[Muat Turun Artikel – Format PDF]
MEMPERCAYAI DUKUN ATAU AHLI NUJUM
Allah s.w.t. berfirman: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”. (Surah Al-Israa’, Ayat 36)
Dalam mentafsirkan firman Allah, “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya”, al-Wahidi menyebut bahawa al-Kalbi berkata, “Maksudnya janganlah engkau megatakan apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya!”. Qatadah berkata, “Maksudnya jangan kamu katakan aku mendengar padahal kamu tidak mendengarnya atau aku melihatnya padahal kamu tidak melihatnya atau aku mempunyai ilmu tentangnya padahal kamu tidak memilikinya!”. [1]
Maknanya, janganlah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu ketahui.
Sedangkan ayat, “Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”, al-Walibi menyebutkan bahawa Ibnu Abbas berkata, “Allah akan bertanya kepada hamba-hamba-Nya untuk apa mereka pergunakan pendengaran, penglihatan dan hati mereka. Dalam ayat ini terdapat peringatan keras agar tidak menyalahgunakan pandangan untuk perkara yang tidak dihalalkan; tidak menggunakan pendengaran untuk hal-hal yang diharamkan; dan tidak membiarkan hati untuk menginginkan sesuatu yang diharamkan. Wallahu a’lam”.
VIDEO – [Durasi – 1j 6m 20s] – Dosa Besar – Membenarkan Dukun Dan Ahli Nujum – Ust Shamsuddin Abd Rahman
VIDEO – [Durasi – 1j 11m 16s] – Dosa Besar – Membenarkan Dukun Dan Ahli Nujum (Siri 2)- Ust Shamsuddin Abd Rahman
Dalam ayat yang lain Allah s.w.t. berfirman: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun, melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya”. (Surah Al-Jin, Ayat 26 & 27)
Ibnu Jauzi berkata, “Yang mengetahui perkara-perkara ghaib hanya Allah s.w.t. sahaja, tiada sekutu bagi-Nya dalam kerajaan-Nya. Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu, dan tidak mengajarkannya kepada seorang manusia pun, kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya. Tanda kebenaran seorang Rasul adalah maklumat yang diberitahunya tentang hal-hal ghaib. Ertinya Allah akan memperlihatkan hal-hal ghaib yang dikehendaki-Nya kepada orang yang diredhai-Nya untuk membawa risalah-Nya. Ayat ini juga menunjukkan bahawa orang yang menyangka bintang-bintang itu menunjukkan hal-hal yang ghaib maka telah kafirlah ia. Wallahu a’lam”. [2]
“Barangsiapa datang kepada tukang tilik atau dukun kemudian membenarkan apa-apa yang dikatakannya, maka dia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w”. [3]
Di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim disebutkan sebuah hadith dari Zaid bin Khalid al-Jahni r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w mengerjakan solat subuh berjamaah bersama-sama kami sedangkan langit masih menurunkan hujan yang turun semalaman. Setelah selesai Baginda mengadapkan wajah ke arah hadirin seraya berkata, “Tahukah kamu apa yang dikatakan oleh Rabb kamu?”. Mereka menjawab, “Allah dan rasulNya lebih tahu”. Lalu Baginda meneruskan, “Dia berfirman: Pagi ini, di antara hamba-hamba-Ku ada yang mukmin kepada-Ku dan ada yang kafir. Orang yang berkata, “Hujan turun menyirami kita berkat kemurahan Allah dan rahmat-Nya”, dia adalah orang beriman kepada-Ku dan kafir kepada bintang-bintang. Sedangkan orang yang berkata, “hujan turun menyirami kita kerana pengaruh bintang ini dan itu”, dia adalah orang yang kafir kepada-Ku dan beriman kepada bintang-bintang”. [4]
Para ulama’ berkata, “Apabila seorang muslim berkata, “Hujan turun kerana bintang ini dan itu”, dengan maksud bahawa bintang-bintang itulah yang mengadakan dan penyebab turunnya hujan, maka dia menjadi kafir dan murtad, tanpa diragukan lagi. Namun apabila dia mengatakan itu dengan maksud bahawa itu hanya sebagai tanda-tandanya dan hujan tersebut adalah diturunkan oleh Allah, Dia menciptakannya, maka dia tidak menjadi kafir. Para ulama’ berselisih pendapat dalam hal makruhnya. Pendapat yang lebih tepat adalah hal itu makruh, sebab itu merupakan perkataan orang-orang kafir. Itu merupakan zahir (makna tekstual) hadith tersebut”.
“Barangsiapa datang kepada tukang tilik lalu dia mempercayai apa yang dikatakannya, maka sembahyangnya tidak diterima selama empat puluh hari”. [5]
Aisyah r.ha. berkata, “Beberapa orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang para dukun. Baginda menjawab, “Mereka itu tidak ada apa-apa!”. Para Sahabat berkata lagi, “Wahai Rasulullah, adakalanya mereka meramalkan sesuatu dan kemudian ternyata benar!”. Rasulullah s.a.w. menjawab, “Itu adalah sesuatu yang benar yang didengar oleh jin kemudian dibisikkannya kepada para walinya dan mereka mencampurnya dengan seratus kedustaan”. [6]
Juga dari Aisyah r.ha, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Para malaikat turun ke awan, kemudian mereka membicarakan sesuatu perkara yang telah ditetapkan di atas langit. Syaitan mencuri dengar percakapan itu, kemudian dia membisikkannya ke telinga dukun-dukun itu, lalu para dukun itu menambahkan padanya seratus kebohongan dari dirinya”. [7]
Qubaishah bin Abu Mukhariq r.a. berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Iyafah, Thiyarah, dan Tharq itu termasuk perbuatan sihir”. [8]
Maksud ” ‘iyafah” adalah meramal nasib dengan membuat garis-garis di tanah. “Thiyarah” adalah meramal nasib dengan gerak-geri burung. Sedangkan “Tharq” adalah menggertak burung supaya terbang. Kemudian dilihat, jika ia terbang ke arah kanan maka itu petanda baik. Dan jika terbang ke arah kiri maka itu petanda buruk.
Ibnu ‘Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa mempelajari satu cabang ilmu nujum maka dia telah mempelajari satu cabang ilmu sihir. Dan ianya bertambah dengan bertambahnya apa yang dipelajarinya”. [9]
‘Ali bin Abu Thalib r.a berkata, “Dukun itu adalah tukang sihir, dan tukang sihir itu adalah seorang yang kafir!”.
Semoga Allah memberi kesejahteraan kepada kita dan melindungi kita di dunia dan di akhirat.
NOTA KAKI
1. Diriwayatkan oleh Ath-Thabari (15/86) dari Qatadah secara mauquf dengan isnad sahih
2. Lihat Zadul Masir (8/385)
3. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/429) dan Al-Hakim (1/8) dari Abu Hurairah dan disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Ash-Shahih (5639)
4. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (846), Muslim (71), Abu Daud (3906), Al-Humaidi (813), An-Nasa’i (3/165) dan Ibnu Mandah (503).
5. Diriwayatkan oleh Muslim (2230) dan Ahmad (5/380) dari sebahagian Ummahatul Mukminin.
6. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (5762,6213), Muslim (2228), Ahmad (6/87) dan Abdur Razzaq (20347).
7. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (2210).
8. Dikeluarkan oleh Abdur Razzaq (19502), Ibnu Sa’ad (7/35), Ahmad (3/477), Abu Daud (3907), Ath-Thabrani (18/941, 942, 943, 945), Al-Baihaqi (8/139), Ibnu Hibban (6131) dan isnadnya dha’if. Lihat Dha’if Abi Daud (842)
9. Diriwayatkan oleh Ahmad (1/311), Abu Daud (3905), Ibnu Majah (3726) dan disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Sahih Al-Jami’ (6074) dan Ash-Shahihah (793).
· Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit