Surat Berantai Boleh Menyebabkan Syirik

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Kita sering menerima surat tanpa nama pengirim ini atau menerima mesej dalam media sosial dari semasa kesemasa. Surat-surat atau mesej ini juga ditabur di masjid-masjid dan tempat-tempat awam kononnya untuk menunaikan tanggungjawab menyebarkannya sebagaimana “wasiat” di dalam surat tersebut. Kebelakangan ini, surat seumpama ini dihantar melalui email, sms, aplikasi whatsApp, facebook dll di mana pengirimnya meminta sesiapa yang menerimanya agar segera menyebarkannya dalam beberapa salinan tertentu untuk mengelakkan dari ditimpa bencana dan kecelakaan.

Amat malang dalam dunia maju sekarang, masih ramai yang jahil tentang perkara seremeh ini (Nota: Walaupun kelihatan kecil dan remeh, ianya  mempunyai kesan yang amat besar kepada aqidah!)

Berikut kami paparkan satu contoh surat berantai  (Surat ini sentiasa diubah dan ditambah sesuai dengan keadaan semasa) diikuti dengan fatwa dari ulama terkemuka Dr. Yusuf al-Qardhawi dan juga fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

BAHAGIAN PERTAMA –  CONTOH SURAT BERANTAI  

SURAT DARI ARAB SAUDI

(WASIAT UNTUK UMAT ISLAM SELURUH DUNIA)

Assalamualaikum.

Ini adalah surat wasiat dari penjaga makam Nabi Muhammad s.a.w iaitu Sheikh Ahmad (Saudi Arabia)

Pada suatu malam ketika hamba membaca Al-Quran di makam Rasulullah s.a.w selepas membaca lalu hamba tertidur dalam tidur hamba bermimpi didatangi Rasulullah s.a.w lalu bersabda kepada hamba bahawa dalam 60,000 orang yang meninggal dunia di zaman ini tiada seorang pun matinya dalam keadaan yang beriman.

a) Isteri tidak mendengar suami

b) Orang kaya tidak lagi bertimbang rasa kepada orang miskin

c) Orang tidak lagi berzakat dan tidak membuat kebajikan.

Oleh itu wahai Sheikh Ahmad hendaklah kamu menyebarkan kepada orang Islam  supaya membuat kebajikan kerana hari penghabisan (kiamat) akan tiba di masa bintang terbit dari langit. Sesudah itu pintu matahari akan turun di atas kepala.

Pesanan Hamba ini

a) BERSELAWATLAH kepada junjungan Nabi kita Muhammad s.a.w

b) BERTAUBATLAH dengan segera sementara pintu taubat masih terbuka

c) BERSEMBAHYANGLAH kamu sebelum kamu disembahyangkan

d) BERZAKATLAH, jangan tinggalkan

e) JANGAN MENDERHAKA KEPADA KEDUA IBU BAPA, hormatilah mereka

f) MENUNAIKAN FARDHU HAJI bila berkemampuan

UNTUK MAKLUMAT:

1) Seorang saudagar dari Bombay telah menerima surat ini dan beliau telah mencetak sebanyak 20 salinan dan mengirimkannya kepada orang lain. Dia kemudiannya dianugerahkan oleh Allah dengan mendapat keuntungan yang besar dalam perniagaannya. Seorang hamba Allah telah menerima surat ini tetapi tidak mengendahkannya dan menganggap wasiat ini palsu. Maka selang beberapa hari anaknya meninggal dunia.

2) Tan Sri Ghazali Jawi, bekas Menteri Besar Perak secara tidak langsung dipecat dari jawatannya kerana apabila menerima wasiat ini beliau terlupa mencetak sebanyak 20 salinan untuk disebarkan kepada orang lain tetapi kemudiannya beliau menyedari kesilapannya lalu beliau mencetak semula wasiat ini dan terus mengirimkannya kepada orang lain dan selang beberapa hari kemudian beliau telah dilantik menjadi Menteri Kabinet Perdana Menteri.

3. Pada tahun 1977, Tun Dato’ Mustafa, bekas Ketua Menteri Sabah menerima surat ini kemudian mengarahkan setiausahanya mencetak sebanyak 20 salinan dan menghantar kepada orang lain maka selang beberapa hari kemudian dia telah mendapat hadiah pertama dari loteri Kebajikan Masyarakat Timur.

4. Zulfikar Ali Bhuto telah menerima wasiat ini dan tidak percaya akan kebenarannya dan menganggap palsu lalu dibuang ke dalam tong sampah. Seminggu kemudian beliau telah dijatuhkan hukuman pancung sampai mati.

5. Di Terengganu, seorang pekerja bengkel kenderaan telah menerima wasiat ini dari pengirim yang tidak dikenali yang datangnya dari Perak. Lalu beliau membuat cetakan sebanyak 20 salinan seperti yang dituntut. Alhamdulillah, dia dianugerahkan oleh Allah seorang gadis yang berakhlak mulia seperti mana yang dituntut oleh Islam. Baginya anugerah Allah ini paling agung dan tidak ada bandingannya.

6. Di Terengganu juga, seorang hamba Allah telah menerima wasiat ini dari orang yang tidak dikenali lalu beliau tidak mengendahkannya. Beliau mengatakan yang ianya bohong belaka dan sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan orang yang membacanya. Beberapa hari kemudian dia telah mendapat penyakit yang ganjil dan penderitaannya amat menyedihkan. Setelah 3 minggu mendapat rawatan rapi di hospital, dia menyuruh sepupunya mencetak 20 salinan dan diedarkan kepada orang lain. Seminggu kemudian barulah beliau sembuh sehingga sekarang.

Banyak lagi contoh-contoh orang menerima wasiat ini dan tidak mempercayainya dan tidak mengedarkannya atau menyampaikannya kepada orang lain di mana mereka mendapat malapetaka. Setelah kejadian yang menggembirakan dan menakutkan ini, anda jangan lupa mencetak 20 salinan wasiat ini dan sebarkan kepada orang lain dalam masa 90 jam dari masa anda menerima wasiat ini.  Anda akan memperolehi sesuatu dari ALLAH YANG MAHA ESA.

BAHAGIAN KEDUA – FATWA DR YUSUF AL-QARDHAWI TENTANG SURAT BERANTAI 

WASIAT PALSU SYEIKH AHMAD

PERTANYAAN:

Pada suatu ketika saya menerima sepucuk surat dan setelah saya baca, saya merasa bingung mengenai isinya. Kerana itu, saya mohon Ustaz untuk menjelaskan isi surat tersebut, adakah ianya benar atau tidak?

Surat tersebut ditandatangani oleh seorang “fa’il khair” (pembuat kebaikan, dermawan) yang berisi wasiat Syeikh Ahmad, juru kunci makam (kubur) Rasulullah s.a.w, yang ditujukan kepada segenap kaum muslimin di dunia timur dan  barat. Ia juga berisi macam-macam nasihat.

Pada bahagian akhir surat tersebut ditulis, “Di Bombay terdapat seseorang yang mencetak semula surat tersebut dan membahagi-bahagikannya kepada tiga puluh orang, lalu Allah memberikannya rezeki sebanyak dua puluh lima ribu rupiah; ada pula yang membahagi-bahagikannya lalu ia mendapat rezeki dari Allah sebanyak enam ribu rupiah. Sebaliknya, ada pula orang yang mendustakan wasiat tersebut, sehingga anaknya meninggal dunia pada hari itu”. Dalam surat tersebut dikatakan bahawa orang yang telah menerima dan membaca wasiat itu tetapi tidak menyebarkannya kepada orang lain, akan ditimpa musibah besar.

Apakah pendapat Ustaz tentang masalah tersebut? Adakah ianya benar atau tidak?

JAWAPAN OLEH PROF DR. YUSOF AL-QARDHAWI:

Memang ramai orang yang bertanya tentang wasiat tersebut.  Sebenarnya kemunculan surat wasiat ini bukan saja baru-baru ini, tetapi saya telah melihatnya sejak puluhan tahun lalu. Surat tersebut disandarkan kepada seorang lelaki yang dikenali dengan sebutan Syeikh Ahmad, juru kunci makam Rasulullah s.a.w.

Untuk memastikan kebenaran berita yang disampaikan dalam surat tersebut, saya pernah bertanya orang-orang di Madinah dan di Hijaz tentang orang yang disebut sebagai Syeikh Ahmad itu dan apakah pekerjaannya. Dari maklumat yang diperolehi, ternyata tidak ada seorang pun di Madinah yang pernah melihat dan mendengar berita mengenai Syeikh Ahmad ini. Malangnya, wasiat yang menyedihkan itu telah tersebar luas di negara-negara umat Islam.

Wasiat tersebut dengan segala isinya tidak ada makna dan tidak bernilai  apa-apa dalam pandangan agama. Antara isi wasiat yang disandarkan kepada Syeikh Ahmad, yang dikatakan bertemu Nabi s.a.w. dalam mimpinya  ialah tentang telah dekatnya hari kiamat.

Masalah berita dekatnya hari kiamat ini sebenarnya tidak perlu mengikut pendapat Syeikh Ahmad atau Syeikh Umar, kerana Al-Qur’an telah menyebutnya dengan jelas:

“… boleh jadi hari kebangkitan itu sudah dekat waktunya”. (Surah Al-Ahzab, Ayat 63)

Nabi s.a.w. juga telah bersbada:

“Aku dan hari kiamat diutus (secara berdekatan) seperti ini. Baginda (mengatakan demikian) sambil memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengahnya”. (Muttafaq ‘alaih dari hadith Anas dan Sahl bin Sa’ad)

Perkara lain dari isi wasiat itu ialah bahawa kaum wanita sekarang sudah ramai yang keluar rumah, dan juga ramai yang telah menyimpang dari agama. Masalah ini tidak perlu mengambil sumber dari mimpi-mimpi, kerana kita sudah mempunyai kitab Allah dan sunnah Rasul yang sebenarnya sudah mencukupi untuk dijadikan pedoman. Allah berfirman:

“… Pada hari ini telah Ku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Ku cukupkan nikmat-Ku atas kamu, dan telah Ku redhai Islam menjadi agamamu …”  (Surah Al Maa’idah, Ayat 3)

Orang yang beranggapan bahawa agama Islam, yang telah disempurnakan Allah ini, masih memerlukan keterangan yang diwasiatkan oleh orang yang tidak dikenali itu, sebenarnya meragui kesempurnaan agama Islam. Islam telah sempurna dan telah lengkap, tidak memerlukan apa-apa wasiat.

Isi wasiat tersebut jelas memperlihatkan kepalsuan wasiat tersebut. Sebab, pewasiat telah mengancam dan menakut-nakutkan orang yang tidak mahu menyebarkannya (surat yang mengandungi wasiat tersebut) bahawa dia akan mendapat musibah dan kesusahan, anaknya akan mati, hartanya akan habis dan sebagainya. Perkara seumpama ini tidak pernah diucapkan oleh seorang manusia pun (yang normal pemikirannya) terhadap kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Tidak ada perintah dari Allah  bahawa orang yang membaca Al Qur’an wajib menulisnya dan kemudian menyebarluaskannya kepada orang lain; dan jika tidak melakukan yang demikian, akan terkena musibah. Begitu juga tidak ada perintah supaya orang yang membaca kitab hadith Sahih al-Bukhari supaya menulisnya dan menyebarkannya kepada orang ramai, dan jika tidak, dia akan ditimpa musibah.

Kalau Al-Qur’an dan Sunnah Rasul pun tidak begitu, maka bagaimana pula dengan wasiat yang penuh khurafat itu? Ini merupakan sesuatu yang tidak mungkin dibenarkan oleh akal orang muslim yang memahami Islam dengan baik dan benar.

Kemudian dalam wasiat tersebut dikatakan bahawa si fulan di negeri ini dan itu, kerana telah menyebar luaskan wasiat tersebut, dia mendapat rezeki ribuan ringgit. Semua itu merupakan khurafat dan menyesatkan umat Islam dari jalan yang benar dan juga dari mengikuti sunnah serta peraturan Allah terhadap alam semesta.

Untuk memperolehi rezeki, ada sebab-sebabnya, ada jalan dan aturannya. Adapun bersandar kepada khayalan dan khurafat seperti dalam wasiat itu adalah merupakan usaha untuk menyesatkan dan meyelewengkan akal fikiran umat Islam.

Kita perlu menjaga dan mengawasi kaum muslimin agar tidak membenarkan dan percaya kepada khurafat seperti ini dan agar tidak mempunyai anggapan bahawa orang yang menyebarluaskan wasiat palsu tersebut akan mendapat syafaat dari Nabi s.a.w  sebagaimana yang dikatakan oleh penulis surat yang batil itu.

Sesungguhnya syafaat Nabi s.a.w juga diperuntukkan bagi umatnya yang pernah melakukan dosa-dosa besar. Hal ini sudah disebutkan dalam hadith-hadith sahih (dan tidak perlu bersumberkan pada wasiat melalui mimpi; pent.) bahawa Rasulullah bersabda:

“Orang yang paling berbahagia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang telah mengikrarkan “laa ilaaha illallah” dengan perasaan ikhlas dari lubuk hatinya.” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Kami mohon kepada Allah Azza wa Jalla semoga Ia menjadikan umat Islam mengerti dan faham tentang agama mereka dan semoga memberi petunjuk dan bimbingan kepada mereka ke jalan yang lurus, serta melindungi mereka agar tidak mempercayai berbagai khurafat, khayalan, dan kebatilan.

Sumber : Disaring dari buku “Fatwa-fatwa Kontemporer” oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi, Terbitan Gema Insani Press.

BAHAGIAN KETIGA – FATWA OLEH MAJLIS FATWA KEBANGSAAN 

KHURAFAT DAN BOLEH MENJATUHKAN MURTAD

Majlis  Fatwa Kebangsaan 1978 mengesahkan surat ini ditulis oleh paderi-paderi gereja Blessings of St Antonio, Texas, USA pada tahun 1974/75 untuk mengelirukan umat Islam. Penulis asal surat ini ialah mendiang Father Francis Jose de Villa, seorang paderi Katolik dari Argentina berketurunan Arab-Syria (bekas penganut Islam, nama asalnya Mohamed Elias Skanbeg). Dia pernah bertugas di Instituto Sacristo Convocione Reliogioso di Brindisi, Itali sebagai mubaligh Katolik antara tahun 1966-1968 di bawah Cardinal Agostino Casaroli. Father de Villa meninggal dunia pada tahun 1980 di Texas dalam usia 54 tahun.

Menurut Allahyarham Sayyed Mohamed Raisuddin Al-Hashimi Al-Quraisy, penjaga makam Rasulullah s.a.w di Madinah dari tahun 1967 hingga 1979, tidak ada penjaga makam bernama Sheikh Ahmad di antara tahun 1881 hingga 1979. Penjaga makam di Madinah ialah:

  • Sayyed Turki Abu Mohamed Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisy (1881 – meninggal dunia 1932),
  • anaknya Sayyed Hashim Abu Faisal Abdul Jalil Al-Hashimi Al-Quraisy (1932 – meninggal dunia 1934),
  • adiknya Sayyed Abdul Karim Mutawwi Al-Hashimi Al-Quraisy (1934 – bersara 1966) dan,
  • anak saudaranya Sayyed Mohamed Raisuddin bin Mohamed bin Abdul Razaque Al- Hashimi Al-Quraisyi (1967 – meninggal dunia 1979).

Bekas Menteri Besar Perak Allahyarham Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi bertaubat dan mengucap kalimah syahadat sekali lagi di hadapan Qadhi Daerah Kinta pada tahun 1976 setelah beliau mengaku pernah menerima dan mengirim surat ini kepada dua puluh orang kawannya. Peristiwa ini berlaku tidak lama sebelum beliau meninggal dunia. Bekas Qadhi Daerah Kinta meminta beliau mengucap semula kerana bimbang beliau telah gugur syahadah (murtad).

Allahyarham Datuk Shafawi, Mufti Selangor mengisytiharkan bagi pihak Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa barang siapa dengan sengaja menyebarkan risalah ini adalah “melakukan syirik dan tidak mustahil jatuh murtad melainkan dia bertaubat dan menarik balik perbuatannya itu terhadap sesiapa yang telahpun dikirimkan risalah ini”. (Surat Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia Bil.7/78/I).

Keputusan ini diiktiraf oleh Majlis Raja-raja Melayu dalam mesyuaratnya di Pekan pada 16 Oktober 1978, dipengerusikan oleh Almarhum Sultan Idris Shah, Perak.

Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1978, menyebarkan surat ini “termasuk dalam menyengutukan Allah s.w.t. dengan syirik yang amat besar (shirk-i-kubra) serta mempermainkan Rasulullah s.a.w serta menyebarkan, dengan niat tidak baik, kekeliruan dan muslihat di kalangan umat Islam”. Lagipun, “Surat ini adalah pembohongan yang amat besar terhadap junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta ajaran Baginda kerana menggambarkan SHEIKH AHMAD sebagai perawi hadith sesudah kewafatan Baginda”.

Allahyarham Datuk Sheik-ul-Islam Mufti Kedah menulis dalam Risalat Al-Aman 1983/Bil 8, surat ini “paling kurang menimbulkan syirik kecil dan murtad secara tidak sengaja; terkeluar dari Islam, serta syirik yang besar jika sengaja; maka taubatnya tidak sah melainkan dibuat dengan sesungguhnya. Adapun jika seseorang itu menyalin surat ini kepada umat Islam lain, jatuhlah hukum ke atasnya mentablighkan perkara syirik dan khurafat. Sesungguhnya ulama’ sependapat perbuatan itu sungguh besar syiriknya dan boleh mengakibatkan murtad walaupun tanpa sedar si pengirim”.

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s