebanyak (bilangan hari yang ditinggalkan) itu pada hari-hari lain”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 184).
h. Orang sakit yang tidak mampu berpuasa atau sukar untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa atau boleh membawa kemudaratan jika berpuasa, diharuskan baginya untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadhan, tetapi hendaklah menggantikannya (qadha) pada masa yang lain mengikut bilangan hari yang ditinggalkannya.
i. Wanita yang sedang hamil atau menyusu anak. Seandainya takut kemudharatan berlaku ke atas dirinya sahaja, dibolehkan ke atas mereka ini berbuka puasa dan wajib ke atas mereka mengqadhakan puasa yang ditinggalkannya menurut ijma’ ulama’, kerana keadaan kedua-duanya seperti orang sakit yang takut binasa dirinya dengan sebab puasa.
j. Kalau wanita tersebut takut kemudharatan ke atas dirinya serta anaknya atau mudharat ke atas anaknya sahaja. Harus baginya berbuka puasa dan wajib ke atasnya qadha puasa yang ditinggalkan, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas daripada Nabi s.a.w:
إن الله وضع عن المسافر نصف الصلاة والصوم, وعن الحبلى والمرضع (رواه النسائي وابن خزيمة وهو حديث حسن
“Allah s.w.t telah meringankan daripada orang musafir setengah solat dan puasa serta daripada wanita mengandung dan menyusu”. (Hadith Riwayat An-Nasa’i dan Ibnu Khuzaimah, darjatnya: Hasan).
k. Orang yang terlalu tua sama ada lelaki atau perempuan, diberikan kelonggaran kepada mereka untuk meninggalkan puasa sekiranya puasa boleh menyebabkan kesukaran dan kesusahan yang berat ke atas mereka. Wajib ke atas keduanya memberi makan seorang miskin setiap hari. Dalilnya hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada ‘Ataa’ beliau mendengar Ibnu ‘Abbas r.a. membaca ayat:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ – (البقرة: 184)
“Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah (iaitu) memberi makan seorang miskin”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 184).
Kata Ibnu ‘Abbas r.a: Ayat ini tidak dimansuhkan (dibatalkan hukumnya). Ianya digunakan untuk orang lelaki dan perempuan yang terlalu tua, yang tidak mampu melakukan puasa, maka diberi makan seorang miskin setiap hari”.
l. Musafir dikira salah satu daripada keuzuran yang diharuskan berbuka puasa, dalilnya hadith Anas r.a:
كنا نسافر مع النبي صلى الله عليه وسلم فلم يعب الصائم على المفطر ولا المفطر على الصائم ( متفق عليه.
“Kami bermusafir bersama Rasulullah s.a.w. Tidak ada Sahabat yang berpuasa mencela orang yang tidak berpuasa dan orang yang tidak berpuasa pula tidak mencela orang yang berpuasa”. (Muttafaq ‘alaih).
Sumber: Buku “Rukun Islam” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman. Disaring oleh Kumpulan Web Darulkautsar“
Bacaan Tambahan – Perbincangan Tentang Puasa Dari Hadith