[Muat Turun Artikel – Format PDF]
Allah s.w.t. berfirman: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi”. (Surah Al-Muthafffin, Ayat 1-3)
As-Suddi menceritakan, ketika Rasulullah s.a.w sampai di Madinah, di sana ada seorang lelaki yang dikenali sebagai Abu Juhainah. Ia memiliki dua sukatan. Dia menjual barang dagangannya dengan satu sukatan dan membeli barang dengan sukatan yang satu lagi. Kemudian Allah menurunkan ayat ini. [1]
Abdullah bin ‘Abbas berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, “Lima dengan lima”. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah lima dengan lima itu?”. Baginda menjawab, “Tidaklah suatu kaum itu membatalkan perjanjian (secara tidak jujur) kecuali Allah akan menguasakan atas mereka musuh mereka. Tidaklah mereka berhukum dengan selain hukum Allah kecuali kefakiran akan bermaharajalela di antara mereka. Tidaklah perbuatan keji (zina) dilakukan secara terang-terangan di antara mereka kecuali Allah akan menurunkan penyakit tha’un (kematian di mana-mana). Tidaklah mereka mengurangi sukatan kecuali tumbuh-tumbuhan tertahan dan kebuluran panjang menjelang. Dan tidaklah mereka menolak pembayaran zakat kecuali hujan pun akan tertahan dari mereka”.
“Tidakkah orang-orang itu yakin, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan” (Surah Al-Muthaffifin, Ayat 4)
Az-Zajaj berkata, “Maknanya, jika mereka itu yakin bahawa mereka akan dibangkitkan nescaya mereka tidak akan mengurangi sukatan atau timbangan.”
“Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya)”. (Surah Al-Muthaffifin, Ayat 5)
“Iaitu hari (ketika) manusia berdiri menghadap Rabb semesta alam”. (Surah Al-Muthaffifin, Ayat 6)
Yakni bangkit dari kubur-kubur mereka untuk menerima perintah, pembalasan dan perhitungan dari Allah. Mereka berdiri di hadapan-Nya untuk menerima keputusan.
Malik bin Dinar berkata: Jiranku mengunjungiku sedangkan dia sakit menjelang ajal. Dia menjerit-jerit, “Dua gunung api! Dua gunung api!”. “Apa maksudmu?”, tanyaku. Dia menjawab, “Wahai Abu Yahya, aku dulu mempunyai dua buah sukatan. Aku menjual dengan salah satu darinya dan membeli dengan yang satu lagi”. Lalu aku berdiri mengetuk satu sukatan dengan yang satu lagi untuk memecahkannya. Orang itu berkata, “Wahai Abu Yahya, setiap kali kau berbuat begitu, bertambah berat sakit saya”. Kemudian orang itu meninggal dengan sakitnya itu.
“Muthaffif” adalah orang yang mengurangi sukatan dan timbangan secara sedikit-sedikit; dia hanya mencuri sedikit saja. Namun begitu, dia tetap termasuk dalam golongan orang yang mencuri, khianat dan memakan barang haram.
Allah mengancam orang yang melakukannya dengan “wail”, iaitu azab yang berat. Ada pendapat yang mengatakan bahawa “wail’ adalah lembah di neraka Jahannam; seandainya gunung-gunung di dunia dimasukkan ke dalamnya nescaya akan hancur luluh kerana panasnya.
Sebahagian salaf berkata, “Saya bersaksi atas penyukat dan penimbang bahawa dia akan masuk neraka, kerana hampir semua mereka tidak dapat selamat dari berbuat curang, kecuali orang-orang yang dipelihara oleh Allah”.
Sebahagian lagi berkata: Aku mengunjungi seseorang yang sakit yang dalam keadaan sakarat. Aku mengajarkan kalimat syahadah, tetapi dia tidak boleh mengucapkannya. Ketika dia sedar sejenak aku bertanya kepadanya, “Wahai saudaraku, mengapa ketika aku mengajarmu dengan kalimat syahadah, kamu tidak dapat mengucapkannya?”. Dia menjawab, “Wahai saudaraku, neraca timbangan ada pada lidahku, menghalangku dari mengucapkannya”. Aku kembali bertanya, “Demi Allah, apakah kamu pernah mengurangi timbangan?”. Dia menjawab “Demi Allah tidak! Tetapi aku hanya tidak pernah meluangkan masa untuk menguji ketepatan timbanganku”.
Perhatikanlah, ini adalah keadaan orang yang tidak menguji ketepatan timbangannya. Bagaimana agaknya dengan orang yang memang sengaja mengurangi timbangannya?!
Nafi’ bercerita: Suatu ketika Abdullah bin Umar melewati seorang pedagang. Dia berkata, “Bertaqwalah kepada Allah, penuhilah sukatan dan timbangan! Sesungguhnya orang-orang yang suka mengurangi sukatan atau timbangan itu akan diberdirikan (di mahsyar, pent) sehingga peluh mereka menutupi pertengahan telinga. Begitu juga pedagang yang mengurangkan ukuran semasa menjual dan menambahkan ukuran ketika membeli”.
Sebahagian salaf berkata, “Kecelakaan bagi orang yang menjual syurga yang seluas langit dan bumi dengan satu biji yang dia kurangkan dari sukatannya. Kecelakaan pula bagi orang yang membeli “wail” dengan satu biji lebih yang diambilnya”.
Kita memohon keampunan dan keselamatan dari bala’ dan cubaan daripada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pemberi lagi Maha Pemurah.
NOTA KAKI
1. Al-Wahidi menyebutkannya dalam “Asbabun Nuzul” (909) tanpa isnad dan dinukil oleh Ibnul Jauzi dalam “Zadul Masir” (9/52).
Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit