[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO – [Durasi 48m 13s] – Dosa Besar – Tidak Mengeluarkan Zakat – Ust Shamsuddin Abd Rahman
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/8SMnSB0Pc0w ]
TIDAK MENGELUARKAN ZAKAT
Allah berfirman:
“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat”. (Surah Ali Imran, Ayat 180)
“Dan kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya, (iaitu) orang-orang yang tidak menunaikan zakat”. (Surah Fushshilat, Ayat 6 & 7).
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu”. (Surah At-Taubah, Ayat 34 & 35).
Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak ada pemilik emas dan perak yang tidak mengeluarkan zakatnya kecuali pada hari kiamat nanti akan dibentangkan baginya kepingan-kepingan dari api, lalu ditelentangkan di atasnya, di neraka Jahannam. Maka dia akan dipanggang dengan kepingan itu pada dahi dan punggungnya. Setiap kali sejuk, kepingan itu akan dipanaskan lagi untuknya. Satu hari di sana sama dengan lima puluh ribu tahun. Begitulah sehingga Allah mengadili manusia seluruhnya dan dia pun tahu ke mana jalan yang akan ditempuhnya; ke syurga atau ke neraka“. Seseorang bertanya. “Wahai Rasulullah s.a.w bagaimana tentang unta?”. Baginda menjawab. “Dan tidak pula pemilik unta yang tidak mengeluarkan zakatnya kecuali pada hari kiamat nanti akan dihamparkan tanah yang sangat lapang, dipenuhi oleh unta-untanya yang benar-benar sihat dan gemuk, tanpa ada satu anak unta pun yang tertinggal. Semua unta itu memijaknya dengan tapak kakinya dan menggigitnya dengan mulutnya. Setiap kali unta terakhir melakukannya didatangkan lagi unta pertama. Itu dalam satu hari yang sama dengan lima puluh ribu tahun. Begitulah sampai Allah mengadili manusia seluruhnya dan dia pun tahu ke mana jalan yang akan ditempuhnya; ke syurga atau ke neraka”. Seseorang lagi bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan lembu dan kambing?”. Baginda menjawab, “Begitu juga dengan pemilik keduanya jika tidak membayar zakatnya. Akan dihamparkan tanah yang sangat lapang, dipenuhi oleh lembu-lembu dan kambing-kambing yang benar-benar sihat dan gemuk, tidak ada tanduk yang bengkok, patah atau yang tidak bertanduk. Semuanya akan menanduknya dan memijak-mijaknya dengan kaki-kakinya. Itu dalam satu hari yang sama dengan lima puluh ribu tahun. Begitulah sehingga Allah menghisab semua manusia dan dia pun tahu ke mana jalan yang akan ditempuhnya; ke syurga atau ke neraka”. [1]
Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiga orang yang pertama kali masuk neraka adalah pemerintah yang zalim, hartawan yang tidak membayar hak Allah pada hartanya dan orang miskin yang sombong.” [2]
Abdullah bin Abbas r.a. berkata, “Barangsiapa memiliki harta yang cukup untuk menunaikan ibadah haji tetapi ia tidak menunaikannya atau memiliki harta sehingga cukup nisab tetapi dia tidak membayar zakat, niscaya akan meminta “raj’ah” (dikembalikan) di kala mati”. Seseorang membantah, “Bertaqwalah kepada Allah, wahai Ibnu Abbas. Hanya orang-orang kafir saja yang meminta raj’ah!”. Ibnu Abbas pun menjawab, “Akan aku bacakan satu ayat (yang maksudnya), “Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu”, lalu dia berkata. “Ya Rabbku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh (Al-Munafiqun, Ayat 10). Maksud bersedekah adalah membayar zakat, dan maksud menjadi salah seorang soleh adalah menunaikan haji”. Seseorang bertanya, “Berapa nisab harta?”. “Jika telah mencapai 200 dirham, wajib dikeluarkan zakatnya”, jawab Ibnu Abbas. “Apakah yang mewajibkan haji?”, tanya seorang lagi. Beliau menjawab “Cukup bekal dan ada kenderaan”. [3]
Perhiasan yang biasa atau dikhaskan untuk dipakai tidak wajib dikeluarkan zakatnya. Berbeza dengan perhiasan yang sengaja dihimpun atau disimpan, wajib dikeluarkan zakatnya. [4]
Harta perniagaan wajib dikeluarkan zakatnya. Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa dikurniakan harta oleh Allah tetapi tidak mahu membayar zakatnya, niscaya pada hari kiamat nanti hartanya akan dijadikan sebagai ular ganas yang memiliki dua taring bisa. Ular itu melilitnya pada hari kiamat dan mematuk-matuknya pada kedua-dua belah mulutnya sambil berkata, “Akulah hartamu, akulah perbendaharaanmu!”. Lalu Baginda membaca ayat yang bermaksud:
“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya pada hari kiamat”. (Surah Ali Imran, Ayat 180) [5]
Berkenaan dengan firman Allah. “Pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka”, (Surah At-Taubah, Ayat 35), Ibnu Mas’ud berkata, “Keadaannya bukan seperti dinar ditumpuk-tumpuk dan bukan seperti dirham yang ditumpuk-tumpuk, tetapi setiap dinar dan dirham tersebut dihamparkan yang mana kulitnya telah diregangkan sedemikian rupa sehingga setiap dinar dan dirham mengambil tempatnya”. [6]
Jika ada yang bertanya mengapa hanya dahi, rusuk dan punggung yang terkena seksaan ini, maka jawapannya ialah, apabila seorang hartawan yang bakhil melihat orang fakir pastilah masam mukanya, ia luaskan dahinya, lalu berpaling (menarik rusuknya ke tepi). Dan jika orang fakir tadi menghampirinya nescaya dia akan membelakanginya (menampakkan punggungnya). Dia nanti akan diseksa pada ketiga bahagian tubuhnya itu, balasan seksa yang setimpal dengan apa yang telah dia lakukan.
Rasullah s.a.w bersabda, “Lima dengan lima”. Mereka bertanya. “Wahai Rasulullah, apakah lima dengan lima itu?”. Baginda menjawab, “Bila suatu kaum itu melanggar perjanjian, Allah akan menjadikan musuh mereka menguasai mereka. Bila manusia itu mengambil hukum selain dari hukum Allah akan tersebar kefakiran pada mereka. Bila perbuatan keji dilakukan secara terang-terangan kematian akan berleluasa. Bila mereka mengurangi takaran dan timbangan kebuluran dan kemarau akan menimpa mereka. Bila mereka enggan membayar zakat hujan akan ditegah turun pada mereka”. [7]
Nasihat Bagi Mereka Yang Terpedaya Dengan Kehidupan Dunia
Katakanlah kepada manusia yang disibukkan oleh dunianya, sesungguhnya apa saja yang mereka kumpulkan itu tidak mendatangkan manfaat sama sekali. Iaitu ketika ancaman bagi mereka tiba. Pada hari dipanaskan apa yang mereka kumpulkan itu di dalam neraka jahannam lalu diselar pada dahi, rusuk dan punggung mereka. Bagaimana mungkin lenyap dari hati dan fikiran mereka, firman Allah, “Pada hari dipanaskan emas perak itu di dalam neraka jahannam lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka”. (Surah At-Taubah, Ayat 35)
Harta itu dibawa ke tempat hukuman dilaksanakan. Lalu diletakkan di tempat pemanggang (api neraka) dan dibakar dengan tujuan untuk menambah seksaan. Kemudian dibuatlah kepingan-kepingan (dari api neraka) supaya kulit dibakar lebih merata. Setelah itu didatangkan orang yang semasa di dunia tidak mengikut petunjuk, berjalan ke tempat itu tidak bersama kaum yang bersinar cahaya mereka. Kemudian dipanaskan emas dan perak itu di dalam neraka Jahannam, lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka.
Dulu semasa di dunia, jika seorang miskin datang menemui mereka, apa yang diperolehinya adalah hati yang pedih. Jika si miskin itu meminta sesuatu dari mereka, mereka segera berpaling dengan kemarahan. Rupanya mereka lupa pada hikmah Allah mencipta si kaya dan si miskin. Betapa berat kesedihan yang akan mereka hadapi. “Pada hari dipanaskan emas perak itu di dalam neraka jahannam lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka”.
Selepas kematiannya, waris-warisnyalah yang akan menikmati harta yang ditinggalkannya tanpa perlu bersusah payah. Orang yang mengumpulkannya dahulu akan ditanya, “Dari mana dan harta apa yang kamu perolehi?”. Yang diperolehinya hanya kesusahan manakala manis dan madunya dinikmati pewarisnya. Mengapa mereka tamak?
Di mana akal mereka?, “Pada hari dipanaskan emas perak itu di dalam neraka jahannam lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka”.
Alangkah ngerinya jika anda menyaksikan mereka di lapisan-lapisan neraka, menggeliat-geliat di atas bara dirham dan dinar, tangan kanan dan tangan kiri mereka dibelenggu kerana kebakhilan mereka dahulu. Kalaulah anda melihat mereka di dalam neraka Jahannam, diberi minum dari timah panas, lalu mereka berteriak-teriak, pada hari dipanaskan emas perak itu di dalam neraka jahannam lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka”.
Semasa di dunia mereka diberi nasihat dan peringatan, namun tidak meninggalkan kesan. Berapa banyak mereka diancam dengan seksaan Allah, namun tidak ada di antara mereka yang merasa takut. Dengan harta mereka, mereka seolah-olah telah menjadi Syuja’ Aqra’ (ular besar), sehingga apalah erti tongkat dan bukit Thur mukjizat Musa. Sekali lagi pada hari dipanaskan emas perak itu di dalam neraka jahannam lalu diselarkan pada dahi, rusuk dan punggung mereka”.
“Barangsiapa melihat (kebenaran), maka (manfaatnya) itu adalah untuk dirinya sendiri. Dan barangsiapa buta (dari melihat kebenaran), maka itupun untuk dirinya sendiri”. (Surah Al-An’am, Ayat 104)
“Dan Rabb-mu sekali-kali tidaklah menganiaya hamba (Nya)”. (Surah Fushshilat, Ayat 46)
Marilah kita memohon ampunan dan ‘afiyah (kesejahteraan batin) kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Memberi lagi Maha Pemurah.
NOTA KAKI
1. Hadith diriwayatkan oleh Abdurrazzaq (6858), Ahmad (2/262-286), Muslim (987), Abu Daud (1658, 1659) dan An-Nasa’i (6/12-13) dari Abu Hurairah.
2. Hadith diriwayatkan oleh Ahmad (2/479), Al-Baihaqi (3063) dalam Asy-Syu’ab dan diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (1642) dengan lafaz, “Awwalu tsalatsatin yadkhuluna al-jannah’ alhadith. Dan ianya adalah hadith dhaif.
3. Hadith diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (3316) dan isnadnya dhaif. At-Tirmidzi mendhaifkannya dan menyatakan kesahihannya secara mauquf.
4. Ar-Rajih (yang lebih kuat – mengikut pendapat penulis) bahawa perhiasan wajib dikeluarkan zakatnya baik dipakai atau pun tidak. Wallahua’alam.
5. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (1403,4565,4659) dan An-Nasa’i (5/39) dari Abu Hurairah.
6. Asy-Syuyuthi berkata dalam Ad-Durr (Ad-Durru Al-Mantsuru (3/419) diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim, Ath-Thabrani. Abu Asy-Syaikh Al-Mundziri berkata, “Diriwayatkan oleh At-Thabrani, dan isnadnya sahih”. Saya katakan, “Diriwayatkan juga oleh Ath-Thabari (10/124), dan semua perawinya tsiqah (terpercaya).
7. Diriwayatkan oleh Ibnu Majah (4019), Al-Baihaqi (3042) dalam Asy-Syuab, Al-Hakim (4/540) dan Abu Nu’aim (8/333). Asy-Syaikh Al-Albani menghasankannya dalam Ash-Shahihah (106) dari Ibnu Umar. Al-Baihaqi mengeluarkan hadith seumpamnya di dalam Asy-Syu’ab (3040), juga al-Hakim 2/126) dan Al-Baihaqi dalam As-Sunan (9/231) dari Buraidah.
· Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.g