Asas Rujukan Dalam Bidang Aqidah Islam [Penerbitan JAKIM]

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Kertas kerja ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Negeri untuk dijadikan asas dan panduan dalam pengendalian isu aqidah oleh pegawai-pegawainya. Ianya menjadi asas dan rujukan untuk menangani permasalahan aqidah dan isu-isu yang berkaitan dengan tujuan untuk mengelak dari perselisihan pendapat tentang perkara asas aqidah yang berlaku dalam masyarakat .

ASAS RUJUKAN DALAM BIDANG AQIDAH ISLAM

  1. Tujuan
  2. Objektif
  3. Penjelasan Dasar Umum Aqidah
  4. Huraian Bagi Beberapa Konsep Dan Istilah

5. Penggunaan

6. Penutup

TUJUAN

Kertas kerja ini disediakan untuk dijadikan asas dan panduan dalam pengendalian isu aqidah oleh pegawai terlibat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Negeri.

OBJEKTIF
Untuk menjadi asas dan rujukan menangani permasalahan aqidah dan isu yang berkaitan.

Untuk mengelak dari perselisihan pendapat tentang perkara asas aqidah yang berlaku dalam masyarakat.

3. PENJELASAN DASAR AQIDAH


3.1 PEGANGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


Malaysia sebagai sebuah negara Islam, telah menentukan hanya aqidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja dijadikan pegangan dan amalan rasmi kerajaan dan rakyatnya serta tidak menerima lain-­lain fahaman untuk diterima pakai.

Huraian

Aqidah dari segi bahasa bererti simpulan atau ikatan pada suatu benda, iaitu seperti tali yang disimpulkan supaya menjadi kemas dan kuat. Aqidah ialah Iman, Iman ialah tasdiq (membenarkan dengan hati) yang pasti dan menepati kenyataan yang lahir daripada dalil. Ahli yang dimaksudkan ialah para penganut atau pengikut.

Sunnah dari segi bahasa ialah jalan atau cara nabi. Dari segi istilah ialah segala apa yang datang dari Nabi Muhammad s.a.w sama ada perkataan, perbuatan, sifat dan taqrirnya (pengakuannya).

Ahli Sunnah ialah mereka yang mengikut dan mempertahankan sunnah Rasulullah s.a.w.

Al-­Jamaah dari segi bahasa ialah perkumpulan orang ramai yang berhimpun. Dari segi istilah ialah jalan Sahabat dan orang yang hidup selepas mereka, maka lahirlah istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah orang yang terdahulu dari kalangan umat Islam iaitu para Sahabat dan tabi‘in yang sepakat di atas al-­Haq yang amat jelas iaitu menerima Al-­Quran dan Al-­Sunnah.

3.2 ASAS UMUM MANHAJ AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

  • Mengutamakan al-­Quran dan al-­Sunnah.
    • Mentafsirkan al-­Quran dengan al-­Quran.
    • Mentafsirkan al-­Quran dengan al-­Sunnah.
    • Mengutamakan pendapat Sahabat dan Tabi’in.
    • Meraikan kaedah-­kaedah Bahasa Arab dalam memahami nas.
    • Berpegang kepada zahir nas kecuali ada bukti ia tidak dikehendaki.
    • Mengutamakan tanzih (mensucikan Allah dari menyerupai makhluk dan dari mana-mana sifat kekurangan, bahawa hakikat ketuhanan itu tidak terjangkau akal atau “transcendence”, hampir sama maksud dengan “mukhalafatuhu lil hawadith”) dan ‘taqdis” (penyucian Allah) dalam persoalan “mutasyabihat” (ayat-­ayat yang mengandungi perkataan yang sama dengan makhluk).

3.3 DASAR AHLI SUNNAH YANG DISEPAKATI KEBENARANNYA

  • Meyakini bahawa Islam agama Allah
    • Meyakini bahawa hakikat Islam terdiri dari Iman, Islam dan Ihsan.
    • Meyakini ke Esaan Allah.
    • Meyakini bahawa Allah Maha Pencipta dan mempunyai asma’ dan sifat Maha Sempurna.
  • Meyakini bahawa seluruh makhluk adalah ciptaan Allah.
    • Meyakini bahawa segala apa yang berlaku menurut qada’ dan qadar Allah.
    • Meyakini bahawa ahli qiblat (orang Islam ) tidak dikufurkan atas sebab kemaksiatan.
    • Meyakini Allah dapat dilihat di akhirat kelak.
    • Meyakini hakikat soalan malaikat dan azab kubur.
    • Meyakini hakikat Nabi Muhammad akan memberi syafaat pada hari Kiamat.
    • Meyakini hari Kiamat
    • Meyakini bahawa asas agama adalah ittiba’ (mengikuti jejak Nabi berdasarkan hujah) bukan ibtida’ (rekaan manusia ).
    • Meyakini bahawa menyatupadukan umat Islam matlamat terbesar dalam Islam.

3.4 FAKTOR KESESATAN YANG DIIJMA’KAN AHLI SUNNAH


Kesesatan aqidah tidak terkeluar daripada tiga faktor berikut:

Pertama: Menolak, menafi atau mengingkari hakikat Islam itu sendiri, sama ada kerana kejahilan, sangkaan, ikut-ikutan atau kerana sememangnya disengajakan, walaupun mengetahui kebenarannya;

Kedua: Keterlaluan yang dipacu oleh rasa fanatik dan hawa nafsu, sehingga ke tahap sanggup menolak, menafi atau mengingkari hakikat-hakikat Islam;

Ketiga: Takwilan yang batil, yang tidak berdasarkan kepada kaedah-­kaedah bahasa Arab dan syara’, yang didorong oleh rasa fanatik dan hawa nafsu selain dari kelemahan iman.

3.4.1 PENJELASAN KESESATAN DARI FAKTOR PERTAMA


[ Faktor Pertama: Menolak, menafi atau mengingkari hakikat Islam itu sendiri, sama ada kerana kejahilan, sangkaan, ikut-ikutan atau kerana sememangnya disengajakan, walaupun mengetahui kebenarannya ]

Mengingkari hakikat Islam sama ada sengaja, jahil atau ikut-­ikutan. Ia meliputi ciri-­ciri dan perkara berikut:

Semua jenis agama atau kepercayaan yang bukan Islam, sama ada agama samawi atau agama budaya,

Segala apa jua bentuk kemulhidan dan kemungkaran ke atas hakikat-­hakikat Islam yang disepakati kebenaran dan kesahihannya sama ada yang berbentuk individu atau berkumpulan,

Keingkaran atau penolakan hadith dalam memahami dan mengamalkan Islam, iaitu mereka yang hanya berpegang kepada al-­Quran sahaja.

Segala apa pun bentuk kesyirikan, sama ada pada Zat Allah, Asma’, Sifat Ketuhanan Rububiyyah atau Uluhiyyah, sama ada dalam bentuk pemikiran, pertuturan atau perbuatan-Nya. Kesemua kesesatan dan kebatilan ini bercanggah dengan hakikat-­hakikat yang terpancar dari manhaj Islam.

3.4.2 PENJELASAN KESESATAN DARI FAKTOR KEDUA


[ Faktor Kedua: Keterlaluan yang dipacu oleh rasa fanatik dan hawa nafsu, sehingga ke tahap sanggup menolak, menafi atau mengingkari hakikat-hakikat Islam ]

Segala bentuk keterlaluan (ghuluw) dari batas-­batas Islam yang disepakati secara ijma’ dalam kepercayaan atau perlakuan yang berpunca dari kepercayaan. Antara contohnya:

Menolak keimanan dan kepimpinan Abu Bakar As-Siddiq dan Umar yang dilantik secara sah mengikut manhaj Islam, tanpa mengira kata sepakat dan ijma’ ke atas kesahihan tersebut.

Memberikan sifat-­sifat kenabian kepada seseorang selain Nabi, walaupun betapa tinggi darjatnya, secara khususnya kepada Saidina Ali k.w. seperti sifat penerimaan wahyu, sifat kemaksuman dan lain-­lain.

Merendah-­rendahkan para Sahabat Rasulullah s.a.w yang telah terbukti persahabatan mereka, yang telah diperakui istiqamah, ketaqwaan dan kesolehan mereka oleh ahli al-­Salaf al-­Saleh.

Memberikan sifat kemaksuman kepada setengan masyayekh (Syeikh tarekat), sehingga sikap dan perlakuannya dianggap menjadi hujjah yang mengatasi nas, sedangkan kedudukan sebenarnya nas itulah yang menjadi hujjah ke atas segala-­galanya.

Mempercayai adanya sesetengah Imam Syiah Ithna Asyariyyah yang telah mencapai taraf dan martabat yang tidak dicapai oleh Malaikat muqarrabun dan Nabi yang diutuskan.

Kepercayaan yang mengatakan bahawa pelaku dosa besar menjadi kafir atau murtad, seperti yang menjadi pegangan golongan Khawarij. Bahkan pelaku dosa dan maksiat, walaupun apa pun jenisnya, menjadi kafir dan terkeluar dari millah atau agama Islam, walaupun perbuatan itu suatu kesilapan atau usaha ijtihad.

Demikian juga kepercayaan sebaliknya yang megatakan bahawa perbuatan dosa, walau apapun jenisnya, tidak menjejaskan (memudharatkan) iman, seperti mana suatu ketaatan yang dilakukan dalam kekafiran tidak memanfaatkan, seperti yang menjadi pegangan Golongan Murji’ah tulen.

Termasuklah menafikan kebangkitan semula pada Hari Kiamat dengan jasad dan rohnya sekali.

Menafikan nikmat syurga dan azab neraka yang bersifat jasmani pada Hari Akhirat.

Menafikan mukjizat “kawniyyah” pada Nabi Muhammad s.a.w. dengan alasan mukjizat Nabi hanya mukjizat al-­Quran sahaja. Sikap ghuluw atau keterlaluan adalah satu sikap kejiwaan, antara sifat khususnya ialah:

Keras kepala dengan pendapatnya sendiri.

Menutup mata dan telinga terhadap pandangan orang lain.

Tidak punya hujah dan dalil, kalau ada pun hanya sebagai rekaan atau pun bukti yang salah dan mengelirukan demi untuk mempertahankan keterlaluannya, lebih-lebih lagi jika ditegakkan di atas dasar puak atau politik kepartian yang sempit.

3.4.3 PENJELASAN KESESATAN DARI FAKTOR KETIGA


[ Faktor Ketiga: Takwilan yang batil, yang tidak berdasarkan kepada kaedah-­kaedah bahasa Arab dan syara’, yang didorong oleh rasa fanatik dan hawa nafsu selain dari kelemahan iman ]

Takwilan yang batil yang tidak berdasarkan kaedah bahasa Arab dan syarak.

Kesesatan dalam faktor ini termasuklah; segala apa juga kepercayaan, tasawwur atau pendapat yang diasaskan kepada satu nas dari al-­Quran atau al-­Sunnah atau lebih, dengan takwil nas-­nas itu dengan takwilan yang tidak diperakui oleh kaedah-­kaedah yang tetap dalam bahasa Arab yang menjadi bahasa al-­Quran, iaitu kaedah-­kaedah yang telah disepakati secara ijma’ oleh tokoh-­tokoh ulama’ bahasa sejak dari zaman berzaman.

Kesesatan dan penyelewengan dari faktor ini sangat banyak dan kebanyakan adalah dalam bidang aqidah dan asas-­asas dalam pemikiran Islam. Antaranya ialah;

1. Mentakwilkan ayat-­ayat sifat dengan cara yang membawa kepada menta’tilkan (merosakkan atau menafikan) sifat-­sifat tersebut pada zat Allah, seperti menafikan al-­Yadd (tangan), al­‐Wajh (muka) dan seumpamanya yang telah pun disebutkan Allah pada zat-Nya, seperti takwilan oleh golongan Mu’attilah, Mu’tazilah dan golongan ahli falsafah Ilahiyyah.

2. Demikian sebaliknya, mentasybih atau mentajsimkan sifat-­sifat tersebut, iaitu memahami ayat-­ayat sifat tadi dengan maknanya yang zahir, yang menyamai sifat-­sifat makhluk seperti yang dilakukan oleh golongan Musyabbihah dan Mujassimah.

3. Menafikan bahawa setiap muslim boleh melihat Allah di akhirat kelak. Sesuai dengan pendapatnya ini, maka perkataan “Nazirah” (Surah Mutaffifin, ayat 15) ditakwilkan dengan “muntazirah” (Surah al-­Qiyamah, ayat 23), sedangkan menurut kaedah bahasa dan ilmu kefaqihan bahasa bahawa di antara dua perkataan tersebut sememangnya berlainan dan berbeza dari semua sudutnya. Takwilan seperti ini adalah takwilan yang salah dan batil, yang sama sekali tidak mempunyai sandaran bukti atau hubungan yang membolehkan perkataan itu ditakwilkan.

4. Mentakwilkan perkataan “al-­Rasul” (al-­Isra’, ayat 15) dengan makna akal, semata-­mata untuk menyesuaikan dengan aliran ‘aqlamiyyahnya. Takwilan ini adalah takwilan batil, yang tidak bertangguh oleh lafaz perkataan itu sendiri, yang sememangnya tidak punya ruang untuk mentakwilkan perkataan tersebut. Selain itu terdapat beberapa ayat lain yang menunjukkan secara putus dan yakin (Dilalah Qat’iyyah) bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan rasul atau rasul-­rasul itu tidak lain dari seorang atau beberapa orang lelaki yang dibangkitkan untuk menjadi utusan Allah.

5. Mentakwilan perkataan “Majma’ al-­Bahraain” (Surah al-­Kahfi, ayat 60) dengan majma’ wilayah al-­Syekh dan wilayah al-­Murud. Perkataan “al-­Sakhrah” (al-Kahfi, ayat 63) dengan makna nafsu dan lain-­lain (seperti mana dicatatkan oleh Goldzihar dalam buku Aqidah dan Syariah, 1940, hal. 157). Takwilan seperti contoh yang terakhir biasanya dilakukan oleh golongan yang mengaku sebagai ahli tasawuf atau lebih tepat oleh penyesat-­penyesat yang bertopengkan tasawuf (lihat Mohd Sulaiman Hj. Yasin, Ahlis-­Sunnah Wal-­Jamaah, Yayasan Salman, Bangi, Selangor, 1997, 97-­105)


3.5 SYIRIK

  • Takrif Syirik.


Syirik ertinya mengongsi atau menyengutukan Allah dengan benda-­benda lain. Syirik mengandungi perkara-­perkara berikut

a) Menyengutukan Allah pada sifat Rububiyyah atau Asma’ dan sifat atau pada sifat Uluhiyyah.

b) Mengambil sesuatu makhluk sama ada nabi-­nabi, wali-­wali, malaikat, kubur, jin, pokok kayu, batu, binatang, matahari, bulan, bintang dan seumpamanya sebagai sembahan.

c) Menyengutukan atau menyamakan Allah dengan sesuatu makhluk seperti seorang menyembah Allah di samping menyembah makhluk, dia kasih kepada makhluk sama seperti kasihkan Allah, takut kepada makhluk sama seperti takut kepada Allah, mentaati makhluk sama seperti mentaati Allah.

3.5.1 JENIS-­JENIS SYIRIK


Para ulama’ telah membahagikan syirik kepada dua jenis,

Pertama: Syirik Besar atau Nyata.

Kedua: Syirik Kecil

SYIRIK BESAR


Iaitu mempercayai atau mengaku adanya sesuatu yang setara atau setanding dengan Allah yang ditujukan kepada-Nya, doa permohonan sama seperti yang ditujukan kepada Allah, atau mengaku adanya sesuatu yang setara atau setanding dengan Allah yang diuntukkan kepada-Nya suatu cara ibadat yang hanya khusus untuk Allah sahaja, seperti seorang mengambil jin, syaitan, pokok, binatang, bulan, bintang sebagai tempat tumpuan ia beribadat, berlindung, atau tempat ia memberi ketaatan, berdoa memohon sesuatu atau seumpamanya.

Jenis Syirik Besar

Syirik besar terbahagi kepada dua bahagian:

1.Syirik yang nyata atau jelas: iaitu menyengutu dalam bentuk penyembahan, seperti menyembah matahari, bulan, atau manusia, berhala atau lain lain.


2.Syirik yang tidak nyata, iaitu yang tersembunyi, antaranya:
Meminta doa dan pertolongan dari kubur atau orang mati seperti minta tolong melepaskan dari bala kesusahan dan lain-lain.

Mengambil selain Allah sebagai pembuat syariat seperti menghalalkan yang haram atau mengharamkan sesuatu yang halal.

SYIRIK KECIL


Syirik kecil ialah segala kepercayaan, perkataan atau perbuatan yang menyebabkan berlakunya syirik terhadap kekuasaan atau peraturan Allah, seperti riak dalam melakukan ibadat.

Jenis-­jenis Syirik Kecil

Banyak syirik kecil yang berlaku dalam masyarakat, antaranya ialah:

Riak dalam melakukan ibadat dan amal soleh, seperti melakukan sembahyang sunat untuk menunjuk-nunjuk kepada orang tertentu, atau bersedekah dengan niat untuk mendapatkan nama.

Bersumpah dengan sesuatu selain Allah, seperti berkata, “Demi tanah air” atau “Demi nama (disebut nama kekasih atau lain-­lain) aku akan laksanakan perkara tertentu”.

Memakai benang atau azimat untuk mengubati penyakit, dengan meletakkan di leher atau di lengan atau di pinggang.

Jampi dan mentera dengan memohon pertolongan dari jin dan syaitan.

Bernazar kepada sesuatu selain Allah. Seperti nazar pada kubur, telaga atau pokok dan lain-­lain.

3.6 SUMBER ILMU DALAM AQIDAH (ASBAB AL-­‘ILMI)


Sumber ilmu adalah saluran manusia boleh mengetahui sesuatu ilmu. Dalam bidang aqidah Islam ada tiga perkara:-­

  • Pancaindera yang sejahtera.
  • Khabar yang benar iaitu Al-­Quran, al‐Sunnah dan maklumat yang diketahui ramai.
  • Akal yang waras

Huraian

3.6.1 Huraian sumber pertama (pancaindera yang sejahtera). Pancaindera yang lima ialah pendengaran (telinga), penglihatan (mata), bau (hidung), perasa (lidah), dan sentuhan (tubuh).

3.6.2 Huraian sumber kedua. (Khabar yang benar). Khabar yang benar ada dua:

Khabar yang mutawatir, khabar yang berlaku melalui percakapan ramai yang tidak mungkin berlaku dusta seperti wujudnya negara tertentu.

Khabar rasul yang dikuatkan dengan mukjizat iaitu khabar Rasulullah s.a.w yang mewajibkan dapat dan mendapat dalil serta ilmu yang thabit yakin.

3.6.3 Huraian sumber ketiga (akal sejahtera).

Akal sejahtera iaitu sebab bagi pengetahuan dan barang yang thabit dengan akal yang nyata, yang dikatakan suatu yang pasti seperti, “satu adalah setengah dari dua” atau dihukum alam ini baru sebab kita lihat ia berubah-­ubah, maka tiap yang berubah itu baru.

Sementara ilham dan kasyaf tidak boleh dijadikan saluran ilmu dalam aqidah kerana kedua-dua itu tidak dapat dipastikan kebenarannya (Penjelasan mengenai konsep Sumber Ilmu sila lihat “Asbab al-­‘Ilmi” dalam Jurnal Penyelidikan Islam, JAKIM, bil. 14/2001).

4. HURAIAN BAGI BEBERAPA KONSEP DAN ISTILAH


4.1 WAHDATUL WUJUD

Mengenai Wahdatul-­Wujud ia termasuk dalam perkara falsafah yang sememangnya tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w. Oleh kerana ia bukan berasal dari ajaran al-­Quran dan al-­Sunnah maka Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia telah memutuskan seperti berikut:

“Fahaman Wahdatul wujud menyalahi aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bertentangan dengan ajaran Islam”.

Bersetuju dengan fatwa rasmi Negeri Johor yang diputuskan pada tahun 1948 oleh S.S. Syed Alwi Tahir al-Hadad seperti berikut: “Mengikut pendapat ijma ulama’ fahaman wahdatul wujud adalah kufur. Sesiapa yang mempercayai dan mengamalkannya adalah terkeluar dari Islam. Jika pengamal fahaman tersebut mempunyai isteri, isterinya tertalaq dan anaknya adalah anak luar nikah dan hartanya hendaklah diserahkan kepada Baitulmal”. (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 48/2000).

Huraian

Pokok ajaran wahdatul wujud,

Tidak menerima bahawa kejadian alam ini adalah dari tiada (Creation ex-­nihilo) iaitu mereka tidak beriman bahawa alam dijadikan dari tiada pada suatu masa sebagaimana yang dikenali oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan kejadian alam.

Wahdatul wujud ialah hanya ada satu kewujudan saja iaitu wujud Allah. Adapun banyak yang kita lihat dalam dunia ini adalah sangkaan saja, yang sebenarnya ia hanya dianggap oleh akal yang cetek. Wujud hanyalah satu tidak berbilang-­bilang.

Beriman dengan teori “Emanation” (al-­Faidh) iaitu Allah menzahirkan sesuatu yang wujud dalam ilmu-Nya kepada wujud atau kenyataan. Kewujudannya perkara yang wujud ini dengan jelmaan Tuhan yang berterusan dan penzahiran Tuhan pada setiap masa yang tidak terhingga bilangannya dari berbagai gambaran (al-­Futuhat al-Makiyyah, Kaherah, Jilid II, hal.40.)

4.2 MARTABAT TUJUH


Martabat Tujuh adalah dari pemikiran yang berdasarkan falsafah wahdat al-­wujud, Mesyuarat Panel Kajian Aqidah (PKA) kali ke 12/1999 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia merumuskan ia bukan dari ajaran Islam. Pemikiran asas dalam ilmu martabat tujuh ini ialah kesatuan segala yang ada, yang tiada awal dan akhir, seterusnya berpendapat ia bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah. Ia merupakan satu ajaran falsafah. Ilmu ini termasuk dalam bidang tasawuf falsafah wahdatul wujud, yang mengatakan bahawa Allah mengadakan semesta ini bukan dari ‘tiada kepada ada’, seperti yang diiktikadkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi berpegang kepada daripada ‘ada kepada ada’.

Huraian

Martabat tujuh (lapisan tujuh) itu ialah Ahadiyah, Wahdah, Wahidiyah, Alam Arwah, Alam Mithal, Alam Ajsam dan Alam Insan. Ajaran ini dikesan mula dikembangkan di India kemudian di Mekah, selepas itu buku mengenainya telah ditulis dalam bahasa Arab dan dipercayai mula masuk ke Nusantara pada kurun ke tujuh belas Masehi, apabila sebuah buku yang bertajuk “Tuhfat al-­Mursalah” yang ditulis oleh Muhammad Fadlullah Al-­Burhanpuri dari India (meninggal tahun 1029H) telah dibawa ke Jawa dan diterjemahkan ke Bahasa Jawa. Seterusnya buku berkenaan dipercayai telah diserapkan ke dalam beberapa buah kitab agama, antaranya kitab Siyar Al-Salikin, Al-Durr Al-­Nafis dan lain-­lain. Ilmu ini pernah menjadi isu besar di Alam Melayu pada awal abad kedua puluh, hingga pernah dijawab secara terperinci oleh ulama’ Melayu yang tinggal di Mekah iaitu Syeikh Ahmad Khatib yang berasal dari Minangkabau. Hal ini berlaku pada tahun 1909 M. Beliau telah menulis buku sebagai jawapan kepada ajaran itu dengan nama “al-Syumus al-Lami’ah” diterbitkan pada tahun 1331H di Mesir. Buku tersebut mendedahkan secara menyeluruh tentang kepalsuan ilmu dan ajaran martabat tujuh berkenaan. Secara ringkas dapat diterangkan seperti berikut;

Penganut martabat tujuh terdiri dari orang jahil,

Segala-­galanya menyalahi syariat Nabi Muhammad,

Menjadikan bersatu Tuhan dengan hamba,

Ianya bukan dari ajaran Imam al Ghazali,

Ghalibnya kufur dengan Allah Taala.

Syekh Ahmad Khatib membuat kesimpulan akhir dengan mengatakan bahawa semua itu bukan dari perkataan orang ‘alim.

4.3 NUR MUHAMMAD

Nur Muhammad lahir dari falsafah martabat tujuh dan wahdat al-­wujud juga, ia bukan dari asal pemikiran Islam. Nur Muhammad dari segi bahasa ialah cahaya yang dihubungkan dengan Nabi Muhammad s.a.w. Dari segi istilahnya ialah ciptaan Allah yang pertama sebelum Ia menciptakan makhluk yang lain. Cahaya ini diciptakan daripada Nur Allah. Pada konsep asal bagi orang yang menerima kewujudannya, Nur ini sama dengan rupa kejadian Nabi Muhammad s.a.w. Perkataan yang sama maksud dengan Nur Muhammad ialah seperti al-­‘Aql al-­Awwal, Ta’yun Awwal, al-­Insan al‐Kamil, Qutub, Ghawth dan lain-­lain.

PKA ke 9/1997 berpendapat Nur Muhammad bukanlah berdasarkan nas yang kuat, oleh itu ia tidak dianggap sebagai dasar syara’ bahkan sebagai suatu spekulasi sahaja.

Huraian

Dalam kepercayaan kepada Nur Muhammad ia mengandungi beberapa perkara iaitu:-­

Nur Muhammad bersifat Qadim dan Azali.

Dijadikan Nur Muhammad terlebih dahulu sebelum dijadikan alam.

Semua alam dijadikan dari Nur Muhammad. Sandaran kepada pemikiran begini ada dibawakan hadith-­hadith maudhu’ atau palsu. Kepercayaan-­kepercayaan di atas adalah bertentangan dengan nas-­nas al-­Quran dan hadith sahih. Hanya terdapat hadith yang bertaraf Mustaqim sahaja, dan ia tidak boleh dijadikan asas, dalil dan hujah dalam bidang aqidah. (Penjelasan mengenai konsep Nur Muhamad sila lihat dalam Jurnal Penyelidikan, bil. 12/1999 dan kertas kerja bertajuk “Nur Muhammad” oleh Dr. Huda Muhsin dalam Mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke 9/1997). Nur Muhammad atau Hakikat Muhammadiah tidak lain dari merupakan spekulasi falsafah yang mengatakan akal pertama yang lahir dari Allah, seperti cahaya matahari terbit daripada matahari, atau ombak laut lahir dari laut. Hakikat yang sebenar cahaya matahari tidak lain daripada matahari dan ombak laut tidak lain dari laut. Cahaya matahari dan ombak sebenarnya tidak berwujud. Inilah iktikad kaum wahdatul wujud. Nur Muhammad adalah salah satu daripada punca wahdatul wujud yang berasal daripada teori emanasi, Neoplatonisma dan lain-­lain, ia bukan dari ajaran Islam. Gara-­gara Nur Muhammad golongan berkenaan terbawa-­bawa hingga mereka mengangkat Nabi Muhammad s.a.w ke martabat ketuhanan Al-­Nur dan mereka ketepikan firman Allah yang bermaksud;

“Katakanlah bahawa sesungguhnya aku ini adalah seorang manusia seperti kamu”. (Al-Kahfi, ayat 110).

4.4 KASYAF DAN ILHAM


Kasyaf bukan menjadi sumber ajaran dan ilmu dalam Islam. Jauh sekali dari menjadi hujah dalam syariat dan aqidah Islam, kerana ia datang bukan dari mereka yang ma’sum seperti Nabi atau Rasul. Kalau ada yang mendakwa telah menerima kasyaf perlu diteliti dahulu apa yang dibawakan itu bentuk dan perkara agama atau tidak. Sekira perkara agama dan ia bertentangan dengan al-­Quran atau hadith maka perlu ditolak, kalau tidak bertentangan maka ia boleh diterima. Oleh itu asas penerimaan bukan kasyaf tetapi sumber syara’ iaitu al-­Quran dan al-­Sunnah. Begitu juga ilham.

Huraian

Kasyaf menurut al-­Jurjani dalam kitab al-­Ta’rifatnya bermaksud menyingkap maklumat di sebalik hijab atau tabir yang berupa perkara ghaib dan perkara-­perkara yang benar ada;

الإطلاع على ما وراء الحجاب

Ilham pula ialah sesuatu yang dicampak dalam hati dengan cara anugerah seperti keterangan oleh al-­Jurjani:

ما يلقى فبالروع بطريق الفيض

Kasyaf dan Ilham tidak termasuk dalam Asbab al-­Makrifah atau sumber ilmu yakin, kerana sumber ilmu ini hanya tiga (3) perkara:-­

  • Pancaindera yang sejahtera.
  • Khabar yang benar iaitu Al-­Quran dan Hadith.
  • Akal yang sihat.


Beberapa istilah lagi yang hampir sama iaitu Ilmu Laduni, Ilmu Zauq, Ilmu Batin dan Ilmu Rahsia-rahsia. (Penjelasan mengenai konsep Kasyaf dan Ilham sila lihat dalam kertas kerja berkaitan dalam Mesyuarat Panel Kajian Aqidah (PKA) ke 15/2000).

4.5 YAQAZAH


Mengenai Yaqazah bersama Rasulullah s.a.w secara jaga dan sedar selepas Baginda wafat adalah suatu perkara yang sukar dipercayai. Mesyuarat Panel Kajian Aqidah (PKA) merumuskan ia adalah suatu pemikiran luar yang dibawa masuk ke dalam pengajian Islam. Pengalaman beryaqazah oleh orang tasawuf dengan Rasulullah s.a.w. hanya laporan dari pengalaman individu yang tidak ma’sum, oleh itu ia tidak boleh diterima dalam hal‐hal yang membabitkan agama, apa lagi yang menjurus kepada bidang aqidah dan syari’at Islam.

Huraian

Maksud Yaqazah yang ditakrif oleh al-­Jurjani iaitu sesuatu kefahaman yang dipercayai bersumber daripada Allah melalui suatu kejutan rohani yang bertujuan melarang.

( االفهم عن الله تعالى ما هو المقصود بزجره)

Difahamkan dari takrif ini Yaqazah adalah suatu kejutan dalam rohani yang berupa amaran supaya menjauhi sesuatu. Kejutan ini difahamkan bersumber dari Ilahi. Ada lagi istilah Yaqazah dipakai dengan erti bertemu Nabi dan menerima sabdanya dalam jaga. Ini yang dipakai oleh Asha’ari Muhammad bekas ketua Jamaah Kumpulan al-Arqam yang diharamkan oleh Kerajaan pada tahun 1994. Oleh itu kalau ada dakwaan tentang bertemu Nabi dalam masa jaga tentulah suatu perkara yang tidak boleh diterima sama sekali mengikut syarak. (Penjelasan mengenai konsep Yaqazah sila lihat dalam Jurnal Penyelidikan, JAKIM bil. 13/2000)

4.6 MIMPI


Mengenai mimpi orang awam bukan hujah menurut ijma’ ulama’, mimpi tidak boleh dijadikan sumber hukum dan aqidah. (lihat kitab ‘Ia’anah al-­Talibin, jld.1, hal. 230 dan rujuk Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-­36 pada 15 Disember 1994)

Huraian

Mimpi ada dua perkara, ada mimpi yang baik dan mimpi yang buruk. Mengenai mimpi yang baik ia bukan juga boleh dijadikan sandaran, apatah lagi yang buruk. Syarak menetapkan sumber hukum adalah dari Al-­Quran dan Al-­Sunnah yang kemudiannya diikuti ijma’ dan qias. Sumber mimpi dikesan datang dari Ilahi dan dari syaitan dan ada nafsani (psikologi). Sukar untuk diyakini sesebuah mimpi itu dari mana sumbernya yang sebenar, namun begitu mimpi para nabi adalah benar, kerana ia dilindungi oleh ‘ismah, sedangkan selain mereka tidak dilindungi. Oleh itu mimpi hendaklah dinilai terlebih dahulu sama ada ia bersesuaian dengan wahyu atau tidak. Sama ada khabar gembira atau tidak.

4.7 HULUL


Hulul adalah suatu istilah dalam tasawuf yang bermaksud Allah menempati pada makhluk. Hulul bukan dari ajaran Islam dan sememangnya amat bertentangan dengan al-­Quran, hadith dan ijma’. (Tafsir Ibnu Kathir, Surah Qaf, Ayat 50).

Huraian

Erti asal perkataan hulul ialah bersatu dua jisim sehingga apabila disebut yang pertama termasuk juga yang kedua seperti hulul air mawar dalam bunga mawar. Aliran hulul beriktikad bahawa Allah menempat dalam setiap sesuatu dan dalam setiap juzu’ (bahagian) daripada sesuatu sehingga boleh dikatakan bahawa setiap sesuatu itu adalah Allah, penjelmaan Lahut ke dalam Nasut. Hulul Lahut ke dalam Nasut itu adalah seperti Hulul Allah dalam jasad Nabi ‘Isa menurut ‘iktikad Agama Kristian. Bagi Husin bin Mansur al-­Hallaj, Nasut itu adalah aspek luaran bagi Lahut (manusia aspek luaran bagi Allah). Hulul adalah bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia adalah bukan dari ajaran Islam.

4.8 ITTIHAD


Ittihad adalah satu istilah yang digunakan dalam tasawuf dan Ittihad bukan dari ajaran Islam.

Huraian

Ittihad bererti bersatu, wujud makhluk itu iaitu wujud khaliq (Allah), fahaman seperti ini dikatakan berasal dari fahaman Jahmiah yang berkeyakinan bahawa zat Allah s.w.t. itu terdapat “halla” pada tiap tempat. Ajaran ini bukan berasal dari ajaran Islam. Ajaran seperti ini menurut Ibnu Taimiyah tidak dikehendaki Islam bahkan dianggap kufur. Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya telah ijma’ salah dan menyalahi aqidah Islam (Tafsir ayat 50, Surah Qaf)

4.9 TANGKAL AZIMAT


Azimat dalam bahasa Arab disebut “al-­tama’im”, iaitu tangkal yang biasa dipakai di leher, tangan atau di pinggang. Azimat ada berbagai bentuk. Ada dari kayu, rotan, paku, kertas, keris dan lain-­lain, seperti kertas yang berajah dan bertulisan tertentu, kemudian dibungkus dengan kain putih, hitam atau kuning. Dalam perkara ini Nabi s.a.w pernah menegah seorang lelaki menggunakan sesuatu berbentuk gelang di lengannya (Hadith Riwayat Ahmad dan Hakim). Maksud hadith Nabi s.a.w:

“Barangsiapa menggantungkan ‘azimat maka sesungguhnya ia menjadi musyrik”. (Hadith Riwayat Ahmad).

Hukum memakai tangkal azimat pula, jika tangkal azimat itu dari ayat al-­Quran atau yang mengandungi nama-­nama Allah atau sifat-­sifat-Nya, para ulama’ salaf telah berselisih pendapat kepada dua:-­

Pertama: Pendapat Saidatina Aisyah r.ha., Abu Jaafar Muhammad bin Ali dan lain-­lain mengharuskan memakainya.

Kedua: Pendapat Abdullah bin Mas’ud, Al-­Aswad bin Hakim dan lain-­lain, tidak mengharuskannya. Dalam memilih di antara dua pendapat tersebut, Dr. Yusof Al-Qardhawi memilih pendapat yang kedua, iaitu tidak mengharuskannya. Dalam kitab Mastika Hadith jilid pertama terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ada menyebut seperti berikut:

“Tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram sekiranya mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis atau yang mengandungi benda-­benda najis atau kotor”. (hal. 37)

Nabi s.a.w. menegah seorang lelaki menggunakan sesuatu berbentuk gelang di lengannya. Maksud hadith Nabi:

“Barangsiapa menggantungkan azimat maka sesungguhnya ia menjadi musyrik”. (Hadith Riwayat Ahmad dan Hakim).

4.10 MENTERA


Mentera dan jampi adalah sama maknanya. Jampi iaitu kata-­kata yang diucapkan untuk keperluan melindungi diri dari penyakit godaan syaitan dan sebagainya. Kadang-­kadang jampi mengandungi kata-­kata asing yang tidak difahami dan bersakti yang dalam bahasa Arab disebut Al-­Ruqyah atau Al-‘Auzah. (Ibnu Manzur, Lisanul Arab, Juz. V, hal. 34). Hukum menggunakan jampi sama seperti hukum azimat.

4.11 KERAMAT


Keramat ialah sesuatu yang diluar tabi’i yang diberikan kepada seseorang hamba yang soleh (Istilah Usuludin dan Falsafah, KL, DBP. hal. 211). Keramat ialah anugerah dari Allah. Ia tidak boleh dikuasai seseorang. Keramat ialah kemuliaan Tuhan dalam menjaga hamba-Nya yang soleh dan taat agar kemuliaan hamba-Nya tetap terjaga. Yang berbeza di antara mukjizat dan keramat ialah mukjizat dikhususkan kepada rasul dan nabi sedangkan keramat adalah dianugerahkan kepada umum orang mukmin soleh.

Huraian

Keramat banyak berlaku kepada para ulama’ dan orang soleh sejak dahulu sehingga kini. Penyelewengan dalam hal keramat ini di Alam Melayu bila kita lihat dari sudut pemujaan terhadap sesuatu. Umpamanya pemujaan terhadap kubur-­kubur yang dianggap wali keramat, perigi yang selalu digunakan oleh orang soleh, keris atau senjata tertentu.

4.12 MA’UNAH


Perkara yang luar biasa yang dikurniakan Allah kepada manusia biasa dan merupakan pertolongan kepada orang tertentu (DBP hal. 246). Orang yang selalu taat kepada Allah akan terhindar daripada bahaya orang yang ingin mengkhianatinya. Pertolongan Allah itu dikenali dengan “Ma’unah”, tak ubah seperti keramat, cuma seseorang itu tidak menduga akan mendapat pertolongan Allah dan tidak merasa mempunyai keanehan yang akan terjadi.

Huraian

Penyelewengan tentang penggunaan istilah ma’unah ini terjadi biasanya bagi mereka yang terlibat dalam urusan persilatan atau seumpamanya. Seperti Pertubuhan Nasrulhaq dalam tahun 1978 dan Pertubuhan Al-­Ma’unah dalam tahun 1999 (kedua-­dua pertubuhan itu telah diharamkan oleh kerajaan).

4.13 TAWASSUL


Mengerjakan sesuatu amal yang dapat mendekatkan diri kita kepada Tuhan (K.H. Sirajuddin Abbas [1970] Masalah Agama, II, Kota Bharu, hal. 63.).

Wasilah: Jalan dan amalan yang boleh menghampirkan diri kepada Allah, (Istilah Usuluddin dan Falsafah Islam, DBP, Kuala Lumpur, (1991), hal. 278.)

Huraian

Penggunaan tawassul oleh kebanyakan pengamal ilmu tarekat dan tasawuf berlegar di sekitar memohon doa kepada Allah dengan menggunakan tawassul orang tertentu, seperti nabi-­nabi, wali-­wali dan orang-­orang soleh, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dalam hal ini, ada perkara yang diharuskan dan ada pula yang tidak diharuskan oleh syara’ dalam menggunakan tawassul. Ini yang menjadikan sebahagian pengamal tarekat dan tasawuf terkeliru serta terperangkap dalam kesesatan. Tawassul yang diharuskan ialah tawassul dengan nama-­nama dan sifat-­sifat Allah, tawassul dengan amalan-­amalan soleh atau dengan iman kepada Allah dan rasul-Nya dan bertawassul dengan melalui doa orang saleh yang masih hidup. Sementara tawassul yang ditegah ialah memohon tawassul kepada roh orang mati supaya roh itu menolong menunaikan hajat keperluannya atau memohon supaya roh tersebut melepas atau menolak sesuatu bala bencana yang menimpanya, atau memohon secara bernazar dengan katanya, “Wahai syeikh si anu”, dengan disebut namanya dan lain-­lain lagi.

4.14 PERSALINAN RUH (TANASUKH ARWAH / REINKARNASI)


Persalinan ruh atau “Tanasukh arwah” ialah bermaksud perpindahan ruh seorang yang telah mati kepada orang lain. Dalam ajaran Islam tidak ada aqidah begini, aqidah seperti ini ada terdapat di kalangan penganut agama Hindu dan juga sebahagian penganut ajaran Syiah. Di kalangan pengamal perbomohan ada yang mempercayai mengenai perpindahan ruh seseorang kepada orang lain. Ini suatu perkara yang di luar dari aqidah Islam.

4.15 KHURAFAT


Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran‐ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam.

Ciri-­ciri Khurafat

  • Adanya unsur kepercayaan dan iktikad yang diyakini yang bukan dari sumber wahyu.
  • Ianya secara jelas bukan dari ajaran agama Islam serta bertentangan pula dengan logik akal dan realiti.
  • Ianya suatu amalan yang tidak baik dari warisan nenek moyang. Ada unsur pemujaan jin.

(Huraian lanjut boleh dirujuk kepada Garis Panduan Khurafat dan Azimat, Terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malysia,1997). Dengan itu cerita-­cerita yang mempesonakan yang dicampur-adukkan dengan perkara dusta, khayalan, ajaran-­ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang bertentangan ajaran Islam adalah salah.

4.16 MEMANGGIL RUH (TAHDHIR ARWAH)


“Tahdhir Arwah” bererti memanggil roh. Ia bukan dari ajaran nabi Muhammad s.a.w, bukan ajaran Sahabat, tabi’in atau para ulama’ Islam dahulu. Apa yang berlaku dalam peristiwa memanggil roh ialah seseorang itu menyerukan sesuatu kemudian berlaku pula gementar pada diri orang berkenaan dan suara pula berubah dengan suatu suara yang lain yang bukan suaranya lagi. Hal ini berlaku dalam beberapa ketika.

Ada yang mendakwa yang datang itu sebagai syeikh tertentu seperti Wali Songo, Nabi Khaidir atau sebagainya. Dalam hal ini para ulama’ ada memberikan fatwa bahawa ia adalah suatu perbuatan yang tidak diharuskan, kerana yang datang semasa panggilan itu dibuat sebenarnya bukan roh para nabi atau wali tertentu bahkan yang datang itu ialah suatu makhluk halus yang dikenali sebagai jin atau syaitan yang menjelma dalam bentuk suara orang tertentu, yang sememangnya ia boleh melakukannya.

Hakikat roh orang yang meninggal sama ada baik atau tidak adalah di bawah kekuasaan Allah, sedikit pun tidak ada kuasa lain yang boleh menguasai roh-­roh itu. Mesyuarat Panel Kajian Aqidah ke-­25/2003 telah mengambil keputusan bahawa mengamalkan “tahdhir arwah” adalah haram.

Huraian

Di kalangan orang barat ada kerjaya khusus yang menjalankan urusan memanggil roh orang yang telah meninggal dunia. Begitu juga berlaku di kalangan pengamal perbomohan Melayu, India dan Cina. Ia hampir sama dengan perbuatan atau amalan menurun. Imam Ibn Qayyim menjelaskan bahawa selepas mati, roh akan kembali ke alam barzakh yang mana Rasulullah telah melihat roh-­roh tersebut di langit dunia ketika isra’ dan mikraj.

Cara yang biasa dilakukan dalam amalan “tahdhir al-­arwah” ialah dengan melalui perantara dengan menjampi kalimah tertentu atau dengan melepaskan asap kemenyan dan sebagainya sehingga perantara itu tidak sedarkan diri. Di antara ulama’ yang menolak amalan “tahdir al-­ arwah” ini ialah Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Muhammad al-­Ghazali, Dr. Muhammad Muhammad Hussain dan lain-­lain.

Syeikh Muhammad Mutawalli al-­Sya’rawi dalam kitabnya “Fatawa” menjelaskan bahawa amalan “tahdir al-­arwah” adalah satu pembohongan semata-­mata. Beliau menjelaskan bahawa sebenarnya amalan tersebut adalah menghadirkan jin.


“Istinzal arwah” atau menurun pada hakikatnya adalah satu keadaan menyebabkan seseorang itu diresapi oleh makhluk halus yang dipanggil. Hal tersebut akan menyebabkan makhluk tadi sebati dalam diri orang yang menurun, dan menguasai perasaan, fikiran, tutur kata dan jasad orang yang berkenaan. Terdapat upacara perubatan tradisional dilakukan ketika seseorang itu dalam keadaan menurun. (Dr. Amran Kasimin, Liku‐liku Iblis Menipu Manusia, 1992, KL. Hal. 82). Melakukan kerja dan urusan seperti ini tidak dibenarkan oleh agama kerana ianya boleh membawa seseorang pengamal itu termasuk dalam keadaan yang dirinya tidak dapat dikawal sendiri tetapi sudah tergolong dalam orang yang dikawal dan dikuasai oleh suatu kuasa lain yang boleh disebut sebagai makhluk halus. Pengamal tersebut dalam keadaan separuh sedar itu jika berlaku sesuatu di luar syariat, sudah tentu boleh membawa kepada dosa besar, bahkan lebih besar lagi jika berlaku kematian maka ia termasuk dalam golongan su’ul khatimah atau orang‐orang yang sesat.

4.18 TAREKAT


Tarekat bererti jalan, dalam ajaran tasawuf. Tarekat ialah satu istilah yang lahir selepas zaman permulaan Islam, bermaksud jalan yang dilalui untuk beribadat bagi mencapai ke suatu maqam yang tinggi dalam usaha mengenal Allah. Menurut keyakinan sufi orang tidak boleh sampai kepada hakikat tujuan ibadat sebelum menempuh jalan itu. Jalan itu dinamakan tarekat. Pelbagai nama tarekat terdapat di Malaysia, di antara yang popular hingga kini ialah, Tarekat Qadiriyyah, Naqsyabandiyyah, Ahmadiyyah, Samaniyyah, Syazaliyyah, Refaiyyah dan lain-­lain. Pihak kerajaan telah membuat kajian tentang tarekat di Malaysia dan mendapati ada beberapa tarekat telah menyeleweng dari ajaran Islam. Oleh itu satu keputusan telah dibuat bahawa kerajaan tidak boleh mengiktiraf mana-­mana tarekat tertentu kerana dibimbangi ada berlaku penyelewengan dalam aspek tertentu.

4.19 RABITAH


Maksud “rabitah” di segi bahasa ialah “hubungan” atau “ikatan”. Dilihat dari segi hukum, ada tiga jenis rabitah iaitu; wajib, sunat dan harus. Rabitah yang wajib seperti mengadap kiblat dalam sembahyang; ka’abah, menjadi rabitah wajib, sedangkan yang disembah ialah Allah. Yang sunat ialah seperti pandangan ma’mum terhadap imam semasa berjemaah. Yang harus pula ialah seperti memandang benda yang baik pada waktu kita hendak melakukan sesuatu agar ia menjadi baik pula. (lihat Dr. Abu Bakar Achih, Pengantar Ilmu Tarekat Dan Tasawuf, 1993, Kota Bharu, hal. 89).

Dari segi amalan tasawuf, murid-­murid diibaratkan orang buta yang harus mengikuti gurunya yang matanya jelas melihat. Dialah yang dikatakan guru mursyid iaitu yang karam dalam laut muraqabah.

Hakikat rabitah bagi ahli tarekat ialah bersahabat atau sebanyak mungkin berserta (duduk bersama) dengan mursyid atau dengan guru-­guru yang pandai, yang hatinya selalu ingatkan Allah. (Dr. Abu Bakar Achih, 1993. h. 90).

Mursyid bermaksud: Orang yang memberi ilmu dan bimbingan kepada murid, tidak kira dalam bidang apa sekali pun. Tetapi apa yang menjadi kemusykilan ialah penggunaan istilah “guru mursyid” di kalangan orang tarekat tasawuf begitu menonjol kepada suatu kefahaman yang lain seolah-­olah dan semacam dengan imam yang ma’sum seperti dalam ajaran Syiah. Dengan itu setiap murid mesti patuh dan taat seratus peratus kepada guru berkenaan tanpa soal.

Inilah yang boleh membawa kepada penyelewengan aqidah. “Syeikh Mursyid” merupakan satu perkara yang baik pada prinsipnya dan boleh diterima sebagai kaedah pendidikan rohani tetapi hendaklah tertakluk kepada kaedah-kaedah tertentu seperti tidak boleh mentaati syeikh dalam perkara yang jelas bercanggah dengan syarak dan sebagainya. (PKA ke-­27/2004).

4.20 WALI


Menurut istilah, “wali” ialah orang mukmin yang dilindungi oleh Allah disebabkan ia memelihara ibadah dan ketaatan secara terus menerus, orang yang mencapai tahap wali segala urusannya di bawah peliharaan Allah. Wali biasanya tidak mendakwa dirinya sebagai wali, dia hanya mengamalkan ibadat terhadap Allah secara berterusan, tidak runsing dengan keduniaan, tidak berdukacita dengan kesusahan, tidak takut dicela orang, malah sentiasa bersabar. Bagi wali yang palsu semuanya berlawanan dengannya. Pada masa ini ada pihak yang membuat dakwaan bahawa ada satu cara tertentu untuk menjadi wali iaitu dengan mengamalkan tarekat tertentu selama beberapa masa maka ia layak dianggap wali atau dilantik sebagai wali dengan taraf yang tertentu.

4.21 SIHIR


Sihir adalah istilah yang merujuk kepada amalan jahat manusia yang dibantu atau disokong oleh jin-­jin terdiri daripada iblis dan syaitan, yang dilakukan secara tersembunyi dan rahsia, tidak mudah diketahui umum, yang boleh melahirkan berlaku berulang kali. Sihir boleh dipelajari dengan menuntut. Natijah daripadanya tidak boleh dibuktikan oleh akal, tentang bagaimana hal demikian boleh berlaku, atau dibuktikan melalui peralatan moden, kecuali natijah yang memberi bekas pada jasad. (Dr Amran Kasimin, Amalan Sihir Masyarakat Melayu: Satu Analisis, KL, 1997, hal. 11).

Ayat al-­Quran ada menyebutkan hal ini dalam surah al-­Baqarah Ayat 102. Dari segi hukum perbuatan sihir adalah haram dan termasuk dalam dosa besar.

4.22 PENGGUNAAN JIN


Mendampingi atau menggunakan jin dengan cara tertentu, sama ada melalui menuntut saka (sejenis jin dari keturunan atau yang dipelihara) atau dengan seru atau pemujaan. Perbuatan ini dianggap salah jika dengan maksud melakukan perbuatan yang salah di segi syara’, kerana boleh membawa kepada pemujaan jin. Ada orang menggunakan jin disebut dengan berbagai nama seperti alam ghaib atau lain-­lain, yang sebenarnya ia adalah dari jenis jin. Dalam keadaan tertentu walaupun penggunaan makhluk jin ada menampakkan kebaikan yang kadang-kadang agak menonjol, tapi ia boleh membawa kepada penyelewengan aqidah, kerana amalan seperti itu bukan dari ajaran Nabi.

4.23 TAFSIR BEBAS


Pada masa ini ada pihak tertentu telah cuba mentafsirkan ayat al-­Quran dengan pemikiran sendiri tanpa merujuk kepada sumber yang berwibawa seperti dari tafsir para ulama’ yang muktabar, mereka ini telah menganggap bahawa semua orang Islam boleh memberikan tafsiran sendiri mengikut keadaan masa dan tempat. Sebagai contoh seseorang yang selalu menggunakan al-Quran sebagai alat yang boleh mengabui mata mangsa tertentu, khasnya dalam cara perubatan tradisional, mereka telah mentafsir ayat-­ayat tertentu dengan tujuan yang bukan syari’e. Biasanya mereka cuba mentafsir dengan akal dan nafsu atau mengikut kepentingan sesuatu semata-­mata. Berlaku di kalangan guru-­guru ajaran sesat yang telah menggunakan ayat al-­Quran yang dihuraikan mengikut kehendak mereka sendiri, jauh dari asas kebenaran kerana tidak merujuk kepada kitab tafsir yang muktabar. Maka ketika itu berlakulah penyelewengan. Ini jelas sekali bila dilihat kepada ajaran “Ilmu Hakikat Insan” yang dibawa oleh Haji Ahmad Laksamana dalam bukunya “Hakikat Insan” yang diterbitkan di Kota Bharu, Kelantan, 1985, tanpa nama penerbit.

Contoh lain ialah tafsiran yang dilakukan oleh golongan Islam Liberal yang telah memberikan tafsiran bahawa semua agama adalah betul dan diakui oleh Allah kerana agama-­agama adalah dari Tuhan yang sama. Perkara ini adalah suatu yang amat bahaya kepada aqidah umat Islam dan ianya perlu ditentang dengan bijaksana.

Tafsiran bebas adalah racun terbesar bagi kita. Sebenarnya dalam hal ini kita dapati setiap mazhab menceritakan ayat-­ayat al-­Quran mengikut mazhab masing-masing, contohnya kitab “al-­Tuhfah al-­Mursalah” oleh Muhammad Fadhlullah al-­Burhanpuri mengadakan dalil dari ayat-­ayat al-­Quran untuk menguatkan fahaman “wahdatul wujud”nya, sedangkan kesemua dalil yang dibawakan itu tidak menunjukkan kepada fahamannya, kerana berlawanan sama sekali dengan apa yang dibawakan oleh ulama’-ulama’ tafsir yang muktabar.

4.24 HADITH PALSU ATAU MAUDHU’


Kebayakan hadith palsu, maudhu’ arau rekaan digunakan oleh pihak atau orang yang mengamalkan ajaran sesat atau tidak berasaskan dari sumber yang sah dan benar dari kitab hadith. Pendakwah-­pendakwah juga menggunakan hadith palsu dalam bab targhib dan al-­tarhib atau dalam hal al-­Fadha’il dan al-­Raza’il. Mereka hanya mengambil sesuatu yang dikatakan hadith itu dari guru yang jahil tentang hadith apalagi merujuk kepada kitab Arab. Banyak hadith palsu yang digunakan sekarang ialah dalam amalan ilmu tasawuf dan kerohanian, mereka lebih suka mengambil ilmu berkenaan dari buku tertentu, bukan dari kitab hadith, sedangkan perkara yang dibincangkan adalah perkara agama. Hadith palsu adalah suatu perkara yang boleh merosakkan struktur keilmuan Islam dan boleh meruntuhkannya.

Pembinaan ilmu Islam adalah dari asas yang kukuh dan dengan disiplin yang telah diwarisi oleh para ulama’ dari zaman berzaman.

4.25 PERKARA GHAIB


Percaya kepada yang ghaib adalah termasuk dalam kepercayaan daripada unsur-­unsur yang terkandung dalam Rukun Iman yang enam, rujuk surah al-­Baqarah, ayat 3; iaitu mereka percaya kepada yang ghaib. Dalam perkara yang ghaib itu kita telah ditentukan dengan perkara-­perkara berikut iaitu:-

  • Beriman kepada yang paling ghaib yang sama sekali tidak boleh dilihat oleh kekuatan pancaindera dan akal manusia iaitu Allah s.w.t.
  • Beriman kepada yang belum dilihat iaitu malaikat, asal kitab Allah dan akhirat yang meliputi syurga, neraka, alam barzakh, mahsyar, berita lain yang berkaitan dengan akhirat.
  • Beriman kepada semua perkara yang difirmankan oleh Allah s.w.t. yang sememangnya Allah yang maha mengetahui yang ghaib dan Dia tidak menyatakan kepada seseorang pun tentang yang ghaib itu, kecuali kepada rasul yang diredhai-Nya (Surah al-­Jin, ayat 26-27). Sedangkan mereka tidak mengetahui apa-­apa dari ilmu Allah kecuali apa yang Allah kehendaki (Surah al-­Baqarah, ayat 255).


Ghaib ada dua macam iaitu, “ghaib mutlak” dan “ghaib terikat (atau terbatas)”; ghaib mutlak hanya diketahui oleh Allah.

“Ghaib terikat” dapat diketahui oleh orang yang tertentu dengan izin-Nya (Al-­Syaarawi, hal. 97). Dalam masalah perkara yang ghaib ini ada pihak tertentu mendakwa dia dapat mengetahui alam ghaib hatta Luh Mahfuz dan sebagainya. Biasanya orang yang mendakwa begitu adalah terdiri dari mereka yang kononnya telah sampai ke tahap hampir dengan Allah, biasanya dari ahli ibadat atau golongan yang menganggap diri sebagai ahli sufi. Ada juga dari mereka yang melakukan kerja perbomohan atau pawang. Dalam hal ini, ianya adalah suatu yang bertentangan dengan firman Allah seperti maksud ayat-­ayat di atas.

4.26 MAKHLUK HALUS


Syaitan, jin, hantu polong dan sebagainya digolongkan sebagai makhluk halus. Mereka boleh mengganggu manusia dengan berbagai bentuk dan cara. Oleh kerana mereka hidup di dunia bersama dengan manusia, Allah memerintahkan orang Islam memohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam. Gangguan syaitan seperti rasukan, histeria, tidak sedarkan diri, meronta, muntah dan lain-­lain. Dalam al-­Quran ada menyebutkan tentang ayat yang menyentuh mengenai penyembuhan penyakit, antaranya ayat 82 Surah Isra’, dan disokong oleh beberapa hadith sahih, bahawa Nabi menggunakan beberapa ayat al-­Quran di samping doa terutama mengenai penyakit spiritual. Amalan Sahabat juga banyak. Makhluk halus meliputi lblis, Syaitan, Jin, Qarin, Hantu dan Ifrit. Kita umat Islam dilarang menjadikan makhluk halus sebagai sahabat rapat kerana dibimbangi membawa kepada masalah aqidah yang tidak selamat. Dalam masalah makhluk halus seperti diterangkan di atas, ada pihak yang mencari makhluk tertentu untuk didekati atau dijadikan sahabat dan kawan, sedangkan agama kita melarang dari berbuat demikian (sila rujuk surah al-­Jin, ayat 6), kerana jika terjadi perkara buruk seperti kematian terhadap orang berkenaan akan membawa mudarat yang amat besar. Aqidah tidak akan selamat. Oleh itu perlulah dijauhi dan sentiasa memohon kepada Allah agar terhindar dari makhluk halus.

4.27 QARIN (PENDAMPING)


Qarin adalah kalimah Arab yang bermaksud sesuatu yang menyertai (Munajid 1956 : 625). Ia adalah tergolong dalam roh-­roh jahat yang mendampingi manusia sejak dari lahir sehingga ia meninggal dunia. Qarin dicipta Tuhan gunanya ialah untuk menggoda manusia dari jalan yang benar. Dalam al-­Qur’an, Allah s.w.t berfirman yang maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (al-­Quran yang diturunkan oleh Allah) Ar-­Rahman, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah ia temannya yang tidak renggang daripadanya”. (Surah az-­Zukhruf, Ayat 36)

4.28 MEDITASI


Mesyuarat Panel Kajian Aqidah yang ke 22/2002 pada 28-­29 Oktober 2002 telah memutuskan bahawa amalan meditasi adalah bercanggah dengan Islam dan bukan dari ajaran Islam.

Huraian

Erti meditasi: Fikiran yang mendalam terutama mengenai perkara-­perkara kerohanian. Meditasi adalah dari amalan Yoga. Jika ada amalan pernafasan di kalangan orang Islam, kemungkinan semuanya berasal dari Yoga Hindu kerana ianya tiada asal di dalam al-Quran dan hadith. Yoga adalah sambungan roh individu dengan roh alam semesta atau kesatuan roh individu dengan Allah. Dalam amalan Yoga bila menghisap nafas kata dalam hati “Jesus anak Tuhan” dan bila menghembus nafas katalah “rahmatilah kami”. Juga terdapat di kalangan orang Melayu, apabila menghembus nafas di sebut “Allah” dan bila menarik nafas disebut “hu”. Yoga adalah falsafah Hindu yang mengawal kita, mengawal minda, deria dan jasmani untuk menghasilkan pengalaman mistik serta paduan jiwa individu dengan roh alam semesta. Dalam Islam tidak wajar digunakan perkataan “meditasi” tetapi lebih tepat digunakan “muraqabah” iaitu ibadat pada maqam ihsan. Muraqabah “tasawuf wahdat al wujud” ada persamaan dengan meditasi Yoga Hindu bukan muraqabah pada maqam ihsan. (Rujuk PKA ke-­21/2002, pada 26-­27 Ogos 2002) Walau bagaimanapun muraqabah tidak sama dengan meditasi, kerana muraqabah adalah ibadat, tetapi Yoga adalah falsafah Hindu, untuk mengawal kita, mengawal minda, deria dan jasmani untuk menghasilkan pengalaman mistik serta paduan jiwa individu dengan roh alam semesta. Yoga adalah satu sistem meditasi bertujuan mahu bersatu roh pertapa dengan roh alam semesta. Dalam mistik Hindu Brahman adalah roh alam semesta. Brahman adalah kekal ada di seluruh semesta.

NOTA: PENGGUNAAN GARIS PANDUAN INI


Perkara asas dalam huraian ini boleh digunakan oleh semua pihak. Ada baiknya juga dirujukkan kepada buku-­buku Garis Panduan yang disediakan oleh JAKIM, antaranya ialah:

Garis Panduan Bomoh Menurut Islam Garis Panduan Persilatan Menurut Islam.

Garis Panduan Khurafat dan Azimat .

Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam.

Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung Dengan Unsur-­unsur Yang Bercanggah Dengan Aqidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Lain-­lain buku aqidah yang diterbitkan oleh JAKIM.

PENUTUP


Semoga apa yang tercatat dalam kertas ini menjadi bahan asas rujukan oleh para pegawai dan semua pihak yang ingin menggunakannya.

Disediakan oleh

Haji Abdul Hamid @ Yusuff bin Yunus Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),

PUTRAJAYA

Tarikh : 25/10/2005

[ Nota: Versi Web ini disunting oleh https://darulkautsar.wordpress.com/ ]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s